Saturday, June 18, 2022

ISU BANJIR KILAT MENYEBABKAN BERLAKUNYA KESESAKAN LALU LINTAS DI PEKAN SABINDO, PAPAR

GEOGRAFI PENDUDUK - ISU BANJIR KILAT MENYEBABKAN BERLAKUNYA KESESAKAN LALU LINTAS DI SABINDO, PAPAR

 1.0       PENGENALAN

Di Malaysia, peristiwa yang sering kali menghantui penduduk berkaitan bencana alam salah satunya fenomena banjir. Banjir bukanlah sesuatu yang asing bagi kita kerana tinggal di kawasan beriklim tropika dengan menerima taburan hujan tahunan yang tinggi iaitu di antara 1200 militer sehingga melebihi 4000 milimeter. Fenomena ini hampir berlaku pada setiap tahun dan berjaya memusnahkan harta benda awam dan persendirian (Ang Kean Hua, 2016). Bencana banjir yang berlaku dalam negara kita boleh dibahagikan kepada dua iaitu fenomena banjir kilat dan fenomena banjir sungai disebabkan oleh monsun.

 Monsun berlaku disebabkan oleh perbezaan suhu di antara daratan dan lautan hasil pemanasan sinaran matahari dan fasa peralihan monsun akan berlaku pada dua monsun iaitu monsun barat daya dan monsun timur laut yang mana ia berlaku pada pertengahan Mac hingga April dan September hingga Oktober (Jabatan Meteorologi Malaysia, 2022). Manakala, corak cuaca akan kelihatan cerah pada waktu pagi dan kerap berlaku kejadian ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang sangat singkat pada waktu petang hingga awal malam yang terhasil daripada awan kumulonimbus. Lazimnya ia berlaku di kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.

Kini kita dapat lihat trend banjir ini telah menjadi fenomena yang agak membimbangkan kerana berlaku di kawasan yang tidak dijangka sehingga ke kawasan bandar yang padat dengan pembangunan. Dianggarkan kawasan yang mudah dilanda banjir bagi negara kita seluas 9,800 kilometer persegi (Fenomena Banjir di Malaysia, n.a). Maka fenomena banjir tidak dapat dielakkan dalam negara kita Malaysia.

3.0       KAWASAN KAJIAN (PEKAN SABINDO, PAPAR)

Gambar 1: Lokasi Kajian
Sumber: Google Maps

 

Sabindo merupakan sebuah pekan yang terletak di Kinarut dan di dalam daerah Papar. Papar merupakan sebuah bandar kecil yang terletak di bahagian Pantai Barat, Sabah dan terletak 38 kilometer ke selatan bandar raya Kota Kinabalu (Wikipedia, n,a).  Sabah merupakan sebuah negeri kedua terbesar selepas Sarawak dengan jumlah bilangan daerah sebanyak 28 buah daerah dari 5 bahagian daerah. Bahagian daerah itu terdiri daripada bahagian Kudat, bahagian Pantai Barat, bahagian Pendalaman, Sandakan dan bahagian Tawau. 

3.0       RINGKASAN KES


Gambar 2: Jalan Pengalat-Lok kawi
Sumber: Google Maps

 

Pembangunan di kawasan bandar kecil seperti Papar juga akan membawa kepada berlakunya pelbagai bencana alam jika tidak dirancang dengan lebih efisien.  Isu banjir kilat ini sering berlaku di kawasan bandar-bandar kecil di negeri Sabah apabila tiba musim tengkujuh yang berpanjangan. Hal ini dapat dijelaskan apabila lokasi pekan Sabindo sepanjang jalan Pengalat-Lok kawi sering mengalami banjir kilat. Banjir kilat merupakan sejenis banjir yang berlaku dalam masa yang singkat tanpa dijangka dan secara serta-merta (Adi Jafar et al., n.a).

