Wednesday, June 22, 2022

GEOGRAFI PENDUDUK: FENOMENA BANJIR YANG DIALAMI OLEH PENDUDUK DI TANGKAK, JOHOR

GEOGRAFI PENDUDUK: FENOMENA BANJIR YANG DIALAMI OLEH PENDUDUK DI TANGKAK, JOHOR

 

1.0 PENGENALAN

Banjir merupakan satu fenomena yang seringkali berlaku di kawasan negeri-negeri selatan Malaysia seperti negeri Johor, Pahang serta Melaka. Bagi kawasan negeri pantai timur pula ianya seringkali berlaku pada musim tengkujuh. Hal ini telah menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan jumlah perbelanjaan yang besar bagi menghadapi sesuatu fenomena banjir itu. Ini jelas apabila sejak kebelakangan ini, bandar Tangkak sering dilaporkan sebagai salah satu kawasan yang terjejas teruk di kawasan Johor apabila hujan lebat berlaku. Peristiwa banjir ini telah memberikan kesan yang negatif dan kerugian besar kepada penduduk daerah Tangkak. Ini adalah kerana, fenomenan banjir ini bukan sahaja mengakibatkan kerugian besar kepada para penduduk malah ianya turut menjejaskan harta bendar seperti kenderaan, rumah dan mampu mengancam nyawa para penduduk. Menerusi Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) banjir boleh digambarkan sebagai satu keadaan yang di mana kawasan tanah yang kering telah ditakungi air. Takungan air ini juga boleh disebabkan oleh beberapa faktor seperti limpahan air sungai, curahan air hujan yang luar biasa dan sistem saliran yang tidak baik atau tersumbat.

Maka daripada itu, lokasi yang difokuskan di sini ialah di kawasan daerah Tangkak yang mana ianya merupakan sebuah bandar kecil yang terletak di Johor serta merupakan bandar pentadbiran utama di daerah Tangkak. Tangkak merupakan sebuah penempatan yang telah lama dibuka, sebelum ia dibangunkan oleh Dato Muhammad Salleh Bin Perang, Dato Bentara Luar pada akhir kurun ke-19. Kawasan daerah Tangkak ini terletak berhampiran dengan negeri jiran Melaka, terutamanya dengan pekan Jasin. Daerah Tangkak ini juga digelar "Fabric Town" atau "Fabric Paradise" sebagai penghormatan kepada banyak kedai kainnya. Daerah Tangkak ini juga mempunyai Gunung Ledang (Gunung Ophir), iaitu gunung tertinggi di Johor yang hanya terletak 17 km dari pusat bandar Tangkak.


 

2.0 PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA FENOMENA BANJIR DI TANGKAK

Kejadian banjir di Tangkak ini berpunca dari pelbagai faktor. Hujan lebat yang berterusan dengan keamatan yang tinggi merupakan faktor utama kejadian banjir. Hujan yang lebat dalam jangka waktu yang lama boleh mendorong kepada banjir kilar di sesebuah kawasan. Hal ini kerana sungai atau longkang tidak lagi mampu menampung jumlah air yang turut lalu menyebabkan limpahan air berlaku. Menurut Siti Nurul Temrin (2016), hujan ini adalah merupakan faktor semulajadi yang dominan yang mampu menyebabkan berlakunya banjir. Ianya menjadi banjir apabila hujan yang turun itu secara berterusan dalam jangka tempoh masa yang lama. Air hujan ini akan dialirkan ke sungai namun apabila melibatkan kawasan-kawasan yang rendah air yang dialirkan ini akan mencapai satu tahap ianya tidak mampu menampung lagi lalu melimpah keluar.

Selain itu juga, sistem perparitan dan saliran yang tidak sistematik menyebabkan berlakunya banjir. Sistem perparitan yang tersumbat ini boleh dilihat akibat daripada aktiviti manusia yang tidak bertanggungjawab akan alam sekitar. Mereka ini membuang sampah secara sesuka hati tanpa ada nilai kesedaran dalam diri mereka. Pembuangan sampah yang kerap diperlihatkan adalah seperti plastik, tin-tin minuman dan banyak lagi. Ini telah menyebabkan pengaliran air menjadi perlahan dan seringkali tersumbat. Sebagai contohnya, dapat dilihat apabila para peniaga yang berniaga membuang sampah di kawasan berhampiran parit atau longkang dengan sesuka hati. Perkara ini berlaku apabila kurangnya penguatkuasaan undang-undang dari pihak atasan iaitu Pihak Berkuasa Tempatan yang tidak membuat pemantauan secara berkala di kawasan-kawasan yang seringkali banjir. Ini telah mendorong mereka untuk bertindak sedemikian tanpa ada rasa takut akan tindakan undang-undang.

