Wednesday, June 22, 2022

MASALAH PENAGIH DADAH YANG TIDAK PERNAH SELESAI DI FELDA WILAYAH JENGKA, PAHANG

 

Ringkasan Kes

Masalah Penagih Dadah di Wilayah FELDA Jengka ini merupakan satu isu yang tidak asing lagi. Sekiranya menyebut mengenai FELDA Jengka pasti isu mengenai terdapat segelintir penduduk di kawasan tersebut terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah. Kawasan ini juga mempunyai 'tokan' dadah atau pengedar dadah yang terbesar di Pahang. Maka tidak hairanlah isu mengenai penagih dadah di Wilayah FELDA Jengka tidak pernah selesai sehingga ke hari ini. Buktinya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang menahan 64 lelaki atas pelbagai kesalahan dan merampas dadah jenis heroin, syabu serta ganja selepas menggempur "port" atau sarang penagihan dadah di ladang FELDA Jengka 16 (Salehudin Mat Rasad, 1 Julai 2021). Kebanyakkan tempat yang dijadikan tempat untuk mereka melakuka aktiviti tersebut adalah di ladang kelapa sawit dan bangunan yang terbiar seperti kedai atau rumah.  Penyalahgunaan dadah ini bukan sahaja melibatkan golongan belia malah golongan remaja juga terlibat kerana mereka bergaul dengan pengedar dadah di siti atau terikut dengan kegiatan yang dilakukan oleh bapa mereka. Oleh sebab itu, laporan ini dilakukan untuk mengetahui faktor-faktor yang menyebabkan masalah penagihan dadah ini berlaku dan kesannya terhadap keluarga dan komuniti.

 

Rajah 1

https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/WhatsApp-Image-2021-07-01-at-3.26.36-PM.jpeg

Rampasan dadah dalam Op Sarang Khas di 'port' dadah dalam ladang Felda Jengka 16

(Sumber: Utusan Malaysia, 1 Julai 2021)

 

 

Pengenalan

Felda Wilayah Jengka merupakan projek yang ditubuhkan oleh mantan Perdana Menteri ke-2 iaitu Tun Abdul Razak untuk membantu masyarakat melayu keluar daripada kepompong kemiskinan yang jauh daripada kemajuan dan pembangunan di bandar. Menurut Rozdan Mazalan (22 September 2019), "jengka meliputi projek Rancangan Pembangunan Tanah yang diusahakan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sejak 1966 bagi sektor pertanian kelapa sawit dan getah". Felda Wilayah Jengka ini meliputi kawasan Temerloh, Jerantut dan Maran. Oleh sebab itu, Wilayah Felda Jengka ini dikenali sebagai Jengka Tiga Segi. Menurut Laman Web Pusat Ekonomi Digital Felda Jengka 3 (2022), " Wilayah Jengka merupakan penempatan FELDA terbesar di Malaysia yang terletak di negeri Pahang Darul Makmur". Wilayah Jengka ini dibuka secara rasmi oleh Tun Abdul Razak pada tahun 1967 dan pada tempoh 1967 hingga 1997, Jengka ditadbir oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ). Selepas pembubaran LKWJ, pentadbiran Wilayah Jengka diserahkan kepada Majlis Daerah Maran (MDM) hingga ke hari ini. Wilayah Jengka ini terdiri daripada 25 buah rancangan FELDA dan disetiap rancangan ini ditandai dengan nombor 1 hingga 25 berdasarkan kawasan yang lebih awal dibuka. Setiap rancangan FELDA Jengka-Jengka ini  akan diberikan dengan nama khas iaitu nama bunga malah pemilihan nama bunga juga mengikut abjad untuk memudahkan untuk mengenal pasti kawasan yang lebih awal dibuka. Walaubagaimanapun terdapat satu isu di wilayah FELDA Jengka yang tidak pernah untuk selesei iaitu isu penagih dadah. Hal ini kerana Wilayah FELDA Jengka sering dikaitkan dengan isu penagih dadah. Hal ini dibuktikan dengan pelbagai berita di akbar media mengenai isu penagih dadah yang tidak pernah selesai ini. Menurut Salehuddin Mat Rasad (29 Jun 2021), "polis menahan tujuh lelaki di FELDA Jengka kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadadah pada dua serbuan berasingan di FELDA Wilayah Jengka pada 24 dan 25 Jun 2021". Hal ini menyebabkan laporan ini dilakukan untuk mengenal pasti punca-punca disebalik isu penagih dadah di Wilayah FELDA Jengka ini sering berlaku. Laporan ini juga akan membincangkan mengenai kesan-kesan yang berlaku daripada isu penagih dadah ini serta langkah-langkah membasmi isu penagih dadah di Wilayah FELDA Jengka. Rajah di bawah menunjukkan peta di Daerah Maran yang meliputi Wilayah FELDA Jengka.

