Sunday, June 19, 2022

Assalamualaikum dr, Saya MUHAMMAD AZRUL BIN MOHAMAD (D20201094269)

 

TAJUK: MASALAH PEMBUANGAN SAMPAH DI DAERAH SEMPORNA, SABAH

  1. PENGENALAN

Masalah pencemaran sampah merupakan salah satu isu yang menjadi cabaran negara Malaysia pada hari ini. Muhamad Fiqrurazi Ahmad Shamsuri (2015), menjelaskan bahawa "pencemaran sampah boleh ditakrifkan sebagai pembuangan benda-benda atau bahan-bahan hasil daripada aktiviti manusia ke atas alam persekitaran yang menyebabkan terganggunya keselesaan atau kemandirian kehidupan" (ms. 1). Pencemaran sampah berlaku akibat daripada peningkatan jumlah pembuangan sisa pepejal di sesebuah kawasan. Pertumbuhan ekonomi dan kepesatan penduduk menjadi faktor utama berlakunya peningkatan jumlah pembuangan sampah. Ini kerana, Mohd Hariri Ariffin dan Nur Shahazira Izzati Shahaziran (2021), menyatakan bahawa "proses pemodenan banyak menyumbang kepada peningkatan sampah sarap secara drastik. Malah, kebanyakan negara membangun, khususnya di Malaysia berdepan masalah pelupusan sampah selari dengan peningkatan kadar urbanisasi yang tidak terancang dan pertumbuhan pesat penduduk". Menurut Mohmadisa Hashim et al. (2011), "sisa pepejal atau sampah dan segala jenis bahan buangan yang terjana oleh aktiviti manusia merujuk kepada bahan yang tidak berguna dan tidak diperlukan lagi" (ms. 79). Misalnya, botol, plastik, kotak kertas, tin aluminium, kadbod dan sebagainya. Masalah pengurusan sisa pepejal bukan sahaja berlaku di bandar-bandar besar tetapi juga ia turut berlaku di kawasan luar bandar atau pedalaman.

Isu pembuangan sampah di daerah Semporna merupakan isu yang hangat di kalangan penduduk setempat. Masalah sampah di daerah amatlah kritikal sehingga dapat diibaratkan seperti penyakit kanser yang sudah mencapai tahap empat. Masalah ini bukanlah perkara baharu, malah ia sudah dirasai dan dialami oleh penduduk daerah ini berpuluh-puluh tahun yang lalu. Masalah sampah di daerah Semporna sering menjadi bualan mulut oleh masyarakat luar sehingga ia digelar sebagai sebuah daerah yang kotor dan menjijikkan. Sehubungan itu, masalah sampah di daerah ini sudah tentu akan memberi impak kepada alam sekitar manusia dan alam sekitar fizikal terutamanya air laut dan hidupan marin. Sehingga kini, walaupun telah banyak usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan Majlis Daerah Semporna untuk mengatasi masalah pembuangan sampah, namun sampah masih kelihatan tidak terurus dengan baik dan berselerak di kawasan pekan dan kampung yang berhampiran pekan seperti Kampung Panji, Kampung Simunul, Kampung Bangau-Bangau, Kampung Air dan sebagainya.

Rajah 1: Longgokan sampah di Kampung Air, Semporna

(Sumber: Kajian Lapangan, 16 Jun, 2022)

Rajah 2: Longgokan sampah di Kampung Panji, Semporna

(Sumber: Kajian Lapangan, 16 Jun, 2022)

 

  1. KAWASAN KAJIAN

Rajah 3: Peta Semporna

(Sumber: Google Map)

