Thursday, June 16, 2022

ISU KEMALANGAN JALAN RAYA MELIBATKAN PENDUDUK TEMPATAN SEKITAR BANDAR MERSING

1.0 PENGENALAN

Mersing mempunyai keluasan tanah seluas 700,805 ekar atau 283,608 hektar (2,838 kmp). Keluasan ini adalah 14.6% daripada keluasan seluruh Negeri Johor. Menurut Jabatan Perangkaan Johor 2001, Mersing mempunyai bilangan penduduk seramai 69,947 orang. Mersing juga terkenal dengan tarikan pelancongan disebabkan keindahan alam yang dimiliki dan kepelbagaian marin. Oleh yang demikian, pelancong dari dalam dan luar negara yang ingin melancong ke Mersing akan menggunakan jalan raya yang menyebabkan jalan raya di Mersing mengalami kesibukkan dari hari kebiasaannya yang dihadapi penduduk setempat. Tambahan pula, Mersing merupakan laluan bagi kenderaan dari Johor Bahru untuk ke Pantai Timur. Hal ini juga menyebabkan berlaku peningkatan kenderaan yang melalui jalan raya Mersing seterusnya berlaku peningkatan kemalangan jalan raya. 

Mengikut Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987, kemalangan jalan raya ditakrifkan sebagai kemalangan atau kejadian yang mana kerosakan berlaku ke atas mana-mana orang, harta, kenderaan, struktur atau haiwan dan berlaku di mana-mana jalan awam termasuklah jambatan, terowong, hentian sebelah, jalan bertingkat, jejambat, plaza tol dan sebagainya. Oleh yang demikian, kemalangan jalan raya di Mersing merupakan antara isu utama penduduk setempat yang mengalami kebimbangan terhadap keselamatan mereka yang kerap menggunakan jalan raya dalam kehidupan seharian mereka. 

2.0 KAWASAN KAJIAN

Berikut merupakan peta kawasan kajian yang dipilih. 

Rajah 1: Peta Daerah Mersing

Sumber: Google Maps

Kawasan kajian yang dipilih ialah daerah Mersing yang terletak di Johor. Kawasan daerah Mersing menjadi laluan kenderaan berat dan ringan untuk ke Pantai Timur dan menghubungkan penduduk tempatan dari sebuah kampung ke kampung yang lain atau jalan yang menghubungkan penduduk tempatan untuk ke pusat bandar Mersing bagi menjalankan aktiviti membeli-belah, pelbagai perkhidmatan dan pelbagai lagi. Oleh yang demikian, jalan raya di Mersing yang agak berbahaya disebabkan berbukit bukau, permukaan tidak rata dan selekoh merbahaya menyebabkan kerap berlakunya kemalangan maut yang melibatkan penduduk tempatan malah pengguna jalan raya yang lain. Jalan raya tersebut seperti jalan Jemaluang-Mersing, jalan Nitar-Mersing dan jalan Endau-Mersing. 

3.0 RINGKASAN KES

Isu kemalangan jalan raya di Mersing sering berlaku pada setiap tahun mahupun setiap bulan. Kemalangan jalan raya yang berlaku menyebabkan berlaku kecederaan parah dan menyebabkan kematian. Hal ini memberi kerisauan kepada penduduk setempat tentang keselamatan dan nyawa mereka kerana perlu menggunakan jalan raya yang menjadi laluan harian mereka. Hal ini kerana, terdapat penduduk Mersing sendiri yang kehilangan ahli keluarga disebabkan kemalangan jalan raya. Kemalangan yang berlaku berpunca daripada pelbagai faktor pengguna jalan raya itu sendiri dan keadaan fizikal jalan raya yang berbahaya. Antara laluan jalan raya yang kerap berlaku kemalangan jalan raya ialah jalan Mersing-Nitar. Jalan tersebut juga kerap berlaku kemalangan ngeri ketika musim perayaan kerana jumlah kenderaan yang meningkat dan keadaan cuaca yang hujan menyebabkan banyak kenderaan yang terbabas di selekoh Felcra Sungai Melikai jalan Nitar-Mersing.  Meskipun Mersing merupakan tempat pelancongan namun isu kemalangan jalan raya kerap berlaku saban hari bahkan keluhan penduduk setempat berkaitan keadan jalan raya yang selalu berlaku kemalangan dengan keadaan jalan raya yang berlubang juga dihiraukan oleh pihak yang berkuasa. Berikut merupakan kemalangan jalan raya yang berlaku dalam kalangan penduduk Mersing dan luar Mersing. 

