ISU PROJEK JALAN RAYA YANG ROSAK DAN BERBAHAYA DI DAERAH SIMUNJAN, SARAWAK.
1.0 PENGENALAN
Gambar 1: Pekan Simunjan
Gambar 2: Keadaan jalan Simunjan-Batang Sadong
Daerah Simunjan merupakan sebuah daerah yang terletak di bawah naungan Pentadbiran Bahagian Samarahan. Keluasan Simunjan adalah lebih kurang 2,217.67 km persegi, kira-kira 176 km dari Bandar Kuching. Sebuyau dan Gedong adalah di bawah pentadbiran Daerah Simunjan. Bentuk muka bumi Simunjan secara keseluruhannya adalah berbukit-bukau. Penduduk Simunjan yang seramai 39,266 orang(Population Estimate2010) terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Iban dan Cina.(Portal Rasmi Pejabat Daerah Simunjan,. 2022) Banyak isu dan permasalahan yang telah disuarakan oleh penduduk di sekitar Daerah Simunjan terutamanya melibatkan keadaan jalan raya perhubungan dari sekitar Jambatan Batang Sadong menuju ke Daerah Simunjan.
Hal ini menjadi isu di buah mulut masyarakat Daerah Simunjan kerana keadaan jalan perhubungan dari Jambatan Batang Sadong ke Daerah Simunjan yang tidak diturap sepenuhnya. Sebaliknya pihak kontraktor menjalankan kerja dengan sambil lewa tanpa memikirkan keselamatan pengguna yang melalui jalan tersebut. Keadaan jalan perhubungan tersebut menjadi isu kerana tempoh pembinaanya yang mengambil masa agak lama. Hal ini kerana tarikh jalan raya tersebut sepatutnya siap adalah pada 30 April 2022 namun tarikh tersebut dianjakkan kerana belum siap sepenuhnya. Namun pada awal bulan 5 jalan perhubungan Simunjan-Batang Sadong diisytiharkan siap sepenuhnya tetapi keadaan jalan tersebut masih tidak berturap dengan rata.
Apa yang mengejutkan penduduk adalah keadaan jalan perhubungan tersebut yang hanya diberikan garisan jalan namun tidak diturap sepenuhnya. Keadaan ini menimbulkan amarah dalam kalangan penduduk tempatan kerana keadaan jalan terbabit mampu menimbulkan bahaya kepada pengguna jalan raya serta kegagalan pihak berwajib untuk menyelesaikan isu terbabit yang telah berlaku sejak sekian lama. Laluan itu juga menjadi nadi penghubung Daerah Simunjan dengan daerah-daerah lain di sekitarnya. Isu berkaitan masalah jalan perhubungan Simunjan-Batang Sadong ini sering disuarakan oleh penduduk tempatan namun tidak diambil pandang oleh pihak terlibat.
Gambar 3 : Papan tarikh projek jalan Simunjan-Batang Sadong sepatutnya siap
Selain itu juga, isu yang turut disuarakan berkaitan jalan perhubungan ini juga adalah kerosakan jalan perhubungan Simunjan-Batang Sadong yang rosak teruk akibat kenderaan berat seperti lori dan treler yang membawa muatan melebihi had muatan. Kekurangan pengawasan daripada pihak berkuasa menyebabkan mereka tetap mejalankan aktiviti sedemikian dengan membawa muatan buah sawit melebihi had kapasiti yang telah ditetapkan. Kesannya, keadaan jalan raya menjadi teruk dan berlubang kesan laluan kenderaan berat sedemikian.
2.0 PUNCA BERLAKU ISU JALAN PERHUBUNGAN SIMUNJAN-BATANG SADONG
2.1 Isu jalan perhubungan Simunjan-Batang Sadong yang tidak diselesaikan pihak berwajib
Jalan raya menuju ke Daerah Simunjan memerlukan perhatian serta tindakan daripada pihak berwajib. Permukaan jalan raya berkenaan yang tidak berturap membentuk banyak lubang menyukarkan kenderaan penduduk yang ulang-alik melalui jalan raya tersebut. Jalan raya berstruktur batuan kasar bercampur batu halus meliputi jarak sepanjang 10 kilometer iaitu dari Pekan Simunjan menuju ke Jambatan Batang Sadong dengan keadaan jalan yang tidak berturap menyebabkan kenderaan pengguna jalan raya mengalami kerosakan.
