Wednesday, June 15, 2022

ISU MASALAH PERTAMBAHAN PENDUDUK YANG BERLAKU DI KAWASAN KUBANG KERIAN, KOTA BHARU KELANTAN.

Pengenalan

Kubang Kerian merupakan bandar satelit di mana Kubang Kerian ini terletak di pinggir bandar besar Kota Bharu.  Perjalanan dari bandar kota Bharu ke bandar Kubang Kerian ini mengambil masa sekitar 10-15 minit perjalanan sahaja. Bandar satelit ini diberi nama Kubang Kerian kerana dikatakan kawasan tersebut merupakan kawasan tempat kerbau berkubang di mana tempat kerbau berkubang itu mempunyai sebatang pohon kerian yang cukup besar. Setelah itu, kawasan ini telah berubah menjadi bandar setelit. Bandar satelit Kubang Kerian ini di tubuhkan bertujuan untuk mengurangkan kesesakan penduduk di bandar Kota Bharu. Setelah itu, bandar setelit Kubang kerian ini mula berkembang pesat dengan adanya pelbagai kemudahan yang disediakan di bandar ini yang menyebabkan berlakunya pertambahan penduduk secara pesat.

 

Peta 1: Peta kawasan bandar Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan

Sumber: Google Maps

Namun, pada kali ini penulis ingin membincangkan berkenaan dengan pertambahan penduduk yang telah menjadi isu kepada penduduk di kawasan  Kubang Kurian dengan adanya kes-kes yang menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk asal kawasan tersebut seperti kesesakan lalu lintas, kes jenayah dan aktiviti penebangan hutan.  Menurut Haryati Shafii (2020) menjelaskan bahawa penghijrahan secara beramai-ramai menyebabkan bandar menjadi kawasan yang padat dengan penduduk. Penduduk dan pertumbuhan penempatan padat boleh mengundang kepada pelbagai masalah di bandar. Pada masa kini, perkembangan pembandaran menjadi keutamaan kepada pemerintah demi menjadikan sesebuah kawasan itu lebih maju dan dapat menjana perkembangan ekonomi negara tanpa mengambil kira aspek lain di sebalik perkembangan tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana akibat daripada perkembangan yang dilakukan di sesebuah kawasan terutamanya kawasan Kubang Kerian telah menimbulkan kesan negatif kepada penduduk setempat akibat daripada pertambahan penduduk yang berlaku di kawasan ini.

 

Punca Berlaku Pertambahan Penduduk di Kawasan Kubang Kerian

Punca berlakunya pertambahan penduduk di kawasan Kubang Kerian ialah disebabkan oleh peluang pekerjaan yang banyak. kawasan Kubang Kerian ini sememangnya banyak peluang-peluang pekerjaan kerana bandar setelit ini terdapat banyak kedai-kedai, hospital, pembinaan bangunan dan sebagainya yang menyediakan banyak peluang pekerjaan dan menjadi tarikan kepada penduduk di luar bandar untuk datang menceburi bidang pekerjaan di bandar Kubang Kerian, dan akibat daripada peluang pekerjaan yang banyak ini telah menjadikan bandar Kubang Kerian semakin hari jumlah penduduknya semakin  meningkat. Kalaiselvi  Karunamurthi dan Lai Wei Sieng (2018) menjelaskan bahawa Perkembangan ekonomi yang pesat telah menjana pelbagai sektor pekerjaan di Malaysia pada masa ini. Setiap individu mempunyai pilihan tersendiri dalam memilih kerjaya yang bersesuaian yang boleh memberi jaminan kepada mereka pada masa hadapan. Memilih kerjaya yang bersesuaian dan boleh memberi jaminan inilah yang menyebabkan masyarakat lebih tertumpu di kawasan bandar untuk mendapatkan peluang pekerjaan kerana peluang pekerjaan yang ada di bandar ini menjamin pendapatan yang lumayan kepada mereka. Namun begitu pertambahan penduduk di kawasan bandar Kubang Kerian ini telah memberi pelbagai isu yang negetif kepada penduduk setempat di kawasan tersebut.

