Friday, June 17, 2022

ISU KEJADIAN TANAH RUNTUH DI RANAU, SABAH.

1.0 Pengenalan 


Kejadian tanah runtuh adalah suatu jenis bencana geologi yang menjadi isu dan dihadapi di Malaysia. Tanah runtuh merupakan fenomena atau proses yang menyebabkan pergerakan bahan pembentuk cerun sama ada batuan, tanah atau gabungan keduanya ke bawah dan keluar dari kedudukan asalnya akibat pengaruh graviti (Hutchinson, 1988). Menurut Hamzah Hussin et al., (2015) pula, kejadian tanah boleh didefinisikan sebagai satu proses semulajadi yang sering berlaku di kawasan perbukitan, sama ada perbukitan semulajadi atau kawasan yang telah diganggu oleh aktiviti manusia.

            Secara ringkasnya, tanah runtuh atau gelinciran tanah adalah peristiwa geologi yang sering mengancam keselamatan manusia dan harta benda di Malaysia. Tanah runtuh merujuk kepada keadaan semulajadi kawasan yang berpotensi untuk berlaku pergerakan cerun. Ia ditakrifkan sebagai kebarangkalian berlakunya tanah runtuh dalam sesuatu magnitud, dalam tempoh masa yang telah ditetapkan, dan di kawasan tertentu (James B., Joy J. P. & Ibrahim Komoo, 2003).

Justeru, penulisan ini memfokuskan daerah Ranau sebagai lokasi kajian kerana kawasan ini sering dikaitkan dengan kejadian tanah runtuh, kegagalan cerun, mendapan, gelongsoran dan gelinciran tanah yang berlaku secara semula jadi ataupun akibat gangguan atau aktiviti manusia terhadap cerun semula jadi. Menurut Prof. Madya Dr. Rodeano Roslee dalam laporan akhbar Utusan Malaysia (2021), Sabah lebih berisiko berlaku tanah runtuh berbanding Semenanjung walaupun bentuk muka buminya adalah sama. Hal ini kerana Sabah mempunyai banyak kawasan tanah runtuh domain iaitu kawasan yang sudah lama tidak berlaku tanah runtuh, tetapi berpotensi untuk berlaku semula berikutan faktor pencetus seperti gegaran dan hakisan. Tambahan pula, pekan Kundasang turut diklasifikasikan sebagai zon aktif tanah runtuh.


2.0 Kawasan Kajian (Daerah Ranau, Sabah)




Kawasan kajian bagi isu fenomena tanah runtuh ini adalah di daerah Ranau, Sabah. Ranau merupakan sebuah daerah yang terletak di bahagian Pantai Barat Utara Negeri Sabah dan mempunyai topografi tanah tinggi, iaitu terletak di antara di antara garisan latitude 5° 40' U dan 6° 00" U dan garisan longitude 116° 15' T dan 116° 35' T. Daerah Ranau dikelilingi oleh tujuh buah daerah lain iaitu daerah Tuaran, Kota Belud, Tambunan, Keningau, Pitas, Kota Marudu dan Beluran seperti yang dapat dilihat dalam Peta 1 di atas. Terdapat tiga rangkaian jalan raya utama yang menghubungkan daerah Ranau dengan bandar dan daerah sekitarnya iaitu jalan raya Ranau – Tamparuli, jalan raya Ranau – Tambunan, dan jalan raya Ranau – Telupid/ Sandakan.

Asal usul nama daerah Ranau ini dikatakan berasal dari perkataan 'ranahon' yang bermaksud kawasan sawah padi dalam bahasa Dusun. Pada asalnya, masyarakat di daerah Ranau mengusahakan tanaman padi huma memandangkan bentuk muka buminya yang berbukit bukau, manakala penduduk di lembah Ranau mengusahakan tanaman padi sawah atau dalam bahasa tempatan, ranahon. Perkataan ranahon ini akhirnya telah disingkatkan dan dipendekkan menjadi Ranau dan diambil sebagai pengenalan daerah ini.

Secara geografinya, kawasan daerah Ranau ini dicirikan sebagai cerun-cerun tebing berbukit-bukau yang diatasi oleh jalan raya yang menjadi penghubung utama ke daerah lain. Sekitar kawasan ini  juga masih diliputi oleh kawasan hutan dan berbukit bukau. 


3.0 Faktor berlakunya bencana tanah runtuh

Faktor-faktor bencana geologi iaitu tanah runtuh di Malaysia telah banyak diperbincangkan. Ini meliputi faktor semula jadi dan faktor akibat aktiviti manusia.