 

 

Rajah 2

Peta Daerah Maran

(Sumber: Laman Web Pusat Ekonomi Digital Felda Jengka 3, 2020)

 

 

Rajah 3

https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/WhatsApp-Image-2021-06-29-at-6.33.44-PM.jpeg

Dadah yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di FELDA Jengka

(Sumber: Utusan Malaysia, 29 Jun 2021)

 

 

Punca-Punca Isu Penagih Dadah

Penagih dadah yang berlaku di Wilayah FELDA Jengka ini sering terjadi sehingga isu berlarutan sehingga ke hari ini. Laporan ini akan mengenal pasti punca-punca yang menyebabkan isu penagih dadah ini sering berlaku di Wilayah FELDA Jengka ini. Laporan ini mendapati terdapat tiga punca utama yang menyebabkan isu penagih dadah ini berlaku iaitu kurang didikan agama, kurangnya pemantauan daripada ibu bapa dan pengaruh rakan sebaya. Punca-punca ini lah yang menyebabkan isu penagih dadah ini terjadi terutama dalam kalangan belia dan remaja. Isu penagih dadah yang tidak pernah selasai ini juga disebabkan oleh bekas-bekas penagih dadah yang berisiko untuk kembali menjalankan kegiatan mereka.

 

Kurang Didikan Agama

Laporan ini mendapati punca penagih dadah ini berlaku terutama dalam kalangan belia di kawasan Wilayah FELDA Jengka ialah kurangnya didikan agama. Hal ini kerana ibu bapa yang tidak terlalu mementingkan agama dalam didikan menyebabkan anak-anak mereka kurang untuk mengambil cakna mengenai batas yang terdapat dalam agama sehinggakan mereka mudah untuk terjebak dengan masalah sosial seperti mengambal barangan terlarang. Menurut Wan Abdul Fattah Wan Ismail et al. (2021), "pendidikan ini pada dasarnya adalah permulaan proses tarbiyyah yang memerlukan penghayatan dan pemahaman praktik yang tidak bertentangan dengan ajaran-ajaran tersebut". Perkara ini berkaitan dengan firman Allah swt dalam surah Al-Ankabut, 29:45 "dan dirikanlah solat, kerana sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar". Makna yang tersirat disebalik ayat suci al-quran ini mengenai bahawa didikan agama itu merupakan satu perkara yang penting terutama ibu bapa yang perlu memberikan didikan agama yang secukupnya agar tingkah laku yang baik dapat dibentuk. Isu penagih dadah ini berpunca kerana terdapat ibu bapa yang tidak terlampau tegas dalam mendidik anak-anak mereka sehinggakan anak-anak mereka mudah terpengaruh dengan ajakan rakan sebaya melakukan perkara yang mungkar. Seharusnya, ibu bapa perlu memberikan pemantauan terhadap anak-anak mereka dan janganlah ibu bapa terlampau leka dengan urusan pekerjaan sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak. Sesetengah anak-anak yang terlibat dengan aktiviti penggunaan dadah ini di Wilayah FELDA Jengka, ibu bapa mereka terlampau sibuk dalam mencari rezeki atau terdapat ibu bapa yang terlibat dengan aktiviti penggunaan dadah. Kesannya, anak-anak mereka mudah untuk melakukan pelbagai perkara seperti "melepak", mencuba mencuba untuk menghisap rokok dan sudah mula melibatkan diri dengan dadah. Oleh itu, amalan keagamaan itu merupakan satu faktor yang penting dalam membentuk tingkah laku dan budi pekerti terutama remaja kini agar mereka tidak mudah tersasar ke jalan yang salah.

