Thursday, June 16, 2022

PENCEMARAN AIR DI TASIK CHINI, PEKAN, PAHANG MENGGANGGU KEHIDUPAN PENDUDUK SETEMPAT

PENCEMARAN AIR DI TASIK CHINI, PEKAN, PAHANG MENGGANGGU KEHIDUPAN PENDUDUK SETEMPAT

PENGENALAN

Pencemaran air di Tasik Chini, Pahang meningkat pada setiap tahun kerana kepesatan pembangunan yang tidak terancang di daerah sekitarnya telah mengganggu kehidupan dan mengancam kelangsungan hidup penduduk setempat. Menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pencemaran air merupakan berlakunya apa-apa perubahan secara langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizikal, haba, biologi, atau radioaktif air sama ada bahagian alam sekitar yang melepaskan, mengeluarkan, atau meletakkan buangan ini sehingga menyebabkan terjadinya suatu keadaan berbahaya atau memudaratkan kesihatan, keselamatan dan kebajikan pihak awam, atau kehidupan lain seperti burung, hidupan liar, ikan dan hidupan akuatik serta tumbuh-tumbuhan air.

            Tasik Chini adalah salah satu Tapak Rizab Biosfera pada tahun 2009 di bawah program Manusia dan Biosfera (MAB) melalui Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau dikenali sebagai UNESCO. Perairan Tasik Chini menerima bekalan air daripada empat batang sungai iaitu Sungai Datang, Sungai Gumum, Sungai Perupok dan Sungai Melai dan aliran Sungai Chini sepanjang 4.8kilometer turut bersambung dengan Tasik Chini dan Sungai Pahang malah Tasik Chini dikelilingi oleh paya air tawar dan hutan paya seluas 700 hektar (Pusat Penyelidikan Tasik Chini, 2013). Rajah 1 dan 2, menunjukkan suasana atau keadaan Tasik Chini.

Rajah 1: Pemandangan Tasik Chini dari sekitar jambatan


Rajah 2: Warna air Tasik Chini

 

PUNCA PENCEMARAN AIR TASIK CHINI

Menurut Jabatan Alam Sekitar (2018), pencemaran air boleh dibahagikan kepada dua aspek iaitu punca tetap dan punca tidak tetap. Pencemaran punca tetap berlaku akibat daripada pelepasan efluen yang dilepaskan ke saliran air atau sungai melalui limpahan atau paip. Sebaliknya, punca tidak tetap pula merupakan akibat daripada larian air hujan atau surface run off yang membawa pencemar ke badan-badan air.

            Antara faktor utama berlakunya pencemaran air tasik adalah pembinaan empangan yang dibina di Kuala Sg. Chini. Pembinaan empangan air di kawasan tersebut boleh menjejaskan penggerakan aliran air hingga menjadi perlahan. Kesannya, pembiakan bakteria boleh berlaku di dalam air tasik tersebut. Pembinaan empangan air juga boleh mengakibatkan sampah sarap memasuki kawasan air tasik apabila musim hujan dan banjir. Malahan, terdapat sejenis rumpai dikenali sebagai rumpai ekor kucing membiak dalam tasik tersebut. Pembiakan rumpai ekor kucing ini boleh menjejaskan beberapa spesies tumbuhan seperti teratai yang menjadi ikon bagi Tasik Chini.

            Selain itu, faktor pencemaran air Tasik Chini adalah berpunca daripada hakisan tanah yang berlaku ditebing tasik. Hal ini dikatakan demikian kerana, apabila hujan atau banjir berlaku paras badan air menjadi meningkat dan halaju air juga bertambah, lalu struktur tanah yang berada di tebing tasik menjadi longgar hingga boleh menyebabkan berlakunya hakisan tanah. Hal ini perlu diatasi dengan segera supaya tidak berlaku keadaan yang lebih serius.

            Seterusnya, faktor pembalakan yang tidak terkawal di sekitar Tasik Chini juga telah menyebabkan berlakunya pencemaran air tasik. Aktiviti pembalakan yang bertujuan untuk sektor perubatan atau perabot rumah menyebabkan hilangnya fungsi akar pokok sebagai pencekam tanah yang semula jadi. Kehilangan fungsi akar tumbuhan menyebabkan struktur tanah menjadi longgar. Seterusnya, akibat daya tarikan graviti bahagian tebing mudah terhakis. Bukan itu sahaja, apabila hujan turun dengan lebat air hujan meresap masuk ke rongga tanah lalu menjadi larian air berlumpur lalu memasuki badan-badan air yang berhampiran. Menurut Wan Junaidi Tuanku Jaafar (2017) tiada lesen pembalakan yang dibenarkan dalam kawasan hutan simpan kekal mahupun rezab pelancongan atau tanah kerajaan berhampiran Tasik Chini, Pahang. Hal ini membuktikan bahawa aktiviti pembalakan yang berlaku di sekitar Tasik Chini merupakan kegiatan pembalakan haram. Rajah 3 menunjukkan keadaan hutan di sekitar Tasik Chini telah digondol bagi tujuan pembalakan haram.