Faktor pencetus utama kebanyakan kes tanah runtuh di Ranau adalah disebabkan hujan. Kedudukan negara Malaysia yang terletak berhampiran garisan khatulistiwa menyebabkan negara ini mempunyai kelembapan yang tinggi dengan purata hujan tahunan sebanyak 2500mm. Keadaan ini sekali gus menjadikan kawasan di Malaysia terdedah kepada kejadian tanah runtuh kerana hujan adalah salah satu faktor pencetus bencana geologi tersebut. Faktor hujan sama ada turun secara berlebihan atau turun dalam tempoh masa yang lama. Air hujan yang masuk ke dalam tanah akan melonggarkan struktur tanah atau batuan serta meningkatkan tekanan air dalam tanah. Kesannya, tanah kehilangan sifat kohesifnya, menjadi longgar dan mudah bergerak atau beralih ke tempat lain, atau dalam erti kata lain berlakunya tanah runtuh. Keadaan ini dapat dilihat semasa atau selepas musim hujan, banyak berlaku kegagalan cerun berskala kecil atau besar terutamanya di jalan raya Ranau – Tamparuli.

Selain itu, faktor geologi am di kawasan kajian. Kundasang, Ranau yang terkenal dengan fenomena tanah runtuh ini terletak di ketinggian 1500 m dari aras laut dengan morfologi lembah dan perbukitan yang curam di kebanyakan tempat. Tajul et al., (2020) menyatakan bahawa kawasan ini didasari oleh dua jenis batuan utama jenis sedimen dan meta-sedimen dari Formasi Crocker dan Trusmadi. Bukan itu sahaja, turut dijumpai granit intrusi beserta mendapan aluvium kuarterner aktif di kawasan ini. Faktor pengendapan sedimen kuarterner tinggi lemung serta aktiviti tektonik yang aktif mendorong kepada pergerakan secara rayapan terhadap cerun-cerun perbukitan yang ada sekaligus mengakibatkan kejadian tanah runtuh semula jadi yang tinggi di sini. Rayapan merupakan satu keadaan di mana tanah runtuh bergerak dengan kadar yang amat perlahan akibat sifat kelikatan bahan berlempung di dalam tanah (Nazer & Tarantino, 2016).

Seterusnya, faktor penyumbang lain kewujudan tanah runtuh lama turut menyumbang kepada berlakunya kegagalan cerun dan mengakibatkan tanah runtuh. Tanah runtuh lama bermaksud tanah runtuh yang berlaku, mungkin puluhan atau ratusan tahun yang lalu dan lazimnya boleh diaktifkan semula apabila berlaku gangguan pada ekosistem fizikalnya, sama ada oleh aktiviti manusia atau cuaca ekstrim (hujan lebat dan berpanjangan). Kundasang, Ranau dikenali sebagai sebuah kompleks gelinciran tanah kerana kawasan ini terdapat banyak unit dan sistem tanah runtuh yang berbagai bentuk, saiz, ragam dan usia. Tanah runtuh lama (sama ada muda, dewasa atau tua) adalah geobahaya yang boleh mendatangkan bencana (berisiko geobencana). Namun, kewujudan geobahaya ini sering terlepas pandang disebalik kerencaman topografi dan litupan tumbuhan yang tebal di kawasan tanah tinggi tropika (Tajul et al., 2020). Justeru, pembangunan infrastruktur di kawasan berbukit dan tanah tinggi ini secara langsung mendedahkan pelbagai masalah geoteknik dan risiko geobencana susulan pengaktifan semula tanah runtuh lama yang seterusnya mendorong kepada kejadian tanah runtuh.

Selain faktor semula jadi, aktiviti manusia juga adakalanya membantu mempercepatkan kejadian tanah runtuh, contohnya kerja-kerja pembinaan tidak mengikut spesifikasi dan reka bentuk jurutera serta amalan kejuruteraan yang baik. Jika diperhatikan, kebanyakan kawasan lereng-lereng bukit di jalan utama Ranau semakin banyak ditarah atau digondolkan untuk memajukan sistem pengangkutan jalan raya, membina kawasan penginapan, aktiviti pertanian dan sebagainya. Aktiviti pembinaan yang giat dijalankan di cerun bukit di sepanjang laluan jalan raya Ranau – Tamparuli ini telah menyebabkan perubahan dari segi sifat cerun dan struktur asal batuan dan tanah di kawasan tersebut. Tarikan daya graviti yang berterusan terhadap bahan bumi terutamanya yang terletak di kawasan yang berbukit menyebabkan cerun tersebut berpotensi untuk gagal atau runtuh. 

4.0 Impak negatif fenomena tanah runtuh

Rajah 2: Perubahan bentuk muka bumi akibat tanah runtuh. 