 

Kurang Pemantauan daripada Ibu Bapa atau Keluarga

Anggota keluarga atau ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam menjaga kestabilan keluarga. Hal ini kerana kestabilan keluarga merupakan satu perkara yang sukar untuk dijaga pada masa kini yang mana faktor ini dipengaruhi oleh kesibukan dan kemodenan sehingga mempengaruhi hubungan sesama ahli keluarga. "Komunikasi yang betul sangat penting untuk menasihati dan mendisiplinkan seseorang remaja. Remaja akan bertindak agresif jika mereka di didik dengan cara yang salah dan mereka akan bertindak balas melalui kemarahan dan pemberontakan". (Wan Abdul Fattah Wan Ismail et al.,2021) Perkara ini terjadi dalam penduduk di Wilayah FELDA Jengka yang mana terdapat ibu bapa yang kurang ambil peduli mengenai kebajikan anak-anak mereka. Situasi sebegini yang menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi renggang dan ditambah lagi dengan kemajuan alatan elotronik seperti telefon pintar dan media sosial. Perkara-perkara ini telah mendatangkan kesan terhadap hubungan sesebuah keluar menjadi renggang dan tiada komunikasi antara ahli keluarga. Oleh sebab itu, remaja terutama masa-masa kini lebih banyak menghabiskan masa dengan rakan mereka seperti "melepak". Mereka juga beraggappan rakan mereka lebih memahami dengan dugaan yang ditimpa mereka berbanding ahli keluarga. Oleh sebab itu, mereka mudah terikut-ikut dengan kegiatan yang dilakukan oleh rakan-rakan. Maka dengan itu anak-anak remaja di kawasan Wilayah FELDA Jengka mudah untuk terjebak dengan masalah sosial seperti penggunaan dadah. Tanggungjawab dalam memantau ahli keluarga yang masih diumur remaja bukan di atas bahu ibu bapa sahaja tetapi adik beradik seperti abang dan kakak juga boleh membantu ibu bapa mereka memantau kegiatan yang dilakukan oleh adik-adik mereka. Hubungan antara adik beradik juga perlu dijaga agar komunikasi dalam sesebuah keluarga dapat dilaksanakan dengan jayanya.  Hubungan kekeluargaan ini dapat dilakukan dengan melaksanakan aktiviti bersama-sama seperti membersihkan kawasan rumah, melancong bersama-sama, melaksanakan ibadah bersama-sama dan pelbagai. Barulah ikatan kekeluargaan itu dapat dijalinkan dan setiap ahli keluarga tidak malu untuk berkongsi mengenai masalah yang dihadapi. Jelaslah bahawa hubungan kekeluargaan yang erat menimbulkan rasa tanggungjawab untuk memantau kegiatan yang dilakukan oleh ahli keluarga supaya mereka tidak terlibat dengan aktiviti penggunaan dadah.

