Friday, June 17, 2022

GEOGRAFI PENDUDUK: MASALAH SAMPINGAN YANG DIHADAPI OLEH PENDUDUK SETEMPAT DI DAERAH SELISING, KELANTAN AKIBAT PROSES PEMBINAAN ECRL - East Coast Rail Link (Projek Laluan Rel Pantai Timur)

PENDAHULUAN

ECRL - East Coast Rail Link (Projek Laluan Rel Pantai Timur)

Permulaan Projek ECRL - East Coast Rail Link (Projek Laluan Rel Pantai Timur) merupakan projek landasan kereta api yang menghubungkan Bandaraya Kuala Lumpur dan Lembah Klang kepada tiga wilayah ekonomi Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan. Projek pembinaan ECRL ini juga diluluskan kabinet ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) semasa 21 oktober 2016 membabitkan kos bernilai RM65.5 bilion (BERNAMA, 2019). Merujuk  rangka kerja buku Malaysia Rail Link (2017). China Communication Construction Company Ltd. (CCCC) adalah kontraktor Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) untuk projek pembinaan ECRL. Jaringan rel ECRL juga dijangka akan merapatkan lagi jaringan pengangkutan darat antara Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia dengan menghubungkan bandar Kota Bharu di Kelantan ke Pelabuhan Klang di Selangor. Projek ECRL juga merupakan infrastruktur nasional yang akan membantu menghubungkan antara bandar dan meningkatkan lagi kualiti pengangkutan awam di kawasan luar bandar. ECRL juga merupakan rangkaian kereta api elektrik yang akan menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang.

Di samping itu, inisiatif pengangkutan awam ini meliputi jarak sepanjang 640 kilometer serta bakal memberi impak besar kepada negeri terlibat iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Selangor dengan pembinaan 10 stesen penumpang dan kargo yang akan beroperasi dengan kelajuan 160 km/j bagi tren penumpang manakala 80 km/j bagi tren kargo. Jajaran baharu itu, yang dijangka siap pada Disember 2026, serta akan melalui 20 stesen dari bandar Kota Bharu ke Kuala Terengganu, Kuantan, Mentakab dan melalui bandar Jelebu, Bangi atau Kajang, Putrajaya Sentral dan ke Pelabuhan Klang. Laluan kawasan tersebut juga telah dibahagikan kepada 3 seksyen iaitu seksyen A, B dan C, bagi seksyen A melibatkan negeri Kelantan (Kota Bharu) hingga Terengganu (Dungun), seksyen B pula melibatkan daerah Terengganu (Kemasik) hingga Pahang (Maran) dan yang terakhir seksyen C meliputi Pahang (Temerloh) hingga Selangor (Lembah Klang) kronologi jajaran pembinaan ECRL ini boleh dilihat pada rajah 1.

Rajah 1. Jajaran pembinaan projek penuh ECRL (Laluan Rel Pantai Timur).

            Sebahagian besar, jajaran ECRL di Kelantan merentasi kawasan sawah padi (tanah pertanian) dan perkampungan (kediaman) terutamanya di kawasan daerah Selising, Kelantan. Namun begitu, dalam proses pembinaan ECRL ini melalui seksyen A laluan Pasir Puteh ke Kota Bharu, daerah Selising merupakan salah satu daerah kecil yang terletak di penghujung bandar Pasir Puteh. Walaupun, pembinaan ECRL ini dilihat kecil pada peta jajaran ini (rajah 2) namun telah mendatang pelbagai kesan sampingan kepada penduduk setempat ekoran pembinaannya yang mengambil masa bertahun untuk projek ini siap sepenuhnya. Pelbagai kesan yang dijangka akan memberikan pelbagai kebaikan kepada pertumbuhan ekonomi penduduk setempat seperti dapat meningkatkan darjah ketersampaian, dan seangkatannya. Namun begitu, masalah sampingan yang perlu dihadapi penduduk sekitar kurang diambil perhatian kerana dengan tanggapan ianya akan berasur pulih apabila pembinaan ini siap kelak.

Rajah 2. Laluan pembinaan ECRL di daerah Selising, Kelantan.

