Friday, June 17, 2022

ISU PENYALAHGUNAAN DADAH DI BONGAWAN, SABAH

1.0       PENGENALAN

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2017), dadah boleh dirujuk atau didefinisikan sebagai ubat-ubatan seperti ganja, heroin dan marijuana. Dadah juga merupakan satu bahan yang berupaya memberi kesan sampingan yang memudaratkan kesihatan manusia dari aspek fizikal, mental dan tingkah laku jika disalahgunakan secara berlarutan (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2022). Oleh sebab itulah, Kerajaan Malaysia telah menggubal akta Dadah Berbahaya 1952 bagi mengklasifikasikan jenis-jenis dadah yang diharamkan dari segi pengeluaran, import, pemilikan dan sebagainya agar tidak disalahgunakan oleh orang awam (Jabatan Perlindungan Data Peribadi, 2021). Umumnya, penyalahgunaan dadah boleh diertikan sebagai penggunaan dadah yang berlebihan dan sewenang-wenangnya tanpa mendapat nasihat daripada pakar perubatan. Statistik peningkatan penglibatan individu dalam  penyalahgunaan dadah terus meningkat secara global dan keadaan ini semakin serius saban tahun (Norhayati Ibrahim et al., 2018). Begitu juga keadaanya di Malaysia yang mana kes penyalahgunaan dadah menunjukkan peningkatan yang membimbangkan. Hal ini boleh dilihat berdasarkan statistik yang telah dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), penyalahgunaan dadah Methamphetamin menunjukkan peningkatan dari 2016 sehingga 2020. Peningkatan jumlah ini sangat menakutkan sehingga kerajaan mengisytiharkan dadah sebagai musuh utama negara. 

Rajah 1: Trend Statistik Penagihan Dadah Dikesan ADKK Mengikut Jenis Dadah, 2016-2020

Sumber: ADKK, 2022

2.0       LATAR BELAKANG KAWASAN KAJIAN

Secara umumnya, kampung atau desa merupakan penempatan manusia di kawasan luar bandar. kampung adalah tempat tinggal beberapa keluarga, biasanya tempat tinggal penduduk kelas menengah ke bawah. Nama lain untuk kampung adalah desa yang merupakan satuan pembahagian administrasi daerah yang terkecil (Mamiek Nur et al., 2014). Dalam organisasi sesebuah kampung, ia terdiri daripada Penghulu yang bertindak sebagai ketua dan dibantu oleh beberapa ahli jawatankuasa yang dilantik mengikut tugas dan peranannya dalam menguruskan hal ehwal serta kebajikan penduduk. Setiap negeri di Malaysia mempunyai kawasan luar bandar tersendiri. Ini termasuklah kawasan Bongawan, yang terletak di daerah Papar, Sabah. Jarak Bongawan daripada Kota Kinabalu (ibu negeri) ialah 70 kilometer dan mengambil masa 1 jam 14 minit untuk sampai ke kawasan ini. Menurut laporan Pihak Berkuasa Tempatan pada tahun 2010, Bongawan mempunyai sebilangan kecil sahaja penduduknya iaitu seramai 947 orang. Walau bagaimanapun, Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya 2020, peningkatan penduduk telah berlaku sehingga tahun 2020 dimana bilangan penduduk kawasan ini telah mencecah lebih 16 375 orang (tidak termasuk penduduk yang belum mengundi) dan dianggarkan jumlah penduduk semakin bertambah sehingga mencecah 50 ribu orang penduduk pada tahun ini.

Rajah 2: Peta Bongawan, Sabah

Sumber: Google Map, 2022

3.0       PERBINCANGAN

3.1       PUNCA MASALAH PENYALAHGUNAAN DADAH

Isu penyalahgunaan dadah bukan lagi sesuatu perkara yang asing berlaku di kawasan ini. Hal ini demikian kerana, isu tersebut sudah terlalu lama 'bertapak' di Bongawan. Bahkan ia sudah menjadi sebati dalam kalangan penduduk dan susah untuk dikawal. Terdapat pelbagai faktor yang mendorong individu di kawasan Bongawan terlibat dalam kancah penagihan dadah.

