From: NASYRIN <d094331@siswa.upsi.edu.my>
Date: Thu, Jun 16, 2022 at 8:21 PM
Subject: ISU MASALAH SOSIAL DALAM KALANGAN PENDUDUK DI DAERAH BESUT, TERENGGANU.
To: <kamarul.ismail.geog@blogger.com>
1.0 PENDAHULUAN
Isu masalah sosial dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini kelihatan tidak asing lagi dan sering sahaja berlaku disekeliling kita setiap hari. Masalah sosial adalah perbuatan negatif yang dilakukan oleh sesebuah anggota masyarakat dan tidak mendatangkan sebarang kebaikan atau keuntungan. Masalah sosial ini merangkumi gejala buli, penyalahgunaan dadah, sumbang mahram, pembuangan bayi dan banyak lagi. Apabila keadaan ini berlaku, janganlah kita sesuka hati untuk menunding jari dan mempersalahkan orang lain sedangkan pada masa yang sama gejala sosial ini terus menerus berlaku dan subur seperti tumbuhnya cendawan di musim hujan.
Bertitik tolak daripada perkara ini, amatlah wajar untuk kita memandang serius akan permasalahan ini dan memberi perhatian yang lebih kepada para remaja yang berusia antara 12 hingga 18 tahun. Bak kata pepatah "melentur buluh biarlah dari rebungnya". Golongan ini yang perlu diberi bimbingan yang baik agar kelak menjadi seorang yang berakhlak mulia serta tahu untuk membezakan perkara yang baik dan perkara yang tidak baik. Jangan tunggu sehingga masalah ini menjadi makin teruk barulah kita mahu memikirkan akan penyelesaiannya.
Media massa juga seringkali menyiarkan pelbagai berita dan juga laporan mengenai kenakalan remaja yang masih bersekolah serta pelbagai masalah sosial yang sedang berlaku di sekeliling kita sahaja. Sesungguhnya, dengan melihat kepada masalah sosial dan perbuatan jenayah yang telah membabitkan pelajar dan remaja pada zaman kini, amatlah berada pada tahap yang membimbangkan.
2.0 RINGKASAN KES
isu masalah sosial dalam kalangan penduduk di daerah Besut ini masih lagi berlaku sehingga ke hari ini. Walaupun tidak banyak yang dilaporkan dalam berita atau di surat khabar, namun isu dan permasalahan tersebut sering menggangu penduduk di sekitar dan menjadi buah mulut mereka. Oleh itu, dalam penulisan ini, saya akan memberikan sedikit sebanyak info mengenai punca, masalah dan cadangan yang boleh dilaksanakan bagi membendung isu masalah sosial bagi penduduk di daerah Besut. Sesungguhnya, demi menjaga keamanan dan keharmonian penduduk, maka isu ini hendaklah diambil berat oleh semua pihak kerana masih belum terlambat jika semua pihak memandang serius akan masalah sosial dalam komuniti ini sebagai masalah bersama.
3.0 LOKASI KAJIAN
Kawasan kajian yang telah dipilih untuk melaksanakan laporan ini adalah di daerah Besut, negeri Terengganu. Daerah ini merupakan sempadan antara negeri Terengganu dan Kelantan dan antara kegiatan ekonomi utama yang dijalankan oleh penduduk di daerah ini ialah dari sektor pertanian dan perikanan.
Peta 1: Peta lokasi daerah Besut, Terengganu Darul Iman
4.0 PUNCA BERLAKU ISU MASALAH SOSIAL DALAM KALANGAN PENDUDUK DI DAERAH BESUT
Isu masalah sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat atau khususnya pelajar sekolah di daerah Besut ini tidak lain dan tidak bukan adalah berpunca daripada pengaruh rakan sebaya. Hal ini dikatakan demikian kerana, remaja yang berusia antara 10 hingga 18 tahun ini sedang berada di fasa-fasa peralihan ke alam dewasa. Mereka mempunyai sikap ingin mencuba yang tinggi sehinggakan ada yang terpengaruh dengan rakan-rakan yang lain ketika mereka melakukan gejala buli. Perkara ini telah dibuktikan apabila terdapat beberapa laporan yang dibuat melibatkan pelajar sekolah rendah di daerah Besut yang berusia 12 tahun telah membuli rakan sekelasnya pada bulan februari, tahun 2019 yang lalu dan situasi tersebut telah dirakam oleh mereka dan ditular ke dalam media sosial. Menurut Adair (1998) telah mendapati bahawa seramai 20 peratus pelajar yang telah menjadi mangsa tidak berani dalam meluahkan atau melapor kepada guru-guru mereka. Hal ini sudah semestinya menyebabkan golongan yang lemah dan sentiasa menjadi mangsa buli tersebut akan merasa takut dan mengalami trauma yang berpanjangan. Oleh itu, keadaan ini seharusnya dipandang serius oleh semua pihak kerana takut gejala ini terus berleluasa dalam kalangan masyarakat di daerah ini.
