Thursday, June 16, 2022

ISU TANAMAN PADI MUSNAH AKIBAT BANJIR DI KAMPUNG PENGKALAN BERANGAN, MARANG, TERENGGANU.

1.0  PENGENALAN

                                                                                                          

Rajah 1: Tanaman Padi Ditenggelami Air Banjir di Kampung Pengkalan Berangan

 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, banjir merujuk kepada keadaan air yang menenggelami atau menggenangi kawasan yang luas, bah. Air bah pula berkait rapat dengan kawasan yang sering dilanda banjir. Banjir atau imbangan air positif bermaksud jumlah kerpasan melebihi sejatan. Sekiranya jumlah kerpasan khususnya hujan yang turun ke bumi dalam tempoh yang panjang melebihi daripada kadar sejatan air ke atmosfera, maka banjir boleh berlaku (Portal Rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor, 2021). Dengan kata nama lain, banjir ditakrifkan sebagai satu keadaan limpahan air atau kenaikan aras air sehingga melebihi daya tampung sesebuah saluran seperti sungai, tasik dan laut lalu mengalir melimpah ke kawasan sekitar khususnya di kawasan tanah rendah.


Kampung Pengkalan Berangan, Marang merupakan salah satu daerah yang terletak di negeri Terengganu. Setiap tahun banjir besar sering melanda di negeri-negeri Pantai Timur seperti Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor Timur serta negeri Sarawak. Musim Monsun Timur Laut merupakan musim hujan utama di negara kita. Musim ini bermula pada bulan November hingga Mac. Oleh hal yang demikian itu, setiap bulan November hingga Mac, Kampung Pengkalan Berangan, Marang akan sentiasa dilanda musibah atau fenomena banjir. Kebiasaannya, hujan akan turun tanpa henti berserta dengan ribut sehingga menyebabkan suhu udara menurun dan kelembapan udara meningkat. Di sesetengah tempat tinggi seperti kawasan bukit tidak akan mengalami banjir.

Namun begitu, Kampung Pengkalan Berangan merupakan sebuah perkampungan yang mempunyai tanah pamah yang rata dan rendah. Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan kenaikan air secara mendadak tidak terkawal sehingga menyebabkan banjir di kawasan sawah padi. Banjir yang melanda di kawasan sawah padi menyebabkan kawasan sawah padi ditenggelami air banjir dan akhirnya memusnahkan padi tersebut. Keadaan ini menyebabkan ramai pesawah mengalami kerugian yang besar. Hal ini dikatakan demikian kerana hujan yang lebat serta berterusan menyebabkan 0.8 hektar padinya (daripada jumlah keluasan padi kelompok 12 hektar) yang telah masak dan hanya menunggu masa untuk dituai ditenggelami air (Sinar Harian, 2022). 


                                                                                       Rajah 2: Tanaman Padi Musnah Akibat Banjir

 

Menurut seorang pesawah padi, Mohd Fazzly menyatakan bahawa seramai 25 orang pesawah yang menanam padi secara berkelompok di Kampung Pengkalan Berangan terpaksa menanggung kerugian besar yang hampir bernilai RM50,400 apabila tanaman yang diusahakan musnah akibat dilanda banjir. Tambahan pula, padi dikatakan mula ditanam pada sekitar Januari tahun 2022 dan mula sudah masak, jangkaan hasil yang dapat dituai ialah 3,000 kilogram hingga 4,000 kilogram padi. Keadaan ini menyebabkan padi dianggarkan bernilai sekitar RM4,500 hingga RM6,000 hilang begitu saja akibat dimusnahkan oleh banjir (Sinar Harian, 2022). Bencana banjir yang melanda kawasan tanaman padi telah melenyapkan harapan pesawah padi untuk mendapatkan hasil keuntungan mereka. Kesannya, pendapatan petani akan merosot dan seterusnya menjejaskan kuasa beli mereka.

 

2.0 KAWASAN KAJIAN (KAMPUNG PENGKALAN BERANGAN, MARANG, TERENGGANU)


Rajah 3 : Peta Kawasan Kampung Pengkalan Berangan

Sumber: Google Maps

 

Pada zaman dahulu, Kampung Pengkalan Berangan dikenali sebagai perkampungan nelayan. Hal ini dikatakan demikian kerana Kampung Pengkalan Berangan terletak berhampiran tepi Sungai Marang dan perkampungan ini berada di bahagian Hulu Sungai Marang. Pada waktu itu, majoriti penduduk setempat menjadikan sungai Marang sebagai tempat mencari nafkah. Mereka menjalankan aktiviti seperti menjala, menjaring, memancing, membubu serta sebagainya. Menurut sejarah perkampungan ini, orang-orang tua mengatakan bahawa kampung Pengkalan Berangan ini telah mendapat nama daripada sebuah pengkalan atau jeti yang disambungkan dengan pokok Berangan.


