Thursday, June 16, 2022

PENCEMARAN SAMPAH SARAP MENGANGGU KESELESAAN HIDUP PENDUDUK DI MARANG, TERENGGANU

PENGENALAN

Masalah pencemaran sampah sarap sudah lama wujud di negara ini. Pencemaran sampah boleh ditakrifkan sebagai pembuangan benda atau bahan hasil daripada aktiviti manusia kepada alam sekitar menyebabkan terganggunya keselesaan atau kemandirian kehidupan masyarakat. Kebanyakan negara membangun termasuk Malaysia berdepan dengan masalah pelupusan sampah selari dengan peningkatan kadar urbanisasi yang tidak terancang dan pertumbuhan penduduk yang pesat. Pelbagai kaedah telah digunakan untuk menyelesaikan masalah pencemaran sampah ini. Namun, usaha tersebut belum cukup berkesan kerana ia memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak seperti pihak kerajaan, badan-badan NGO dan juga masyarakat. Justeru, Akta Kualiti Alam Sekitar (1974), memperuntukkan pencemaran merujuk kepada sebarang perubahan sama ada secara langsung mahupun tidak langsung kepada sifat fizik, biologi, kimia atau aras radiasi terhadap alam sekeliling dengan mengeluar, meletakkan atau melepaskan buangan hingga merisikokan manusia, tumbuhan serta haiwan

Sampah sarap adalah benda atau bahan yang tidak digunakan lagi dan tidak mendatangkan sebarang faedah malah boleh memudaratkan jika ia disimpan. Jenis sampah seperti bekas makanan akan menyebabkan keadaan sekeliling berbau busuk dan juga menarik tikus dan lalat yang mana boleh membawa penyakit jika dibiarkan. Barang-barang yang telah dibuang selalunya terdiri bekas-bekas yang boleh menakung air dan berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk. Sampah-sampah yang terdiri daripada benda tajam seperti potong tin dan pecahan kaca menyebabkan kawasan itu dapat merisikokan keselamatan masyarakat. Selalunya sisa-sisa sampah sarap itu dibuang dan dilonggokkan di kawasan pembuangan sampah dan benda utama yang diperhatikan adalah seperti barangan plastic terutamanya beg plastik dan botol plastik. Penghasilan kuantiti dan jenis sampah adalah bergantung kepada kegiatan dan aktiviti penduduk di kawasan tersebut.

Disamping itu, peningkatan sisa pepejal adalah dipengaruhi oleh pertumbuhan penduduk dari masa ke semasa. Tempat pembuangan sampah yang terbuka menarik tumpuan masyarakat yang bersikap tidak prihatin untuk melakukan pencemaran alam sekitar. Sikap masyarakat seperti ini akan memberi masalah kepada penduduk setempat dengan membuang sampah sesuka hati mereka. Kesan pembuangan sampah sarap yang tidak betul dapat menjejaskan kesihatan dan menganggu keselesaan penduduk yang tinggal di sekitar tempat pembuangan sampah terbuka tersebut. Masalah pencemaran sampah sarap akibat lambakan sisa pepejal dapat dilihat di kawasan perumahan yang ada di Marang, Terengganu ini. Masalah pembuangan sampah ini telah menjadi isu dan perlu ditangani dengan segera.

 

KAWASAN KAJIAN

Kawasan di daerah Marang menjadi pilihan lokasi kajian kerana terdapat beberapa tempat terutama di kawasan perumahan yang kerap berlakunya pencemaran sampah sarap. 

Peta 1: Kawasan di daerah Marang

RINGKASAN KES

Masalah pembuangan sampah sarap yang bertaburan masih lagi berlaku di sekitar kawasan Marang ini. Namun, mengikut pemerhatian yang telah dibuat, lambakan sampah sarap di sekitar tempat pembuangan sampah sering berlaku yang terutama terdiri daripada sisa domestik penduduk setempat. Hal ini menyebabkan, imej tempat pembuangan sampah akan terjejas akibat daripada lambakan sampah yang hingga bertaburan di tepi jalan. Justeru, taburan sampah sarap yang tidak dikutip mengikut pada masa yang ditetapkan akan menghasilkan bau yang busuk kepada penduduk yang tinggal berhampiran dengan tempat pembuangan sampah.


