Saturday, June 18, 2022

BENCANA BANJIR DAN KESANNYA KEPADA PENDUDUK DI BANDAR TEMERLOH, PAHANG

1.0  PENGENALAN

Umum mengetahui bahawa, kedudukan Malaysia terletak di kawasan beriklim tropika akan menerima jumlah hujan yang tinggi pada setiap tahun. Malaysia mendapat curahan hujan yang lebat sepanjang tahun iaitu di antara 2 000 mm hingga 3 000 mm dalam setahun (Nor Irza Shakhira Bakhtir, 2015). Penerimaan jumlah hujan yang tinggi akan menyumbang kepada berlakunya banjir di sesebuah kawasan. Bencana banjir dipengaruhi oleh faktor iklim yang merangkumi taburan hujan, suhu, pergerakan angin, kadar sejatan dan faktor semulajadi.

Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (2022), banjir boleh ditakrifkan sebagai badan air yang melimpah keluar dari tebing sungai, tasik atau sistem perparitan disebabkan oleh hujan lebat, pencairan ais, air pasang dan halangan pada saluran. Banjir boleh dikaitkan kepada beberapa kategori iaitu banjir kilat, banjir pasang surut dan banjir pantai, banjir sungai, banjir air bawah tanah dan banjir pembentungan. Bencana banjir merupakan salah satu fenomena yang tidak asing di Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana, banjir berlaku pada setiap tahun sama ada di kawasan rendah mahupun kawasan tinggi khususnya pada musim terkujuh di kawasan Semenanjung Pantai Timur Malaysia seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sarawak.

Bencana banjir yang melanda Pantai Timur Semenanjung Malaysia dipengaruhi oleh fenomena angin monsun timur laut. Fenomena ini berlaku dari bulan November hingga Mac. Kawasan yang terdedah dengan tiupan angin monsun timur laut cenderung mempunyai jumlah hujan yang tinggi semasa musim tersebut seperti di bandar Temerloh, Pahang. Fenomena ini mengakibatkan berlakunya bencana banjir iaitu keadaan air yang menenggelami sesuatu kawasan atau tempat yang luas. Bandar Temerloh merupakan salah satu bandar yang mengalami bencana banjir yang teruk terutamanya pada tahun 2014. Daerah Temerloh mengalami impak yang besar akibat banjir ketika itu disebabkan kedudukannya yang terletak di antara Sungai Pahang dan Sungai Semantan yang ditenggelami air (Safiah Yusmah Muhammad Yusoff & Rafidah Thomas, 2021). Walaubagaimanapun pada tahun 2022, bencana banjir besar terjadi sekali lagi dan memberi kesan yang mendalam kepada penduduk yang tinggal di Bandar Temerloh. Menurut Portal Info Bencana yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (2022), daerah Temerloh mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 5,764 penduduk. 

2.0 LOKASI KAWASAN KAJIAN

Kawasan kajian dijalankan di bandar Temerloh. Bandar Temerloh merupakan sebuah bandar yang terletak di negeri Pahang. Bandar Temerloh bukan sahaja dikenali sebagai bandar ikan patin malah turut dikenali sebagai titik tengah semenanjung Malaysia kerana kedudukannya berada di antara Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Temerloh terletak 131 Kilometer dari Kuala Lumpur dan 110 Kilometer dari bandar Kuantan. Bandar Temerloh merupakan bandar kedua terbesar dari segi pembangunan di Pahang selepas bandar Kuantan dengan mencatatkan jumlah penduduk melebihi 100 ribu orang dengan keluasannya 225,086 hektar (2,251 km persegi).