3.1.1    Faktor Persekitaran Masyarakat

Masyarakat merupakan kumpulan manusia yang hidup bersama dibawah satu kawasan (DBP, 2017). Masyarakat juga entiti sosial yang mana boleh menjadi salah satu ejen kemajuan dalam sebuah peradaban. Ini bermakna, masyarakat membawa pengaruh besar dengan perubahan persekitaran. Oleh itu, faktor masyarakat persekitaran boleh menyumbang kepada penyalahgunaan dadah di kawasan ini. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, persekitaran yang negatif seperti masyarakat Bongawan banyak yang terlibat dengan dadah menjadi penyumbang utama kepada keinginan remaja atau belia untuk mencuba dadah itu sendiri. Kebiasannya, mereka mula berjinak dengan benda tersebut setelah melihat sendiri di depan mata cara bagaimana dadah itu digunakan. Mereka mula terpengaruh dengan persekitaran mereka apabila melihat ada segelintir rakan-rakan atau kawasan persekitaran yang negatif kerana kebanyakkannya menagih dadah. Bahkan disebabkan terlalu ramai ini juga telah mempengaruhi penglibatan wanita dengan penagihan dadah di kawasan Bongawan ini. Buktinya, polis telah menahan tiga orang penagih, termasuk seorang wanita ketika cuba melepasi sekatan jalan berhampiran Balai Polis Bongawan. Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun itu ditahan untuk pemeriksaan kerana dalam keadaan mencurigakan. Setelah pemeriksaan mendapati bahawa seorang daripada suspek membawa beberapa peket plastik lut sinar yang mengandungi dadah jenis syabu dengan anggaran berat 1.97 gram (Juwan Riduan, 2020). Tegasnya, masyarakat yang negatif boleh menjadi faktor peningkatan kes penyalahgunaan dadah. 

Gambar 1: Polis Tahan Tiga Penagih Dadah di Bongawan

Sumber: Berita Harian Online, 2020

3.1.2    Bekalan Dadah Mudah Diperoleh

Selain itu, bekalan dadah yang mudah didapati juga menjadi faktor pendorong penduduk mula menjinakkan diri ke arah penyalahgunaan dadah. Bekalan dadah biasanya diurus oleh beberapa orang pengedar dari luar mahupun dalam Bongawan ini sendiri. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, jualan dadah di kawasan ini mendatangkan keuntungan besar berikutan lokasinya yang strategik. Lokasi Bongawan yang terpencil dan terletak di hujung daerah Papar menjadikannya agak begitu terasing dari pusat bandar. Tambahan lagi, rondaan pihak berkuasa juga sangat jarang dilakukan. Kesannya, ini menjadi peluang keemasan kepada pengedar dadah untuk menjalankan kegiatan mereka. Kewujudan pembekal yang tidak terkawal ini lah menyebabkan kawasan Bongawan menjadi lubuk penagih dadah. Sebagai buktinya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar berhasil menahan empat lelaki disyaki pengedar dadah pada 7 November 2021. Semua lelaki tersebut berusia antara 30 hingga 40an telah ditahan dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Papar. ketika ditahan, polis telah merampas beberapa paket plastik berisi ketulan hablur jernih dipercayai syabu seberat 77.72 gram. Hasil ujian saringan air kencing terhadap semua suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine (Juwan Riduan, 2021). Jelaslah bahawa, bekalan dadah mudah didapati di Bongawan kerana lambakan pengedar ini.

