Thursday, June 16, 2022

MASALAH PENCEMARAN AIR DI TANAH TINGGI LOJING, KELANTAN

MASALAH PENCEMARAN AIR DI TANAH TINGGI LOJING, KELANTAN

 

PENGENALAN 

 

Pencemaran air merupakan masalah utama alam sekitar yang dihadapi oleh masyarakat di Malaysia. Hal ini kerana, bumi yang didiami oleh penduduk meliputi 70% air. Manakala, pencemaran air dapat didefinisikan sebagai pencemaran aliran sungai, tasik, lautan dan sumber lain yang rosak dari segi kualiti air dan tidak boleh diminum oleh manusia. Pencemaran air sungai boleh berlaku disebabkan oleh aktiviti manusia itu sendiri, antaranya ialah aktiviti pembangunan tanah, ini dapat dibuktikan apabila Wan Adi Yusoff, Mokhtar Jaafar, Mohd Khairul Amri Kamarudin dan Mohd Ekhwan Toriman (2015) menyatakan bahawa aktiviti pembangunan tanah di kawasan Tanah Tinggi Lojing Gua Musang yang dimajukan untuk aktiviti pertanian komersial telah mengakibatkan perubahan terhadap beberapa parameter kualiti air dan kesihatan lembangan sungai sungai di kawasan tersebut.

 

RINGKASAN KES

 

Sungai Kelantan terkenal dengan aliran air yang jernih tapi kini hanya tinggal kenangan apabila warna air sungai kini bertukar menjadi keruh. Hal ini disebabkan oleh kerakusan manusia dari aktiviti seperti kegiatan pembalakan yang dikatakan tidak terkawal sama ada secara haram atau sah. Peristiwa ini bermula sejak 20 tahun lalu, perkara ini telah memberi kesan buruk kepada kawasan tadahan hujan di hutan yang terletak di Hulu Kelantan di mana ia telah musnah akibat daripada kerakusan manusia, manakala bukit bakau menjadi gondol dan terdedah pada cuaca panas dan hujan serta penggondolan kawasan hutan bagi tujuan pertanian seperti di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang (Berita Harian, 2015). Lebih teruk, setiap kali musim hujan, air yang mengalir dari kawasan tanah tinggi itu akan membawa bersama lumpur ke aliran anak sungai, yang memasuki ke sungai utama seperti Sungai Lebir dan Nenggiri sehingga ke Sungai Kelantan dan menyebabkan air  menjadi kuning


                                                                               


Rajah 1: Keadaan kawasan sungai yang terjejas akibat kegiatan pembalakan bagi tujuan pertanian di kawasan hutan di Gua Musang

 

Banjir besar yang yang berlaku pada tahun sebelum ini dikenali juga sebagai bah kuning. Air yang kekuningan berlaku disebabkan oleh kandungan bahan kimia yang datang daripada aktiviti manusia seperti penggunaan racun berjadual dan baja kimia yang berpunca daripada kawasan pertanian yang dijalankan di Tanah Tinggi Lojing, di mana ia dikenali sebagai lembah tanaman teh. Selain itu, aktiviti penggondolan jelas dilihat berlaku di Lebuh Raya Kuala Krai-Gua Musang, terutama sekali di Kampung Perasu dan Kampung Sungai Relai. Terdapat penduduk yang tinggal di kawasan tersebut, terutama orang asli. Sungai merupakan sumber utama makanan mereka untuk mendapatkan ikan tetapi disebabkan oleh aktiviti manusia ia telah memberi beban kepada mereka di mana ikan di kawasan sungai akan pupus disebabkan oleh aktiviti tersebut. 

 


                                                                     

Rajah 2: Keadaan air Sungai Pos Hendrop yang berwarna seakan-akan teh susu kesan daripada aktiviti pembalakan yang tidak dirancang di Lojing, Gua Musang

 

Sungai di atas merupakan sungai yang bersih sekitar 20 tahun yang lalu, tetapi disebabkan oleh aktiviti penggondolan tanah yang dilaksanakan oleh manusia bagi penanaman getah dan sawit telah mengakibatkan sungai tersebut menjadi keruh. Dalam pada itu, ia akan memberi kesan kepada kehidupan di sungai. Di mana, ikan yang menjadi sumber makanan penduduk sukar didapati kerana air sungai yang tercemar telah mengakibatkan kematian banyak ikan. 

