Saturday, June 18, 2022

MASALAH BANJIR YANG DIHADAPI OLEH PENDUDUK DI BATU PAHAT, JOHOR

TAJUK: MASALAH BANJIR YANG DIHADAPI OLEH PENDUDUK DI BATU PAHAT, JOHOR

PENGENALAN

Banjir merupakan bencana alam yang berlaku yang menyebabkan kerosakan harta benda, kemusnahan alam sekitar dan kehilangan nyawa. Kejadian banjir juga menyebabkan hampir keseluruhan rumah dan kawasan kediaman penduduk dibawa arus deras. Kejadian banjir boleh disebabkan oleh isu-isu seperti sistem saliran tersumbat oleh pembuangan sampah sarap, tidak melakukan proses penyelenggaraan sistem saliran dan sebagainya. Sehubungan dengan itu, kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti jenis sistem saliran yang dibina, mengkaji masalah-masalah dalam sistem saliran yang menyebabkan banjir dan mencadangkan kaedah penambahbaikan dalam sistem saliran di kawasan perumahan. Kejadian banjir merupakan salah satu bencana alam yang sering terjadi di Malaysia khususnya di negeri-negeri Pantai Timur ketika musim tengkujuh yang menyebabkan kemusnahan harta benda, kehilangan nyawa dan kecederaan fizikal. Kejadian banjir besar ini adalah berpunca daripada hujan lebat yang berterusan sehingga menyebabkan air sungai melimpah keluar melepasi tebing dengan arus yang deras (Utusan Online, 2014). Menurut Tuan Pah Rokiah et al. (2011) sekiranya banjir besar melanda, ia boleh bertukar menjadi satu bencana disebabkan oleh curahan air hujan yang tinggi dan berterusan.

Bencana banjir yang sering melanda kini telah membawa kerisauan yang serius kepada penduduk yang berisiko. Penduduk sering kali dilanda kebimbangan apabila hujan lebat melanda kawasan tempat tinggal mereka. Kerisauan penduduk bukan sahaja terpaksa memikirkan tentang keselamatan keluarga, bahkan juga terpaksa memikirkan kerugian yang bakal ditanggung setiap kali berhadapan dengan bencana banjir. Pengurusan banjir yang dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan ialah merangkumi pengurusan sebelum, semasa dan selepas banjir. Namun begitu, kerugian yang ditanggung oleh mangsa banjir yang melibatkan kerugian harta benda, kematian haiwan ternakan dan tanaman hanya mendapat pampasan yang tidak seberapa daripada pihak berkuasa. Banjir merupakan satu fenomena alam yang kerapkali berlaku dalam bentuk bencana dan membawa risiko yang tinggi kepada penduduk yang terlibat. Kekerapan banjir yang berlaku dewasa ini telah mencetuskan satu suasana yang tidak tenteram dalam kalangan penduduk yang berisiko, kerana banjir boleh berlaku bila-bila masa sahaja dan liputannya semakin meningkat semenjak tahun 1970-an hingga kini (Haryati Syafii, Sharifah Meryam Shareh Musa & Norasyikin Meskam, 2011). Anggaran purata jumlah hujan tahunan yang diterima bagi Semenanjung Malaysia sekitar 2,500 mm (Jabatan Kajicuaca Malaysia, 2011) telah meletakkan Malaysia sebagai antara negara yang terbanyak menerima curahan hujan setiap tahun.

RINGKASAN ISU

Malaysia merupakan sebuah negara yang bercita-cita untuk mencapai negara maju menjelang tahun 2020. Namun, kekerapan bencana banjir yang melanda telah dikenalpasti sebagai satu ancaman yang menggugat pencapaian status negara maju menjelang tahun 2020. Kajian yang telah dijalankan pada tahun 2003 iaitu "National Register of River Basins" (2003) (Tuan Pah Rokiah et. al, 2008) mendapati bencana banjir di Malaysia adalah meliputi kawasan seluas 29,800 km² (9% daripada keluasan tanah) dan melibatkan populasi penduduk berjumlah 4.82 juta orang. Kejadian banjir yang berlaku tanpa mengenal musim sejak akhir-akhir ini turut sama meletakkan negeri Johor, sebagai sebuah negeri yang berisiko tinggi untuk menerima banjir. Kenyataan ini disokong dengan kejadian banjir besar yang telah melanda Daerah Batu Pahat pada penghujung tahun 2006 dan awal tahun 2007.

