Thursday, June 16, 2022

ISU PENYALAHGUNAAN DAUN KETUM DALAM KALANGAN PENDUDUK DI KAMPUNG PERIK, KUALA NERANG, KEDAH.


1.0        PENGENALAN

Penggunaan daun ketum ini telah dipraktikkan semenjak berkurun lamanya oleh penduduk di serata dunia iaitu seperti di dalam masyarakat India, China, Eropah dan Amerika Utara. Menurut Richards, (2001) daun ketum ini dahulunya digunakan untuk tujuan perubatan, upacara keagamaan atau tujuan bersosial. Oleh itu, secara tradisinya daun ketum ini telah lama digunakan bagi tujuan perubatan serta menjadi amalan dalam aktiviti sosial masyarakat. Perubatan tradisional yang menggunakan daun ketum adalah untuk mengeluarkan angin dalam badan dan meningkatkan tenaga untuk melakukan kerja berat. Selain itu, daun ketum juga digunakan untuk mengubati pelbagai penyakit seperti demam, penyakit cacing, sakit belakang serta digunakan sebagai penawar penyakit diabetes dan darah tinggi. Daun ketum ini mampu memberikan pelbagai manfaat dari sudut perubatan, namun penggunaannya semakin lama semakin dilupakan oleh kerana terdapatnya teknologi yang semakin maju yang menyebabkan wujudnya banyak rawatan atau ubat-ubatan moden yang telah menjadi pengganti kepada perubatan berbentuk tradisional ini. Keadaan ini telah menjadikan daun ketum tidak lagi digunakan untuk tujuan perubatan terutama sekali bagi generasi-generasi baru sekarang yang kurang pengetahuan mengenai ubat-ubat tradisional yang digunakan pada zaman dahulu.

            Walau bagaimanapun, seiring dengan kemajuan negara penggunaan ketum ini telah mula muncul kembali, namun penggunaan ketum ini tidak lagi dikenali sebagai tumbuhan herba yang digunakan untuk perubatan sebaliknya lebih sinonim untuk dikaitkan dengan isu ketagihan dan juga penyalahgunaan daun ini. Pokok ketum ini mula menjadi terkenal pada awal tahun 2003 kerana dikatakan berupaya menjadikan seseorang itu ketagih kerana kandungan mitragynine. Penyalahgunaan daun ketum ini semakin hari semakin berleluasa dan tidak ketinggalan juga di kawasan Kampung Perik, Kuala Nerang, Kedah. Kampung Perik merupakan sebuah perkampungan kecil yang berada di dalam daerah Padang Terap.

            Isu penyalahgunaan daun ketum ini semakin berleluasa di kawasan Kampung Perik dan lebih teruk lagi isu ini melibatkan pelbagai peringkat umur iaitu golongan remaja dan juga golongan belia yang tinggal di Kampung Perik. Golongan remaja dan belia merupakan golongan harapan negara dan berperanan sebagai penentu pembangunan dan kemajuan negara pada masa hadapan namun telah dirosakan apabila terlibat dengan penyalahgunaan daun ketum ini. Hal ini dikatakan demikian kerana golongan muda sangat mudah dan suka meniru selepas memerhati orang lain melakukan sesuatu. Ditambah pula remaja-remaja dan golongan belia kini yang sering keluar melepak dan berjumpa dengan ramai orang, telah menyebabkan mereka tersalah langkah seterusnya terjebak dengan isu penyalahgunaan daun ketum dengan alasan ingin mencuba perkara baharu.


Rajah 1 : Peta Kampung Perik, Kuala Nerang, Kedah.

