Saturday, June 18, 2022

ISU PENEMPATAN SETINGGAN DI KG. MANGKALINAU, SANDAKAN, SABAH

PENGENALAN

Kawasan setinggan merupakan kawasan yang telah lama wujud tidak kira di luar bandar atau di bandar, negara membangun atau negara sedang membangun kerana masih terdapat banyak masyarakat yang kurang berkemampuan akibat taraf hidup yang tinggi. Istilah setinggan mengikut Akta Darurat ianya merupakan apa-apa rumah, pondok, bangsal, gerai, tempat perteduhan dan sebagainya yang dibina di atas tanah kerajaan atau swasta tanpa pengiktirafan dan kelulusan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Menurut Kanun Tanah negara 1965 di bawah seksyen 425(1)(a) menegaskan bahawa penerokaan, kependudukan atau pembinaan bangunan di atas tanah hak pihak lain sama ada hak milik kerajaan, rizab kerajaan, tanah agensi kerajaan, tanah komuniti atau tanah persendirian secara haram adalah tidak sah di sisi undang-undang. Walaupun terdapat pelbagai alternatif yang telah dilakukan oleh kerajaan tetapi ianya sukar dibendung dan tidak mampu untuk mengendalikan permasalahan ini kerana jumlah kawasan setinggan dan penghuninya yang terlalu ramai. 

Negara Malaysia sudah pasti tidak ketinggalan mengenai isu setinggan. Antara salah sebuah tempat setinggan di Malaysia ialah di Kampung Mangkalinau, Sandakan, Sabah. Kampung Mangkalinau atau lebih dikenali sebagai Kg. Mangka merupakan salah sebuah perumahan setinggan di Sandakan, Sabah yang tidak diiktiraf dan dibina tanpa kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan. Sandakan merupakan salah sebuah daerah yang mempunyai banyak kawasan setinggan. Kg. Mangka merupakan perumahan setinggan kayu yang dibina di atas air iaitu kawasan paya bakau. Pada awalnya, Kg. Mangka ini hanya terdapat beberapa buah rumah sahaja tetapi kawasan kampung ini semakin lama semakin meluas akibat pertambahan penduduk dan rumah di kampung tersebut sehingga tidak terkira jumlahnya. Pertambahan penduduk di kampung ini dapat diibaratkan cendawan tumbuh selepas hujan. Kebanyakan penghuni yang membina dan menetap di kawasan setinggan tersebut adalah daripada golongan rakyat yang tidak berkemampuan untuk membeli rumah akibat kos sara hidup yang tinggi. Bukan itu sahaja, kebanyakannya juga adalah daripada golongan yang tidak mempunyai sebarang dokumen iaitu pendatang asing tanpa izin (PATI). Isu kawasan setinggan sebegini bukan sahaja menjadi penempatan haram dan tidak sah di sisi undang-undang tetapi ianya juga telah mendatangkan pelbagai permasalahan yang berlaku. Sehubungan dengan itu, tugasan ini akan menjelaskan tentang punca-punca berlaku masalah setinggan masalah-masalah yang berlaku dan cadangan untuk menyelesaikan masalah ini.

 

 

Gambar: Kampung Mangkalinau 


Gambar: Kampung Mangkalinau 


FAKTOR-FAKTOR KEWUJUDAN ISU SETINGGAN DI SANDAKAN

 