Daerah Batu Pahat merupakan antara daerah yang sering mengalami bencana banjir di Johor. Keadaan topografinya yang landai merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kejadian ini. Selain itu, ianya turut disokong oleh curahan hujan tahunan yang tinggi. Peristiwa banjir yang melanda pada akhir tahun 2006 dan awal 2007 adalah banjir yang paling teruk dalam sejarah Negeri Johor. Kajian yang telah dijalankan oleh Haryati Shafii & Sharifah Meryam Shareh Musa (2010, 2009a & 2009b) terhadap kejadian banjir di Daerah Batu Pahat telah membahagikan banjir tersebut kepada dua fasa. Fasa pertama dikenali sebagai Banjir Gelombang Pertama (17 hingga 31 Disember 2006) dan Fasa kedua sebagai Banjir Gelombang Kedua (12 hingga 17 Januari 2007). Peristiwa banjir ini turut dikenali sebagai banjir termenung oleh penduduk tempatan (Sharifah Meryam Shareh Musa & Haryati Shafii, 2008).

Daerah Batu Pahat mempunyai beberapa batang sungai utama. Sungai-sungai utama yang terdapat dalam daerah ini adalah Sungai Batu Pahat, Sungai Simpang Kiri, Sungai Simpang Kanan, Sungai Bekok dan Sungai Sembrong. Selain daripada sungai-sungai utama ini, Daerah Batu Pahat juga mempunyai banyak sungai-sungai kecil yang dikenali sebagai parit. Parit-parit ini dibina sebagai sempadan antara kampung dan juga bertujuan untuk pengairan dan saliran bagi aktiviti pertanian terutamanya untuk tanaman kelapa sawit. Parit atau sistem saliran ini terdiri daripada pelbagai bahagian yang berbeza daripada segi kelebarannya. Disebabkan oleh kejadian banjir juga, terdapat penduduk di Batu Pahat yang sukarela mendapatkan perlindungan daripada banjir dengan membiayai pengurusan banjir. Masalah banjir yang dihadapi penduduk Batu Pahat ini juga berpunca daripada sistem saliran dan perparitan yang tidak teratur. Antara masalah yang sering timbul di kawasan perumahan yang mengalami banjir termasuklah di Batu Pahat ialah air tidak mengalir dengan sistematik, sistem saliran tersumbat, penyelenggaraan kepada saliran iaitu melakukan pengubahsuaian kepada sistem saliran yang tidak mengikut spesifikasi serta tidak mengikut invert level dengan betul dan sebagainya (Munirah Che Hassan , Sharifah Meryam Shareh Musa , Rozlin Zainal & Narimah Kasim, 2020). Ia akan memberi kesan kepada sistem saliran kerana tidak dapat menampung jumlah kuantiti air yang betul.

PUNCA

Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan masalah banjir yang dialami oleh penduduk di Batu Pahat ini. Antaranya ialah kejadian banjir disebabkan oleh masalah seperti sistem saliran tersumbat oleh pembuangan sampah sarap. Banjir kilat yang melanda berpunca daripada longkang dan parit tersumbat oleh sampah sarap hingga tidak mampu menampung jumlah air hujan yang banyak terutama di kawasan perumahan.

Selain itu, pihak berkuasa atau pihak yang bertanggungjawab tidak melakukan proses penyelenggaraan sistem saliran juga menyumbang kepada berlakunya kejadian banjir terutama di kawasan perumahan di Batu Pahat ini. Hal ini berlaku di mana sistem saliran tidak dapat menampung jumlah air yang sepatutnya ditampung oleh sesebuah sistem saliran tersebut. Ini akan menyebabkan sistem saliran tersebut tersumbat dengan lumut dan sampah sarap terutama di kawasan perumahan tersebut. Masalah ini juga disebabkan oleh pembinaan sistem saliran yang tidak sistematik iaitu tidak mengikut saiz yang telah ditetapkan. Sistem saliran yang tidak dibina dengan betul akan mengakibatkan sistem saliran tersebut tidak dapat menampung jumlah kuantiti air yang banyak. Sistem perparitan dan saliran tidak sempurna dikesan sebagai faktor utama banjir. Tambahan lagi, sistem saliran yang dibina tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh pihak PBT seperti saiz kedalaman dan kelebaran sistem saliran tersebut.

