Wednesday, June 15, 2022

ISU KETIADAAN BEKALAN SUMBER AIR TERAWAT KEPADA PENDUDUK KAMPUNG DI KAMPUNG KAPA TAMPARULI, SABAH.

GEOGRAFI PENDUDUK: ISU KETIADAAN BEKALAN SUMBER AIR TERAWAT KEPADA PENDUDUK KAMPUNG DI KAMPUNG KAPA TAMPARULI, SABAH.

1.0 PENGENALAN

Air merupakan sebatian kimia yang berbentuk cecair pada tekanan biasa dan pada suhu bilik. 70% daripada permukaan bumi adalah air dan setiap hidupan yang ada di bumi memerlukan air untuk meneruskan kehidupan. Di samping itu, air terawat merupakan sejenis cecair iaitu air yang telah melalui proses rawatan sebelum disalurkan kepada pengguna untuk pelbagai tujuan. Oleh hal yang demikian, suatu situasi yang menyedihkan telah berlaku di kampung Kapa Tamparuli, Sabah di mana kampung ini berhadapan dengan masalah bekalan air bersih sejak sekian lama. Isu ini berlaku disebabkan oleh ketiadaan tindakan yang dilakukan oleh pihak berkenaan dalam membekalkan air terawat kepada penduduk kampung Kapa Tamparuli.

Disebabkan oleh ketiadaan air terawat di kampung Kapa Tamparuli, ia menyebabkan penduduk kampung hanya bergantung sepenuhnya kepada sumber mata air dan air sungai yang berhampiran dengan kampung. Tambahan pula, di kampung Kapa Tamparuli terdapat satu tangki yang akan digunakan untuk mengumpul air dari sungai atau mata air bagi tujuan penyaluran air ke setiap rumah yang ada di kampung Kapa. Tangki tersebut dipanggil "Tudan" oleh semua penduduk kampung Kapa Tamparuli dan ia sangat berguna untuk penduduk kampung. Namun demikian, kemarau yang berpanjangan menyebabkan kawasan tadahan air tersebut menjadi kering dan sekali lagi memberi kesukaran kepada penduduk kampung untuk mendapatkan air. Hal ini akhirnya menimbulkan banyak masalah kepada penduduk kampung yang tinggal di kampung Kapa Tamparuli, Sabah. 

Rajah 1: Kawasan tadahan air@Tudan yang hampir kering disebabkan kemarau panjang

 

2.0 KAWASAN KAJIAN

Kawasan yang dipilih oleh pengkaji bagi menyempurnakan tugasan Geografi Penduduk ini ialah, di kampung Kapa Tamparuli, Sabah Malaysia. Kampung ini terletak di daerah Tuaran dan berjarak kira-kira 4 KM dari pekan Tamparuli. Terdapat sebuah sekolah rendah di kampung ini iaitu, Sekolah Kebangsaan Kapa Tamparuli (Sk Kapa Tamparuli) yang sudah beroperasi sejak sekian lama. Selain itu, hampir kesemua penduduk kampung yang tinggal di kampung Kapa adalah berbangsa dusun dan kadazan dusun. Pengkaji memilih isu ketiadaan sumber bekalan air terawat di kampung Kapa Tamparuli ini sebagai topik tugasan.

Rajah 2: Kawasan kajian (Kampung Kapa Tamparuli, Sabah)

3.0 PUNCA-PUNCA KETIADAAN SUMBER BEKALAN AIR TERAWAT DI KAMPUNG KAPA, TAMPARULI

Punca sebenar ketiadaan air terawat yang dihadapi oleh penduduk kampung Kapa Tamparuli sebenarnya belum jelas diketahui oleh pengkaji disebabkan hal ini adalah sulit. Hal ini dikatakan demikian kerana, isu ini agak sensitif untuk dibahaskan dan pengkaji hanya menghuraikan apa yang diketahui umum sahaja. Oleh itu, salah satu punca yang menyebabkan ketiadaan air terawat di kampung Kapa Tamparuli, Sabah ialah empangan air belum tersedia di kawasan berhampiran sungai yang ada di kampung kapa. Dikatakan juga bahawa sudah ada perancangan untuk membina empangan air di kampung Kapa Tamparuli namun ia masih tergendala sehingga kini. Hal ini kerana, kos perbelanjaan yang diperlukan untuk membina empangan air adalah sangat tinggi disebabkan oleh faktor harga barangan yang sudah naik. Kesannya, empangan air belum dibina lagi di kampung Kapa Tamparuli sehingga tahun 2022 ini.

            Tambahan pula, bentuk muka bumi di kampung Kapa Tamparuli yang berbukit bukau juga merupakan antara punca ketiadaan bekalan air terawat. Seperti yang kita ketahui, air akan mudah mengalir dalam saluran paip pada kedudukan yang lurus atau condong ke bawah. Oleh itu, hal ini sememangnya adalah sukar untuk menyalurkan air terawat di setiap rumah yang ada di kampung Kapa kerana saluran air akan sukar bergerak ke kawasan yang tinggi dan sudah pasti ia akan menjejaskan kuantiti air yang akan diterima oleh penduduk kampung. Oleh hal yang demikian, situasi ini menyebabkan sumber bekalan air terawat sukar untuk diberikan kepada penduduk kampung Kapa dan keadaan inilah yang menyebabkan penduduk kampung masih bergantung kepada sumber air yang lain sehingga kini.