Menurut sejarah, terdapat sebuah jeti yang digunakan oleh para nelayan untuk menyimpan perahu jalur serta memunggah hasil tangkapan. Terdapat sebatang pokok berangan yang besar telah menjadi tempat para nelayan untuk berehat setelah seharian bekerja untuk menangkap ikan di Sungai Marang. Pokok Berangan tersebut dikatakan terletak berhampiran dengan pengkalan atau jeti tersebut. Pada zaman dahulu, pengkalan tersebut amat penting bagi aktiviti ekonomi penduduk tempatan. Hal ini dikatakan demikian kerana hasil tangkapan di sungai dan hasil hutan akan dihantar ke Pekan Marang untuk dijual.


Pengkalan tersebut yang digunakan untuk memunggah barang ke Perahu Jalur untuk dihantar ke Pekan Marang. Mereka hanya menggunakan jalan air untuk pergi ke Pekan Marang yang mengambil masa satu hari perjalanan. Namun begitu, Kampung Pengkalan Berangan semakin pesat membangun dengan bermula sebagai sebuah pengkalan. Pada masa kini, Kampung Pengkalan Berangan sudah membangun kerana terdapat pelbagai infrastruktur asas yang disediakan oleh pihak berwajib seperti jalan raya, bekalan elektrik, bekalan air dan sebagainya.


3.0  SISTEM PERTANIAN DI KAMPUNG PENGKALAN BERANGAN



Rajah 4: Aktiviti Pertanian Secara Kecil-kecilan

Para petani di Kampung Pengkalan Berangan telah menjalankan aktiviti pertanian secara kecil-kecilan. Sistem pertanian kecil-kecilan berada di antara sistem pertanian sara diri intensif dan sistem perladangan. Oleh sebab itu, sistem ini memiliki ciri-ciri campuran tradisional dan pertanian moden. Sistem pertanian kecil-kecilan berfokus kepada aktiviti pertanian bijirin, bersifat separuh komersial, dan campuran antara jualan dengan yang digunakan untuk keluarga. Antara ciri-ciri sistem pertanian kecil-kecilan adalah taburan sistem pertanian ini adalah berselerak di kawasan perkampungan tradisional iaitu Kampung Pengkalan Berangan yang kebanyakannya dimiliki secara individu mengikut lokasi masing-masing (Siti Nurul Annisa et al, 2017). Keluasan saiz tani yang dimiliki oleh seseorang individu tersebut adalah sederhana iaitu kurang daripada 40 hektar (100 ekar) atau di sekitar 10 hektar.

Kebanyakan petani yang menjalankan aktiviti pertanian ini menuai padi menggunakan teknologi penuaian atau lebih dikenali sebagai mesin JENTUAI PADI. Para petani menyewa mesin JENTUAI PADI bagi mempercepatkan kerja-kerja menuai padi serta menjimatkan masa dan tenaga berbanding menyabit, mengikat, membanting dan mengumpul padi secara manual yang mengambil masa yang lebih lama. Selain itu, ciri buruh ialah penggunaan tenaga buruh keluarga sendiri atau tenaga buruh tempatan yang diupah. Para petani ini mendapatkan bantuan modal/ pinjaman dan subsidi daripada kerajaan seperti subsidi anak benih padi dan subsidi sewa JENTUAI khususnya bagi individu yang menjalankan aktiviti pertanian secara kecil-kecilan (Siti Nurul Annisa et al, 2017). Dalam konteks pemilikan dan pengurusan pula, sawah padi ini adalah hak milik individu atau keluarga. Sistem pengurusan pertanian yang dijalankan secara kecil-kecilan ini agak mirip dengan sistem yang dilaksanakan di kawasan ladang yang mementingkan kecekapan, latihan dan bimbingan daripada beberapa agensi.

 4.0  FAKTOR-FAKTOR YANG MENYUMBANG KEPADA FENOMENA BANJIR

 

Bencana banjir yang melanda di Kampung Pengkalan Berangan telah menyumbang kepada pelbagai kerosakan infrastruktur seperti rumah dimasuki air, jalan raya retak, bekalan elektrik terputus dan sebagainya. Bencana tersebut berlaku pada Januari 2022, keadaan ini menunjukkan faktor musim iaitu Monsun Timur Laut yang menjadi salah satu faktor bencana banjir yang melanda di kawasan itu. Banjir ini telah merosakkan tanaman sawah padi (Sinar Harian, 2022). Namun begitu, pengkaji mendapati terdapat beberapa faktor fizikal lain yang menyumbang kepada fenomena banjir sehingga memusnahkan sawah padi dan secara tidak langsung mendatangkan kerugian yang besar kepada pesawah padi.

