ALIMAH SOLEHAH BINTI SHAHRANI (D20182085720)
HGM 3033 GEOGRAFI PENDUDUK
TUGASAN INDIVIDU
DR. KAMARUL BIN ISMAIL
ISU PENGUMPULAN DAN PEMBUANGAN SAMPAH DI KG LAMBOR KANAN, PERAK
PENGENALAN
Pembuangan sampah adalah satu aktiviti yang dialami oleh semua masyarakat. Menurut Berita Harian (2020), pembuangan sampah negara pada beberapa tahun ini telah meningkat sebanyak 100.75 peratus. Ianya berkemungkinan daripada sistem pengutipan sisa buangan yang tidak teratur dan juga kurangnya penggunaan proses kitar semula di negara kita. Selain itu, sikap masyarakat juga perlu dibetulkan supaya lebih sensitif terhadap isu-isu begini. Pendidikan sebegini perlulah diterapkan sejak awal kepada masyarakat iaitu sejak di sekolah lagi. Pendidikan sivik dan pendidikan pengguna antara mata pelajaran yang sesuai diajarkan di sekolah. Pengurusan sampah di kawasan bandar dan kawasan kampung adalah agak berbeza. Masalah pembuangan sampah di kawasan bandar dikendalikan oleh bahagian majlis bandar ataupun pihak berkuasa tempatan. Manakala kebanyakan masalah sampah di kawasan kampung adalah tidak mempunyai tempat pembuangan sampah yang spesifik.
Keadaan tempat-tempat pengumpulan dan pembuangan sampah di sekitar Kawasan kampung.
LOKASI KAJIAN
Gambar 1: Kawasan pengumpulan sampah di kg Lambor kanan
Gambar 2: Kawasan pengumpulan sampah di kg Lambor kanan
PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA ISU PEMBUANGAN DAN PENGUMPULAN SAMPAH
Antara punca yang dapat dikenal pasti adalah tidak mempunyai kawasan pengumpulan sampah yang seragam. Kebanyakan daripada penduduk yang menetap di Kawasan kampung mempunyai masalah ini. Masalah ini akan mengakibatkan pelbagai pencemaran yang berlaku antaranya pencemaran air dan penyakit bawaan haiwan perosak juga berkemungkinan akan merebak. Perkara ini memberikan kesan yang negatif kepada masyarakat yang tinggal berhampiran dan juga alam sekitar. Kawasan pengumpulan sampah yang tidak seragam adalah salah satu isu yang perlu diberi perhatian oleh pihak yang bertanggungjawab bagi mengelakkan sebarang masalah yang berlaku. Kebanyakan penduduk mengumpulkan sampah kering di kawasan berhampiran rumah dan proses pembakaran sampah akan dilakukan. Proses ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada alam sekitar.
Selain itu, punca berlakunya isu ini adalah kerana masyarakat kurang kesedaran terhadap kepentingan menjaga kebersihan dan juga cara pembuangan sampah yang betul. Masalah kurang kesedaran ini akan memberikan kesan yang negatif alam sekitar. Menurut Shawal Sahid Hamid @ Hussain (2021), beliau mengatakan penglibatan masyarakat di dalam menangani isu alam sekitar adalah masih rendah. Penekanan terhadap isu sebegini perlu dilaksanakan seawal yang mungkin. Sejak di sekolah lagi mata pelajaran seperti pendidikan sivik dan juga program pendidikan dan kesedaran pengguna perlu dilaksanakan dan diterapkan dalam kalangan murid. Semakin awal diterapkan, semakin awal murid dapat memahami kepentingannya terhadap alam sekitar dan kehidupan seharian mereka. Selain itu, guru dan ibu bapa perlu memastikan bahawa murid dapat memahaminya dan menerapkannya di dalam situasi sebenar. Kesedaran masyarakat juga dilihat sangat kurang dalam kebersihan. Ini kerana di tempat kawasan pengumpulan sampah tersebut, terdapat banyak sampah yang berteraburan dan berselerak. Sampah tidak dikumpulkan dengan rapi, tambahan pula terdapat beberapa haiwan berkeliaran yang sering dilihat menyelerakkan sampah-sampah tersebut seperti ayam, biawak dan juga anjing. Kawasan itu juga penuh dengan haiwan perosak lalat.
