PENGENALAN
Kemarau adalah merupakan salah satu fenomena pemanasan global yang melanda semua kawasan zon beriklim di dunia. Menurut Wilhite et. al (2007), sifat-sifat kejadian kemarau yang berbeza dari satu kawasan dengan kawasan yang lain, menunjukkan satu fenomena yang kompleks dan kekal kurang difahami. Keadaan ini adalah satu kejadian anomali yang bersifat sementara dan ia berbeza dengan beberapa fenomena ketidakcukupan air yang lain seperti kegersangan, disertifikasi dan kekurangan air. Kemarau juga merupakan fenomena iklim yang berlaku secara semula jadi berbanding dengan fenomena disertifikasi dan kekurangan air yang wujud disebabkan oleh gangguan dan campur tangan manusia. Walaupun fenomena kegersangan merupakan fenomena kekurangan air secara semula jadi, namun ia sangat berbeza dengan kemarau kerana kegersangan bersifat kekal manakala kemarau bersifat sementara.
Kejadian kemarau yang berlaku dengan berpanjangan memberikan kesan buruk kepada kehidupan para petani serta masyarakat akibat kemusnahan hasil tanaman. Kekeringan air di Sungai Kelantan yang menjadi sumber bekalan utama kepada penduduk sekitar menyebabkan kawasan Gong Kulim turut terjejas. Dianggarkan lebih daripada 600 orang petani di Gong Kulim yang bermodalkan sebanyak RM 4 juta mengalami kerugian sumber pendapatan. Fenomena El-Nino juga boleh menjejaskan ekosistem marin dengan kemusnahan plankton yang merupakan sumber makanan utama kepada hidupan laut. Apabila hasil berkurangan, sudah tentu harga ikan di pasaran juga turut meningkat. Mukim Gong Kulim terletak di daerah Semerak Pasir Puteh (Rajah 1).
Rajah 1 Peta Daerah Pasir Puteh
KESAN FENOMENA KEMARAU TERHADAP KEHIDUPAN DAN MASYARAKAT DI KAMPUNG GONG KULIM
Menurut IPCC (2002), pemanasan global dan perubahan dalam corak iklim dunia telah disepakati oleh para penyelidik sebagai satu ancaman paling berat terhadap kemanusiaan di abad ke-20 ini. Tidak boleh dinafikan bahawa cuaca dan persekitaran memainkan peranan yang penting dalam meneruskan kelangsungan kehidupan. Misalnya, tidak kira sama ada hujan gerimis, hujan lebat, salji atau panas yang melampau semuanya memberi kesan atau impak kepada aktiviti hidupan khususnya manusia. Fenomena kemarau akan mempengaruhi gaya kehidupan seharian penduduk dan memberi kesan yang negative kepada pelbagai aspek kehidupan manusia terutamanya gangguan terhadap kesihatan. majoriti menyatakan responden mengalami masalah kesihatan akibat kemarau.
Majoriti penduduk Kampung Gong Kulim mengalami sakit kepala dan demam akibat cuaca yang begitu panas. Selain itu, penduduk turut mengalami masalah penglihatan seperti pedih mata akibat penglihatan yang terhad disebabkan cuaca panas yang begitu ekstrem. Kekurangan belakan air bersih juga menjadi kesulitan bagi penduduk kerana mereka terpaksa berjimat dengan air yang ada dan bimbang kawasan tadahan juga akan menjadi kering kerana kadar sejatan yang tinggi. Kegiatan penduduk juga turut terganggu disebabkan El-nino, mereka terpaksa mengurangkan waktu mereka bekerja di sawah. Hal ini kerana cuaca panas yang panjang akan menyebabkan mereka cepat berasa letih dan tidak tahan dengan bahangan matahari. Bahangan matahari dalam rumah juga turut dirasai apatah lagi yang berada di kawasan sawah.
Keadaan cuaca yang baik, sumber air yang bersih, hasil pertanian yang mencukupi dan ekosistem stabil berupaya menjamin kesejahteraan masyarakat. Malangnya, fenomena kemarau ini telah mengganggu-gugat pelbagai aspek kehidupan penduduk termasuklah masalah kesihatan. Oleh itu, kangkah pencegahan perlualah diambil diambil agar kesannya dapat diminimumkan.
