Thursday, June 16, 2022

SISTEM PENGURUSAN PEMBUANGAN SISA PEPEJAL YANG TIDAK SISTEMATIK DI SEKITAR KAWASAN DAERAH MERSING

 

1.0          PENGENALAN / RINGKASAN KES

Masalah pembuangan sampah ataupun masalah pengurusan terhadap pembuangan sisa ini bukanlah merupakan satu masalah yang asing pada masa kini. Masalah ini kerap menjadi perhatian di sesebuah tempat terutama terhadap penduduk yang tinggal di kawasan yang mempunyai jumlah penduduk yang padat. Pembuangan sisa ini dapat dibahagikan kepada tiga iaitu pembuangan sisa pepejal, pembuangan sisa cecair yang melibatkan sektor perindustrian yang menghasilkan sisa yang mengandungi bahan kimia dan toksik serta pembuangan sisa kumbahan yang banyak berlaku di sekitar kawasan setinggan yang banyak didirikan di pinggir sungai. Masalah pembuangan sisa ini tentunya berlaku disebabkan oleh sikap manusia atau sikap penduduk setempat itu sendiri yang sambal lewa sehingga boleh memberikan ketidakselesaan dan pelbagai kesan buruk kepada hidupan mereka sendiri. Masalah terhadap pengurusan sisa ini juga dikatakan tiada penghujungnya kerana setiap hari jumlah sisa tentunya akan sentiasa dihasilkan dengan jumlah yang lebih banyak terutamanya melibatkan sisa domestik dari rumah mahupun sisa bukan domestik yang dihasilkan dari kepelbagaian sektor yang kian membangun pada masa kini. Dikatakan bahawa negara kita Malaysia akan mengalami pertambahan penduduk sebanyak 50% iaitu bersamaan dengan 10 bilion orang menjelang tahun 2050 dan hal ini amat menggusarkan negara kerana pertambahan penduduk ini akan meningkatkan jumlah hasil sisa yang dihasilkan di negara. Sebagai contoh, sisa domestik adalah seperti sisa makanan, bahan-bahan yang sering digunakan di rumah bagi tujuan memasak seperti minyak masak yang telah digunakan juga termasuk bahan yang sebenarnya dapat dikitar semula iaitu seperti plastik. Hal ini tentunya lebih banyak berlaku dan dapat dilihat dengan lebih ketara terutama dikawasan bandar-bandar besar juga kawasan-kawasan yang sedang berlakunya proses pembangunan ekonomi, perindustrian dan petempatan dimana menunjukkan kepada trend pertambahan jumlah penduduk yang ramai.

Di Johor, terdapat banyak isu yang melibatkan pencemaran hasil daripada pembuangan sisa sehingga mengakibatkan pencemaran seperti pencemaran sungai yang berlaku di Sungai Kim Kim serta pencemaran udara yang disebabkan oleh pembuangan sisa toksik bawah tanah sehingga mengakibatkan pencemaran bau. Namun, skop yang diambil terhadap kajian ini adalah berkaitan isu terhadap sistem pengurusan pembuangan sisa pepejal yang tidak sistematik di sekitar kawasan daerah Mersing. Peningkatan terhadap masalah pembuangan sampah ini dilihat semakin menggusarkan berikutan tiada sistem atau tempat pelupusan sampah yang baik disekitar kawasan berkenaan ditambah pula dengan sikap penduduk itu sendiri yang tidak menitikberatkan soal tahap kebersihan kawasan sekitar sehingga menimbulkan banyak kesan sampingan. Dapat dilihat bahawa terdapat banyak longgokan sampah yang terdapat dibeberapa tempat di sekitar kawasan berkenaan dimana ianya tentu akan menjejaskan imej kawasan tersebut. Hal ini berlaku disebabkan oleh pertambahan penduduk di kawasan berkenaan termasuklah pembangunan ekonomi yang kian membangun ditambah pula dengan kawasan tersebut yang dikelilingi dengan beberapa tempat pelancongan menjadikan kawasan tersebut terdedah dengan kepelbagaian penghasilan sisa terutama sisa pepejal. Aduan-aduan penduduk berkaitan ketidakselesaan mereka juga telah banyak direkodkan menjadikan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera bagi mengurangi serta menangani masalah dan isu ini. Jadi, kes dan masalah ini akan dikupas dengan lebih mendalam lagi bagi mengetahui punca berlakunya masalah sedemikian, kesan jangka pendek dan jangka panjang yang akan berlaku serta langkah pemuliharaan dan pemeliharaan yang boleh diambil dari kedua-dua aspek perundangan dan bukan perundangan.