Rajah 1: Peta Kedudukan bandar Temerloh daripada Google Maps

Rajah 2: Keadaan bandar Temerloh, Pahang

2.0 FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI BENCANA BANJIR DI BANDAR TEMERLOH

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi bencana banjir di bandar Temerloh, Pahang. Salah satu daripadanya adalah disebabkan hujan lebat secara berterusan. Menurut Siti Nurul Annisa Temrin dan Azahan Awang (2017), keadaan dimana hujan lebat yang berlaku pada jangka masa yang panjang secara berterusan dan berpanjangan boleh menyebabkan peningkatan kuantiti air yang lebih besar daripada biasa. Lazimnya, pada musim terkujuh bandar Temerloh menerima jumlah hujan yang tinggi. Situasi ini menyebabkan paras air sungai Pahang meningkat seterusnya melimpah ke kawasan-kawasan rendah yang berhampiran. Pada musim terkujuh tahun 2014, bandar Temerloh mengalami bencana banjir yang sangat dasyat dimana merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya (Sinar Harian, 2021). Dapat juga dilihat bahawa, jambatan gantung di Esplanade Temerloh tenggelam disebabkan oleh peningkatan air sungai Pahang secara mendadak akibat daripada hujan secara berterusan. Oleh itu, jelaslah bahawa hujan secara berterusan merupakan faktor utama berlakunya bencana banjir di bandar Temerloh, Pahang. 

Rajah 3: Jambatan Esplanade Temerloh sebelum bencana banjir

Rajah 4: Jambatan Esplanade Temerloh selepas bencana banjir

Selain itu, sistem perparitan dan saliran yang tidak terancang juga merupakan faktor yang dominan berlakunya bencana banjir di bandar Temerloh. Hal ini dikatakan demikian kerana, terdapat sistem perparitan dan saliran yang dibina tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti saiz kedalaman dan kelebaran sistem saliran terutamanya di kawasan perumahan dan deretan kedai. Sebagai contoh, taman perumahan di Taman Temerloh Jaya, Taman Sri Bahagia dan Taman Chengal sering dinaiki air berpunca daripada sistem saliran yang tidak terancang. Sistem perparitan dan saliran yang kecil, sempit dan cetek tidak mampu untuk menampung jumlah air hujan yang banyak melebihi kapasiti longkang dan seterusnya berlaku limpahan air ke kawasan sekitarnya. Tambahan lagi, sistem perparitan di bandar Temerloh juga tidak bersifat menyeluruh dan hanya terdapat di kawasan tertentu sahaja. Kuantiti longkang yang tidak mencukupi mengakibatkan air tidak dapat mengalir ke sungai atau parit yang berdekatan sekaligus menyebabkan berlakunya banjir. Justeru itu, sistem perparitan dan saliran yang tidak sistematik mendorong kepada berlakunya bencana banjir di bandar Temerloh.

Rajah 5: Keadaan sistem saliran yang tidak terancang di Taman Temerloh Jaya

Sumber: Penduduk Taman Temerloh Jaya

Pemendapan dan hakisan sungai turut menyumbang kepada berlakunya bencana banjir di bandar Temerloh. Secara amnya, hakisan sungai terbahagi kepada dua iaitu faktor semula jadi dan faktor sisa domestik manusia (Nor Baizura, 2014). Dalam konteks bencana banjir di bandar Temerloh, hujan yang turun dengan lebat khususnya pada musim terkujuh akan menghakis tebing-tebing sungai. Hal yang demikian mengakibatkan bahan-bahan seperti pasir, batu serta butiran tanah terhakis dan masuk ke dalam sungai. Di samping itu, kewujudan Tapak Pekan Sehari yang terletak berhampiran sungai Pahang turut menjadi penyumbang utama kepada pembuangan sampah seperti botol, sisa makanan, plastik, bekas minuman dan sebagainya ke dalam sungai. Situasi-situasi ini mengakibatkan berlaku pemendapan di dasar sungai. Kesannya, sungai Pahang menjadi cetek dan isipadu sungai akan bertambah seterusnya melimpah membanjiri kawasan sekitarnya.

