Friday, June 17, 2022

FENOMENA KEPALA AIR DAN BANJIR KILAT MENGANCAM KESELAMATAN PENDUDUK DI YAN BESAR, YAN, KEDAH

FENOMENA KEPALA AIR DAN BANJIR KILAT MENGANCAM KESELAMATAN PENDUDUK DI YAN BESAR, YAN, KEDAH

1.0  PENGENALAN

Fenomena kepala air yang dikaitkan dengan hujan lebat bukan sesuatu yang asing di Malaysia. Kejadian sebegini boleh dikatakan setiap tahun berlaku di negara kita sehingga mengorbankan banyak nyawa. Fenomena tersebut turut menyebabkan kadar air sungai meningkat secara mendadak dan banjir kilat di kawasan penempatan terutama di kawasan yang rendah sehingga menyebabkan kemusnahan harta benda. Kejadian ini boleh berlaku di kawasan peranginan, kawasan hutan simpan dan kawasan cerun tinggi seperti air terjun dan sebagainya.

Manakala, kejadian banjir kilat merupakan keadaan air yang menenggelami sesuatu kawasan atau tempat luas yang biasanya kering dalam tempoh yang singkat. Banjir kilat boleh berlaku di kawasan rata yang rendah apabila menerima isipadu air yang sangat banyak ketika hujan turun sehingga sistem saliran tidak mampu untuk menampung kuantiti air yang sangat banyak dalam satu-satu masa. Kebiasaannya, kejadian banjir kilat ini berlaku dalam tempoh beberapa jam sahaja sebelum keadaan kembali baik seperti sediakala.

Rajah 1: Kawasan yang kerap mengalami fenomena kepala air dan banjir kilat. 

2.0  RINGKASAN KES

Fenomena kepala air dan banjir kilat yang dimaksudkan di atas ialah bencana alam yang telah berlaku di mukim Yan Besar, Yan, Kedah pada 18 Ogos 2021 hari rabu sekitar jam 4:45 petang. Antara kawasan yang terjejas ialah Pusat Rekreasi Titi Hayun, Air Terjun Seri Perigi, Batu Hampar serta lebih 30 kampung dan 10 chalet yang menerima kesan daripada kejadian tersebut. Mangsa yang terkorban juga dilaporkan seramai enam orang manakala seorang mangsa hanya mengalami kecederaan yang telah menerima rawatan di Hospital Yan.

Kejadian ini berlaku setelah hujan lebat selama hamper empat jam turun di kawasan ini sehingga memecahkan kawasan takungan air di kawasan Gunung Jerai yang mengakibatkan banyak lumpur, batu, tanah dan juga tumbuh-tumbuhan. Fenomena ini berlaku buat kedua kalinya, pada 20 Oktober 2021 namun tiada mangsa yang terkorban. Oleh itu, pelbagai kesan dan langkah yang diambil oleh pihak bertanggungjawab bagi mengurangkan beban yang ditanggung mangsa dan juga tindakan bagi mengelakkan daripada kejadian seumpama ini berlaku lagi pada masa akan datang. Maklumat lebih lanjut boleh ditonton melalui pautan link di bawah.

Rajah 2: Peta kawasan bencana berlaku di Yan Besar, Yan, Kedah.

 

Rajah 3: Laporan berita Buletin Utama TV3, 18 Ogos, 2021.

Pautan berita penuh: https://youtu.be/Sjn77bSTTVg

3.0  FAKTOR BERLAKUNYA BANJIR KILAT DAN KEPALA AIR

Fenomena kepala air dan banjir kilat ini berlaku berpunca daripada pelbagai faktor seperti aktiviti manusia dan juga faktor alam sekitar fizikal. Antara aktiviti manusia yang menyebabkan kejadian ini berlaku ialah aktiviti pembalakan, aktiviti kuari, aktiviti pembandaran dan juga aktiviti eko-pelancongan yang giat dilakukan di kawasan-kawasan pusat peranginan. Tambahan lagi, antara faktor yang berpunca daripada alam sekitar fizikal seperti hujan yang lebat dalam tempoh yang lama dan juga kejadian air pasang besar. Apabila kedua-dua faktor ini berlaku, maka akan terjadinya fenomena kepala air dan banjir kilat yang amat dahsyat.