Rajah 1: Berita isu sampah di Mersing

2.0       LOKASI KAJIAN

Masalah pembuangan sisa yang tidak terurus ini dikatakan semakin menular dan tidak mendapat perhatian pihak berkuasa kawasan berkenaan ekoran tiada jadual pungutan sampah yang dilakukan secara berkala di kawasan kajian tersebut iaitu di daerah Mersing. Masalah pembuangan sisa ini berlaku dengan peningkatan yang mendadak disebabkan jumlah penduduk yang tinggi di daerah berkenaan iaitu seramai 69,947 orang yang terdiri daripada beberapa kaum yang berbeza dan jumlah mukim yang banyak dengan keluasannya adalah seluas 2838 kilometer persegi. Kepelbagaian aktiviti yang dijalankan dan dibangunkan dikawasan berkenaan juga menjadi faktor utama terhadap masalah ini termasuklah aktiviti pertanian yang melibatkan penanaman kelapa sawit, perniagaan, perindustrian, pelancongan dan lain-lain.

Rajah 2: Peta Mersing

3.0       PUNCA

Terdapat banyak punca yang boleh membawa kepada berlakunya masalah pembuangan sisa di Mersing ini. Antaranya ialah sikap penduduk setempat. Sikap penduduk setempat yang sambal lewa ini menyebabkan mereka mengambil jalan mudah dan jalan pintas untuk membuang sisa pepejal atau sisa domestik tersebut merata tempat tanpa mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Sikap ini juga tergolong dalam golongan mereka yang mementingkan diri sendiri dengan tidak menghiraukan penduduk dikawasan setempat hilang keselesaan akibat daripada hasil pembuangan tersebut yang boleh membawa kepada berlakunya pencemaran bau dan juga kekotoran. Sikap sambil lewa ini juga tidak hanya berlaku dalam kalangan individu sahaja, namun turut berlaku oleh sektor-sektor besar seperti perkilangan juga melibatkan aktiviti lain seperti perniagaan dan pertanian. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka tidak mengumpul sisa yang dihasilkan dan tidak melupuskan sampah berkenaan dengan menggunakan kaedah pelupusan yang betul, malah membiarkan sampah tersebut di kawasan umum dan di kawasan terbuka tanpa rasa bersalah dengana tidak memikirkan kaedah lain yang dapat dilakukaan seperti mengitar semula atau membuang sampah tersebut berasingan mengikut warna tong sampah yang telah diasingkan mengikut kategori. Jadi, ia menunjukkan bahawa sikap pengotor dan sikap kurang mengambil tahu terhadap cara pengelolaan sisa dengan betul ini akan membawa kepada masalah-masalah lain sehingga boleh memberikan impak kepada diri mereka sendiri.

            Selain itu, punca berlakunya masalah berkenaan di sekitar kawasan Mersing adalah disebabkan oleh sistem kutipan sampah yang tidak berjadual. Hal ini dikatakan demikian kerana, Alam Flora Majlis Daerah Mersing tidak menjalankan pengutipan secara berkala mengikut urutan jadual yang telah ditetapkan. Hal ini juga bertambah lebih serius apabila mereka tidak mengutip sampah-sampah dikawasan kampung menyebabkan sampah di sekitar kawasan kampung lebih cepat bertambah mengakibatkannya lebih cepat tercemar. Masalah terhadap penyediaan tong yang diagihkan oleh mereka juga berada dalam kuantiti yang sedikit dimana tidak dapat menampung sisa yang banyak ditambah pula dengan saiz tong berkenaan yang tidak besar menyebabkan sisa yang dihasilkan tidak dapat dimasukkan sepenuhnya didalam tong sampah dan hanya diletakkan diluar atau disekitar kawasan tong sampah tersebut sahaja. Jadi, jika ianya dibiarkan dan tidak dikutip dalam kadar yang segera, sampah atau sisa berkenaan akan bersepah hasil daripada gangguan haiwan dikawasan sekeliling seperti monyet dan ianya juga menambahkan peratus kepada masalah kesihatan disebabkan oleh penyebaran penyakit berjangkit hasil daripada pembiakan haiwan seperti tikus dan sebagainya.

            Akhir sekali, punca berlakunya keadaan berkenaan di sekitar kawasan Mersing adalah disebabkan oleh ketiadaan tempat pelupusan sampah. Di kawasan berkenaan, tempat pelupusan sampah tidak disediakan dengan baik disamping tong sampah yang disediakan hanya sedikit dan tidak sepadan dengan jumlah penduduk yang ramai sehingga mereka terpaksa mengambil jalan pintas dan jalan mudah dengan cara membuang di sungai-sungai berdekatan atau membuangnya dikawasan hutan termasuklah semak-semak. Walaupun ianya bermula dari seorang individu sahaja, ia tentu akan turut dilakukan oleh individu lain sehingga menjadikan kawasan berkenaan sebagai tempat pembuangan sampah 'instant'.