Rajah 3: Pandangan dari atas keadaan hutan di sekitar Tasik Chini


            Aktiviti perlombongan juga merupakan salah satu faktor berlakunya pencemaran air di Tasik Chini. Aktiviti perlombongan yang dijalankan di sekitar Tasik Chini dilakukan tanpa mengikut piawai perundangan yang sebenar dengan melihat aspek jarak sesuatu projek. Masalah ini menjadi semakin parah disebabkan oleh tiada sebarang tindakan daripada pihak atasan yang terlibat. Menurut Cahyo, (2011) menyatakan bahawa penurunan kualiti air di Tasik Chini berpunca daripada perlombongan bijih besi yang dilakukan sama ada secara sah mahupun tidak sah. Perlombongan secara sah dijalankan di luar kawasan Tasik Chini iaitu berjauhan dari lokasi tasik. Manakala, perlombongan bijih besi yang dilakukan secara haram terletak di hutan kawasan sekitar Tasik Chini iaitu bersebelahan dengan kawasan tasik. Hal ini menyebabkan air tasik tercemar kerana mengandungi bahan kimia atau bijih besi logam yang telah bercampur dengan air tasik tersebut. Rajah 4, membuktikan di sekitar tasik telah menjalankan aktiviti perlombongan.


Rajah 4: Di Sekitar Tasik Chini telah dijadikan kawasan perlombongan


            Di samping itu, pertanian komersial seperti ladang kelapa sawit dan getah, anjuran FELDA, RISDA dan MUIP yang dijalankan di sekitar tasik. Pada awalnya, aktiviti pertanian ini dilaksanakan di kawasan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Walaupun begitu, aktiviti pertanian ini telah menjadi semakin pesat hingga ke kawasan berhampiran tasik berkenaan. Lalu, sewaktu musim hujan lebat mampu menyebabkan berlakunya larian air berlumpur yang membawa kandungan racun dan baja tanaman ke dalam badan-badan air seperti tasik. Oleh itu, berlakunya perubahan kepada kualiti kuantiti dan sifat semulajadi air tersebut.

 

MASALAH YANG PERLU DIHADAPI OLEH PENDUDUK

Terdapat banyak masalah yang perlu dihadapi oleh penduduk di sekitar Tasik Chini antaranya adalah menjejaskan sumber pendapatan penduduk. Hal ini dikatakan demikian kerana, para pelancong tidak lagi tertarik untuk menjadikan Tasik Chini sebagai destinasi pelancongan mereka. Hal ini disebabkan oleh, terjadinya isu pencemaran alam sekitar yang semakin meningkat. Lalu, hal ini menyebabkan para pengusaha dan peniaga yang menjalankan kegiatan aktiviti pelancongan seperti perusaha penginapan, perkhidmatan bot dan lain-lain lagi di Tasik Chini kian merosot serta mampu kehilangan sumber pendapatan mereka.

            Selain itu, pencemaran air telah menyebabkan kesihatan penduduk terjejas. Hal ini dikatakan demikian kerana, warga setempat yang menggunakan air tasik sebagai kegunaan harian mereka seperti memasak membasuh dan sebagainya telah memberikan kesan buruk kepada pengguna. Penggunaan air tasik dalam masakan mampu menyebabkan pengguna mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah-muntah kerana terdapatnya bahan pencemar dalam air tersebut. Bukan itu sahaja, penggunaan air tasik bagi membersihkan diri juga menyebabkan penduduk mengalami masalah kulit seperti kudis dan sebagainya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa bahan pencemar yang terkandung dalam air tasik mampu menjejaskan kesihatan penduduk setempat.

            Di samping itu, masalah kekurangan sumber air bersih juga perlu dihadapi oleh penduduk setempat. Dulu, sekitar tahun 60-an dan 80-an, air tasik boleh dijadikan sumber minuman kerana kualitinya bersih, tetapi sejak tahun 2000, air tasik menjadi semakin keruh dan tidak lagi selamat lagi untuk diminum. Tetapi penduduk mesti menggunakan air yang dipam ke dalam perigi untuk kegunaan domestik. Bagaimanapun, apabila hujan berterusan, air tasik menjadi semakin keruh apabila lumpur dari bukit yang berhampiran mengalir terus ke dalam tasik menyebabkan sumber air penduduk terganggu. Oleh itu, diharapkan kerajaan memberi perhatian terhadap masalah penduduk setempat serta menyelia aktiviti penerokaan tanah di sekitar Tasik Chini supaya masalah ini dapat dielakkan.


