Wednesday, June 15, 2022

PENCEMARAN BAU MENGANGGU KETENTERAMAN PENDUDUK DI KAMPUNG ANA, TUMPAT, KELANTAN.

PENCEMARAN BAU MENGANGGU KETENTERAMAN PENDUDUK DI KAMPUNG ANA, TUMPAT, KELANTAN.

1.0 PENGENALAN

Kampung Ana merupakan sebuah kampung yang terletak di Tumpat, dalam Kelantan, iaitu sebuah negeri di Malaysia. Kebanyakan penduduk di kampung Ana terdiri daripada kaum Melayu dan sebahagiannya adalah kaum Siam. Isu yang terdapat di kampung Ana, Tumpat, Kelantan adalah isu pembuangan sampah sarap di merata-rata tempat sehingga menganggu ketenteraman penduduk dengan bau-bau busuk yang berpunca daripada sampah yang dibuang di merata-rata tempat.  Pembuangan sampah sarap di merata-rata tempat menyebabkan terhasil bau-bau yang busuk sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran bau.  Bau merupakan sebahagian elemen alam sekitar yang boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada manusia. Bau boleh dinyatakan sebagai sesuatu yang tidak selesa, tidak menyenangkan dan memberi kesan psikologi kepada individu atau penerima sensitif. Pencemaran bau boleh menyebabkan seseorang individu berada dalam keadaan yang tidak selesa dan boleh memudaratkan kesihatan manusia. Bau yang datang dari tempat pembuangan sampah bukan sahaja memberi kesan kepada manusia (Casey et al. 2008), tetapi turut mengundang bencana kepada persekitaran fizikal lain. Ini kerana kehadiran bau merupakan indikator bagi wujudnya gas daripada longgokan sisa sampah tersebut.  Kini, isu dan masalah pencemaran bau merupakan antara isu alam sekitar yang mendapat perhatian ramai. Pencemaran bau terjadi melalui keadaan udara yang dicemari oleh bahan pencemar yang melepaskan gas berbau busuk yang boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk yang tinggal di sekitar. Pencemaran bau merupakan satu masalah alam sekitar yang boleh menganggu kesejahteraan penduduk. Impak pencemaran bau yang berterusan atau berpanjangan boleh menganggu rutin kehidupan manusia. Rasa terganggu dan tidak selesa dengan persekitaran sedia ada boleh menyebabkan penduduk merasa tertekan dan mengalami perubahan dalam rutin harian. Pencemaran bau juga boleh memberi kesan ke atas kesihatan, psikologi dan fisiologi penduduk.

 

  1. PUNCA PENCEMARAN BAU

Pencemaran bau yang berlaku di kampung Ana, Tumpat, Kelantan adalah berpunca daripada sikap penduduk sendiri yang tidak bertanggungjawab iaitu mengambil jalan yang mudah dengan membuang sampah di merata-rata tempat seperti membuang sampah di sepanjang jalan raya. Jika kita seorang manusia yang normal dan berfikir secara waras, pastinya kita tidak akan membuang sampah-sarap sewenang-wenangnya di merata-rata tempat. Perkara ini biasanya berlaku di kalangan penduduk dengan taraf hidup yang rendah. Masalah pembuangan sampah di merata-rata tempat juga berpunca daripada sikap penduduk yang mementingkan diri sendiri. Terdapat segelintir penduduk sekitar yang membuang sampah sarap dengan mengambil jalan mudah dengan hanya melontar atau membuang sampah di tepi tong dan bukannya ke dalam tong yang telah disediakan. Kesannya, tempat atau tong untuk membuang sampah itu kosong tetapi sampah-sarap di sekelilingnya bertaburan dan jelas menampakkan ia lama tidak dikutip. Sikap ini yang menjadikan sampah-sarap tersebut bertaburan dan menjadikannya lebih teruk lagi apabila pihak yang mengutip sampah itu hanya mengangkat sampah yang berada di dalam tong tetapi di luar tong, terus dibiarkan begitu sahaja. Lama kelamaan sisa sampah sarap tersebut akan mula membusuk seterusnya menghasilkan pencemaran bau.

                                           

             Rajah 1: Tong yang disediakan untuk membuang sampah sarap kosong.