Rajah 3: Kawasan tempat letak kereta di Taman Kinabalu yang runtuh.

Fenomena tanah runtuh yang berlaku menyebabkan perubahan landskap yang ketara terhadap permukaan bumi. Jatuhan dan timbunan tanah, batuan dan lumpur daripada tanah runtuh menyebabkan kawasan tanah tinggi mungkin menjadi rata, selain turut menyebabkan cerun tanah atau batuan di kawasan yang terjejas menjadi semakin cerun dan tidak stabil. Selain itu, kawasan hutan turut musnah akibat proses kejadian tanah runtuh kerana pergerakan tanah meranapkan persekitarannya.  

Bukan itu sahaja, geobencana ini turut memberi impak negatif kepada manusia seperti risiko keselamatan dan kerosakan serta kerugian harta benda. Buktinya, kegagalan cerun yang berlaku di Ranau meranapkan tempat letak kereta di Taman Kinabalu, Kundasang. Selain itu, fenomena tanah runtuh ini juga mengganggu kemudahan sistem pengangkutan yang menyebabkan pergerakan masyarakat terbatas dan terganggu. Batu atau tanah yang runtuh akibat kegagalan cerun menyebabkan laluan jalan raya terputus dan menghalang kenderaan untuk melaluinya. Keadaan ini sekali gus menyebabkan pergerakan masyarakat terbatas.

Kemusnahan harta benda akibat tanah runtuh ini pula menyebabkan negara kerugian berjuta-juta ringgit begitu sahaja. Kerugian yang berlaku biasanya melibatkan kemusnahan harta benda seperti kemudahan jalan raya, bangunan dan rumah penduduk di sekitar kawasan yang terjejas. Kesannya, kerajaan terpaksa membelanjakan berjuta-juta ringgit sebagai kos pemulihan dan pembinaan semula kemudahan serta memberi pampasan kepada mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh. Buktinya, kos pemulihan bagi kerosakan akibat kejadian tanah runtuh dan banjir di Sabah dikatakan mencecah RM150 juta. 


5.0 Cadangan penyelesaian

Pengurusan bencana dan risiko tanah runtuh amat memerlukan pemahaman dari segi faktor geologi, geoteknikal dan geomorfologi cerun. Antara langkah untuk mengatasi isu ini ialah dengan memastikan pembangunan yang terancang. Pihak berkuasa seperti pihak kerajaan, jabatan tanah dan jabatan hutan perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan pembangunan terancang atau pembangunan yang mampan dilaksanakan. Sebagai contoh, pihak-pihak yang bertanggungjawab ini perlu mengenalpasti keadaan tanah dan risiko kejadian tanah runtuh yang bakal dibangunkan agar dapat menghasilkan pembangunan yang lestari dan selamat.

Langkah lain yang boleh diambil bagi mengurangkan risiko tanah runtuh adalah dengan menjalankan pemantauan berterusan di kawasan-kawasan berisiko seperti di sepanjang laluan jalan raya Ranau – Kota Kinabalu yang terkenal dengan isu tanah runtuh. Di samping itu, pemasangan atau penggunaan alat inklinometer, GIS serta pemetaan geologi perlu diluaskan bagi memudahkan mengesan pergerakan tanah dengan kerap serta untuk mengenal pasti risiko tanah runtuh. Melalui penggunaan alat inklinometer atau meter kecondongan, pihak yang bertanggungjawab seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) boleh mengetahui kadar pergerakan tanah dan apabila mencapai tahap abnormal atau apabila pergerakan tanah semakin cepat, pihak-pihak yang bertanggungjawab boleh segera mengambil langkah mitigasi tanpa perlu menunggu kejadian tanah runtuh berlaku.

Selain itu, kejadian tanah runtuh juga dapat diatasi dengan menanam semula pokok-pokok di cerun bukit terutamanya di kawasan yang telah dibangunkan. Penggondolan kawasan hutan menyebabkan ikatan tanah menjadi longgar akibat kehilangan cengkaman akar-akar pokok lalu mudah menggelongsor akibat terdedah kepada hujan lebat. Justeru, penanaman semula pokok atau tanaman tutup bumi di kawasan ini dapat membantu menyekat pergerakan tanah daripada dibawa aliran air bawah tanah yang berupaya menggelongsorkan tanah yang tidak stabil.  

