Ringkasan isu
Sumber air bersih adalah sangat penting kepada manusia mahupun hidupan yang lain untuk meneruskan kehidupan. Kegunaan air bersih adalah penting untuk menjaga kesihatan manusia supaya terus terpelihara. Negeri Kedah berhadapan dengan pelbagai isu dan masalah bekalan air domestik yang dilihat mengganggu kehidupan penduduk dan membebankan Kerajaan Negeri Kedah pada masa kini. Malah, isu dan masalah yang dinyatakan bukannya merupakan satu permasalahan sosial yang baharu, malah berlarutan sejak dahulu sehingga kini. Banyak lokasi di negeri Kedah terutama di beberapa kawasan luar bandar seperti Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Kubang Pasu dan lain lain lagi dilaporkan berhadapan dengan masalah bekalan air yang serius. Menurut Mohd Firdaus dan Arba'iyah (2018) penduduk yang tinggal di Pokok Sena misalnya telah kembali bergantung kepada sumber bekalan air semula jadi seperti sungai, air dari lereng bukit, telaga dan lain-lain lagi pada masa kini. Namun, isu dan permasalahan yang berlaku ini dilihat tidak mendapat liputan yang meluas oleh media nasional di negara kita kerana mereka dilihat lebih memfokuskan kepada masalah dan isu bekalan air di negeri lain seperti Selangor dan Kelantan.
Selain itu, Syarikat Air Darul Aman (SADA) sendiri turut mengakui menerima aduan masalah kekurangan bekalan air sebanyak 2,000 panggilan ketika musim perayaan pada tahun 2017 (Morganan 2017). Dengan tercatatnya jumlah aduan yang sangat tinggi menunjukkan bahawa penduduk di sekitar negeri Kedah terutama Pokok Sena berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan air dan mengganggu aktiviti domestik penduduk sejak sekian lama. Di samping itu, Kerajaan Negeri Kedah melalui SADA menanggung jumlah hutang pinjaman bekalan air yang tinggi daripada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan baik pulih masalah saliran air ini. Hal ini disebabkan oleh tindakan Kerajaan Negeri Kedah yang sering membuat pinjaman bekalan air ekoran kekurangan sumber kewangan dan hasil negeri selama ini. Kerajaan Persekutuan mendakwa Kerajaan Negeri Kedah langsung tidak membayar pinjaman yang diberikan sejak dari awal pinjaman sehingga kini. Lantaran daripada permasalahan ini, jelaslah menunjukkan penduduk di sekitar Pokok Sena ini terpaksa menanggung beban ekoran daripada isu air yang tidak dapat diselesaikan sejak sekian lama. Faktor lain yang dilihat meyumbang kepada permasalahan ini adalah pertambahan penduduk disekitar Pokok Sena kerana terdapat pembangunan perumahan yang semakin bertambah dari masa ke semasa.
Secara keseluruhannya, isu dan masalah bekalan air di negeri Kedah yang dinyatakan dilihat mempunyai perkaitan dengan perkembangan bekalan air domestik di negeri Kedah pada masa lampau. Walaupun berlakunya pertukaran Kerajaan Negeri Kedah sebelum ini, namun isu dan masalah bekalan air di negeri kedah dilihat sebagai isu sosial yang tidak pernah selesai. Sedangkan negeri Kedah sendiri mempunyai sumber air mentah yang baik dan diyakini mencukupi untuk diproses serta disalurkan kepada penduduk, malah sumber air ini turut digunakan untuk tujuan penanaman padi. Oleh itu, menurut Mohd Firdaus dan Arba'iyah (2018) dengan sumber bekalan air yang baik, berkualiti dan banyak, negeri Kedah turut membantu negeri Perlis, Pulau Pinang dan Perak dalam membekalkan sumber air mentah sehingga kini. Justeru itu, permasalahan sistem untuk merawat air bersih serta penggunaan paip lama yang sudah berusia merupakan punca kepada masalah ini.
