TAJUK : ISU MIGRASI BERLAKU DALAM KALANGAN PENDUDUK DI KAMPUNG EGANG-EGANG, SEMPORNA, SABAH.
PENGENALAN
Migrasi merupakan pergerakan, perpindahan atau penghijrahan penduduk dari satu tempat ke satu tempat yang lain sama ada merentasi sempadan antarabangsa mahupun sempadan negeri. Penghijrahan penduduk dilihat semakin penting pada masa kini kerana ia merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi urbanisasi dan juga pembangunan sesebuah negara (Mohd Fadzil & Ishak 2007). Sejak awal tahun 2000-an proses migrasi mula berlaku di Kampung Egang-Egang disebabkan oleh beberapa faktor yang mendorong masyarakat setempat untuk mula mengambil haluan masing-masing berpindah ke tempat baharu.
Proses migrasi yang berlaku ini telah memberikan kesan yang sangat ketara kepada jumlah penduduk di kawasan itu. Kesusutan jumlah penduduk ini menyebabkan kawasan tersebut lagi sukar untuk dimajukan kerana bilangan penduduk yang terlalu rendah untuk sebuah kampung. Namun begitu, setelah 20 tahun berlalu proses memajukan kampung tersebut semakin berkembang selari dengan peredaran masa menuju kearah kemodenan. Jika pada masa dahulu penduduk di kampung ini semakin berkurang, namun kini pertambahan jumlah penduduk dapat dilihat mengalami penaikan saban tahun. Kajian ini memfokuskan dengan satu lokasi iaitu Kampung Egang-Egang, Semporna, Sabah yang terletak di pulau bum-bum yang mempunyai 52 buah kampung disekitarnya.
Rajah 1: Peta Kampung Egang-Egang, Semporna, Sabah
FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABKAN BERLAKU MIGRASI DI KAMPUNG EGANG-EGANG
Pekerjaan
Pada awal tahun 2000-an ramai penduduk kampung yang mula bermigrasi dari kampung tersebut ke kawasan lain disebabkan oleh faktor pekerjaan yang menuntut mereka untuk berhijrah dari kampung halaman ke kawasan berhampiran tempat kerja. Kedudukan kampung yang jauh dari pusat bandar meyebabkan para penduduk merasa terbeban dan kesulitan untuk terus menetap di kampung tersebut kerana kos perjalanan yang tinggi dan mengambil masa yang agak lama untuk sampai ke destinasi yang dituju. Sesetengah dari mereka telah menyandang jawatan sebagai pegawai kerajaan yang ditugaskan di tempat yang lebih jauh misalnya luar negeri. Migrasi dikatakan suatu kejayaan dalam meningkatkan tingkat pendapatan, menambah pengalaman kerja dan meningkatkan tahap kepuasan hidup seperti dapat memiliki rumah kediaman (Chamratrithirong, 2007). Hal ini telah menyisahkan penduduk kampung yang semakin berkurangan saban tahun. Penduduk kampung yang terus menetap di kampung ini adalah mereka yang bekerja sebagai nelayan dan juga petani. Mereka terus bertahan melangsungkan kehidupan dengan sumber pendapatan yang cukup dan sederhana. Kejadian ini terus berlaku sehingga pada awal tahun 2020, lebih tepatnya lagi ketika virus Covid-19 mula melanda negara ini ramai penduduk kampung telah bermigarsi keluar pulang kembali ke kampung ini.
Menyambung pelajaran
Penduduk yang melanjutkan pelajaran ke institusi yang lebih tinggi akan bermigrasi dari kampung ini. Mereka yang memilih untuk melanjutkan pengajian ke tahap yang lebih tinggi akan meninggalkan kampung halaman selama tempoh pengajian ataupun terus berlangsung sehingga ke alam pekerjaan. Kemudahan sekolah berhampiran yang tersedia hanya pada peringkat sekolah menengah kebangsaan dan juga kolej tingkatan enam yang menumpang di sekolah tersebut. Ianya telah menjadi faktor penggalak untuk penduduk kampung melakukan migrasi bagi mencapai kejayaan dan merealisasikan impian sejak dini.
Kekurangan kemudahan asas
Perjalanan dari kampung ini menuju ke pekan yang berhampiran iaitu pekan semporna memakan masa 1 jam yang menjadikannya sulit untuk dibekalkan kemudahan asas. Beberapa kemudahan asas turut disediakan di kampung ini seperti sekolah, klinik kerajaan dan balai polis yang terletak di tengah-tengah Pulau Bum-Bum. Manakala untuk bekalan elektrik, air dan internet pulak adalah pada tahap yang rendah kerana bekalan air yang sangat jarang sampai dengan purata sebulan sekali menyebabkan penduduk kampung terpaksa menggunakan inisiatif lain seperti menadah air hujan dan mengambil dari air perigi. Keadaan yang sama berlaku dengan bekalan elektrik dan internet yang akan terputus secara automatik ketika hujan deras berlaku. Keadaan ini telah membuka minda penduduk kampung untuk bermigrasi ke kawasan yang mempunyai kemudahan asas yang lebih lengkap untuk menikmati hidup yang lebih selesa.
