Wednesday, June 15, 2022

Isu Pencemaran Sungai di Kampung Batu 8, Jalan Kubong, Limbang, Sarawak.

1.0       PENGENALAN

 

Sungai merupakan sumber alam yang indah untuk dipelihara agar generasi masa hadapan dapat menikmati keindahan sumber alam ini. Sungai mempunyai peranan penting untuk kehidupan manusia dalam membekalkan sumber air yang bersih bagi kegunaan harian manusia dan tidak dinafikan sungai merupakan nadi kehidupan manusia. Tahap kebergantungan manusia terhadap sungai sebagai sumber air adalah sangat tinggi kerana manusia memerlukan air untuk menjalankan aktiviti pertanian. Sungai juga penting untuk habitat hidupan akuatik dan sungai juga membantu dalam menstabilkan suhu di kawasan setempatnya. Hal ini dikatakan demikian kerana wujudnya proses penyejatan dan pemeluwapan yang membantu menyederhanakan suhu di kawasan sungai. Seterusnya, sungai juga digunakan sebagai medium pengangkutan di sesetengah kawasan yang terdapat di Sarawak, Malaysia. Contohnya seperti di kawasan pedalaman Medamit Limbang dan Bario Sarawak yang masih menggunakan sungai sebagai medium pengangkutan mereka untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

Namun isu pencemaran sungai semakin meningkat saban tahun dan perkara ini bukan isu yang asing lagi bagi manusia. Menurut Norshahida Akma Alias dan Wan Nor Azilawanie (2019), "Pencemaran sungai merupakan satu masalah yang memberi ancaman kepada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan dan banyak dikaitkan dengan kurangnya pengetahuan berkaitan isu pencemaran sungai". Banyak kajian berkaitan dengan pencemaran sungai yang dijalankan di Malaysia dan dapatan kajian mendapati isu ini masih sukar untuk ditangani oleh pihak berkuasa sekiranya semua pihak tidak memainkan peranan masing-masing dalam mengurangkan kadar pencemaran di sungai. Oleh itu, kajian ini dilakukan untuk memfokuskan lagi tahap pencemaran sungai di kawasan terpilih yang telah mengganggu keselesaan penduduk di kawasan tersebut.

 

2.0       KAWASAN KAJIAN

 

Bahagian Limbang merupakan salah sebuah daerah di negeri Sarawak. Daerah Limbang terletak di antara tanah besar Brunei dan Daerah Temburong. Daerah Limbang mempunyai keluasan 3978.10 kilometer persegi dan daerah ini mempunyai penduduk yang berbilang kaum, bangsa dan agama. Keunikan daerah Limbang yang berada di antara negara Brunei Darussalam menyebabkan penduduk Limbang perlu melintasi sempadan negara sekiranya hendak bergerak ke Miri, Lawas dan Sabah. Majoriti penduduk Limbang perlu mempunyai passport untuk pergi ke luar daerah Limbang kerana lokasinya berada di tengah-tengah antara negara Brunei Darussalam dan Temburong. Kawasan kajian bagi pencemaran sungai dijalankan di Kampung Batu 8 Jalan Kubong Limbang, Sarawak. Sungai ini ialah Sungai Berawan dan sungai ini juga berhubung dengan Sungai Limbang. Kampung Batu 8 mempunyai 3 buah rumah panjang yang terdiri daripada 229 orang penduduk. Kampung ini terletak 12 kilometer dari kawasan bandar Limbang. Terdapat kemudahan awam yang lengkap disediakan di kampung ini untuk penduduk misalnya, terdapat sebuah sekolah tadika dan sebuah sekolah rendah di kampung ini yang memudahkan penduduk kampung menghantar anak mereka bersekolah. Sumber utama pendapatan penduduk di kampung ini adalah berasaskan pertanian dan penternakan. 


Rajah 1: Peta Bahagian Limbang, Sarawak.

Sumber: Google Maps


3.0       PENCEMARAN SUNGAI

 

Pencemaran sungai merupakan masalah biasa yang berlaku di negara ini dan masalah ini belum dapat diatasi sehingga ke hari ini. Secara umumnya, terdapat banyak pencemaran yang berlaku di negara ini seperti pencemaran udara, pencemaran bau, pencemaran bunyi, pencemaran tanah dan lain-lain. Pencemaran sungai yang berlaku di Kampung Batu 8 menjadi semakin serius apabila wujudnya masalah pencemaran bau iaitu bau-bau busuk daripada bau timbunan sampah sarap, sisa kumbahan dan najis haiwan sehingga mengganggu keselesaan penduduk kampung yang tinggal berdekatan dengan sungai. Rajah di bawah menunjukkan isu pencemaran sungai yang berlaku di kampung ini. 