Punca yang seterusnya ialah pembangunan yang tidak terancang. Hal ini berlaku demikian kerana kontraktor tidak menyelidik terlebih dahulu kawasan pembinaan tersebut dan melakukan pembinaan perumahan di kawasan yang kerap terkena banjir. Kebanyakan kontraktor projek perumahan gagal membina rumah mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan mengambil mudah dalam menyiapkan sesuatu projek perumahan. Sebagai contoh, masalah perumahan di Taman Perumahan Bintang yang sering mengalamai masalah banjir. Menurut kajian awal melalui temubual penduduk mendapati tanah tapak perumahan tersebut tidak dilakukan tambakan tanah dengan betul. Ini secara tidak langsung menyebabkan keadaan tanah di kawasan perumahan tersebut tidak sama rata dimana jika berlakunya hujan, kawasan yang rendah mudah dinaiki air berbanding dengan kawasan yang tinggi. Ini juga mengakibatkan sistem saliran di kawasan rendah tidak dapat menampung jumlah kuantiti air yang banyak dan akan menyumbang kepada kejadian banjir. Bagi Kampung Baru pula disebabkan oleh kawasan perumahan tersebut terletak berhampiran dengan sungai. Kawasan perumahan tersebut tidak mempunyai benteng bagi menghalang air sungai terus mengalir ke kawasan perumahan tersebut. Ini mengakibatkan jika berlakunya hujan yang berterusan, kawasan perumahan tersebut mudah terdedah kepada banjir. Di samping itu, kawasan perumahan yang rendah juga mengakibatkan kawasan perumahan tersebut mudah ditenggelami air. Kejadian banjir merupakan bencana alam dan komponen penting dalam kitaran semula jadi yang sering berlaku dalam pelbagai cara dan mampu menenggelamkan kawasan-kawasan rendah yang didiami penduduk.

MASALAH

Pelbagai masalah yang dihadapi oleh penduduk Batu Pahat apabila banjir melanda. Pada tahun 2020, hujan lebat yang melanda sebahagian besar kawasan di Johor termasuk Batu Pahat mengakibatkan banjir berlaku di beberapa tempat di daerah berkenaan. Antara faktor utama adalah sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik menyebabkan air tidak boleh mengalir sekaligus mengakibatkan banjir kilat berlaku. Setakat pemantauan adun Parit Yaani ke beberapa kawasan yang teruk terjejas akibat banjir, mereka dapat lihat longkang atau parit penuh dengan sampah serta rumput yang tinggi menyempitkan longkang atau parit tersebut. Selain itu, sistem longkang utama di kawasan Taman Sri Wangsa yang agak kecil dan tidak mampu menampung lambakan air hujan turut menjadi punca utama banjir berlaku di kawasan berkenaan. Antara dapatan dari penduduk kampung adalah perlunya pemantauan secara berkala dilakukan bagi menyelenggara sistem perparitan di kawasan-kawasan rendah bagi mengelakkan banjir terus berlaku.

            Seterusnya, berlaku juga fenomena air pasang besar di sekitar Batu Pahat pada Januari lalu dan bencana banjir boleh terjadi sekiranya berlaku pertembungan antara air pasang besar dengan hujan lebat secara serentak serta boleh mengakibatkan longkang saliran bandar penuh. Penduduk yang tinggal berdekatan dengan kawasan pesisir pantai dan sungai-sungai utama dinasihatkan supaya sentiasa peka dan mengikuti perkembangan terkini, termasuk amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa serta memastikan sistem saliran air berhampiran dengan kediaman sentiasa diselenggara bagi melancarkan pengaliran air.