Semporna merupakan sebuah kawasan yang terletak di pantai timur Sabah. Pada umumnya, Semporna yang dahulunya dikenali sebagai "Tong Talun" dalam bahasa Bajau yang membawa maksud "hujung hutan". Daerah ini merupakan sebuah daerah dalam bahagian Tawau yang cukup sinonim dengan petempatan suku kaum Bajau di Sabah. Daerah Semporna cukup terkenal dengan sektor pelancongan yang berasaskan marin. Ini kerana, keunikan yang dimiliki oleh daerah ini telah menjadi salah satu daya tarikan untuk dikunjungi oleh para pelancong sama ada dari dalam ataupun luar negara. Misalnya, daerah ini memiliki gugusan pulau yang menarik seperti Pulau Sipadan, Pulau Mabul, Pulau Kapalai, Pulau Mataking dan Pulau Sibuan, Pulau Bohey Dulang, dan banyak lagi. Setiap pulau ini dihiasi oleh hamparan laut yang jernih dan membiru, pantai yang panjang, bersih dan memutih serta kaya dengan hidupan marin yang unik (Norazni Syaripudin, 2016).

Dearah Semporna mencatatkan jumlah anggaran penduduk seramai 172, 900 orang pada tahun 2019 (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2020). Sehingga kini, daerah Semporna telah mengalami pelbagai pembangunan sama ada dalam kegiatan ekonomi, infrastruktur, perkhidmatan dan jumlah penduduk. Dalam aspek pembangunan ekonomi, daerah ini telah memberi tumpuan kepada sektor pelancongan dan perikanan. Kedua-dua sektor ekonomi ini semakin berkembang dengan penglibatan pelbagai agensi swasta dan juga masyarakat. Sehubungan itu, banyak kemudahan infrastrukur seperti hotel, restaurant, resort pelancongan, kawasan rekreasi dan sebagainya telah dibina di daerah ini. Ini adalah bertujuan untuk menjadikan sektor pelancongan di daerah ini terus berkembang dan menjadi tumpuan masyarakat luar dan dalam negara. Misalnya, pembinaan sebuah hotel bertaraf lima bintang bernilai RM100 juta iaitu Seafest Star Class Hotel & Suites Semporna. Pembinaan hotel ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan menampung kehadiran pelancong yang sudah mencecah lebih daripada 50, 000 orang sebulan

  1. PUNCA

Pembuangan sisa pepejal atau sampah di daerah Semporna berlaku disebabkan oleh beberapa punca utama seperti sikap masyarakat, kegiatan ekonomi, majlis keramaian, sistem pelupusan sampah yang kurang sistematik dan kedudukan petempatan masyarakat.

3.1 Sikap Masyarakat

Pencemaran sampah sarap di sesebuah kawasan adalah berpunca daripada perilaku manusia yang suka membuang sampah merata tempat. Sikap manusia dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti pengetahuan, kepercayaan, pendidikan, ekonomi, demografi, prasarana dan sebagainya (Desi Natalia Marpaung et al., 2022). Sikap yang tidak mengendahkan kepentingan alam sekitar merupakan satu penyakit yang kian merebak dalam kalangan masyarakat pada masa kini. Walaupun telah banyak pendekatan atau kaedah yang dilaksanakan untuk mengatasi masalah sampah di negara ini, namun ia akan terus melanda negara jika masyarakat tidak mempunyai kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Keadaan ini jelas berlaku di daerah Semporna, iaitu masyarakatnya yang kurang prihatin dan cakna terhadap alam sekitar. Ini kerana, kawasan pekan Semporna kelihatan begitu kotor dengan sampah-sarap yang beselerak dan air hujan yang bertakung.

Malah, persekitaran laut dan darat di kawasan kampung yang terletak di pinggir pekan turut kelihatan kotor dengan taburan sampah yang banyak. Keadaan ini berlaku akibat sikap masyarakat yang menjadikan air laut sebagai tempat pembuangan sisa makanan, sisa kumbahan, sisa pepejal dan sebagainya. Walaupun, kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan telah melaksakan pelbagai tindakan dan program, namun masyarakat tetap selesa dengan budaya yang diwarisi sejak dahulu iaitu suka membuang sampah merata-rata tempat. Oleh itu, Hasnah Ali et al. (2012) menjelaskan bahawa, "jumlah sisa pepejal boleh dikurangkan jika masyarakat sanggup mengubah kebiasan dan gaya hidup mereka kepada yang lebih peka terhadap alam sekitar dan mengurangkan beban ekonomi berkaitan sistem pengurusan sisa pepejal" (ms. 66).