            Lokasi berlakunya banjir kilat ini merupakan laluan utama menuju ke bandar Papar dari ibu kota Sabah. Banjir di kawasan ini telah menyebabkan kesesakan lalu lintas terutama sekali pada waktu puncak hari bekerja. Ditambah pula, laluan di lokasi ini agak sempit kerana kiri dan kanan adalah lokasi perumahan dan bangunan perniagaan. Bukan itu sahaja, laluan akan beralih daripada dua laluan ke satu laluan setelah melepasi bulatan roundabouts. Hal ini dapat diperhatikan melalui gambar rajah 2. Pengguna jalan raya terutama menggunakan kenderaan kecil enggan mengambil risiko untuk meredah banjir kilat dan memberhentikan kenderaan di satu lorong, menyebabkan berlakunya kesesakan teruk sehingga kesesakan dianggarkan mengambil masa sekitar dua jam.

Gambar 3: Jalan Lok Kawi Lawi Industries S8
Sumber: Google Maps.

            Di samping itu, lokasi kajian ini terdapatnya kilang dan gudang berada di jalan Lok Kawi Lawi Industries S8. Hal ini dapat diperhatikan melalui gambar rajah 3. Secara umumnya kawasan ini merupakan tepu bina dan kurangnya kawasan lapang menyebabkan banjir mudah berlaku. Antaranya Aban D Industries, coeltech Types Sdn.Bhd., D'Bundle Mania Warehouse, J&T Express Malaysia Warehouse dan sebagainya. 

            Namun begitu banjir kilat ini tidak menjejaskan taman perumahan di sekitarnya. Hal ini kerana, lokasi perumahan terletak lebih tinggi berbanding kawasan perhubungan dan perniagaan. Boleh dikatakan laluan jalan raya dan bangunan perniagaan seperti stesen minyak Petronas berada di kawasan rendah. Bahkan disebabkan kurangnya kawasan hijau menyebabkan air permukaan meningkat dan mengalir ke kawasan rendah. Apabila air permukaan bertakung di permukaan jalan raya berturap akan mengambil masa yang lama untuk surut. Oleh demikian, lokasi ini merupakan salah satu tempat berlakunya kejadian banjir kilat yang memberikan kesan terhadap kesesakan lalu lintas.  

4.0       PUNCA BANJIR KILAT (PEKAN SABINDO)

Banjir kilat berlaku selain disebabkan faktor semula jadi seperti musim tengkujuh namun ia turut dipengaruhi oleh tindakan manusia yang menjadi penyumbang kepada berlakunya banjir kilat.

       I.          Sistem perparitan dan saliran yang kurang terancang atau tidak diselenggarakan dengan baik.

Salah satu punca berlakunya banjir kilat disebabkan sistem perparitan dan saliran yang tidak dirancang dan diselenggarakan dengan baik. Terdapatnya mendapan pasir dan sampah sarap secara tidak langsung telah mencetekkan parit. Pembinaan sistem saliran yang tidak sistematik iaitu tidak mengikut saiz yang telah ditetapkan.  pengubahsuaian kepada sistem saliran yang tidak mengikut spesifikasi serta mengikut invert level yang betul. Hal ini, mengakibatkan sistem saliran tersebut tidak dapat menampung jumlah kuantiti air yang banyak dalam satu masa.

Perkara begini berlaku disebabkan penguatkuasaan yang lemah dan sikap tidak peduli masyarakat tentang pentingnya menjaga kebersihan. Selain itu juga, kekurangan peruntukan menjadi faktor atau punca utama mengapa kemudahan di bandar-bandar tidak dapat diselenggara dengan baik sehingga menyebabkan Infrastruktur sedia ada tidak dapat menampung pertambahan pembangunan yang telah berlaku di sesebuah kawasan.   


Rajah 4: Pembangunan perniagaan

     II.          Kawasan pembangunan padat

Punca utama timbulnya isu alam sekitar disebabkan oleh proses pembangunan dan kemodenan (Mohd Ayop Abd Razid). Pembangunan dan perkembangan yang pesat di kawasan bandar di negeri Sabah kian meningkat. Hal ini kerana terdapat bab khusus di bawah Rancangan Malaysia ke-12 untuk memastikan pembangunan seimbang dilaksanakan merentasi wilayah dan negeri di seluruh negara (Bernama, 2021). Melalui RMKe-12 ini merupakan strategi pembangunan komprehensif bagi merancakkan pembangunan sosio-ekonomi di negeri-negeri kurang membangun salah satunya negeri Sabah. Hal ini dapat diperhatikan melalui rajah 4 yang mana ia menunjukkan kawasan perniagaan yang giat berkembang sehingga ruang atau kawasan hijau semakin berkurang. 

