Wednesday, June 15, 2022

KUALITI HIDUP PENDUDUK DI KUCHING, SARAWAK TERJEJAS AKIBAT ISU KEMISKINAN BANDAR

PENGENALAN

Bandar-bandar merupakan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi untuk kebanyakan negara di dunia. "Bandar wujud kerana ada proses pembandaran sama ada terancang atau semula jadi akibat tindakan manusia" (Haryati Shafi, 2020, pg. 1). Oleh kerana daya tarikan bandar yang sangat menggoda dengan penyediaan pelbagai kemudahan yang lengkap, teknologi yang canggih, penawaran peluang pekerjaan yang banyak, perkhidmatan hiburan, dan budaya menarik menyebabkan ramai penduduk memilih untuk menetap di bandar. Namun begitu, tidak semua yang dapat menikmati kualiti hidup yang tinggi seperti yang dijanjikan oleh bandar. Maka, wujudnya golongan miskin di bandar. Kemiskinan di negara bukanlah suatu masalah baharu dan isu ini mampu memberi impak kepada pembangunan negara. Menurut Ahmad dan Amartya (dipetik dalam Nor Azrul Mohd Zin & Noordeyana Tambi, 2018), "kemiskinan merujuk kepada suatu keadaan kekurangan yang dihadapi oleh manusia yang mana ia menyekat peluang untuk kehidupan yang lebih selesa" (ms. 119). "Semua pihak perlu memandang isu kemiskinan sebagai suatu isu yang boleh dilihat dari pelbagai aspek dan perspektif sama ada dari sudut perumahan, keperluan pendidikan, kemiskinan bandar dan sebagainya" (Zahanim Ahmad, 2020, ms. 634).

Menurut Nor Aini dan Chamhuri (dipetik dalam Mohd Fadzil Abdul Rashid & Ishak Ab. Ghani, 2007), "kemiskinan bandar berlaku apabila sektor bandar tidak mampu menyediakan peluang-peluang pekerjaan dan wujud persaingan untuk mendapatkan pekerjaan bergaji lumayan, tempat tinggal yang dimampui [sic] dan kemudahan-kemudahan asas yang diperlukan oleh golongan tertentu di bandar yang dikategorikan golongan lemah dan miskin" (ms. 4). Menurut Dewan Negeri Selangor (2016), "kemiskinan bandar dicorakkan oleh pelbagai kekurangan yang ketara dari pelbagai aspek/dimensi. Secara umumnya, kemiskinan bandar boleh didefinisikan sebagai individu atau sesebuah isi rumah yang miskin dari segi kewangan serta pelbagai faktor lain merangkumi aspek kesihatan, pendidikan dan taraf kehidupan" (pg. 1). Berdasarkan penyataan ini, kemiskinan bandar tidak sekadar diukur dari aspek kemiskinan kewangan penduduk, sebaliknya juga merangkumi aspek sosial, budaya, persekitaran (fizikal dan budaya) dan sebagainya bagi menikmati kehidupan yang boleh diterima oleh masyarakat di bandar.

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada berlakunya isu kemiskinan bandar. Antaranya ialah faktor migrasi yang menyebabkan pertumbuhan penduduk meningkat, kos sara hidup tinggi, penyediaan perumahan di bandar dan sebagainya. Isu kemiskinan bandar ini menyebabkan banyak masalah lain yang timbul seperti masalah kawasan setinggan, kesesakan lalu lintas, isu pembuangan sisa buangan dan sebagainya. Kesemua kesan yang timbul akibat kemiskinan bandar akan menyebabkan kualiti hidup penduduk bandar terjejas. Kualiti hidup manusia dapat dibahagikan beberapa aspek, iaitu kesejahteraan fizikal dan emosi, hak, hubungan sosial dan sebagainya. Menurut Ross dan Willigen (dipetik dalam Sarin Johani et al., 2018), "kualiti hidup merupakan satu darjah kesejahteraan yang dirasai atau dinikmati oleh individu atau sekumpulan manusia" (ms. 82). Penyataan ini juga disokong dengan penerangan dari Diener et al. (dipetik dalam Sarin Johari et al., 2018) menyatakan bahawa "penilaian kualiti hidup ini merangkumi tindak balas emosi seseorang terhadap kejadian dalam kehidupan, perubahan, kepuasan hidup, serta kepuasan hubungan kerja dan peribadi" (ms. 82). Melalui penulisan ini, akan diterangkan lebih perinci ringkasan kajian, punca-punca berlakunya kemiskinan bandar, masalah atau kesan yang timbul, dan cadangan penyelesaian isu kemiskinan bandar.

