Tajuk: Isu Pengurusan Sisa Pepejal Yang Tidak Sistematik di Daerah Jempol, Negeri Sembilan
1.0 Pengenalan
Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia tentang isu alam sekitar. Dalam konteks ini, antara permasalahan yang sering timbul adalah masalah pengurusan sisa pepejal. Hal ini tidak terkecuali bagi penduduk yang tinggal berhampiran kawasan penempatan saya iaitu di daerah Jempol, Negeri Sembilan. Menurut Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (2015), sisa pepejal merupakan apa-apa benda yang dikehendaki dilupuskan kerana sudah pecah, lusuh, tercemar atau rosak. Dalam hal ini, sebuah kajian berkaitan pengetahuan komuniti dan amalan pengurusan sisa pepejal di Negeri Sembilan telah dijalankan oleh Zaini Sakawi, Sofia Ayup dan Mohd Fauzi Sukimi. Berdasarkan kajian ini, mereka telah melakukan kaedah kajian secara survei melalui pengedaran borang selidik serta mengggunakan kaedah persampelan rawak mudah di mana seramai 2686 orang responden yang terdiri daripada ketua isi rumah telah terpilih di tiga daerah di Negeri Sembilan iaitu daerah Jempol, Jelebu dan Kuala Pilah. Dalam kajian ini, kita dapat lihat aspek pengurusan sisa, pengetahuan dan amalan kitar semula serta penglibatan komuniti dalam mengurangkan sisa pepejal dengan jauh lebih jelas. Oleh itu, kita dapat mengenal pasti punca di sebalik berlakunya permasalahan berkaitan pengurusan sisa pepejal, mengetahui kesan di sebalik pengurusan sisa pepejal yang tidak terurus serta mengenal pasti kaedah atau inisiatif yang boleh dilakukan oleh pelbagai pihak dalam usaha menyelesaikan masalah pengurusan sisa pepejal yang tidak teratur ini.
2.0 Ringkasan Kes
Kajian kes yang dikaji oleh pengkaji adalah mengenai isu pengurusan sisa pepejal yang tidak sistematik. Dalam hal ini, pengkaji telah memilih kawasan yang berhampiran dengan petempatannya bagi meneliti danm mengenal pasti beberapa aspek yang berkaitan denagn isu pengurusan sisa pepejal ini, sebagai contoh, dari aspek punca, kesan dan cara mengatasi masalah pengurusan sisa pepejal yang berlaku di lokasi kajian iaitu di daerah Jempol, Negeri Sembilan.
Rajah 1: Kawasan Kajian
3.0 Punca
Persoalannya di sini, apakah punca disebalik berlakunya isu pengurusan sisa pepejal yang tidak teratur ini? Antara punca berlakunya permasalahan pengurusan sisa pepejal adalah disebabkan oleh pertambahan jumlah penduduk di kawasan tersebut. Menurut Utusan Malaysia (2022), jumlah penduduk di Negeri Sembilan setakat tahun 2020 menunjukkan peningkatan di mana ia mencatatkan seramai 1,199,974 orang penduduk berbanding tahun 2010 iaitu seramai 986,204 orang penduduk. Dalam hal ini, bilangan penduduk yang meningkat dari semasa ke semasa akan menyebabkan tercetusnya permintaan dan pengeluaran sumber yang tinggi serta penggunaan sumber secara berlebihan. Hal ini seterusnya akan menyebabkan berlakunya masalah pengurusan sisa pepejal yang juga berpunca daripada sikap tamak dan membazir yang ada dalam diri penduduk.
