Friday, June 17, 2022

FENOMENA BANJIR YANG BERLAKU DI SUNGAI PETANI, KEDAH

Fenomena Banjir yang Berlaku di Sungai Petani, Kedah

 

1.0 Pengenalan


Isu alam sekitar seperti kejadian banjir ini merupakan isu terbesar di dalam negara ini dan tidak asing lagi bagi masyarakat Malaysia. Hal ini demikian kerana isu banjir ini bukan sahaja berlaku di kawasan Pantai Timur malah, membabitkan negeri-negeri lain terutamanya di Kedah. Fenomena ini adalah peristiwa alam limpahan air di kawasan yang kering dan tidak biasa ditenggelami air (See Too Kay Leng et al., 2016). Banjir juga bermaksud kenaikan aras air permukaan yang banyak sehingga melebihi daya tampung sesebuah bandar air yang ada lalu melimpah ke kawasan sekitarnya terutamanya kawasan yang rendah (Mohamad Zhahir Shaari et al., 2019). Fenomena banjir sering melanda di kawasan yang banyak menerima curahan hujan yang lazimnya berlaku pada musim tengkujuh yang bermula pada Oktober dan berakhir pada bulan Disember. Banjir dapat dibahagikan kepada beberapa jenis mengikut lokasi kejadian iaitu antaranya ialah banjir kilat, banjir pantai, banjir monsun dan banjir genang (Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Kedah, 2022).

 

        Bandar Sungai Petani di Kedah turut tergolong dalam kawasan yang sering dilanda banjir sejak kebelakangan ini. Namun dalam konteks bandar, kebanyakan bencana banjir adalah disebabkan oleh bencana banjir kilat. Hal ini demikian kerana faktor fizikal dan kegiatan manusia yang menggalakkan kejadian banjir di Sungai Petani. Fenomena ini semakin serius dan meluas di kebanyakan kawasan di Sungai Petani di mana sebelum ini tidak pernah dilanda banjir namun, kini sering dilanda banjir kilat. Oleh itu, melalui penulisan ini fenomena banjir di Sungai Petani akan dihuraikan secara mendalam dari aspek faktor, kesan dan langkah penyelesaian bagi isu tersebut.

 

2.0 Latar Belakang Kawasan Kajian


Sungai Petani merupakan sebuah bandar perindustrian di negeri Kedah yang terletak di utara semenanjung dan bandar kedua terbesar di Kedah selepas Alor Setar (Pihak Berkuasa Tempatan, 2022). Bandar Sungai Petani sangat mudah dihubungi dengan jaringan jalan raya, jalan kereta api dan laluan udara yang sedia. Dari ibu negara, perjalanan ke utara menuju Sungai Petani melalui Lebuhraya Utara-Selatan. Jalan Persekutuan turut menghubungkan Sungai Petani dengan beberapa bandar utama seperti Alor Setar, Butterworth dan Ipoh. Oleh hal demikian, penduduk di Sungai Petani semakin meningkat kerana jaringan jalan raya yang pelbagai dan mudah dihubungi.

 

Selain itu, bandar Sungai Petani juga berkembang pesat pada setiap tahun menyebabkan sektor perumahan dan kemajuan pembangunan tumbuh dengan banyak. Hal ini demikian kerana pertumbuhan penduduk yang semakin meningkat di Sungai Petani seiring dengan pertumbuhan ekonomi di bandar tersebut. Dari segi kedudukannya yang agak strategik iaitu terletak di tengah-tengah negeri Kedah menyebabkan salah satu faktor ekonomi menjadi semakin rancak di bandar ini kerana berdekatan dengan bandar lain seperti Alor Setar, Kulim, Pulau Pinang. Kebanyakan penduduk memilih untuk menetap di Sungai Petani walaupun bekerja jauh dari Sungai Petani kerana persekitarannya dan pelbagai perkhidmatan dan infrastruktur yang disediakan di bandar ini.

 

 
Rajah 2.1: Peta Sungai Petani

Sumber: Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, 2022

 


3.0 Ringkasan Kes


Sejak kebelakangan ini, Sungai Petani sering dilanda fenomena banjir terutamanya banjir kilat. Berdasarkan Laporan Banjir Tahunan (2018), Kedah mengalami kejadian banjir sebanyak 57 kejadian pada tahun 2017 dan terus meningkat kepada 61 kejadian pada tahun 2018. Kejadian banjir ini terus meningkat di Kedah pada tahun 2020 iaitu sebanyak 79 kejadian (Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, 2020). Ini menunjukkan kawasan di Kedah terutamanya Sungai Petani tidak dapat menampung jumlah hujan yang lebat dalam masa cepat atau lama kerana faktor-faktor tertentu. Antara kawasan yang sering dilanda banjir adalah Taman Ria Jaya, Kampung Raja, Taman Keranji, Kg Wat Siam dan lain lain.