            Walau bagaimanapun, pembangunan ini sering kali mengabaikan aspek pengurusan alam sekitar. Pembangunan seharusnya menitikberatkan aspek penjagaan alam sekitar kerana ia boleh mendatangkan kepincangan dalam pengurusan sehingga menyebabkan bencana alam. Kawasan berlakunya banjir kilat di kawasan kajian ini berhampiran dengan bangunan perniagaan dan kawasan perumahan menyebabkan bandar menjadi hutan tepu. Kawasan hijau semakin mengecil dan landskap bandar diturap dengan tar untuk tujuan pengangkutan. Hal ini telah menyebabkan larian air permukaan meningkat kerana air hujan tidak dapat meresap ke dalam tanah dan tidak ada pintasan silara dari tumbuhan. Justeru itu, apabila hujan lebat berlaku tanpa saliran yang mampu menampung aliran air maka berlakunya banjir kilat.

5.0       KESAN BANJIR KILAT (PEKAN SABINDO)

Bencana banjir kilat memberikan kesan negatif kepada manusia dan alam sekitar. Salah satu kesan yang berlaku akibat banjir kilat ialah kerosakan jalan raya. Kos pembaikan perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan dengan membaiki kerosakan akibat banjir kilat. Jabatan Kerja Raya Sabah (JKR) merupakan jabatan yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap masalah pembaikan jalan raya. Hal ini kerana aset infrastruktur adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri menerusi peruntukan yang telah diberikan mengikut kerajaan negeri masing-masing (Ahmad Suhael Adnan, 2022). Pembaikan perlu dibuat dengan segera agar mengelakkan berlakunya kemalangan yang tidak diingini sehingga boleh meragut nyawa pengguna jalan raya.

Gambar 5: Kerosakan Kenderaan 

             Selain itu juga masalah banjir kilat ini memberikan kesan terhadap harta persendirian terutama sekali untuk lokasi kajian adalah kenderaan (rujukan rajah 5). Risiko yang tinggi kenderaan sekarang sarat dengan alatan elektronik sensitif kepada kelembapan. Hal ini kerana, apabila kenderaan merendah kawasan banjir terutama kenderaan kecil dan ringan berkemungkinan enjin akan mengalami hydro lock dan komponen elektronik tidak berfungsi (Mohd Rosli Hainin & Nur Izzi Md Yusoff, 2021). Hydro lock ini berlaku apabila air lantai masuk ke dalam kebuk pembakaran dan menghalang enjin daripada berfungsi serta kenderaan yang cuba memandu melalui air turut mengakibatkan enjin menegun hingga menyebabkan kerosakan jika menghidupkan semula enjin. Maka, banjir kilat akan meningkatkan kos perbelanjaan individu untuk membaiki kenderaan.


Gambar 6: Kesesakan Jalan Raya di lokasi kajian (Pekan Sabindo) 

            Tambahan pula, kesesakan lalu lintas boleh mendatangkan masalah kesihatan. Penambahan bilangan kenderaan di atas jalan tidak dapat dielakkan kerana faktor pemilikan kenderaan pada masa kini meningkat disebabkan pelbagai pilihan kenderaan nasional yang mampu milik di pasaran. Berhadapan dengan situasi ini boleh membuatkan tahap tekanan atau stres pemandu melonjak. Menurut Dr. M Singaravelo, iaitu seorang pakar perubatan dalaman KPJ Johor Specialist Hospital menyatakan bahawa sikap seseorang boleh berubah hingga 360 darjah semasa berada di trafik jam (Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah, 2022). Kesesakan ini menjadi perkara yang tidak dapat dielakkan untuk pengguna jalan pekan Sabindo ditambah dengan kesesakan luar biasa akan dialami pada waktu hujan kerana banjir kilat akan berlaku. Hal ini dapat diperhatikan melalui gambar rajah 6. Maka sekiranya ini berlarutan akan menyebabkan seseorang individu itu panas baran dan juga boleh memberikan kesan terhadap jantung.