 

Pengaruh Rakan Sebaya

Menurut Abdul Fattah Wan Ismail et al. (2021), "remaja lebih suka dan merasa lebih selesa di antara rakan sebaya dan juga rakan sebaya yang berkawan dengan mereka". Hal ini kerana rakan-rakan mereka lebih memahami dan menyukai minat yang sama berbanding ibu bapa mereka. Perkara ini menyebabkan mereka mudah untuk mengikuti kegiatan-kegiatan yang dilakukan oleh rakan mereka. Tambahan pula, pada fasa remaja mereka mempunyai rasa ingin tahu yang sangat tinggi sehingga mereka sanggup mencuba sesuatu yang baharu seperti menghisap rokok pada permulaannya dan mula berubah untuk mencuba barangan terlarang seperti dadah. Segilintir golongan remaja di Wilayah FELDA Jengka mereka mula mencuba untuk menghisap rokok apabila mereka masuk ke fasa sekolah menengah. Hal ini kerana ibu bapa mereka menghantar mereka ke asrama dan mereka banyak menghabiskan masa dengan rakan-rakan mereka. Maka, peratusan remaja-remaja ini untuk melakukan kegiatan yang tidak bermoral lebih tinggi. Pada remaja yang tidak duduk di asrama mereka banyak menghabiskan masa dengan rakan-rakan mereka dengan melepak di kawasan-kawasan yang sunyi seperti kawasan ladang atau kawasan bangunan yang lama terbiar. Remaja di Wilayah FELDA Jengka mereka terdedah bergaul dengan golongan bela yang  sememangnya melakukan kegiatan yang tidak bermoral. Oleh itu mereka mudah untuk dipengaruhi untuk mencuba barangan terlarang yang mana pada mula mereka akan mencuba barangan seperti air daun ketum yang telah ditambah dengan bahan yang lain dan mula berani untuk mencuba dadah seperti ganja dan syabu. Terdapat golongan belia di Wilayah FELDA Jengka mereka merupakan pengedar dadah atau ketum yang memudahkan golongan remaja untuk mendapatkan barangan tersebut. Sebagaimana yang dinyatakan dalam faktor kurangnya didikan agama dan kurangnya pemantau daripada ibu bapa atau keluarga membuatkan menambahkan lagi peratusan untuk golongan remaja ini terdedah dengan kegiatan yang tidak bermoral yang dilakukan oleh rakan-rakan mereka. Kesannya di sini maslah penagih dadah di Wilayah FELDA Jengka tidak pernah selesai disebabkan oleh ketiga-tiga faktor ini.

 

Faktor-Faktor Penagihan Semula

Faktor yang lain mempengaruhi masalah penagih dadah di Wilayah FELDA Jengka yang tidak pernah selesai ini disebabkan oleh faktor-faktor penagihan semula. Faktor-faktor penagihan semula ini selalu terjadi kepada bekas penagih dadah yang telah berhenti menghisap atau telah menamatkan program di pusat pemulihan dadah. Menurut Nurhazlina Mohd Ariffin et al. (2019), penagihan semula ini boleh didefinisikan sebagai satu bentuk tingkah laku menggunakan semula dadah secara berterusan selepas tamat program rawatan dan pemulihan atau selepas  berhenti seketika daripada menggunakan dadah. Faktor-faktor yang menyebabkan bekas penagih ini kembali mengambil dadah semula antaranya konsep kendiri individu dan sosial. Faktor konsep kendiri ini berlaku hasil daripada proses kognitf yang mana akan membentuk satu persepsi tentang apa yang dilihat, didengar, dirasa dan disentuh. Faktor konsep kendiri ini terkait dengan aspek yang lain seperti harga diri, kebimbangan dan emosi individu sehingga menyebabkan mereka kembali mengambil dadah semula. Menurut Mohd Alif Jasni et al. (2018), Ketiadaan dadah di dalam tubuh badan yang menyebabkan kesakitan dan bekas penagih akan berasa gundah dan gulana serta resah yang menjadi punca mereka untuk mengambil dadah semula untuk menghilangkan rasa kesakitan tersebut. Selain itu, tiada keinginan untuk berhenti menagih juga merupakan faktor konsep kendiri yang menyebabkan mereka mengambil dadah semula. Hal ini kerana faktor ini menjadi relaps kepada bekas penagih atau bekas banduan terhadap dadah yang mana perasaan gian mereka tidak dapat dikawal dan tidak terubat menyebabkan mereka kembali untuk mengambil dadah dan ditambah lagi dengan perasaan ingin mencuba semula dalam diri bekas banduan. Ketagihan pada dadah ini menyebabkan bekas banduan cenderung untuk melakukan kegiatan jenayah seperti merompak dan meragut. Hal ini bertujuaan untuk memperoleh wang untuk membeli dadah.

