Thursday, June 23, 2022

MASALAH PEMBUANGAN SAMPAH DI BANDAR PASIR PUTEH, KELANTAN

1.0  PENGENALAN

 

Pada masa kini, pelbagai masalah yang timbul akibat berlakunya pencemaran alam sekitar di negara kita terutamanya pencemaran bau. Pencemaran yang berlaku ini akibat daripada pembuangan sampah sarap di merata-rata tempat sehinggakan menyusahkan pihak majlis perbandaran untuk membersihkan sampah sarap yang dilonggokkan di tepi-tepi jalan dan di tempat yang tidak sepatutnya. Sampah sarap merupakan bahan yang tidak berguna dan juga boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri, masyarakat dan negara. Hal ini dikatakan demikian kerana sikap sesetengah pihak mengambil mudah setiap perkara seperti membuang sampah sarap ke dalam sungai dan di tepi jalan akan menyebabkan kemusnahan kepada keindahan dan keseimbangan alam sekitar kita. Masalah pembuangan sampah ini juga diakibatkan dengan peningkatan penduduk di sesebuah kawasan telah menyumbang kepada kadar peningkatan pembuangan sampah dan sisa pembuangan. Menurut Muhammad Fiqrurazi bin Ahmad Shamsuri (2015) menyatakan bahawa pembuangan sampah boleh didefinisikan sebagai aktiviti manusia yang telah menghasilkan benda-benda atau bahan-bahan ke atas alam sekitar yang menyebabkan gangguan terhadap keselesaan masyarakat atau kemandirian kehidupan. Menurut Ridwan Lubis (1994) menyatakan bahawa sampah boleh dikategorikan kepada dua iaitu sampah domestik dan sampah bukan domestik.

 

          Sampah domestik membawa maksud bahan-bahan buangan yang dibuang dari rumah seperti botol, kaca, tin, aluminium dan sisa makanan. Sampah bukan domestik pula membawa maksud bahan-bahan buangan yang terhasil dari industri, tapak pembinaan, pekedai atau pasar dan pejabat. Pelbagai jenis bahan buangan antaranya sisa jualan, sisa pembuangan dan sisa daripada proses pengilangan. Masalah pembuangan sampah ini juga semakin serius saban hari walaupun pihak majlis daerah telah mengeluarkan notis atau larangan pembuangan sampah di tempat yang tidak sepatutnya. Sikap tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat ini memberi kesan negatif kepada kawasan persekitaran dan juga kawasan bandar tersebut di mata penduduk setempat serta pelancong dari dalam dan luar negara. Oleh itu, masalah pembuangan sampah ini haruslah dititikberatkan oleh semua pihak bagi menjaga kebersihan kawasan sekitar. 

 

2.0  LOKASI KAJIAN

             Lokasi kajian yang telah dijalankan oleh pengkaji merupakan di salah sebuah daerah yang berada di Kelantan iaitu di Bandar Pasir Puteh. Jajahan Pasir Puteh mempunyai 8 daerah dan 73 buah mukim Penghulu. Daerah-daerah itu ialah Padang Pak Amat, Bukit Abal, Bukit Awang, Kampung Gong Datuk, Limbongan, Jeram dan Semerak. Keluasan keseluruhan jajahan Pasir Puteh ini ialah 167.2 batu persegi (433.8-kilometer persegi). Pasir Puteh juga mempunyai penduduk sebanyak 117,383 orang mengikut bancian tahun 2010. Peratusan penduduk yang berbangsa Melayu ialah 98%, Cina 1.5% dan lain-lain 0.5%. Kebanyakkan penduduk di Pasir Puteh ini bekerja sebagai petani dan peniaga.