Antara faktor utama yang menyebabkan berlaku kewujudan isu setinggan di Sandakan khususnya di kg. Mangka adalah disebabkan oleh kos sara hidup yang tinggi. Proses pembandaran di kawasan bandar menyebabkan pertambahan jumlah penduduk. Apabila jumlah penduduk semakin bertambah maka permintaan terhadap keperluan barangan dan perkhidmatan turut bertambah.  Permintaan yang bertambah dan penawaran yang kurang menyebabkan berlaku kenaikan tingkat harga umum barangan dan perkhidmatan secara berterusan. Hal ini demikian bukan sahaja berlaku di bandar Sandakan tetapi satu Malaysia.  Kesan daripada perang Rusia-Ukraine telah menjejaskan sektor import dan mengakibatkan penawaran kurang manakala permintaan tinggi, peningkatan kuasa beli dan kenaikan gaji minimum menyebabkan peniaga akan menaikkan harga barangan pengguna tidak mempunyai pilihan selain untuk membeli untuk kelangsungan hidup (Sinar Harian, 2022). Bukan itu sahaja, pertambahan penduduk juga menyebabkan guna tanah semakin meluas iaitu pembinaan sektor perumahan telah dibina bagi menampung jumlah penduduk di Sandakan. Walau bagaimanapun, terdapat masyarakat yang tidak mampu untuk membeli rumah tersebut kerana harganya yang mahal. Kenaikan harga global terhadap bahan binaan terutamanya simen dan besi tidak mengecualikan Malaysia dan mendorong kepada kenaikan harga rumah dalam masa terdekat ini. Kontraktor dan pemaju juga terpaksa menyerap kenaikan kos ini yang memberikan kesan negatif kepada keuntungan operasi mereka. Perkara ini sememangnya tidak dapat dielakkan sehingga memberi kesan kepada pengguna akhir iaitu rakyat (Nurfarahin & Shafiqah S.,2022). Oleh itu, apabila harga barangan dan perkhidmatan di pasaran meningkat menyebabkan harga barang menjadi lebih mahal. Hal ini telah memberi kesan kepada penduduk yang mempunyai pendapatan yang rendah sehingga menyebabkan mereka terpaksa membina rumah di kawasan setinggan akibat kos sara hidup yang tinggi bagi mengurangkan tanggungan dan bebanan hidup khususnya keluarga yang besar seperti mempunyai ramai anak.

 

            Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) merupakan salah satu punca berlaku kewujudan kawasan setinggan Kg. Mangka, Sandakan. PATI Merupakan golongan yang memasuki atau tinggal di sesebuah negara lain secara haram iaitu tidak mengikut undang-undang imigrasi seperti yang berlaku di Malaysia yang mana ramai warga asing telah memasuki negara Malaysia tanpa permit dan kebenaran yang sah di sisi undang-undang. Kebanyakan mereka memasuki Malaysia tidak menggunakan laluan utama malah mereka menggunakan laluan belakang yang lebih dikenali sebagai lubang tikus. Malaysia merupakan salah sebuah negara yang dibanjiri oleh PATI. Buktinya, seramai 18,355 PATI ditahan pada tahun 2020 oleh jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen). Pada keseluruhan pati yang ditahan, tangkapan tertinggi adalah daripada Indonesia yang membabitkan seramai 7018 orang, diikuti Bangladesh (3060), Myanmar (2401), Filipina (1478), Thailand (1186), India (1095), Pakistan (795), Vietnam (366), Nepal (323), China (312), dan bakinya adalah dari lain-lain negara (Muhammad Afham Ramli, 2020). Kebanjiran PATI di Malaysia adalah disebabkan oleh faktor pekerjaan. Hal ini demikian, di Malaysia menyediakan banyak peluang pekerjaan dan nilai mata wang di Malaysia adalah lebih tinggi berbanding di negara asal mereka. Oleh itu, demi mencari nafkah untuk menyara keluarga, mereka sanggup menyeberang ke negara Malaysia tanpa permit untuk mendapatkan pendapatan yang lebih baik. Kegiatan penyeludupan PATI di sempadan Malaysia-Thailand yang meningkat sejak akhir-akhir ini dipercayai disebabkan ekonomi di negara ini kembali rancak menyebabkan banyak peluang pekerjaan tersedia (Zuliaty Zulkifli, 2022). Sehubungan itu, kedatangan mereka dalam bilangan yang banyak, tidak mempunyai dokumen yang sah serta mempunyai masalah kewangan menyebabkan mereka tidak mempunyai tempat tinggal dan terpaksa mendirikan kawasan perumahan secara haram iaitu petempatan setinggan. Kg. Mangka merupakan kampung yang tidak terasing daripada PATI. Malahan hampir 50% penduduk yang tinggal di Kg. Mangka adalah daripada golongan PATI. Menurut Asyikin Asmin (2021), Seramai 117 pendatang asing tanpa izin ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Sabah dalam operasi bersepadu di kawasan setinggan Mangkalinau Batu 3 Sandakan. Daripada jumlah pati yang ditahan, 115 adalah warga Filipina manakala dua lagi warga Indonesia dan semua yang ditahan disyaki tiada dokumen pengenalan diri yang sah. Kehadiran PATI telah menimbulkan masalah kawasan setinggan yang tidak teratur serta menyukarkan pihak kerajaan. 