KESAN-KESAN PEMBINAAN ECRL

Pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal mengubah landskap dan merangsang pertumbuhan ekonomi dengan membawa pelbagai limpahan manfaat kepada negara. Antaranya adalah;

i) Meningkatkan Darjah Ketersampaian

Projek ECRL ini dijangka akan memberi penjimatan masa perjalanan antara bandar, menurut BERNAMA (2022) menyatakan bahawa perjalanan dari bandar Kuala Lumpur ke Kelantan kalau sebelum ini menggunakan jalan raya biasa akan memakan masa 7 hingga 8 jam perjalanan namun dengan adanya ECRL ini perjalanan dapat ditingkatkan hanya mengambil masa sekitar 4 jam sahaja tanpa menghadap jem dan kelajuan kereta api ini juga dijangka mencapai 160km/j. Selain itu, dengan adanya peningkatan darjah ketersampaian yang tinggi ini berkemungkinan dapat memberikan impak yang positif kepada penduduk terutamanya penduduk yang tinggal di Pantai Timur.

ii) Menyediakan Peluang Kerja yang Tinggi

Projek ini juga akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi wilayah yang terletak berhampiran laluan tren tersebut. Menurut Dagangnews (2021), Perusahaan Mikro, kecil dan Sederhana (PMKS) juga dijangka akan mendapat tempias dari projek ini bagi mengukuhkan lagi jaringan pemasaran produk ke seluruh wilayah semenanjung dengan mudah dan cepat. Selain itu, industri sampingan turut mendapat banyak manfaatnya seperti pengusaha inap desa, kedai makan dan runcit akan mendapat pelbagai keuntungan kerana dapat membuka peluang pekerjaan dan perniagaan baru kepada penduduk setempat.

            Di samping itu, permintaan bagi bahan binaan seperti besi, simen, batu-batuan selain perkhidmatan profesional dan kemahiran daripada tenaga tempatan seperti jurutera, arkitek, jurubina dan juruukur bahan. Malahan, dari sudut jangka panjang pula, Mohd Afzanizam (BERNAMA, 2019), berkata Malaysia akan terlibat secara langsung dalam rantaian projek mega 'Belt and Road Initiative' (BRI) China yang melibatkan pelabuhan di Kuantan dan Klang. Dalam masa yang sama manfaat lain juga akan membawa kepada permintaan tinggi terhadap tenaga buruh mahir tempatan terutamanya yang berkaitan dengan industri kereta api. Malaysia juga sedia maklum mempunyai banyak pusat teknikal dan politeknik yang mampu menyediakan pekerja mahir tempatan untuk industri kereta api. Lantaran itu, kehadiran lebih ramai pekerja akan membuka peluang kepada ekonomi bersaiz sederhana dan kecil selain meningkatkan lagi permintaan bagi makanan, rumah, kedai runcit dan pengangkutan di negeri-negeri yang bakal mempunyai jajaran ECRL.

iii) Harga Pasaran Barang dijangka akan Turun

Melalui inisiatif ini juga harga barangan di pantai timur dapat dikurangkan dan dapat merangsang pertumbuhan bandar-bandar kecil yang terletak pada jajaran laluan tren tersebut. Misalnya,  jajaran ECRL di Terengganu boleh membantu mengurangkan harga barangan terutamanya makanan di negeri itu. Hal ini kerana pengangkutan barangan secara pukal dengan menggunakan kereta api adalah lebih murah berbanding kapal terbang dan lori. Menurut BERNAMA (2019), barang-barang makanan terutamanya produk makanan siap di Terengganu adalah lebih mahal berbanding di Kelantan atau Pahang. Malahan, sebelum ini produk keluaran dari negeri Terengganu sangat bergantung kepada kaedah pengangkutan konvensional iaitu lori untuk membawa masuk produk makanan sedangkan di negeri Kelantan mempunyai kemudahan kereta api manakala di negeri Pahang pula, terdapat kemudahan pelabuhan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa isu harga makanan mahal di Terengganu boleh diatasi dan seterusnya membantu meningkatkan kesejahteraan kehidupan penduduk setempat.