Seterusnya, masalah pengurusan sisa pepejal juga adalah berpunca daripada aspek sikap serta pengetahuan penduduk setempat itu sendiri berkaitan pengurusan sisa pepejal. Dalam hal ini, penduduk kurang pendedahan terhadap amalan kitar semula yang sememangnya merupakan langkah yang proaktif dan efisien dalam menjana pengurusan sisa pepejal yang baik di kawasan setempat. Menurut Zaini Sakawi, Katiman Rostam dan Abd Rahim Md Nor (2008), kitar semula merujuk kepada satu usaha mengumpul, memproses dan mengguna semula bahan yang dibuang atau dianggap sebagai sampah. Antara jenis barangan yang sering dikitar semula adalah seperti besi buruk, tin aluminium, kertas, plastik dan getah. Terdapat pelbagai kelebihan di sebalik amalan kitar semula yang dilakukan ini, antaranya adalah dapat mengurangkan kuantiti bahan buangan, mengelakkan daripada berlakunya pencemaran berkaitan alam sekitar, bawaan penyakit serta menjimatkan kos, sumber dan tenaga. Menurut Zaini Sakawi et, al. (2008), amalan kitar semula yang diamalkan dan diwajibkan dalam undang-undang pengurusan sisa buangan negara di Sweden telah membantu negara tersebut mengatasi masalah sisa buangan melebihi 50 peratus melalui kitar semula. Namun begitu, masih ada penduduk yang tidak mengambil endah tentang kepentingan di sebalik amalan kitar semula, khususnya golongan warga emas.
Seterusnya, kekangan masa juga merupakan antara penyebab di sebalik persoalan mengapakah penduduk kurang pendedahan terhadap pengurusan sisa pepejal yang betul. Hal ini berlaku kerana majoriti penduduk di kawasan setempat adalah merupakan individu yang bekerja dan melanjutkan pelajaran di peringkat universiti. Oleh itu, mereka tidak mempunyai masa terluang untuk menyertai apa-apa jenis kempen yang berkaitan dengan pengurusan sisa pepejal, contohnya kempen amalan kitar semula dan kempen kesedaran awam dalam menguruskan penggunaan sisa pepejal. Menurut Zaini, Sofia & Mohd Fauzi (2017), aspek penyertaan masyarakat dalam program pengurusan sisa adalah masih berada pada tahap yang rendah disebabkan oleh kurangnya pendedahan dan program di peringkat pelaksana khususnya Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam dan Pihak Berkuasa Tempatan. Selaras itu, keterbatasan dalam kewujudan fasiliti dan kemudahan seperti premis kitar semula juga merupakan antara penyebab berlakunya masalah pengurusan sisa pepejal yang digunakan oleh penduduk. Justeru itu, jelaslah bahawa pelbagai aspek perlu diambil berat dalam usaha bagi mengelakkan daripada berlakunya masalah pengurusan sisa pepejal yang tidak teratur dalam kalangan penduduk setempat.
4.0 Kesan
Seterusnya, terdapat juga pelbagai impak negatif di sebalik isu pengurusan sisa pepejal yang tidak teratur. Dalam hal ini, sisa pepejal yang tidak diurus dan dibuang dengan sempurna akan menyebabkan berlakunya gangguan atau perubahan terhadap alam sekitar, sama ada kesan tersebut adalah dari aspek persekitaran fizikal mahu pun manusia. Sebagai contoh, impak negatif yang dapat kita lihat dari aspek persekitaran fizikal adalah penecemaran udara. Pencemaran udara ini berlaku disebabkan oleh masalah pelupusan sisa pepejal yang tidak sistematik dalam kalangan penduduk setempat di mana sebahagian daripada penduduk setempat melupuskan sisa pepejal melalui pembakaran secara terbuka. Pembakaran terbuka yang dilakukan menyebabkan berlakunya pencemaran udara yang jelas membahayakan penduduk dan alam sekitar. Buktinya, pelepasan gas berbahaya dan tercemar seperti gas metana dan karbon dioksida ke udara hasil daripada pembakaran terbuka telah mengakibatkan berlakunya peningkatan suhu bagi kawasan petempatan tersebut.