Akhir sekali, faktor yang mempengaruhi berlakunya bencana banjir di bandar Temerloh ialah proses pembandaran. Umum mengetahui bahawa, proses pembandaran di sesebuah kawasan mendatangkan pelbagai implikasi yang positif kepada negara. Walaubagaimanapun, penebangan kawasan hutan untuk melaksanakan pembinaan infrastruktur seperti kawasan petempatan, jambatan, premis-premis perniagaan dan sebagainya di bandar Temerloh telah memberi kesan kepada penduduk dan juga alam sekitar. Menurut Mohmadisa Hashim & Mohamad Suhaily (2010), kawasan hutan berperanan sebagai kawasan tadahan air. Ketiadaan hutan menyebabkan ketiadaan akar pokok untuk menyerap air hujan ke dalam tanih sekaligus meningkatkan larian air permukaan. Jika diperhatikan, berdasarkan rajah 6, permukaan bangunan dan jalan yang berturap juga mengakibatkan proses resapan tidak berlaku. Keadaan ini secara tidak langsung mempengaruhi berlakunya bencana banjir di bandar Temerloh.

Rajah 6: Permukaan berturap di bandar Temerloh

Sumber: http://perantaukite.blogspot.com

4.0 KESAN BENCANA BANJIR KEPADA PENDUDUK BANDAR TEMERLOH

Antara kesan bencana banjir kepada penduduk di bandar Temerloh ialah kerosakan dan kemusnahan harta benda. Hal ini dikatakan demikian kerana, kenaikan air secara mendadak memasuki kawasan kediaman penduduk sekitar jam 5 pagi menyebabkan penduduk berasa cemas sehingga tidak sempat untuk menyelamatkan barangan berharga. Misalnya, banjir yang berlaku pada tahun 2014, paras air mencecah bahagian bumbung dengan kedalaman 1.2 meter. Ekoran itu, penduduk tidak dapat menyelamatkan barangan mereka yang merangkumi barangan elektrik, perabot, pakaian, dan peralatan rumah. Tambahan lagi, dokumen-dokumen penting seperti sijil nikah, sijil kelahiran, geran tanah dan kenderaan juga turut dibawa air banjir yang deras. Selepas air banjir mula surut, terdapat barang yang sudah rosak dan tidak dapat digunakan lagi. Keadaan tersebut menyebabkan penduduk di bandar Temerloh perlu mengeluarkan kos yang banyak bagi membeli perkakas rumah yang baru. Lantaran itu, kerosakan dan kemusnahan harta benda di bandar Temerloh ini bukan sahaja memberi tekanan kepada penduduk khususnya penduduk yang berpendapatan rendah malah turut mengakibatkan kerugian yang besar kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar bandar Temerloh, Pahang. 

Rajah 7: Kerosakan dan kemusnahan harta benda penduduk

Seterusnya, aktiviti harian penduduk terganggu turut merupakan kesan daripada bencana banjir di bandar Temerloh. Apabila bencana banjir berlaku, ia telah memberi impak yang besar kepada masyarakat kerana ia telah mengganggu perjalanan hidup seharian manusia (Abdul Wahid, Sharifuddin & Ramli, 2015). Kenaikan paras air yang deras sehingga memenuhi permukaan jalan menyebabkan laluan-laluan utama ditutup. Keadaan ini menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas yang teruk sehingga mengganggu aktiviti harian penduduk untuk ke tempat kerja mahupun menuju ke sesebuah destinasi. Penduduk juga terpaksa mencari alternatif lain untuk sampai ke sesebuah kawasan. Di samping itu, premis-premis perniagaan terpaksa ditutup akibat kenaikan air mencecah paras leher khususnya di bandar lama Temerloh. Oleh hal demikian, jelas menunjukkan bahawa bencana banjir memberi kesan kepada aktiviti harian penduduk di sekitar bandar Temerloh. 

Rajah 8: Laluan utama ditenggelami air di bandar Temerloh

Akhir sekali, kesan bencana banjir terhadap penduduk di bandar Temerloh adalah kesukaran mendapatkan bekalan air bersih. Bekalan air bersih memainkan peranan penting semasa bencana banjir bagi menampung penggunaan air dalam kalangan mangsa banjir terutama di pusat pemindahan. (Nasir Nayan et al., 2015). Penutupan loji-loji air disebabkan peningkatan paras air sungai Pahang dan sungai Semantan serta bekalan elektrik terputus mengakibatkan penduduk di bandar Temerloh menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan air bersih di samping turut berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan air mineral. Bukan itu sahaja, terdapat juga segelintir penduduk yang terpaksa menggunakan air keruh untuk kegunaan harian seperti mandi, membasuh pinggan mangkuk, mencuci pakaian dan sebagainya. Hal yang demikian menyebabkan penduduk terdedah kepada masalah kesihatan seperti penyakit kulit, demam, hepatitis A dan taun. Justeru itu, kesukaran mendapatkan bekalan air bersih akibat bencana banjir turut mempengaruhi kesihatan penduduk yang tinggal di bandar Temerloh.