Gambar 2: Empat Pengedar dadah Ditahan

Sumber: Berita Harian Metro, 2021

3.1.3    Pengaruh Rakan Sebaya

Lazimnya, apabila meningkat dewasa, remaja lebih banyak menghabiskan masa bersama rakan sebaya berbanding ibu bapa mereka sendiri. Bahkan rakan yang akrab boleh menjadi tempat mengadu jika berlaku sesuatu masalah. Ini bermakna, rakan juga berupaya menjadi salah satu komponen sosial yang membawa perubahan kepada diri seseorang. Oleh hal yang demikianlah, rakan sebaya merupakan salah satu faktor penyalahgunaan dadah di kawasan ini. Perkara ini berlaku apabila kawan-kawan mereka mendampingi mereka untuk terlibat dalam kegiatan ini. Jadi, mereka tidak dapat mengelak diri daripada gejala negatif ini (Normadiniatul Shida, 2017). Tambahan lagi, keadaan rakan mereka yang kelihatan tenang, dan dikatakan dadah tersebut sedap serta boleh melepaskan tekanan perasaan itulah yang merangsang lagi keinginan untuk mencubanya. Terdapat juga rakan mereka mereka yang mencabar untuk turut mencuba dadah tersebut. Disebabkan darah muda yang mempunyai sifat pantang dicabar inilah yang menyebabkan mereka mula menggunakan dadah. Keadaan ini sangat membimbangkan, lebih-lebih lagi mereka masih lagi di peringkat sekolah kerana mampu membawa impak yang buruk dalam akademik. Penglibatan pelajar dalam penyalahgunaan dadah bukan lagi perkara baharu yang berlaku di kawasan ini. Buktinya, dua pelajar sekolah adalah antara 866 suspek dadah yang ditahan oleh pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Papar merangkumi keseluruhan 844 kes pada awal tahun 2019 (Vivi Olviana Najurus, 2019). Tegasnya, pengaruh rakan sebaya menjadi salah satu faktor peningkatan kes penyalahgunaan dadah. 

Gambar 3: Penagihan Dadah dalam Kalangan Pelajar Sekolah

Sumber: Utusan Borneo, 2019

3.2        KESAN PENYALAHGUNAAN DADAH

Faktor-faktor penyalahgunaan dadah di kawasan Bongawan telah membuktikan bahawa kes tersebut agak sukar untuk dikawal. Jika kes penyalahgunaan dadah terus dibiarkan, ia akan membawa pelbagai kesan buruk, bukan sahaja terhadap diri sendiri, malah keluarga dan masyarakat juga.

3.2.1       Peningkatan kes jenayah

Penyalahgunaan dadah boleh membawa kepada peningkatan kes jenayah berat yang lain. Hal ini boleh terjadi kerana, jika penagih dalam kalangan keluarga bertaraf hidup rendah, pastinya sukar untuk memperoleh wang yang banyak bagi membeli dadah tersebut ekoran harganya yang agak mahal. Buktinya, harga bagi setiap 0.5gram syabu sahaja dijual pada harga sekitar RM100 (BERNAMA, 2021). Oleh hal yang demikian, bagi memuaskan nafsu penagih yang bertaraf hidup yang rendah ini, mereka terdesak untuk mencari wang dengan melakukan jenayah khususnya yang melibatkan aktiviti-aktiviti jenayah jalanan seperti kejadian ragut, mencuri dan sebagainya yang mengganggu ketenteraman awam. Mereka menggunakan cara mudah untuk memperoleh sumber kewangan melalui aktiviti-aktiviti jenayah jalanan bagi membiayai perbelanjaan mendapatkan bekalan dadah. Menurut Sutekno Ahmad Belon (2022), walaupun perlakuan tidak rasional itu bukan datang daripada sifat semula jadi, dan kesan halusinasi akibat pengambilan dadah menjadikan mereka tidak waras serta hilang pertimbangan. Hal ini secara tidak langsung memberi tekanan kepada pelbagai pihak seperti pihak berkuasa dan masyarakat, malah lebih bahaya kepada institusi kekeluargaan. Buktinya. Beberapa kes pembunuhan berlaku sangat tragis kerana mangsa adalah keluarga terdekat. Malangnya, kesan halusinasi menyebabkan penagih itu tidak terkawal sehingga membunuh ibunya sendiri dengan kejam. Sesungguhnya, penyalahgunaan dadah mampu membawa jenayah yang lebih berat. 