MASALAH YANG DIHADAPI

Sejajar proses perkembangan jalinan pengangkutan dalam mengecapi pemodenan dan pembangunan bandar, sudah pasti akan wujud pelbagai masalah sampingan yang akan dihadapi oleh masyarakat setempat terutamanya bagi penduduk di daerah Selising, Kelantan. Antaranya adalah;

i) Pencemaran Bunyi

Dalam proses pembinaan projek rel kereta api ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada alam sekitar terutamanya pencemaran bunyi yang sering menjadi igauan penduduk sekitar. Hal ini disebabkan oleh bunyi hentakan cerucuk dan kerja konkrit  tapak ECRL (rajah 3), serta penggunaan jentera yang bising seperti set penjana elektrik, peralatan elektrik berkuasa tinggi, pemecah hidraulik, peralatan pengisar dan pemotongan. Walaupun, pembinaan ECRL ini dipersetujui oleh penduduk setempat namun kesan sampingan yang dihadapi oleh penduduk hampir masuk 3 tahun pembinaan ini, sudah tidak tahan akan kebisingan mesin cerujuk ini yang beroperasi semasa jam 8 pagi hingga 10 malam dan kadangkala melebihi had waktu yang mengganggu kehidupan seharian mereka.

            Di samping itu, menurut penduduk setempat juga walaupun sudah kalis terhadap bunyi hentakan cerucuk ini dan kebanyakkan rumah penduduk sekitar yang jauh dengan kawasan pembinaan iaitu sekurang-kurangnya sekitar 1 hingga 2 kilometer ini, kebingitan yang jelas masih didengari seolah-olah dekat di sebelah rumah sahaja. Dalam masa yang sama, penduduk sekitar juga berasa bimbang bakal mengalami gangguan pendengaran akibat bunyi bising dalam tempoh begitu lama terutamanya membabitkan golongan kanak-kanak dan warga emas terhadap komplikasi yang mungkin bersifat sementara atau kekal yang akan menjejaskan kesan deria pendengaran mereka.

Rajah 3. Mesin Cerucuk (pilling) ECRL yang bertapak di kawasan penduduk setempat.

ii) Pencemaran Udara

Masalah sampingan seterusnya yang dihadapi oleh penduduk setempat semasa proses pembinaan jalinan rel kereta api ini adalah masih lagi merangkumi pencemaran alam sekitar iaitu pencemaran udara. Pencemaran udara ini berlaku melibatkan kerja tanah, pergerakan jentera dan kenderaan pembinaan. Lebih-lebih lagi apabila kemasukan keluar masuk kenderaan berat seperti lori, jentolak dan seangkatannya secara berulang-alik untuk membawa dan mengambil pasir berdekatan telah meninggalkan kesan debu kepada bangunan dan perumahan penduduk tempatan berdekatan. Debu halus yang ditinggalkan pada bangunan dan petempatan penduduk tidaklah setebal debu yang jatuh pada laluan jalan raya utama penduduk yang telah menimbulkan ketidakselesaan penduduk lagi-lagi bagi penduduk yang menaiki kenderaan motosikal.


Rajah 4. Debu halus yang menguasai jalan raya.

              Di samping itu, pencemaran udara ini juga turut menyumbang kepada masalah peningkatan debu halus daripada penghasilan Habuk Fugitif (PM10) dari kerja-kerja tanah serta pelepasan habuk dan gas dari peralatan pembinaan dan kenderaan berat (PM10, PM2.5, CO, NO2 and SO2 ). Kesan habuk (fugitive dust) semasa pembinaan dijangka tidak akan menyebabkan kesan berpanjangan kerana ianya akan berlaku secara sementara semasa peringkat pembinaan.Dalam masa yang sama, aktiviti pembinaan boleh memberi kesan kepada kualiti udara yang serius terutamanya pembinaan stesen yang melibatkan keluasan tapak yang lebih besar. Namun, sedikit kelegaan dihadapi oleh penduduk setempat kerana pembinaan hub stesen yang besar tidak berlaku di daerah Selising ini. Justeru itu, masalah pencemaran ini juga turut mengganggu ketidakselesaan penduduk dan penghuni tempatan seperti batuk halus, sakit tekak dan mata. Malahan, kegiatan harian penduduk setempat sejak pembinaan landasan kereta api turut berubah seratus peratus dan dapat dilihat kanak-kanak tempatan kurang untuk bermain dan beriadah diluar rumah dan penduduk sekitar terpaksa memakai topeng muka (mask) apabila menaiki kenderaan motosikal untuk ke destinasi yang berdekatan akibat pencemaran udara ini.

