Wednesday, June 15, 2022

ISU JARINGAN TELEKOMUNIKASI YANG LEMAH DI KAMPUNG SEMABAT, JALAN KUBONG, LIMBANG, SARAWAK.

1.0     PENGENALAN

Sistem telekomunikasi melibatkan penggunaan telefon talian tetap dan telefon bimbit, faksimili, kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), internet dan intranet, dan sebagainya menyebabkan penyebaran maklumat, inovasi, aliran keluar masuk modal, urusan perniagaan dan penerokaan pasaran menjadi lebih mudah dan cepat.

          Menurut laman sesawang Badan Pusat Statistik Kabupaten Rembang menyatakan telekomunikasi ialah setiap penghantaran dan penerimaan apa-apa maklumat dalam bentuk tanda, isyarat, tulisan, imej, bunyi dan bunyi melalui sistem wayar, radio atau sistem elektromagnet. Rangkaian telekomunikasi merujuk kepada satu siri peralatan telekomunikasi dan aksesori yang digunakan dalam telekomunikasi.

          Berdasarkan Berita Metro, jaringan telekomunikasi di Malaysia akan dinaiktarafkan talian kepada 5G atau generasi kelima secara besar-besaran dalam skala kepenggunaan yang lebih luas termasuk peringkat industri serta komersial . Kewujudan 5G menawarkan jaringan internet yang berkelajuan tinggi. Sebaliknya, pembangunan telekomunikasi di Sarawak masih sukar mendapatkan talian sepenuhnya mengikut kawasan. Menurut Berita Dayak Daily 2021, pengurus besar Sarawak Multimedia Authority (SMA) telah menyatakan kerajaan Sarawak telah menjalankan inisiatif Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) dengan 300 buah menara telekomunikasi dibina di kawasan pendalaman dan terpencil di seluruh Sarawak. Oleh itu, inisiatif kerajaan dilaksanakan oleh Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) sebuah syarikat milik kerajaan Sarawak. Pengurus besar Sarawak juga juga akan menyediakan kepelbagaian jaringan rentas sempadan ke Brunei yang merupakan inisiatif swasta Sarawak bersama syarikat telekomunikasi Brunei, Darussalam Telekom (DST).

 

2.0     RINGKASAN KAJIAN KES

Kajian kes ini mengenai jaringan telekomunikasi yang lemah di kawasan Kampung Semabat Jalan Kubong, Limbang. Kawasan sekitar kampung ini sukar untuk mendapatkan capaian jaringan telekomunikasi dan internet sehingga menyukarkan penduduk kampung. Kampung Semabat jaraknya 28 kilometer dari Bandar Limbang yang melalui Jalan Kubong dan bersempadanan dengan Sungai Pandaruan dengan Daerah Temburong, Negara Brunei Darussalam. Jaringan telekomunikasi seperti Digi, Maxis, Celcom atau Unifi sangat lemah di kawasan Kampung Semabat kerana telah dipengaruhi oleh jaringan Roaming dari Negara Brunei. Keadaan ini telah menyebabkan penduduk sukar untuk menerima jaringan Malaysia sepenuhnya. Jika melihat peta 2.1.1 peta daerah Limbang bersempadanan dengan negara Brunei, maka Kampung Semabat lebih terkesan dengan jaringan Roaming Brunei (DST). Isu jaringan telekomunikasi akan tiada talian jika berlaku ketiadaan elektrik dan berlaku cuaca hujan. 

2.1     Lokasi Kajian

          2.1.1 Peta Daerah Limbang

                   

 Rajah 1: Peta Daerah Limbang

Sumber : Portal Rasmi Pendaftaran Bahagian Limbang

Bahagian Limbang terletak di Timur Laut Negeri Sarawak dengan Negara Brunei di Barat, Teluk Brunei di Utara, Sabah/Kalimantan di Timur dan Daerah Baram (Bahagian Miri) di selatan, di tengah-tengahnya Daerah Temburong (Negara Brunei) yang membuatkan Bahagian Limbang berada di tengah-tengah. Limbang adalah bahagian ke-5 diantara ke 12 bahagian di Negeri Sarawak. Bahagian Limbang merangkumi dua buah daerah iaitu Daerah Limbang dan  Daerah Lawas serta tiga buah daerah kecil iaitu Nanga Medamit, Sundar dan Trusan dengan keluasan kawasan seluas 7,790 km/segi.