Isu jalan perhubungan ini sering menjadi isu utama di daerah Simunjan kerana jalan raya berkenaan merupakan satu-satunya jalan darat yang menghubungkan kawasan itu dengan daerah lain seperti Asajaya ,Sebuyau dan Sadong Jaya. Sehubungan dengan itu penduduk di situ berharap jalan raya berkenaan dibaiki dalam kadar segera namun tidak mendapat maklum balas daripada wakil rakyat daerah terbabit. Penduduk telah menyuarakan maslaah ini melalui ketua kampung dan platform media sosial seperti Facebook untuk meluahkan permasalahan ini. Mereka juga berharap usaha menaik taraf dengan menurap jalan raya berkenaan dapat dilaksanakan oleh pihak berwajib.
2.2 Jalan rosak disebabkan kenderaan berat melebihi had muatan
Gambar 4 : Kenderaan membawa muatan melebihi had ditetapkan
Terdapat kenderaan besar yang membawa muatan melebihi had sehingga dikenal pasti antara punca berlakunya kerosakan jalan perhubungan pekan Simunjan-Batang Sadong. Keadaan jalan yang dilaporkan rosak dan tidak selamat. Kerosakan jalan yang berlaku dikaitkan dengan sesetengah lori dan treler yang membawa muatan buah sawit yang melebihi had sepatutnya. Selain itu, pemandu lori sawit berani membawa muatan melebihi had yang dibenarkan kerana tiada operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa.(Sinar Harian., 2020) Kenderaan berat turut dibenarkan melalui kawasan terbabit namun hanya kapasiti muatan tertentu sahaja yang dibenarkan. Pemandu treler dan lori yang membawa muatan melebihi had muatan ini sering mengangkut hasil sawit pada waktu petang dan malam kerana takut kegiatan mereka disyaki oleh pihak berkuasa.
Muatan yang melebihi had kapasiti dibenarkan ini telah menjadi punca yang menyebabkan kerosakan struktur jalan. Menurut Kementerian Kerja Raya (KKR), isi padu kenderaan yang tinggi dan kenderaan berat seperti lori dan treler membawa lebih muatan akan mempercepatkan lagi kerosakan jaln raya serta memendekan jangka hayat sesebuah jalan raya serta keadaan terbabit akan bertambah buruk sekiranya kenderaan berat yang mempunyai beban gandar melebihi had 12 tan yang dibenarkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.(Berita Harian,. 2019)
2.3 Ketiadaan jalan alternatif lain
Ketiadaan jalan alternatif lain yang dibina menyebabkan penduduk hanya menggunakan jalan perhubungan utama Simunjan-Batang Sadong untuk berhubung ke kawasan-kawasan yang terletak berseberangan Jambatan Batang Sadong dari Daerah Simunjan. Jalan tersebut merupakan jalan alternatif yang ada untuk berhubung ke daerah lain. Ketiadaan jalan alternatif lain menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan jalan tersebut setiap hari disamping kenderaan berat yang turut sama menggunakan jalan raya terbabit.
Keadaan jalan menjadi semakin semakin teruk dan berlopak akibat pertambahan bilangan kenderaan berat yang lalu di kawasan tersebut setiap hari. Ditambah pula dengan keadaan jalan yang tidak berturap sepenuhnya serta berlopak mampu mendatangkan bahaya kepada pengguna. Jalan terbabit merupakan satu-satunya jalan utama yang ada untuk menghubungkan Daerah Simunjan dengan kawasan lain. Setiap hari penduduk yang bekerja di Daerah Samarahan akan melalui jalan tersebut kerana jalan tersebut merupakan jalan perhubungan terdekat untuk menghubungkan mereka dengan tempat kerja Pertambahan bilangan kenderaan yang menggunakan jalan tersebut menyukarkan pembinaan jalan tersebut untuk siap sepenuhnya kerana banyak kenderaan yang lalu lalang setiap masa.