Kawasan Kajian
Bandar Pokok Sena merupakan pusat bandar utama yang tertumpu dalam kalangan penduduk setempat untuk membeli barangan keperluan dan menghabiskan waktu terluang bersama keluarga. Pertumbuhan penduduk di dalam bandar Pokok Sena adalah sebanyak 57.5 ribu orang berdasarkan kepada laporan banci penduduk dan perumahan Malaysia pada tahun 2020. Kepadatan penduduk didalam bandar ini adalah seluas 232 orang/km persegi dimana penduduk mengikut etnik iaitu bumiputera sebanyak 51.0 ribu, cina 3.7 ribu, india 0.8 ribu, lain-lain 0.3 ribu dan bukan warganegara 2.6 ribu. Secara umumnya, Pokok Sena merupakan daerah pertanian dengan melibatkan aktiviti utama iaitu penanaman padi dengan keluasan 2,816 hektar, getah (9,883 hektar), dusun (416 hektar) dan koko (2.5 hektar). Namun begitu di bandar Pokok Sena ini terdapat satu permasalah dan isu air yang telah disuarakan sejak sekian lama. Walaupun sudah terdapat penambahan sistem bekalan air ini, namun iar masih menjadi satu isu kepada penduduk di sekitar kawasan ini.
Rajah 2. lokasi kajian
Punca-punca permasalahan bekalan air bersih di Pokok Sena
Sejak awal pelaksanaan rancangan bekalan air di negeri Kedah, Kerajaan Negeri Kedah dilihat berhadapan dengan masalah kewangan yang serius bagi melaksanakan rancangan bekalan air di negeri berkenaan. Selain itu, rancangan pembangunan negeri ini dilihat tidak banyak membantu untuk penambahbaikan ekoran perolehan hasil negeri Kedah tidak dapat membantu untuk dialirkan. Malah, perolehan hasil negeri ini sediri lebih rendah berbanding dengan perbelanjaan pengurusan negeri yang dilihat lebih tinggi. Keadaan ini berlaku kerana negeri Kedah sangat bergantung terhadap hasil sektor pertanian dan cukai tanah. Misalnya pada tahun 1970, perbelanjaan pengurusan negeri Kedah adalah berjumlah RM30,004,822.09 sedangkan hasil negeri Kedah dalam tahun yang sama berjumlah RM28,979,744.18 (Penyata Kewangan Negeri Kedah Bagi Tahun 1970). Situasi ini memberi tekanan yang tinggi kepada Kerajaan Negeri Kedah untuk meneruskan pelaksanaan rancangan bekalan air bersih seperti yang dirancang. Maka sudah semestinya akan timbul pelbagai masalah bekalan air di negeri Kedah terutamanya di Pokok Sena yang semakin berlarutan dari tahun ke tahun. Sekiranya kerajaan tidak mengatasi masalah kewangan ini dengan segara ia akan memberi tekanan yang lebih tinggi kepada penduduk untuk mendapatkan bekalan air bersih ekoran pertambahan pendudukan.
Namun, punca permasalahan ini juga disebabkan oleh peningkatan pengguna serta penggunaan paip lama yang berukuran lebih kecil. Hal ini menyebabkan air yang disalur tidak cukup dan tidak sampai kepada penduduk sekitar Pokok Sena. Oleh itu, Kerajaan Negeri Kedah beranggapan rancangan bekalan air harus dilaksanakan supaya proses pembangunan di negeri Kedah berjalan dengan lancar. Menteri besar kedah iaitu Muhammad Sanusi mengulas bahawa kerj-kerja menaik taraf infrastruktur termasuk loji rawatan air di negeri ini akan memakan masa dan kos yang tinggi termasuk penggantian paip air uzur yang mengakibatkan kadar air tidak berhasil tinggi. Menurut beliau, hal ini tidak disegerakan atas faktor kos yang tinggi iaitu hampir 970 juta, di samping mengambil masa yang agak lama. Namun, Kerajaan Negeri Kedah yakin akan memperoleh keuntungan melalui hasil air pada masa hadapan.