iii) Keselamatan Awam

Risiko terhadap keselamatan orang awam akibat daripada aktiviti pembinaan landasan kereta api bagi projek ECRL ini telah mewujudkan kebimbangan yang tinggi bagi penduduk sekitar. Hal ini dikatakan demikian kerana aktiviti letupan (blasting) semasa kerja pembinaan memberi risiko pekerjaan dan keselamatan yang tinggi dan boleh menyebabkan kematian. Senario berbahaya lain seperti pemindahan utiliti, banjir kilat dan kemalangan jalan raya pula mempunyai risiko sederhana. Keselamatan awam juga boleh terjejas apabila kejadian berbahaya terjadi ketika pembinaan, terutamanya jika berdekatan dengan kawasan berpenduduk ramai.


Rajah 5. Kawasan Sekolah berdekatan Landasan ECRL.

            Di samping itu, jumlah yang tak terkira kenderaan berat yang keluar masuk di daerah ini turut menyumbang kepada ancaman keselamatan penduduk kerana sepanjang pembinaan landasan ECRL ini terdapat beberapa buah sekolah berdekatan iaitu Sekolah Kebangsaan Kampong Berangan, Sekolah Menengah Kebangsaan Selising dan banyak lagi. Laluan untuk pelajar tempatan ke sekolah ini menggunakan jalan raya utama yang digunakan oleh kenderaan berat ini gunakan yang mencetus kebimbangan ibubapa pelajar terhadap keselamatan anak mereka.

PELBAGAI LANGKAH BAGI  MENGATASI MASALAH TERSEBUT

Justeru itu, terdapat beberapa langkah bagi mengurangkan masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat di daerah Selising, Kelantan. Antara pelbagai caranya adalah dengan mengurangkan bunyi bising dan getaran termasuklah menggunakan metod cerucuk yang rendah bunyi dan getaran (contoh: bored piling), penggunaan penutup dan penghadang peralatan, mengehadkan aktiviti cerucuk dan kerja tanah di waktu siang sahaja, penggunaan penghadang bunyi atau dikenali sebagai 'hoarding' tinggi sementara, penggantian kaedah penggerudian ayunan (oscillation) dan peredaran berbalik (reversed circulation)  dan akhir sekali membuat program pemantauan berterusan. Malahan, langkah kawalan termasuk termasuk penggunaan bahan letupan yang betul untuk mengelakkan kerosakan. Aktiviti letupan akan dimaklumkan kepada penduduk yang berhampiran sebelum dilaksanakan. Pengudaraan yang mencukupi juga disediakan dalam kawasan pembinaan terowong.

Di samping itu, bagi masalah pencemaran udara akibat kesan habuk (fugitive dust) untuk penerima sensitif berhampiran. Kesan habuk (fugitive dust) semasa pembinaan dijangka tidak akan menyebabkan kesan berpanjangan kerana ianya akan berlaku secara sementara semasa peringkat pembinaan. Namun begitu, dengan pelaksanaan langkah kawalan seperti pembangunan secara berperingkat, pembasahan jalan masuk, 'wash trough', 'hoarding' di sekeliling kawasan kerja dan kawalan pergerakan jentera pembinaan, konsentrasi debu dijangka berada dalam keadaan terkawal dan mematuhi Piawaian Kualiti Udara Ambien Malaysia.