    1. Majlis Keramaian

Hasnah Ali et al. (2012), menyatakan bahawa, "setiap kali musim perayaan pelbagai sisa makanan serta bungkusan dapat dilihat. Kertas, botol, tin, kaca, plastik dan bungkusan hiasan dengan jumlah yang banyak dapat diperhatikan di dalam bekas sampah. Ini semua adalah sisa pepejal yang perlu dilupuskan" (ms. 66). Masyarakat Semporna juga mempunyai pelbagai budaya dan adat yang tersendiri. Pelaksanaan majlis keramaian di daerah ini turut menyumbang kepada pencemaran sampah. Misalnya, majlis Regata Lepa-lepa, majlis perkhawinan, majlis kematian dan sebagainya. Setiap majlis yang dilaksanakan sudah tentu akan melibatkan perhimpunan orang ramai dan penggunaan banyak bahan-bahan seperti botol, plastik makanan, dan alatan lain. Walaupun, pihak yang menganjurkan majlis tersebut telah menyediakan tong sampah atau kawasan untuk pembuangan sampah, namun segelintir masyarakat masih memilih untuk membuang sampah tersebut di merata tempat termasuklah ke dalam air laut. Tindakan ini didorong oleh sikap masyarakat yang kurang kesedaran dan enggan mematuhi. Malah, pelaksanaan pesta Regatta Lepa-lepa sebelum ini juga turut menunjukkan situasi yang sama. Ini kerana, selepas pelaksanaan pesta ini, sampah sarap yang banyak didapati berselerak di kawasan pekan.

    1. Petempatan Masyarakat

Petempatan masyarakat juga menjadi antara punca yang mendorong peningkatan jumlah sampah di daerah Semporna. In kerana, kebanyakkan masyarakat Semporna lebih selesa membina rumah di kawasan pulau dan di atas air laut bagi memudahkan mereka menjalankan aktiviti ekonomi perikanan. Malah, di kawasan pinggir pekan Semporna terdapat banyak perkampungan atas air yang didiami oleh ribuan masyarakat, misalnya petempatan masyarakat di Kampung Panji, Kampung Simunul, Kampung Bangau-Bangau, Kampung Air, dan sebagainya. Perkampungan atas air di daerah ini menghadapi pelbagai isu termasuklah masalah pengurusan sampah. Ini kerana, kawasan perkampungan atas air sememangnya tidak mempunyai sistem pelupusan sampah yang sistematik. Pelbagai faktor yang mendorong masyarakat di perkampungan atas air untuk terus membuang sampah ke dalam laut seperti kawasan yang jauh dengan pekan, masalah pengangkutan dan sikap masyarakat itu sendiri. Oleh itu, keadaan ini menyebabkan masyarakat lebih suka membuang sampah ke dalam laut berbanding mengumpulkannya dan membuang di tong sampah. Misalnya, sisa domestik, najis manusia, bangkai haiwan, sisa makanan dan sebagainya terus dibuang ke laut tanpa rasa bersalah.