            Oleh demikian, banjir kilat turut memberikan kesan kepada kewangan kerajaan dan individu yang terlibat. Hal ini kerana, kerajaan perlu menampung kos penambahbaikan jalan raya dan individu pula menampung kos penambahbaikan kenderaan. Maka, kedua-dua keadaan ini akan menelan kos yang sangat tinggi terutama sekali pada masa kini harga barangan semua naik secara mendadak.

6.0       CADANGAN PENYELESAIAN BANJIR KILAT (PEKAN SABINDO)

Dalam laporan JPS telah mencadangkan sistem saliran di setiap kawasan di naik taraf untuk mengelakkan kejadian sama berulang dan kerja-kerja perparitan akan dijalankan untuk mengurangkan risiko banjir kilat pada masa akan datang. Antara pihak yang perlu menjalankan pemantauan dan penyelenggaraan infrastruktur longkang dan perparitan adalah pihak berkuasa tempatan (PBT).

                                         i.          Menyelenggarakan Sistem Perparitan

Parit yang cetek akibat dari bahan-bahan kumbahan hendaklah sentiasa dibersihkan. Menurut NoorHayati (2018), pihak PBT perlu sentiasa melakukan pemantauan dan penyelenggaraan infrastruktur longkang dan sistem perparitan agar mengurangkan risiko kejadian banjir kilat di sesebuah kawasan bandar.

ii.          Menaik Taraf Sistem Perparitan

Tindakan yang wajar diambil untuk mengekang masalah banjir kilat ini dengan menaik taraf sistem perparitan. Melalui langkah ini ia turut membantu menangani masalah limpahan air dari memasuki kawasan jalan raya seperti yang berlaku di lokasi kajian. Kawasan ini walaupun adanya sistem perparitan namun ia tidak dapat menampung jumlah larian air yang meningkat disebabkan oleh pembangunan yang pesat di kawasan sekitarnya. Menurut Sherry (2016), sistem saliran perlulah di selenggara bagi memastikan saliran parit tidak tersumbat dan aliran air tidak tersekat. Maka dengan itu kajian yang terperinci perlu dilakukan oleh pihak-pihak terlibat seperti PBT.

            Selain itu, penyelesaian alternatif sebagai infrastruktur hijau atau strategi pengurusan air hujan yang mampan. Strategi dan pendekatan pengurusan air hujan yang mampan ini melalui Sistem Saliran Bandar Lestari (SUDS), Pembangunan kurang mampan (LID) dan Reka Bentuk Bandar Sensitif Lestari (WSUD). Melalui strategi ini akan mengikut kitaran hidrologi semula jadi berasaskan konsep pengurusan kawalan sumber (Safiah Yusmah Muhamad Yussof & Radiah Thomas, 2021). Hal ini bertujuan meningkatkan pemintasan hujan melalui tumbuh-tumbuhan dan juga meningkatkan penyerapan air hujan ke dalam tanah. Maka melalui langkah ini, dapat mengurangkan kos pembinaan dan penyelenggaraan, pemulihan ekosistem bandar dan mengukuhkan penggunaan ruang dan mesra pengguna (Jabatan Pengairan dan Saliran, 2013).

            Selanjutnya, cadangan yang dapat dikemukakan dengan mengawal pembangunan. Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) perlu memperketatkan lagi undang-undang yang sedia ada dalam meluluskan projek pembangunan yang bakal dijalankan. Kejadian banjir kilat menjadi lebih teruk apabila pihak pemaju tidak bertanggungjawab atas projek pembinaan yang telah mereka jalankan seperti jangka masa projek yang melebihi tempoh yang ditetapkan dan sebagainya. Cadangan seterusnya dengan menutup laluan Pengalat-Lok Kawi dengan membuka satu laluan baru dengan menggunakan jalan Pan-Borneo. Melalui cadangan ini melibatkan pihak polis trafik kerana banjir akan mengakibatkan lalu lintas sesak dan mengganggu serta memperlambat kan pergerakan kenderaan.