            Pada awal Januari yang lalu, Batu Pahat menjadi daerah ketujuh di Johor yang dilanda banjir melibatkan 42 mangsa daripada 11 keluarga di Kampung Haji Kamisan. Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, semua mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Haji Kamisan sejak pagi Isnin. Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Sungai Segamat di Bandar Segamat berada pada paras 10.31 meter (m) berbanding paras bahaya 9.14m manakala Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat pada paras 6.89 meter (m) berbanding aras bahaya 6.00m. Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak berada pada paras 4.45m berbanding paras bahaya 4.00m, Sungai Muar di Simpang Lima Darat juga di Tangkak berada pada paras 4.92m berbanding paras bahaya 4.00m. Katanya, Sungai Pogoh di Kampung Olak Sepam, Muar pada paras 238m berbanding paras bahaya 235m sementara Sungai Simpang Kanan di Parit Belemam, Batu Pahat; Sungai Kesang di Telok Rimba, Tangkak dan Sungai Skudai di Kampung Laut, Johor Bahru sudah melepasi paras amaran.

Keadaan Sungai Segamat di Bandar Segamat, pada Isnin, sudah berada pada paras 10.31m berbanding aras bahaya 9.14m.


CADANGAN PENYELESAIAN

Pelbagai masalah yang dihadapi pasti ada jalan penyelesaiannya. Terdapat banyak cara atau alternatif yang dapat diusahakan bagi menyelesaikan masalah banjir di Batu Pahat ini agar sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa banjir di Malaysia termasuklah di Batu Pahat. Antaranya ialah penduduk kampung boleh membuat aduan kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor bagi permasalahan sistem saliran dan perparitan di kawasan tempat tinggal mereka. Hal ini demikian kerana pihak berkuasa akan dapat menyelenggara sistem perparitan dan saliran tersebut agar berjalan dengan lebih lancar dan secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko banjir seperti banjir kilat. Tambahan lagi, sampah sarap yang tersumbat di dalam longkang juga akan dapat dibersihkan dan menjadikan air hujan dapat mengalir dengan lancar ketika hujan lebat turun. JPS akan melakukan kerja pembersihan parit dan longkang serta membesarkan longkang sesuai kapasiti kependudukan yang padat di kawasan-kawasan terbabit.

            Tambahan lagi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga sudah melaksanakan beberapa langkah persediaan bagi menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku di sekitar Batu Pahat, Johor. Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang, berkata bagi tindakan jangka pendek, ia membabitkan persediaan bagi menghadapi bencana banjir terutama di kawasan rendah di Batu Pahat seperti di Parit Johar dan Jalan Sultanah. Katanya, ia termasuk memastikan semua enam Pintu Air kawasan itu berfungsi dengan baik, selain memastikan tiada mendapan dan halangan oleh sampah sarap pada sistem saliran. Pihak JPS juga membina halangan menggunakan beg pasir dan melaksanakan penyedutan mendapan di longkang bawah tanah sekitar Jalan Sultanah. Bukan itu sahaja, JPS turut mengambil langkah awal dengan membina benteng tanah sepanjang 200 meter dari Parit Lapis hingga ke Taman Nira pada tahun lalu, 2021 bagi mengelak limpahan air Sungai Batu Pahat ke kawasan sekitar Taman Nira, Batu Pahat.