 

  

 

3.0 KESAN-KESAN FENOMENA BANJIR KEPADA PENDUDUK TANGKAK

Antara kesan-kesan fenomena banjir kepada penduduk Tangkak yang paling ketara ialah dari segi impak sosial iaitu perpindahan penduduk. Kemusnahan yang berlaku akibat dari banjir besar ini telah memberi impak negatif ke atas mangsa banjir. Hal ini kerana tempat tinggal mereka telah dimasuki air dan banyak kemusnahan yang berlaku dan menyebabkan mereka ini terpaksa dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat. Sebahagian besar kawasan yang banjir di tangkak ini akan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara. Kebanyakkan mangsa banjir akan dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan sementara seperti kawasan sekolah, masjid dan dewan. Apabila mangsa banjir ini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara telah menyebabkan aktiviti harian mereka ini terbatas serta tidak selesa untuk tinggal di kawasan pusat pemindahan dalam jangka masa yang lama kerana salah satunya tiada privasi serta suasana yang bising akibat pertambahan mangsa banjir.


Selain itu juga, kesan lain yang boleh dilihat adalah dari segi ekonomi penduduk. Seperti kita ketahui apabila sesuatu kawasan itu ditimpa banjir, sudah semestinya ekonomi di kawasan tersebut akan terganggu. Ekonomi yang boleh kita lihat di sini ialah dari segi harta benda mereka yang tenggelama atau dihanyutkan oleh arus sungai. Kehilangan aset penting seperti ini sudah semestinya memberi impak yang besar kepada kehidupan mansa banjir. Hal ini kerana, terdapat aset yang sama sekali tidak akan dapat dikembalikan seperti kenderaan, barangan berharga, rumah dan banyak lagi. Maka daripada itu, kos pemulihan akibat banjir ini memakan belanja yang besar. Jadi jelas di sini, bahawa kesan banjir ini turut memberi kesan kepada mangsa banjir. Keadaan ini akan bertambah serius apabila mangsa bencana banjir ini tidak mempunyai jaminan sosial iaitu insurans yang mana ianya adalah satu jaminan untuk mengembalikan barang-barang yang musnah akibat banjir. Jika insurans tidak diambil, maka ianya akan memberi situasi yang sulit kepada mangsa bencana banjir ini.

Seterusnya ialah, ialah masalah kesihatan. Masalah kesihatan di sini boleh dilihat dari dua aspek iaitu melibatkan aspek emosi atau psikologi. Hal ini kerana, penerimaan terhadap sesuatu bencana itu adalah berbeza mengikut jantina serta usia. Kesan yang paling kerap berlaku apabila terdapatnya ahli keluarga terdekat yang hilang atau meninggal akibat banjir ini. Ini telah mendorong kepada wujudnya rasa sedih atas kehilangan yang menimpa diri dan keluarga. Akibat daripada ini, ianya akan mendorong kepada rasa takut atau fobia apabila setiap kali hujan turun dengan lebat dalam jangka masa yang lama. Kesihatan ini juga boleh dilihat apabila ianya akan mendorong kepada penyakit yang mudah merebak seperti cirit birit, taun, keracunan makanan serta jangkitan kulit. Sebagai contohnya penyakit cirit birit. Hal ini kerana cara jangkitan ini boleh berlaku adalah disebabkan meminum air atau memakan makanan yang dicemari oleh kuman-kuman penyakit. Hal ini kerana, arus sungai yang deras ini berpotensi tinggi dalam membawa sisa-sisa sampah sarap atau sisa najis yang mana ianya mendorong kepada pencemaran.

 

4.0 LANGKAH-LANGKAH DALAM USAHA MENANGANI FENOMENA BANJIR

Antara langkah-langkah yang perlu diambil dalam menangani fenomena banjir ialah memastikan sistem perparitan dalam keadaan baik. Ini membawa maksud Pihak Berkuasa Tempatan haruslah menjalankan pemeriksaan parit dan longkang di kawasan yang memang berpotensi tinggi untuk menerima banjir. Pihak Berkuasa Tempatan juga perlulah bertindak mengenakan denda kepada mana-mana individu yang didapati bersalah dalam mencemarkan alam sekitar dengan tindakan mereka yang membuang sampah ke merata-rata tempat sekaligus boleh mengenakan denda atau kompaun kepada mereka dengan kadar nilai yang tinggi. Ini adalah bertujuan untuk memastikan mereka sedar akan kesilapan mereka dan bertindak untuk tidak mengulangi lagi kesilapan tersebut. Hal ini kerana, apabila banyaknya sampah sarap di kawasan longkang atau parit ianya akan menyebabkan sistem saliran air tidak dapat dialirkan dengan baik.