Rajah 2: Kawasan yang dipenuhi sisa pepejal
Dalam pada itu, pengurusan sisa pepejal yang tidak sistematik ini juga telah menganggu kehidupan manusia. Dalam konteks ini kita dapat lihat bahawa permasalahan ini telah menyebabkan manusia ataupun penduduk itu sendiri terpaksa hidup dalam keadaan persekitaran yang teruk, kotor dan tidak selesa. Buktinya, pengurusan sisa pepejal seperti kertas, plastik, logam dan kaca yang tidak teratur akan menyebabkan berlakunya pembawaan penyakit daripada binatang seperti tikus, lipas dan lalat. Sebagai contoh takungan air yang ada dalam botol kaca dan plastik telah menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan hal ini menjadi lebih teruk lagi apabila sisa makanan yang ada dalam beg kertas dan beg plastik telah menyebabkan kehadiran binatang yang kotor seperti tikus, lipas dan lalat. Kesannya, penduduk akan terdedah kepada penyakit bawaan binatang tersebut, contohnya, penyakit taun dan pembiakan E. coli. Oleh itu, jelaslah bahawa pengurusan sisa pepejal yang tidak teratur telah menyebabkan tercetusnya pelbagai impak negatif kepada manusia mahu pun alam sekitar.
5.0 Cara Mengatasi
Justeru itu, inisiatif atau cara bagi mengatasi permasalahan pengurusan sisa pepejal yang tidak teratur ini perlu dilaksanakan oleh pelbagai pihak. Dalam konteks ini, masyarakat atau penduduk itu sendiri memainkan peranan yang sangat besar dalam menangani isu pengurusan sisa pepejal. Dalam hal ini, aspek tingkah laku, kesedaran dan pengetahuan seharusnya ditekankan dalam konteks ini agar sistem pengurusan sisa pepejal di kawasan petempatan menjadi lebih berkesan dan cekap. Disebabkan itu, penduduk seharusnya memiliki sikap bertanggungjawab, berfikiran rasional serta mempunyai kesedaran dalam diri tentang tanggungjawab mereka terhadap penjagaan alam sekitar. Menurut Haliza Rahman (2017), masyarakat berpandangan bahawa kerja pengurusan sisa pepejal dan menjaga kebersihan adalah tugas dan tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan. Hal ini sekali gus mendorong komuniti untuk terus membuang atau meletakkan sisa pepejal di merata-merata tempat tanpa rasa serba salah. Seterusnya, dari aspek pengetahuan pula, penduduk seharusnya mengambil tahu dan peka tentang cara pengurusan sisa pepejal yang betul agar terdedah kepada cara pengurusan sisa pepejal yang betul sekali gus dapat menjaga alam sekitar serta mengetahui impak negatif di sebalik pengurusan sisa pepejal yang tidak teratur. Contohnya, melalui penyertaan kempen berkaitan pengurusan sisa pepejal serta amalan kitar semula. Amalan kitar semula yang juga dikenali sebagai amalan 3R (reduce, reuse & recycle) juga dapat mengurangkan jumlah penjanaan dan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan. Hal ini secara tidak langsung dapat memastikan sumber-sumber alam semula jadi diuruskan dengan bijak dan lestari demi kebaikan generasi masa hadapan dan alam sekitar (Rahman, 2017).
