Friday, June 17, 2022

KEGIATAN EKOPELANCONGAN DI DAERAH KOTA BELUD, SABAH


PENGENALAN

Ekopelancongan merujuk kepada sektor pelancongan yang berasaskan sumber dan pemeliharaan alam semula jadi seperti pantai, tasik, sungai serta flora dan fauna. Di Malaysia, kegiatan ekopelancongan adalah sangat memberangsangkan kerana keindahan alam semula jadi yang ditawarkan di negara ini. Salah satu lokasi ekopelancongan yang terkenal di Malaysia ialah Kota Belud di Sabah. Kota Belud merupakan daerah yang terletak di pantai barat Sabah. Terdapat banyak destinasi ekopelancongan yang ada di Kota Belud. Antaranya adalah Ekopelancongan Kalangadanku Kg. Nahaba, Tegudon Tourism Village, Tambatuon Eco Village, Aura Montoria Eco Edu Tourism Kg, Sayap dan Polumpong Melangkap View Campsite.

             
Rajah 1: Pemandangan atas Ekopelancongan Village Kalangadanku Kg. Nahaba

                                                                                                                
Rajah 2: Tegudon Tourism Village Kalangadanku Kg, Nahaba


Rajah 3: Eco Tourism Tambatuon Village

                         
          Rajah 4: Sungai di Aura Montoria  

                                                                                            
         
                                                                                                           Rajah 5: Pemandangan Gunung Kinabalu dari Polumpung                                                                                                                                                                                                                                  Melangkap View Campsite

Ekopelancongan merupakan salah satu cabang sektor pelancongan yang penting bagi negara pada masa kini. Tambahan pula, konsep ekopelancongan adalah bersesuaian dengan konsep pelancongan lestari. Honey (2008); Mohmadisa Hashim & Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah mengatakan bahawa pelancongan lestari bermaksud sumber-sumber pelancongan semula jadi termasuk ekopelancongan, kebudayaan dan lain-lain dipulihara supaya dapat digunakan secara berterusan pada masa hadapan tanpa menjejaskan peluang masyarakat sedia ada untuk mendapat manfaatnya. Maka, ekopelancongan adalah sejenis aktiviti pelancongan yang dapat berterusan memulihara, menyediakan pelbagai kemudahan di kawasan yang mempunyai tarikan pelancong iaitu tarikan alam sekitar semula jadi atau ekologi buatan melalui pembangunan infrastruktur fizikal dan sosial di kawasan tersebut sehingga dapat menjadi punca pendapatan yang bukan sahaja dapat menyumbang kepada pendapatan negara tetapi juga dapat meningkatkan taraf hidup penduduk setempat (Murphy, 1985). Dalam konteks ini, komuniti setempat juga harus mempunyai pengetahuan mengenai ekopelancongan supaya mereka dapat terlibat aktif dalam aktiviti di samping mempunyai kefahaman yang jelas mengenai langkah penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar serta sumber alam yang ada.

 

IMPAK KEGIATAN EKOPELANCONGAN TERHADAP SOSIOEKONOMI PENDUDUK DI DAERAH KOTA BELUD SABAH

Kegiatan ekopelancongan di daerah Kota Belud telah meningkatkan aktiviti ekonomi dalam kalangan masyarakat setempat. Pelancong yang berkunjung ke ekopelancongan ini akan dikenakan yuran pada kadar yang berlainan mengikut jenis perkhidmatan yang ditawarkan oleh ekopelancongan ini. Biasanya bayaran sebanyak RM3 – RM10. Kegiatan ekopelancongan yang ada juga menawarkan peluang pekerjaan yang luas kepada komuniti terutamanya golongan belia contohnya pemandu pelancong, "nature guide" dan artis-artis kesenian asli. Ekopelancongan desa juga dikendalikan sepenuhnya oleh komuniti yang berada di kawasan berkenaan iaitu daripada penjaga sungai hingga pemandu pelancong. Pada tahun 2018, Presiden Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA), Walter Kandayon mengatakan bahawa aktiviti ekopelancongan di Kadamaian, Kota Belud telah mengumpul pendapatan mencecah RM500,000 sejak tahun 2015. Terdapat juga komuniti yang menjalankan kegiatan lain seperti pertukangan kayu, kraf tangan dan lain-lain yang dapat memberikan pulangan yang lumayan kepada pengusaha dari kalangan penduduk sekitar.  Di samping itu, terdapat komuniti yang menyediakan perkhidmatan seperti khemah sewa, pelampung dan kereta sewa di kawasan ekopelancongan. Masyarakat juga berpeluang untuk melibatkan diri dalam mengusahakan perniagaan kecil-kecilan seperti berniaga makanan dan buah-buahan. ekopelancongan di sebuah kampung itu akan memberi kesan yang positif khususnya penduduk setempat.

            Impak positif dari aspek bukan kewangan pula adalah kegiatan ekopelancongan dapat meningkatkan kemahiran komuniti. Sebagai contoh, penglibatan komuniti sebagai pemandu pelancong, pengusaha industri desa dan penyediaan perkhidmatan pelancongan akan meningkatkan kemahiran mengurus projek, mencungkil bakat dalam kepimpinan dan memberi pengetahuan dalam menguruskan kewangan dengan cekap. Kemahiran berkomunikasi dan keyakinan diri juga dapat ditingkatkan kerana komuniti akan berhadapan dengan pelbagai pengunjung dengan latar belakang yang berlainan. Misalnya, pengunjung yang datang dari luar negara. Ekopelancongan di Kota Belud bukan sahaja menerima sambutan daripada pelancong tempatan tetapi juga pelancong dari luar negara seperti Eropah. Seterusnya, kegiatan ekopelancongan juga dapat membantu masyarakat setempat untuk mengekalkan warisan budaya dan adat resam yang diwarisi sejak sekian lama di samping turut membantu dalam mempromosikan budaya dan adat yang ada khususnya di daerah Kota Belud. Pada masa yang sama, pelancong asing juga dapat mempelajari budaya tempatan, bahasa Melayu dan bahasa ibunda serta berpeluang untuk menikmati makanan tradisional seperti hinava, kuih jala, jeruk bambangan dan banyak lagi.