 

Faktor sosial juga merupakan faktor utama yang menyebabkan bekas banduan untuk kembali mengambil dadah. Menurut Nurhazlina Mohd Ariffin et al. (2019), faktor sosial yang melibatkan pengaruh rakan-rakan lama menyebabkan bekas banduan mudah untuk menjadi relaps iaitu kembali mengambil dadah. Ketagihan terhadap dadah ini semakin meningkat dengan faktor penolakan oleh ahli keluarga yang mana ahli keluarga tidak menerima dan tiada sokongan memudahkan lagi bekas banduan untuk menjadi relaps. Jelaslah disini bahawa, bekas banduan ini perlu mendapat daripada sokongan keluarga agar mereka dapat melawan rasa gian dan rasa tidak mahu berubah dalam diri mereka yang ingin kembali mengambil dadah. Masyarakat juga perlu memberikan sokongan kepada golongan ini agar emosi mereka tidak terganggu dan mereka dapat menjalani kehidupan tanpa rasa ketagih terhadap dadah.

 

Kesan-Kesan Penagihan Dadah

Masalah penagihan dadah yang tidak pernah selesai di Wilayah FELDA Jengka ini memberikan kesan yang negatif iaitu mengancam kesalamatan komuniti di Wilayah FELDA Jengka. Hal ini kerana penagih mudah untuk melakukan kegiatan jenayah seperti mencuri, merompak, membunuh dan meragut untuk mendapat wang untuk digunakan membeli dadah. Mereka juga sanggup membahayakan ahli keluarga mereka semata-mata untuk mendapatkan wang demi menghilangkan gian atau ketagihan mereka terhadap dadah. Menurut Zarina Othman et al. (2015), kebanyakan jenayah yang dilakukan oleh penagih ialah jenayah indeks seperti mencuri, meragut dan merompak tanpa senjata api. Masalah penagih ini menyebabkan pelbagai isu berbangkit di kawasan Wlayah FELDA Jengka di akbar secara eloktronik atau media massa iaitu kes-kes rumah dipecah masuk, lembu peternakan penduduk dicuri, moto yang dicuri dan terdapat juga kes yang bahaya iaitu melibatkan pembunuhan. Menurut Shahrunahar Latib (19 Januari 2018), "seorang pemuda yang dipercayai penagih dadah bertindak di luar batasan apabila membakar rumah pusaka peninggalan bapanya di FELDA Jengka 11".  Polis juga mendapati penagih tersebut telah berkali-kali mengugut untuk membakar rumah itu beberapa kali sebelum ini. Hal ini berpunca daripada rasa ketagihan yang membuatkan perasaan dan minda mereka tidak terkawal sehingga mampu melakukan keganasan terhadap keluarga sendiri. Suami yang ketagih terhadap dadah ini juga menyebabkan isu keruntuhan rumah tangga yang mana mereka sanggup melakukan kekasaran terdahap isteri mereka semata-mata untuk mendapatkan wang atau barangan seperti rantai emas dan gelang emas. Isu penceraian sering terjadi di Wilayah FELDA Jengka disebabkan tidak tahan dengan suami mereka yang ketagih terhadap dadah. Jelaslah, ketagiahan terhadap dadah ini memberikan masalah terhadap perubahan sikap individu sehingga mereka mampu melakukan kegiatan jenayah dan membahayakan kepada keluarga mereka serta masyarakat.