 


Foto 1: Peta Daerah Pasir Puteh, Kelantan


Foto 2: Bandar lama Pasir Puteh, Kelantan

 

 

3.0  PUNCA MASALAH PEMBUANGAN SAMPAH DI BANDAR PASIR PUTEH, KELANTAN

 

        Antara punca berlakunya masalah pembuangan sampah di Bandar Pasir Puteh ialah tiada kesedaran. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat kini tidak peduli mengenai penjagaan alam sekitar. Ini kerana mereka dengan tanpa rasa bersalah membuang sisa makanan, sampah dan plastik merata-rata tempat menyebabkan berlakunya longgokan sampah di sekitar kawasan bandar walaupun pihak majlis daerah telah menyediakan tong sampah di kawasan yang telah dikhususkan untuk penduduk sekitar membuang sampah di kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, ada segelintir penduduk yang membuat tempat longgokan sampah mereka sendiri walaupun telah dinyatakan tindakan yang bakal diambil jika membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya. Masalah pembuangan sampah merata-rata ini akan menyusahkan banyak pihak jika sampah yang dibuang itu diselongkar oleh haiwan akan mengakibatkan sampah terburai dan juga menjadi punca pencemaran bau di kawasan bandar.

 

          Seterusnya, punca berlakunya masalah pembuangan sampah di Bandar Pasir Puteh ialah penguatkuasaan yang lemah. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak majlis daerah tidak mengambil tindakan yang tegas kepada penduduk yang sering membuang sampah di merata tempat. Walaupun pihak berkuasa telah mengeluarkan notis dan larangan membuang sampah di merata tempat, itu tidak menjadi satu halangan kepada segelintir masyarakat yang tidak endah kepada peraturan yang ditetapkan. Penguatkuasaan yang lemah ini juga boleh berpunca daripada pihak berkuasa itu sendiri kerana kurang menepati masa dalam jadual pemungutan dan pengendalian sisa. Ini menyebabkan sampah sarap melimpah dari tong sampah kerana telalu penuh dan menyebabkan penduduk terpaksa membuang sampah di tepi-tepi tong sampah dan kawasan yang berhampiran dengan tong sampah. Pihak berkuasa harus menyediakan tong sampah yang banyak di kawasan bandar kerana kawasan bandar merupakan kawasan tumpuan ramai dan sisa pembuangan sampah juga meningkat di bandar.

 

           Selain itu, punca berlaku masalah pembuangan sampah sarap di Bandar Pasir Puteh ialah kekurangan tapak pelupusan sampah. Hal ini dikatakan demikian kerana di Pasir Puteh hanya terdapat satu tempat pelupusan sampah yang terdekat iaitu di Bukit Gedombak. Hal ini menyebabkan masa kutipan sampah di kawasan bandar mengambil masa yang lama dan proses untuk membersihkan semula kawasan bandar daripada sisa sampah yang dibuang mengambil masa yang lama. Kekurangan tong sampah di kawasan bandar juga menyebabkan sampah sarap dibuang begitu sahaja tanpa rasa bersalah mencemarkan alam sekitar. Hal ini juga menyebabkan berlakunya lambakan sampah yang banyak serta menyebabkan mencemarkan pemandangan di kawasan bandar dan menarik perhatian haiwan liar untuk mencari makanan di kawasan pembuangan sampah tersebut.

 

         Akhir sekali, punca berlaku masalah pembuangan sampah sarap di Bandar Pasir Puteh ialah kurang pendidikan tentang kesedaran penjagaan alam sekitar. Hal ini dikatakan demikian kerana sesetengah masyarakat yang tidak menjaga kebersihan alam sekitar ini tidak mendapat maklumat atau pelajaran mengenai penjagaan alam sekitar. Mereka tidak menghiraukan jika terdapat sampah di sekitar mereka dan tidak ingin membantu membersihkan sampah sarap yang telah dibuang merata di kawasan bandar kerana berfikiran bahawa tugas membersihkan kawasan bandar hanyalah tanggungjawab pihak majlis daerah. Pemikiran sedemikian haruslah dihapuskan kerana akan menyebabkan generasi akan datang mengikuti pemikiran yang tidak baik dan tiada nilai murni dalam diri. Masyarakat perlu mengetahui serba sedikit mengenai pendidikan alam sekitar bagi memastikan alam sekitar dan kawasan sekitar bersih dari sampah sarap. Oleh itu, pihak kerajaan haruslah mencari inisiatif yang bersesuaian kepada masyarakat bagi menjaga kebersihan bandar dan kawasan sekitar bersama-sama.