Selain itu, punca berlakunya pertambahan penduduk di kawasan Kubang Kerian ialah migrasi luar bandar ke bandar. Hal ini dikatakan demikian kerana, migrasi telah menyebabkan pertambahan penduduk yang semakin ramai dari hari ke hari terutamanya di kawasan kubang kerian, di mana perkara ini telah menyebabkan timbulnya masalah-masalah kepada penduduk asal di kawasan Kubang Kerian. Kawasan Kubang Kerian ini sebelum berkembang menjadi bandar setelit ianya tidak menimbulkan isu dalam kalangan penduduk berkenaan dengan peningkatan penduduk yang berlaku di kawasan ini. Namun sejak beberapa tahun  perkara ini semakin hangat diperkatakan dalam kalangan penduduk setempat kawasan Kubang Kerian. Kebanyakan pertambahan penduduk di kawasan Kubang Kerian ini disebabkan oleh migrasi secara besar-besaran dalam kalangan masyarakat luar bandar. Migrasi juga melibatkan penduduk dari luar bandar berhijrah ke kawasan bandar untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan kualiti hidup yang lebih baik. Akibat daripada migrasi secara besar inilah yang menjadikan keadaan di kawasan kubang kerian menjadi semakin sesak dengan jumlah penduduk yang ramai.  Tidak hairanlah migrasi berlaku di kawasan ini kerana dengan pelbagai kemudahan infrastruktur, jaringan pengangkutan yang baik dan juga pusat kesihatan yang ada di kawasan Kubang kerian menyebabkan ramai yang berhijrah masuk ke kawasan ini untuk mendapatkan taraf kehidupan yang lebih baik


 Rajah 2: Pengertian Migrasi

Sumber: AyokSinar.com


Masalah Yang Timbul Akibat Daripada Pertambahan Penduduk di Kawasan Kubang Kerian

Seterusnya, masalah yang timbul akibat daripada pertambahan penduduk di kawasan Kubang Kerian ini ialah masalah kesesakan lalu lintas. Hal ini dikatakan demikian kerana kawasan kubang kerian mempunyai tahap kesesakan lalu lintasnya yang agak teruk dan sudah menjadi seperti di bandar utama. Sebelum kawasan Kubang Kerian ini dimajukan kesesakan lalu lintas tidaklah menjadi isu kepada penduduk setempat pada ketika itu. Namun sejak beberapa tahun ini masalah kesesakan lalu lintas semakin hari semakin dibicarakan oleh penduduk setempat kawasan ini. Menurut Shamsul Ariff  Sulaiman (2016) menjelaskan bahawa kesesakan lalu lintas di jalan raya merupakan isu global yang sering dialami oleh masyarakat seluruh dunia termasuk negara maju dan negara yang membangun. Kesesakan lalu lintas ini juga telah memberi Kesan terhadap psikologi penduduk dan gangguan persekitaran terganggu akibat daripada berlakunya kesesakan tersebut. Hal ini jelas berlaku di kawasan Kubang Kerian pada ketika ini. Kesesakan lalu lintas  amat ketara apabila menjelang hari kemuncak iaitu pagi dan petang di mana pada waktu tersebut lalu lintas begitu sibuk disebabkan oleh masyarakat yang mahu bergerak untuk pergi kerja dan pulang kerja pada waktu kemuncak tersebut. Perkara ini telah memberi tekanan kepada penduduk  sekitar kawasan Kuabng Kerian untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain kerana kenderaan di atas jalan raya yang begitu sibuk. 

