1.0 PENGENALAN ISU
Kawasan pantai merupakan suatu kawasan yang menjadi tumpuan setempat mahupun pengunjung diluar kawasan ke suatu tempat dan ianya merupakan lokasi yang berpotensi besar untuk dibangunkan dari sudut sektor perlancongan dan pembandaran serta pusat perkhidmatan kerajaan. Kebanyakan bandar-bandar utama di Malaysia sememangnya merupakan kawasan pinggir pantai atau berdekatan laut. Contohnya bandar Kuala Terengganu, Kuantan, Kota Kinabalu, Kota Bharu dan sudah tentu contoh lain seperti di Kuala Dungun yang menjadi lokasi kepada kawasan kajian saya iaitu Pantai Teluk Lipat. Dungun mempunyai 3 bandar/pekan utama iaitu Kuala Paka, Bandar Bukit Besi (kawasan Hulu Dungun) dan Kuala Dungun.
Untuk pengetahuan umum, Dungun sudah dinaiktaraf kepada status Pembandaran. Kawasan Kuala Dungun mempunyai 2 kawasan lot kedai utama yang menjadi tumpuan iaitu kawasan Kuala Dungun (Lot kedai lama/kampung Cina) dan Pusat Perniagaan Sura Gate (Lot kedai baharu) serta mempunyai beberapa kawasan pantai utama iaitu Pantai Teluk Lipat, Pantai Sura dan Pantai Teluk Gadung tetapi pembahagian sempadan antara 3 pantai ini biasanya dapat dikenalpasti oleh penduduk setempat sahaja manakala penduduk dari luar lebih kenali sepanjang garisan pantai kuala Dungun ini adalah Pantai Teluk Lipat semata-mata. Maka saya memilih untuk membuat tajuk isu hakisan pantai di pantai Teluk Lipat yang merupakan berdekatan kampung saya dan kerana pantai ini menjadi salah satu dari senarai 8 pantai di Terengganu dikategorikan kritikal akibat hakisan. (Sinar Harian, 2021)
Isu hakisan ini sebenarnya berlarutan hampir lebih 1 dekad yakni hampir 11 tahun iaitu satu tempoh fasa yang pantai Teluk Lipat menghadapi hakisan yang ganas. Isu ini menerima liputan meluas dari media massa dan juga perhatian dari pihak kerajaan namun sehingga sekarang masih belum wujud satu mekanisme yang holistik dan kaedah konservasi pantai yang menyeluruh yang mampu membendung hakisan daripada berterusan yang diaplikasikan di sini. Isu ini memang merunsingkan pelbagai pihak sekitar khususnya pemegang taruh di kawasan ini iaitu pemilik bangunan, rumah, resort di pantai ini selain itu juga ianya menjadi perhatian kerajaan kerana kawasan Terengganu sebelum ini dan hingga masih hari ini pun terkenal dengan kecantikan pantai, pulau dan sinonim dengan keropok lekor yang dihasilkan dengan ikan laut segar dari nelayan setempat. Oleh itu, "jenama" Terengganu tersebut wajar dikekalkan maka perlulah usaha yang efektif dijalankan dalam memastikan "produk" tersebut dapat diteruskan. Setakat ini dahulu saya membuka pengenalan isu sebelum kepada subtopik yang lebih terperinci segi punca masalah, kesan dan cadangan penyelesaian dari sudut pendapat peribadi saya untuk melengkapkan laporan individu ini.
2.0 PUNCA HAKISAN PANTAI TELUK LIPAT, DUNGUN
Seperti sedia maklum, kawasan Pantai Teluk Lipat yang dikaji ini terletak di pantai timur semenanjung Malaysia. Jika diikuti perkembangan semasa, banyak pantai lain di sekitar pantai timur menerima nasib dan juga punca yang serupa sepertimana yang berlaku di Kelantan dan juga di Terengganu seperti pantai sekitar Marang dan Kuala Nerus. Antara puncanya ialah monsun Timur Laut dan juga kesan perubahan iklim dengan peningkatan paras air laut dunia akibat fenomena pemanasan global yang telah meningkatkan paras laut ekoran kecairan ais di kawasan kutub.selain banyak lagi punca-punca lain.