 


Foto 3: Kawasan Tong Sampah


 


Foto 4: Tong Sampah di Taman Rekreasi

 

4.0  LANGKAH MENGATASI MASALAH PEMBUANGAN SAMPAH DI BANDAR PASIR PUTEH, KELANTAN

 

         Antara langkah yang boleh diambil bagi memastikan tidak berlaku masalah pembuangan sampah di merata-rata tempat ialah mengadakan kempen kesedaran alam sekitar. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan adanya kempen kesedaran ini, penduduk akan lebih prihatin untuk menjaga kebersihan kawasan persekitaran dan menjalankan gaya hidup yang lebih sihat dan bersih. Kempen kesedaran ini juga penting bagi memberi pengetahuan dan juga dapat mempelajari langkah-langkah yang betul untuk mengurus sampah sarap di rumah mahupun di persekitaran kita. Kerjasama daripada kerajaan dan masyarakat dapat memberi impak yang positif kepada diri dan persekitaran kerana pengurangan masalah pembuangan sampah dan pencemaran alam yang berlaku. Kempen kesedaran yang dijalankan ini juga haruslah dapat menarik perhatian penduduk setempat dalam penjagaan alam sekitar supaya mereka sedar tentang kepentingan alam sekitar kepada diri, masyarakat dan negara di masa akan datang. Oleh itu, pihak kerajaan haruslah bertungkus-lumus dalam memastikan kempen kesedaran alam sekitar ini mendapat sambutan ramai pihak.

 

            Seterusnya, langkah yang boleh diambil bagi memastikan tidak berlaku masalah pembuangan sampah di merata-rata tempat ialah mengamalkan konsep 3R iaitu 'reuse', 'reduce' and 'recycle'. 'Reuse' membawa maksud penggunaan semula iaitu merupakan suatu Tindakan menggunakan bahan-bahan terpakai untuk kegunaan lain. 'Reduce' pula membawa maksud pengurangan iaitu mengehadkan jumlah penggunaan bahan dan penghasilan sampah manakala 'Recycle' membawa maksud kitar semula iaitu suatu aktiviti memproses semula bahan terpakai bagi menghasilkan bahan-bahan baru kerana proses ini boleh menjimatkan penggunaan tenaga dan sumber asli. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan mengamalkan konsep 3R ini kita dapat mengelakkan diri kita daripada melakukan pembaziran. Amalan 3R ini boleh mengubah persepsi kita terhadap sampah kerana kita akan mengira nilai sampah dan pembaziran yang dilakukan. Kita juga akan mengetahui cara untuk sentiasa berjimat cermat dalam membuang barangan yang lama dengan mengambil kira kesan dan kebaikannya kepada alam sekitar. Oleh itu, amalan 3R ini dapat membantu dalam menangani masalah pembuangan sampah sarap di bandar Pasir Puteh.

 

           Selain itu, langkah yang boleh diambil bagi memastikan tidak berlaku masalah pembuangan sampah di merata-rata tempat ialah pihak berkuasa perlu memastikan jadual pungutan sampah di kawasan bandar dan tempat tinggal adalah teratur. Hal ini dikatakan demikian kerana jika jadual pungutan sampah di kawasan bandar dan kawasan sekitar teratur maka masalah pembuangan sampah merata-rata ini akan berkurangan dan terkawal. Kebanyakkannya masalah longgokan sampah ini juga berpunca dari kelewatan pungutan sampah dijalankan dengan pertambahan penduduk terutamanya di kawasan bandar dan kawasan sekitar boleh meningkatkan kadar pembuangan sampah harian. Masalah ini harus diatasi dengan segera dan penambahbaikan sistem pungutan sampah juga perlu dilaksanakan bagi menjamin kesejahteraan dan kebersihan bandar daripada dicemari oleh sampah sarap dan bahan asing lain.