Rajah 3: Kesesakan Lalu Lintas

Sumber: Mstar.com

Peningkatan kes jenayah juga merupakan isu yang timbul akibat daripada peningkatan penduduk di kawasan Kubang Kerian. Sejak kawasan ini dibanjiri oleh penduduk kadar jenayah semakin meningkat yang berlaku dalam masyarakat. Perkara ini berlaku disebabkan oleh aktiviti sosial masyarakat yang tidak terkawal. Seperti kita ketahui bahawa di kawasan bandar aktiviti sosial dalam kalangan masyarakat begitu ketara yang menyebabkan kes-kes jenayah kerap berlaku berbanding dengan sebelum kawasan Kubang Kerian ini maju yang mana bilangan kes jenayah tidaklah seteruk seperti hari ini. Antara kes-kes jenayah yang kerap berlaku di kawasan Kubang kerian seperti pecah rumah, rompak, pengedaran dadah, mencuri dan kes rogol. Jenayah merupakan perkara yang tidak dapat dielakkan dalam sesebuah bandar. Dengan kata lain, semakin besar sesebuah bandar, maka  semakin tinggilah kadar  jenayah  dalam  bandar  tersebut (Ramli Dollah, Fazli Abdul Hamid & Rizal Zamani Idris 2004). Oleh itu, akibat daripada pertambahan penduduk ini sekali gus telah meningkatkan bilangan kes jenayah di kawasan Kubang Kerian.

Rajah 4: penangkapan jenayah

Sumber: Astro Awani

Di samping itu, akibat daripada pertambahan penduduk di kawasan Kubang Kerian ini juga telah menimbulkan isu terhadap penebangan kawasan hutan. Sebelum kawasan Kubang Kerian  berkembang menjadi bandar sememangnya kawasan ini mempunyai banyak kawasan tumbuhan hijau atau kawasan hutan. Namun selepas kawasan ini semakin maju banyak kawasan-kawasan hutan  mula ditebang untuk dilakukan projek-projek pembinaan bangunan, rumah dan kedai. Penebangan hutan ini dikatakan telah menjadi isu kerana kawasan Kubang Kerian telah menjadi semakin panas yang mana suhu kawasan ini menjadi semakin meningkat oleh kerana kekurangan kawasan tumbuhan hijau yang berfungsi untuk mengawal suhu udara. Jamaluddin Md. Jahi, Rusli Zainal dan Muhammad Rizal Razman (2013) menyatakan bahawa Hutan adalah sebahagian daripada komponen utama alam sekitar fizikal. Alam sekitar fizikal menawarkan pelbagai perkhidmatan yang penting untuk kehidupan manusia. Di dalamnya terdapat komponen-komponen atmosfera, litosfera, hidrosfera dan biosfera. Kesemua komponen tersebut berinteraksi di antara satu dengan lain untuk mewujudkan keseimbangan dinamik. Namun akibat daripada pertambahan penduduk di kawasan Kubang kerian telah mendorong pemaju untuk menjalankan aktiviti pembinaan rumah dan sebagainya dengan lebih giat yang mana aktiviti ini akan memusnahkan kawasan hutan. Disebabkan perkara ini isu pertambahan penduduk telah menimbulkan pelbagai masalah terhadap masyarakat di kawasan Kubang kerian.


Rajah 5: Penebangan Pokok

Sumber: Annual Report


Cadangan Penyelesaian Terhadap Isu Masalah Pertambahan Penduduk Yang Berlaku Di Kawasan Kubang Kerian

Antara cadangan penyelesaian berkait dengan isu masalah pertambahan penduduk yang berlaku di kawasan Kubang Kerian  ialah memajukan kawasan luar bandar. Kawasan luar bandar yang berpotensi untuk dimajukan sebaiknya pihak pemaju mengambil tindakan untuk memajukan kawasan tersebut di mana pembangunan yang dilakukan di luar bandar  akan memberi manfaat kepada penduduk di luar bandar dari segi kualiti hidup dan kemudahan-kemudahan asas yang dapat meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar. Memajukan kawasan luar bandar akan dapat mengawal pertumbuhan penduduk di bandar-bandar terutama di kawasan Kubang kerian ini, kerana dengan adanya kemajuan di luar bandar  dari segi pekerjaan dan kemudahan-kemudahan lain akan menyebabkan migrasi luar bandar ke bandar ini kurang berlaku kerana walaupun mereka berada di luar bandar, mereka juga masih  mendapat taraf hidup yang baik.