            Di samping itu, terdapat juga projek yang dilaksanakan bagi membantu mangsa banjir dan mengurangkan risiko banjir di Batu Pahat. Projek menangani masalah banjir dan limpahan air laut di daerah Batu Pahat dan Pontian yang bakal bermula tahun hadapan, dijangka mampu memberi manfaat kepada 35,000 penduduk di kedua-dua daerah berkenaan. Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman berkata, RM225 juta telah diperuntukkan bagi tujuan berkenaan, dengan RM190 juta adalah untuk kerja-kerja menangani masalah banjir termasuk penggalian sungai, menaik taraf benteng sungai dan pembinaan struktur kawalan air di daerah Batu Pahat. Beliau berkata, sebanyak RM35 juta lagi adalah untuk kerja-kerja menaik taraf dan membaiki lebih 10 kilometer benteng pantai yang terjejas akibat hakisan di daerah Batu Pahat dan Pontian. Peruntukan ini adalah hasil perlaksanaan Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) Bandar Batu Pahat bagi menampilkan langkah-langkah jangka panjang untuk mengurangkan risiko banjir dan mengurangkan impak pencemaran kepada sungai serta saliran, sekaligus membantu pembangunan yang lebih sistematik. Selain itu, ia juga dapat merancang pelaksanaan kerja-kerja pemuliharaan dan pembaikan yang berkaitan banjir kilat, di samping memastikan sistem saliran yang tidak sempurna di dalam kawasan Bandar Batu Pahat dapat dikurangkan. Mansor berkata, kerja-kerja naik taraf itu akan memberikan manfaat kepada 35,000 penduduk di muara Sungai Batu Pahat bermula dari benteng Peserai, Batu Pahat sehingga Tampok, Pontian. Beliau berkata, kerja ukur pantai dan reka bentuk terperinci akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan tender kerja dijangka akan dipanggil hujung tahun ini. Kejadian banjir kini berlaku hampir setiap bulan berikutan sistem saliran yang tidak teratur selain masalah perparitan. Kedalaman banjir dicatatkan pada purata 0.3 meter dan sekurang-kurangnya setiap kali banjir 1,000 keluarga terjejas.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, pelbagai pihak perlulah mengambil perhatian terhadap masalah banjir di Malaysia termasuklah di Batu Pahat. Dalam masalah banjir ini, antara pihak yang perlu memainkan peranan penting ialah pihak JPS dan PBT untuk memastikan permasalahan sistem saliran dapat diatasi bagi menjamin kesejahteraan penduduk di Batu Pahat. Bukan itu sahaja, setiap individu juga perlu mempunyai kesedaran diri tentang masalah banjir dengan sentiasa menjaga alam sekitar seperti tidak membuang sampah merata-rata atau ke dalam longkang, tidak melakukan pembalakan haram dan banyak lagi.

RUJUKAN

Haryati Syafii, Sharifah Meryam Shareh Musa & Norasyikin Meskam. (2011). KAJIAN KESANGGUPAN PEMILIK RUMAH UNTUK MENDAPATKAN PERLINDUNGAN DARIPADA BENCANA BANJIR. Persidangan Kebangsaan Masyarakat, Ruang dan Alam Sekitar. Diperoleh daripada https://core.ac.uk/download/pdf/12007361.pdf

Munirah Che Hassan, Sharifah Meryam Shareh Musa1 , Rozlin Zainal & Narimah Kasim. (2020). Kajian Permasalahan Pembinaan Sistem Saliran Yang Menjadi Punca Kepada Masalah Banjir Di Kawasan Perumahan. Research in Management of Technology and Business, 1(1), 589-605. Diperoleh daripada file:///C:/Users/User10/Downloads/penerbit,+RMTB+Vol.+No.1-588-605%20(1).pdf

Tuan Pah Rokiah Syed Hussain, Hamidi Ismail dan Raman Mariyapan. (2011). Implikasi Bencana Banjir Terhadap Sosioekonomi Penduduk Lembangan Kelantan. Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke VI (PERKEM VI), Ekonomi Berpendapatan Tinggi : Transformasi ke Arah Peningkatan Inovasi, Produktiviti dan Kualiti Hidup,Melaka Bandaraya Bersejarah, 5 –7 Jun 2011.

Utusan Online. (2014, 23 Disember). Fenomena "New Moon" Burukkan Keadaan Banjir. Utusan Online. Diakses pada 29 Mac 2019 daripada http://www.utusan.com.my/berita/nasional/fenomena-8216-new-moon-8217 burukkan-keadaan-banjir-1.40028

Zulhisham Isahak. (2022). Batu Pahat pula dilanda banjir. Diperoleh daripada https://www.sinarharian.com.my/article/181166/EDISI/Batu-Pahat-pula-dilanda-banjir

NAMA: NUR FARAHIDA HARAHAP BINTI RIDWAN

NO. MATRIK: D20191088465

KUMPULAN: A

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...