 

            Isu penyalahgunaan ketum ini di sekitar Kampung Perik bukanlah satu isu yang baharu dan ianya juga merupakan salah satu isu yang sangat membimbangkan bagi penduduk di kawasan Kampung Perik. Keadaan Kampung Perik yang merupakan sebuah kampung kecil dan terletak agak pedalaman dan terpencil telah menyebabkan penduduk mudah untuk mendapatkan bekalan daun ketum iaitu dengan hanya menanam tumbuh- tumbuhan ini di belakang rumah, di kawasan kebun atau di sekitar tanah mereka dan terdapat juga individu yang melakukan penanaman pokok ketum ini secara besar-besaran iaitu sehingga mempunyai ladang ketum mereka sendiri. Perkara ini telah menyebabkan banyak tempat-tempat pemprosesan daun ketum untuk dijadikan minuman dijalankan. Sebagai contoh tempat-tempat memproses daun ketum ini dilakukan di rumah mereka sendiri, setelah daun ketum ini siap diproses menjadi air mereka juga menjadikan rumah mereka sebagai "port" atau tempat untuk menjual bahan terlarang ini kepada penduduk. Perkara ini dibuktikan berdasarkan laporan yang dibuat oleh Utusan Malaysia di mana sebuah serbuan telah dilakukan di sebuah rumah yang dijadikan tempat memproses daun ketum dalam satu serbuan di sebuah ladang ketum yang terletak di Kampung Perik, Kuala Nerang oleh anggota penguatkuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Padang Terap (Utusan Malaysia, 2020).

  

Rajah 2 : Serbuan ladang ketum di Kampung Perik, Kuala Nerang, Kedah.


                Selain itu, penyalahgunaan daun ketum ini berleluasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan di kawasan Kampung Perik, Kuala Nerang kerana ketum dapat dimiliki dengan mudah dan dapat dibeli dengan harga yang murah. Banyak kes penyalahgunaan daun ketum di catatkan setiap tahun dan merupakan penyumbang kepada peningkatan isu penyalahgunaan ketum di Daerah Padang Terap, Kedah. Pada disember 2015, Kakitangan awam dan pelajar sekolah telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam satu Ops Cantas yang dijalankan di sekitar Pekan Kuala Nerang termasuklah di kawasan Kampung Perik. Menurut Ketua Operasi AADK Padang Terap, hasil daripada serbuan yang dilakukan seramai 16 orang telah disoal siasat dan seramai tujuh orang telah ditahan kerana positif dadah jenis heroin dan seorang lagi ditahan kerana ganja. Di samping itu, di dalam operasi ini juga turut merampas lima kilogram daun ketum yang belum diproses dari sebuah kedai makan. Hal ini dikatakan demikian kerana punca utama berlakunya pengambilan dadah dalam kalangan penduduk di kawasan Kuala Nerang adalah disebabkan oleh bermulanya dari penyalahgunaan daun ketum ini. Perkara ini kerana apabila sudah lama atau sudah terbiasa dengan penggunaan daun ketum mereka akan menginginkan sesuatu yang lebih kuat dan berkesan dengan lebih cepat. Oleh itu, mereka mengambil dadah sebagai pengganti atau sebagai pemuas nafsu mereka. Selain itu, berdasarkan hasil kajian penggunaan ketum adalah ini dijadikan sebagai alternatif kepada penagihan dadah. Hal ini dikatakan demikian kerana pengambilan air ketum merupakan cara untuk berhenti bergantung kepada dadah. Penggunaan daun ketum dapat menggantikan ketagihan terhadap dadah seperti yang telah diamalkan oleh masyarakat Thailand sejak 60 tahun dahulu (Tanguay, 2011). Mereka mengamalkan ketum bagi mengurangkan penggantungan kepada candu dan ganja, namun kesan pengamalan ketum juga boleh menyebabkan ketagihan kerana menyamai dengan kesan ketagihan dadah jenis morfin.


2.0       PENYALAHGUNAAN DAUN KETUM

            Pokok ketum atau nama saintifiknya dikenali sebagai Mitragyna speciosa yang merupakan sejenis tumbuhan daripada family Rubiaceae yang banyak terdapat di negeri-negeri sebelah utara dan pantai timur semenanjung Malaysia (Menteri Kesihatan Malaysia, 2014). Pokok ketum ini hidup subur di kawasan bertanah lembap yang mempunyai kandungan humus yang tinggi dan kebanyakannya ditemui tumbuh secara liar di kawasan-kawasan hutan dan persekitaran kampung. Pokok ketum dapat dikenali dengan mudah kerana pokok ketum mempunyai batang berkayu keras, tumbuh menegak dan bercabang serta ketinggian pokok ketum ini dapat mencapai sehingga 25 meter tinggi dan garis pusat pokok ini boleh mencapai sehingga 1 meter lebar. Daun pokok ketum berwarna hijau gelap dan warnanya berwarna kuning dan bulat, pokok ketum ini cenderung untuk tumbuh di dalam kelompok.