 

        Pada tahun 2020, beberapa kawasan di Sungai Petani pernah dilanda banjir kilat sehingga memberi kesan kepada penduduk setempat. Kejadian banjir kilat ini berlaku kerana hujan yang terlalu lebat dalam pada masa berlakunya fenomena air pasang besar di Sungai Petani. Oleh disebabkan hal demikian air tidak dapat mengalir dengan cepat ke saliran, sungai atau ke laut. Tambahan pula, sistem perparitan yang tidak diselenggara dan dipenuhi dengan sampah turut menyumbang kepada kejadian banjir kilat pada hari tersebut (Abd Hadi Che Awang, 2020).

 

 

Rajah 3.1: Banjir Kilat di Sungai Petani

Sumber: Info Banjir Kedah

 


4.0 Faktor-Faktor Banjir di Sungai Petani


Kejadian banjir di Sungai Petani berpunca dari pelbagai faktor. Hujan lebat yang berterusan dengan purata yang tinggi merupakan faktor utama kejadian banjir di kawasan Sungai Petani. Berdasarkan data Laporan Banjir Tahunan (2020), purata hujan harian tertinggi semasa kejadian banjir di negeri Kedah adalah 95mm. Keadaan hujan sebegini telah menyebabkan banjir berlaku dalam tempoh yang panjang dan beberapa hari iaitu 42.5 jam pada tahun 2020.

 

        Kejadian banjir bertambah semakin teruk apabila sistem saliran tidak dapat menampung air larian permukaan kerana tersumbat dengan sampah sarap dan kelodak hasil dari pembinaan atau kerja tanah di kawasan sekitar Sungai Petani. Keadaan ini menyebabkan aliran air tersekat dan melimpah ke jalan setiap kali hujan lebat. Selain daripada sistem saliran yang tidak diselenggara, penduduk setempat juga menyumbang kepada faktor kekerapan berlakunya banjir kerana tidak mempunyai kesedaran sivik dengan membuang sampah sarap merata-rata termasuk longkang dan sungai.



Rajah 4.1: Sungai di Kampung Raja yang dipenuhi sampah sarap

Sumber: Penduduk Sungai Petani

 

        Selain itu, perubahan corak guna tanah hasil daripada pembangunan setempat yang tinggi dan pesat juga merupakan faktor berlakunya banjir. Hal ini demikian kerana kurangnya kawasan telap air di kawasan Sungai Petani. Sosioekonomi di Sungai Petani berkembang dengan pesat dan positif kerana Sungai Petani merupakan kawasan industri dan komersial. Oleh itu, pembinaan bangunan dan kilang dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Apabila terdapat peluang pekerjaan di Sungai Petani, maka bilangan penduduk turut meningkat seiring dengan permintaan terhadap tanah untuk keperluan aktiviti bandar. Ini menyebabkan guna tanah di Sungai Petani berlaku secara berleluasa dan drastik.

 

5.0 Langkah Penyelesaian


Banjir berlaku sepanjang tahun tetapi mungkin akan lebih kerap berlaku terutamanya semasa waktu puncak musim monsun timur laut iaitu dari bulan November hingga Januari. Kejadian banjir merupakan proses semula jadi yang tidak dapat dikawal sepenuhnya dan menimbulkan masalah kepada penduduk setempat kerana kemusnahan dan kerugian yang dialami oleh penduduk mahupun organisasi. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab terutamanya pihak kerajaan perlu merangka penyelesaian jangka pendek dan penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan kesan banjir kepada penduduk.

 

        Antara penyelesaian bagi mengatasi masalah banjir di Sungai Petani adalah memastikan sistem saliran dalam keadaan yang baik dan berfungsi serta diselenggara dengan lebih kerap. Hal ini demikian kerana air larian permukaan dapat dialirkan terus ke sungai dengan lancar tanpa melimpah keluar ke jalan apabila tidak dapat menampung jumlah air yang banyak dalam tempoh yang pendek. Oleh itu, pihak berkuasa perlu bertanggungjawab dan menjalan tugas dengan menyelenggara sistem saliran yang ada di Sungai Petani. Penduduk setempat juga dapat memainkan peranan dengan memastikan saliran parit sentiasa bersih serta berada pada tahap paling optimum sebagai persediaan awal supaya ia mampu berfungsi sepenuhnya dalam melencongkan aliran air sekiranya hujan lebat berterusan (Mohd Nizam Ab Rahman dan Ariff Azly Muhamed, 2021).