            Selain itu, penduduk sekitar juga perlu diberikan kesedaran dan pendedahan tentang tanda-tanda awal tanah runtuh. Hal ini agar penduduk lebih cakna dengan perubahan pergerakan tanah di kawasan masing-masing terutama apabila berlaku tanda awal seperti retakan pada struktur rumah atau tanah dan boleh melaporkan kepada pihak yang bertanggungjawab. Di samping itu, pasukan penyelamat yang memberikan bantuan juga perlu mempunyai pengetahuan atau ilmu yang tinggi terhadap jenis dan sifat tanah dan batuan serta jenis bantuan yang paling sesuai diberikan. Ini kerana, tindakan anggota penyelamat mengorek tanah tanpa memahami ciri-ciri tanah dan batuan boleh mengundang kepada pergerakan susulan tanah yang mungkin akan merisikokan keselamatan anggota penyelamat.

           

6.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, fenomena tanah runtuh di Ranau tercetus disebabkan oleh faktor hujan yang turun secara berlebihan atau turun dalam tempoh masa yang lama disertai dengan faktor-faktor penyebab sedia ada, iaitu sifat geologi dan morfologi kawasan tersebut. Tanah runtuh ini boleh berupa gelinciran, gelongsoran dalam atau rayapan dan berlaku dalam skala besar atau kecil. Namun, cepat atau lambat proses kejadian tanah runtuh adalah disebabkan oleh gangguan aktiviti manusia.

Lantaran itu, pihak kerajaan perlu bergerak secara agresif bagi menangani kewujudan geobahaya yang semakin kerap berlaku kerana ia boleh menyebabkan kerosakan harta benda, kehilangan nyawa, kecederaan atau impak kesihatan, gangguan kepada sosial dan ekonomi serta kerosakan alam sekitar. Bukan itu sahaja, penduduk sekitar juga perlu didedahkan dengan pengetahuan dan cara mengenal pasti indikasi awal kejadian tanah runtuh di kawasan sekitar mereka sebagai langkah awal dalam menghadapi bencana alam sebagai langkah untuk mengelakkan kehilangan nyawa. 



Sumber rujukan:

Hamzah Hussin, Sarah Aziz Abdul Ghani, Tajul Anuar Jamaluddin & Mohammad Khairul Azhar Abdul Razab. (2015). Tanah runtuh di Malaysia: 'Geobencana' atau 'Geobahaya,'. J. Teknol77(1), 229-235. https://www.academia.edu/21219088/Tanah_Runtuh_Di_Malaysia_Geobencana_Atau_Geobahaya_?auto=citations&from=cover_page

Izwan Abdullah. (2021, Januari 21). RM150 juta nilai kerosakan akibat banjir, tanah runtuh di Sabah. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/779479/rm150-juta-nilai-kerosakan-akibat-banjir-tanah-runtuh-di-sabah

Jabatan Tanah dan Ukur Daerah Ranau, 2019. Peta Daerah. Ranau ; MDR.

James Bachat, Joy Jacqueline Pereira & Ibrahim Komoo. (2003). Geoindikator tanah runtuh di kawasan pembangunan: kajian kes di Daerah Hulu Langat. Warta Geologi (Newsletter of the Geological Society of Malaysia)29(3). https://www.researchgate.net/profile/Joy-Pereira-2/publication/318867776_Geoindikator_tanah_runtuh_di_kawasan_pembangunan_kajian_kes_di_Daerah_Hulu_Langat/links/5982858ba6fdcc8b56f5816f/Geoindikator-tanah-runtuh-di-kawasan-pembangunan-kajian-kes-di-Daerah-Hulu-Langat.pdf

Nazer, N. S. M., & Tarantino, A. (2016). Creep response in shear of clayey geo-materials under saturated and unsaturated conditions. In E3S Web of Conferences (Vol. 9, p. 14023). EDP Sciences. https://doi.org/10.1051/e3sconf/20160914023

Siti Jahara Matlan, Sazliana Abdullah, Rohaya Alias & Muhammad Mukhlisin. (2018).  Effect of Working Rainfall and Soil Water Index on Slope Stability in Ranau, Sabah. International Journal of Civil Engineering and Technology, 9(7), pp. 1331-1341. http://www.iaeme.com/IJCIET/issues.asp?JType=IJCIET&VType=9&IType=7

Suraidah Roslan. (2021, Disember 7). Risiko tanah runtuh Sabah lebih tinggi. Utusan Malaysia. https://www.utusan.com.my/nasional/tragedi/2021/12/risiko-tanah-runtuh-sabah-lebih-tinggi/

Tajul Anuar Jamaluddin, Norasiah Sulaiman & Nor Shahidah Mohd Nazer. (2020). Geomorphological assessment of past landslides in tropical highlands – Case studies from Cameron Highlands and Kundasang, Malaysia. Bulletin of the Geological Society of Malaysia69, 111–124. https://doi.org/10.7186/bgsm69202010

 
 
 
NAMA : NUR SYAZLEENA HIEW
NO. MATRIK : D20201094279
KUMPULAN : B

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...