Kejadian monsun timur laut menjadi punca utama kepada hakisan dan kemerosotoan pantai di Teluk Lipat. Luruan monsun terjadi dengan kehadiran hujan lebat secara berterusan selama beberapa hari terutama di Pantai Timur bermula bulan November hingga Mac setiap tahun (TSIS, 2021). Oleh itu, kejadian fenomena alam tersebut menghasilkan fenomena air pasang dan serta air kencang yang menghasilkan ombak yang besar berlaku setinggi 4 meter sekaligus mengakis kawasan pesisir pantai Teluk Lipat dan secara keseluruhan sepanjang 244 kilometer (km) garisan pantai Terengganu terhakis sejak puluhan tahun lalu (Kosmo, 2021). Punca ini dapat disahkan oleh ADUN Sura sendiri iaitu Wan Hapandi Wan Nik yang hakisan menjadi lebih teruk setiap kali musim tengkujuh menjadi kerusingan penduduk setempat (Sinar Harian, 2020). Berdasarkan pengalaman saya sendiri, pada musim tengkujuh ketika waktu siang kita melihat ketinggian ombak itu agak biasa tetapi apabila maghrib menjelang tiba dan waktu malam/awal pagi khususnya ketinggian ombak berubah ke paras luar biasa hingga ke paras yang mampu menghempas atas jalanraya di sekitar pantai.
Rajah 1: Gambar ketinggian ombak di Teluk Lipat pada musim tengkujuh
(Sumber: Bernama)
3.0 KESAN HAKISAN PANTAI TELUK LIPAT, DUNGUN
Impak dan kesan yang diterima akibat hakisan pantai Teluk Lipat bukanlah suatu yang dapat dipandang enteng dan murah. Hal ini kerana paling ketara adalah apabila melibatkan perubahan muka bentuk fizikal pantai di samping menyebabkan kemusnahan insfrastruktur awam dan harta persendirian yang mengakibatkan menelan kos berjuta-juta ringgit. Antara kesannya iaitu infrastruktur awam seperti pondok rehat, taman permainan, laluan jalan kaki serta jalan raya pinggir pantai musnah. Harta benda dan aset persendirian juga turut terancam dan musnah seperti resort, perumahan serta lot-lot kedai. Selain itu juga, tambakan pasir yang dibuat hampir setiap tahun sentiasa musnah menjelang musim tengkujuh serta hakisan pantai di Teluk Lipat juga telah merosakkan permandangan pantai sebenar sehingga menjejaskan sektor ekonomi dan perlancongan setempat.
3.1 Kemusnahan Infrastruktur Awam Dan Persendirian
Untuk imbas sekali, isu hakisan ini ini menjadi kritikal sejak 10 tahun lepas dan sebelum itu bukanlah bermakna tidak wujud hakisan dan perubahan bentuk muka bumi pantai kerana jika dibandingkan jarak pantai 10 tahun lepas dengan tahun 70an memang jauh beza jaraknya apatah lagi jika dibandingkan jarak dari jalan pantai dengan tahun 70an. Kemusnahan infrastruktur yang saya rangkumkan ini hanyalah berdasarkan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini sahaja.