 

            Peningkatan aktiviti perindustrian atau perkilangan merupakan salah satu faktor berlaku peningkatan jumlah penduduk di kawasan setinggan Kg. Mangka. Secara umumnya, pembukaan lebih banyak kawasan industri memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk untuk merebut peluang yang lebih banyak bagi mengubah hidup mereka. Hal ini demikian menyebabkan berlaku migrasi penduduk sama ada dari luar bandar ke bandar atau bandar ke bandar memandang pembukaan industri telah banyak menyediakan banyak peluang pekerjaan.  Pembangunan kawasan perindustrian telah menggalakkan pertambahan penduduk kerana pekerja luar bandar tertarik dengan pembukaan kawasan bandar baru kerana mempunyai peluang pekerjaan yang banyak (Ishak Shari & Asan Ali Golam Hassan,1997). Malangnya, hal ini menjadikan penduduk di kawasan bandar bertambah padat dan mengakibatkan kemudahan kediaman dan penempatan tidak dipenuhi. Kesannya, sebagai alternatif yang lebih mudah, golongan ini menjadikan kawasan setinggan sebagai pilihan mereka memandangkan mereka perlu menstabilkan dulu ekonomi mereka. Namun rata-rata penduduk yang menjadikan setinggan sebagai kediaman mereka telah menyebabkan masalah setinggan di negara ini terus berlaku. Kejadian seperti ini berlaku sama di Kg. Mangka yang mana Kg. Mangka yang terletak di Batu 3, Sandakan sebenarnya adalah merupakan kawasan perindustrian dan perkilangan. Perkilangan yang banyak menyebabkan penduduk di Kg. Mangka semakin bertambah. Kebanyakan penduduk di Kg. Mangka adalah bekerja di kilang-kilang yang terdapat di kawasan tersebut dan merupakan pekerja buruh. Bagi menjimatkan kos sara hidup mereka telah membina perumahan setinggan supaya tempat tinggal mereka dekat dengan perumahan mereka. Hampir semua pekerja kilang-kilang di batu 3 adalah berjalan kaki untuk pergi ke kerja. Tambahan pula, sebahagian besar daripada mereka adalah golongan PATI dan hal ini menyebabkan kejadian semakin rancak yang mana ramai majikan lebih memilih pekerja buruh warga asing kerana mereka dibayar jauh lebih murah berbanding penduduk tempatan. Ketiadaan dokumen mengakibatkan mereka untuk sukar untuk mendapatkan tempat tinggal secara sah di sisi undang-undang. Kesannya, berlaku peningkatan penduduk dan perumahan setinggan di Kg. Mangka.

 

MASALAH YANG TIMBUL DI KG. MANGKALINAU

Antara permasalahan yang timbul di kawasan setinggan iaitu Kampung Mangkalinau adalah pencemaran alam sekitar. Kawasan setinggan merupakan kawasan yang dihuni oleh penduduk secara tidak sah di sisi undang-undang menyebabkan ketiadaan sistem kependudukan dan kemudahan infrastruktur seperti sistem pengurusan sampah, sistem kumbahan, penjanaan elektrik dan sebagainya. Kira-kira 700 penduduk di perkampungan setinggan atas air ini sukar memohon bekalan elektrik susulan status kampung yang tidak diiktiraf sejak didirikan 30 tahun lalu (Poliana Ronnie Sidom, 2019). Ketidakwujudan sistem pengurusan di kawasan setinggan ini menyebabkan pelbagai permasalahan yang timbul seperti pencemaran alam sekitar. Kawasan setinggan dikatakan punca utama berlaku pencemaran air disebabkan terdapat banyak pembuangan sampah, pembuangan najis tanpa memikirkan kesan terhadap alam sekitar. Selain itu, pembuangan sisa kumbahan dari rumah seperti air basuhan dan sisa makanan ke bawah rumah tanpa adanya saluran perparitan menyebabkan keadaan sungai menjadi bertambah kotor (Mohd Fadzil Abdul Rashid, 2012). Semua penduduk Kg. Mangka membuang sisa pepejal dan sampah ke bawah rumah susulan tidak mempunyai sistem pengurusan sampah. Bukan itu sahaja, Kg. Mangka juga tidak mempunyai sistem kumbahan sehingga terpaksa membuang najis secara langsung ke bawah rumah iaitu atas air. Selain itu, pembuangan sampah secara berterusan (hari-hari) menyebabkan berlakunya longgokan sampah serta air masin yang tercemar oleh pembuangan sisa makanan dan najis. Terdapat banyak lontaran anggapan dan  persepsi negatif daripada masyarakat luar terhadap isu yang berlaku.