Gambar 4: Kes Pembunuhan di bawah Pengaruh Dadah

Sumber: Utusan Borneo, 2017

3.2.1 Masalah Kesihatan

Penyalahgunaan dadah mampu menyebabkan risiko terhadap kesihatan diri sendiri dari aspek mental. Menurut Amer Fawwaz (2021), hal ini berlaku kerana, dadah menyebabkan penagih berhalusinasi yang akhirnya menjadi gila. Menurutnya lagi, mereka juga mengalami ketidakstabilan emosi seperti cepat marah, gelisah, baran, kebingungan dan sebagainya. Apabila penagih mengambil dos yang tinggi atau berlebihan, dadah mampu menaikkan suhu badan ke tahap membahayakan dan boleh mengakibatkan sawan dan akhirnya maut (Norliah Sajuri, 2021). Sebagai buktinya, Seramai 30 daripada 326 orang klien yang dimasukkan ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) mempunyai masalah kesihatan mental berpunca daripada penagihan dadah (Suraidah Roslan, 2022). 

Gambar 5: Masalah Mental dalam Kalangan Penagih Dadah

Sumber: Utusan Malaysia, 2022

Selain itu, penyalahgunaan dadah juga bukan sahaja boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang serius malah, menjadi penular wabak penyakit di kawasan Bongawan. Misalnya, penyakit seperti HIV/AIDS, tuberculosis (TB) dan hepatitis merupakan penyakit yang serius yang sering dikaitkan dengan tingkah laku penagihan dadah (KKM, 2022). Mereka yang menggunakan dadah secara suntikan dan berkongsi jarum akan lebih terdedah kepada penularan wabak seterusnya boleh menularkan penyakit kepada orang lain sama ada kalangan penagih, ahli keluarga mahupun anggota masyarakat yang terdedah kepada aktiviti mereka. Risiko yang yang sama akan dihadapi oleh pegawai-pegawai yang berurusan dan berhubung dengan mereka. Bahkan, dalam proses rawatan dan pemulihan, penagih-penagih yang mempunyai simptom atau disahkan sebagai pembawa penyakit ini, perlu diasingkan dan diberi keutamaan untuk dirawat terlebih dahulu, sebelum rawatan penagihan diteruskan (AADK, 2021). Tegasnya, penyalahgunaan dadah mendatangkan kesan kepada masalah kesihatan yang serius.

3.3.3       Perpecahan Masyarakat

Penyalahgunaan dadah juga berupaya membawa kepada keruntuhan sistem sosial dan perpaduan dalam kalangan masyarakat di Bongawan. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, berlakunya ketidakstabilan struktur masyarakat dari segi pergaulan, permuafakatan dan emosi. Perkara ini boleh berlaku apabila wujudnya penagih dalam kalangan masyarakat, kehidupan atau aktiviti seharian akan terganggu kerana majoriti masyarakat akan mengelak dari berinteraksi atau berkomunikasi dengan mereka yang terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah, malah akan mencemuh atau memulau dan kemungkinan tersebarnya kata-kata yang kurang menyenangkan hingga berlakunya krisis salah faham antara sesebuah keluarga dengan keluarga lain lalu menyebabkan berlakunya perpecahan dan permusuhan di kalangan masyarakat (Nazri Daud & Wan Anor, 2021). Selain daripada itu, penularan penyakit yang dibawa oleh penagih dadah buat masyarakat jadi takut. Sebagai contoh, kebanyakan golongan yang membawa penyakit HIV merupakan golongan yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah akibat perkongsian jarum. Ini cukup menggerunkan masyarakat kerana tersebarnya penyakit tersebut akan memberi kesan sampingan yang buruk terhadap orang yang tidak bersalah. Mangsa yang tidak bersalah itu terpaksa meneruskan kehidupan bersama penyakit tersebut sehingga ke akhir hayatnya. Tegasnya disini, isu penyalahgunaan dadah memberi kesan kepada masyarakat setempat juga.  