Contoh infrastruktur awam yang paling kerap musnah akibat hakisan ini adalah jalan raya pinggir pantai. Hampir setiap tahun pasti ada bahagian jalan yang terputus dan runtuh. Penduduk setempat juga terpaksa menggunakan laluan alternatif untuk dapat menghala ke seberang jalan yang memakan masa sedikit kerana perlu masuk ke jalan bahagian dalam kampung. Tiap kali musnah pasti akan dibaik pulih dan dibina baru, dan scenario ini akan berterusan hampir tiap tahun ianya bagi saya suatu perkara yang agak kurang sihat kerana ianya melibatkan wang peruntukan yang besar untuk baiki mungkin bernilai hampir jutaan ringgit dikeluarkan untuk pembaikian jalan walhal kita sedar bahawa berdasarkan pengalaman sedia ada tiap kali musim tengkujuh pasti akan musnah kembali. Dalam memastikan perkara ini tidak berlarutan dan habiskan wang rakyat sebaiknya kerja-kerja konservasi ini mempunyai pelan strategik dalam jangka masa panjang berbanding buat tiap tahun memakan jutaan ringgit dan bagi saya situasi ini akan menguntungkan pemilik tender kerja-kerja pembaikian tersebut. Antara jalan raya "hotspot" iaitu kira-kira 300 meter jalan raya runtuh berulang kali di Kampung Pantai Teluk Lipat, Dungun yang terletak di hadapan Mayang Sari Resort (Berita RTM, 2020).
Rajah 2: Jalan runtuh dan laluan terputus di Pantai Teluk Lipat serta kemusnahan kawasan pajakan Mayang Sari Resort pada tahun 2020
(Sumber: Berita RTM)
Contoh aset peribadi musnah ialah insfrastruktur resort musnah seperti apa yang berlaku pada Mayang Sari Resort dimana dihadapan resort dipajaknya kawasan pantai dihadapan resort untuk kawasan rekreasi bagi kegunaan pengunjung resort. Contoh aktiviti di kawasan pajakan yang telah musnah itu seperti gelanggang bola tampar pantai, spider web, dan pelbagai lagi. Pada hari ini, kawasan pajakan tersebut telah musnah ke dalam laut, sekaligus menjejaskan pendapatan resort sendiri apabila menerima kurang pengunjung dari luar negara mahupun dalam negara. Pada pengalaman peribadi, dahulu di Mayang Sari sering menjadi tumpuan tempat penginapan oleh pengunjung luar negara khususnya Eropah dan USA apabila mudah kita dapat lihat kelibatnya di sekitar pantai berbasikal dan beriadah dan kini amat susah nak melihat kehadiran mereka ke sini.
3.2 Tambakan Pasir Yang Tidak Bertahan Lama
Pihak kerajaan selama ini telahpun mengerakkan kerja-kerja baikpulih kawasan pantai contohnya dengan tambakan pasir semula di bahagian terjejas. Pasir tambakan ini merupakan hasil pasir yang dilombong/ disedut di muka sungai Kuala Dungun menggunakan beberapa kapal korek pasir. Seperti dimaklumkan sebentar tadi, tiap tahun pasti akan ada jalan raya musnah maka tambakan pasir ini akan dilakukan terlebih dahulu di kawasan tersebut untuk pemampatan tanah dan kebiasaanya kawasan yang ditambak pasir ini adalah di kawasan yang tiada benteng konkrit/batu lapis lindung. Namun begitu, tambakan pasir ini boleh dianggap membazir dan sia-sia kerana terbukti ianya tidak bertahan lama dan akan musnah ditelan ombak semasa musim tengkujuh.
3.3 Menjejaskan Pemandangan, Bentuk Fizikal, Fungsi Kawasan Pantai
Kawasan pantai Teluk Lipat selepas hakisan berlaku telah berubah 360 darjah apabila kawasan pantai yang terkenal dengan pantai yang landai dan indah sehingga pernah menjadi salah satu produk perlancongan negeri Terengganu kepada kawasan pantai penuh dengan hakisan sana sini dan berbatu konkrit sana sini. Ini merupakan satu perkembangan yang agak mendukacita kepada penduduk setempat yang terlibat dengan sektor perlancongan dan ekonomi perikanan misalnya dan juga impak besar juga kepada kerajaan negeri kerana kehilangan salah satu eko-pelancongan ulung serta terpaksa mengeluar belanja peruntukan berjuta-juta samada menggunakan duit kerajaan negeri mahupun meminta peruntukan dari kerajaan persekutuan untuk kerja-kerja konservasi.