          2.1.2   Kawasan Kajian Kampung Semabat, Jalan Kubong, Limbang

                                                                                                      

Rajah 2.1.2 menunjukkan peta kawasan kajian Kampung Semabat, Jalan Kubong, Limbang yang telah menerima kesan jaringan telekomunikasi Roaming Brunei (DST) sehingga isu jaringan telekomunikasi Malaysia sukar dicapai di kawasan tersebut.



 3.0    PUNCA JARINGAN TELEKOMUNIKASI YANG LEMAH DI KAMPUNG SEMABAT, JALAN KUBONG, LIMBANG, SARAWAK

           3.1     Cuaca

Punca dari cuaca juga mempengaruhi status jaringan telekomunikasi seperti talian   yang kuat, sederhana dan lemah. Keadaan ini telah menunjukkan tahap jaringan telekomunikasi tidak memuaskan sehingga mengganggu talian di kawasan kampung itu. Jika hujan gerimis dan hujan lebat berlaku, maka talian telekomunikasi seperti Celcom, Maxis dan Digi menjadi lemah sehingga tidak boleh dicapai oleh penduduk. Hal ini dikatakan demikian kerana, kerana sistem pemancar telekomunikasi masih lemah jika berlakunya cuaca hujan sehingga pemancar telekomunikasi tidak berfungsi dengan baik lalu mengganggu penggunaan internet di kampung ini. Jika tiada berlakunya cuaca hujan, maka capaian internet dalam tahap tinggi dan sederhana. Perkara ini amat menjejaskan pengguna internet terutamanya pekerja dan pelajar.

           

            3.2      Ketiadaan Tiang Telefon Disediakan

Punca jaringan telekomunikasi yang lemah di kawasan Kampung Semabat ialah ketiadaan tiang telefon yang disediakan oleh pihak berkuasa. Tiang telefon ini amat penting bagi kawasan sekitar penduduk untuk mendapatkan capaian yang sangat memuaskan. Walaupun penduduk kampung dan ketua kampung telah memohon kepada pihak berkuasa untuk menyediakan tiang telefon di sekitar kawasan Kampung Semabat namun tiada jawapan dari pihak tertentu. Jika adanya tiang telefon di pasang, maka ini boleh membolehkan penduduk menerima capaian talian telefon memuaskan di rumah mereka. Menara pemancar komunikasi telah disediakan di kawasan Kampung Penganan dengan jarak 3 kilometer dari kawasan Kampung Semabat. Berdasarkan buku Garis Panduan Perancangan Infrastruktur Komunikasi (GPP-I), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, menara komunikasi ialah struktur pemancar komunikasi atas tanah yang terdiri daripada struktur menara konvensional satu fungsi dan mempunyai ciri-ciri estetika sekiranya perlu seperti monopole, monopole tree, menara berkaki tiga, menara kekisi berkaki empat, mat dan lain-lain.

                                                                                                                          
                                                                                                      Rajah 3 : Contoh Tiang Telefon yang dimohon 

                                                                                                             

Rajah 4 : Menara pemancar komunikasi kekisi berkaki empat di kawasan Kampung Penganan, Limbang

            3.3      Menara Pemancar Komunikasi Sempadan Brunei

Punca jaringan telekomunikasi menjadi lemah di Kampung Semabat ialah adanya menara pemancar komunikasi sempadan Brunei. Hal ini dikatakan demikian kerana, capaian internet Roaming DST Com lebih tinggi berbanding jaringan telekomunikasi Malaysia. Keadaan ini menyebabkan penduduk lebih menerima roaming dalam talian mereka dan sukar untuk mencari talian Malaysia seperti Celcom, Maxis dan Digi. Pemancar komunikasi Roaming DST com berhampiran dengan kawasan Kampung Semabat yang dapat dilihat dari jauh.

           

                       

4.0     KESAN JARINGAN TELEKOMUNIKASI YANG LEMAH DI KAMPUNG SEMABAT, JALAN KUBONG, LIMBANG, SARAWAK

  4.1  Kesukaran mengakses maklumat dalam pembelajaran dan pengajaran (PnP)

Kesan jaringan telekomunikasi yang lemah di Kampung Semabat menyebabkan pelajar seperti sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi sukar untuk mengakses maklumat dalam pembelajaran dan pengajaran (PnP). Pelajar seperti saya sendiri yang merupakan pelajar IPT juga sukar mengakses maklumat untuk menyiapkan kerja kursus yang diberikan oleh pensyarah kerana jaringan internet yang lemah. Keadaan ini menyebabkan pelajar keluar ke kawasan bandar berulang-alik untuk mendapatkan capaian internet yang tinggi malah ada juga pelajar naik ke bukit untuk mendapatkan capaian internet jika mereka tiada kenderaan pergi ke bandar.