4.0 KESAN-KESAN KETIADAAN SUMBER BEKALAN AIR TERAWAT KEPADA PENDUDUK KAMPUNG

Rajah 3: Tangki Air utama@Tudan yang berfungsi untuk mengumpulkan air dari sungai/mata air

Disebabkan oleh tidak ada tindakan susulan daripada pihak bertanggungjawab dalam membekalkan air terawat kepada penduduk kampung Kapa Tamparuli, hal ini menyebabkan pelbagai kesan negatif yang berlaku kepada penduduk kampung. Antara kesan yang berlaku kepada penduduk kampung ialah, kesukaran dalam menjalankan aktiviti harian.

Seperti yang kita ketahui, hampir setiap hari manusia memerlukan air untuk melakukan kerja-kerja harian seperti memasak, mencuci pinggan, membasuh pakaian, menyiram tanaman dan banyak lagi. Oleh itu, masalah kekurangan air bersih untuk tujuan harian penduduk kampung Kapa ini telah menyebabkan mereka terpaksa menyediakan seberapa banyak buah tangki air di kediaman masing-masing untuk tujuan pengumpulan air dari sumber mata air yang dikumpulkan di tangki utama@tudan. Ia seterusnya akan digunakan untuk melakukan kerja-kerja seperti memasak di rumah. Namun demikian, cuaca yang tidak menentu pada setiap bulan menjejaskan mata air dan menyebabkan penduduk kampung terpaksa mencari alternatif lain iaitu dengan membawa bahan cucian atau masakan di sungai berdekatan untuk dikerjakan. Tambahan pula, penduduk kampung juga kadangkala akan turun ke pekan Tamparuli yang berjarak 4 KM dari kampung Kapa untuk mencuci pakaian di dobi dan mengisi air sebagai bekalan minuman melalui penapis air yang disediakan di pekan Tamparuli.

Selain itu, isu ketiadaan sumber air terawat ini juga menyebabkan kesihatan penduduk kampung Kapa Tamparuli terjejas. Seperti yang kita ketahui, kesihatan seseorang itu bergantung kepada persekitaran tempat tinggal, cara pemakanan dan minuman yang diambil. Oleh itu, masalah ketiadaan air terawat yang berlaku di kampung Kapa Tamparuli menyebabkan penduduk kampung mudah jatuh sakit seperti sakit perut, kegatalan, keracunan makanan dan banyak lagi. Hal ini berlaku disebabkan oleh air yang digunakan untuk minum dan mandi adalah bukan daripada sumber air yang bersih dan selamat untuk diminum, khususnya apabila musim hujan lebat tiba. Hal ini dikatakan demikian kerana, apabila musim hujan banyak sisa sampah atau tanah yang akan turut sama disalurkan ke dalam tangki utama@tudan melalui arus sungai. Oleh itu, air yang dikumpulkan adalah tidak bersih dan akhirnya menjejaskan kesihatan penduduk kampung.

5.0 CADANGAN MENGATASI KESAN DAN MASALAH KETIADAAN AIR TERAWAT DI KAMPUNG KAPA, TAMPARULI

Walaupun kampung Kapa Tamparuli tidak menerima air terawat daripada pihak yang bertanggungjawab, namun tetap bersyukur kerana masih terdapat satu tempat atau kawasan yang berhampiran dengan kampung Kapa yang dapat membekalkan air graviti kepada penduduk kampung. Kawasan ini sering menjadi tumpuan penduduk kampung Kapa untuk mengambil air apabila tiba musim kemarau yang panjang, walaupun persekitaran kawasan tersebut adalah kurang menarik dan selamat. Hal ini kerana, penduduk akan memperoleh air secara terus menerusi paip yang tersedia di sana. 

Rajah 4: Kawasan berhampiran kampung Kapa, Tamparuli yang berfungsi membekalkan air graviti

Oleh hal yang demikian, dicadangkan agar pihak kontraktor atau pihak yang berkenaan untuk menaiktaraf kawasan pengambilan air graviti berhampiran kampung Kapa Tamparuli. Hal ini dikatakan demikian kerana, kawasan pengambilan air graviti ini adalah tidak sesuai untuk individu yang ingin membawa anak-anak kecil untuk mandi di sana kerana kawasan ini adalah sangat dekat dengan jalan raya besar. Hal ini sangat berbahaya apabila ibubapa sudah sibuk dengan kerja mengumpul air sehingga tidak sedar dengan keberadaan anak-anak mereka. Oleh itu, adalah lebih baik jika pihak berkenaan memasang pagar di sekitar kawasan pengambilan air graviti ini untuk tujuan keselamatan pengguna. Dengan ini, ia akan dapat menjamin keselamatan penduduk kampung Kapa yang ingin mengambil dan menggunakan air graviti tersebut. Tambahan pula, pihak kontraktor juga perlu memeriksa semua saluran paip yang ada di kawasan pengambilan air graviti tersebut agar kehilangan air graviti tidak akan berlaku. Oleh itu, hal ini akan membawa kepada peningkatan jumlah air yang boleh diisi oleh penduduk kampung.

