Friday, June 17, 2022

LIMPAHAN AIR SUNGAI GOLOK MENYEBABKAN KEJADIAN BANJIR DI BANDAR RANTAU PANJANG, KELANTAN.

1.0 PENGENALAN

Bencana banjir merupakan antara bencana yang semakin dominan di berlaku Malaysia. Banjir merujuk kepada kawasan badan air yang melimpah keluar dari tebing sungai, tasik atau sistem perparitan akibat hujan lebat, pencairan ais, air pasang dan halangan pada saluran (Jabatan Pengairan dan Saliran, 2011). Kejadian banjir juga merupakan aliran air yang agak tinggi yang melebihi tebing semula jadi atau buatan manusia di bahagian sungai atau anak sungai. Banjir juga adalah limpahan air yang berlaku di kawasan sekitar yang luas dan dalam.  Dari sudut terminologi teknikal pula, banjir merujuk kepada sumbangan hujan luar biasa yang tidak mampu ditampung oleh sesebuah lembangan sungai dan menyebabkannya melimpah keluar tebing atau dataran banjir (Haliza, 2009). Bencana banjir monsun timur laut merupakan kejadian alam semula jadi yang melanda pada musim tengkujuh iaitu bulan Oktober hingga Februari memberi kesan yang buruk kepada masyarakat setempat. Bencana banjir boleh diklasifikasikan kepada beberapa, iaitu bencana banjir kilat, bencana banjir lumpur, bencana banjir monsun, bencana banjir pantai, bencana banjir bandar, dan bencana banjir hujan-empangan. Namun di Malaysia, hanya beberapa bencana banjir yang sering berlaku, iaitu bencana banjir kilat, bencana banjir lumpur, dan bencana banjir monsun. Ketiga-tiga bencana banjir ini mempunyai definisi yang berbeza.

Rajah 1 Peta Rantau Panjang Kelantan

Sumber: Google maps

 

Rantau Panjang merupakan salah sebuah daerah yang terdapat di dalam Jajahan Pasir Mas. Lokasinya yang bersempadan dengan Negara Thailand menjadikan ia sebagai pintu masuk utama ke Malaysia melalui jalan darat. Dari segi geografi pula, kedudukan Daerah Rantau Panjang berada di antara Sungai Golok di sebelah barat. Daerah Rantau Panjang mempunyai kapasiti bilangan penduduk lebih kurang 18, 159 orang yang terdiri daripada pelbagai bangsa denga keluasan sekitar 93.37 km persegi dan ia merupakan daerah kedua terbesar dalam Jajahan Pasir Mas. Jaraknya dari Bandar Pasir Mas adalah sejauh 25 km, melalui Lebuhraya Pasir Mas Rantau Panjang. Selain itu, ia juga boleh dihubungi melalui jalan Rantau Panjang Lama dan Jalan Kesban Jerang Perdah ke Rantau Panjang serta jalan Kesban Rantau Panjang ke Panglima Bayu. Bandar Rantau Panjang ini sentiasa sibuk dengan aktiviti perniagaan. Setiap kali tibanya musim tengkujuh bandar Rantau Panjang ini akan lumpuh akibat limpahan air Sungai Golok. Penduduk di Rantau Panjang ini sudah terbiasa dengan kejadian banjir yang berlaku pada setiap tahun dan menyebabkan banyak kerugian.

 

2.0 PUNCA BERLAKUNYA BANJIR DI BANDAR RANTAU PANJANG, KELANTAN

 

Rajah 2: Paras Air di Pintu 2

Sumber: BH Online

Banjir di Pantai Timur terutama di Kelantan masih tiada jalan penyelesaian sehingga ke hari ini. Menurut Ishak et. al (2014) sebahagian besar negeri-negeri di negara ini tidak terlepas daripada menerima ancaman banjir besar terutama sekali negeri-negeri di Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang yang sudah biasa dengan fenomena banjir pada musim tengkujuh setiap tahun. Sepanjang tahun 2018, Negeri Kelantan telah menerima purata hujan tahunan sebanyak 2,795.63mm, jumlah ini adalah melebihi daripada purata hujan tahunan sebanyak 2,700mm (Jabatan Pengairan Dan Saliran Malaysia Kementerian Air, Tanah Dan Sumber Asli, 2019). Bencana banjir yang berlaku di Kampung Rantau Panjang Kelantan adalah dikaitkan dengan beberapa faktor sama ada faktor semula jadi dan faktor manusia. 