       Sewaktu pandemik Covid-19, semua pelajar belajar dari rumah sehingga mereka perlu mengakses internet untuk masuk ke dalam aplikasi seperti Goggle Meet untuk belajar. Namun, pelajar sekolah rendah yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kuala Penganan di Kampung Semabat tidak dapat mengakses internet untuk mengikuti kelas atas talian kerana talian ini tidak dapat menampung kekuatan internet dalam aplikasi Goggle Meet. Oleh itu, guru sekolah rendah telah menghantar kerja sekolah di sekolah agar pelajar mengambil latihan kerja sekolah di sekolah itu walaupun tiada sesi pembelajaran dan pengajaran. Pelajar juga mencari capaian internet di pondok dan menyediakan telefon pintar di luar rumah sebagai hotspot agar dapat menerima rangkaian internet di dalam rumah. Jika menggunakan modem WiFI, modem tersebut tidak dapat diguna pakai kerana rangkaian internet selalu tiba-tiba hilang semasa mereka menggunakannya, maka mereka menggunakan telefon pintar agar mudah mencari rangkaian di telefon mereka. Utusan Malaysia (2021) menyatakan masalah capaian internet khususnya kawasan luar bandar menyebabkan ibu bapa kecewa apabila sesi pengajaran dan pembelajar di rumah (PdPR) anak-anak mereka sering terganggu.


Rajah 5 : Pondok yang diduduki oleh pelajar untuk mencari talian internet 

4.2     Kesukaran Menerima Informasi dengan Segera
Jaringan telekomunikasi yang lemah di kawasan Kampung Semabat telah menyukarkan penduduk menerima informasi dengan segera. Hal ini dikatakan demikian kerana, jaringan yang lemah telah melambatkan penerimaan maklumat terutamanya maklumat kematian ahli keluarga yang jauh, bencana, maklumat berkaitan dengan ketiadaan elektrik atau air, maklumat rasmi dari majlis daerah dan lain-lain. Perkara ini sering berlaku di antara penduduk Kampung Semabat kerana kelewatan menerima informasi dengan tepat. Penduduk kampung juga susah untuk berhubung dengan sesiapa sahaja apabila berlakunya kecemasan berlaku pada mereka. Walaupun pengguna menggunakan peranti canggih jika masalah internet berterusan lemah ini juga tidak dapat menyelesaikan masalah bagi penduduk menerima informasi.

 

          4.3   Perbelanjaan Tinggi
Kesan jaringan telekomunikasi yang lemah di kawasan Kampung Semabat menyebabkan perbelanjaan tinggi bagi penduduk sekitar kawasan Kampung Semabat. Hal ini dikatakan demikian kerana, jika jaringan telekomunikasi Celcom, Maxis dan Digi lemah, maka penduduk terpaksa membeli data dari Roaming DST Com Brunei untuk mengakses maklumat dengan segera. Pengguna yang melanggan pelan data roaming agak mahal untuk pengguna Maxis seperti 1GB berharga RM10 selama 1 hari, pengguna sim kad Digi 10mb berharga RM5, 100mb berharga RM10 dan 500mb berharga RM25. Jika pengguna menggunakan sim kad Celcom dan menukarkan kepada data Roaming maka jumlah kredit dalam sim kad akan habis segera apabila mereka melanggan roaming. Keadaan ini menyebabkan mereka seperti pelajar lebih menggunakan data roaming agar mendapatkan akses maklumat dengan segera walaupun perbelanjaan agak mahal. Namun ini sahaja penyelesaian untuk mengelakkan kerja kursus tergendala.