Akhir sekali, membuka lebih banyak peluang pekerjaan di luar bandar merupakan cadangan penyelesaian bagi isu masalah penduduk. hal ini dikatakan demikian kerana dengan adanya peluang pekerjaan yang banyak di luar bandar ianya dapat mengurangkan kepesatan penduduk di bandar. Menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan di luar bandar ini seperti membuka pusat-pusat perindustrian di kawasan luar bandar dan bukan hanya tertumpu di kawasan bandar sahaja, dan dengan adanya pembukaan pusat perindustrian di kawasan luar bandar ini juga sekali gus akan menjadikan kawasan tersebut lebih maju. Pembukaan pusat perindustrian ini juga telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk di luar bandar untuk bekerja dalam sektor perindustrian. Perkara ini akan dapat mengimbangi pertambahan penduduk di bandar dan  cadangan ini  juga diberikan supaya isu yang berkaitan dengan pertambahan penduduk di kawasan bandar kurang berlaku dan tidak begitu menjadi isu kepada masyarakat tempatan yang tinggal di kawasan bandar terutamanya penduduk di kawasan Kubang Kerian.

Kesimpulan

Kesimpulannya, pertambahan penduduk ini telah memberi kesan kepada penduduk sama ada baik ataupun buruk. Penduduk yang ramai ini juga sebenarnya penting untuk menggerakkan setiap kerja-kerja yang ada di kawasan bandar ini. Namun begitu dari aspek lain pula pertambahan penduduk  juga telah banyak memberi kesan buruk terhadap penduduk dan juga alam sekitar. Bagi pihak yang bertanggungjawab seharusnya peka dengan isu-isu seperti ini dan harus mempunyai jalan penyelesaian yang baik supaya pertambahan penduduk yang berlaku tidak menjejaskan mana-mana pihak dalam kehidupan harian. Sekiranya perkara ini tidak mempunyai jalan penyelesaian yang baik berkemungkinan lama-kelamaan masalah ini menjadi semakin teruk. Oleh itu, masalah berkait dengan pertambahan penduduk ini harus dibendung agar penduduk tempatan di kawasan tersebut mendapat tahap keselesaan yang baik.

 

 

Rujukan

Haryati Shafii. (2020). Berita Harian Online. Diperoleh daripada https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2020/08/723854/rancang-bandar-penuhi-kualiti-hidup-penduduk-alam-sekitar

Jamaluddin Md. Jahi, Rusli Zainal & Muhammad Rizal Razman. (2013). Masalah Alam Sekitar Berkaitan Perhutanan di Provinsi Riau, Indonesia. International Journal of the Malay World and Civilisation 1(1): 125 – 13.

Kalaiselvi  Karunamurthi & Lai Wei Sieng. (2018). Pilihan Sektor Pekerjaan Dan Faktor Mempengaruhi Pilihan Pekerjaan Dalam Kalangan Pelajar Universiti. Jurnal Personalia Pelajar 5-11 21(2).

Ramli Dollah, Fazli Abdul Hamid & Rizal Zamani Idris.  (2004). Jenayah dan Pembandaran Dikalangan Pendatang Asing di Kota Kinabalu, Sabah. Malaysia: Penerbit Universiti Malaysia Sabah.

Shamsul Ariff  Sulaiman. (2016). Kesesakan Lalu Lintas di Bandar Segamat, Johor. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.

 

 

NAMA: MUHAMMAD NAHDI BIN SHAFIE

NO MATRIKS: D20201094338

KUMPULAN B

 

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...