 

Rajah 5: Hujan Lebat di Kampung Pengkalan Berangan

 

Faktor hujan lebat boleh menyebabkan berlakunya fenomena banjir. Hal ini dikatakan demikian kerana hujan yang lebat dan berterusan dalam jangka masa yang lama boleh membekalkan air yang berlebihan sehingga tidak dapat ditampung oleh sistem saliran di permukaan bumi. Kesannya, paras air di permukaan bumi meningkat sehingga mengakibatkan banjir. Pengaruh hujan terhadap kejadian banjir bergantung kepada ciri-ciri hujan seperti jenis, jumlah, intensiti atau kelebatan, jangka masa yang turun dan taburan litupan sama ada kecil atau besar (Siti Nurul Anisa et al, 2017). Secara amnya, terdapat dua keadaan hujan yang boleh menyebabkan banjir iaitu hujan yang sangat lebat pada masa singkat sama ada hujan ribut perolakan atau perenggan. Keadaan yang seterusnya ialah hujan tahunan atau musim yang lebat pada masa yang lebih panjang seperti musim monsun timur laut yang melanda negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia setiap tahun.

Rajah 6: Peningkatan Aras Air Laut di Zon Pinggir Pantai Marang

 

Seterusnya, faktor kenaikan aras laut juga merupakan salah satu faktor banjir. Hal ini dikatakan demikian kerana kenaikan aras laut secara luar biasa juga menyebabkan kejadian banjir terutamanya di kawasan muara/zon pinggir pantai. Kenaikan aras laut berpunca daripada ribut siklon (siklon tropika), air pasang perbani dan pencairan litupan ais di kawasan kutub (Siti Nurul Anisa et al, 2017). Pertembungan antara arus sungai yang membawa air banjir dengan arus laut yang meningkatkan di bahagian muara sungai menyebabkan banjir yang lebih lama berlaku di pinggir pantai. Tambahan pula, kawasan sawah padi di Kampung Pengkalan Berangan terletak berhampiran dengan Pantai Seberang Marang.

 

Rajah 7: Saiz Lembangan Saliran yang Sempit di Kampung Pengkalan Berangan

 

Akhir sekali, faktor saiz lembangan saliran atau legeh turut menjadi faktor fenomena banjir. Hal ini dikatakan demikian kerana kawasan legeh atau lembangan saliran yang kecil mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk berlaku banjir apabila hujan lebat turun walaupun pada jangka masa yang singkat. Keadaan ini menyebabkan alur-alur sungai yang ada adalah kecil dan tidak mampu untuk menampung kuantiti air yang banyak pada tempoh tertentu. Kesannya, apabila hujan turun dengan lebat serta hujan dalam tempoh masa yang lama menyebabkan alur-alur sungai tidak dapat menampung air hujan yang banyak seterusnya menyebabkan air tersebut melimpah keluar ke kawasan yang rendah iaitu kawasan tanaman padi di Kampung Pengkalan Berangan.

 

3.0  KESAN KEMUSNAHAN TANAMAN PADI KEPADA SOSIOEKONOMI PENDUDUK KAMPUNG PENGKALAN BERANGAN


Sektor pertanian yang dijalankan oleh penduduk kampung Pengkalan Berangan adalah berkonsepkan pertanian kecil-kecilan. Pertanian yang dijalankan secara kecil-kecilan merupakan sistem pertanian bijirin, bersifat separuh komersial dan campuran antara perkebunan secara jualan dengan digunakan untuk keluarga. Keluasan kawasan pertanian kurang daripada 40 hektar setiap seorang. Secara amnya, keluasan hasil pertanian keseluruhan adalah 121 hektar (Sinar Harian, 2022). Oleh hal yang demikian itu, tidak dinafikan bahawa kerosakan tanaman sawah padi ini juga turut menjejaskan pembangunan sosioekonomi penduduk kampung Pengkalan Berangan iaitu:

Kerosakan tanaman padi telah menjejaskan peluang pekerjaan penduduk di kampung Pengkalan Berangan. Sektor pertanian menyediakan peluang pekerjaan khususnya kepada penduduk kampung Pengkalan Berangan. Dengan adanya pekerjaan dalam sektor pertanian, pendapatan perkapita penduduk kampung tersebut dapat ditambah. Sektor pertanian membantu untuk menyumbang dan menambahkan pendapatan perkapita penduduk. Namun begitu, kenaikan air banjir di kawasan sawah padi tersebut telah menyebabkan penduduk tidak dapat menjalankan kegiatan pertanian seperti biasa. Keadaan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kuasa beli penduduk yang bekerja sebagai petani tersebut dan seterusnya meningkatkan kadar pengangguran.