4.0       MASALAH / KESAN

Penggunaan pelbagai jenis barangan dalam kehidupan manusia sememangnya tidak dapat dipisahkan kerana kebanyakan masyarakat sangat bergantung dengan penggunaan barang yang diperbuat daripada plastik. Hampir setiap rumah juga memiliki barangan plastik kerana barangannya yang mempunyai banyak kelebihan seperti kalis air, tidak mudah pecah, cantik, murah dan boleh digunakan dalam jangka masa yang lama. Hal ini sudah tentu mampu menarik minat orang ramai untuk menggunakannya dan sememangnya menjadi pilihan utama masyarakat dalam menjalani aktiviti harian serta memudahkan urusan mereka. Namun begitu, terdapat juga kesan pembuangan sampah secara tidak sistematik kepada alam sekitar fizikal mahupun alam sekitar manusia tanpa kawalan. Antara kesannya kepada alam sekitar fizikal ialah perkara ini mampu menjejaskan ekosistem akuatik dan mengakibatkan pencemaran laut. Penggunaan plastik yang digunakan secara berleluasa dalam aktiviti harian manusia menjadi penyumbang utama kepada pencemaran yang berlaku di laut terutamanya apabila berlaku musim tengkujuh. Sebahagian besar sampah-sarap seperti botol plastik, beg plastik, bekas makanan dan sebagainya akan dihanyutkan oleh arus ke dalam laut seperti yang berlaku di Pantai Mersing. Perkara ini kebanyakannya juga dilakukan pelancong apabila bersiar-siar di tepi pantai termasuklah penduduk kawasan berkenaan. Apabila sampah-sampah dari plastik ini dihanyutkan oleh arus laut, hidupan yang tinggal di dalam laut terutamanya penyu akan memakan sampah ini kerana menyangkakan bahawa plastik tersebut adalah makanannya. Hal ini seterusnya akan merosakkan tisu haiwan berkenaan akibat daripada bahan kimia yang terkandung didalam plastik tersebut serta terurai dan menyerap ke dalam badan haiwan berkenaan. Bahan-bahan kimia yang pecah dan terurai dalam laut ini akan menjadi zarah-zarah kecil dan membahayakan kepelbagaian hidupan laut seperti plankton, penyu, ikan-ikan dan sebagainya. Keadaan ini pastinya memberi ancaman yang besar kepada hidupan marin dan menjejaskan ekosistem akuatik jika berlaku secara berterusan dan tanpa kawalan. Hal ini juga sekaligus akan mengganggu aktiviti harian penduduk di kawasan Mersing terutama kepada nelayan dimana menyebabkan hasil yang dapat diperolehi mereka berkurang dan kerja mereka terganggu akibat longgokan sampah yang banyak.

Rajah 3: Berita pencemaran di pantai Mersing

Selain itu, kesan ini juga membawa impak yang buruk kepada ekosistem ekologi khususnya kepada sistem tanah. Sampah-sarap yang cuba dilupuskan dan ditanam ke dalam tanah akan mengalami proses pereputan dalam jangka masa yang sangat lama sehingga memakan masa selama ribuan malah jutaan tahun. Bahan kimia dalam plastik akan terurai seterusnya mengurangi kesuburan tanah dan menyebabkan banjir kerana plastik tersebut dapat menghalangi resapan air dan sinar matahari. Kesuburan tanah yang rendah akan mengakibatkan tumbuh-tumbuhan mengalami proses tumbesaran yang lambat. Tumbuh-tumbuhan merupakan pengeluar dalam rantaian makanan dan hal ini mampu menjejaskan pengguna dan pengurainya. Ianya juga mengganggu aktiviti pertanian penduduk kawasan berkenaan dimana mengganggu kesuburan dan mengurangkan hasil tanaman mereka terutama sekali terhadap penghasilan penanaman kelapa sawit.