Perlancongan di Kuala Dungun kini tidak serancak seperti dahulu akan tetapi masih ada kawasan pantai di Dungun yang masih menerima keistimewaan muka bentuk bumi pantai yang cantik dan limpahan ekonomi seperti Pantai Tanjung Jara. Di pantai Teluk Lipat dahulu kita dapat lihat pelbagai aktiviti dijalankan, selain perkelahan seisi keluarga di waktu petang , para nelayan juga dapat melabuhkan bot-bot ikan mereka di pinggir pantai kerana masih landai. Kini itu semua tiada lagi, sudah tidak selamat para keluarga untuk berkelah dan memancing kerana tiada lagi kawasan landai dan ombak perlahan. Nelayan juga terpaksa berlabuh dan memunggah hasil laut mereka di jeti Sungai Kuala Dungun sahaja.
4.0 CADANGAN PENYELESAIAN MEMINIMAKAN KEROSAKAN PANTAI TELUK LIPAT
Walau bagaimanapun selagi ianya faktor fenomena alam semulajadi memain peranan utama dalam isu ini maka tidak mungkin kita mampu elak daripada ianya berlaku akan tetapi kita mampu mengurangkan impaknya dengan adanya kemajuan teknologi hasil ilmu dan akal yang ada melalui solusi yang mampan.
Oleh itu, cadangan dan solusi yang saya fikirkan dapat mengurangkan impak hakisan pantai ini bukan sahaja bertujuan mengekalkan jarak garisan pantai yang sedia ada dalam membendung ombak tetapi dalam masa yang sama kita mampu mengekalkan pemandangan pantai yang sebenar yang bersifat pasir landai. Pada perspektif saya, definisi pantai yang sebenar dan indah itu adalah kawasan pantai yang berpasir dan landai serta menerima ombak yang rendah seperti di pulau dan bukannya pantai yang di pinggirnya hanya berbatu buatan dan berkonkrit bagai jeti sebagaimana dengan kerja-kerja konservasi semasa ini dengan dibinanya lapis lindung batu (rock revetment) di beberapa bahagian di sepanjang pantai Teluk Lipat.
Cadangan solusi saya disini ialah pembinaan benteng pemecah ombak di tengah laut. Benteng pemecah ombak pada konteks sekarang ini bukan merujuk kepada Lapis lindung batu (rock revetment) iaitu struktur daratan dengan fungsi utama melindungi garis pantai daripada hakisan yang telah dibina kira-kira 4 buah hingga hari ini. Struktur ini terlentur dan mempunyai perisai batuan atau konkrit blok tuang. Oleh itu, ia merupakan struktur yang agak ringan dan amat sesuai dengan lokasi yang bebas daripada serangan ombak besar (TSIS, 2021). Ini jelas bahawa pembinaan lapis lindung ini amat tidak efektif di buat untuk pantai Teluk Lipat kerana disini mempunyai garisan pantai yang panjang dan hampir sepanjang pantai menerima hempasan ombak yang kuat. Oleh itu benteng pemecah ombak lapis lindung batu (rock revetment) seperti dibina pada hari ini yang dibina bermula di pinggir pantai hingga membentuk tanjung buatan dan menghasilkan secara tidak langsung teluk buatan di tepinya telah mendedahkan hakisan pula di bahagian tepinya (teluk buatan). Tanpa dinafikan bahawa rock revetment juga salah satu solusi dalam isu hakisan ini dan telahpun diaplikasikan tetapi jelas ini tidak sesuai dan efektif di Teluk Lipat disebabkan faktor yang saya nyatakan sebentar tadi.
Rajah 3: Contoh situasi pembinaan lapis lindung bumi (Rock revetment) yang membentuk tanjung dan menghasilkan teluk buatan yang masih terdedah dengan hakisan.