             Sumber: Kajian lapangan, 2022

 

Pemungutan dan pengendalian sampah sarap yang tidak mengikut jadual juga merupakan antara punca pencemaran bau. Masalah timbunan sampah sarap juga berlaku kerana pihak berkuasa tidak bertanggungjawab ke atas jadual pungutan sampah. Pihak yang berkenaan tidak memunggut sampah sarap seperti yang dijadualkan. Ini menyebabkan banyak timbunan sampah sarap. Sekiranya sampah dipungut mengikut jadual, masalah lambakan dan timbunan sampah-sarap di kawasan membuang sampah akan berkurangan. Lambakan dan timbunan sampah sarap ini telah menjadi tempat pembiakan nyamuk, lalat dan tikus yang boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit kepada manusia. Kawasan pembuangan sampah sarap ini juga menjadi tempat haiwan liar seperti anjing mencari sisa makanan.

                                               

                                Rajah 2: Sampah sarap yang bertaburan di sepanjang jalan.

                                Sumber: Kajian Lapangan, 2022

 

  1. MASALAH AKIBAT DARIPADA PENCEMARAN BAU

Masalah yang dihadapi oleh penduduk sekitar akibat daripada pencemaran bau adalah memberi impak kepada kesihatan penduduk sekitar. Page et al. (2008) menjelaskan masalah kesihatan yang kerap berlaku disebabkan keterdedahan kepada pencemaran bau biasanya melibatkan gangguan sistem respirasi dan penyakit kulit. Sebagai contoh, beberapa penyakit yang disebabkan oleh pencemaran bau adalah seperti selesema, pening, masalah kulit, pernafasan dan hilang deria bau. Selain itu, masalah sakit kepala juga merupakan gangguan kesihatan yang disebabkan oleh pencemaran bau. Penduduk sekitar juga menerima impak negatif seperti gangguan kesihatan seperti sukar bernafas dan rasa loya untuk makan. Mereka akan hilang selera makan dan sering rasa mual.  Ini akan menganggu rutin harian penduduk

Selain impak ke atas kesihatan penduduk, pencemaran bau juga boleh memberi tekanan kepada penduduk sekitar khususnya masalah psikologi. Akibat dari keterdedahan dan tekanan yang berterusan, penduduk tidak boleh melakukan kerja atau aktiviti luar dan keadaan ini boleh memberi perubahan psikologi ke atas kehidupan harian mereka. Antara masalah psikologi yang dialami oleh penduduk sekitar adalah seperti masalah tertekan, murung, cepat marah, rasa tidak selesa, gangguan tidur dan penurunan prestasi kerja. Penduduk sekitar juga akan merasa tidak selesa. Menurut Nicolas et al. (2006), bau yang tidak menyenangkan boleh menyebabkan gangguan serius ke atas penerima sensitif di sekitar bau. Perubahan yang berlaku ke atas sikap dan kelakuan penduduk sekitar mungkin boleh menyebabkan masalah kesihatan mereka menjadi kronik atau terpaksa berpindah ke tempat yang lebih selesa, sama ada untuk jangka masa pendek atau secara tetap.

 

  1. CADANGAN PENYELESAIAN BAGI MENGATASI MASALAH PENCEMARAN BAU

Cadangan penyelesaian bagi mengatasi masalah pencemaran bau yang pertama adalah pihak yang bertanggungjawab perlu mengadakan kempen kesedaran kepada penduduk sekitar tentang kesan negatif pembuangan sampah sarap di merata-rata tempat. Ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada penduduk sekitar agar tidak membuang sampah di merata-rata tempat lagi. Pihak yang bertanggungjawab juga perlu memberi kesedaran kepada para penduduk agar membuang sampah dengan cara yang betul iaitu memasukkan sampah ke dalam beg plastik atau karung yang sesuai, sebelum memasukkannya ke dalam tong sampah yang telah disediakan. Penduduk juga harus diingatkan supaya membuang sampah di dalam tong sampah bukannya di luar tong sampah. Kempen kesedaran seperti ini seharusnya dilakukan berterusan dan bukannya bermusim. Penduduk juga perlu diajar supaya mengasingkan sampah dari rumah dan mengamalkan konsep 3R iaitu reuse (guna semula), reduce (pengurangan penggunaan) dan recycle (kitar semula). Penduduk diajar bahawa mereka perlu mengambil perhatian terhadap prosedur pembuangan sampah, termasuk mengasingkannya untuk dikitar semula bagi memastikan kawasan pembuangan sampah sarap tidak dibebani masalah sampah yang tidak terurus sehingga menjejaskan alam sekitar dan kualiti hidup mereka.