Seterusnya, kesan terhadap alam sekitar manusia pula ialah menjejaskan kesihatan manusia. Sisa plastik yang terdapat di dalam laut boleh dikesan dan diasingkan apabila dimakan oleh sesetengah jenis ikan. Namun begitu, terdapat juga jenis plastik yang dikenali sebagai plastik mikro. Plastik mikro ialah serpihan kecil yang telah terurai dan terhasil dari kepingan plastik yang besar di dalam laut. Hal ini memberi risiko kepada manusia melalui makanan laut, air dan sebagainya kerana sesetengah jenis plastik ini boleh larut dalam tubuh manusia dan menjadi toksin dan dikhuatiri jika ia masuk ke dalam saluran darah manusia akan membawa bahaya kepada kesihatan manusia. Bukan itu sahaja, kepulan asap yang terhasil daripada pembakaran sampah dan sisa-sisa plastik tersebut juga mampu mengganggu sistem respirasi manusia akibat pencemaran udara yang terhasil daripada pembakaran tersebut. Hal ini amat mendatangkan kebimbangan khususnya kepada kanak-kanak dan warga emas yang mudah terganggu akibat pencemaran alam. Ianya juga dikatakan boleh menjejaskan kesihatan manusia kerana ia membua ruang dan peluang terhadap pembiakan haiwan-haiwan seperti tikus dan sebagainya. Hal ini tentunya boleh membawa kepada kesan sampingan yang lain seperti kencing tikus, cirit-birit dan lain-lain lagi.

5.0       LANGKAH / CADANGAN PENYELESAIAN

Penjagaan alam sekitar ini sangat penting dan perlu diambil berat serta dipandang serius bukan sahaja bagi individu malah bagi seluruh masyarakat juga kepada pihak-pihak berkenaan seperti pihak perindustrian dan sebagainya. Langkah ini juga dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu langkah perundangan dan bukan perundangan. Antara langkah perundangan yang boleh diambil ialah Akta Alam Sekeliling 1974. Akta Alam Sekililing 1974 ini merupakan akta perundangan induk bagi menghalang kemerosotan alam sekitar dan mempertingkatkan atau memperbaiki kualiti alam sekitar. Pelaksanaan akta alam sekeliling 1974 ini dijalankan bagi memantau alam sekitar daripada dirosakkan atau dimusnahkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti membuang sampah merata-rata, dan lain-lain lagi. Jabatan Alam Sekitar (JAS) merupakan pihak yang bertanggungjawab dalam menilai, memantau dan mengawal alam sekitar berdasarkan akta dan diberi kuasa untuk menyaman, mengenakan kompaun, menyita premis atau mengenakan tindakan mahkamah. JAS ini juga boleh mengenakan tindakan kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab membuang plastik merata-rata kerana boleh mengakibatkan pencemaran kepada alam sekitar. Contohnya, pembuangan plastik di sungai ataupun di laut boleh mengakibatkan hidupan laut dan sungai memakan plastik sekaligus mengakibatkan haiwan itu mati. Oleh itu, Akta Alam Sekeliling ini sangat penting bagi mengawal alam sekitar daripada terus tercemar dan musnah. Bagi pemantauan pula, ia dapat dilakukan oleh JAS dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membuat rondaan dan memantau perjalanan sesuatu projek atau aktiviti yang dijalankan di sesebuah kawasan seliaan mereka. Pemantauan yang dijalankan oleh JAS dan PBT ini bertujuan untuk mengelakkan kemusnahan alam sekitar. Pihak berkuasa melakukan pemantauan ini untuk memastikan masyarakat dan pihak perkilangan sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan tentang penjagaan alam sekitar dan kitar semula bahan buangan untuk mengelakkan pencemaran alam daripada terus berlaku di negara kita. Masyarakat juga haruslah sentiasa menjaga kebersihan tempat tinggal dan kawasan sekitar agar bahan buangan seperti sampah sarap tidak dibuang merata-rata dan menasihati orang lain untuk sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar dan mengitar semula bahan buangan yang boleh dikitar semula.

Selain itu, memperketatkan tindakan undang-undang. Tindakan undang-undang boleh diambil kepada masyarakat atau pihak yang tidak bertanggungjawab mencemarkan alam sekitar dengan membuang plastik meratarata. Tindakan undang-undang seperti denda atau kompaun, menyita premis dan membatalkan lesen syarikat yang mencemarkan atau merosakkan alam sekitar. Contohnya, bagi kesalahan alam sekitar di bawah seksyen 34 (b) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 kerana melupuskan bahan buangan secara haram. Hal ini boleh menyebabkan pesalah dikenakan hukuman penjara mandatori tidak melebihi 5 tahun penjara dan denda tidak melebihi RM 500,000. Oleh itu, masyarakat hendaklah memastikan semua jenis plastik tidak dibuang merata-rata atau mereka akan dikenakan tindakan undang-undang selanjutnya. Di samping itu, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara telah bekerjasama dengan pentadbiran Majlis Daerah Mersing bagi cadangan Projek Pembangunan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitasri Di Mersing, Mukim Triang, Endau, Daerah Mersing, Johor Darul Takzim. Ianya bertujuan menyediakan sistem pengurusan sisa pepejal yang lebih sistematik bagi memastikan kesejahteraan penduduk di kawasan sekitar.