 

PUNCA-PUNCA 

 

Antara Faktor utama yang mempengaruhi status kualiti air di sungai Kelantan adalah disebabkan oleh aktiviti pembuangan sampah secara berleluasa dalam kalangan komuniti setinggan yang tinggal berhampiran sungai Galas. Penduduk setinggan yang tinggal berdekatan dengan sungai Galas membuang sampah, sisa makanan berupa pepejal dan cecair ke dalam sungai. Aktiviti ini memberi kesan buruk kepada penduduk setempat dan penduduk umum. Masalah seperti penyakit berjangkit dan kekurangan sumber minuman mula berlaku akibat dari perbuatan tersebut. Masalah lain yang berkait dengan ekosistem sungai adalah berlakunya banjir kilat, hakisan tebing, apungan sisa pepejal dan kadar pepejal terlarut yang tinggi dalam air yang mengganggu hidupan air serta masyarakat.

 

Faktor seterusnya ialah aktiviti perladangan kelapa sawit. Sepanjang sungai Nenggiri terdapat banyak pokok kelapa sawit. Aktiviti perladangan seperti ini menyebabkan pencemaran sungai berlaku kerana pembuangan hampas kelapa sawit daripada kilang-kilang kelapa sawit. Aktiviti ini telah memberi ancaman kepada ekosistem hidupan laut. Sungai Nenggiri yang terletak di Kelantan merupakan tempat pembiakan ikan kelah. Kesannya, ekosistem laut seperti ikan kelah juga terancam dan mendorong kepada kepupusan habitat. Sungai Nenggiri mengalir ke sungai Kelantan serta memberi kesan kepada air sungai di Kelantan.

 

Faktor seterusnya ialah aktiviti pembalakan. Gua Musang merupakan daerah yang kaya dengan kayu balak. Air dari sungai Nenggiri mengalir dan berkumpul di sungai Kelantan. Aktiviti penebangan kayu balak telah memberi kesan kepada air sungai. Hal ini demikian kerana, apabila proses penebangan berlaku akar daripada pokok tidak lagi mencengkam tanah. Tanah menjadi tidak stabil dan menyebabkan berlakunya tanah runtuh. Kejadian tanah runtuh menyebabkan sungai menjadi keruh dan air sungai menjadi cetek. Kesannya, status kualiti air akan terjejas. Air sungai yang mengalami kekeruhan melampau akan mendorong kepada kekurangan oksigen terlarut. Proses fotosintesis yang dijalankan oleh tumbuhan akuatik juga tidak berlaku. Jika kekurangan oksigen terlarut berlaku secara berterusan sungai akan berbau busuk. Ia berlaku disebabkan oleh pelepasan gas hidrogen sulfida dari dasar sungai. Kesimpulannya, semua pencemaran yang dilakukan pada Sungai Galas dan Sungai Nenggiri akan dibawa ke Sungai Kelantan.

 

KESAN-KESAN

 

Pencemaran sungai telah memberi kesan terhadap bekalan sumber air kepada penduduk sekitar khususnya masyarakat asli yang tinggal berhampiran dengan tebing sungai. Contohnya dari segi sumber makanan, kebiasaannya penduduk di Kawasan berhampiran sungai akan menangkap ikan di sungai untuk dijadikan sumber makanan mereka, tetapi disebabkan oleh aktiviti manusia yang telah menyebabkan kualiti air merosot sudah menjadi kesukaran bagi penduduk untuk menangkap ikan. Oleh itu,mereka terpaksa pergi ke bandar untuk mendapatkan ikan. Selain itu juga kesan daripada aktiviti manusia seperti penggondolan tanah bagi penanaman getah dan kelapa sawit, ia juga telah memberi kesan kepada kekurangan sumber makanan seperti hidupan darat seperti lembu, kambing dan sebagainya.

 

Dari segi penyakit pula, air yang keruh mengandungi bahan kimia yang dibawa oleh perindustrian. Penduduk di Kawasan itu menjadikan air sungai sebagai sumber minuman mereka. Kesannya, penduduk yang meminum air itu telah mendapat penyakit serta menyebabkan berlakunya kematian dalam kalangan penduduk setempat. 

 

 

CADANGAN PENYELESAIAN

 

Matlamat pembangunan lestari yang ke-6 ialah tumpuan utama negara kepada matlamat air bersih. Akses air dan sanitasi adalah hak asasi manusia dan merupakan cabaran pembangunan lestari yang penting. Cabaran ini hanya akan bertambah buruk dan kesannya terhadap manusia hanya akan meningkat ketika permintaan untuk air bersih (pertanian, rumah tangga, penjanaan tenaga, penggunaan industri, ekosistem) diperlukan.Ia akan bertambah buruk jika kesan perubahan iklim yang memberi tekanan lebih pada kualiti dan ketersediaan air. Keadaan ini akan menimbulkan risiko yang semakin meningkat bagi perniagaan, kerajaan, masyarakat dan alam sekitar.