 

             Rajah 3 : Ladang Ketum        

                                     

     

Rajah 4 : Daun Ketum

 

                Berdasarkan Kamus Dewan Bahasa (2005), penyalahgunaan dapat didefinisikan sebagai perihal atau perbuatan dalam menyalahgunakan sesuatu untuk tujuan keburukan atau bagi mendapatkan kesan yang buruk. Penyalahgunaan daun ketum dalam kalangan penduduk di kawasan Kampung Perik terutamanya melibatkan golongan remaja dan belia, mereka menggunakan daun ketum untuk tujuan mendapatkan kesan khayal dan keseronokan. Aktiviti penyalahgunaan daun ketum dalam kalangan penduduk di Kampung Perik ini bermula daripada aktiviti pengutipan daun ketum, pemprosesan, penjualan, pengedaran serta penggunaan bahan tersebut.

Aktiviti pemprosesan untuk menghasilkan air ketum adalah dengan merebus daun ketum dalam kuantiti yang banyak seterusnya mencampurkan air rebusan ketum ini dengan bahan-bahan lain untuk dijadikan minuman yang dikenali sebagai 'sii koon roi' iaitu membawa maksud "Cocktail 4X100" di dalam bahasa Thailand. Seterusnya, untuk menghasilkan cocktail 4X100 ini, empat bahan asas yang biasa digunakan adalah seperti air yang direbus bersama 100 helai daun ketum dan dicampurkan bersama-sama dengan Coca-Cola, ubat batuk dan juga ais kiub (Tanguay,2011). Hal ini dikatakan demikian kerana bertujuan untuk mengurangkan rasa pahit daun ketum tersebut di samping untuk menambahkan lagi kesedapan dan bertujuan untuk meningkatkan lagi rasa puas dan juga khayal kepada peminum. Air ketum yang telah siap diproses seterusnya akan dibungkus dalam paket yang kecil untuk dijual dan digunakan. Oleh itu, perbuatan menjual dan mencampurkan daun ketum dengan bahan-bahan lain untuk tujuan mendapatkan kesan khayal dikategorikan sebagai penyalahgunaan daun ketum.


   Rajah 5 : Aktiviti pemprosesan air ketum.              


         

     Rajah 6 : Pembungkusan air ketum

 

3.0       PUNCA BERLAKU PENYALAHGUNAAN DAUN KETUM

            Antara punca berlakunya penyalahgunaan daun ketum adalah disebabkan oleh faktor daun ketum itu sendiri iaitu mudah untuk didapati dan juga sumber daun ketum yang banyak oleh kerana pokok ketum ini mudah tumbuh secara semulajadi terutama di kawasan utara tanah air seperti kedah dan perlis. Keadaan ini telah menyebabkan ramai penduduk di kawasan Kampung perik terjebak atau terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan daun ketum. Selain itu, penduduk di Kampung perik seperti golongan belia berumur 25 tahun ke atas menjadikan penyalahgunaan daun ketum ini sebagai satu sumber pendapatan utama mereka. Daun-daun ketum yang telah diproses akan dijual kepada pembeli atau peminum dengan tanpa rasa bersalah. Sumber-sumber daun ketum yang banyak ini digunakan oleh penduduk di Kampung Perik untuk mencuba menghasilkan sesuatu baharu yang lebih sedap dan dapat meningkatkan rasa "kick ketum" tersebut serta untuk meningkatkan lagi kesan khayal. Didorong pula dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap air ketum ini telah menjadikan penyalahgunaan daun ketum di Kampung Perik semakin berleluasa. Perkara ini kerana penagih-penagih dadah juga antara penyumbang kepada peningkatan permintaan air ketum iaitu di mana golongan belia ini mencampurkan dadah ke dalam ketum atau menyulam dadah selepas meminum ketum. Dengan meminum air ketum atau 'sii koon roi' ini, akan menyebabkan pengambilan seperti rokok, ganja, heroin atau pil kuda selepas itu akan menjadi lebih kuat dalam meningkatkan lagi kesan khayal.