CADANGAN PENYELESAIAN BAGI MENGATASI FENOMENA KEMARAU UNTUK KELANGSUNGAN KEHIDUPAN DAN MASYARAKAT DI KAMPUNG GONG KULIM
PENGGUNAAN AIR DENGAN BERHEMAH
Penduduk hendaklah berjimat cermat dengan bekalan air yang ada kerana penggunaan air untuk mandi, mencuci kenderaan dan membasuh pakaian perlu dihadkan agar tidak membazir. Biasanya manusia hanya memerlukan 80 liter air sehari bagi memenuhi keperluan asasnya. Daripada jumlah tersebut sebanyak lima liter untuk minuman, kebersihan peribadi sebanyak 30 liter, mandi sebanyak 25 liter dan proses penyediaan makanan sebanyak 20 liter. Walau bagaimanapun, penggunaan air bagi seorang individu mampu mencapai 500 liter sehari terutamanya bagi mereka yang tinggal di bandar. Hal ini dibuktikan oleh Persatuan Pengamatan Air Pulau Pinang yang telah menjalankan kajian dan mendapati kebanyakan pengguna di kawasan bandar lebih banyak menggunakan air iaitu 500 liter berbanding hanya 300 liter sahaja yang syorkan oleh piawaian antarabangsa. Selain itu, dilaporkan bahawa secara puratanya setiap rakyat negara ini menggunakan sebanyak 500 liter air dalam sehari. Manakala jumlah yang disyorkan di peringkat antarabangsa ialah cuma 165 liter sehari sahaja. Sesetengah pendapat menyatakan penggunaan air bagi rakyat Malaysia ialah 300 liter sehari bagi setiap orang, manakala jumlah yang disyorkan oleh Piawaian Antarabangsa Bangsa-bangsa Bersatu ialah 200 liter. Menurut Chan (2002), jika dibandingkan dengan negara-negara dunia lain seperti Sudan hanya menggunakan 50 liter sehari bagi setiap orang, India 100 liter dan 64 liter bagi rakyat Afrika.
PENDIDIKAN TERHADAP ALAM SEKITAR
Penduduk perlu disedarkan mengenai kesan fenomena ini kepada manusia dan alam sekitar. Dengan ini, mereka mempunyai peranan dalam usaha membantu kerajaan menangani kesan yang akan berlaku. Kita hendaklah peka dengan mendengar perkembangan semasa tentang keadaan cuaca yang berlaku melalui radio, televisyen, akhbar dan laman web. Medium-medium ini seharusnya dijadikan rujukan penting. Oleh itu, penduduk harus peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka dan seharusnya mereka bersiap sedia untuk menghadapi fenemona kemarau yang panjang. Dalam tempoh Monsun Barat Daya kebiasaannya akan menyebabkan jumlah hujan akan berkurangan terutama pada bulan Januari-Mac. Menurut Noorazuan (2010), ini menyebabkan peristiwa kemarau akan kerap berlaku namun tempoh masa yang dialami adalah singkat.
Penduduk menganggap tempoh untuk pulih seperti sedia kala adalah dalam tempoh sebulan kerana apabila kerajaan membantu dalam menyediakan pam untuk mengepam air ke kawasan tanaman padi dan dijangka boleh dituai selepas sebulan berlaku kemarau. Hal ini demikian kerana kawasan padi memerlukan air yang banyak mengikut peringkat pembesaran berbanding tanaman selain padi. Apabila kerajaan membantu dalam mengumpulkan maklumat dan mengenal pasti kawasan-kawasan pertanian yang biasa dilanda kemarau bagi mendapatkan peruntukan bersesuaian bagi membantu petani atau peladang yang mengalami kerugian ekoran kemarau.
PEMBANGUNAN TEBATAN
Kementerian melalui jabatan dan agensi telah mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan kesan fenomena El Nino kepada sektor agro makanan mengikut sub-sektor. Antara langkah yang telah dan akan dilaksanakan oleh kementerian bagi mengurangkan kesan terhadap sektor tanaman adalah seperti memperhebat aktiviti pengembangan pertanian bagi mengurangkan kesan El-Nino kepada petani; memastikan sumber air pertanian terjamin seperti melalui pembinaan empangan kecil;meningkatkan keupayaan kolam takungan, membina tube well dan meningkatkan kecekapan penyaluran air melalui penggantian pam, menggalakkan penggunaan air secara minimum dengan menggunakan sistem pengairan titis (drip irrigation) dan mist blower serta menakung air hujan (Mohamad Suhaily Yusri et al., 2014) terutamanya untuk sayur-sayuran daun; dan menggalakkan penggunaan teknik sungkupan terutama dari bahan organik.