 

 

Rajah 4

KEADAAN rumah pusaka keluarga di FELDA Jengka 11, Maran yang musnah akibat dibakar anaknya sendiri. - Foto Ihsan JBPM Pahang

Keadaan rumah pusaka keluarga di FELDA Jengka 11 yang musnah dibakar anaknya sendiri (penagih dadah)

(Sumber: Berita Harian, 19 Januari 2018)

 

 

Langkah Mengatasi Masalah Penagih Dadah

Masalah penagih dadah di Wilayah FELDA Jengka perlu diatasi agar keharmonian masyarakat setempat dapat dikekalkan. Oleh itu, pelbagai langkah yang perlu dilaksanakan untuk mengatasi masalah penagih dadah ini. Langkah yang boleh dilakukan ialah memberikan pendedahan terhadap remaja mengenai kesan-kesan buruk pengambilan dadah. Setiap sekolah di Wilayah FELDA Jengka seharusnya melaksanakan kempen iaitu "Hari Membanteras Dadah" yang memberi pendedahan awal terhadap para remaja mengenai bahaya terlibat dengan dadah. Hal ini akan membuatkan para remaja mendapat kesedaran awal mengenai keburukkan terlibat dengan dadah. Ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam memberikan pendedahan kepada anak-anak mereka mengenai keburukkan dadah. Pada usia anak mereka enam hingga dua belas tahun ibu bapa boleh melakukan komunikasi melalui cerita-cerita atau gambar iaitu melaksanakan pengajaran yang tidak dirancang. Sebagai contoh satu babak di televisyen membabitkan dadah ibu bapa boleh memberitahu kepada anak-anak mereka mengenai keburukkan penyalahgunaan dadah. Sekiranya anak-anak sudah meningkat ke peringkat remaja, ibu bapa perlu menukar cara mendidik iaitu membimbing sekiranya mereka melakukan kesalahan dan tidak menghukum atau mengongkong kebebasan. Ibu bapa juga boleh melakukan hukuman yang logik sekiranya anak-anak mereka melakukan perkara yang melampaui batas. Kasih sayang dalam keluarga perlu dieratkan dengan meluangkan masa bersama-sama supaya anak-anak mereka tidak mudah untuk mengikuti kegiatan rakan-rakan mereka yang tidak bermoral.

 

            Bekas banduan juga memerlukan sokongan moral daripada keluarga mereka supaya mereka dengan lebih kuat melawan rasa ketagihan terhadap dadah. Masyarakat juga perlu mengubah pandangan mereka terhadap bekas banduan supaya tidak menganggu emosi dan perasaan banduan tersebut. Sepatutnya masyarakat perlu memberikan sokongan dan membantu ahli keluarga bekas banduan dengan tidak memandang serong serta melayan mereka seperti orang biasa. Hal ini akan membantu bekas banduan dari segi emosi mereka lebih kuat dalam melawan rasa gian dan mempunyai rasa yang tinggi untuk berubah kea rah kebaikan. Jelaslah disini langkah mengatasi masalah penagih dadah yang tidak pernah selesai ini memerlukan sokongan daripada semua pihak membantu dalam memberikan pendedahan kepada golongan muda dan memberikan sokongan kepada bekas banduan supaya isu penagih dadah tidak berlaku di Wilayah FELDA Jengka lagi.

 

Kesimpulan

Kesimpulannya di sini, laporan yang dilakukan ini dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai keburukkan penyalahgunaan dadah. Langkah-langkah yang dinyatakan dalam laporan ini dapat diambil untuk diikuti atau ditambah baik supaya isu penagih dadah di Malaysia ini juga dapat diselesaikan. Masyarakat di luar sana juga boleh mengambil faktor-faktor yang dinyatakan dalam laporan ini sebagai ilmu tambahan supaya masyarakat akan mendapat kesedaran mengenai kesan negatif sekiranya mempunyai bilangan penagih dadah dalam jumlah yang banyak. Hal ini juga membantu Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang bebas daripada dadah dan dapat mengekalkan keamanan dalam negara.