3.0 KESAN SEKIRANYA ISU JALAN PERHUBUNGAN SIMUNJAN-BATANG SADONG TIDAK DISELESAIKAN
3.1 Keselamatan pengguna jalan raya terancam
Gambar 5 : Keadaan jalan tidak berturap sepenuhnya
Keadaan jalan raya yang tidak berturap sepenuhnya serta berlopak mampu mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya. Hal ini kerana menurut Portal Berita dalam talian, Harian Metro (2018) jalan raya yang rosak mampu menjejeaskan pengguna. Keadaan jalan yang tidak berturap serta dilitupi dengan batuan halus bewarna hitam mampu meningkatkan risiko kemalangan jalan raya tambahan lagi sekiranya keadaan cuaca seperti hujan lebat. Tambahan pula, kejadian kemalangan yang melibatkan motosikal sering berlaku di jalan tersebut kerana jalan yang tidak diturap sepenuhnya menyebabkan tayar kenderaan tidak dapat mencengkam jalan raya dengan baik. Setiap kali hujan lebat walaupun sekejap, akan ada kenderaan yang terlanggar lubang dan lopak air yang terdapat di kawasan tersebut. Keadaan ini sangat membahayakan keselamatan orang ramai.
Kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal sering kali dikaitkan dengan keadaan jalan raya yang berlubang dan tidak rata. Faktor tersebut bukan sahahja mengundang bahaya kepada penunggang motosikal malah boleh menyebabkan tayar kenderaan mudah rosak. Hal ini kerana penunggang motosikal merupakan yang paling berisiko untuk mengalami kemalangan terutamanya pada waktu malam kerana jarak penglihatan yang agak terbatas. Keadaan jarak penglihatan yang terbatas , pengguna jalan raya terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya.
3.2 Risiko jalan perhubungan Simunjan-Batang Sadong mendap
Gambar 6 : Jalan mendap
Selain keadaan jalan yang tidak berturap serta berlopak turut menjadi isu apabila giat dikatakan bahawa jalan perhubungan terbabit dikatakan mendap di bahagian tepi jalan raya kerana terletak berhampiran tebingan sungai Batang sadong yang dilihat mengalami hakisan. Keadaan ini memberi kesan bahaya kepada pengguna dan penduduk yang tinggal d sekitarnya. Benteng sebagai penahan hakisan di sekitar pesisir sungai juga tidak dibina dengan kukuh menambahkan kebimbangan penduduk. Penduduk yang tinggal di sekitar kawasan terbabit khuatir sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini. Selain itu juga, terdapat kawasan jalan terbabit yang mendap akibat struktur tanah yang tidak kukuh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang melalui kawasan terbabit.
4.0 ALTERNATIF PENYELESAIAN ISU JALAN PERHUBUNGAN SIMUNJAN-BATANG SADONG
4.1 Pembinaan jalan alternatif lain
Pembinaan jalan alternatif lain seharusnya diusahakan oleh pihak berkuasa bagi menghubungkan Daerah Simunjan dengan Daerah lain. Hal ini bagi membolehkan pengguna jalan raya tidak bergantung sepenuhnya kepada satu jalan terbabit sahaja. Cadangan pembinaan jalan alternatif dari daerah Simunjan melalui jalan Ensengei mampu menjimatkan jarak dan masa perjalanan. Hal ini kerana sekiranya jalan perhubungan alternatif dibina dari Daerah Simunjan melalui Daerah Ensengei kesesakan pengguna yang menggunakan jalan Simunjan-Batang Sadong dapat dikurangkan.
Keadaan ini juga dapat mengurangkan kadar kerosakan jalan akibat kenderan berat seperti treler dan lori yang membawa muatan melebihi had. Pembinaan jalan alternatif sangat penting bagi menghubungkan kawasan lain dengan Daerah Simunjan. Keadaan jalan yang berlopak serta berbahaya menjadi punca utama pihak berkuasa tempatan seharusnya mengambil tindakan untuk membina jalan alternatif lain di kawasan terbabit.