Seterusnya, punca berlakunya isu ini adalah disebabkan pembuangan sampah di tepi kawasan sungai. Pengumpulan dan pembuangan sampah ditepi sungai adalah salah satu sebab terjadinya isu ini. Perkara ini dilihat sangat memberikan kesan ketika musim hujan berlaku. Hujan lebat yang turun dengan kerap telah menyebabkan kenaikan paras air dan sekaligus menyebabkan timbunan sampah yang dikumpulkan di tepi sungai telah masuk ke dalam kawasan sungai. Berdasarkan peristiwa yang berlaku ketika banjir besar yang melanda Malaysia pada tahun 2015, timbunan sampah tersebut telah masuk ke dalam sungai dan juga kawasan tempat tinggal penduduk. Ianya sangat memberi kesan terhadap hidupan di dalam sungai dan juga di tempat penempatan penduduk sekitar. Oleh itu, isu ini bukanlah satu perkara yang baru, berdasarkan daripada pengalaman saya menetap di kampung ini selama lebih kurang 24 tahun, perkara dan isu yang sama sering saya lihat iaitu masalah pembuangan dan pengumpulan sampah yang tidak sesuai. Tiada sistem yang ditetapkan oleh pihak yang berkenaan berkaitan isu ini.
KESAN-KESAN ISU PENGUMPULAN DAN PEMBUANGAN SAMPAH DI KAMPUNG LAMBOR KANAN
Pelbagai kesan yang dapat kita lihat di dalam isu pembuangan dan pengumpulan sampah di kampung Lambor Kanan antaranya ialah meningkatkan penyebaran penyakit bawaan haiwan perosak. Seperti yang dapat kita lihat, sampah yang dibuang dan dikumpulkan sering diselerakkan oleh haiwan yang berkeliaran di kawasan tersebut. Tambahan pula, Kawasan tersebut juga mempunyai banyak lalat dan haiwan perosak yang lain. Hal ini, sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada tahap kesihatan penduduk di sekitarnya. Menurut Masyhuda, M., Hestiningsih, R., & Rahadian, R. (2017), keberadaan sampah dapat memberikan kesan terhadap kesihatan bagi masyarakat kerana sampah merupakan sumber penularan penyakit. Antara penyakit yang sering menjadi penyakit bawaan lalat ialah demam kepialu dan juga keracunan makanan. wabak denggi mempunyai risiko yang tinggi untuk terjadi kerana nyamuk sering membiak di kawasan yang mempunyai takungan air dan kawasan pengumpulan sampah menjadi salah satu tempat yang sesuai untuk nyamuk membiak. Oleh itu, perkara ini perlulah ditangani dengan segera supaya penularan dan penyebaran penyakit dapat dielakkan daripada berlaku.
Selain itu, kesan yang dapat dilihat daripada isu pembuangan dan pengumpulan sampah di kampung ini adalah pencemaran terhadap alam sekitar. Terdapat beberapa pencemaran yang dapat dilihat iaitu, pencemaran bau, pencemaran air dan juga pencemaran udara. Pencemaran bau terjadi apabila longgokan sampah-sampah tersebut diselerakkan oleh haiwan-haiwan yang berkeliaran mencari makanan seperti ayam, biawak dan juga anjing. Disebabkan Kawasan pengumpulan sampah tersebut berada berdekatan sungai, haiwan seperti biawak sering dilihat memunggah dan memakan sampah-sampah tersebut. Kadangkala, hal ini menyebabkan penduduk yang berdekatan mencium bau busuk daripada kawasan longgokan sampah tersebut. Menurut Panjaitan, D., Parinduri, A., & Irmayani, I. (2020)., pembuangan sampah di sesebuah kawasan akan menyebabkan penduduk terganggu dan tidak selesa dengan bau busuk yang dikeluarkan oleh sampah tersebut. Oleh itu, ini menunjukkan pembuangan sampah yang tidak dikelolakan dengan baik sedikit sebanyak akan mengganggu penduduk setempat.