Selain itu, pihak kerajaan juga memainkan peranan yang sangat signifikan dalam menangani isu pelupusan sisa pepejal ini. Dalam hal ini, kelemahan yang paling ketara dalam pengurusan sisa pepejal ini adalah datangnya daripada kemudahan serta fasiliti berkaitan pengurusan sisa pepejal tersebut. Buktinya, bilangan premis serta kemudahan untuk mengitar semula seperti tong kitar semula adalah sangat sedikit bilangannya. Oleh itu, tong kitar semula ini seharusnya diwujudkan di kawasan-kawasan yang sepatutnya, contohnya di bangunan-bangunan pejabat, restoran serta kawasan perumahan. Kewujudan tong kitar semula ini amat membantu masyarakat dalam melakukan kerja pengurusan sisa pepejal dengan lebih mudah dan sistematik. Dalam pada itu, penggunaan teknologi moden dalam pelupusan sisa pepejal juga dapat membantu dalam mengatasi masalah pelupusan sisa pepejal ini. Sebagai contoh, melalui penggunaan teknologi insinerator yang dapat membantu dalam mengatasi isu pengurusan sisa pepejal melalui pembakaran sisa pepejal pada suhu yang tinggi yang seterusnya akan menghasilkan abu dengan isipadu yang rendah sekali gus dapat mengurangkan keperluan kawasan tapak pelupusan. Oleh itu, jelaslah bahawa kedua-dua pihak memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha menangani masalah pengurusan sisa pepejal yang berlaku di kawasan petempatan.
6.0 Kesimpulan
Kesimpulannya, isu pengurusan sisa pepejal yang berlaku di daerah Jempol, Negeri Sembilan merupakan sebuah isu yang perlu diketengahkan kerana isu ini melibatkan ramai pihak, organisma serta alam sekitar. Dalam hal ini, semua pihak hendaklah bertanggungjawab dan bersikap tidak mementingkan sendiri dalam usaha menangani isu pengurusan sisa pepejal ini bak kalam petitih Melayu bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Oleh itu, kita hendaklah memainkan peranan sebagai seorang penduduk dan masyarakat yang prihatin dan sayang akan alam skekitar dengan melakukan amalan kitar semula, membuang sampah di tempat yang disediakan serta mengasingkan sisa pepejal dengan cara yang betul. Dalam hal ini, saya berharap agar masalah pengurusan sisa pepejal yang tidak teratur ini dapat ditangani dari masa ke masa demi kepentingan kepada generasi bangsa pada masa hadapan.
Rujukan
Isa, B. H. M. (2022, June 8). Penduduk Negeri Sembilan kini berjumlah 1.2 juta. Utusan Digital. https://www.utusan.com.my/nasional/2022/06/penduduk-negeri-sembilan-kini-berjumlah-1-2-juta/
Laman Web Rasmi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara. (2015). JABATAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL NEGARA. https://jpspn.kpkt.gov.my/index.php/pages/view/106
Noryanti Nasir, Faridah Zulkipli, Nor Filzah Syazwani Mohd Faizal, Nurfarahin Mohamad Ghadafy & Nur Hazieqah Azman (2021). Peramalan Penjanaan Sisa Pepejal di Negeri Sembilan dan Melaka. Journal of Quality Measurement and Analysis, 17(1), 61-77. Diperoleh daripada https://www.ukm.my/jqma/wp-content/uploads/2021/08/jqma-17-1-paper5.pdf
Rahman, H. A. (2017). Penglibatan Komuniti dalam Pengurusan Sisa Pepejal di Malaysia Climate change View project Youth Involvement in Environmental Issues in Kuala Lumpur and Putrajaya View project. https://www.researchgate.net/publication/319998422
Sakawi, Z., Ayup, S., & Sukimi, M. F. (2017). Pengetahuan komuniti dan amalan pengurusan sisa pepejal di Negeri Sembilan. Malaysian Journal of Society and Space, 13(4), 126–137. https://doi.org/10.17576/geo-2017-1304-12
Zaini Sakawi, Katiman Rostam & Abd Rahim Md Nor (2008). KEPENTINGAN PERTUMBUHAN PREMIS KITAR SEMULA DALAM PENGURUSAN SISA DI MALAYSIA. Jurnal e-Bangi, 3(1), 1-10. Diperoleh daripada https://www.academia.edu/27325331/Kepentingan_pertumbuhan_premis_kitar_semula_dalampengurusan_sisa_di_Malaysia
Disediakan oleh:
NUR SYAKIRAH BINTI HUSSAIRY
D20191088325
HGM3033 (A)
No comments:
Post a Comment