3.2  CADANGAN PENYELESAIAN MASALAH PENYALAHGUNAAN DADAH

Jika diteliti, isu penyalahgunaan dadah ini amat membimbangkan kerana membawa pelbagai impak yang negatif.  Secara tidak langsung, perkara ini telah menggugat keadaan kawasan Bongawan dari sudut ekonomi, sosial, politik mahupun keselamatan. Oleh hal yang demikian, pelbagai langkah drastik perlu dilaksanakan bagi memerangi ancaman dadah. Semua pihak harus memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung masalah ini.

3.3.1    Masyarakat

Masyarakat kawasan setempat khususnya Bongawan harus bekerjasama dalam membanteras isu penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa ini. Antara cara yang boleh digunakan adalah masyarakat boleh menjadi mata-mata pihak berkuasa serta bertindak pantas dalam melaporkan kegiatan-kegiatan yang mencurigakan. Dalam hal ini, sikap 'jaga tepi kain orang' sangat membantu kerana Keupayaan pegawai polis sahaja bagi memastikan tiada sebarang jenayah berlaku adalah mustahil. Walau bagaimanapun, sebagai penduduk yang prihatin sewajarnya melaporkan setiap perlakuan yang mencurigakan dan mempunyai unsur jenayah kepada pihak berkuasa seperti polis dan sebagainya. Tambahan lagi, kecanggihan teknologi hari ini memberikan kelebihan untuk merakam atau mengambil gambar sebagai bukti perlakuan jenayah pengedaran atau penagihan dadah. Oleh itu, tindakan melaporkan perlakuan jenayah adalah tanggungjawab utama masyarakat dalam membanteras perlakuan jenayah dalam negara. Selain itu, bagi mengelakkan aktiviti-aktiviti jenayah ini sering berlaku, penduduk boleh menganjurkan acara kemasyarakatan yang melibatkan semua orang tanpa ada had umur dan latar belakang. Sebagai contoh, aktiviti seperti gotong-royong dan pembersihan kawasan perumahan atau tempat-tempat awam dengan penyertaan setiap ahli masyarakat akan memastikan masa terluang yang ada digunakan untuk faedah bersama. Aktiviti sukan seperti bermain bola sepak, futsal dan permainan dalam talian (Online Gaming) yang semakin mendapat perhatian belia terutamanya perlulah disemarakkan agar masa santai mereka digunakan sebaiknya serta membendung masalah penyalahgunaan dadah ini. Tegaslah bahawa, masyarakat setempat memainkan peranan penting dalam mencegah aktiviti negatif ini berleluasa.

3.3.2    Sekolah

Di samping itu, institusi sekolah juga mempunyai tanggungjawab yang besar dalam membasmi penyalahgunaan dadah kerana remaja banyak menghabiskan masa berada di sekolah. Oleh itu, kerjasama antara pihak pengurusan, guru-guru dan pelajar sekolah itu sendiri penting bagi mengadakan pelbagai program yang berkaitan dengan penagihan dadah. Antara program yang boleh dijalankan adalah Ceramah Antidadah. Program ini biasanya mendapat kerjasama dengan AADK. Tujuan program ceramah ini dianjurkan adalah untuk memberi pendedahan kepada warga sekolah tentang kepelbagaian dadah, kesan penyalahgunaan dadah serta cara mengatasinya. Program lain yang boleh dijalankan lagi adalah seperti pertandingan melukis poster, pembinaan blog, menulis esei, pameran dan sebagainya yang berkaitan dengan antidadah. Selain daripada itu, ujian air kencing (urine test) juga boleh dilaksanakan seiring dengan program lain sebagai langkah awal mengesan pelajar-pelajar yang terlibat dengan dadah. Pihak sekolah juga boleh mengadakan aktiviti kokurikulum seperti perkhemahan motivasi dan lain-lain pada setiap hujung minggu. Melalui cara ini, pelajar berpeluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang lebih berfaedah. Penerapan pengetahuan tentang dadah juga boleh diperkukuhkan melalui Elemen Merentas Kurikulum. "Elemen Merentas Kurikulum (EMK) ialah unsur nilai tambah yang diterapkan dalam proses PdP selain yang ditetapkan dalam Standard Kandungan" (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2017. Ms 37). Ini bermakna, ilmu tentang penyalahgunaan dadah ini bukan berada di mata pelajaran sivik kewarganegaraan sahaja, malah ia berada di semua mata pelajaran. Jelaslah bahawa, institusi sekolah berupaya mencegah penyalahgunaan dadah sejak usia remaja lagi.