Seterusnya, kesan isu pengumpulan dan pembuangan sampah di kampung Lambor Kanan ini mengakibatkan berlakunya pencemaran air. Disebabkan pembuangan sampah yang berdekatan dengan kawasan sungai, berkemungkinan sampah itu untuk masuk ke dalam sungai adalah tinggi tambahan pula pada musim tengkujuh. Paras air yang meningkatkan disebabkan hujan lebat yang berterusan mengakibatkan sampah yang dikumpulkan telah masuk ke dalam sungai dan membawa sampah ke kawasan hilir sungai. Semakin lama hal ini berlaku semakin banyak sampah yang akan terkumpul di hilir sungai dan sekaligus memberi kesan terhadap hidupan air di kawasan tersebut. Menurut Mahdi, A., Karimi, D., Farshchi, P., Panahi, M. (2021), kemasukan pencemaran ke dalam ekosistem hidupan akuatik akan membahayakan dua perkara iaitu alam sekitar dan juga hidupan yang berada di sekeliling. Oleh itu, kesan pembuangan sampah ke dalam sungai bukan sahaja mengakibatkan pencemaran air malahan ianya juga membahayakan alam sekitar dan juga manusia yang tinggal berhampirannya.
Akhir sekali, kesan isu pembuangan dan pengumpulan sampah di kampung Lambor Kanan adalah pencemaran udara. Pencemaran yang berlaku bukan sahaja berkaitan dengan bau busuk daripada sampah itu sendiri malahan daripada aktiviti pembakaran yang dilakukan oleh penduduk. Kebanyakan daripada penduduk melakukan aktiviti pembakaran sampah-sampah kering berhampiran dengan rumah mereka. Sampah kering yang dibakar termasuklah daun-daun kering, botol, plastik dan kadangkala pakaian juga dibakar. Pembakaran sampah ini telah mengakibatkan pelbagai jenis gas rumah hijau dikeluarkan sebagai contohnya pembakaran pakaian telah mengeluarkan banyak gas karbon dioksida. Pengeluaran gas-gas tersebut bergantung kepada jenis bahan dan pakaian yang dibakar.
CADANGAN PENYELESAIAN ISU PEMBUANGAN DAN PENGUMPULAN SAMPAH DI KAMPUNG LAMBOR KANAN, PERAK
Isu pembuangan sampah ini memerlukan beberapa cadangan yang dapat membantu penduduk kampung ini membuang sampah dengan cara yang betul. Terdapat beberapa cadangan yang dapat membantu menyelesaikan isu pembuangan sampah di kampung ini. Antaranya ialah mengamalkan kitar semula. Kitar semula bermaksud memungut dang mengasingkan sisa pepejal bagi tujuan pengeluaran (Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam, 2015). Seperti yang kita ketahui pelbagai kebaikan dan kelebihan melakukan aktiviti kitar semula seperti menjimatkan penggunaan sumber sebagai contoh plastik, mengelakkan pencemaran alam sekitar, mengurangkan pembebasan gas rumah hijau dan sebagainya. Penduduk kampung juga boleh mengitar semula sampah tersebut dengan membuat sesuatu produk daripada sampah tersebut seperti botol plastik. Amalan kitar semula merupakan satu cadangan yang boleh dilakukan iaitu dengan meletakkan tong kitar semula di kawasan perkampungan. Penggunaan sistem ini perlulah dilaksanakan secara organisasi supaya idea kitar semula tersebut dapat berjalan dengan lancar.