 

Selain itu, pihak berkuasa tempatan juga perlu memantau dan mengawal kerja pembinaan dan pemaju bagi memastikan mereka mewujudkan pelan hakisan dan kawalan sedimen di tapak. Pihak pemaju perlu memastikan sedimen di tapak pembinaan tidak mengalir keluar dari tapak pembinaan dengan menyelenggara perangkap kelodak yang dipasang di kawasan pembinaan. Hal ini demikian kerana, bahan sedimen dan bahan-bahan lain terkumpul dalam longkang dan menyebabkan longkang sumbat lalu mengundang banjir kilat apabila hujan lebat turun.

 

Seterusnya, konsep pembangunan lestari perlu diamalkan secara meluas di Sungai Petani bagi memastikan pembinaan bangunan yang dibina tidak menjejaskan kepentingan generasi masa hadapan. Contohnya, kerajaan perlu mewajibkan pemaju melakukan konsep tanam semula bergantung keluasan tapak pembinaan yang dibangunkan oleh pihak mereka. Keadaan ini dapat mewujudkan landskap hijau dan memastikan alam sekitar dipulihara untuk mengelakkan banjir. Kehadiran tumbuhan hutan dapat mengurangkan risiko kejadian banjir kerana sebahagian besar dari air hujan yang jatuh ke lantai hutan diserap ke dalam tanah sama ada untuk mengekalkan lembapan tanah atau dialirkan sebagai sub-permukaan sebelum sampai ke sungai atau sebahagiannya sebagai imbuhan air bawah tanah (Kawi, 2015). Jelaslah peranan tumbuhan hutan sangat penting bagi suatu kawasan tadahan.

 

6.0 Kesimpulan


Secara keseluruhannya, fenomena banjir merupakan isu alam sekitar yang semakin serius yang harus diberi perhatian oleh setiap pihak bertanggungjawab. Kejadian banjir berlaku kerap sehinggakan memberi impak kepada penduduk dari segi kerosakan barangan, kemusnahan tanaman yang rendah dan menganggu aktiviti harian penduduk. Bencana banjir tidak lagi boleh dianggap sebagai fenomena luar biasa di Sungai Petani.

 

Justeru, pihak kerajaan dan pihak berkuasa tempatan perlu mencari penyelesaian strategik jangka panjang supaya impak terhadap keselamatan nyawa dan harta benda awam dapat diminimumkan. Penduduk setempat juga perlu mengambil tanggungjawab bersama dengan tidak melakukan aktiviti yang menyumbangkan kepada risiko banjir.

 


Rujukan

 

Abd Hadi Che Awang. (2020 November 29). Air pasang besar, masalah perparitan punca banjir kilat di Sungai Petani. Astro Awani. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/air-pasang-besar-masalah-perparitan-punca-banjir-kilat-di-sungai-petani-270769

 

Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia. (2018). Laporan Banjir Tahunan. http://h2o.water.gov.my/man_hp1/LBT2018_2019.pdf

 

Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia. (2020). Laporan Banjir Tahunan. http://h2o.water.gov.my/man_hp1/LBT2020.pdf 

 

Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Kedah Darul Aman. (2022). Jenis-jenis banjir yang berlaku di Malaysia. https://www.didkedah.gov.my/index.php/article/837-jenis-jenis-banjir-yang-berlaku-di-malaysia

 

Kiwi. (2015 Januari 8). Peranan hutan ada hadnya mengelak bencana banjir ketika cuaca ekstrem. Astro Awani. https://www.astroawani.com/kini-trending/peranan-hutan-ada-hadnya-mengelak-bencana-banjir-ketika-cuaca-ekstrem-51768

 

Mohd Nizam Ab Rahman & Ariff Azly Muhamed. (2021 Disember 27). Penyelesaian strategik kurangkan impak banjir terhadap nyawa, harta. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2021/12/904508/penyelesaian-strategik-kurangkan-impak-banjir-terhadap-nyawa-harta 

 

Mohamad Zhahir Shaari, Harun Othman, Zolkarnain Hasan & Mohd Ehkwan Toriman. (2019). Geografi. Oxford Fajar Sdn. Bhd.

 

Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah. (2022). Sejarah Sungai Petani. https://www.memori-kedah.com/page_pengenalan.php?p=2&idstopic=46&idskandungan=198&id=&mtopic=

 

Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah Darul Aman. (2022). Latar Belakang Sungai Petani. https://pbt.kedah.gov.my/index.php/info-sungai-petani/

 

See Too Kay Leng, Nurfadhilah Mohd Radi, Erna Sofeanna Maidin, Noor Khairunisah Jasirin, Mohd Hisyam Mohd Razi & Nordin Sakke. (2016). Bencana banjir sebagai petunjuk keselamatan air di Sabah: Kajian kes di Kota Kinabalu, Sabah. [Prosiding Seminar]. Sains Ruang dan Teknologi Maklumat Geografi. Universiti Malaysia Sabah.

 

NAMA: NURUL RAZLINA ALIA BINTI RUZUWAN

NO. MATRIK: D20201094311

KUMPULAN A 

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...