Kerosakan tanaman padi juga akan menjejaskan pendapatan keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana pertanian kebun kecil bersifat separuh komersial. Orientasi pengeluaran pertanian bermatlamat untuk kegunaan sara hidup dan jualan. Kebanyakan para petani di kampung Pengkalan Berangan akan menjual hasil tanaman padi mereka di pasar tani atau di kilang beras yang terdapat di kampung tersebut. Keadaan ini dapat membantu untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka. Namun begitu, kenaikan air banjir di kawasan sawah padi yang diusahakan oleh individu atau keluarga telah melenyapkan semua harapan mereka untuk menjual tanaman padi yang diusahakan. Jelaslah bahawa kerosakan tanaman padi juga dapat menjejaskan pendapatan keluarga.

 

5.0 CADANGAN RELEVAN BAGI MENGATASI KEMUSNAHAN PADI DI PENGKALAN BERANGAN

 

Setiap tahun kampung Pengkalan Berangan tidak dapat lari daripada bencana banjir. Hal ini kerana negeri Terengganu terletak di sebelah wilayah Pantai Timur. Negeri tersebut akan dilanda banjir antara bulan November hingga Mac. Oleh itu, setiap pihak berwajib mestilah mengambil tindakan yang efektif agar kerosakan tanaman padi akibat banjir dapat dibendung.


Antaranya ialah melebarkan dan mendalamkan alur-alur sungai. Pelebaran dan pendalaman alur-alur sungai bertujuan untuk mempercepatkan proses pengaliran air sungai keluar ke laut Marang lagi. Rancangan ini juga melibatkan kerja-kerja untuk meluruskan alur sungai, memotong liku-liku sungai dan memperbanyakkan laluan air ke luar sungai. Namun begitu, kaedah ini tidak semestinya berkesan dan boleh juga mengakibatkan kesan-kesan sampingan yang lain. Hal ini dikatakan demikian kerana paras air lebih cepat meningkat dan halaju arus sungai bertambah tinggi di dalam alur yang lurus. Keadaan ini seterusnya mengakibatkan pula hakisan dan runtuhan tebing sungai (Siti Nurul Anisa et al, 2017)  .


            Selain itu, membina projek tebatan banjir. Membuat projek tebatan banjir dengan membina tetambak atau benteng di sepanjang tebing sungai. Binaan ini adalah seperti benteng konkrit, kaedah groin dan gabion atau meletakkan guni-guni pasir di sepanjang tebing sungai yang sering kali dilanda banjir. Kaedah ini sering dilakukan oleh penduduk di China setiap kali banjir dari Sungai Hwang Ho melanda. Di Belanda, pembinaan daik atau benteng yang kukuh untuk mengurangkan risiko banjir laut telah dilakukan sejak abad ke-13 dan ke-14 lagi setelah kerajaan menyedari bahawa kedudukan negara tersebut lebih rendah dari aras laut yang memudahkan kemasukan air laut (Siti Nurul Anisa et al, 2017).


            Di samping itu, mengawal aktiviti penyahhutanan dan meningkatkan usaha pemeliharaan hutan. Aktiviti pembalakan khususnya di kawasan tadahan air perlu disekat. Kawasan tadahan air haruslah dikekalkan sebagai hutan simpan kekal untuk storan air yang berterusan. Oleh hal yang demikian itu, aktiviti pembalakan perlu diharamkan khususnya di kawasan ini dan penguatkuasaan undang-undang yang ketat juga perlu dikenakan kepada pembalak-pembalak haram. Antara tindakan yang boleh dikenakan ialah mengenakan kompaun yang tinggi, menyita harta dan hukuman penjara. Langkah pengurusan hutan yang lestari juga perlu dilaksanakan seperti projek penanaman semula hutan, memperbanyakkan kawasan hutan simpan kekal di samping usaha kempen dan kesedaran memelihara kawasan hutan simpan sebagai sumber air utama kepada sungai.  