 Rajah 1: Tempat pembuangan sampah sarap di kawasan daerah Marang


PUNCA PENCEMARAN SAMPAH SARAP

Masalah pembuangan sampah sarap yang menyebabkan berlakunya pencemaran alam sekitar di Malaysia kini masih lagi berlaku. Pembuangan sampah seperti sisa domestik berada pada tahap kritikal terutamanya di kawasan yang mempunyai penduduk yang ramai. Kawasan pembuangan sampah yang berbau busuk, jijik dan bertaburan di merata-rata tempat dan tidak sedap mata memandang mengakibatkan penduduk yang tinggal berhampiran akan merasa kurang selesa. Berikut adalah merupakan punca-punca yang boleh menyebabkan berlakunya pencemaran sampah sarap terutama kawasan di daerah Marang ini.

Antara punca yang berlakunya pencemaran sampah sarap adalah masyarakat setempat bersikap pentingkan diri. Masalah pembuangan sisa domestik yang tidak betul juga berpunca daripada sikap pentingkan diri sesetengah penduduk. Hal ini disebabkan oleh terdapat penduduk di kawasan daerah Marang ini yang tidak mengambil peduli sekiranya kawasan persekitaran mereka kotor dan berbau, asalkan rumah mereka bersih dan terjaga. Kurangnya ilmu pengetahuan tentang cara pengurusan sampah sarap yang betul sehingga menyebabkan mereka membuang sampah sarap di merata-rata tempat tanpa menghiraukan orang sekeliling. Sikap seperti ini boleh mengundang pergaduhan di antara jiran-jiran sekiranya tidak diubah dari sekarang. Ini adalah bukti bahawa kesedaran orang ramai tentang kepentingan mengekalkan persekitaran yang bersih masih lagi rendah. Sekiranya masalah ini berlarutan, sudah tentu ia akan memberi kesan negatif kepada alam sekitar terutamanya oleh sikap tidak bertanggungjawab manusia dalam pengurusan sampah sarap yang betul. Justeru, sekiranya masyarakat setempat tidak mengambil inisiatif untuk membendung masalah pembuangan sampah, pencemaran alam sekitar akan terus berlaku.

Selain itu, jadual pengutipan sampah yang tidak teratur oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyebabkan banyak kawasan menghadapi limpahan sampah yang bukan sahaja menimbulkan kesan bau malah memburukkan pemandangan kawasan sekeliling. Penduduk setempat yang ramai di sesuatu kawasan menyebabkan pembuangan sampah semakin meningkat. Hal ini menyebabkan, sampah yang dibuang oleh para penduduk akan cepat penuh di dalam tong sampah sehingga melimpah keluar walaupun sehari sahaja. Bayangkan jika jadual pengutipan sampah yang tidak teratur dan pengurusan masa yang tidak sistematik oleh pihak PBT, tempat pembuangan sampah akan menjadi lebih teruk dan berbau serta boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar. Keadaan ini menyebabkan penduduk setempat terpaksa mengambil inisiatif dengan membuang sampah pada hari berikutnya di luar tong sampah yang telah disediakan. Penduduk berasa kecewa kerana tiada tindakan yang diambil oleh PBT walaupun aduan dibuat berhubung dengan lambakan sampah yang tidak dikutip pada masanya. Oleh itu, lambakan sampah yang tidak dikutip oleh pihak yang bertanggungjawab mengikut jadual yang telah dibuat akan mendorong berlakunya pencemaran udara iaitu bau sampah yang tidak menyenangkan masyarakat yang tinggal berhampiran itu.

Disamping itu, kurangnya penyediaan tong sampah terutama di kawasan perumahan menyebabkan sisa pepejal sering melimpah sehingga ke tepi jalan. Kadang kala, terdapat juga penduduk dari kawasan lain turut membuang sampah di tong sampah yang sama. Keadaan ini berpotensi untuk berlakunya lambakan sisa pepejal dengan cepat kerana peningkatan penduduk di sesuatu kawasan. Kekurangan penyediaan tong sampah di kawasan utama menyebabkan penduduk terpaksa membuang sampah di tempat yang sama walaupun tong sampah telah pun penuh. Sekiranya pihak bertanggungjawab tidak mengutip sampah pada tepat masanya, lambakan sampah ini akan terus berlaku. Hal ini menyebabkan timbunan sampah di kawasan tersebut semakin meningkat dan menimbulkan kemarahan penduduk akibat daripada masalah kekurangan penyediaan tong sampah. Masalah ini menjadi lebih teruk apabila menjelang musim perayaan atau majlis keramaian, kawasan pembuangan sampah itu menjadi lautan sampah sehingga menimbulkan bau yang kurang menyenangkan. Oleh itu, pihak PBT haruslah mengambil tindakan dengan segera dalam menyelesaikan isu dalam kalangan penduduk di kawasan tersebut.