 

 


 Gambar: Pembuangan Sisa pepejal

 


 

Gambar: Longgokan Sampah di Kg. Mangka

 

Seterusnya, masalah yang timbul disebabkan oleh isu perumahan setinggan adalah berlaku masalah sosial oleh penduduk setempat. Secara amnya, penduduk yang dihuni oleh perumahan setinggan biasanya daripada golongan yang tidak mempunyai pengetahuan dan pendidikan tinggi serta golongan yang berpendapatan rendah serta tidak mempunyai dokumen yang sah iaitu pendatang asing tanpa izin. Lebih parah lagi kawasan setinggan merupakan salah sebuah gudang simpan dadah. Kebiasaannya daripada golong PATI. Sebagai contoh, Polis merampas 40kilogram dadah dipercayai ganja yang dianggarkan bernilai RM117,000 dalam sebuah bilik di rumah setinggan di Selatan (Muhammad Aminnuraliff, 2021). Hal yang sama berlaku di Kg. Mangka yang mana sepasukan anggota polis telah menahan seorang lelaki yang dipercayai suspek iaitu cubaan menyembunyikan dadah dengan menanamnya dalam lumpur di kampung Mangkalinau (Poliana Ronnie Sidom, 2017). Seterusnya, kegiatan negatif yang sering berlaku di Kg. Mangka adalah kecurian. Hal ini demikian disebabkan ramai golongan daripada penduduk Kg. Mangka mempunyai taraf pendidikan yang rendah serta kurang berpengetahuan menyebabkan mereka sukar untuk mencari pekerjaan. Desakan hidup untuk menyara ahli keluarga menyebabkan mereka terpaksa mencuri, merompak, meragut dan sebagainya disebabkan oleh kesukaran mendapatkan pekerjaan.

 

CADANGAN-CADANGAN PENYELESAIAN MASALAH SETINGGAN KG. MANGKA

Kewujudan kawasan-kawasan setinggan merupakan masalah yang perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan dan perlu segera diatasi bagi melancarkan proses pembandaran sesebuah kawasan terutama di kawasan bandar. Dalam pada itu, pihak kerajaan haruslah mengambil pelbagai langkah dan inisiatif yang proaktif bagi menangani isu masalah setinggan di kawasan-kawasan bandar bagi melestarikan proses pembandaran.

Antara langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh kerajaan adalah memperbanyakkan Projek Perumahan Rakyat (PPR). Pembinaan PPR ini merupakan salah satu kaedah untuk menghapuskan perumahan setinggan di Sandakan. PPR yang dilakukan oleh pihak Kerajaan negeri Sabah merupakan salah satu langkah penyelesaian yang proaktif bagi menyediakan perumahan yang lebih baik dan kos sewa rumah yang lebih rendah. Walau bagaimanapun, projek PPR tidak dapat menampung jumlah penduduk setinggan yang terlalu ramai akibat pembinaan projek yang terhad. Oleh itu, kerajaan perlu memberi peruntukkan yang lebih kepada pembinaan PPR agar boleh menampung jumlah penduduk yang tinggal di kawasan setinggan. Kewujudan PPR ini sangat membantu dalam meringankan beban golongan yang berpendapatan rendah untuk menikmati gaya dan kualiti hidup yang lebih baik serta mampu mengurangkan permasalahan yang timbul disebabkan oleh kawasan setinggan sebelum ini. Menurut Juzaimie Jazlan (2017), sebanyak 273 rumah dirobohkan di Kg. Mangka selepas penghuni setinggan terbabit menerima kunci unit rumah PPR yang ditawarkan kepada mereka di Taman Harmoni. Walaupun begitu, masih terdapat banyak rumah setinggan yang belum diroboh akibat pembinaan PPR yang tidak dapat menampung jumlah penduduk Kg. Mangka. Oleh itu, cadangan langkah mengatasi masalah ini adalah pihak kerajaan perlu menambah lagi pembinaan PPR.