 

           Akhir sekali, langkah yang boleh diambil bagi memastikan tidak berlaku masalah pembuangan sampah di merata-rata tempat ialah penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan adanya penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat masyarakat akan lebih patuh dengan peraturan yang dilaksanakan. Pihak berkuasa haruslah membuat pemantauan secara berkala di tempat pembuangan sampah dan kawasan sekitar bagi memerhati sikap sesetengah penduduk yang ingkar dengan arahan yang diarahkan dan juga sekali gus mendidik masyarakat untuk tidak membuang sampah merata-rata dengan membuang sampah di tempat yang telah disediakan. Jika tidak dibendung dengan segera, masalah ini akan berlarutan dan kawasan bandar tidak akan bersih daripada sampah. Oleh itu, diharapkan agar penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat lebih memberi kesedaran kepada semua masyarakat tentang penjagaan alam sekitar.

 

5.0  KESIMPULAN

 

Secara kesimpulannya, masalah pembuangan sampah di merata-rata tempat ini boleh dielakkan dengan adanya fasiliti-fasiliti yang disediakan oleh pihak bertanggungjawab seperti Majlis Daerah, NGO dan sebagainya bagi menyediakan tong sampah di kawasan bandar pasir puteh. Walau bagaimanapun, tanpa kerjasama dengan semua pihak seperti kerajaan, masyarakat dan diri sendiri masalah pembuangan sampah ini akan terus berlaku dan akan mencemarkan kawasan bandar pasir puteh dengan sampah sarap yang dibuang merata-rata sehingga mengakibatkan gangguan kepada penduduk sekitar dan kawasan bandar itu sendiri. Masyarakat haruslah mengambil berat tentang kebersihan persekitaran dan tidak hanya mengharapkan pihak berkuasa sahaja menguruskan masalah pembuangan sampah ini. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagi mengharmonikan kawasan bandar pasir puteh dan semua kawasan di Malaysia menjadi bandar bebas sampah sarap.

 

6.0  RUJUKAN

 

S.M. Mohamed Idris (2019). Masalah Sistem Perparitan Seberang Perai: Siasatan Punca dan Cari Penyelesaian. Sahabat Alam Sekitar Malaysia. https://foe-malaysia.org/my/articles/masalah-sistem-perparitan-seberang-perai-siasat-punca-dan-cari-penyelesaian/

 

Muhammad Fiqrurazi bin Ahmad Shamsuri (2015). Masalah Longgokan Sampah Kawasan Perumahan Berteres, Kajian Kes: Taman Universiti, Skudai, Johor. Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah. Universiti Teknologi Malaysia. http://eprints.utm.my/id/eprint/53778/25/MuhamadFiqruraziAhmadShamsuriMFGHT2015.pdf

 

Sinar Harian (2013). Enam Tahun Hidu Bau Busuk. Retrieved Dicember 4, 2014, from http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/longgokan-sampahganggu-penduduk1.306061.

 

Berita Sarawak (2020). Tabiat Buang Sampah Merata-rata Masih Berterusan. Daripada https://sarawakvoice.com/2020/03/06/tabiat-buang-sampah-merata-rata-masih-berterusan/

 

Mohamdisa Hashim, Rosmini Ismail & Khalizul Khalid (2011). Isu dan Pengurusan Sisa Pepejal di Pulau Pangkor, Perak (Issues and Solid Waste Management in Pulau Pangkor, Perak). Daripada https://www.researchgate.net/publication/305809457_Isu_dan_Pengurusan_Sisa_Pepejal_di_Pulau_Pangkor_Perak_Issues_and_Solid_Waste_Management_in_Pulau_Pangkor_Perak

 

Disediakan oleh: NUR IFFAH IZZATI BT MOHD SUKI

NO. MATRIK: D20201094347

KUMPULAN: A

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...