Rajah 4: Cadangan Projek Pembangunan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitasri Di Mersing, Mukim Triang, Endau, Daerah Mersing, Johor Darul Takzim

Manakala, langkah-langkah bukan perundangan yang boleh diambil pula adalah seperti kempen kitar semula. Kempen kitar semula dilaksanakan bertujuan untuk memberi kesedaran dan peringatan kepada masyarakat supaya tidak membuang bahan buangan tanpa berfikir tentang kebaikannya dan keburukannya. Kitar semula ialah proses memproses semula bahan buangan untuk menghasilkan barangan yang baharu. Kitar semula bahan buangan juga boleh mengurangkan pencemaran udara, pencemaran air dan mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau berbanding penghasilan barangan baharu dari bahan mentah. Contoh bahan yang boleh dikitar semula termasuklah kebanyakan jenis kaca, kertas, logam, plastik, tekstil, dan komponen elektronik. Masyarakat kini haruslah menyertai kempen-kempen seperti ini bagi meningkatkan lagi kesedaran tentang kepentingan penjagaan alam sekitar dengan betul agar alam sekitar sentiasa terpelihara. Tambahan lagi, penyediaan tong kitar semula. Tong kitar semula ini bertujuan untuk membuang bahan buangan yang boleh dikitar semula seperti plastik, kertas, botol, kaca dan tin. Tong kitar semula ini juga dibahagikan kepada tiga kategori iaitu biru, coklat dan jingga. Tong yang berwarna biru untuk kertas sahaja, tong coklat untuk kaca sahaja manakala tong jingga untuk tin dan plastik. Penglabelan tong ini dilakukan bagi mengasingkan bahan-bahan kitar semula agar mudah diproses di kilang tanpa perlu mengasingkan bahan-bahan tersebut berulang kali. Tong kitar semula ini telah disediakan di setiap kawasan di dalam negara kita dan ianya bertujuan untuk memudahkan pengguna membuang bahan kitar semula ditempat yang telah disediakan oleh majlis daerah di setiap negeri masing-masing.

6.0       KESIMPULAN

Kesimpulannya, semua pihak tidak kira kerajaan ataupun bukan kerajaan termasuklah penduduk di kawasan itu sendiri perlulah berusaha menjaga kawasan sekitar dengan mematuhi cara pembuangan sisa yang betul bagi mengelakkan perkara sebegini daripada terus berpanjangan sehingga mengganggu kesejahteraan penduduk kawasan setempat. Masalah ini bukan sahaja memberikan impak kepada penduduk malah juga turut menjatuhkan imej Mersing terutamanya apabila memberikan perspektif yang buruk kepada pelancong yang datang ke sini untuk melancong di beberapa buah kawasan pelancongan yang berhampiran. Diharapkan agar langkah yang serius dapat diambil bagi menangani masalah ini sekaligus dapat menjamin kelestarian hidup penduduk kawasan berkenaan dan tidak memerlukan proses pemeliharaan dan pemuliharaan dilakukan.

 

RUJUKAN

Abu Bakar Jaafar. (1987). Kesan Pembangunan Tanah Terhadap Alam Sekitar: Pendekatan Baru Mengenai Perancangan dan Pengurusan Alam Sekitar. Universiti Teknologi Malaysia. http://libmast.utm.my/Record/KOHA-OAI-TEST:155794

Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara. (2018). Cadangan Projek Pembangunan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Di Mersing, Mukim Triang, Endau, Daerah Mersing, Johor Darul Takzim. https://enviro2.doe.gov.my/ekmc/wp-content/uploads/2021/02/0.5JPSPN-RE.pdf

Nurul Amanina Suhaini. (2020). Isu sampah akan diatasi segera – Pegawai Daerah Mersing. Berita Harian Online. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/770179/isu-sampah-akan-diatasi-segera-pegawai-daerah-mersing

 

Omar Ahmad. (2020). Sampah hanyut dibawa ombak tengkujuh, cemari Pantai Mersing. Berita Harian Online. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/770410/sampah-hanyut-dibawa-ombak-tengkujuh-cemari-pantai-mersing

 

 

NAMA: FARAH FITRINA BINTI ALWI

NO MATRIK: D20201094280

KUMPULAN: A

 

Sent from Mail for Windows

 

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...