    1. Sistem Pelupusan Sampah yang tidak Sistematik

Menurut Hasnah Ali et al. (2012), "pengurusan sisa pepejal adalah antara masalah utama yang di hadapi oleh kebanyakan bandar di negara membangun" (ms. 65). Masalah pelupusan sampah yang tidak sistematik menjadi antara punca utama isu sampah di negara ini masih tidak dapat ditangani secara berkesan. Masalah ini seringkali menimbulkan pelbagai kesan yang buruk terhadap alam sekitar dan keselesaan penduduk. Isu pelupusan sampah di pekan Semporna yang kini menjadi isu hangat di kalangan penduduk setempat, terutama setelah mereka menderita berpuluh tahun lamanya kerana terpaksa menghidu bau busuk dan gumpalan asap yang berbahaya. Walaupun telah banyak pendekatan yang telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk mewujudkan tapak pelupusan sampah yang luas dan mesra alam, namun masih sahaja menemui jalan buntu akibat kelemahan pengurusan dan karenah birokrasi oleh pihak tertentu. Di daerah Semporna hanya terdapat dua tapak pelupusan sampah iaitu di SK Pekan II dan di Pegagau. Kedua-dua tapak pelupusan sampah ini terletak berdekatan dengan sekolah dan petempatan masyarakat. Malah, tapak pelupusan sampah yang terdapat di daerah Semporna tidak mampu menampung jumlah sampah sarap yang banyak di daerah Semporna. Ini kerana, pelupusan sampah di daerah ini masih berada di tahap yang rendah dalam mengintegrasikan teknologi hijau. Hasnah Ali et al. (2012) turut menyatakan bahawa,

"dalam pengurusan sisa pepejal faktor utama yang menjadi penghambat adalah kos yang terlalu tinggi mulanya dari kutipan, pengumpulan, hingga pengangkutan sampah ke tapak pelupusan. Keadaan bertambah teruk apabila terdapatnya kepincangan dalam sistem pengurusan dan kekurangan tenaga kerja dalam melaksanakan setiap tugas yang telah diamanahkan" (ms. 65).

            Selain itu, jarak tapak pelupusan sampah dengan petempatan masyarakat turut menyebabkan proses pengumpulan sampah dan pengangkutan sampah ke tapak pelupusan tidak berlaku secara komprehensif. Malah, pekerja-pekerja hanya dapat mengutip sampah di kawasan pekan sahaja dan kawasan perkampungan yang terletak di pinggir pekan terus terabai. Ini menyebabkan sampah sarap terus bertambah terutamanya di kawasan laut.

 

4.0 MASALAH

Persekitaran yang tercemar dengan sampah sarap yang busuk dan menjijikkan sudah pasti akan menimbulkan pelbagai masalah yang serius sama ada terhadap alam sekitar fizikal atau alam sekitar manusia.

4.1 Menganggu Keseimbangan Ekosistem

Pencemaran sampah sarap di daerah Semporna akan menyebabkan pelbagai kesan yang negatif sehingga menjejaskan keseimbangan ekosistem persekitaran di daerah ini. Menurut Fazurawati Che Lah (2019), "peningkatan sisa plastik akan mampu memudaratkan ekosistem bumi, sama ada di darat mahupun di laut". Malah, sampah yang mengandungi kimia atau bahan organik seperti sisa-sisa makanan dan najis, jika dibuang secara berterusan kedalam kawasan air yang sama boleh menyebabkan air dikawasan itu mendapat jumlah nutrien yang berlebih-lebihan. Keadaan ini boleh menyebabkan berlakunya process "eutrophication" dimana nutrien-nutrien tersebut menyebabkan alga tumbuh berlebih-lebihan dan apa bila alga-alga itu mati, bakteria yang mereputkan atau 'decompose' alga tersebut akan mempergunakan jumlah oksigen yang banyak hingga menyebabkan hidupan air yang lain tidak dapat hidup kerana kekurangan oksigen. Keadaan ini jelas berlaku di kawasan air laut yang berhampiran pekan Semporna, dimana air laut terebut menjadi keruh dan tercemar sehingga menyebabkan ekosistem hidupan laut terganggu.