Gambar 6: Program Pendidikan Antidadah di SMK Bongawan

Sumber: Facebook Rasmi AADK Beaufort Sabah, 2018

4.0       PENUTUP

Secara keseluruhannya dapat disimpulkan bahawa dadah merupakan satu bahan yang berupaya memberi kesan sampingan yang memudaratkan kesihatan manusia dari aspek fizikal, mental dan tingkah laku jika disalahgunakan secara berlarutan. Antara contoh dadah adalah ganja, heroin dan marijuana dan sebagainya. Penduduk di Bongawan hampir saban tahun menghadapi masalah penyalahgunaan bahan terutama dalam kalangan belia dan remaja. Antara faktor yang menyebabkan mereka terjerumus dalam kancah dadah ini adalah faktor persekitaran yang negatif di kawasan Bongawan. Selain itu bekalan dadah juga mudah diperoleh kerana kawasannya yang jauh dari pusat bandar telah membuka peluang kepada para pengedar dadah kerana pihak berkuasa jarang membuat rondaan di kawasan ini. Rakan sebaya juga menjadi faktor penglibatan remaja dan belia dalam najis dadah. Hal tersebut sangat mebimbangkan kerana mendatangkan kesan lain yang jauh lebih parah. Antara kesan tersebut ialah wujudnya kes jenayah yang lebih berat, masalah kesihatan dan perpecahan masyarakat. Oleh hal yang demikian, semua pihak hendaklah berganding bahu dan mengatur strategi dengan lebih efisen bagi mengatasi masalah ini yang juga dianggap musuh utama negara. Masyarakat juga perlu insaf bahawa masalah dadah boleh membebankan keluarga dan masyarakat. Hal ini harus segera dilaksanakan bagi mencapai hasrat negara bebas dadah menjelang tahun 2025. 

RUJUKAN

Agensi Antidadah Kebangsaan. (2018). Program Pendidikan Antidadah di SMK Bongawan. Facebook Rasmi AADK Beaufort. https://www.facebook.com/media/set/?set=a.472162166540175&type=3

Agensi Antidadah Kebangsaan. (2021). Statistik Dadah. Kementerian Dalam Negeri. https://www.adk.gov.my/category/statistik-dadah/

Agensi Antidadah Kebangsaan. (2021). Soalan Lazim: Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN). Kementerian Dalam Negeri. https://www.adk.gov.my/soalan-lazim-pusat-pemulihan-penagihan-narkotik-puspen/

Amer Fawwaz Mohamad Yasid, Noraini Zulkifli, & Sofian Kamaruddin. (2021). Penyeludupan Dadah Dari Kawasan Segi Tiga Emas Thailand Serta Kesan Terhadap Keselamatan Sosial Negara Malaysia. Jurnal Dunia Pengurusan3(3), 41-54.


BERNAMA. (2021). Dadah Pun Naik Harga. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/02/671548/dadah-pun-naik-hargametrotv

Jabatan Perlindungan Data Peribadi. (2021). Akta Dadah Berbahaya 1952https://www.pdp.gov.my/jpdpv2/akta_akta/akta-dadah-berbahaya-1952/?lang=en


Juwan Riduan. (2020). Polis Tahan Tiga Penagih Dadah. Berita Harian Online. https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/10/740741/polis-tahan-tiga-penagih-dadah

Juwan Riduan. (2021). Empat Pengedar Dadah Ditahan. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/11/775001/empat-pengedar-dadah-ditahan


Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. (2017). Dadah. Dewan Bahasa dan Pustaka. https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=dadah

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. (2017). Masyarakat. Dewan Bahasa dan Pustaka. https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=masyarakat


Kementerian Kesihatan Malaysia. (2022). Penyalahgunaan dadah. KKM. http://www.myhealth.gov.my/penyalahgunaan-dadah/