Hal ini dikatakan sedemikian kerana, aktiviti pembalakan dan kuari yang dilakukan di kawasan Gunung Jerai telah menyebabkan struktur tanih menjadi tidak kukuh dan longgar apabila menerima kadar larian air permukaan yang tinggi. Tanih dan juga sisa pepejal lain seperti kayu akan memendapkan dasar sungai dan menyebabkan sungai menjadi cetek dan membentuk tandop di kawasan sungai. Namun, apabila hujan yang lebat turun tanpa henti akan menyebabkan paras air sungai akan meningkat dengan cepat beserta arus deras akan mengalir di sungai yang terdapat di Gunung Jerai. Seterusnya, aliran deras tersebut akan menolak sisa pepejal dan tanih yang membentuk tandop itu sehingga pecah dan menyebabkan limpahan air yang sangat banyak ke kawasan sekitar kaki Gunung Jerai yang memberi kesan kepada ribuan rumah penduduk setempat. Kawasan aktiviti pembalakan dan kuari yang dilakukan di Gunung Jerai boleh dilihat melalui pautan berita di bawah.

Rajah 4: Kawasan aktiviti pembalakan dan kuari yang giat dijalankan di Singkir, Yan, Kedah.

Pautan berita penuh: https://youtu.be/a-AtzU6Wsq0 


      Selain itu, kejadian air pasang besar juga menyumbang kepada berlakunya banjir kilat. Hal ini kerana, daerah Yan yang terletak di sepanjang kawasan pinggir pantai barat semenanjung Malaysia sering mengalami fenomena air pasang besar pada waktu tertentu setiap tahun. Air sungai dari Gunung Jerai akan mengalir hingga ke muara sungai di Yan Besar dan terus ke laut yang terdapat penempatan di sekitar pantai tersebut. Apabila fenomena air pasang besar berlaku pada waktu yang sama hujan turun dengan lebat, maka akan terjadinya kejadian banjir kilat di Yan Besar kerana laut tidak dapat menampung kapasiti air sungai yang lebih tinggi berbanding hari kebiasaanya. Oleh itu, air yang melimpah keluar daripada sungai akan menenggelamkan kawasan sekitar yang lebih rendah seperti di Kampung Pantai Murni, Yan.

Rajah 5: Fenomena air pasang besar di Pantai Murni, Yan,Kedah

Pautan berita penuh: https://youtu.be/O1MtZd5zleM 

4.0  MASALAH AKIBAT DARIPADA FENOMENA KEPALA AIR DAN BANJIR KILAT

Kejadian kepala air dan banjir kilat yang berlaku telah menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk setempat terutamanya kerana kejadian sebegini telah menyebabkan banyak kerugian dan trauma. Kejadian ini merupakan bencana terburuk yang pernah terjadi kerana melibatkan lebih daripada 1000 penempatan terjejas dan musnah akibat dihanyutkan arus yang deras. Terdapat beberapa inap desa yang terletak di Batu Hampar, Yan telah dihanyutkan oleh arus deras sehingga mengorbankan seorang warga emas yang telah uzur yang berusia 70'an. Jasadnya telah ditemui oleh pasukan penyelamat yang giat melakukan operasi mencari dan menyelamat di sepanjang sungai tersebut. Dalam keadaan tertimbus oleh tanah dan pokok. Kejadian sebegini sudah pasti akan menyebabkan berlakunya trauma kepada keluarga mangsa yang terlibat selain kehilangan tempat kediaman.

Rajah 6 : Keadaan di Batu Hampar,Yan yang musnah akibat kejadian kepala air.

 

            Selain itu, kejadian kepala air yang berlaku juga telah menyebabkan sistem perhubungan terputus di Kampung Setol, Yan kerana roboh akibat arus yang sangat deras beserta pokok-pokok dan batuan besar yang hanyut. Keadaan ini telah menyukarkan penduduk kampung tersebut untuk melakukan aktiviti harian seperti pergi kerja, menghantar anak ke sekolah dan mencari makanan. Oleh itu, penduduk perlu menggunakan jalan yang lebih jauh untuk pergi ke kawasan lain kerana tiada pilihan. Kesannya, penduduk terpaksa membina titi sementara bagi membolehkan motosikal sahaja melaluinya bagi menjimatkan masa walaupun risiko agak tinggi untuk menggunakannya ketika musim tengkujuh sementara menunggu titi baharu siap dibina sepenuhnya yang mengambil masa berbulan-bulan.

Rajah 7: Lokasi titi Kampung Setol yang telah roboh akibat dihanyutkan arus deras.