Selain itu, program kempen kesedaran menjaga alam sekitar juga boleh dilaksanakan dengan bantuan organisasi daripada luar dan komuniti kampung. Yang ditunjukkan perlulah bersesuaian dengan keadaan dan situasi penduduk kampung tersebut. Di dalam kempen ini penduduk boleh didedahkan dengan cara menghapuskan sampah dengan betul. Langkah Nilai kesedaran perlu dipupuk kepada semua lapisan masyarakan bagi mendedahkan masyarakat tentang perlunya membuang sampah di tempat yang betul. Tinjauan boleh dilakukan setelah kempen ini dilaksanakan beberapa kali bagi mengenal pasti tahap kesedaran komuniti kampung tersebut. Semua lapisan dan peringkat umur perlulah mengikuti kempen ini untuk kebaikan bersama. Semua pihak perlulah bekerjasama membantu meningkatkan sensitiviti masyarakat terhadap aspek penjagaan alam sekitar iaitu pembuangan sampah.
Seterusnya ialah, sistem pengelolaan pembuangan sampah yang lebih teratur oleh badan-badan yang bertanggungjawab. Cadangan ini boleh diusulkan bersama-sama organisasi luar dan daerah bagi melaksanakan dan menguruskan sistem pembuangan sampah yang lebih efektif. Perbincangan boleh dilakukan oleh ketua kampung bersama ahli jawatankuasa yang lain dalam menjadikan persekitaran kampung lebih bersih dan menyenangkan. Cadangan ini boleh dilaksanakan jika semua pihak merasa tanggungjawab terhadap isu tersebut. Selain itu, tong sampah besar juga boleh diletakkan di kawasan yang sesuai sebagai tempat pembuangan sampah. Dengan cadangan ini, penduduk kampung tidak perlulah membuat tempat pembuangan dan pembakaran sendiri untuk melakukan aktiviti penghapusan sampah.
KESIMPULAN
Isu pembuangan dan pengumpulan sampah di kawasan kampung Lambor Kanan ini boleh dikurangkan dan dicegah jika langkah yang diambil bersesuaian dengan masalah yang dihadapi. Perkara yang paling utama adalah kesedaran komuniti di sesuatu tempat tersebut perlulah ditingkatkan supaya isu ini tidak lagi berulang. Kerjasama daripada pelbagai pihak yang bertanggungjawab perlulah diutamakan supaya masalah ini dapat diatasi pada masa kini dan masa hadapan.
RUJUKAN
Masyhuda, M., Hestiningsih, R., & Rahadian, R. (2017). Survei Kepadatan Lalat Di Tempat Pembuangan Akhir (Tpa) Sampah Jatibarang Tahun 2017. Jurnal Kesehatan Masyarakat (Undip), 5(4), 560 - 569. https://doi.org/10.14710/jkm.v5i4.18714
Panjaitan, D., Parinduri, A., & Irmayani, I. (2020). Hubungan Sikap Ibu Dalam Pengelolaan Sampah Dengan Volume Sampah Organik Di Gang Pancasila Lubuk Pakam. Jurnal Kesmas Dan Gizi (JKG), 3(1), 97-101. https://doi.org/10.35451/jkg.v3i1.523
Mahdi, A., Karimi, D., Farshchi, P., Panahi, M. (2021). Waste Water Pollution Zoning Of Sensitive Coastal-Marine Areas With An Environmental Protection Approach (Study area: Boujagh International Park and International Wetland). Anthropogenic Pollution, 5(1), 16-30. doi: 10.22034/ap.2021.1910782.1080
Shawal Sahid Hamid@ Hussain (2021). Analis Tahap Kesedaran Komuniti Terhadap Tahap Pencemaran Industri Kajian Kes: Yan, Kedah. Jurnal Sains Sosial. Malaysian Journal of Social Science. Jilid. 6(1) 2021: 97107. Diambil daripada http://kuim.edu.my/journal/index.php/JSS/article/view/879/703
Kitar semula, (2015). Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara. Diambil daripada https://jpspn.kpkt.gov.my/index.php/pages/view/131
No comments:
Post a Comment