(Sumber: Blogspot)
Pembinaan benteng pemecah ombak (breakwater) merupakan tembok yang dibina bagi bertujuan mengurangkan kelajuan ombak sebelum sampai ke gigi pantai. Di samping itu, breakwater juga dapat mengurangkan tenaga dan impak ombak di kawasan belakang pembinaan struktur dimana ianya dapat mewujudkan keadaan air yang tenang sekali gus proses pemendapan dalam mengurangkan hakisan tebing pantai di sepanjang pesisir pantai dapat dibentuk dan bertahan dalam tempoh jangka masa yang lebih lama (TSIS, 2021). Sehubungan itu, amat wujud keperluan tinggi dalam membina benteng pemecah ombak melebihi keperluan rock revetment yang bersifat sementara di kawasan yang kritikal dengan hakisan di sekitar pantai Terengganu secara umumnya.
Rajah 4 : Gambar teori bagaimana breakwater dapat mengurangkan tenaga ombak
(Gambar: Google Image)
Pembinaan benteng pemecah ombak (Breakwater) mungkin menelan belanja jauh lebih besar berbanding pembinaan benteng Lapis lindung batu (rock revetment), tetapi kita perlu melihat segi keberkesanan dalam jangka masa panjang dengan mengambil contoh-contoh kejayaan lokasi-lokasi lain yang membina benteng pemecah ombak seperti di Pulau Kekabu, Marang yang telah berjaya dalam mengurangkan hakisan pantai hingga bukan sahaja berjaya menghasilkan ombak yang perlahan tetapi berjaya menarik tumpuan pelancong untuk ke sana. Penduduk setempat juga beriadah dengan selesa dan selamat bersama keluarga. Antara contoh lokasi lain ialah tembok atau benteng pemecah laut (Breakwater) di Pelabuhan Kerteh misalnya. Sesuai dengan perkembangan teknologi kejuruteraan masa kini, Breakwater kini mempunyai banyak bentuk dan struktur seperti breakwater yang seperti di Pulau Kekabu dan ada juga Breakwater di tengah laut yang bersifat kekal dan juga yang jenis terapung yang jauh lebih murah. Kebiasaan pelabuhan akan dibina breakwater demi kemudahan kapal melabuh.
Rajah 5 : Gambar Benteng Pemecah Ombak Tengah Laut (Breakwater) di Pulau Kekabu, Marang, Terengganu
(Sumber: Google Image)
Untuk rujukan, pada tahun 2020 selepas kejadian jalan runtuh di berdekatan Mayang Sari Resort, kerajaan persekutuan melalui Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man umumkan bahawa kementeriannya menerusi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) akan melaksanakan pembinaan benteng penahan ombak sepanjang lebih 4 kilometer di sepanjang pantai berkenaan. Fasa pertama membabitkan kerja pembinaan benteng penahan ombak dan membina semula jalan yang runtuh serta fasa ini dijangka siap pada tahun 2022 dan menelan kos keseluruhan dianggarkan RM80 juta (Berita RTM, 2020). Akan tetapi setakat hari ini, saya melihat ianya lebih kepada kerja-kerja pembinaan rock revetment dan bukannya pemecah ombak di tengah laut (Breakwater) namun saya tidak nafikan bahawa rock revetment juga salah satu solusi dalam isu hakisan pantai cuma saya melihatnya kurang sesuai untuk diterapkan di sini.
Rajah 5: Antara solusi sementara mengelak daripada jalan runtuh iaitu menghimpunkan guni pasir sebagai penampan ombak di Teluk Lipat pada tahun 2011.