Seterusnya, langkah-langkah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas termasuklah pengurusan trafik yang teratur dengan papan tanda amaran dan 'flagmen' yang mencukupi, mengekalkan bilangan lorong di jalan raya utama. Malahan, mengekalkan kelebaran lorong jalan raya pada lebar minimum, iaitu 2.75m – 3.0m, untuk semua jalan raya yang terlibat. Penghadan masa operasi lori atau kenderaan berat pengangkut hanya boleh beroperasi di luar waktu puncak  dan rancangan Pelan Pengurusan Trafik untuk setiap tapak pembinaan perlu disediakan secara sistematik.

Akhir sekali, langkah lain adalah bagi mengekalkan komunikasi dengan penduduk setempat melalui talian 'hotline' dan wakil JKKK adalah penting. Ini untuk menyediakan saluran hubungan yang efektif bagi orang awam menyuarakan pandangan kepada Penggerak Projek berkenaan dengan impak ketika pembinaan. Satu survei 'dilapidation' yang digunakan untuk pembinaan landasan kereta api bandar juga boleh digunakan bagi pembinaan ECRL supaya melegakan kebimbangan di atas kerosakan harta benda. 

KESIMPULAN

Tuntasnya, pelbagai masalah yang terpaksa dihadapi dalam semasa fasa pembinaan projek mega ECRL ini yang memberi impak terhadap alam sekitar termasuk hakisan tanah dan pemendapan dari pembersihan tapak dan kerja tanah, banjir disebabkan sekatan sistem saliran, penjanaan sisa pembinaan, risiko geologi, peningkatan paras bunyi bising, pencemaran udara, impak ekologi, gangguan lalu lintas, impak sosial dan isu-isu yang berkaitan dengan keselamatan awam. Malahan, kesan negatif impak sosial ketika pembinaan akan memberi kesan yang lebih besar kepada komuniti yang tinggal berdekatan dengan jajaran. Impak-impak ini termasuklah penurunan kualiti kehidupan, risiko keselamatan awam, ketegangan dan konflik sosial dan budaya, serta risiko kepada kesihatan awam. Namun begitu, terdapat juga pelbagai kesan yang akan diterima oleh penduduk apabila projek mega ini siap sepenuhnya antaranya adalah peningkatan kegiatan ekonomi dan kesediaan peluang pekerjaan merupakan kesan positif utama semasa pembinaan. Pelbagai peluang pekerjaan akan dijana untuk memenuhi keperluan pembinaan projek ini. Selain itu, faedah sampingan dan peluang perniagaan juga dijangkakan di peringkat tempatan dari segi peluang pekerjaan dan permintaan tinggi hartanah atau perumahan, makanan dan lain-lain perkhidmatan. Justeru itu, penyediaan pelan pengurusan pembinaan, pelan pengurusan alam sekitar, pelan pengurusan trafik dan pelan pengurusan kesihatan awam juga akan membantu kontraktor dalam menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi ketika pembinaan serta dapat mengurangkan impak kepada penduduk berdekatan.

RUJUKAN

BERNAMA. (2019 April 19). Pelaksanaan ECRL bawa limpahan ekonomi. BHonline. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/04/554817/pelaksanaan-ecrl-bawa-limpahan-ekonomi

BERNAMA. (2022 MEI 09). ECRL: Era baharu pengangkutan awam di Kelantan. BHonline. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/05/953521/ecrl-era-baharu-pengangkutan-awam-di-kelantan

Laman Web Jabatan Alam Sekitar Malaysia (2018). Ringkasan Eksklusif: RE Projek ECRL Fasa 2. https://enviro2.doe.gov.my/ekmc/wp-content/plugins/download-attachments/includes/download.php?id=195191

Laman Web Jabatan Alam Sekitar Malaysia. (2021). Ringkasan Eksklusif: RE Projek ECRL Fasa 1. https://enviro2.doe.gov.my/ekmc/wp-content/plugins/download-attachments/includes/download.php?id=225241

MALAYSIA RAIL LINK (MRL). (2017). https://www.mrl.com.my/my/10327/

NAMA: NUR ZAFIRAH BINTI ABD RASID

NO. MATRIK: D20201094270

KULIAH KUMPULAN B [HGM 3033 GEOGRAFI PENDUDUK]

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...