            Antara punca berlakunya banjir di Bandar Rantau Panjang, Kelantan ialah limpahan air Sungai Golok. Kedudukan Bandar Rantau Panjang, Kelantan antara sempadan negara Malaysia dan Thailand menyebabkan kawasan Rantau Panjang mudah untuk ditenggelami air. Apabila air Sungai Golok sudah penuh maka ia akan melimpah ke kawasan sempadan Malaysia iaitu Rantau Panjang. Apabila dilihat melalui Rajah 4 terdapatnya pembinaan benteng di sebelah negara Thailand menyebabkan limpahan air tersebut akan lebih banyak ke Bandar Rantau Panjang. Penduduk mengatakan bahawa pembinaan benteng tersebut merupakan salah satu punca berlakunya banjir yang teruk pada tahun 2022. Pembinaan benteng yang dibuat oleh negara Thailand hanya menyelamatkan penduduk di negara Thailand sahaja, manakala penduduk di Rantau Panjang akan mengalami masalah banjir. Oleh hal yang demikian, limpahan air Sungai Golok merupakan salah satu terjadinya banjir yang teruk di Rantau Panjang baru-baru ini.

 

3.0 KESAN BANJIR DI BANDAR RANTAU PANJANG, KELANTAN

Antara kesan banjir kepada penduduk di Rantau Panjang Kelantan ialah kerosakan harta benda. Banjir boleh merosakkan barang-barang berharga kepunyaan mereka akibat air banjir yang naik secara mendadak menyebabkan barangan tidak dapat diselamatkan. Selain itu, perkakas rumah yang ditenggelami air menyebabkan ianya mengalami kerosakan dan tidak boleh digunakan lagi. Oleh hal yang demikian, mangsa-mangsa banjir akan mengalami kerugian dan memerlukan kos yang tinggi untuk menggantikan semula segala peralatan yang sudah rosak akibat banjir. Kebanyakan penduduk di Rantau Panjang bekerja sebagai peniaga, banyak kerugian yang mereka tanggung akibat banjir. Paras air di bandar Rantau Panjang ditenggelami air sedalam kira-kira 0.5 meter. Terdapat peniaga barangan dapur dan barangan elektrik lain mengalami kerugian dianggarkan bernilai hampir RM10,000 kerana tidak dapat menyelamatkan barangan tersebut memandangkan air naik terlalu cepat. Oleh hal demikian, ramai juga peniaga-peniaga lain yang telah mengalami kerugian akibat daripada kesan banjir ini. Tegaslah bahawa, kesan banjir ini boleh merosakkan harta benda dan mangsa-mangsa banjir perlu mengeluarkan modal untuk membeli peralatan baru.


Rajah 3. Peniaga lelong barangan yang ditenggelami banjir

Sumber: BH Online

            Selain itu, kesan banjir ini kepada penduduk Bandar Rantau Panjang, Kelantan ialah sistem perhubungan juga akan terjejas. Antaranya sumber elektrik, sistem pengangkutan dan sebagainya. Apabila kawasan tempat tinggal penduduk telah dipenuhi air maka sistem perhubungan terputus dan menyukarkan bagi pihak yang membantu mengeluarkan mangsa banjir dan memindahkan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Hal ini dapat dilihat apabila kejadian banjir yang berlaku awal tahun 2022 di mana lebih 300 penduduk Kampung Tersang, Rantau Panjang terputus hubungan apabila jalan utama kampung tersebut telah ditenggelami air melepasi paras lutut dan tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan (Utusan Malaysia, 2021). Dalam pada masa yang sama agensi yang membantu mangsa banjir juga mengalami kesukaran untuk menghulurkan bantuan memandangkan semua jalan-jalan utama telah ditenggelami air. 

Rajah 3. Proses pemindahan mangsa banjir

Sumber: BH Online

            Seterusnya, kesan kejadian banjir ini kepada penduduk Rantau Panjang, Kelantan ialah kesihatan penduduk terjejas. Apabila berlakunya kejadian banjir penyakit bawaan air dan makanan kerap berlaku semasa dan selepas kejadian banjir antaranya Demam Kepialu (Typhoid), Taun/Kolera, Hepatitis A, Disentri dan keracunan makanan. Gejala penyakit ini seperti cirit-birit, muntah, demam, sakit perut, dan sakit kepala. Cara jangkitan penyakit ini adalah melalui meminum air atau memakan makanan yang telah dicemari oleh kuman-kuman penyakit tersebut. Penyakit ini sangat mudah berjangkit dan ianya berbahaya kepada kesihatan penduduk. Kejadian penyakit ini sentiasa dipantau dan dikawal oleh pihak Kesihatan. Hal ini kerana penyakit bawaan air ini berisiko tinggi kerana boleh membawa maut.  