            Punca seterusnya adalah pengaruh rakan sebaya. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja merupakan golongan yang sangat mudah untuk terpengaruh. Remaja yang berusia 16 tahun ke atas mereka sedang melalui fasa sedang membesar dan lebih banyak menghabiskan masa dengan rakan-rakan mereka berbanding dengan keluarga. Justeru itu, mereka suka meluangkan masa melihat dan terlibat dengan kegiatan yang tidak sihat kerana ingin mencari rakan, berinteraksi dengan rakan sebaya yang 'sekepala' dan akan mudah terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya mereka untuk mencuba sesuatu yang baru seperti 'sii koon roi'. Golongan belia muda di bawah umur 30 tahun adalah lebih cenderung untuk dipengaruhi oleh rakan yang boleh dikatakan sebagai salah satu penyebab utama pengambilan dilakukan. Golongan yang baru mencuba ketum dengan mengikut rakan ini masih dalam kategori menggunakannya secara suka-suka atau masih belum mengalami simptom ketagihan yang teruk. Selain itu, keadaan sesetengah individu yang menghadapi pelbagai masalah seperti masalah keluarga, masalah di tempat kerja dan masalah kewangan yang menjadikan mereka tertekan juga telah menyebabkan mereka terjebak ke dalam penyalahgunaan daun ketum. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka ingin menghilangkan tekanan yang mereka hadapi dengan cepat. Oleh itu, mereka mengambil keputusan untuk mencuba meminum 'sii koon roi' ditambah pula dengan pujuk rayu dan juga kata-kata manis yang telah diberikan oleh rakan-rakan mereka mengenai 'sii koon roi' ini.

            Seterusnya adalah berpunca daripada amalan keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat sesetengah keluarga yang telah lama mengamalkan penggunaan 'sii koon roi' ini, malah mereka sendiri melakukan aktiviti pemprosesan untuk memenuhi keperluan diri mereka. Oleh itu, keadaan ini telah mendorong anak-anak mereka untuk mengikut jejak langkah mereka untuk terlibat dengan penyalahgunaan daun ketum. Ibu bapa yang menunjukkan gelagat dan teladan yang buruk akan menyebabkan anak-anak mereka juga terikut perangai buruk mereka. Hampir setiap hari anak-anak melihat aktiviti ibu bapa mereka di rumah dan menjadikan mereka merasa ingin mencuba dan menggunakan 'sii koon roi' ini. Selain itu, terdapat juga sesetengah keluarga yang menjadikan aktiviti menghasilkan 'sii kon roi' ini sebagai satu perniagaan dan mewariskan perniagaan ini kepada anak-anak mereka untuk diteruskan. Perkara ini secara tidak langsung telah menyebabkan anak-anak mereka terjebak dengan penyalahgunaan daun ketum ini berpunca dari ahli keluarga mereka sendiri.