 

KESAN PENCEMARAN SAMPAH SARAP

Masalah pembuangan sampah sarap yang tidak terurus dan sistematik pasti akan menimbulkan kesan negatif kepada alam sekitar mahupun manusia. Justeru, masalah pembuangan sampah yang berlaku di kawasan Marang ini akan menjejaskan kesihatan penduduk sekitar. Ini kerana pengurusan sampah sarap yang kurang terurus akan menarik perhatian haiwan pembawa penyakit seperti tikus, lipas, lalat dan nyamuk Aedes untuk membiak di tempat yang tercemar itu. Perbuatan membuang sampah sembarangan bukan sahaja mencemarkan pemandangan dan menghasilkan bau busuk malah mewujudkan tempat pembiakan nyamuk Aedes yang merisikokan kesihatan dan nyawa penduduk setempat. Nyamuk Aedes akan membiak dalam bekas takungan air dan membawa virus menyebabkan demam denggi. Penyakit taun, malaria dan rotavirus merupakan wabak penyakit akibat daripada timbunan sisa domestik. Pengumpulan sampah jangka panjang juga boleh menyebabkan peningkatan bilangan haiwan dan serangga. Kesan daripada persekitaran fizikal yang tidak sihat dapat menjejaskan kesihatan manusia seperti risiko untuk terkena demam denggi, kencing tikus dan keracunan makan yang boleh membawa maut. Justeru, ia juga turut mengundang haiwan liar seperti monyet, khinzir dan anjing yang boleh menjejaskan tahap kebersihan di sekitar kawasan itu.      

Seterusnya, kesan pencemaran sampah sarap boleh menyebabkan berlakunya pencemaran bau di sekitar kawasan penempatan penduduk. Pengurusan sampah yang tidak diurus dengan baik menghasilkan bau busuk dan tidak menyenangkan. Pencemaran bau adalah satu gangguan yang boleh membawa kepada situasi yang tidak selesa, berbahaya kepada individu dan penurunan nilai harta benda. Pencemaran bau ini berlaku di sekitar kawasan Marang ini akibat daripada pengendalian sampah sarap yang kurang berkesan. Kebiasaannya, bau yang kurang menyenangkan ini berpunca daripada sisa makanan dan sampah yang dibuang bertaburan di sekitar tempat pembuangan sampah oleh penduduk setempat. Malah, masalah ini telah menyebabkan laluan jalan untuk menuju ke kawasan penempatan penduduk itu tercemar sehingga mengeluarkan bau yang busuk sekali gus menimbulkan rasa tidak selesa kepada penduduk sekitar. Pencemaran bau ini akan terkesan terutama kepada penduduk yang tinggal berhampiran dengan tempat pembuangan sampah serta mencemarkan imej kawasan tersebut.

Pencemaran udara juga merupakan salah satu kesan daripada masalah pencemaran sampah sarap yang berlaku di kawasan ini. Hal ini berlaku kerana, lambakan sampah di tempat pembuangan sampah yang tidak dikutip oleh pihak bertanggungjawab sehingga menyebabkan penduduk mengambil inisiatif lain bagi melupuskan sampah mereka sendiri. Tindakan penduduk dengan membakar sampah sarap secara terbuka di sekitar kawasan rumah mereka terutama pada waktu petang. Pembakaran sampah sarap terbuka akan menghasilkan pencemaran udara dalam bentuk asap, habuk dan gas pencemar. Bukan itu sahaja, aktiviti pembakaran sisa sampah secara terbuka ini juga menggalakkan pembebasan gas pencemar seperti karbon dioksida, karbon monoksida, sulfur dioksida, hidrokarbon dan bahan-bahan lain. Pembakaran terbuka adalah punca utama kemerosotan kualiti udara yang boleh membahayakan kesihatan awam.


CADANGAN PENYELESAIAN

Bagi mengatasi masalah pencemaran sampah sarap di kawasan daerah Marang ini memerlukan penglibatan daripada semua pihak sama ada pihak kerajaan negeri, PBT, kerajaan pusat dan penduduk setempat. Segala perancangan yang perlu dilaksanakan bagi mengatasi masalah pencemaran sampah sarap ini tidak akan berjaya tanpa usaha dan sokongan daripada semua pihak. Berikut merupakan cadangan yang boleh dilaksanakan oleh semua pihak dalam bersama-sama menangani masalah ini.