 

4.0 LANGKAH-LANGKAH MENGATASI MASALAH BANJIR DI BANDAR RANTAU PANJANG, KELANTAN

Antara langkah-langkah bagi mengatasi masalah banjir di Bandar Rantau Panjang, Kelantan ialah menyediakan Sistem Perparitan yang sistematik. Parit-parit dan sungai yang telah cetek akibat daripada bahan-bahan kumuhan, sampah sarap dan sebagainya hendaklah sentiasa dibersihkan bagi mengelakkan air hujan bertakung. Projek Pendalaman Sungai juga perlu dijalankan, hal ini kerana kebanyakan kejadian banjir berlaku kerana sungai yang cetek. Jika dahulu sungai mampu mengalirkan sejumlah air yang banyak dalam sesuatu masa, kini pengaliran telah berkurangan. Ini disebabkan proses pemendapan dan pembuangan bahan-bahan buangan. Langkah bagi menangani masalah banjir yang berlaku di Rantau Panjang. Kedalaman sungai Golok perlu diperdalam bagi mengelakkan limpahan air sungai tersebut. Memandangkan sempadan Thailand telah membina benteng yang kukuh di sepanjang sungai Golok menyebabkan limpahan air tersebut akan memasuki kawasan Rantau Panjang dengan cepat. Oleh itu, pihak berwajib perlu mengatasi masalah ini dengan segera supaya apabila tibanya musim tengkujuh penduduk tidak perlu bimbang akan kejadian banjir.  

Rajah 4. Benteng kawalan banjir negara Thailand

Sumber: The Sun Daily

            Seterusnya, langkah mengatasi banjir, pihak kerajaan juga perlu bersama-sama mengawal aktiviti manusia. Banjir yang berlaku terutamanya di bandar Rantau Panjang disebabkan oleh pembuangan sampah dan sisa industri ke dalam sungai dan parit. Bagi menangani masalah ini, tahap kesedaran masyarakat perlu dipertingkatkan supaya aktiviti negatif ini tidak terus dilakukan seperti mengadakan kempen mencintai sungai dan sebagainya. Badan-badan tertentu juga harus bertanggungjawab menentukan sungai sentiasa bersih dan tidak dijadikan tempat pembuangan sampah. Namun, kenyataan yang berlaku sekarang, tebing sungai kelihatan bersih dan cantik, sehinggakan mengundang orang ramai untuk berehat sambil menghirup udara petang. Sebaliknya, di dasar sungai sarat dengan sampah sarap. Hal ini telah diambil tindakan oleh Majlis Daerah Pasir Mas supaya sungai berada dalam keadaan yang bersih.

            Selain itu, langkah yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah banjir ini ialah kawasan perumahan perlu disediakan sistem perparitan yang sempurna. Banjir sering berlaku apabila air yang bertakung di sesuatu tempat tidak dapat mengalir ke kawasan yang rendah untuk dialirkan ke sungai. Apabila hal ini berlaku, terjadilah banjir setelah hujan lebat turun tanpa henti. Oleh hal demikian, sistem perparitan hendaklah di selenggara dan di periksa dari semasa ke semasa. Hal ini perlu diberikan perhatian kerana terdapat kawasan perumahan yang dimajukan dengan sistem perparitan yang terkini, namun air dari parit itu tidak dapat mengalir ke taman perumahan berdekatan sebelum air tersebut dapat mengalir ke sungai. Hal ini dapat dilihat di kawasan perumahan PR1MA Lubuk Jong yang berdekatan dengan bandar Rantau Panjang keseluruhannya ditenggelami air banjir akibat sistem perparitan yang tidak terancang, tambahan pula kawasan tersebut merupakan kawasan takungan air sebelum ianya dibina menjadi kawasan perumahan. Oleh hal yang demikian, diharapkan pihak yang berwajib boleh mengatasi masalah banjir ini kerana ia boleh menyebabkan kerugian yang besar kepada penduduk di kawasan tersebut. 