Selain itu, cadangan untuk mengatasi masalah pencemaran bau yang seterusnya adalah penduduk perlu mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan yang dipenuhi oleh sampah sarap akibat daripada pembuangan sampah sarap yang dibuang merata-rata. Penduduk bersama-sama mengutip sampah dan membersihkan kawasan tersebut sehingga bersih. Aktiviti gotong-royong ini perlu dilakukan selang beberapa bulan dan mengingatkan kepada semua pihak untuk bertanggungjawab memelihara alam semulajadi agar tidak terus tercemar. Ini dapat menggelakkan daripada wujudnya tempat pembiakan nyamuk aedes yang boleh mendatangkan penyakit kepada penduduk sekitar.

Di samping itu, pihak yang bertanggungjawab perlu memastikan jadual pungutan sampah adalah teratur. Pada masa yang sama, pihak yang dipertanggungjawabkan harus melaksanakan tugas pengutipan sampah agar menjalankannya mengikut standard kerja dan tempoh yang telah ditetapkan dalam perjanjian kerja. Pemungutan sampah masih juga menjadi isu kerana ia tidak dikutip mengikut jadual yang telah ditetapkan. Oleh itu, kerja-kerja pengutipan sampah harus dibuat dengan lebih kerap. Perancangan boleh dibuat untuk mengutip sampah pada setiap hari pada masa cuti tersebut dan dibuat dua kali sehari. Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memikul tanggungjawab dengan penuh dedikasi untuk menjaga tahap kebersihan di kawasan tersebut.

 

5.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, pencemaran bau merupakan salah satu komponen pencemaran yang sering mendapat perhatian media, individu, badan bukan kerajaan, negeri dan kerajaan persekutuan.  Kawasan pembuangan sampah sarap merupakan sumber utama pencemaran bau. Kelemahan pengurusan sampah sarap boleh memberi impak negatif kepada alam sekitar manusia dan alam sekitar fizikal. Punca bau busuk yang terjana daripada sampah sarap dari kawasan pembuangan sampah sarap adalah akibat pengeluaran gas ammonia (NH3) dan hidrogen sulfida (H2S) (El-Fadel et al. 1997). Masalah bau yang berpunca daripada kawasan pembuangan sampah ini telah menjadi perhatian penting  pihak  pengurusan  dan  pemberian  pelbagai  dana  penyelidikan  telah  dilakukan  bagi mencari  penyelesaian  untuk  mengurangkan  masalah  bau  dan  keperluan  bagi  menghasilkan teknologi  terkini  bagi  mencari  penyelesaian  yang  terbaik  (Defra  2007). Pencemaran bau yang semakin ketara kini memerlukan peraturan-peraturan khusus berkaitan dengan pengurusan dan tindakan yang tegas perlu dilaksanakan.

 

RUJUKAN

Casey, J.W., Sheridan, B.A., Henry, M. and  Reynolds,  K.  (2008). Effective tools for managing odours  from  landfill  facilities  in  Ireland.  Ireland:  Odours  Monitoring  Ireland.  Diperolehi daripada www.aidic.it/nose2008/webpaper/17Casey.pdf)

El-Fadel, M., Findikakis, A.N., Leckie, J.O.  (1997).  Environmental impacts of solid waste landfilling. Journal of Environmental Management 50: 1-25. Goel, N. & Lao, R.P. 2006. Sleep changes vary by odor perception in young adults. Biological Psychology 71: 341-349.

Defra.  (2007). Diperolehi daripada  http:/www.defra.gov.uk/environment/waste/strategy/cm4693/index.htm

Nicolas, J., Craffe, F., & Romain, A.C. (2006). Estimation of odor emission rate from landfill

             areas using the sniffing team method. Waste Management, 26, 1259-1269

Page, T., Narjoux, A., Guy, C., Caron, R.F., & Fecil, B. (2008). Odours and VOC impacts of three categories landfills. Chemical Engineering Transactions, 15, 135-142.

 

 

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...