Antara langkah pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air berdasarkan kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) yang ke-6 ialah memupuk budaya berjimat cermat dalam penggunaan air dengan cara mengadakan kempen bagi menyedarkan penduduk tentang penggunaan air secara berhemah dan ianya bertujuan untuk mengelakkan berlakunya pembaziran. Kempen ini diadakan bagi memberi pemahaman kepada penduduk dengan lebih berkesan supaya tiada lagi pembaziran dalam penduduk tempatan.

 

Seterusnya ialah mengurangkan penerokaan hutan yang merupakan kawasan tadahan air. Kawasan tadahan air ialah kawasan air yang ditampung secara semula jadi melalui bentuk muka bumi. Air daripada kawasan ini akan mengalir ke sungai dan laut. Kawasan tadahan air menyediakan bekalan air mentah, habitat flora dan fauna dan industri perikanan. Dengan mengurangkan penerokaan hutan kita dapat membekalkan air kepada penduduk selari dengan pertambahan bilangan penduduk. Kawasan tadahan air perlu dilindungi agar generasi akan datang dapat menikmati bekalan air berterusan. Antara langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan penerokaan hutan ialah melaporkan kegiatan yang tidak sepatutnya berlaku seperti pembalakan haram, pencemaran sungai dan sebagainya.

 

Langkah seterusnya ialah tidak membuang sampah sarap ke dalam longkang, sungai, tasik dan laut. Menjadi kebiasaan masyarakat setempat untuk membuang sampah ke dalam sungai. Mereka berpendapat sampah yang dibuang kedalam sungai hilang di bawa arus, tetapi mereka silap kerana tidak memikirkan kemana sampah itu akan pergi. Ia akan memberi kesan kepada hidupan di laut dan ia juga akan memberi kesan kepada kualiti air. Oleh itu, bagi mengelakkan pembuangan sampah sarap ke dalam longkang , tasik dan laut ialah dengan cara mengenakan tindakan kepada penduduk yang berbuat demikian. Selain itu juga, mengadakan kempen seperti 'cintailah sungai anda' ia bertujuan memberi kesedaran kepada penduduk tempatan betapa pentingnya sumber air.


Langkah terakhir ialah mengawal pembuangan sisa kilang dan sisa pertanian ke dalam sungai. Pembuangan sisa kilang dan pertanian memberi kesan buruk kepada sungai. Pihak bertanggungjawab perlu mengawal aktiviti tersebut dengan cara mengenakan kompaun yang tinggi kepada pesalah. Selain itu juga, mengambil tindakan yang sewajarnya jika mereka mengulangi perkara yang sama.


Kesimpulannya, air merupakan sumber penting dalam kehidupan seharian. Oleh itu, kita perlulah menghargai sumber air serta mengamalkan sikap jimat cermat dalam menggunakan sumber air. Semoga bekalan air di negara kita tidak terputus dan sentiasa mencukupi untuk dinikmati oleh generasi yang akan datang. Semua pihak juga perlu berganding bahu dalam memastikan bekalan sumber air tidak terputus.


RUJUKAN

 

Aimuni Tuan Lah. (2022). Jalan Gua Musang – Lojing Ditutup Akibat Sungai Melimpah. Utusan Malaysia. Diperoleh daripada https://www.utusan.com.my/nasional/2022/06/jalan-gua-musang-lojing-ditutup-akibat-sungai-melimpah/

Azman Mahmood & Ramli Ibrahim. (2015). Penggondolan Hutan Jejas Sungai Kelantan. Berita Harian. Diperoleh daripada https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/10/89545/penggondolan-hutan-jejas-sungai-kelantan

Institut Alam Sekitar dan Pembangunan. (2016). Sustainable Development Goals. Salam Lestari. Diperoleh daripada http://www.ukm.my/ppl/salamlestari36.pdf

The Star. (2016). Puncak Bukit Lojing Gondol. Mstar Urban Versatil. Diperoleh daripada https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2016/10/01/tanah-tinggi-lojing

Rahiza. (2020). Pencemaran Air. Universiti Putra Malaysia. Diperoleh daripada https://k10.upm.edu.my/artikel/pencemaran_air-59725


FATIN NAZIFAH BINTI MOHD YUSOFF

D20191088259

KUMPULAN KULIAH: A

 

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...