 

RINGKASAN KAJIAN

Lokasi kajian yang dipilih ialah bandaraya Kuching, Sarawak. Kuching merupakan ibu negeri dan bandaraya terbesar di Sarawak. Bandar Kuching ibarat mempunyai magnet bagi menarik penduduk di sekitarnya untuk berhijrah ke bandar tersebut. Bandar Kuching seperti bandar maju yang lain turut menawarkan peluang pekerjaan yang banyak, penyediaan kemudahan yang lengkap, budaya yang menarik dan sebagainya. Oleh hal demikian, bandar Kuching dibanjiri oleh penduduk dari daerah lain dan seterusnya fenomena yang tidak dapat dielakkan, iaitu wujudnya isu kemiskinan bandar. Kemiskinan bandar ini berlaku kerana adanya golongan miskin di bandar. Faktor utama yang menyumbang kepada fenomena isu kemiskinan bandar ialah migrasi. Kadar migrasi yang tinggi akan menyebabkan pertumbuhan penduduk di bandar Kuching meningkat. Daripada situasi ini, timbul pelbagai masalah yang dapat menjejaskan kualiti hidup penduduk di Kuching.

 

PUNCA KEMISKINAN BANDAR

Salah satu punca berlakunya fenomena kemiskinan bandar ialah migrasi. Dari sudut pandangan positif, migrasi sebenarnya merupakan salah satu faktor utama yang menyumbang kepada perkembangan sesebuah bandar, iaitu proses urbanisasi. Namun demikian, migrasi yang tidak terkawal akan menyebabkan pertumbuhan penduduk di sebuah bandar meningkat secara mendadak. Pengembangan yang mengejutkan ini telah mengatasi infrastruktur bandar yang sedia ada. Menurut Kamus Online DBP (t.t), migrasi didefinisikan sebagai "perpindahan penduduk dari sebuah negara atau tempat ke negara atau tempat lain". Ramai penduduk luar bandar datang berhijrah ke bandar raya Kuching dengan harapan ingin meningkatkan kualiti hidup mereka. Seperti yang sedia maklum, bandar besar seperti Kuching menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan, utiliti yang lengkap, sektor perubatan yang moden, sektor pendidikan yang berkualiti, pelbagai jenis hiburan dan budaya yang menarik. Pendek kata, bandar besar menjanjikan kehidupan yang lebih berkualiti kepada penduduknya. Walau bagaimanapun, pertumbuhan penduduk yang bertambah secara mendadak akibat proses migrasi akan mewujudkan golongan miskin di bandar. Apabila kerajaan gagal menyediakan kemudahan yang mencukupi dan peluang pekerjaan bagi memenuhi keperluan serta permintaan penduduk, maka penduduk akan mengalami masalah kemiskinan. Contohnya, dari aspek kekurangan kewangan kerana menganggur dan tiada tempat tinggal yang selesa dek tidak mampu memiliki rumah di bandar.