Rajah 6 : Servis dalam talian sekitar kawasan Kampung Semabat

5.0    CADANGAN MENINGKATKAN JARINGAN TELEKOMUNIKASI YANG LEMAH DI KAMPUNG SEMABAT, JALAN KUBONG, LIMBANG, SARAWAK
          
5.1    Menaik Taraf Sistem Rangkaian Telekomunikasi yang Sedia Ada

Pihak berkuasa seperti Menteri Komunikasi dan Multimedia perlulah menaiktarafkan sistem rangkaian yang sedia ada di kawasan Kampung Penganan atau menambah pencawang telekomunikasi bagi melancarkan saluran komunikasi penduduk di kawasan Kampung Semabat. Jika pencawang telekomunikasi di Kampung Penganan dalam tahap tinggi maka Kampung Semabat akan menerima capaian yang terpancar dari pencawang tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana, sistem komunikasi dalam talian juga tidak dapat dicapai dengan jelas. Jika pihak berkuasa menaik taraf sistem rangkaian telekomunikasi ini, maka capaian telekomunikasi amat memuaskan bagi para penduduk untuk berhubung dengan penduduk lain menggunakan alat peranti yang mereka ada.

 

          5.2    Menyediakan program Kampung Tanpa Wayar (KTW)
 Program Kampung Tanpa Wayar (KTW) merupakan perkhidmatan internet jalu lebar yang dilaksanakan oleh SKMM di bawah Inisiatif Jalur Lebar Nasional (NBI) dan dibiayai menerusi Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat dan dilaksanakan oleh pemberi perkhidmatan yang terpilih. Program ini membolehkan penduduk luar banda menerima semua faedah dari aspek ICT iaitu kemudahan komunikasi seperti telekomunikasi, Internet, maklumat, perisian dan perkakasan multimedia. Jika KWT ini dibina di kawasan Kampung Semabat, ini juga memudahkan penduduk seperti pelajar mengakses maklumat dalam pendidikan. Kampung WiFi ini juga dapat dinikmati secara bersama dan dapat memuaskan para penduduk sekitar.


 

KESIMPULAN
Masalah jaringan telekomunikasi yang lemah khusus di Kampung Semabat ini perlulah diatasi dengan segera agar memudahkan urusan para penduduk ini. Capaian jaringan telekomunikasi yang tinggi amat memberi kelebihan yang bermakna kepada penduduk seperti pelajar atau pekerja untuk melakukan pekerjaan mereka. Pihak berkuasa seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) perlulah memainkan peranan penting dalam penambahbaikan seterusnya memantapkan capaian jaringan telekomunikasi terutamanya internet. Berdasarkan Utusan Metro (2021), Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa menyasarkan 92 peratus perluasan liputan internet 4G di Sarawak menjelang penggal ketiga tahun hadapan berdasarkan kemajuan pelaksanaan projek yang telah dijalankan sebelum ini.
          Jika jaringan telekomunikasi dapat dicapai dengan tahap memuaskan, para penduduk Kampung Semabat tidak akan merungut lagi dengan masalah ketiadaan capaian internet sehingga menjejaskan urusan mereka yang melibatkan maklumat atas talian.


RUJUKAN

Badan Pusat Statistik kabupaten Rembang. (2022 Jun 15). Komunikasi. https://rembangkab.bps.go.id/subject/2/komunikasi.html

Utusan Metro. (2019, Disember 31). Jaringan telekomunikasi 5G. [Kenyataan siaran akhbar]. https://www.hmetro.com.my/itmetro/2019/12/530551/jaringan-telekomunikasi-5g

Dayak Daily. (2021, November 26). Pembangunan telekomunikasi di Sarawak. [Kenyataan siaran akhbar]. https://dayakdaily.com/pembangunan-telekomunikasi-di-sarawak/

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. (2022, Jun 15). Telefon mudah alih dan stesen pangkalan. http://rfemf.mcmc.gov.my/ituemfguide/itu-emf-guide/overview/mobile-phones-and-base-stations/how-mobiles-and-wireless-devices-work?lang=ms-MY

Utusan Malaysia. (2021, Oktober 20). Masalah internet lemah terus berlarutan. [Kenyataan siaran akhbar]. https://www.utusan.com.my/terkini/2021/10/masalah-internet-lemah-terus-berlarutan/

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. (2022, Jun 15). Dewan Rakyat : Infrastruktur Komunikasi 2016. https://www.kkmm.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=10499:&catid=524&showall=1&limitstart=&lang=ms

Utusan Metro. (2021, Disember 12). Sasaran 92 peratus liputan Internet 4G di Sarawak realistik. [Kenyataan siaran akhbar]. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/12/787623/sasaran-92-peratus-liputan-internet-4g-di-sarawak-realistik

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Garis panduan perancangan infrastruktur komunikasi (GPP-I). Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia



No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...