Kesan permasalahan bekalan air bersih
Krisis air ini akan menyebabkan tanah menjadi kontang dan berlakunya hakisan tanah. Sedangkan air bawah tanah merupakan antara sumber bekalan air bersih yang cukup penting dan perlu dipelihara. Pembangunan pesat yang berlaku secara tidak terancang juga akan menyebabkan air hujan tidak serap ke dalam tanah. Sebaliknya ia terus mengalir ke sungai-sungai. Hal ini akan menjejaskan kualiti tanah dan sekaligus akan turut menjejaskan aktiviti pertanian. Apabila aktiviti pertanian terjejas, maka ia secara langsung akan memberi kesan ke atas bekalan makanan daripada hasil pertanian yang seterusnya juga turut memberi kesan yang besar ke atas kadar pertumbuhan sosio-ekonomi negara. Kesannya membawa kerugian besar dalam industri dan meningkatkan kos tanggungan kerajaan.
Masalah ketiadaan bekalan air yang stabil selalu dikaitkan dengan pengusaha-pengusaha dan penyediaan makanan. Masalah ini melibatkan makanan yang disediakan di gerai-gerai di tepi jalan, pasar-pasar malam mahu pun restoran- restoran. Kesangsian terhadap kualiti kebersihan yang diamalkan oleh pengusaha- pengusaha sering ditimbulkan oleh pengguna dan juga Jabatan Kesihatan. Faktor kebersihan ini memaksa pengusaha-pengusaha mengeluarkan modal untuk menyewa kenderaan bagi mengangkut air ke premis-premis berkenaan untuk menjamin kenbersihan makanan yang disediakan.
Masalah kebersihan juga dibangkitkan oleh sekolah-sekolah dan asrama- asrama yang mempunyai murid dan penghuni yang ramai. Institusi-institusi ini tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk kegunaan seharian pelajar dan penghuninya. Tandas-tandas di institusi ini tidak dapat dicuci sebaiknya sehingga menimbulkan bau dan pencemaran yang tidak menyenangkan. Pihak berkuasa khuatir keadaan kebersihan yang tidak terkawal ini akan memudahkan penyakit- penyakit seperti taun merebak dikalangan pelajar dan penghuni asrama.
Dalam tempoh krisis air, air dibekalkan secara terhad dan pada waktu tertentu sahaja. Terdapat pengguna-pengguna di penghujung sistem dan tempat- tempat tinggi tidak menerima bekalan disebabkan oleh bekalan dan tekanan yang tidak mencukupi. Perkara-perkara ini tidak dapat dielakkan pada tempoh krisis bekalan air. Untuk pengguna-pengguna ini, air dibekalkan melalui lori-lori tangki air serta air terpaksa dikumpulkan ke dalam takungan seperti baldi atau pun tong-tong plastik. Takungan kemudiannya diangkut pula ke rumah oleh pengguna sendiri. Tugas berat ini menimbulkan masalah besar kepada pengguna dan bertambahlah rumit apabila pengguna-pengguna tinggal di rumah-rumah pangsa dan terpaksa menaiki tangga yang tinggi.
Manusia sangat memerlukan bekalan air bersih dan berkualiti untuk terus hidup seperti hidupan lain. Justeru, sekiranya krisis air ini berlaku, manusia adalah hidupan yang paling terjejas kerana segala hal dalam kehidupan manusia itu bergantung kepada air. Jika sumber ini terjejas dan berterusan, manusia akan ditimpa penyakit dan menjejaskan kesihatan masyarakat serta menjejaskan sistem ekonomi manusia itu sendiri kerana mereka tidak sihat, seterusnya menyebabkan manusia tidak akan berupaya untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Bekalan air yang tidak mencukupi boleh menjejaskan kesihatan manusia menjadi lemah dan tidak bertenaga. Selain itu, manusia boleh menghidapi pelbagai penyakit seperti deman, cirit-birit disebabkan minum air yang tidak bersih. Hal ini kerana manusia mengalami dehidrasi iaitu kekurangan air dalam badan, dan boleh menyebabkan berlakunya penyakit seperti taun kerana terpaksa meminum air yang tercemar.