            Selain itu, kos sara hidup di bandar Kuching adalah tinggi dan ini juga menyebabkan wujudnya fenomena kemiskinan bandar. Taraf hidup di bandar lebih tinggi daripada luar bandar. Secara tidak langsung, sejumlah wang perbelanjaan besar diperlukan untuk menampung kelangsungan hidup seharian. Banyak wang akan dihabiskan untuk membayar sewa bulanan rumah, pengangkutan, makanan, minuman, perubatan, kos pengajian (pendidikan), bil air dan elektrik. Kos sara hidup di bandar akan terasa sangat beban terutamanya bagi golongan berpendapat minimum dan sederhana. Penyataan ini disokong oleh Khalid (2018), iaitu "walaupun menerima gaji melebihi pendapatan garis kemiskinan (PGK) negara dan pendapatan minimum, golongan ini masih lagi bergelut meneruskan kelangsungan hidup di bandar" (pg. 2). Keadaan menjadi tambah teruk apabila pertumbuhan penduduk bertambah, maka permintaan terhadap barang seharian meningkat. Situasi ini secara tidak langsung menyebabkan harga barang melambung tinggi. Oleh hal demikian, wujudnya masalah kesempitan kewangan atau kemiskinan yang perlu dihadapi oleh golongan miskin di bandar.

            Di samping itu, penyediaan rumah kos rendah yang terhad juga merupakan punca wujudnya fenomena kemiskinan bandar di Kuching. Menurut Nazarali Saeril (2021) dalam laporan berita Harian Metro menyatakan bahawa "di Malaysia, berasaskan kajian Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), ia merumuskan, lebih daripada dua pertiga rakyat Malaysia kini tinggal di bandar" (pg. 22). Peningkatan jumlah penduduk di bandar sudah semestinya mendorong kepada peningkatan permintaan perumahan. Tatkala itu, harga rumah akan semakin meningkat. Jumlah pembinaan rumah kos rendah yang telah disediakan oleh kerajaan pula tidak mampu menampung jumlah penduduk yang membanjiri bandar. Oleh kerana kebanyakan rumah di bandar terlalu mahal untuk dimiliki terutamanya golongan pendapat rendah, mereka memilih untuk membina perumahan sendiri di sesuatu lokasi tanpa persetujuan pemilik tanah tersebut. Inilah yang dinamakan sebagai kawasan setinggan. Kawasan yang didiami itu tidak dilengkapi dengan utiliti yang sepatutnya sehingga menyebabkan ketidakselesaan.

 

MASALAH ATAU KESAN YANG TIMBUL AKIBAT KEMISKINAN BANDAR

Isu kemiskinan bandar telah menimbulkan masalah seperti wujudnya kawasan setinggan. Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (2013), "setinggan didefinasikan [sic] sebagai aktiviti penerokaan/ pendudukan/ pembinaan bangunan di atas tanah hak kepunyaan pihak lain (sama ada tanah kerajaan, tanah rezab [sic] kerajaan, tanah agensi kerajaan, tanah komuniti, tanah persendirian dll) secara tidak sah dari segi undang-undang" (pg. 3). Kewujudan setinggan dikatakan mencemarkan persekitaran kawasan perbandaran kerana petempatan setinggan sering dikaitkan dengan kemiskinan, ketidakselesaan, kesesakan, kekotoran dan kekurangan kemudahan asas. Seperti yang diungkapkan oleh salah seorang penduduk setinggan di Kubur Chawan, Kuching, "walaupun kawasan penempatan ini penuh dengan kedaifan tanpa bekalan elektrik 24 jam namun ini sahaja tempat yang ada untuk kami tinggal" (Utusan Borneo Online, 2019, pg. 3). Kewujudan kawasan setinggan ini akan membantutkan proses pembandaran dan seterusnya menjejaskan pembangunan ekonomi sesebuah bandar itu. Bukan itu sahaja, kualiti hidup penduduk setinggan terjejas dan sangat tidak selesa. Ketiadaan kemudahan asas sudah menyulitkan kelangsungan hidup, ditambah lagi dengan isu lain seperti pencemaran di kawasan setinggan kerana ketiadaan sistem pelupusan sampah yang sistematik menyebabkan sampah sarap dibuang merata-rata tempat. 