Rajah 2: Kemalangan Maut Melibatkan Pekerja Tempatan

Sumber: Utusan Malaysia, 2022.

Rajah 3: Kemalangan Maut Melibatkan Mangsa Warga Emas Penduduk Tempatan

Sumber: Berita Harian Online, 2022.

Rajah 2 menunjukkan kemalangan yang melibatkan seorang pekerja tempatan sebuah syarikat kurier yang maut  selepas motosikal dinaikinya dipercayai dalam perjalanan untuk menghantar barang ke Felda Nitar terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 8, Jalan Nitar-Mersing. Kemalangan maut itu melibatkan sebuah lori daripada syarikat kurier yang sama dengan tempat mangsa bekerja dalam perjalanan hendak menuju ke Bandar Mersing telah hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan dan melanggar mangsa. Manakala, rajah 3 menunjukkan kemalangan yang melibatkan seorang pemandu warga emas tempatan dari FELDA Nitar 2 menuju ke Mersing yang memotong kenderaan lain berakhir tragedi apabila mangsa maut, manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di Kilometer 8 Jalan Nitar. 

4.0 PUNCA ISU KEMALANGAN JALAN RAYA DI MERSING

Kemalangan jalan raya di Mersing berpunca daripada pelbagai faktor utama seperti sikap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan jalan raya. Hal ini kerana wujud segelintir pemandu yang memandu secara melulu dan berbahaya tanpa menghiraukan orang lain. Tambahan pula, sikap pemandu yang mementingkan diri, tidak sabar ketika berada di jalan raya, memandu sambil menggunakan telefon bimbit, menukar lorong tanpa isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu dengan laju, berbahaya serta melulu juga meningkatkan kadar kemalangan jalan raya. Oleh itu, pematuhan terhadap peraturan jalan raya dan amalan pemanduan berhemah adalah penting untuk memastikan kemalangan jalan raya dapat dihindarkan lebih-lebih lagi apabila berada di kawasan yang berbahaya.

Selain itu, keadaan struktur jalan yang tidak menepati piawaian juga merupakan punca isu kemalangan jalan raya di Mersing berlaku. Keadaan struktur jalan raya yang tidak rata, berlubang dan garisan jalan tidak nampak sudah pasti mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya. Tambahan pula, kebanyakkan jalan raya di Mersing yang bengkang-bengkok dan selekoh tajam akan meningkatkan lagi risiko pemandu yang tidak biasa menggunakan jalan tersebut terbabas dan terlibat dalam kemalangan jalan raya. Hal yang demikian juga memberi kesan kepada penduduk setempat apabila permukaan jalan tidak rata ditambah lagi dengan jalan yang berlubang yang hanya ditampal "ala kadar" dan menyebabkan penduduk mengalami kerugiaan apabila kenderaan mereka rosak. Faktor fizikal jalan seperti itu sudah pasti mencetuskan kebimbangan buat penduduk yang menitikberatkan kesan buruk terhadap kenderaan dan keselamatan mereka.  Oleh itu, pemandu kenderaan perlu lebih berhati-hati ketika melalui struktur jalan raya yang tidak memuaskan dan selekoh berbahaya kerana kenderaan yang dipandu kemungkinan akan hilang kawalan seterusnya menyebabkan kemalangan. 

Rajah 4: Keadaan Jalan Raya di Mersing

Sumber: Astro Awani, 2022.