Rajah 5. Keadaan banjir di Taman Perumahan PR1MA Lubuk Jong

Sumber: Harian Metro

 

5.0 KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya, semua pihak haruslah bersama-sama dan berganding bahu untuk menangani masalah banjir ini. Fenomena banjir yang berlaku di Rantau Panjang, Kelantan ini bukanlah kali pertama tetapi ianya berlaku setiap tahun apabila tibanya musim tengkujuh. Fenomena banjir yang berlaku pada awal tahun 2022 ini sangat teruk berbanding bah kuning pada tahun 2014. Kejadian banjir juga turut memberi kesan buruk kepada penduduk kerana setiap tahun terpaksa membeli peralatan baru bagi menggantikan barangan yang ditenggelami air banjir.

Oleh itu, pihak yang berwajib dan anggota masyarakat perlulah sedar bahawa tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar tidak terletak di bahu kerajaan semata-mata. Malahan tanggungjawab pihak berwajib juga perlu meneliti semula langkah-langkah yang boleh dilakukan bagi mengelakkan limpahan air dari Sungai Golok. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memandang serius berkaitan dengan isu banjir ini, hal ini kerana kejadian banjir ini sudah lama berlaku sehingga kerajaan Thailand boleh membina benteng mengawal banjir bagi negara mereka. Jelaslah bahawa, pihak berwajib juga perlu mengambil inisiatif baru terhadap isu ini supaya penduduk di Rantau Panjang dan sekitarnya tidak mengalami kerugian yang besar apabila tibanya musim tengkujuh.

RUJUKAN

Beranama. (2022, 28 Februari) Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Kelantan terus meningkat. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/02/815342/jumlah-mangsa-banjir-di-terengganu-kelantan-terus-meningkat

Google Maps

Haliza Abdul Rahman (2009) Suatu tinjauan terhadap permasalahan banjir kilat di Lembah Klang. In: Nasir Nayan et al. (eds) Persekitaran fizikal di Malaysia: Isu dan cabaran semasa, pp. 31-43. Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim.

https://www.google.com/maps/search/peta+rantau+panjang/@6.131203,101.8706376,10.6z

Ishak, Noor Syamimi, Mohamed Dali & Azharuddin (2014) Banjir besar 1926 di Semenanjung Malaysia. In: 23rd International Conference of Historians of Asia 2014 (IAHA2014), 23 - 27 August 2014, Alor Setar, Kedah, Malaysia. http://repo.uum.edu.my/id/eprint/14551/

Jabatan Pengairan dan Saliran (2011) Pengurusan banjir: Program dan aktiviti (Diakses pada 12 Jun 2022). Diperoleh daripada www.water.gov.my

Jabatan Pengairan Dan Saliran Malaysia Kementerian Air, Tanah Dan Sumber Asli. (2018/2019). Laporan Banjir Tahunan 2018/2019. http://h2o.water.gov.my/man_hp1/LBT2018_2019.pdf

Mohd Zulkifli Zainuddin. (2017, November 28). Banjir makin buruk di Kelantan. BH Online. https://www.bharian.com.my/berita/k es/2017/11/356459/banjir-makin-buruk-di-kelantan

Nor Fazlina Abdul Rahim. (2022, Februari 27). Banjir Rantau Panjang kini ulangi situasi bah Kuala Krai pada 2014. BH Online. https://origin.bharian.com.my/berita/nasional/2022/02/927967/banjir-rantau-panjang-kini-ulangi-situasi-bah-kuala-krai-pada-2014

Syaherah Mustafa. (2017, Januari 6). Peniaga Rantau Panjang lelong barang akibat banjir. BH Online. https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/2645/2017/01/231070/peniaga-rantau-panjang-lelong-barang-akibat-banjir

The Sun Daily. (2020, 7 Mei). Sungai Golok flood mitigation project will benefit 45,700 residents. https://www.thesundaily.my/local/sungai-golok-flood-mitigation-project-will-benefit-45700-residents-JL2683182

Yatimin Abdullah. (2021, Disember 20). Banjir: Kampung Tersang pertama kali 'terputus' hubungan. Utusan Malaysia. https://www.utusan.com.my/terkini/2021/12/banjir-kampung-tersang-pertama-kali-terputus-hubungan/

 

 

NAMA: NORNABILAH BINTI MA'AROH

NO MATRIK: D20201094297

KUMPULAN: A





No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...