Rajah 2: Permukaan air sungai yang dipenuhi sampah sarap.

Sumber: Kajian Lapangan 2022


Rajah 3: Warna sungai yang keruh seperti lumpur.

Sumber: Kajian Lapangan 2022


Dengan melihat beberapa rajah yang diambil dari kawasan kajian menunjukkan tahap pencemaran sungai di Kampung Batu 8 adalah pada tahap yang sangat mencemaskan. Menurut Harlida Abdul Wahab dan Nurli Yaacob (2012), "Pencemaran sungai adalah apabila berlakunya terhadap air sama ada dari segi kualiti, rasa, bau dan lain-lain yang menjejaskan fungsi air sebagai sumber utama kehidupan". Permukaan air sungai yang dipenuhi sampah sarap telah menjejaskan keindahan sungai yang merupakan sumber alam semula jadi. Timbunan-timbunan sampah yang berada di permukaan sungai akan mendatangkan imej yang buruk kepada kampung ini.

          Selain itu, isu pencemaran sungai adalah keadaan warna air sungai yang menjadi sangat keruh. Air sungai pada dasarnya berwarna jernih bertukar warna menjadi keruh seperti lumpur. Perkara ini berpunca daripada aktiviti pembalakan yang dilakukan di ulu sungai kampung ini yang menyebabkan sungai tercemar kerana tanah tanih yang jatuh ke dalam sungai kesan daripada pembalakan. Seterusnya, isu pencemaran sungai adalah keadaan sungai yang sangat berbau sehingga menjejaskan keselesaan penduduk di kampung terutamanya apabila berlakunya banjir. Sisa kumbahan penduduk kampung disalurkan ke dalam sungai sehingga menyebabkan kehadiran bau yang tidak menyenangkan dan perkara ini juga telah menyebabkan keasidan dalam sungai meningkat. Perkara ini telah menjejaskan kualiti sungai di kampung ini. 


4.0       PUNCA PENCEMARAN SUNGAI

 

4.1       Sikap penduduk

 

Aktiviti manusia di permukaan bumi telah mendatangkan masalah kepada sumber semula jadi. Antara punca berlakunya pencemaran sungai di Kampung Batu 8 ini adalah sikap penduduk kampung. Sikap sesetengah penduduk yang tidak mengambil berat terhadap kebersihan sungai telah menyebabkan mereka mengambil langkah yang mudah dengan membuang sisa domestik ke dalam sungai. Tindakan penduduk yang membuang sisa domestik ke dalam sungai seperti sampah sarap dan sisa kumbahan menyebabkan kualiti sungai terjejas. Menurut Nizam Zain (2018), "punca utama pencemaran sungai berkait rapat dengan sikap masyarakat yang menganggap sungai sebagai tapak pembuangan sampah sarap".

Rajah 4: Pembuangan sampah ke dalam sungai.

Sumber: Kajian Lapangan 2022


 


Rajah 5: Pembuangan sampah di sekitar kawasan sungai.

Sumber: Kajian Lapangan 2022


4.2       Aktiviti pertanian

 

Selain itu, aktiviti pertanian sawah padi dan kelapa sawit juga merupakan punca berlakunya pencemaran sungai di kampung ini. Aktiviti pertanian merupakan pekerjaan utama bagi sesetengah penduduk di Kampung Batu 8. Penduduk kampung ini menjual hasil tani sebagai sumber pendapatan mereka. Penggunaan baja kimia dan racun serangga yang berlebihan dalam pertanian telah menjejaskan kualiti air sungai. Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaan baja kimia dan racun serangga telah meninggalkan bahan toksik yang tidak larut air di kawasan sekitar. Contohnya seperti plumbun dan zink dalam baja kimia tidak mudah pupus dan akan terkumpul dalam tanah sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan bahan asid di dalam tanah. Hal ini akan menyebabkan sumber air seperti air bawah tanah tercemar apabila bahan kimia tersebut dilarut resap. Apabila hujan, bahan tersebut dibawa air hujan ke dalam sungai sehingga menyebabkan air sungai tercemar.

Rajah 6: Pertanian sawah padi.

Sumber: Kajian Lapangan 2022


Rajah 7: Pertanian kelapa sawit.

Sumber: Kajian Lapangan 2022


4.3       Aktiviti penternakan

 

Pencemaran sungai juga berpunca daripada aktiviti penternakan. Penduduk kampung menternak itik, ayam, khinzir dan kerbau. Penyaluran najis haiwan ini ke dalam sungai menyebabkan air sungai di kawasan kampung berbau dan mengandungi bakteria E. Coli yang tinggi. Kualiti sungai yang terjejas ini akan mendatangkan masalah berlakunya pencemaran bau di kawasan kampung sehingga menjejaskan keselesaan penduduk terutamanya penduduk yang tinggal berhampiran dengan sungai.  