 

 

Rajah 1: Penduduk setinggan di Kubur Chawan, Kuching

Sumber: Utusan Borneo Online

            Seterusnya, masalah atau kesan yang dihadapi oleh penduduk di bandar Kuching akibat isu kemiskinan bandar ialah kesesakan lalu lintas. Apabila pertumbuhan penduduk di bandar bertambah secara mendadak akibat migrasi, sudah semestinya jumlah penggunaan kenderaan bermotor di jalan raya turut meningkat. Hal ini demikian kerana pengangkutan amatlah penting untuk memudahkan pergerakan dari satu destinasi ke destinasi lain terutamanya ke tempat pekerjaan mahupun menghantar anak ke sekolah. Menurut Marlinda Mardzuki (2018), "Kota Samarahan kini menghadapi masalah kesesakan lalu lintas yang teruk terutama pada waktu puncak ekoran pertumbuhan pembangunan yang pesat di kawasan itu" (pg. 1). Selain itu, Mersita (2022) turut menyatakan bahawa:

Kesesakan lalu lintas melampau di bandar utama sekitar Sarawak seperti Kuching dan Samarahan menjadi topik perbualan hangat lewat ini, antaranya disebabkan oleh sistem jaringan jalan raya yang mengambil masa terlalu lama untuk disiapkan dan juga pertambahan jumlah kenderaan sejak 10 tahun lalu yang tidak sejajar dengan pembangunan jalan raya di negeri terbesar Malaysia itu. (pg.1).

Kesesakan lalu lintas akan menyebabkan penduduk di bandar tersebut tertekan dan letih kerana terpaksa menghabiskan berjam-jam di jalan raya. Kesesakan lalu lintas yang teruk turut menyumbang kepada pencemaran udara kerana pelepasan karbon dioksida dan monoksida yang banyak ke ruang udara. Situasi ini telah menjejaskan kualiti hidup penduduk di bandar Kuching.

 

 

 

 

Rajah 2: Kesesakan lalu lintas di Kuching dan Samarahan

Sumber: Wap Car

 

            Selain itu, kemiskinan bandar juga menimbulkan isu pembuangan sisa sampah di bandar Kuching. Lantaran jumlah penduduk di bandar semakin bertambah, secara tidak langsung penghasilan sisa domestik dan pepejal dalam sehari semakin bertambah. Menurut Melvin Joni (2019), "sisa plastik menjadi kebimbangan Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd apabila kadar pembuangannya di tapak pelupusan sampah di sini iaitu Taman Pengurusan Sampah Bersepadu Kuching (KIWMP) semakin bertambah saban tahun" (pg. 1). Selain sisa plastik, terdapat juga sisa buangan lain seperti sisa makanan, kertas, besi buruk, botol kaca dan sebagainya. Jika sisa buangan ini tidak diuruskan dengan segera dan sistematik, pelbagai masalah lain akan timbul terutamanya faktor kebersihan. Situasi bertambah teruk apabila penduduk bandar yang tidak bertanggungjawab membuang sampah sarap merata-rata tempat. Sikap acuh tak acuh masyarakat menyebabkan pemandangan alam sekitar menjadi kotor dan penghasilan bau yang kurang menyenangkan daripada timbunan sampah. Keadaan ini bukan saja menjejaskan imej bandar tersebut malah menjejaskan kualiti hidup penduduk di bandar tersebut.

 

 

Rajah 3: Kawasan tapak pelupusan sampah di Mambong, Kuching.