                                                                       

Rajah 6: Hinava yang terdiri daripada isi ikan                                                                                                                                                    Rajah 7: Kuih jala 

Rajah 8: Jeruk bambangan

Seterusnya, kegiatan ekopelancongan juga telah menyumbang kepada peningkatan kebolehsampaian terhadap kemudahan dan infrastruktur di daerah Kota Belud. Kedatangan pengunjung yang ramai telah meningkatkan akses kepada kemudahan infrastruktur seperti jalan raya. Usaha ini dilaksanakan oleh pihak kerajaan negeri melalui majlis daerah Kota Belud. Hal ini kerana kegiatan ekopelancongan yang ada di daerah Kota Belud berpotensi untuk dikembangkan sebagai lokasi ekopelancongan bertaraf dunia seperti yang dikatakan oleh anggota Dewan Undangan Negeri Usukan Datuk Dr Salleh Said Keruak.


IMPAK KEGIATAN EKOPELANCONGAN TERHADAP PENGURUSAN ALAM SEKITAR

Kewujudan ekopelancongan ini akan dapat membantu menjaga alam semula jadi kerana konsep ekopelancongan adalah memelihara dan memulihara alam sekitar sedia ada. Kesedaran dalam kalangan komuniti dalam mengekalkan kelestarian alam sekitar juga dapat ditingkatkan untuk menjaga keindahan persekitaran semulajadi.

        Namun begitu, kegiatan ekopelancongan juga mendatangkan kesan negatif kepada alam sekitar. Hal ini berlaku apabila strategi pengurusan ekopelancongan dari segi infrastruktur, tempat dan aktiviti yang dilakukan di kawasan berkenaan tidak dirancang dengan baik. Contohnya, pembangunan infrastruktur yang berlebihan seperti membersihkan kawasan hutan. Keadaan ini akan mengancam habitat flora dan fauna serta boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh di kawasan tanah tinggi. Seterusnya menyebabkan pencemaran sungai akibat air larian permukaan yang membawa tanah dan kelodak apabila hujan turun. Masalah pencemaran sisa pepejal juga boleh berlaku apabila pengunjung yang tidak bertanggungjawab meninggalkan sampah-sarap seperti plastik sebelum meninggalkan kawasan ekopelancongan. Maka komuniti yang mengusahakan kawasan ekopelancongan perlu tegas untuk memastikan memastikan kebersihan tempat seperti memeriksa kawasan sebelum mereka pulang dan mengenakan denda sekiranya terdapat longgokan sampah atau apa-apa yang menjejaskan alam sekitar.

 

PENUTUP

Secara keseluruhannya, kegiatan ekopelancongan di Kota Belud, Sabah masih perlu diperkasakan dengan lebih sistematik dan holistik supaya ekonomi sektor ekopelancongan ini berdaya saing dan berdaya maju serta sentiasa relevan dengan keadaan semasa. Setiap isu dan cabaran yang dihadapi seperti ketiadaan pelancong, masalah alam sekitar, kekurangan pekerja yang mahir dan sebagainya haruslah ditangani dengan strategi yang berkesan. Kegiatan ekopelancongan ini sangat penting dalam menggerakkan penjanaan pendapatan komuniti setempat. Selain itu, ekopelancongan yang dijalankan dapat mengukuhkan kelangsungan perpaduan dan penyatuan pelbagai etnik di Kota Belud. Pada sudut yang lebih luas, kegiatan ekopelancongan ini mempunyai pengaruh yang signifikan kepada negeri Sabah.


RUJUKAN

Kota Belud berpotensi jadi destinasi eko pelancongan bertaraf dunia: Salleh | Daily Express Online - Sabah's Leading News Portal. 2022. https://www.dailyexpress.com.my/news/192453/kota-belud-berpotensi-jadi-destinasi-eko-pelancongan-bertaraf-dunia-salleh/

Mohd Fazli Zainul Abidin & Ridauddin Daud. (2019, March 31). Ekopelancongan jadi pilihan pelancong. Sinar Harian. https://www.sinarharian.com.my/article/20995/BERITA/Nasional/Ekopelancongan-jadi-pilihan-pelancong

Nur Afifah. (2020, April 12). 5 Lokasi Eko-Pelancongan Yang Cantik Lagi 'Thrill' Di Kota Belud, Sabah. I Love Borneo. https://www.iloveborneo.my/5-lokasi-eko-pelancongan-yang-cantik-lagi-thrill-di-kota-belud-sabah/

Saiful Bahari. (2019). Ekopelancongan dan impak kepada Ekonomi, Sosial dan Alam Sekitar | MajalahSains. MajalahSains | Sains & Teknologi Untuk Masyarakat. https://www.majalahsains.com/ekopelancongan-dan-impak-kepada-ekonomi-sosial-dan-alam-sekitar/

Suzianah Jiffar. (2018). Ekopelancongan Kadamaian jana pendapatan penduduk. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/01/382016/ekopelancongan-kadamaian-jana-pendapatan-penduduk




ALICE MARYA AUGUSTINE

D20191088397

KUMPULAN B




No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...