4.0       KESAN PENYALAHGUNAAN DAUN KETUM

Penyalahgunaan daun ketum ini memberi kesan terhadap kesihatan peminum atau penggunanya. Hal ini dikatakan demikian kerana pengambilan daun ketum pada dos yang rendah akan memberi kesan advers yang berkaitan dengan kesan perangsang (stimulant) kepada peminum. Kesan ini akan menyebabkan peminum mengalami keresahan, mudah terganggu, gatal-gatal, loya dan muntah, hilang selera makan dan juga kerap membuang air kecil. Seterusnya jika pengambilan 'sii koon roi' pada dos sederhana akan memberi kesan seperti jantung berdegup dengan lebih kencang (tachycardia) akibat daripada kesan perangsang yang lebih kuat dan juga kesan sampingan akibat opioid seperti sembelit, pening kepala, tekanan darah rendah, mulut menjadi kering dan juga berpeluh. Jika pengambilan dalam dos yang tinggi dan juga kerap akan berupaya untuk menghasilkan simptom seperti tangan terketar-ketar, anoreksia, susut berat badan, serangan sawan dan juga psikosis. Selain itu, pengambilan 'sii koon roi' khususnya dalam kandungan yang tinggi, akan mendorong kepada berlakunya gejala putus ubat atau "gian" selepas mereka memberhentikan pengambilan secara tiba-tiba. Antara gejala "gian" yang berupaya untuk berlaku seandainya ketagih ketum adalah seperti panas baran, rasa tidak tenang, mual, tekanan darah tinggi, sukar untuk tidur (insomnia), hidung berair, sakit otot dan sakit sendi, dan juga cirit-birit. Terdapat juga kajian menyatakan bahawa kesan ketagihan terhadap 'sii kon roi' akan mendedahkan seseorang itu kepada risiko keracunan hati.

            Kesan lain berpunca dari penyalahgunaan daun ketum adalah meningkatkan kadar jenayah di kawasan sekitar. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat sesetengah peminum seperti golongan belia yang menggunakan 'sii koon roi' terlibat juga dengan penggunaan dadah. Golongan belia ini mencampurkan dadah ke dalam ketum atau menyulam dadah selepas meminum ketum. Perkara ini telah menyebabkan mereka melakukan aktiviti jenayah seperti merompak dan mencuri daripada ahli keluarga dan juga penduduk sekitar bagi mendapatkan modal untuk membeli bahan-bahan tersebut. Di samping itu, penggunaan 'sii koon roi' dan dadah secara serentak akan menghasilkan kesan khayal yang lebih kuat dari pengambilan 'sii koon roi' biasa, yang telah mendorong mereka untuk melakukan perkara-perkara di luar kawalan mereka seperti merogol dan memukul, di mana telah menyebabkan keselamatan penduduk sekitar terancam.

 

5.0       UNDANG-UNDANG DALAM MENGAWAL PENYALAHGUNAAN DAUN KETUM

            Daun ketum mengandungi bahan kimia yang aktif iaitu mitragynine dimana ianya merupakan sejenis alkaloid psikoaktif yang dikawal di Malaysia. Mytragynine ini dikawal dibawah Akta Racun 1952 di bawah peraturan psikotropik dan ianya disenaraikan dalam Jadual Ketiga dalam bahan-bahan Psikotropik. Selain dari mitragynie terdapat juga 24 bahan lain yang terkandung didalam ketum antaranya ajmalin, corynanthedine, mitaphylline, paynanthesine, speciophylin dan speciogynine. Menurut Seksyen 30 Akta Racun 1952, setiap transaksi berkaitan daun tersebut samada mengimport, memiliki, mencampur, menyimpan, menghantar, menjual atau menggunakannya akan menjadi satu kesalahan di bawah seksyen 30 (3).

Namun sekiranya seseorang itu didapati memiliki, menjual atau menggunakan daun ketum bagi tujuan perubatan maka ia tidak dikenali sebagai penyalahgunaan tetapi ia masih lagi boleh disabitkan kesalahan di bawah Akta tersebut. Seterusnya, jika disabitkan kesalahan, denda boleh dikenakan di bawah Seksyen 30 (5) Akta Racun 1952, iaitu denda tidak melebihi RM10,000 atau 4 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.


6.0       KAEDAH MENGATASI PENYALAHGUNAAN DAUN KETUM DALAM KALANGAN PENDUDUK

Antara kaedah yang dapat diambil untuk mengatasi atau mengawal penyalahgunaan daun ketum dalam kalangan penduduk adalah melalui kaedah penyampaian maklumat yang berkesan dengan menggunakan media massa. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan bantuan atau penggunaan media massa seperti televisyen, radio dan media sosial akan dapat membantu mengatasi masalah penyalahgunaan daun ketum. Media massa seperti televisyen dan radio dapat menyiarkan mengenai apa itu penyalahgunaan daun ketum serta kesan-kesan yang berlaku akibat penyalahgunaan daun ketum agar penduduk atau masyarakat akan lebih cakna mengenai isu ini. Selain itu, media sosial seperti twitter, Instagram dan facebook juga memainkan peranan penting oleh kerana penggunaan teknologi media sosial ini yang semakin meluas dalam kalangan masyarakat. Justeru itu, platform media sosial ini dapat digunakan untuk menyebarkan mengenai isu penyalahgunaan daun ketum dan mengenai bahaya penggunaan 'sii koon roi'.