 

Disediakan:

Muhammad Faris Hakimi bin Zabudin

(D20201094290)

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Nama Pensyarah:

Dr. Kamarul bin Ismail

Geografi Penduduk (HGM3033)

 

           

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Rujukan

 

Laman Web Pusat Ekonomi Digital Felda Jengka 3. (2022). Sejarah Daerah Maran. http://feldajengka3.pjk.com.my/index.php/warga-pi1m/maklumat-pi1m/sejarah

Mohd Alif Jasni, Siti Hajar Abu Bakar Ah, Jal Zabdi Mohd Yusoff, Khairiyah Md Shahid, Noralina Omar dan Zaiton Azman. (2018). Kekurangan akses kepada jagaan lanjutan dan faktor-faktor risiko yang membawa kepada relaps dadah dalam kalangan bekas banduan. Jurnal Perspektif, 10 (2), 34-44. http://ojs.upsi.edu.my/index.php/PERS/article/view/1784/1308

Nurhalina Mohd Ariffin, Norruzeyati Che Mohd Nasir dan mohammad Rahim Kamaluddin. (2019). Faktor-faktor penagihan semula dalam kalangan belia. Malaysia Journal of Youth Studies. http://iyres.gov.my/images/MJYS/2019/MJYS%20Vol%2020%20June%202019-73-83.pdf

Roszdan Mazalan. (22 September 2019). Nampak jin di dalam air [akhbar]. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/santai/2019/09/609544/nampak-jin-di-dalam-air

Salehudin Mat Rasad. (1 Julai 2021). Op Sarang gempur 'port' dadah terbesar di Jengka [Akhbar]. Utusan Malaysia. https://www.utusan.com.my/terkini/2021/07/op-sarang-gempur-port-dadah-terbesar-di-jengka/

Salehudin Mat Rasad. (29 Jun 2021). Tujuh lelaki di FELDA Jengka ditahan hisap dadah [Akhbar]. Utusan Malaysia. https://www.utusan.com.my/terkini/2021/06/tujuh-lelaki-di-felda-jengka-ditahan-hisap-dadah/

Shahrinnahar Latib. (19 Januari 2018). Penagih bakar rumah pusaka keluarga [Akhbar]. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/01/377916/penagih-bakar-rumah-pusaka-keluarga

Wan Abdul Fattah Wan Ismail, Ahmad Syukran Baharuddin, Lukman Abdul Mutalib, Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Zulfaqar Mamat, Zuriatunfadzliah Sahdan, Syh Noorul Madihah Syed Husin, Mohammad Aniq Aiman Alias dan Nurul Syazwani Abdullah Kahar. (2021). Tinjauan awal terhadap punca-punca yang menyebabkan remaja islam di Malaysia terlanjur [Persidangan]. International Convention On The Basic Structure Of Constitution (ICOBAC). https://oarep.usim.edu.my/jspui/bitstream/123456789/16100/1/Tinjauan%20Awal%20Terhadap%20Punca-Punca%20Yang%20Menyebabkan%20Remaja%20Islam%20Di%20Malaysia%20Terlanjur.pdf

Zarina Othman, Nor Azizan Idris dan Mohammad Daud Druis. (2015). Penyalahgunaan dadah sebagai ancaman keselamatan: Analisis keberkesanan program kerajaan dalam mengekang pengrekrutan penagih dadah di Malaysia. Journal of Society and Space, 11 (13), 60-71. http://www.ukm.my/geografia/images/upload/6x.geografia-dec15-zarina&daud-edam3.pdf

 

 

 

Sent from Mail for Windows

 

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...