Sumber: Berita Harian Online

 

 

CADANGAN PENYELESAIAN ISU KEMISKINAN BANDAR

Salah satu cadangan penyelesaian isu kemiskinan bandar di Kuching ialah dengan memperbanyakkan pembinaan rumah kos rendah. Lazimnya syarikat-syarikat perumahan kerajaan berlumba-lumba dengan pihak swasta dalam mendirikan rumah kos tinggi untuk mengaut lebih banyak keuntungan. Oleh itu, pihak kerajaan perlu memperuntukkan sejumlah wang yang besar kepada syarikat-syarikat perumahan kerajaan untuk membina rumah kos rendah dan rumah kos sederhana. Melalui langkah ini, golongan miskin di bandar mampu memiliki sebuah rumah sebagai tempat perlindungan yang lengkap dengan utiliti. Selain itu, pihak kerajaan juga boleh menggunakan cara sekatan atas pembelian rumah kos rendah dan rumah kos sederhana. Setiap keluarga hanya dibenarkan membeli sebuah rumah kos rendah sahaja. Dengan ini, para penduduk setinggan juga dapat menikmati gaya hidup yang lebih selesa dengan membeli atau menyewa rumah kos rendah mahupun rumah kos sederhana. Tatkala itu, semua penduduk di bandar dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

Seterusnya ialah kerajaan hendaklah menambahkan peluang pekerjaan untuk mengatasi masalah kemiskinan bandar. Kehadiran golongan miskin di bandar sebenarnya berpunca daripada sejumlah penduduk yang berpendapatan rendah mahupun menganggur. Mereka tidak mampu bersaing dengan arus kemodenan bandar kerana taraf pendidikan rendah. Golongan ini hanya mampu bekerja di sektor rendah dengan gaji yang sedikit dan akhirnya terpinggir dari kemajuan bandar. Pada mulanya, golongan ini berhijrah dari desa ke bandar dengan harapan ingin mengubah nasib menjadi lebih baik dan menaik taraf hidup. Namun mereka terperangkap dalam fenomena ini. Oleh itu, kerajaan hendaklah memikirkan alternatif yang drastik dengan menarik ramai pelabur asing dalam ekonomi di bandar tersebut. Dengan adanya pelaburan, maka dapat mewujudkan lebih banyak sektor perindustrian. Justeru itu, peluang pekerjaan pun terbuka luas untuk para golongan miskin dan memperoleh pendapatan yang lebih lumayan.

Selain itu, pihak kerajaan sewajarnya melaksanakan pemajuan dan pembangunan pinggir bandar Kuching. Cadangan ini adalah bermotifkan agar pinggir bandar turut maju seperti bandar utama Kuching. Melalui langkah ini, migrasi penduduk luar bandar ke bandar Kuching dapat dikurangkan. Seperti yang sedia maklum, bandar menjadi daya tarikan migrasi kerana kemajuan yang terdapat di bandar tersebut dari segi ekonomi, sosial dan politik. Maka, projek pemajuan dan pembangunan pinggir bandar harus dilaksanakan. Pihak kerajaan hendaklah menyediakan pelbagai kemudahan di pinggir bandar. Tamsilnya, sektor pendidikan dari tadika hingga institusi pengajian tinggi, sektor perubatan yang canggih, sektor pengangkutan yang lengkap, sektor perkilangan, utiliti, tempat hiburan dan sebagainya. Pembinaan jaringan hubungan seperti jalan raya juga amat penting untuk menghubungi pinggir bandar ke bandar. Dengan ini, penduduk tidak akan hanya berpusat di bandar semata-mata untuk memperoleh pekerjaan serta mampu menikmati kemajuan di pinggir bandar yang sama seperti di bandar.

 

KESIMPULAN

Kemiskinan bandar merupakan isu yang akan dihadapi oleh negara sedang membangun. Kemiskinan bandar wujud kerana pertumbuhan penduduk di bandar terlalu ramai sehingga melebihi infrastruktur yang sedia ada. Perkembangan bandar yang pesat tanpa kawalan dan dirancang hanya akan menimbulkan impak negatif seperti wujudnya golongan miskin di bandar. Pelbagai masalah yang akan timbul jika isu kemiskinan bandar tidak diatasi dengan segera. Oleh itu, pihak kerajaan hendaklah memberi komitmen dan melaksanakan pelbagai ikhtiar untuk membendung kemiskinan bandar dalam masa terdekat demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

 

 

 

 

 

RUJUKAN

 