4.0 LANGKAH-LANGKAH MENGATASI BENCANA BANJIR DI BANDAR TEMERLOH

Antara langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah banjir di bandar Temerloh adalah dengan menyediakan sistem perparitan dan saliran yang lebih terancang. Sistem saliran yang dibina haruslah mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Pihak yang bertanggungjawab haruslah menyelenggara sistem saliran dengan baik dengan memperdalam dan melebarkan saiz longkang. Hal ini dikatakan demikian kerana, sistem saliran yang terancang membolehkan air ditampung dengan lebih banyak dan sekali gus mengelakkan daripada terlimpah keluar sehingga berlakunya banjir. Di samping itu, pihak berwajib juga boleh menggunakan longkang berbentuk U. Menurut Mohd Azlan (2012), longkang ini dapat menampung kapasiti air yang lebih banyak berbanding dengan jenis longkang yang lain. Seterusnya, kerja-kerja pembersihan longkang juga perlu dijalankan secara kerap bagi memudahkan aliran air ke sungai dan parit yang berdekatan. Lantaran  itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu mengambil tindakan yang drastik dalam menyelenggara sistem perparitan dan saliran yang sistematik di bandar Temerloh agar dapat menjamin kesejahteraan hidup kepada penduduk.

Projek pendalaman sungai dan parit turut dilihat sebagai langkah dalam mengatasi bencana banjir di bandar Temerloh, Pahang. Projek pendalaman sungai bertujuan untuk mengurangkan jumlah kuantiti air sungai naik ke daratan yang akan menyebabkan kejadian banjir (Munirah Che Hassan et.al, 2020). Projek pendalaman sungai dan parit ini penting disebabkan beberapa faktor seperti hakisan yang menyebabkan sungai dan parit menjadi cetek yang menyumbang kepada berlakunya banjir. Projek ini meliputi pengorekan pasir, lumpur dan kekotoran yang terdapat di dalam sungai bagi membolehkan sungai berupaya untuk mengalirkan air dalam jumlah yang tinggi. Justeru itu, pihak kerajaan haruslah memperuntukkan wang serta menggunakan teknologi yang canggih bagi memastikan projek pendalaman sungai dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan sekali gus dapat mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di bandar Temerloh.

Akhir sekali, langkah untuk mengatasi bencana banjir di bandar Temerloh adalah dengan menguatkuasakan undang-undang. Pihak yang berwajib haruslah mengenakan denda serta kompaun yang tinggi kepada individu atau organisasi yang tidak bertanggungjawab membuang sampah ke dalam sungai mahupun longkang yang akan mengakibatkan sistem saliran tersumbat dan menghalang pengaliran air ke sungai. Selain itu, pihak berwajib juga perlu menjalankan pemantauan secara berkala di kawasan-kawasan hotspot pembuangan sampah di kawasan sungai dan parit serta mengambil tindakan yang tegas agar penduduk berasa takut untuk membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya sekaligus dapat memberi kesedaran kepada penduduk lain supaya tidak melakukan perkara yang sama. Oleh itu, dapat dilihat bahawa penguatkuasaan undang-undang mampu untuk mengurangkan bencana banjir di bandar Temerloh, Pahang.

