Saturday, June 18, 2022

ISU PENDIDIKAN DALAM KALANGAN MASYARAKAT TANPA NEGARA DI LAHAD DATU, SABAH.

RINGKASAN KES

Negeri Sabah merupakan antara negeri yang mempunyai bilangan penduduk yang ramai. Menurut Rizuan (2020), Sabah merupakan negeri yang menduduki tempat kedua daripada tiga negeri yang mempunyai bilangan penduduk yang tertinggi pada suku tahun 2020.  Penduduk Sabah ini bukan sahaja terdiri daripada peribumi dan warganegara malah terdiri juga daripada penduduk warga asing dan termasuklah komuniti tanpa negara yang dikenali sebagai komuniti Bajau Laut (pala'u) yang kebanyakannya menetap di Semporna, Sabah. Penduduk di negeri Sabah mempunyai tahap toleransi etnik yang tinggi dan masyarakat di Sabah hidup dalam keadaan yang harmoni bahkan terdapat banyak kes yang melibatkan percampuran kaum dan agama dalam keluarga serta perkahwinan campur dengan warga asing (Budi Anto & Saidatul Nornis, 2020). Kehadiran pendatang asing yang begitu ramai ke Semporna turut disebabkan oleh sikap toleransi penduduk peribumi yang tinggi. Hal ini demikian kerana, meskipun ramai pendatang asing yang datang dan menetap di Lahad Datu namun tidak banyak isu yang berlaku antara pendatang asing dan penduduk peribumi.

 

Percampuran penduduk peribumi dengan pendatang asing sedikit sebanyak telah mendatangkan kesan terhadap beberapa isu terutamanya isu pendidikan. Isu pendidikan dalam kalangan masyarakat tanpa negara di Semporna, Sabah bukanlah merupakan sebuah isu yang baru. Isu pendidikan ini merupakan isu yang perlu sentiasa dititikberatkan kerana pendidikan amat penting dalam menentukan kemajuan negara pada masa hadapan. Perlaksanaan pendidikan adalah berbeza bagi setiap negara dan sistem pendidikan bagi bumiputera dan pendatang asing juga adalah berbeza. Hal ini dapat dilihat daripada akta pendidikan 1996 di mana pelajar yang hendak mendaftarkan diri ke sekolah kerajaan mahupun sekolah swasta perlulah memiliki dokumen yang lengkap dan berstatus warganegara (Mohd Afizi, 2019). Oleh yang demikian, isu pendidikan dalam kalangan masyarakat bajau laut ini merupakan isu yang biasa dan jelas dapat kita lihat bahawa penduduk yang tidak mempunyai kewarganegaraan ini sering tercicir daripada pendidikan. Isu ini disebabkan oleh beberapa faktor.

 

 

PUNCA PENDIDIKAN RENDAH DALAM KALANGAN MASYARAKAT TANPA NEGARA (PALA'U).

Isu-isu pendidikan dalam kalangan masyarakat tanpa negara atau komuniti bajau laut (Pala'u) ini dipengaruhi oleh aspek sosial di mana isu pendidikan ini bermula daripada bagaimana mereka memandang pendidikan dan menyebabkan masayarakat tanpa negara ini sering kali tercicir daripada pendidikan. Selain itu, isu pendidikan ini juga dipengaruhi oleh kadar buta huruf yang tinggi dalam kalangan masyarakat tanpa negara (pala'u). Menurut Budi Anto Mohd Tamring et. al, (2021), menyatakan bahawa Sebanyak 99.26% masayarakat tanpa negara (pala'u) didapati tidak pernah mendapat pendidikan formal. Hal ini berlaku kerana mereka tidak berminat untuk bersekolah disebabkan kurang kesedaran tentang kepentingan pendidikan dalam kehidupan dan mereka tidak berpeluang untuk mendapatkan pendidikan formal. Status mereka sebagai komuniti tanpa negara (pala'u) dan juga tidak memiliki kad pengenalan atau sebarang dokumen yang sah menyukarkan mereka mendapatkan tempat dalam sektor pendidikan. Komuniti tanpa negara (pala'u) ini juga sering ambil mudah tentang perkara penting dalam kehidupan harian mereka. Sebagai contoh, mereka  tidak peka akan tarikh-tarikh penting seperti  tarikh hari lahir mereka.

 

Seterusnya, tiadanya kemudahan sektor pendidikan di kawasan petempatan masyarakat tanpa negara (pala'u) ini juga menjadi faktor utama mengapa masyarakat tanpa negara (pala'u) ini sering kali tercicir daripada pendidikan. Hal ini demikian kerana, majoriti masyarakat tanpa negara (pala'u) ini lebih cenderung untuk tinggal di kawasan setinggan yang agak terasing daripada masyarakat setempat. Kebanyakan rumah yang didirikan oleh penduduk (pala'u) masih lagi beratapkan rumbia dan berdindingkan papan atau kain kanvas terpakai sahaja. Sementara itu terdapat juga masyarakat (pala'u) yang masih memilih untuk tinggal di atas bot dan hanya naik ke daratan dengan tujuan tertentu sahaja. Sebagai contoh, ketika laut sedang bergelora. Mereka sering menjadikan alasan untuk menyambung tradisi nenek moyang untuk tidak menetap di daratan. Menurut Ismail (2011), pihak kerajaan Negeri Sabah juga menghadapi kesukaran untuk menyalurkan pelbagai bantuan di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) disebabkan oleh status mereka dan pulau tersebut tidak pernah diwartakan sebagai perkampungan. Hal ini turut menyukarkan untuk melakukan kerja-kerja pembinaan terutama membangunkan sekolah untuk masyarakat tanpa negara khususnya kanak-kanak.