 

5.0  CADANGAN PENYELESAIAN

Bagi mengelakkan daripada kejadian sebegini berlaku lebih teruk berlaku pada masa akan datang, beberapa tindakan yang boleh dilakukan bagi mengurangkan kesan jika kejadian ini berlaku lagi. Antaranya ialah dengan membina empangan sabo supaya dapat menyekat lebih banyak sisa pepejal yang dibawa bersama arus deras ketika berlakunya kepala air. Dengan ini, aliran arus deras juga dapat dikurangkan daripada terus melimpah keluar daripada sungai yang boleh menyebabkan banjir kilat berlaku. Empangan sabo yang dibina ini bersifat seperti jarring yang menapis sampah daripada terus melaluinya. Terdapat dua empangan sabo sedang dibina di Titi Hayun, Yan memandangkan kawasan ini yang paling terjejas ekoran kejadian kepala air yang berlaku tahun lepas. 

Rajah 8: Lokasi pembinaan empangan sabo di Titi Hayun,Yan

 

Selain itu, cadangan yang boleh dilakukan adalah dengan membina batu sangkar di sepanjang tebing sungai yang terjejas. Keadaan ini disebabkan terdapat banyak sungai yang mengalami runtuhan tebing kerana hakisan yang berlaku. Tambahan lagi, kurang tumbuh-tumbuhan untuk mencengkam stuktur tanih di sepanjang tebing sungai juga mendorong berlakunya proses pemendapan sungai. Kesannya, jika dibiarkan dalam tempoh yang lama, air sungai akan mudah melimpah walaupun menerima kadar hujan yang rendah kerana sungai yang cetek. Tambahan lagi, terdapat tebing sungai yang runtuh akibat hakisan melebihi 10 meter telah menyebabkan kawasan tanah pemilik asal menjadi kecil akibat daripada runtuhan tebing sungai. Perkara yang sama juga telah berlaku di Air Terjun Seri Perigi, Yan dimana keadaan sungai telah menjadi cetek setelah runtuhan tebing sungai berlaku semasa kejadian kepala air tersebut.

Rajah 9: Air Terjun Seri Perigi yang mengalami runtuhan tebing dan pemendapan sungai akibat kejadian kepala air.

 

6.0  KESIMPULAN

Kesimpulannya, fenomena kepala air dan banjir kilat yang berlaku di Yan Besar, Yan telah memberi pelbagai kesan terhadap alam sekitar fizikal dan alam sekitar manusia. Oleh itu, pihak bertanggungjawab sedang giat melakukan pelbagai langkah pencegahan bagi mengurangkan impak kepada alam sekitar sekiranya kejadian sebegini berlaku lagi pada masa yang akan datang bagi menjamin keselamatan penduduk setempat. Justeru, kita hendaklah sentiasa memelihara kelestarian alam yang tidak terhingga nilainya supaya dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang.

RUJUKAN

Alam, B., Banjir Besar, I., Komuniti, T., Di, T., Dungun, H., Perspektif, S., Bencana, S., Yusoff, S., Abdul, R., Fakulti, A., Sosial, S., Kemanusiaan, U., Malaysia, & Bangi. (n.d.). Bencana Alam dan Impak Banjir Besar 2014 Terhadap Komuniti Tempatan di Hulu Dungun, Terengganu: Satu Perspektif Sosiologi

Berita Harian Online (2021, Ogos 19) Ombak kuat, air pasang tinggi bimbangkan pengunjung pantai daripada https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10/873912/ombak-kuat-air-pasang-tinggi-bimbangkan-pengunjung-pantai

Buletin Utama TV3 (2021, Ogos 18) KEPALA AIR I Fenomena Kepala Air, Banjir Kilat Landa Titi Hayun https://youtu.be/Sjn77bSTTVg

Sharifah Meryam & Haryati Shafii. ‌(2012). Pengurusan Sistem Saliran Dalam Menangani Masalah Banjir Di Batu Pahat, Johor. Isu-Isu Alam Sekitar Dan Kelestarian, 125-146

Siti Nurul Temrin & Azahan Awang. (2017). Bencana Banjir dan Tahap Pengetahuan Penduduk Terhadap Pengurusan Banjir di Serian, Sarawak. Geografia Malaysian Jorunal of Society and Space 13(4). 22-36

 

MUHAMMAD AIZAD BIN LUTFI AMER

D20201094284

HGM3033 (B)

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...