Cadangan yang kedua adalah memperkasakan penguatkuasaan undang-undang. Pihak kerajaan perlu meningkatkan lagi kerjasama antara pihak NGO dan Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Perbandaran Sandakan (MPS). Pihak yang terlibat haruslah sering memantau Keadaan persekitaran di kawasan-kawasan bandar dan kawasan yang berhampiran dengan bandar agar tiada penduduk yang berani untuk mendirikan perumahan setinggan di atas tanah milik kerajaan secara haram dan tidak sah di sisi undang-undang. Kerjasama yang padu dan langkah yang proaktif daripada pelbagai pihak sememangnya dapat membantu untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera. Kebanyakan yang mendirikan rumah secara haram adalah daripada golongan PATI kerana mereka tidak mempunyai sebarang dokumen untuk membeli rumah yang diiktiraf serta mempunyai pendapatan yang rendah. Oleh itu, pihak kerajaan seperti imigresen boleh mengadakan operasi serbuan yang lebih kerap bagi mengurangkan penduduk PATI. Secara langsung masalah setinggan dapat diselesaikan walaupun mengambil masa yang lambat. Kebanyakan PATI yang menetap di Kg. Mangka adalah berasal daripada Filipina. Oleh itu, jelaslah bahawa jika kerajaan memperkasakan penguatkuasaan undang-undang boleh membantu untuk membendung perumahan setinggan yang kebanyakan adalah penghuni PATI.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, masalah setinggan merupakan isu yang belum dapat diselesaikan sehingga kini. Bukan itu sahaja, kawasan setinggan juga menyebabkan pelbagai masalah yang muncul dan memberi kesan kepada penduduk lain. Hal ini demikian akan terus berlaku jika tidak ditangani dan dibendung secara tegas. Namun jika kerajaan dan pelbagai pihak bersatu untuk bekerjasama, secara tidak langsung isu ini akan beransur pulih walaupun mengambil dalam masa yang lama. Bukan itu sahaja, penduduk yang menetap di perumahan setinggan juga harus diberi pendedahan tentang kesan-kesan yang berlaku jika mereka menetap di kawasan setinggan dalam jangka waktu yang panjang. Keselamatan penduduk di kawasan setinggan adalah tidak terjamin kerana kawasan tersebut merupakan pembinaan rumah secara haram. Oleh itu, menyediakan perumahan dan petempatan yang selesa kepada rakyat menjadi salah satu tanggungjawab yang besar bagi kerajaan yang memerintah. Dalam pada itu, persekitaran rumah yang selesa dan teratur boleh menyelamatkan anak-anak muda daripada tergelincir dalam aktiviti kurang sihat seterusnya membantu masyarakat untuk mengelakkan pelbagai masalah sosial.

 

RUJUKAN

Asyikin Asmin. (2021, April 11). Imigresen gempur setinggan di Sandakan. Sinar Harian. Diperoleh daripada https://www.sinarharian.com.my/article/133017/BERITA/Semasa/Imigresen-gempur-setinggan-di-Sandakan

Ishak Shari & Asan Ali Golam Hassan. (1997). Migrasi Wanita Melayu Luar Bandar ke Bandar Kesan dan Implikasi Sosio-Ekonomi. Kedah: Universiti Utara Malaysia. Diperoleh daripada https://www.researchgate.net/publication/341270703_Migrasi_Penduduk_dan_Kualiti_Hidup_Masyarakat_Bandar_dan_Luar_Bandar

Juzaimie Jazlan. (2017, Oktober 17). 774 rumah setinggan diroboh. Berita Harian Online. Diperoleh daripada https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2017/10/338577/774-rumah -setinggan-diroboh

Muhammad Afham Ramli. (2020, Ogos 06). 18355 PATI ditahan sejak Januari. Sinar Harian. Diperoleh daripada https://www.sinarharian.com.my/article/95407/BERITA/Nasional/18355-PATI -ditahan-sejak-Januari

Nurfarahin Hussin & Shafiqah Shukor. (2022, Jun 11). Harga rumah dijangka naik 20 peratus. Utusan Malaysia. Diperoleh daripada https://www.utusan.com.my/ekonomi/2022/06/harga-rumah-dijangka-naik-20-peratus/

Poliana Ronnie Sidom. (2019, Mei 02). Penduduk harap status Kampung Mangkalinau diiktiraf. Berita Harian Online. Diperoleh daripada https://www.bharian. com.my/berita/p olitik/2019/05/559338/penduduk-harap-status-kampung-mangkalinau-diiktiraf

Sinar Harian. (2022, Mei 18). Harga barangan mungkin meningkat sehingga 60 peratus bulan depan. Sinar Harian. Diperoleh daripada https://www.sinarharian.com.my/article/202795 /BERITA/Nasional/Harga-barangan-mungkin-meningkat-sehingga-60-peratus-bulan-depan

Zuliaty Zulkifli. (2022, Januari 03). Faktor pekerjaan tarikan PATI masuk negara Malaysia. Harian Metro. Diperoleh daripada https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/01/795798/faktor-peke rjaan -tarikan-pati-masuk-negara-ini-metrotv

 

 

 

NAMA: DG.KU NUR FAZWENA FAIN BINTI PG SAIDTUDIN

NO. MATRIK: D20201094352

KUMPULAN: A


Virus-free. www.avast.com

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...