Cadangan Penyelesaian
Antara penyelesaian yang boleh di ambil oleh pihak kerajaan untuk mengatasi masalah bekalan air bersih ini ialah dengan menggantikan paip lama yang sudah berusia kepada paip baru yang lebih besar dan berkualiti untuk mengelakkan daripada pecah. Oleh itu, sudah tiba masanya pihak Jabatan air terutamanya Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk menggantikan paip berkarat dengan paip yang baru kerana mereka merupakan perbadanan yang dipertnggungjawabkan untuk menguruskan bekalan air di negeri ini. Justeru itu, mutu perkhidmatan mereka perlulah dipertingkatkan supaya penduduk di sekitar Pokok Sena ini mendapat bekalan air yang bersih dan berkualiti. Keberkesanan dalam pengagihan dan penggunaan air juga perlu diperincikan supaya pembaziran air dapat dikurangkan pada tahap yang minimum seperti yang dilakukan oleh negara maju untuk menjamin mutu bekalan air kepada rakyatnya.
Selain itu, Kerajaan Negeri Kedah perlu mencari inisiatif lain untuk merawak air bersih seperti menggunakan teknologi Aqua Pintar (IA) bagi membantu mengurangkan maalah bekalan air yang berlaku di kawasan sekitar Pokok Sena ini. Menurut Exco Kerjaya, Bekalan Air dan Sumber Tenaga negeri kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, teknologi pintar yang mematuhi standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu dilihat sangat berkesan untuk merawat air bawah tanah, air sungai dan air tasik. Ulas beliau, teknologi yang diketengahkan oleh sebuah syarikat itu melaksanakan konsep hybrid dengan menggunakan 'Granular Active Carbon' dan 'Ion Exchange' untuk merawat air tersebut. Teknologi ini telah ditemui oleh anak Kedah sendiri dimana ia menggunakan karbon yang dihasilkan daripada tempurung dari Indonesia. Tempurung ini berkualiti dan dibakar dalam suhu tertentu sebelum digunakan untuk merawat air.Tambahnya, penggunaan teknologi itu dilihat mampu menjimatkan kos kerana tidak memerlukan pemasangan paip walaupun tempat sumber air itu berada di kawasan yang agak jauh di pedalaman selain dapat mengurangkan air tidak terhasil
Rujukan
Mohd Firdaus Abdullah and Arba'iyah Mohd Noor. 2020. Pembangunan bekalan air domestik di negeri Kedah, 1957–1992. Kajian Malaysia 38(1): 89–113.
Abdullah, Mohd & Mohd Noor, Arba'Iyah. (2018). ISU BEKALAN AIR DOMESTIK: ANTARA KEJAYAAN DAN KEKALAHAN PADA PRU14 DI NEGERI KEDAH. Jurnal PERADABAN.
Chan, Ngai Weng. (2013). Masalah Sumber dan bekalan Air serta Pengurusannya di Malaysia.
Abdul Rahman, Haliza. (2020). krisis bekalan air-Sinar harian.
Aduan Rakyat Kedah. (2015). "Gangguan Bekalan Air: Terdapat Gangguan Bekalan Air Hari Ini Di Kawasan Sekitar Alor Setar. Harap Maklum." Facebook, 16 Mei 2015. https://www.facebook.com/AduanRakyatKedah/posts/gangguan-bekalan-air-:-terdapat/1744879459072044
Ghazali, A. (2017). Berita Harian Online. Kedah Beri Air Percuma 20m Padu. https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2017/11/349701 /kedah-beri-air-percuma-20m-padu (akses 22 Jun 2018).
NAMA: MUHAMMAD ABBAS UQUDD BIN ZULKIFLI
NO MATRIK: D20182085930
KUMPULAN: A
No comments:
Post a Comment