LANGKAH ALTERNATIF BAGI MENGURANGKAN KESAN PENCEMARAN AIR TASIK CHINI

Langkah yang boleh dilakukan bagi mengurangkan kesan pencemaran air Tasik Chini adalah dengan meningkatkan kesedaran orang awam terhadap alam sekitar. kurang pendedahan tentang alam sekitar kepada para pelancong memburukan lagi permasalahan ini. Oleh itu, pemandu bot perlulah memainkan peranan yang penting, kerana mereka adalah pihak yang lebih banyak terdedah kepada pelancong. Pemandu bot tidak seharusnya berdiam diri jika melihat pelancong membuang sampah ke dalam tasik. Pemandu bot haruslah menegur dengan tegas bahawa tidak boleh membuang sampah ke dalam tasik. Hal ini menunjukkan bahawa sikap yang positif mampu mengurangkan pencemaran air di Tasik Chini.

Selain itu, langkah alternatif yang boleh dijalankan adalah dengan melakukan penambahbaikan pada sistem empangan. Hal ini dikatakan demikian kerana, sistem saliran air yang berfungsi dengan baik dapat membantu dalam keseimbangan kualiti dan kuantiti air dalam sesebuah badan air tersebut. Namun begitu, perancangan yang tidak terancang boleh menyebabkan masalah bertambah serius. Oleh itu, setiap perancangan yang ingin dilaksanakan terutamanya yang melibatkan badan air perlu dikaji terlebih dahulu di peringkat EIA agar dapat dielakkan berlakunya kesan negatif yang ketara terhadap alam sekitar.

            Di samping itu, langkah yang boleh dilakukan adalah dengan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). JPS adalah agensi yang dipertanggungjawab dalam pemulihan sistem-sistem saliran di Tasik Chini. Malah, JPS pernah melaksanakan kegiatan pemulihan alam sekitar seperti membersihkan badan air yang tercemar yang berpunca daripada sisa pembalakan. Bukan itu sahaja, pihak swasta juga berperanan penting dalam pemulihan Tasik Chini. Contohnya, mengadakan program tanaman tutup bumi dengan kerjasama pihak FRIM. Bahkan, terdapat banyak program yang dilaksanakan bagi melibatkan penyertaan penduduk setempat. Hal ini dikatakan demikian kerana, penduduk setempat mempunyai kerjasama yang baik dalam menjaga alam sekitar serta dapat mendedahkan mereka tentang keburukan pencemaran air yang berlaku.

           

KESIMPULAN

Secara kesimpulannya, situasi pencemaran air di Tasik Chini, negeri Pahang jelas menunjukkan pencemaran air yang berlaku telah menyusahkan penduduk setempat. Akibatnya, pihak berkuasa perlu memantau, menguatkuasa dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat dalam aktiviti yang menjejaskan kualiti air. Sebagai contoh, pemantauan secara berkala terhadap aktiviti perlombongan atau pembalakan di kawasan badan air boleh menghalang pemaju dan pengusaha tanah daripada melanggar peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan. Malah, mereka lebih berhati-hati dalam membangunkan hasil hutan dalam kuantiti yang banyak untuk mengawal dan mengekalkan sumber air yang bersih dan dilindungi.

RUJUKAN

Akta Kualiti Alam Sekeliling. (1974). Kuala Lumpur: Percetakan Nasinal Malaysia Berhad.

Cahyo, S. (2011). Pengetahuan Ekologi Tradisional Masyarakat Orang Asli Jakun. Jurnal Ilmu Sosial dan Ilmu Politik, 15, 55- 67.

Jabatan Alam Sekitar. (2018). Laporan Kualiti Alam Sekitar 2018. Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Malaysia, Kuala Lumpur.

Wan, J. T. J. (2017). Kerajaan rancang gubal undang-undang pengurusan sumber air. Retrieved from http://www.astroawani. com/video-malaysia/kerajaan-rancanggubal-undang-undang-pengurusan-sumberair 29/11/2017.

Pusat Penyelidikan Tasik Chini, UKM. (2013). Kenali Rizab Biosfera UNESCO yang pertama di Malaysia. Muat turun dari https://pptc.my/en/2013.



Nama: Nurmazatul Amira Binti Abdul Majid 

No.matrik: D20201094282

Kumpulan: Kumpulan B

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...