            Seterusnya, mengawal aktiviti penurapan muka bumi dan menyelenggara sistem perparitan dan longkang di kampung Pengkalan Berangan. Aktiviti penurapan muka bumi di kawasan itu mestilah dikurangkan. Sebaliknya, di kawasan tanaman padi tersebut perlu diperbanyakkan dengan zon berumput serta tanaman pokok-pokok peneduh. Langkah ini bertujuan untuk menangguhkan air hujan daripada terus memasuki sistem perparitan dan longkang di kampung Pengkalan Berangan. Sistem perparitan dan longkang di kawasan tanaman padi juga perlu diselenggara supaya tidak tersumbat dan tertimbus dengan sampah sarap dengan sisa-sisa kerja binaan.

 

6.0 KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, tanaman sawah padi merupakan kegiatan ekonomi utama yang menyumbang kepada pendapatan penduduk di Kampung Pengkalan Berangan. Namun begitu, banjir yang melanda di kampung tersebut telah menyebabkan tanaman padi musnah sekaligus menyebabkan para petani terpaksa berdepan dengan kerugian. Kampung Pengkalan Berangan, Marang, Terengganu terletak di sebelah wilayah pantai timur dan keadaan ini menyebabkan penduduk kampung tidak dapat lari daripada banjir. Musim monsun timur laut sering kali berlaku setiap bulan November hingga Mac. Angin monsum timur laut ini membawa awan-awan yang tepu dengan air hujan dan seterusnya membasahi bumi Kampung Pengkalan Berangan. Oleh sebab kadar sejatan air ke udara adalah kurang berbanding kadar turun hujan maka banjir boleh berlaku. Tanaman sawah padi merupakan tanah pamah yang landai, maka ar banjir dapat menenggelami tanaman tersebut dengan cepat.


            Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa banjir bukan sahaja disebabkan oleh faktor musiman iaitu musim monsun timur laut. Faktor -faktor yang lain seperti hujan yang lebat, peningkatan aras air laut dan saiz lembangan atau legeh yang sempit turut menyumbang kepada limpahan air  atau banjir ke tanaman padi di kampung Pengkalan Berangan. Oleh hal yang demikian itu, banjir akan membawa kemusnahan tanaman padi dan keadaan ini menjejaskan sosioekonomi penduduk kampung iaitu penduduk hilang peluang pekerjaan dan juga menjejaskan pendapatan keluarga. Bagi membendung masalah ini daripada terus berlaku pada setiap tahun maka pihak berwajib wajarlah mengambil tindakan segera agar keadaan ini tidak menjejaskan punca pendapatan penduduk kampung yang bergantung kepada aktiviti pertanian. Antara cadangan langkah yang dapat dilakukan oleh pihak berwajib adalah melebarkan dan mendalamkan alur-alur sungai, membina projek tebatan banjir, mengawal aktiviti penyahhutanan dan meningkatkan usaha pemeliharaan hutan dan mengawal aktiviti penurapan muka bumi dan menyelenggara sistem perparitan dan longkang.


RUJUKAN

 

Kamus Dewan Edisi Keempat (2015), Kuala Lumpur: Dewan Pustaka dan Bahasa


Mohd Nazri Baharona, Jugah Kadirb, Abdul Shukor Juraimic , Azmi Mand , Mohamad Hailmi Sajilie  & Nur Khairani Abu Bakarf. (2014). Exserohilum monoceras: Potensinya untuk Mengawal Rumput Miang (Leptochloa chinensis) dalam Tanaman Padi Tabur Terus. Jurnal Teknologi 70:6 (2014) 53–56. Diperoleh daripada  https://journals.utm.my/jurnalteknologi/article/download/3538/2667.


Portal Rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor. (2021). Definisi Banjir. Diperoleh daripada http://water.selangor.gov.my/index.php/ms/staf-jpss/sistem-idiary-jps-selangor/root/maklumat-jabatan/fungsi-jabatan/pengurusan-banjir.


Sinar Harian. (2022, Jun 15). Tanaman Padi Rosak Akibat Banjir. Retrieved from Sinar Harian Online: https://www.sinarharian.com.my/article/189075/GALERI/Tanaman-padi-rosak-akibat-banjir.


Siti Nurul Annisa Temrin, and Azahan Awang. (2017). Bencana banjir dan tahap pengetahuan penduduk terhadap pengurusan banjir di Serian, Sarawak. Geografi: Malaysian Journal of Society and Space, 13 (4). pp. 22-36. ISSN 2180-2491. Diperoleh daripada http://ejournals.ukm.my/gmjss/issue/view/1049.

 

NAMA: AIMUNI SYARAH BINTI ABDULLAH

NO MATRIK: D20201094348

KUMPULAN: B

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...