4.2 Menjejaskan Kesihatan

Pembuangan sampah merata-rata tempat juga akan memberi kesan kepada persekitaran manusia seperti menjejaskan kesihatan masyarakat. Ini kerana, pembuangan sampah sarap yang tidak sempurna di kawasan tanah lapang dan petempatan akan menyumbang kepada pembiakan nyamuk, lalat, lipas dan tikus. Pembiakan haiwan-haiwan perosak ini akan mengundang pelbagai risiko penyakit seperti demam denggi berdarah, taun, malaria, hawar (plague), tifus, jangkitan virus dan bakteria, tifoid (demam kepialu), keracunan makanan, dan sebagainya. Misalnya, longgokan sampah yang banyak di kawasan perkampungan atas air di daerah semporna terutamanya di Kampung Air telah menggalakkan pembiakan nyamuk Aedes yang boleh menyebabkan berlakunya penyakit demam denggi kepada masyarakat sekeliling.

4.3 Pencemaran Bau

Selain itu, pembuangan sampah merata-rata tempat juga akan menimbulkan persekitaran yang tidak kurang kondusif. Ini kerana, longgokan sampah yang banyak terkumpul di sesebuah kawasan akan menimbulkan persekitaran yang busuk dan menjijikkan. Keadaan ini akan menggalakkan berlakunya pencemaran bau. Misalnya, di kawasan Kampung Air dan Kampung Panji, sampah yang banyak dan terbiar di atas permukaan laut telah menganggu keselesaan penduduk dan menyebabkan persekitaran menjadi busuk dan menjijikkan. Malah, persekitaran yang buruk akan menganggu aktiviti masyarakat, misalnya tidak dapat melaksanakan kegiatan ekonomi perniagaan dan perikanan.

4.4 Mencemarkan Keindahan Alam Sekitar

Sistem pengurusan sampah yang tidak sitematik akan menyebabkan kawasan pekan Semporna kelihatan kotor. Malah, pembuangan sampah sarap merata-rata tempat terutamaya ke dalam laut akan menjejaskan keindahan alam sekitar yang dimiliki oleh daerah Semporna. Ini kerana, plastik yang banyak di dalam air laut akan mengakibatkan kepupusan hidupan marin seperti penyu. Penyu akan termakan plastik tersebut dan menyebabkan kematian. Sehubungan itu, sampah sarap yang banyak di kawasan pekan mahupun laut akan menjejaskan pemandangan yang indah. Ini kerana, Semporna merupakan sebuah daerah yang terkenal dengan sumber alam semula jadi laut yang indah dan kaya dengan pelbagai hidupan. Oleh itu, pembuangan sampah di daerah ini akan menyebabkan persekitaran fizikal tercemar, menimbulkan persepsi negatif masyarakat luar, dan menjejaskan sektor pelancongan di daerah ini.

  1. CADANGAN PENYELESAIAN

Terdapat beberapa cadangan penyelasaian yang dapat dilakukan untuk memastikan masalah pembuangan sampah di daerah Semporna dapat diatasi secara berkesan, antaranya,

    1. Mewujudkan sistem pengurusan sampah yang sistematik

Bagi memastikan sampah di daerah Semporna dapat dikurangkan kepada tahap yang memuaskan, kerajaan tempatan dengan kerjasama perlbagai egensi swasta dan badan-badan bukan kerajaan perlu berusaha mencari mekanisme terbaik dan sesuai dalam usaha melupuskan sisa pepejal, misalnya mewujudkan sistem pelupusan pepajal yang komprehensif, bersepadu, kos elektif, mampan dan secara sanitari. Langkah memperkasa sistem ini ialah dengan menyediakan sistem pelupusan sampah yang tertutup. Sampah sarap dan bahan buangan akan dibakar di tempat yang tertutup seperti bangunan tertutup. Pembakaran di tempat tersebut akan dapat mengawal pembebasan asap ke ruang udara. Malah, sistem pelupusan ini juga perlu dilengkapi dengan pelbagai teknologi baharu seperti teknologi insinerator. Teknologi ini dapat digunakan untuk mengasingkan sisa pepejal, merawat dan mengitar semula untuk digunakan dalam bentuk lain. Bukan itu sahaja, malah penggunaan teknologi ini di tapak pelupusan sampah akan membolehkan sampah domestik dan industri dapat di proses dan dilupuskan secara berterusan (Ahmad Ismail, 2017). Sehubungan itu, sistem seperti metana dan air larut resap, loji rawatan air larut resap dan lapisan geoteksil perlu dibina di tapak pelupusan sampah. Walaupun kos penyediaan dan penyelanggaraan ini agak mahal, tetapi langkah ini akan memberikan impak yang positif kepada alam sekitar fizikal dan manusia dalam jangka masa yang panjang. Misalnya, sistem pelupusan sampah yang sistematik dan efesien akan mengelakkan pencemaran alam sekitar, mengelakkan pembaziran, dan mengurangkan jangkitan dan penyebaran penyakit.