Kegagalan fungsi komponen kenderaan merupakan punca berlaku kemalangan jalan raya di Mersing seperti yang berlaku oleh mangsa tempatan yang maut apabila dilanggar oleh lori yang hilang kawalan lalu merempuh mangsa. Hal ini kerana, kegagalan fungsi komponen kenderaan disebabkan oleh kecuaian pemandu untuk melakukan penyenggaraan boleh menyebabkan kenderaan rosak secara tiba-tiba. Contohnya, brek kenderaan yang tidak berfungsi dengan baik akan menyebabkan pemandu sukar mengawal kenderaan ketika saat-saat kecemasan lebih-lebih lagi apabila melalui jalan Mersing yang tidak rata dan banyak selekoh berbahaya di tambah dengan keadaan cuaca yang hujan dan waktu malam yang gelap. Hal ini kerana, penyelenggaraan asas wajib dilakukan secara berkala dan perlu dipatuhi oleh pemandu kenderaan untuk memastikan komponen kereta sentiasa berada pada tahap yang optimum.

5.0 MASALAH/KESAN

Isu yang dialami penduduk sekitar Mersing merupakan isu yang sering dibangkitkan oleh penduduk itu sendiri apabila melihat banyak nyawa yang sudah melayang di setiap laluan Mersing. Hal ini secara tidak langsung memberi masalah kepada penduduk setempat daripada isu kemalangan jalan raya yang berlaku seperti penduduk mengalami kerisauan kerana masalah ini mengancam nyawa mereka. Hal ini kerana, penduduk tempatan sememangnya menggunakan jalan raya sebagai jalan perhubungan dari satu tempat ke tempat lain bagi melaksanakan aktiviti harian seperti membeli-belah, ke sekolah, untuk bekerja dan lain-lain lagi. Penduduk setempat tidak mempunyai pilihan lain dan memberi kebimbangan kepada penduduk kerana risiko kemalangan yang tinggi perlu dihadapi. Tambahan pula, jalan raya ini juga digunakan oleh kenderaan berat yang lebih merisaukan penduduk. 

Selain itu, isu kemalangan jalan raya di mersing ini menyebabkan timbul masalah kesesakan lalu lintas. Hal ini kerana, kemalangan jalan raya akan berlaku menyebabkan kenderaan lain tidak dapat melalui kawasan kemalangan seterusnya menyebabkan kesesakan lalu lintas yang lama. Keadaan jalan raya di Mersing yang kecil dan sempit ditambah lagi bahu jalan yang yang berhutan menyebabkan kesukaran kenderaan lain untuk melaluinya. Hal ini akan menyebabkan kenderaan lain perlu menunggu sehingga kemalangan yang berlaku selesai dialihkan dan dibersihkan. Seperti kemalangan yang telah berlaku di jalan Mersing ketika musim perayaan menyebabkan kenderaan banyak dan terpaksa menunggu dalam tempoh masa yang lama kerana terdapat mangsa yang tersepit. 


6.0 CADANGAN MENGATASI ISU KEMALANGAN JALAN RAYA DI MERSING

Isu kemalangan jalan raya di Mersing perlu diatasi bagi menurunkan kadar kemalangan yang berlaku. Oleh itu, pelbagai langkah perlu diambil bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya di Mersing. Antara langkah mengatasi isu tersebut ialah memperbaiki sikap pengguna jalan raya itu sendiri. Hal ini kerana, setiap pemandu perlu mempunyai kesedaran untuk memandu dalam keadaan berhemah dan sentiasa memandu dalam keadaan yang waras. Hal ini perlu diterapkan dalam diri setiap pemandu untuk mengikut had laju yang ditetapkan dan tidak memotong di garisan berkembar. Sikap pengguna yang bertolak ansur dapat menyelamatkan nyawa seseorang dan mengelak daripada kemalangan berlaku.

Selain itu, menaiktaraf jalan raya di Mersing perlu dilaksanakan dari masa ke semasa bagi mengurangkan kemalangan jalan raya daripada berlaku. Pihak kerajaan perlu memberi peruntukan sumber kewangan bagi menaiktaraf atau membina sistem jalan raya yang selamat kepada pengguna. Hal yang demikian kerana keadaan jalan raaaya di mersing yang teruk, berselekoh, berbukit-bukit dan keadaan jalan yang tidak rata serta berlubang-lubang perlu dinaiktaraf kepada jalan raya yang lebih lurus dan rata. Tambahan pula, penduduk tempatan mengharapkan jalan diturap semula, diselenggara dan dilebarkan.   Dengan tindakan yang proaktif daripada pihak kerajaan pasti kemalangan jalan raya dapat dikurangkan dan pengguna akan lebih selamat menggunakan jalan raya yang disediakan.  