Selain itu bagi sub-sektor padi,penjadualan semula penanaman padi di kawasan yang terkesan akibat El-Nino dilakukan serta memastikan sumber air adalah mencukupi sebelum penanaman padi dimulakan. Manakala bagi penternakan akuakultur, antara langkah yang telah dilaksanakan adalah seperti menasihat penternak melakukan penjadualan semula ternakan (break cycle, penyelenggaraan, asuhan dalam bangunan dan lain-lain), menggalakkan penggunaan recirculating water di mana penternak udang dan hatcheri digalakkan menggunakan semula air ternakan selepas dirawat selain meminimumkan pengepaman air baru ke hatcheri dan kolam untuk operasi ternakan, memantau dan memberi nasihat teknikal kepada pengusaha akuakultur mengenai langkah-langkah menangani impak El-Nino serta membantu pengusaha ternakan melalui bantuan bencana dan input benih ternakan apabila keadaan sesuai.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, kemarau merupakan fenomena semula jadi yang berlaku tidak mengira tempat dan masa. Kesannya bergantung kepada tahap persekitaran di mana kemarau itu melanda. Ia merupakan peristiwa kekurangan air yang bersifat sementara berbanding keadaan normal. Terdapat beberapa langkah atau cara yang perlu diambil oleh penduduk supaya dapat menghadapi keadaan kemarau yang panjang. Penduduk perlu berjimat cermat dengan bekalan air yang ada kerana penggunaan air untuk mandi, mencuci kenderaan dan membasuh pakaian perlu dihadkan agar tidak membazir. Dalam masa yang sama, orang ramai perlu mengadakan simpanan air yang mencukupi untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Selain itu, masyarakat perlu mengambil langkah sewajarnya seperti memakai topeng mulut sewaktu keluar rumah dan merawat segera masalah kesihatan seperti batuk, kesukaran bernafas dan demam dengan menyediakan ubat-ubatan yang sepatutnya atau terus mendapatkan rawatan selanjutnya dengan doktor.
RUJUKAN
Che Rose, R., & Rahimi, N. S. (2017). Pemanasan Global: Impak dan Adaptasi Sosioekonomi Lokal. GEOGRAFI, 5(3), 23 - 32. http://ojs.upsi.edu.my/index.php/GEOG/article/view/2064
Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC). (2002). Climate Change and biodiversity. http://ipcc.ch/pdf/technical-papers/climate-changes-biodiversity-en.pdf
Mohamad Suhaily Yusri, C.N., Zainudin, O., Mohmadisa, H., Nasir, N. & Yazid, S. (2014). Rainwater as a Potential alternative source of water in Tanjong Malim, Perak. Geografi 2(1), 8-24. Diperoleh daripada https://ejournal.upsi.edu.my/GetFinalFile.ashx?file=185b21a7-5368-4aa5-9e97-cea59cc31a8e.pdf
Noorazuan Md Hashim. (2010). Analisis tren pemanasan global dan kesannya terhadap aspek dayahuni bandar di Malaysia. GEOGRAFIA Online Malaysian Journal of Society and Space, 6(2), 72 –88.
Rahman, H. A., & Suppian, R. (2015). Pemanasan global: Impak Terhadap Masyarakat Dan Kesihatan: UUM press. UUM Press. https://books.google.com.my/books?hl=en&lr=&id=QJlNCwAAQBAJ&oi=fnd&pg=PA1&dq=impak+kemarau+terhadap+manusia&ots=VbxJT0Qx36&sig=JqaYMhNEtJuz1e6vol2ETJMcfvk&redir_esc=y#v=onepage&q=impak%20kemarau%20terhadap%20manusia&f=false
Wilhite, D. A., Svoboda, M. D., & Hayes, M. J. (2007). Understanding the complex impacts of drought: A key to enhancing drought mitigation and preparedness. Water Resources Management, 21(5), 763-774. https://doi.org/10.1007/s11269-006-9076-5
NAMA: SOFEA BALKISH BINTI CHE MOHAMED
NO. MATRIK: D20201095957
KUMPULAN: B
No comments:
Post a Comment