Selain itu, pihak berkuasa di daerah Semporna juga perlu menyediakan sistem pengurusan sampah di perkampungan atas air. Pihak berkuasa perlu mencari pendekatan yang sesuai untuk menstruktrur dan membina sistem yang sesuai dan berkesan bagi masyarakat yang tinggal di perkampungan airi. Misalnya, menubuhkan agensi yang dapat menguruskan atau mengangkat sampah di rumah-rumah atas air. Oleh itu, pendekatan seperti ini akan memudahkan masyarakat untuk menguruskan sampah dan secara tidak lansung akan mengurangkan pembuangan sampah ke dalam laut.

5.3 Melaksanakan Kempen Atau Program Kesedaran

Pelaksanaan kempen atau program kesedaran juga merupakan salah satu pendekatan yang sesuai untuk membentuk masyarakat yang prihatin terhadap alam sekitar. Pelaksanaan kempen atau program kesedaran perlu diperkasakan oleh pelbagai pihak bagi memastikan pendekatan seperti ini dapat memberi kesan terhadap sikap masyarakat dan mengurangkan pencemaran sampah di daerah Semporna. Misalnya, memperkasakan pelaksanakan program "Sabah Bebas Sampah: Semporna Bersih dan Indah". Walaupun program ini telah dilaksanakan sebelum ini, namun ia terhenti akibat daripada kemelut politik yang berlaku di negeri ini. Program ini seharusnya terus dilaksanakan, kerana ia dilihat sangat berkesan terutamanya dalam membentuk sikap masyarakat dan kesedaran terhadap alam sekitar. Dalam program ini, Majlis Daerah Semporna telah melaksanakan perlbagai pendekatan yang berkesan, misalnya mengenakan denda kepada kutu sampah dengan memperkenalkan monyet pemungut sampah sebagai denda menggantikan RM 500. Masyarakat yang didapati membuang sampah di kawasan pekan akan mengutip sampah sambil memakai jaket yang bertuliskan "monyet". Walaupun langkah ini kelihatan agak pelik, namun ia sangat sesuai untuk menimbulkan kesedaran dalam diri masyarakat kerana hanya monyet sahaja yang suka membuang sampah merata tempat. Justeru, pada masa akan datang, kerajaan negeri perlu menanbahbaik atau mengambil pendekatan yang lebih efisien dan komprehensif dalam mengatasi masalah sampah di daerah ini.

Selain itu, institusi pendidikan juga perlu berperanan dalam menyokong dasar atau program kesedaran yang dilaksanakan oleh kerajaan. Melalui sekolah, guru-guru perlu mempergiat pelaksanaan aktiviti yang dapat melatih, membentuk dan melahirkan pelajar yang faham dan sedar akan kepentingan alam sekitar. Misalnya, semua sekolah di daerah Semporna perlu berkerjasama untuk mengadakan program kesedaran sampah, seperti pertandingan sekolah bersih, aktiviti sukarelawan memungut sampah di kawasan kampung dan sebagainya. Program ini akan dapat membentuk jati diri pelajar yang cintakan alam sekitar dan secara tidak lansung akan menggalakkan interaksi antara pihak sekolah dengan masyarakat setempat. Oleh itu, pelaksanaan kempen dan program kesedaran seperti ini amatlah sesuai untuk mengurangkan pembuangan sampah di daerah Semporna.           