5.0 KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, bencana banjir di bandar Temerloh dipengaruhi oleh faktor semula jadi dan faktor manusia. Faktor dominan berlakunya banjir di bandar ini ialah berpunca daripada hujan secara berterusan khususnya pada musim terkujuh. Bencana banjir mendatangkan pelbagai kesan yang negatif kepada penduduk seperti kemusnahan harta benda, aktiviti harian terganggu dan kesukaran mendapatkan bekalan air bersih. Ekoran itu, bencana banjir di bandar Temerloh ini tidak boleh dipandang enteng oleh semua pihak. Semua pihak sama ada badan-badan NGO dan badan bukan NGO perlu berganding bahu menggembleng tenaga dengan menggunakan pelbagai inisiatif dalam memastikan bencana banjir di bandar Temerloh dapat dikurangkan. Di samping itu, penduduk juga haruslah berusaha menjaga alam sekitar seperti tidak membuang sampah ke dalam sungai dan longkang yang akan menyumbang kepada berlakunya bencana banjir. Keterlibatan serta kerjasama yang baik daripada semua pihak membolehkan masalah bencana banjir dapat diatasi dengan segera dan secara tidak langsung dapat menjamin keselesaan dan kesejahteraan hidup penduduk yang tinggal di bandar Temerloh, Pahang. 

RUJUKAN

Abdul Wahid, H., Muhamad Sharifuddin, N. & Ramli, M. A. (2015). Penggunaan Air Banjir Ketika Bencana Banjir: Kajian Menurut Perspektif Halal Haram. Jabatan Fiqh dan Usul, Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya. Diperoleh daripada http://eprints.um.edu.my/14986/1/0001.pdf

Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia. (2022). Definisi Banjir. Diperoleh daripada http://water.selangor.gov.my/index.php/ms/staf-jpss/sistem-idiary-jps-selangor/root/maklumat-jabatan/fungsi-jabatan/pengurusan-banjir

Mohmadisa Hashim & Mohd Suhaily Yusri Che Ngah. (2010). Pembangunan dan alam sekitar di Malaysia. Penerbit UPSI, Tanjong Malim

Munirah Che Hassan, Sharifah Meryam Shareh Musa, Rozlin Zainal & Narimah Kasim. (2020). Kajian Permasalahan Pembinaan Sistem Saliran Yang Menjadi Punca Kepada Masalah Banjir Di Kawasan Perumahan. Research in Management of Technology and Business Vol. 1 No. 1 (2020) 588–605. Diperoleh daripada https://publisher.uthm.edu.my/periodicals/index.php/rmtb/article/view/553/249

Nasir Nayan, Mohmadisa Hashim, Yazid Saleh, Hanifah Mahat & Koh Liew See. (2015). Sistem Maklumat Geografi Dalam Pemilihan Telaga Bagi Kegunaan Mangsa Banjir di Jajahan Kuala Krai, Kelantan. Diperoleh daripada https://ir.upsi.edu.my/doc.php?t=p&id=99e71c6385c562cb9af7dddbc7fe0b4362aad4d473619

Nor Baizura Binti Hamid. (2014). Sistem Penggera Keselamatan Banjir Domestik (D'fesas). Diperoleh daripada https://core.ac.uk/download/pdf/20488796.pdf

Nor Irza Shakhira Bakhtir, M.S. J. S. 2015. Kajian model penukaran kadar hujan untuk integrasi masa 60 minit kepada 1 minit di Malaysia. Jurnal Kejuruteraan 27: 35-48. Diperoleh daripada http://journalarticle.ukm.my/9506/

Nur Balqis Anuar & Sulzakimin Mohemed. (2021). Kesan Pembinaan Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu, Kelantan Terhadap Kawasan Petempatan Penduduk (Kesan Banjir Kilat). Research in Management of Technology and Business Vol. 2No. 1 (2021) 668–677. Diperoleh daripada http://publisher.uthm.edu.my/periodicals/index.php/rmt

Safiah Yusmah Muhammad Yusoff & Rafidah Thomas. (2021). Pemetaan Titik Panas Banjir Kilat Di Kuala Lumpur. Malaysian Journal of Tropical Geography, 2021, 47(1&2): 123-142. Diperoleh daripada https://ejournal.um.edu.my/index.php/MJTG/article/download/35196/14327/84451

NAMA: AIMI SYAHIRA IZZATI BINTI NOR AFANDI

NO.MATRIK: D20201094335

KUMPULAN KULIAH: B






Virus-free. www.avast.com

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...