KESAN-KESAN BERLAKUNYA MIGRASI DI KAMPUNG EGANG-EGANG
Kekurangan Jumlah Penduduk
Proses migrasi yang berlaku melibatkan penduduk di kampung ini telah memberikan kesan yang paling ketara kepada kekurangan jumlah penduduk yang berlaku. Hal ini kerana, ramai penduduk kampung yang bermigrasi ke kawasan yang memberikan jaminan kehidupan yang lebih selesa. Migrasi khususnya luar bandar ke bandar adalah menifestasi daripada kewujudan berbagai peluang di bandar sama ada dari aspek ekonomi, sosial dan fizikal kesan daripada prosesurbanisasi dan pertumbuhan bandar. Menurut Sukri Nyompa et. al (2017), dengan bertambahnya penduduk dari desa ke bandar untuk tinggal dan berkembang di kota tersebut, maka kota akan semakin padat dan desa semakin kekurangan penduduk. Jumlah penduduk dapat mencapai keseimbangan di suatu kawasan itu sekiranya proses migrasi dilakukan dengan benar, namun jika proses tersebut berlaku tanpa kawalan di situlah kesan seperti ini akan terjadi.
Melambatkan Proses Pembangunan
Keadaan yang berbeza berlaku di kawasan asal penduduk yang melakukan migrasi adalah melambatkan proses pembangunan dilakukan di kawasan itu. Di kawasan migrasi proses pembangunan lebih berkembang pesat kerana permintaan yang tinggi terhadap kemudahan asas kerana jumlah penduduknya yang tinggi (Katiman Rosman et. al, (2010). Keadaan ini berkadar songsang dengan situasi yang berlaku di kawasan asal. Hal ini kerana, kawasan itu akan menjadi tidak berpotensi untuk dimajukan kerana jumlah penduduk yang kurang tidak akan menarik perhatian golongan pemaju.
Kekurangan Tenaga Kerja
Kehidupan di bandar yang lebih selesa kerana peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan yang tinggi menyebabkan penduduk kampung bermigrasi dari kampung ke bandar. Perpindahan mereka ini telah menyebabkan kekurangan tenaga kerja berlaku di kawasan asal. Pada masa ini Malaysia sedang mengalami kadar pembandaran yang pesat. Lebih 60 peratus penduduk negara kini tinggal di kawasan bandar, iaitu petempatan yang meliputi kawasan gabungan yang diwartakan dan di diami oleh penduduk melebihi 10 000 orang (Katiman Rosman, 2016). pembaziran guna tanah berlaku di kawasan akal kerana sifat anak mudah yang tidak ingin untuk melakukan pekerjaan petani menyebabkan banyak tanah yang terbiar begitu sahaja dan akhirnya bertukar menjadi hutan.
KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, proses migrasi yang berlaku di Kampung Egang-Egang ini dilihat sangat memberikan kesan yang sangat ketara kepada apa yang berlaku di kampung itu. Faktor-faktor utama telah diulaskan beserta dengan kesan yang terjadi. Kejadian situasi bukanlah menjadi kesalahan rakyat yang bermigrasi kerana mereka juga ingin meningkatkan taraf hidup mereka. Seharusnya langkah yang perlu di ambil adalah kerjasama dari semua pihak untuk saling bertolak ansur agar proses migrasi yang berlaku di kampung itu dapat memberikan kesan positif dan bukannya kesan negatif semata-mata.
Rujukan
Mohd Fadzil Abdul Rashid & Ishak Ab Ghani. 2007. Migrasi dan kemiskinan bandar: Satu kajian literatur. Seminar Kebangsaan Pembangunan Persekitaran & Masyarakat 2007, Pulau Pinang
Chamratrithirong, A. 2007. Research on Internal Migration in Thailand: The State of Knowledge. Journal of Population and Social Studies 16(1): 1-20.
Sukri Nyompa, Noraziah Alit, Mohd Fuad Mat Jali dan Katiman Rostam. (2017). Migrasi dan Impaknya Terhadap Aspek Sosial dan Ekonomi di Bandar Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia. Jurnal Perspektif Vol. 4 No. 2 (Nov. 2012) 85-98.
Katiman Rosman. (2016). Migrasi Ke Kawasan Pinggiran Wilayah Metropolitan Lembah Klang. Akademika 68.
Katiman Rostam, Mohd Fuad Mat Jali & Aishah @ Esah Hj Mohammad. 2010. Migrasi keluar dan rebakan bandar: Bukti di pinggiran wilayah Metropolitan Lembah Klang, Malaysia. Journal of Social Sciences and Humanities 5(2): 184-198
NAMA : FAZLINAH BINTI DELTA
NO. MATRIK: D20201094300
KUMPULAN : A
No comments:
Post a Comment