4.2 Pihak berkuasa memantau kerja baik pulih
Pihak berkuasa seharusnya memantau kerja baik pulih dan pembinaan jambatan bagi memastikan keadaan jalan yang elok dan tidak berbahaya. Hal ini kerana kurangnya pemantauan dari pihak berkuasa menyebabkan pihak kontraktor yang bertanggungjawab terhadap pembinaan jalan perhubungan terbabit membuat secara sambil lewa tanpa memikirkan keselamatan pengguna. Kesannya, jalan raya yang dibina tidak diturap sepenuhnya sebaliknya hanya diberikan garisan jalan dan tampalan batuan kecil. Keadaan ini telah mengundang amarah penduduk setempat. Pihak berkuasa seharusnya memantau isu ini dengan lebih teliti kerana ianya melibatkan keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya. Tindakan yang sewajarnya harus dikenakan kepada kontraktor yang terbabit kerana pembinaan jalan yang seakan-akan melepaskan batuk di tangga. Dana yang diperuntukkan untuk membina jalan raya tidak diggunakan sebaiknya malah disalah guna oleh pihak yang terbabit.
4.3 Pemeriksaan berkala terhadap kenderaan lebih muatan
Pihak berkuasa seharusnya menjalankan pemeriksaan berkala terhadap kenderaan berat seperti treler dan lori yang membawa muatan melebihi had berat yang ditetapkan. Daerah Simunjan merupakan kawasan yang mengeluarkan hasil tanaman sawit yang banyak. Keadaan ini menyebabkan lambakan treler yang membawa hasil kutipan sawit melalui jalan terbabit. Terdapat sesetengah pemandu yang tidak bertanggungjaeab membawa muatan melebihi had yang sepatutnya. Hal ini kerana kurangya pemantauan daripada pihak berkuasa yang memantau kegiatan ini. Kadangkala mereka membawa had muatan barang pada waktu malam dan petang kerana khuatir sekiranya pada waktu pagi kegiatan mereka akan dipantau oleh pihak berkuasa.
5.0 KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, isu berkaitan jalan perhubungan Simunjan-Batang Sadong merupakan isu yang mnjadi kebimbangan penduduk setempat kerana permasalahan ini tidak diselesaikan dengan sebaiknya. Pelbagai saluran termasuk media sosial digunakan oleh penduduk untuk menyuarakan isu ini namun kurang diambil peduli oleh pihak yang terlibat. Oleh itu, untuk menyelesaikan isu jalan perhubungan Simunjan-Batang Sadong agar tidak berlanjutan agensi dan pihak yang terlibat seharusnya mengambil tindakan sewajarnya agar tidak memberi kesan buruk kepada pengguna jalan raya dan penduduk setempat.
RUJUKAN
Berita Harian Online. (2018). Jalan rosak jejas pengguna jalan raya. https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/05/428033/jalan-rosak-jejas-pengguna-jalan-raya
Kementerian Kerja Raya Malaysia: Ke arah kesejahteraan rakyat. (2008). https://www.kkr.gov.my/ms
Nor Azura Md Amin. (2020). Lori bawa lebih muatan sebab tiada operasi. Sinar Harian Online. https://www.sinarharian.com.my/article/106323/EDISI/Johor/Lori-bawa-lebih-muatan-sebab-tiada-operasi
Portal Rasmi Pentadbiran Bahagian Samarahan. (2010). https://samarahan.sarawak.gov.my/simunjando/page-0-168-351-PROFIL-DAERAH-SIMUNJAN.html
Samadi Ahmad. (2019). Kenderaan berat rosakkan jalan, susahkan penduduk. Berita Harian Online. https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/03/539676/kenderaan-berat-rosakkan-jalan-susahkan-penduduk
NAMA: DAYANG NUR AISHAH BINTI AWG ACHEM
NO. MATRIKS: D20201094309
KUMPULAN KULIAH : A
No comments:
Post a Comment