( Sumber: Malaysia Today Net )
5.0 PENUTUP
Isu hakisan pantai ini sebenarnya suatu isu yang perlu sama-sama fikirkan solusi jangka masa panjang dalam memastikan tindakan yang dibuat itu merupakan tindakan yang proaktif. Oleh sebab itu pentingnya pendidikan Geografi buat masyarakat umum kerana subjek ini bukan sahaja sekadar ada tempat di kertas peperiksaan SPM semata-mata tetapi ianya lebih bersifat realistik dan ada dalam kehidupan seharian kita. Setiap pemimpin kita khususnya perlu mempunyai kesedaran ini dan ambil peranan penting dalam isu kenaikan paras air laut dan perubahan iklim sebagaimana pemimpin di barat lebih proaktif berkenaan isu perubahan iklim. Dengan kemandirian teknologi dan kepakaran yang ada pada negara kita hari ini sudah tentu dapat kita memanifestasikan dan aplikasikan seperti negara Belanda berjaya meminimakan impak kenaikan paras air laut di negara mereka walaupun faktanya bahawa negara mereka adalah antara negara di bawah paras air laut. Akhir kata, setiap projek konservasi perlu difikirkan pelaburan dalam masa panjang dan tidak perlu lakukan projek sia-sia berulang kali dalam masa singkat dengan belanja yang hampir sama jika dibuat pelan jangka masa panjang.
RUJUKAN
Jurnal
Williams, A. T., Rangel-Buitrago, N., Pranzini, E., & Anfuso, G. (2018). The management of coastal erosion. Ocean & Coastal Management, 156, 4–20. Diperolehi daripada https://doi.org/10.1016/j.ocecoaman.2017.03.022
Zhang, K., Douglas, B. C., & Leatherman, S. P. (2004). Global Warming and Coastal Erosion. Climatic Change, 64(1/2), 41–58. Diperolehi daripada https://doi.org/10.1023/b:clim.0000024690.32682.48
Laporan/Majalah
Nor Suzana (2021, Mac 9) Faktor dan Mitigasi Hakisan Pantai di Terengganu. PERSPEKTIF, Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Akhbar Digital
Berita RTM. (2020, Julai 7). Projek bina benteng penahan ombak Pantai Teluk Lipat bermula Oktober. Diperolehi daripada https://berita.rtm.gov.my/index.php/semasa/19886-projek-bina-benteng-penahan-ombak-pantai-teluk-lipat-bermula-oktober
BERNAMA. (2020). Peruntukan RM57 juta untuk atasi hakisan Pantai Teluk Lipat. Diperolehi daripada https://www.bernama.com/bm/news.php?id=1904160
KOSMO. (2021, January 21). Ancaman hakisan pantai Terengganu. Diperolehi daripada https://www.kosmo.com.my/2021/01/21/ancaman-hakisan-pantai-terengganu/
MSTAR. (2011, Disember 26). Pantai Teluk Lipat, Dungun Dilanda Hakisan Teruk. Diperolehi daripada https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2011/12/27/pantai-teluk-lipat-dungun-dilanda-hakisan-teruk
Sinar Harian. (2020, February 12). Jangan sampai hakisan "telan" Pantai Teluk Lipat!. Diperolehi daripada https://www.sinarharian.com.my/article/69742/EDISI/Terengganu/Jangan-sampai-hakisan-telan-Pantai-Teluk-Lipat!
Sinar Harian. (2021, April 5). Lapan pantai di Terengganu dikategorikan kritikal akibat hakisan. Diperolehi daripada https://www.sinarharian.com.my/article/132001/LAPORAN-KHAS/Lapan-pantai-di-Terengganu-dikategorikan-kritikal-akibat-hakisan
Utusan Malaysia (2020, Disember 7). Hakisan pantai di Teluk Lipat, Teluk Gadung makin meruncing. Diperolehi daripada https://www.utusan.com.my/nasional/2020/12/hakisan-pantai-di-teluk-lipat-teluk-gadung-makin-meruncing/
NAMA : MUHAMMAD BURHAN SYAKIRIN BIN ZAKARIA
NO MATRIK: D20192091259
KUMPULAN KELAS : B
No comments:
Post a Comment