  1. PENUTUP

Secara kesimpulannya, masalah sampah merupakan masalah yang sukar untuk dibendung dalam kalangan masyarakat. Masalah ini telah muncul puluhan tahun yang lalu dan berpunca daripada sikap manusia itu sendiri yang suka membuang sampah merata-rata tempat. Masalah ini bukan sahaja memberikan kesan negatif kepada alam sekitar manusia malah ia turut dapat menjejaskan kualiti alam sekitar fizikal. Oleh itu, masalah sampah di daerah Semporna perlu diberi perhatian yang serius dengan melaksanakan pelbagai pendekatan yang sesuai agar masalah ini tidak berlaku berterusan sehingga menjejaskan pembangunan sektor ekonomi pelancongan dan infrastruktur.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

RUJUKAN

Ahamd Ismail. (2017, Mei 25). Teknologi tinggi urus sampah jana ekonomi. Berita Harian Online. https://www.google.com/amp/s/www.bharian.com.my/amp/taxonomy/term/61/2017/05/286262/teknologi-tinggi-urus-sampah-jana-ekonomi

Desi Natalia Marpaung, YudhaNur Iriyanti & Diansanto Prayoga. (2022). Analisis faktor penyebab perilaku buang sampah sembarangan pada masyarakat Desa Kluncing, Banyuwangi. Jurnal Kesehatan Masyarakat, 13(1), 47 – 57. https://jurnal.fkm.untad.ac.id/index.php/preventif/article/download/240/203/

Fazurawati Che Lah. (2019, April 8). Impak pencemaran plastik. My Metro. https://www.hmetro.com.my/bestari/2019/04/442215/impak-pencemaran-plastik

Hasnah Ali, Dody Dermawan, Noraziah Ali, Maznah Ibrahim & Sarifah Yaacob. (2012). Masyarakat dan amalan pengurusan sisa pepejal ke arah kelestarian komuniti: Kes isi rumah wanita di Bandar Baru Bangi, Malaysia. Malaysia Journal of Society and Space, 8(5), 64 – 75. http://journalarticle.ukm.my/5515/1/artikel6.pdf

Jabatan Perangkaan Malaysia. (2020). Kependudukan Negeri Sabah. Newsletter. https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/6_Newsletter/Newsletter%202020/DOSM_DOSM_SABAH_1_2020_Siri-86.pdf

Mohd Hariri Ariffin & Nur Shahazira Izzati Shahaziran. (2021, Jun 10). Kaedah terbaik lupus sampah. My Metro. https://www.hmetro.com.my/rencana/2021/06/715955/kaedah-terbaik-lupus-sampah

Mohmadisa Hashim, Rosmini Ismail & Khalizul Khalid. (2011). Isu dan pengurusan sisa pepejal di Pulau Pangkor, Perak. Jurnal Perspektif, 3(1), 78-94. https://ejournal.upsi.edu.my/index.php/PERS/article/download/1593/1146/

Muhamad Fiqrurazi Ahmad Shamsuri. (2015). Masalah longgokan sampah kawasan perumahan berteres kajian kes: Taman Universiti, Skudai, Johor. Universiti Teknologi Malaysia. http://eprints.utm.my/id/eprint/53778/25/MuhamadFiqruraziAhmadShamsuriMFGHT2015.pdf

Norazni Syaripudin. (2016). Persepsi penduduk tempatan terhadap impak pembangunan ekopelancongan di Semporna, Sabah. https://www.researchgate.net/publication/318352036_PERSEPSI_PENDUDUK_TEMPATAN_TERHADAP_IMPAK_PEMBANGUNAN_EKOPELANCONGAN_DI_SEMPORNA_SABAH

 

 

Sent from Mail for Windows

 

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...