Akhirnya, pihak yang bertanggung jawab perlu memastikan jalan raya dilengkapi papan tanda amaran dan lampu jalan di kawasan yang kerap berlaku kemalangan dan selekoh yang berbahaya. Pihak yang berkenaan perlu prihatin terhadap kawasan yang kerap berlaku kemalangan untuk meletakkan papan tanda amaran agar pemandu lebih berhati-hati di kawasan kemalangan. Hal ini kerana, isu kemalangan jalan raya di Mersing sering berlaku pada waktu malam disebabkan kawasan tersebut tidak mempunyai lampu jalan dan mengakibatkan laluan tersebut gelap gelita. Oleh itu, dengan adanya papan tanda amaran dan lampu jalan di laluan Mersing terutamanya di kawasan yang sering berlaku kemalangan akan memberi amaran kepada pemandu untuk lebih berhati-hati dan peka disamping penglihatan pemandu lebih jelas. 

7.0 KESIMPULAN

Isu kemalangan jalan raya yang kerap berlaku di jalan Mersing sudah lama membelenggu pengguna jalan raya terutamanya penduduk tempatan. Oleh yang demikian, pihak berwajib perlu mengambil perhatian tentang masalah yang berlaku dan mengenalpasti punca berlakunya kemalangan di kawasan yang sama agar langkah yang proaktif dapat dilaksanakan. Sebagai penduduk di kawasan Mersing, isu kemalangan jalan raya yang banyak mengorbankan nyawa  bukanlah perkara yang baru, namun sehingga kini tindakan yang sewajarnya tidak diambil. Oleh itu, setiap pihak perlulah mengambil cakna permasalahan yang ditanggung penduduk dan pengguna jalan raya agar keselamatan pengguna jalan raya dapat dipertingkatkan. Tambahan pula, setiap pengguna jalan raya perlu sentiasa berhati-hati semasa memandu bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan dan memastikan mengamalkan pemanduan berhemah dan mengikuti peraturan jalan raya. Tegasnya, semua pihak perlu mengambil peranan untuk menyelesaikan isu kemalangan jalan raya di Mersing. 

RUJUKAN

Google Maps. (2022). Mersing District, Johor. https://www.google.com/maps/place/Mersing+District,+Johor/@2.353155,103.9160824,10z/data=!3m1!4b1!4m5!3m4!1s0x31dadf047250a8a3:0xcecd59d97501cb57!8m2!3d2.4328868!4d103.8397388

Hilmi Malik. (2022, Mac 6). PRN Johor: Jalan di Mersing 'buat kepala jadi pusing'. Astro Awani.https://www.astroawani.com/berita-politik/prn-johor-jalan-di-mersing-buat-kepala-jadi-pusing-350230

MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia. (2019, Ogos 23). Kemalangan Jalan Raya: Kebenaran di Sebaliknya. http://www.myhealth.gov.my/kemalangan-jalan-raya-kebenaran-di-sebaliknya/

Mohamad Fahd Rahmat. (2022, Mei 4). 1 maut, 8 cedera nahas 3 kereta. Berita Harian  Online.https://www.bharian.com.my/berita/kes/2022/05/951934/1-maut-8-cedera-nahas-3-kereta

Masturah Suradi. (2022, Febuari 23). Pekerja syarikat kurier maut kemalangan dengan lori. Utusan Malaysia. https://www.utusan.com.my/nasional/2022/02/pekerja-syarikat-kurier-maut-kemalangan-dengan-lori/

Portal Rasmi Majlis Daerah Mersing. (t.t). Kedudukan Geografi Mersing. http://www.mdmersing.gov.my/ms/pelawat/info-mersing/kedudukan-geografi


NAMA: NURUL SYAIDATUL NENA BINTI SULIAMAN

NO.MATRIK: D20201094332

KUMPULAN: B


No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...