Seterusnya ialah melalui projek mendalamkan sungai. Antara kawasan yang kerap terjejas di Tangkak ialah melibatkan Kampung Seri Makmur, Kampung Parit Pulai serta PUSPEN Bukit Gambir. Ini jelas apabila Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur berada di paras 4.45meter berbanding paras bahaya iaitu 4.00 meter. Paparan Hydrograph menunjukkan paras air Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur mencapi 4.42meter pada 1 Januari 2022 iaitu melebihi paras berbahaya. Jadi maka daripada itu, projek pendalaman sungai perlu dilakukan dengan cara mengorek semua lumpur dan kekotoran yang terdapat di sungai. Dengan cara begini, ianya bukan sahaja sungai menjadi lebih dalam malah ianya mampu mengalirkan jumlah air hujan dengan banyak.


Di samping itu juga, menjalankan kempen kesedaran dengan lebih meluas kepada para penduduk di Tangkak. Kempen kesedaran ini boleh dilihat melalui peranan kerajaan dengan cara memberi kesedaran melalui media massa. Dalam kempen ini, ianya boleh memasukkan sekali langkah-langkah bagi menghadapi banjir jikalau berlaku pada masa akan datang. Pengetahuan seperti ini mampu digunakan oleh mangsa-mangsa banjir dengan lebih bijak. Ini adalah bertujuan untuk mengurangkan rasa panik dalam diri mereka dalam menghadapi situasi banjir ini. Hal ini adalah selari dengan peribahasa "Sediakan payung sebulum hujan".

5.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, bencana banjir ini memang memberi impak yang besar dan mampu mengganggu kehidupan seharian penduduk. Hal ini kerana, kualiti kehidupan penduduk akan merosot terutamanya kepada mangsa-mangsa banjir kerana mereka ini kehilangan harta benda, sumber ekonomi yang merosot serta mengalami kesihatan yang terganggu. Maka daripada itu, langkah-langkah persediaan perlulah diambil bagi meminimumkan kesan negatif dari bencana ini jikalau perkara seperti ini berlaku lagi. Perkara seperti ini memerlukan peranan kerajaan serta para penduduk bagi bekerjasama untuk mengurangkan kesan dari bencana banjir ini menjadi lebih teruk pada masa akan datang. 


RUJUKAN

Abu Ubaidillah. (2022). 1,080 mangsa banjir dipindahkan di Segamat, Tangkak. Satu Berita. Diperoleh daripada https://satuberita.my/index.php/2022/01/01/1080-mangsa-banjir-dipindahkan-di-segamat-tangkak/

Bernama. (2022). Johor dilanda banjir, jumlah mangsa di empat negeri meningkat. Harakah Daily. Diperoleh daripada https://harakahdaily.net/index.php/2022/01/01/johor-dilanda-banjir-jumlah-mangsa-di-empat-negeri-meningkat/

Essa Abu Yamin. (2022). Banjir Kilat di Tangkak, 34 Penduduk Pindah. Berita Harian, Diperoleh daripada https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/04/949723/banjir-kilat-di-tangkak-34-penduduk-pindah

Jabatan Perangkaan Malaysia. (2022). News Letter, BENCANA BANJIR TANGKAK: FAKTA DAN ANGKA. Diperoleh daripada https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/6_Newsletter/Newsletter%202022/DOSM_BPPD_2_2022_Series%209_compressed.pdf

Nor Azura. (2020). Banjir: Buka dua PPS di Muar, satu PPS di Tangkak. Diperoleh daripada https://enviro2.doe.gov.my/ekmc/wp-content/uploads/2020/07/Banjir_-Buka-dua-PPS-di-Muar-satu-PPS-di-Tangkak-14072020-1.pdf

Portal Rasmi Majlis Daerah Tangkak. (2022). Diperoleh daripada https://www.mdtangkak.gov.my/ms/md-tangkak/profil/latar-belakang

Zulhisham Isahak. (2022). TMJ tinjau situasi banjir di Tangkak, Muar. Sinar Harian Diperoleh daripada https://www.sinarharian.com.my/article/181075/EDISI/TMJ-tinjau-situasi-banjir-di-Tangkak-Muar

 

 


Virus-free. www.avast.com

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...