Rajah 8: Penternakan kerbau

Sumber: Kajian Lapangan 2022


4.4       Aktiviti pembalakan

 

Seterusnya, punca pencemaran sungai di Kampung Batu 8 adalah aktiviti pembalakan. Aktiviti pembalakan yang pesat dijalankan di kawasan ulu sungai kampung ini menyebabkan keadaan air sungai menjadi sangat keruh. Aktiviti pembalakan untuk mendapatkan kayu balak menyebabkan permukaan tanah terdedah. Permukaan tanah yang terdedah akan menyebabkan berlakunya air larian permukaan yang mendatangkan masalah kepada kejadian tanah runtuh. Tanah yang jatuh ke dalam sungai menyebabkan air bertukar warna menjadi keruh seperti warna lumpur.

 

5.0       KESAN PENCEMARAN SUNGAI

 

5.1       Menjejaskan keselesaan penduduk

 

Seperti yang kita sedia maklum, berlakunya pencemaran di sesuatu kawasan pasti akan mendatangkan kesan kepada hidupan yang tinggal di kawasan tersebut. Pencemaran sungai yang berlaku di Kampung Batu 8 telah menjejaskan keselesaan penduduk kampung. Keadaan sungai yang berbau dan penuh dengan sampah sarap telah menyebabkan penduduk kampung kurang selesa terutamanya penduduk yang tinggal berdekatan dengan sungai. Perkara ini menyebabkan penduduk terpaksa bertahan menghadap bau yang kurang menyenangkan. Masalah ini juga akan mendatangkan kemarahan penduduk kampung dengan menyalahkan satu sama lain sehingga menjejaskan hubungan sesama mereka. Dengan ini, jelaslah bahawa pencemaran sungai menjejaskan keselesaan penduduk sehingga mendatangkan emosi yang boleh menjejaskan kedamaian kampung ini.

 

5.2       Penularan penyakit

 

Selain itu, pencemaran sungai juga akan menyebabkan berlakunya penularan penyakit dalam kalangan penduduk di kampung ini. Penduduk akan menghidapi penyakit kulit apabila bersentuh dengan permukaan air sungai yang kotor terutamanya semasa banjir. Penyakit kulit seperti dermatitis kontak, kutu air, kurap dan folikulitis adalah masalah kesihatan yang akan dihadapi penduduk sekiranya mereka dijangkiti kuman yang terdapat dalam sungai yang tercemar. Selain itu, penduduk juga akan mendapat penyakit seperti keracunan makanan sekiranya mereka mencari ikan di sungai ini dan dijadikan sumber makanan mereka. Hal ini demikian kerana sungai yang tercemar menyebabkan hidupan akuatik keracunan. Oleh itu, jika penduduk makan ikan yang tercemar, kesihatan mereka juga akan terjejas.

 

5.3       Bekalan protein terjejas

 

Pencemaran sungai juga akan menyebabkan penduduk kampung mengalami kekurangan bekalan protein seperti ikan, udang dan lain-lain. Hal ini kerana banyak sumber protein laut terjejas akibat pencemaran seperti pembuangan sisa domestik, penyaluran najis haiwan, penggunaan baja kimia dan racun serangga yang disalurkan ke dalam sungai telah menyebabkan ikan mati dan tidak boleh dimakan. Selain itu, keadaan sungai yang kotor dan berasid akan membawa kesan maut dan kehilangan habitat kepada hidupan abiotik dan biotik. Sisa domestik dan najis haiwan yang disalurkan ke dalam sungai menyebabkan keasidan dalam sungai meningkat sehingga menjejaskan kehidupan akuatik. Perkara ini akan mendatangkan masalah kepada pengurangan ikan di kawasan kampung ini akibat habitatnya musnah disebabkan sungai yang tercemar.

 

6.0       CADANGAN

 

6.1       Penguatkuasaan undang-undang

 

Antara cadangan bagi mengatasi masalah pencemaran sungai yang berlaku di Kampung Batu 8 ini ialah melalui penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan Bandar Limbang. Tindakan undang-undang dengan mengenakan denda atau hukuman kepada pesalah yang mencemarkan sungai perlulah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Hal ini supaya penduduk tidak memandang remeh terhadap kebersihan sungai dan tidak melakukan kesalahan dengan membuang sampah ke dalam sungai. Dengan ini, masalah pembuangan sampah ke dalam sungai akan dapat dikurangkan.