Bukan itu sahaja, apabila musim kemarau tiba sudah tentu semakin ramai penduduk kampung yang akan menggunakan paip tersebut dan mereka terpaksa beratur untuk mengisi air graviti mengikut giliran. Oleh hal yang demikian, kemudahan kerusi panjang yang akan disediakan boleh meredakan tekanan yang dirasai oleh penduduk kampung berkenaan dengan masalah air yang sering berlaku. Hal ini dapat dicapai apabila masa menunggu digunakan untuk mereka bercerita bersama serta berkongsi pengalaman sesama penduduk kampung di ruangan kerusi yang disediakan. Kesannya, masa yang berjalan tidaklah begitu terasa dan sememangnya boleh mewujudkan perasaan tenang kepada penduduk kampung Kapa, walaupun dihadapkan dengan situasi yang begitu mencabar hati.

Selain itu, dicadangkan agar ketua kampung serta penduduk kampung dapat bersatu hati dan bersepakat untuk membuat permohonan yang lebih utuh dan jelas kepada pihak atasan dalam membekalkan air terawat di kampung Kapa, Tamparuli Sabah. Kesepakatan ini boleh dilakukan melalui kesatuan semua penduduk kampung dalam menyediakan dan mengisi borang permohonan yang merangkumi sebab serta huraian yang jelas untuk mendapatkan bekalan air graviti di kampung Kapa Tamparuli. Setelah itu, ketua kampung boleh mengumpul semua borang tersebut dan seterusnya dihantar kepada pihak atasan bagi mendapatkan kelulusan. Oleh itu, dengan adanya kesepakatan yang utuh daripada semua penduduk kampung, permohonan tersebut akan besar kemungkinan mendapat kelulusan kerana bukan hanya seorang atau dua orang sahaja yang mengadu tentang masalah air di kampung Kapa, tetapi semua penduduk kampung yang tinggal di sana. Akhirnya, perkara ini sudah pasti akan dapat mengatasi masalah kekurangan air bersih di kampung Kapa Tamparuli, Sabah.

Akhir sekali, dicadangkan juga agar pihak kerajaan dapat menambah bilangan paip di kawasan pengambilan air graviti di kampung Kapa Tamparuli serta menyediakan paip yang lebih berkualiti. Dengan cara ini, penduduk kampung akan dapat mengumpul air dengan lebih cepat dan seterusnya dapat mengelak daripada berlakunya kesesakan semasa mengambil air. Bukan itu sahaja, ia akan melancarkan kerja seharian penduduk kampung kerana mereka masih mempunyai masa yang lebih untuk melakukan kerja-kerja yang lain, apabila masa yang digunakan untuk mengambil air adalah singkat.

6.0 PENUTUP

Kesimpulannya, isu yang berkaitan dengan Geografi Penduduk yang berlaku di kampung Kapa Tamparuli, Sabah adalah isu ketiadaan sumber bekalan air terawat kepada penduduk kampung. Pengkaji diberitahu oleh penduduk kampung bahawa isu ini sudah berlaku sejak dari zaman nenek moyang lagi dan impak negatif masih dirasai oleh penduduk kampung kapa sehingga kini. Oleh hal yang demikian, diharapkan agar pihak-pihak yang bertanggungjawab dapat menyelesaikan isu ini dengan segera agar kualiti hidup penduduk kampung Kapa dapat dijamin sekali gus mampu melahirkan warga kampung yang sihat dari pelbagai aspek kehidupan. Sekiranya isu ini tidak diambil peduli, sudah pasti perkara yang sama juga akan berlaku kepada generasi akan datang dan besar kemungkinan ia akan menyebabkan kesan yang lebih buruk akan berlaku kepada generasi baharu.

 

RUJUKAN

Amirah Abdin, Nordin Sakke, & Adi Jafar. (2021). Aksesibiliti Bekalan Air Terawat dan Cabaran Sekuriti Air di Pulau Sebatik, Malaysia. MANU, 32(1), 19-49. https://jurcon.ums.edu.my/ojums/index.php/MANU/article/view/2935/2130

Ang Kean Hua. (2015). Kualiti Sumber Air di Malaysia: Satu Analisis. Malaysia Journal of Society and Space, 11(6), 98-108. http://journalarticle.ukm.my/9195/1/10x.full-geojun15-angkeanhua-edkatam.pdf

Astro Awani. (2019, Disember 25). Pendekatan Holistik Perlu untuk Tangani Masalah Air-Lee Lam Thye. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pendekatan-holistik-perlu-untuk-tangani-masalah-air-lee-lam-thye-226263


NAMA: SHARLEY SHATTEY JOE

NO. MATRIK: D20201094333

KUMPULAN: B

 

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...