Rajah 1: Video tular melibatkan pelajar darjah 6 di daerah Besut membuli rakan sekelasnya.
Punca kedua kepada isu masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat di daerah Besut ini ialah disebabkan oleh tekanan di tempat kerja. Seperti yang kita sedia maklum, salah satu kegiatan ekonomi utama yang dijalankan oleh penduduk di daerah ini adalah melibatkan sektor perikanan. Ramai di antara mereka yang menjadi nelayan sejak dari bangku sekolah lagi kerana malas untuk belajar. Ditambah pula ibu bapa yang tidak menitikberatkan hal pelajaran, maka dengan menjadi seorang nelayan, mereka mampu untuk menyara kehidupan sehariannya. Apabila waktu subuh menjelma, mereka terpaksa untuk keluar ke laut untuk menangkap ikan dan akan pulang pada waktu petang. Begitulah rutin harian sebagai seorang nelayan. Akan tetapi, dalam diam sebenarnya keadaan ini telah memberi tekanan kepada segelintir penduduk di daerah ini dalam menjadi seorang nelayan kerana mereka memerlukan tenaga yang kuat dan mencukupi setiap hari. Kesannya, ramai antara mereka yang terjebak dengan aktiviti penyalahgunaan dadah sehingga menyebabkan mereka terpaksa bergantung hidup dengan najis dadah ini untuk menjadi lebih bertenaga serta kuat untuk membuat kerja. Hal ini telah dibuktikan apabila terdapat laporan yang dibuat pada bulan November tahun 2019 yang lalu, mengenai seorang nelayan yang sanggup untuk membelanjakan RM100 sehari bagi mendapatkan bekalan dadah. Menurut Ketua Pegawai AADK Besut, Nor Hafizza Mat Zin berkata, lelaki itu mengaku mengambil dadah sejak 12 tahun lalu ketika berusia 15 tahun selepas dipengaruhi rakan-rakan dan tekanan di tempat kerja sehinggakan tabiat itu menjadi semakin parah.
Rajah 2: Individu yang ditahan oleh Pegawai AADK Besut pada 19 November 2019.
Punca yang ketiga pula ialah disebabkan oleh kurangnya penghayatan dalam agama. Setiap manusia mempunyai agama masing-masing dan tidak terkecuali bagi penduduk di daerah Besut ini di mana rata-ratanya merupakan penuntut agama islam. Walaupun banyak masjid, surau serta pondok yang telah dibina di sini, tidak semestinya isu masalah sosial seperti kes rogol dan sumbang mahram tidak berlaku. Hal ini dikatakan demikian kerana, terdapat penduduk di daerah ini yang masih mempunyai penghayatan dalam agama yang kurang sehingga menyebabkan mereka sanggup melakukan perkara yang buruk dan dilarang di sisi agama. Perkara ini dibuktikan apabila terdapat laporan yang telah dibuat melibatkan seorang peniaga yang telah merogol anak saudaranya sendiri di sebuah rumah kosong dalam kebun durian di Jerteh, Besut, antara jam 5.30 petang hingga 6 petang, pada 13 Mei 2014 lalu. Selain itu juga, terdapat laporan kedua yang melibatkan seorang bapa kepada tiga orang anak telah melakukan sumbang mahram terhadap anak saudaranya sendiri pada 14 mei 2019. Kedua-dua laporan ini telah menunjukkan bahawa isu masalah sosial dalam kalangan penduduk di daerah besut ini berada pada tahap yang membimbangkan dek kerana kurangnya penghayatan dalam agama.
Rajah 3: Penjenayah yang melakukan kesalah merogol pada tahun 2014 dan 2019.
5.0 MASALAH / KESAN YANG AKAN DIHADAPI
Antara masalah atau kesan yang akan dihadapi berikutan dengan isu masalah sosial ini sekiranya tidak diambil sebarang tindakan ialah akan mengancam keselamatan para penduduk di sekitar daerah Besut. Hal ini demikian kerana, penyalahgunaan dadah dan gangsterisme ini merupakan satu jenayah berat dan telah terbukti memberikan kesan yang serius dalam perkembangan sesebuah negara. Golongan yang telah terjerumus dengan najis dadah sebagai contohnya tidak akan mendengar dan menerima sebarang nasihat kerana diri mereka telah dikawal serta ketagihan. Kesannya, apabila mereka tidak mempunyai modal untuk membeli dadah, jenayah merompak, mencuri dan samun akan semakin meningkat sehingga menyebabkan para penduduk berasa takut serta tidak selesa walaupun sudah berada di kediaman masing-masing.
"Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini." Saidina Ali R.A. Hal ini jelas menunjukkan bahawa, pemimpin pada masa akan datang adalah cerminan remaja pada hari ini. Bagaimana kita hendak memastikan para pemimpin pada masa akan datang adalah lebih baik dan cemerlang sekiranya remaja pada zaman kini terlihat telah hanyut dalam perkembangan teknologi sehingga menyebabkan isu masalah sosial ini semakin berleluasa di luar sana.
Kesan yang kedua pula ialah keruntuhan akhlak dan moral dalam sesebuah masyarakat. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa akhlak remaja dan masyarakat pada hari ini adalah berada pada tahap yang membimbangkan. Perkara ini akan menjadi semakin parah jika tidak diambil tindakan dan pemantauan dari semua pihak terutamanya pihak kerajaan, kerana golongan ini menganggap setiap perkara yang mereka lakukan tersebut adalah benar dan tidak memberi kesan kepada penduduk di sekeliling mereka. Golongan yang tidak berakhlak ini juga tidak akan pernah sedar bahawa setiap tindakan mereka itulah yang akan membuatkan masyarakat berpecah-belah dan tidak lagi bersatu-padu. Kesannya, perasaan negatif seperti buruk sangka yang tinggi akan bertakhta di hati setiap masyarakat. Hal ini sudah semestinya akan membuatkan masyarakat suka bergaduh dan isu-isu perkauman juga akan diperkaitkan sekiranya berlaku pergaduhan kaum dalam masyarakat. Apabila keadaan ini berlaku, maka kadar jenayah juga akan meningkat, punca daripada kadar keruntuhan akhlak di kalangan remaja yang semakin tidak terkawal pada zaman kini.
Masalah yang seterusnya pula adalah tidak lain dan tidak bukan iaitu akan memburukkan dan menjatuhkan imej masyarakat di daerah Besut dan apabila perkara ini tidak dikawal, maka ianya juga akan melibatkan sehingga ke imej negara. Hal ini dikatakan demikian kerana, apabila kes jenayah yang berlaku di sesebuah tempat itu adalah tinggi, maka ia menunjukkan bahawa masyarakat di kawasan tersebut adalah tidak mempunyai sikap dan moral yang baik sehinggakan para pelancong juga tidak berani untuk melawat ke tempat tersebut. Apabila perkara ini berlaku, sudah pasti imej daerah Besut ini akan tercemar dan dilihat sebagai sebuah daerah yang teruk serta tidak selamat. Oleh hal yang demikian, sebelum perkara ini berlaku dan memberi impak kepada negara, maka semua penduduk di daerah Besut ini hendaklah bersama-sama menjaga antara satu sama lain agar kes jenayah seperti rogol, penyalahgunaan dadah serta merompak ini dapat dikurangkan.
6.0 CADANGAN PENYELESAIAN ISU MASALAH SOSIAL
Antara cadangan atau langkah yang boleh dilaksanakan bagi mengurangkan dan membendung masalah ini daripada terus meningkat adalah dengan memberi kesedaran sivik kepada para penduduk melalui kempen yang berkaitan isu masalah sosial ini. Sebagai contohnya, kempen perangi dadah, kempen kosong jenayah serta kempen berkaitan penghayatan agama. Menurut Schlozman, Verba & Brady, 1999; Wilson & Musick (1999), kesedaran sivik dianggap salah satu cara untuk membina kemahiran dan kebolehan, meningkatkan toleransi di kalangan penduduk, membina komuniti serta mengumpulkan tindakan kolektif. Oleh hal yang demikian, dengan memberi kesedaran sivik ini, setidaknya akan mampu menyedarkan masyarakat agar sentiasa mengambil berat terhadap masalah yang berlaku di sekeliling dan sekaligus dapat menolong pihak kerajaan dan anggota polis dalam membanteras jenayah yang sedang berlaku.
Cadangan yang kedua yang dapat membantu mengurangkan permasalahan ini ialah dengan memberi penghayatan agama yang kuat terhadap para remaja sejak dari bangku sekolah lagi. Menurut Fauziah et al. (2012), beliau menggambarkan bahawa semakin tinggi pengetahuan agama, semakin rendah kecenderungan pelajar untuk terlibat dengan aktiviti yang tidak bermoral dan juga merosakkan akhlak. Bertitik tolak daripada perkara ini, jika kita memberi pendedahan dan penghayatan agama yang kuat di usia mereka masih remaja, maka mereka akan memperoleh ilmu tentang agama yang tinggi. Hal ini dapat menjadikan mereka seorang yang patuh, bersopan, beradab dan tahu untuk membezakan perkara yang baik dan perkara yang buruk. Apabila keadaan ini berlaku, maka sudah pasti kadar isu masalah sosial yang berlaku juga akan berkurangan di daerah Besut.