            Di samping itu, Agensi Anti Dadah kebangsaan (AADK) juga perlu memainkan peranan penting dalam mengatasi isu penyalahgunaan daun ketum ini. AADK dapat menjalankan ceramah atau program mengenai penyalahgunaan daun ketum ini di kawasan-kawasan kampung kerana masih ramai penduduk kampung yang tidak mengetahui mengenai aktiviti penyalahgunaan daun ketum yang berlaku di kawasan mereka. Selain itu, melalui ceramah yang dijalankan akan dapat membuka mata mereka mengenai daun ketum yang disalahgunakan ini akan memberi kesan buruk ke atas diri penggunanya dan secara tidak langsung mereka juga akan dapat membantu pihak AADK dan pihak polis membasmi aktiviti penyalahgunaan yang berlaku di kawasan-kawasan tersebut. Pihak AADK juga perlu mengadakan hubungan baik dengan pihak sekolah iaitu dengan mengadakan ceramah di sekolah mengenai bahaya dadah dan juga ketum agar pelajar-pelajar ini tidak tersalah langkah dan terjerumus ke dalam masalah ini bak kata pepatah mencegah lebih baik dari mengubati.

            Pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan untuk mengatasi penyalahgunaan daun ketum ini iaitu dengan memperkuatkuasakan lagi undang-undang yang melibatkan isu penyalahgunaan daun ketum.  Sebagai contoh, dengan meningkatkan jumlah denda dan memberikan hukuman yang lebih berat kepada pesalah. Perkara ini adalah bertujuan untuk menginsafkan mereka agar tidak mengikut kehendak isi hati tanpa memikirkan kesan baik buruknya ibarat beraja di hati, bersultan di mata.


7.0       PENUTUP

Penyalahgunaan daun ketum ini masih berleluasa dan masih giat berlaku terutama di negeri-negeri seperti Kedah dan Perlis. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu dalam menangani dan mengatasi isu penyalahgunaan daun ketum ini dari terus berleluasa dan merosakkan lebih ramai masyarakat dan juga anak-anak muda. Hal ini dikatakan demikian kerana anak-anak muda pada hari ini yang bakal menerajui pucuk pimpinan negara pada masa hadapan dan merupakan aset modal insan negara bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Isu penyalahgunaan daun ketum ini bukan satu isu yang perlu kita ambil ringan dan diremehkan, namun isu ini perlu kita tangani dengan lebih giat dan bersungguh-sungguh agar dapat mewujudkan sebuah negara di mana penduduknya berkualiti dan bebas dari masalah penyalahgunaan dadah dan juga daun ketum.

 


RUJUKAN 

Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat. (2005). Definisi Penyalahgunaan.

https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=penyalahgunaan

 

 

Nurhafizah Hasan. (2014). Penyalahgunaan Daun Ketum. Portal Rasmi MyHEALTH

Kementerian Kesihatan Malaysia. http://www.myhealth.gov.my/penyalahgunaan-daun-ketum/

 

Nuraina Hanis Abd. Halim & Maszureen Hadzman. (2020). Salah Guna Ketum Parah. Utusan

Malaysia. https://www.utusan.com.my/nasional/2020/09/salah-guna-ketum-parah/

 

 

Sinar Harian. (2015). Kakitangan Awam Terlibat Dadah.

https://peraktoday.com.my/2015/12/kakitangan-awam-terlibat-dadah/

 

Sharifa Ezat Wan Puteh. (2016). Khasiat Daun Ketum Disalahguna. Berita Harian.

https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/61/2016/08/185154/khasiat-daun-ketum-disalahguna


NAMA: SITI NURAFIQAH BINTI ZULKIFLI

NO MATRIK: D20201094340

KUMPULAN: A

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...