Dewan Negeri Selangor. (2016). Mesyuarat kedua penggal keempat Dewan Negeri Selangor tahun 2016: Kemiskinan Bandar. http://dewan.selangor.gov.my/question/kemiskinan-bandar/

Haryati Shafi. (Ogos 23, 2020). Rancang bandar penuhi kualiti hidup penduduk, alam sekitar. Berita Harian Online. https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2020/08/723854/rancang-bandar-penuhi-kualiti-hidup-penduduk-alam-sekitar

Kamus Online DBP. (t.t). Migrasi. Dalam laman sesawang Dewan Bahasa dan Pustaka. Diperoleh pada Jun 9, 2022, daripada https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=migrasi

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. (2013). Program Pembangunan Setinggan. https://ehome.kpkt.gov.my/index.php/pages/view/269

Khalid. (November 8, 2018). Migrasi, gaji rendah, kurang mahir punca miskin bandar. Bernama. https://www.malaysiakini.com/news/450925

Marlinda Mardzuki. (September 3, 2018). Kota Samarahan hadapi kesesakan lalu lintas teruk. Utusan Borneo Online. https://www.utusanborneo.com.my/2018/09/03/kota-samarahan-hadapi-kesesakan-lalu-lintas-teruk

Melvin Joni. (Ogos 20, 2019). Sisa plastik membimbangkan. Berita Harian Online. https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/08/597904/sisa-plastik-membimbangkan

Mersita. (Jan 20, 2022). Pertambahan 600,000 kenderaan dalam 10 tahun, Sarawak perlu sistem jalan raya lebih bagus. Wap Car. https://www.wapcar.my/bm/pertambahan-600000-kenderaan-dalam-10-tahun-sarawak-perlu-sistem-jalan-raya-lebih-bagus-39860

Mohd Fadzil Abdul Rashid & Ishak Ab. Ghani. (2007, Januari 1). Migrasi dan kemiskinan bandar: suatu kajian literatur. [Sesi persidangan]. Seminar Kebangsaan Persekitaran & Masyarakat 2007. https://www.researchgate.net/publication/260481112_Migrasi_Dan_Kemiskinan_Bandar_Suatu_Kajian_Literatur

Nazarali Saeril. (Februari 7, 2021). Miskin bandar lagi susah. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/utama/2021/02/672171/miskin-bandar-lagi-susah

Nor Azrul Mohd Zin & Noordeyana Tambi. (2018). Faktor kemiskinan bandar terhadap pembangunan pendidikan golongan lewat kembang. Jurnal Psikologi Malaysia, 32(2), 199-130. http://journalarticle.ukm.my/14950/1/416-1645-1-PB.pdf

Sarin Johani, Khadijah Alavi & Mohd Suhaimi Mohamad. (2018). Perbandingan tahap kualiti hidup bagi warga emas yang mendapatkan perkhidmatan di pusat aktiviti warga emas (PAWE) di kawasan bandar dan luar bandar. Jurnal Psikologi Malaysia, 32(3), 82-90. http://journalarticle.ukm.my/14947/1/413-1648-1-PB.pdf

Utusan Borneo Online. (Ogos 9, 2019). Penduduk setinggan di Kubur Chawan damba penempatan lebih baik, selesa. Utusan Borneo Online. https://www.utusanborneo.com.my/2019/08/09/penduduk-setinggan-di-kubur-chawan-damba-penempatan-lebih-baik-selesa

Zahanim Ahmad. (2020, November 24 & 25). Definisi dan konsep kemiskinan bandar: Satu kajian literatur. [Sesi persidangan]. Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan ke-5 (PASAK5 2020) – Dalam Talian. http://conference.kuis.edu.my/pasak5/images/eprosidingpasak2020/061_ID203_Definisi_Dan_Konsep_Kemiskinan_Bandar_.pdf

 

 

Nama: Venessa Dalo Anak Roslan

No. Matrik: D20201094303

Kumpulan: B

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...