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2017). Buku Penerangan Standard Sekolah Rendah (Semakan 2017). Bahagian Pembangunan Kurikulum. http://ppdmukah.com/images/pdf/Buku-Penerangan-KSSR-Semakan-2017.pdf


Mamiek Nur Utami, Fadli Ardi, Muhammad Wildan Ma, Aditya Dwi Saputro, R. Roro Astrid Utari Ap. (2014). Kajian Sustainable Material Bambu, Batu, Ijuk dan Kayu pada Bangunan Rumah Adat Kampung Naga. Institut Teknologi Nasional. Diperolehi daripada https://media.neliti.com/media/publications/221085-kajian-sustainable-material-bambu-batu-i.pdf.

Nazri Daud, & Wan Anor Bin Wan Sulaiman. (2021). Kurang Celik Akal Pencetus Kepada Penagihan Dadah dalam kalangan Remaja. Asian Social Work Journal (ASWJ)6(5), 42-55. https://media.neliti.com/media/publications/372288-none-78168854.pdf


Norhayati Ibrahim, Rozmi Ismail, Noh Amit, Noordeyana Tambi, Mohd Nasir Selamat, Muhammad Ajib Abd Razak, Nor Azri Ahmad, & Nurul Shafini Shafurdin. (2018). Perbandingan Tahap Pengetahuan, Sikap Dan Kesan Dadah Dalam Kalangan Remaja Sekolah Berisiko. Jurnal Psikologi Malaysia38(2), 1-11. http://journalarticle.ukm.my/14937/1/394-1557-1-SM.pdf

Norliah binti Sajuri. (2021). Gejala Penyalahgunaan Dadah Jenis Syabu Dan Jenis-Jenis Dadah Baru Yang Lain. Jurnal Penyelidikan Islam, 1-11. https://myjurnal.mohe.gov.my/filebank/published_article/33927/Article_1.PDF


Normadiana Binti Mohammad Hanapi, Norizah Bt Omar, Mohammad Mokhtar B Samat,, & Mohd Mawardi B Mohd Kamal. (2021). Gejala Sosial Di Kalangan Mahasiswa Universiti. Journal for Social Sciences24(3), 38-46. https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/56979/1/56979.pdf

Normadiniatul Shida Bt Mohd Haidin. (2017). Cabaran Menangani Masalah Pergaulan Bebas Remaja. Kementerian Kesihatan Malaysia. http://www.myhealth.gov.my/cabaran-dalam-menangani-masalah-pergaulan-bebas-di-kalangan-remaja-sekolah/


Pihak Berkuasa Tempatan (2010) Jumlah Penduduk Mengikut Kumpulan Etnik, Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan Dan Negeri, Malaysia, 2010. Diperolehi daripada https://web.archive.org/web/20120227090315/http://www.statistics.gov.my/portal/download_Population/files/population/04Jadual_PBT_negeri/PBT_Sabah.pdf.

Suraidah Roslan. (2022). 10 Peratus Penagih Dadah Punya Masalah Kesihatan Mental. Utusan Borneo. https://www.utusan.com.my/nasional/2022/04/10-peratus-penagih-dadah-punya-masalah-kesihatan-mental/


Sutekno Ahmad Belon. (2022). Dadah Sintetik Beri Cabaran Lebih Besar, Dorong Jenayah Berat. Berita Harian. https://origin.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/03/930715/dadah-sintetik-beri-cabaran-lebih-besar-dorong-jenayah-berat

Vivi Olviana Najurus. (2019). Dua Pelajar Sekolah Antara 866 Pesalah Dadah Ditahan di Papar. Utusan Borneo. https://www.utusanborneo.com.my/2019/10/10/dua-pelajar-sekolah-antara-866-pesalah-dadah-ditahan-di-papar


DISEDIAKAN OLEH:

NAMA: HONEY FILZA RAIHANA BINTI CLARENCE

NOMBOR MATRIK: D20201094324

HGM3033 – KUMPULAN B


 


Virus-free. www.avast.com

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...