Cadangan yang ketiga pula ialah dengan membuat pemantauan terhadap tindakan dan sebarang aktiviti yang berlaku di sekeliling masyarakat. Pihak kerajaan khususnya amatlah berperanan penting dalam membendung masalah ini daripada terus berlaku iaitu dengan mengarahkan agar Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) supaya sentiasa membuat pemantauan serta serbuan di tempat-tempat yang telah dikenal pasti sebagai kawasan "hot spot" bagi penagih dan pengedar dadah. Selain itu juga, peranan ibu bapa dan juga keluarga dalam memantau ahli keluarga mereka juga adalah penting. Hal ini demikian kerana, selain sahabat kenalan, keluarga merupakan kelompok sosial yang paling dekat antara kita. Oleh itu, amatlah perlu sekiranya setiap keluarga memantau aktiviti ahli keluarga masing-masing dan sekiranya didapati melakukan kesalahan jenayah, maka laporkan dengan segera kepada agensi serta pihak yang berkuasa yang terlibat agar permasalahan tersebut dapat dibanteras dengan lebih cepat.
7.0 KESIMPULAN
Kesimpulannya, jelaslah bahawa isu masalah sosial ini merupakan sebuah isu yang tiada pengakhiran, malah berlaku secara berterusan dalam kehidupan kita. Hal ini sejajar dengan perintah Allah S.W.T untuk menuntut ilmu agama kerana dengan mendalami ilmu al-Quran dalam membaiki jiwa insan yang rosak adalah pendekatan yang terbaik. Selain itu juga, ibu bapa dan masyarakat di daerah Besut itu sendiri hendaklah sentiasa peka dan mengambil tahu akan masalah jiran mereka supaya daerah ini mampu hidup dalam keadaan yang tenang dan harmoni tanpa sebarang isu mengenai masalah sosial seperti ini. Tambahan pula, siapa lagi yang mampu untuk menolong masyarakat dan negara kita selain diri kita sendiri. Oleh itu, marilah bersama-sama memberikan kerjasama antara satu sama lain demi kesejahteraan bersama.
RUJUKAN
Berita PAS Online. (2020). Belia Harapan Agama, Bangsa dan Negara. Diperoleh daripada https://berita.pas.org.my/belia-harapan-agama-bangsa-dan-negara/
Fitri Nizam. (30 Oktober 2018). Peniaga Rogol Anak Saudara Dipenjara, Sebat. Berita Harian Online. Diperoleh daripada https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/10/492462/peniaga-rogol-anak-saudara-dipenjara-sebat
Hanneeyzah Bariah Baharin. (14 februari 2019). Suka Hati Kau Je Belasah Anak Orang. Harian Metro Online. Diperoleh Daripada https://www.hmetro.com.my/utama/2019/02/423125/suka-hati-kau-je-belasah-anak-orang
Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia. (2007). Masalah Sosial Dan Kesedaran Sivik Generasi Muda Daripada Keluarga Berpendapatan Rendah Di Bandar. Diperoleh daripada http://www.iyres.gov.my/jdownloads/Penyelidikan/masalah-sosial-dan-kesedaran-sivik-di-kalangan-generasi-muda-drpd-keluarga-miskin-di-bandar.pdf
Rahayu Mustafa. (19 November 2019). Nelayan guna RM100 Sehari Beli Dadah. Sinar Harian Online Harian. Diperoleh Daripada https://www.sinarharian.com.my/article/58041/EDISI/Terengganu/Nelayan-guna-RM100-sehari-beli-dadah
Rubiah Omar. (21 Mei 2019). Bapa Tiga Anak Rogol Anak Saudara. Sinar Harian Online. Diperoleh daripada https://www.sinarharian.com.my/article/29186/KHAS/Isu/Bapa-tiga-anak-rogol-anak-saudara
Zulkifli Haji Mohd Yusoff. (2011). Gejala Sosial dalam Komuniti: Satu Sorotan Penyelesaian dari Perspektif Wahyu. Diperoleh daripada https://repo.uum.edu.my/id/eprint/2177/1/57.pdf
NAMA: NASYRIN BINTI NOOR AZIZ
NO MATRIK: D20201094331
KUMPULAN: A
No comments:
Post a Comment