 

6.2       Kempen Cintai Sungai Kita

 

Selain itu, pelaksanaan kempen cintai sungai kita perlulah dilaksanakan di kawasan kampung. Melalui kempen ini, penduduk akan dapat memupuk minat mereka ke arah mencintai sungai. Pendedahan ilmu baharu berkaitan dengan kepentingan sungai akan memberi kesedaran kepada penduduk dan membuka pemikiran mereka dalam mengetahui pentingnya sungai sebagai sumber alam semula jadi yang perlu dijaga.

 

6.3       Penyediaan tong sampah

 

Seterusnya, cadangan bagi mengatasi masalah pencemaran sungai ini adalah dengan penyediaan tong sampah bagi setiap rumah yang dilaksanakan oleh Majlis Daerah Limbang (MDL). MDL perlulah menyediakan tong sampah yang besar dan dapat menampung sisa domestik penduduk kampung di setiap rumah panjang. Selain itu, pengambilan sampah oleh lori sampah perlulah lebih kerap iaitu 4 kali seminggu supaya sampah yang dibuang ke dalam tong sampah tidak dicemarkan oleh haiwan perosak.

 

6.4       Aktiviti gotong-royong

 

Cadangan bagi mengatasi masalah ini adalah dengan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sungai yang dilaksanakan oleh Ahli Jawatankuasa Kampung Batu 8. Aktiviti gotong-royong membersihkan sungai akan dapat menyemai sikap cintai sungai kita di kalangan penduduk kampung. Melalui aktiviti ini, jumlah sampah yang terdapat di kawasan sungai akan dapat dikurangkan dan masalah pencemaran sungai di kampung ini juga dapat diatasi apabila wujudnya kesedaran dan kerjasama penduduk kampung dalam menjaga kebersihan dan keindahan sungai kampung ini.

 

7.0       KESIMPULAN

 

Masalah pencemaran yang dihadapi di Kampung Batu 8 ini datangnya dari perbuatan penduduk kampung ini sendiri. Penduduk kampung berperanan penting dalam mencorakkan persekitaran yang berada di sekeliling mereka. Pencemaran sungai bukan isu baru untuk diperdebatkan tetapi sikap dan tabiat penduduk kampung harus diberi perhatian serius. Contohnya, sikap penduduk yang tidak bertanggungjawab menjaga kebersihan sungai menyebabkan mereka sewenang-wenangnya mencemarkan sungai. Pengetahuan yang cetek terhadap penjagaan sungai menyebabkan pencemaran sungai di kampung ini pada tahap yang mencemaskan. Oleh itu, kesedaran penduduk dalam mengurangkan dan mengatasi pencemaran sungai serta menyayangi persekitaran sungai yang bersih amatlah penting dan harus disemai dalam jiwa setiap penduduk agar masalah pencemaran sungai dapat diatasi demi kepentingan sejagat. Keindahan sungai perlulah dikekalkan agar generasi muda masa akan datang dapat menikmati sungai yang bersih daripada sebarang pencemaran. Komitmen yang tinggi dan kerjasama pihak berkuasa tempatan dengan penduduk kampung dalam membendung masalah pencemaran ini akan dapat memberi kesan yang positif dalam mengatasi pencemaran sungai yang berlaku di kampung ini.

 

RUJUKAN

Hamidi Ismail, Tuan Pah Rokiah Syed Hussain & Raman Mariyappan (2011). Sikap Komuniti Setinggan Tebingan Sungai: Pencemaran Alam Sekitar dan Pengurusannya. Perspektif Jurnal Sains Sosial dan Kemanusiaan, 3(1), 1-12. Diperoleh daripada http://ojs.upsi.edu.my/index.php/PERS/article/view/1587

Harlida Abdul Wahab & Nurli Yaacob (2012). Pencemaran Sungai: Analisis Peruntukan Undang-Undang di Bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Jurnal Undang-undang Malaysia, 24(1), 77-93. Diperoleh daripada http://jurnal.dbp.my/index.php/Kanun/article/view/8012

Nik Nik Fadlah (2020). Kulit dan Perawatan Tubuh. Good Doctor. Diperoleh daripada https://www.gooddoctor.co.id/hidup-sehat/kulit/awas-4-penyakit-kulit-ini-kerap-muncul-akibat-banjir/

Nizam Zain (2018). Sungai Kelantan paling Tercemar Kerana pembalakan. Malaysia Gazette. Diperoleh daripada https://malaysiagazette.com/2018/10/14/sungai-kelantan-paling-tercemar-kerana-pembalakan/

Norshahida Akma Alias dan Wan Nor Azilawanie (2019). Analisis pengetahuan, sikap dan tingkah laku komuniti tebing sungai Terengganu, Malaysia. Asian People Journal (APJ), 2(2), 105-117. Diperoleh daripada https://journal.unisza.edu.my/apj/index.php/apj/article/view/132

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...