Antaranya langkah yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan adalah dengan membantu agensi pengurusan sampah. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sewajarnya bertindak sebagai jambatan penghubung antara penduduk kawasan masing-masing dan agensi pengurusan sampah. PBT perlu menjalankan pemantauan secara berkala setiap bulan untuk memahami keperluan penduduk dalam menguruskan pelupusan sampah. Dengan kerjasama yang baik dengan agensi pengurusan sampah, adalah mungkin untuk mengenal pasti tong sampah dan jadual pengurusan yang boleh disesuaikan mengikut keperluan penduduk sekitar. Salah satu langkah yang telah dilakukan dan diselenggara dengan teliti ialah penyediaan tong sampah yang besar dan banyak pada hari perayaan dimana selalunya banyak pembersihan dan sisa biasanya dihasilkan pada waktu tersebut. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap anggota masyarakat untuk memastikan sisa sampah dapat dilupuskan dengan baik.

Memperkasakan penguatkuasaan undang-undang juga merupakan salah satu langkah yang sesuai bagi membendung masalah ini. Penguatkuasaan undang-undang boleh dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan mengenakan tindakan seperti denda atau hukuman penjara sekiranya penduduk setempat masih lagi berdegil membuang sampah sesuka hati. Hukuman sebegitu pastinya dapat memberi pengajaran kepada semua penduduk di kawasan daerah Marang itu agar tidak mengulangi kesilapan yang sama. Malah, PBT juga boleh melakukan pemantauan berkala bagi aktiviti pembuangan sampah yang boleh menyebabkan pencemaran sampah sarap sekurang-kurangnya 3 kali seminggu. Dengan penglibatan PBT secara langsung, aspek alam sekitar di sekitar kawasan itu akan lebih terjaga dan sedap mata memandang kerana ia adanya pemantauan yang rapi. Nampaknya, tindakan memperkasakan penguatkuasaan undang-undang dilihat mampu mengatasi masalah pencemaran sampah sarap.

Akhir sekali, aktiviti pengutipan sampah masih menjadi masalah kerana tidak dikutip mengikut jadual yang ditetapkan. Adalah disyorkan untuk meningkatkan kutipan sampah di kawasan perumahan penduduk setempat terutama pada hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah. Perancangan dibuat untuk mengutip sampah pada setiap hari oleh pihak PBT bagi melaksanakan tanggungjawabnya untuk menjaga kebersihan sesuatu kawasan itu. Tindakan mengutip sampah setiap hari dapat mengurangkan isu pencemaran sampah sarap kesan daripada lambakan sampah yang sering kali berlaku. Penduduk yang tinggal berhampiran dengan tempat pembuangan sampah juga dapat hidup dengan selesa tanpa ada pencemaran bau busuk. Oleh itu, pihak PBT haruslah menyusun atur semula jadual pengutipan sampah di kawasan ini agar tidak menimbulkan sebarang isu yang tidak diingini.

 

KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, pencemaran sampah sarap yang berpunca daripada masalah lambakan sampah sarap merupakan isu yang tidak pernah selesai dan berlarutan di negara kita. Kesan pencemaran sampah sarap boleh mendatangkan pelbagai kesan negatif yang boleh mengancam kehidupan manusia serta menjejaskan persekitaran alam sekitar. Masalah pencemaran sampah sarap ini tidak dapat dibendung sepenuhnya, tetapi semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing dan sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi berlakunya lambakan sampah. Justeru, semua penduduk setempat hendaklah sentiasa prihatin dan tidak bersikap pentingkan diri terhadap isu pembuangan sampah serta perlu bekerjasama antara satu sama lain untuk kebaikan bersama. Akhir kata, melindungi dan menjaga keindahan alam sekitar merupakan tanggungjawab manusia agar dapat hidup dalam keadaan yang selesa dan harmoni.

 

RUJUKAN

Haliza. (2009). Penglibatan Masyarakat Awam di Malaysia Dalam Isu Berkaitan Persekitaran. Jurnal Sarjana Jilid, 24(2).

Mohamadisa, Rosmini & Khalizul. (2011). Isu dan Pengurusan Sisa Pepejal di Pulau Pangkor, Perak. Jurnal Perspektif Jil, 3(1), (78-94).

Muhammad Fiqrurazi. (2015). Masalah Longgokan Sampah Kawasan Perumahan Berteres Kajian Kes: Taman Universiti, Skudai, Johor.

Musfirah. (2017) Persepsi Penduduk Terhadap Kutipan Sisa Pepejal Di Kawasan Luar Bandar.

Shawal. (2021). Analisa Tahap Kesedaran Komuniti Terhadap Tahap Pencemaran Industri Kajian Kes: Yan, Kedah. Jurnal Sains Sosial Malaysian, 6 (1), (97-107)




NAMA: NURUL ANIS BINTI TAJUDIN

NO. MATRIK: D20201094296

KUMPULAN: B 

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...