KESIMPULAN

Pekan Sabindo merupakan contoh lokasi bandar kecil yang mengalami banjir kilat sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang jalan menuju jalan Pengalat-Lok Kawi. Bencana ini jelas disebabkan oleh pembangunan yang tidak sistematik yang buat oleh beberapa pihak hingga lupa untuk memastikan kelestarian bandar. Banjir kilat menyebabkan kerugian kepada individu bahkan kepada pihak kerajaan negeri juga kerana terpaksa menampung kos pembaikan jalan raya. Maka, perlu diingati isu perubahan iklim ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia turut memberikan impak kepada kehidupan manusia dalam menjalankan aktiviti harian. Kesesakan juga mengakibatkan masalah kesihatan kepada pemandu dan penumpang kenderaan. Oleh demikian, pelbagai pihak perlu berganding tangan dalam menangani isu ini dan pihak berwajib seperti PBT perlu menjalankan tugasan dengan amanah agar isu banjir kilat dapat ditangani dengan baik. 

RUJUKAN

Ang Kean Hua. (2016). Persepsi Masyarakat Terhadap Bencana Banjir Monsun di Malaysia: Kajian Kes Kota Bharu, Kelantan. Malaysia Journal of Society and Space 12 Issue 9(24-31). Diperoleh daripada https://core.ac.uk/download/pdf/86409022.pdf

Jabatan Meteorologi Malaysia. (2022). Laman Rasmi Kementerian Alam dan Air (Monsun), diperoleh daripada https://www.met.gov.my/pendidikan/cuaca/fenomenacuaca

Wikipedia. (n,a). Papar, Sabah. Diperoleh daripada https://ms.wikipedia.org/wiki/Papar,_Sabah

Bernama. (September 23, 2021). Kerajaan akan pastikan pembangunan seimbang merentasi wilayah, negeri menerusi RMK-12. Diperoleh daripada https://www.astroawani.com/berita-malaysia/ kerajaan-akan-pastikan-pembangunan-seimbang-merentasi-wilayah-negeri-menerusi-rmk12-321472

Mohd Ayop Abd Razid. (Disember 17, 2014). Keseimbangan Pembangunan, Alam Sekitar Perlu Diutama. [BH Online]. Diperoleh daripada https://www.bharian.com.my/kolumnis/2014/12/23 675 /keseimbangan-pembangunan-alam-sekitar-perlu-diutama

Muhd Rosli Haninin & Nur Izzi Md. Yusoff. (2021). Usah Pandang Ringan Bahaya Memandu Dalam Banjir. Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ms. 12. Diperoleh daripada https://www.ukm.my/pkk/wp-content/uploads/bsk-pdf-manager/2021/01/BERITA-HARIAN-PM-IR.-DR.-NUR-IZZI-YUSOFF-FKAB.pdf

Safiah Yusmah Muhamad Yusoff & Rafidah Thomas. (2021). Pemetaan Titik Panas Banjir Kilat di Kuala Lumpur. Malaysia Journal of Tropical Geography, 47(1&2): 123-142, diperoleh daripada file:///C:/Users/user/Downloads/14327.pdf

Jabatan Pengairan dan Saliran. (2013). Cabaran Inovasi 2013: Kategori Pengurusan Banjir. Diperoleh daripada https://www.water.gov.my/jps/modules_resources/bookshelf/Laporan_Tahunan_JPS2016/index.html#page/1

Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah. (Mei 20, 2022). Jalan Sesak Boleh Menjejaskan Kesihatan?. [Utusan Malaysia]. Diperoleh daripada https://www.utusan.com.my/gaya/kesih atan/2022/05/jalan-sesak-boleh-jejaskan-kesihatan/

NoorHayati. (Disember 18, 2018). Selenggara Sistem Perparitan Elak Banjir Kilat. [Sinar Harian]. Diperoleh daripada https://www.sinarharian.com.my/article/2930/EDISI/Terengganu/Selenggara-sistem-%20perparitan-elak-banjir-kilat


Nama: Siti Nur Aisyah binti Mohamad Johari 

D20201094293

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...