Rajah 1 : Rumah masyarakat tanpa negara (pala'u)


Rajah 2 : Penduduk pala'u yang menetap atas bot


Masyarakat tanpa negara (pala'u) ini sukar mendapatkan pendidikan juga disebabkan oleh sumber pendapatan yang rendah. Kebanyakannya  (pala'u) ini cuma bergantung kepada sektor ekonomi berasaskan laut di mana mereka akan berpindah randah sekiranya mereka mula merasakan hasil laut semakin berkurangan. Hal ini akan menyukarkan kanak-kanak untuk bersekolah kerana mereka perlu mengikuti ibu-bapa mereka berpindah randah ke kawasan dimana mereka boleh mendapatkan hasil laut yang lebih banyak. Isu pendapatan rendah ini akan menyukarkan ibu bapa untuk menanggung perbelanjaan pendidikan anak-anak.


Rajah 3 : Nelayan bersama anak-anak menangkap ikan

 

Ejekan masyarakat tempatan terhadap masyarakat tanpa negara (pala'u) serba sedikit telah mematahkan semangat masyarakat tanpa negara (pala'u) untuk bersekolah. Bahasa yang sukar difahami dan gaya hidup yang berbeza menyebabkan masyarakat tanpa negara (pala'u) hidup terasing dan terputusnya komunikasi menyebabkan kanak-kanak tidak bersekolah dan kebanyakan masa kanak-kanak dihabiskan hanya untuk bermain dan menolong ibu-bapa menangkap ikan di laut.

 

KESAN ISU PENDIDIKAN

Kurangnya pendidikan dalam diri seseorang sudah pasti akan meninggalkan kesan terhadap individu tersebut. Antara kesan tahap pendidikan rendah dalam diri seseorang khususnya kanak-kanak ialah kurangnya pengetahuan tentang dunia luar dan kanak-kanak akan membesar tanpa tahu membezakan antara perkara baik dan buruk. Selain itu, kurangnya pendidikan juga akan menyukarkan seseorang untuk mengubah status kehidupan mereka dan  sudah tentu seseorang individu yang kurang pendidikan akan kurang kemahiran dan sukar mendapatkan pekerjaan di masa hadapan. Seseorang individu juga akan lebih cenderung untuk terjerumus dalam taraf hidup yang rendah. Hal ini disebabkan oleh tahap pendidikan yang rendah dan kurangnya kemahiran akan menyebabkan seseorang individu sukar mendapatkan peluang pekerjaan yang menjanjikan pendapatan yang lebih tinggi.

 

 

 CARA MENGATASI ISU PENDIDIKAN DALAM KALANGAN MASYARAKAT TANPA NEGARA

Cara mengatasi isu pendidikan dalam kalangan masyarakat tanpa negara (pala'u) ialah dengan menyediakan pendidikan alternatif untuk kanak-kanak bukan warganegara dan tanpa dokumen lengkap dalam jangka masa yang panjang. Pendidikan alternatif ini akan membantu kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen lengkap serta masalah kewangan untuk mengakses asas pendidikan seperti membaca dan mengira. Selain itu, Selain itu, penggabungan jalinan komponen kemahiran hidup (Life Skills) berasaskan kemahiran komuniti dapat memupuk seni budaya dan tradisi komuniti setempat. Seterusnya, kerajaan juga perlu menyediakan dana dalam membantu ibu-bapa yang berpendapatan rendah. Hal ini demikian kerana, terdapat ramai kanak-kanak yang tidak bersekolah disebabkan oleh masalah kewangan dan terpaksa mengikuti ibu-bapa mereka pergi bekerja. Akhir sekali, kerajaan perlu menyediakan inisiatif dalam membangunkan sekolah khususnya di kawasan penempatan masyarakat tanpa negara (pala'u).

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, pendidikan merupakan sesuatu yang perlu diterapkan dalam diri seseorang khususnya daripada usia muda. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Dalam langkah usaha memajukan negara kerajaan perlu memainkan peranan dalam memastikan rakyat mendapatkan pendidikan yang mencukupi.

 

 RUJUKAN

 

Ali, I. (2011). Komuniti Orang Tanpa Negara (Stateless People) di Sabah: Kajian Kes Komuniti Bajau Laut di Pulau Mabul, Semporna. Malaysia Dari Segi Sejarah, Bil. 39, 2011, p. 69-81.

 

Rahman, M. N. A., Siraj, S., Idris, N. F. M., Mansor, M. A., & Muhamad, N. A. (2018). Potensi Pembangunan Modul Kurikulum Berasaskan Kemahiran Komuniti Setempat Bagi Kanak-Kanak Bukan Warganegara Malaysia Tanpa Dokumen Pengenalan Diri: Tinjauan Awal. JuKu: Jurnal Kurikulum & Pengajaran Asia Pasifik6(3), 15-21.

 

Tamring, B. A. M., Esa, M. S., Ationg, R., Ibrahim, M. A., Wani, I., Othman, S. A. L., & Lokin, S. D. S. A. ISU-ISU PENDIDIKAN DALAM KALANGAN MASYARAKAT PALA'U DI LAHAD DATU, SABAH.

 

Tamring, B. A. M., & Mahali, S. N. (2020). Amalan Kahwin Campur dalam kalangan Masyarakat Di Kota Kinabalu, Sabah. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH)5(9), 149-162.

 

Yakin, H. S. M., & Marinsah, S. A. (2020). Identiti Budaya Etnik Palau'Di Semporna, Sabah: Konservasi, Adaptasi Dan Transformasi Budaya, Edisi ke-2. Universiti Malaysia Sabah Press.

 

ERICA BINTI HALIN

D20182085933

KUMPULAN A

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...