Thursday, June 16, 2022

ISU KAWASAN SETINGGAN DI SEKITAR DAERAH TAWAU, SABAH

Iman Haikal bin Ab Manan (D20201094354)

ISU KAWASAN SETINGGAN YANG WUJUD DI SEKITAR DAERAH TAWAU, SABAH

1.0 PENGENALAN 

Isu kawasan setinggan merupakan sebuah isu yang tidak asing lagi di negara Malaysia. Terdapat pelbagai berita yang disiarkan berkaitan dengan masalah setinggan yang dihadapi di Malaysia. Isu ini juga telah memberikan kesukaran kepada pihak berkuasa dalam menangani masalah yang berkaitan dengan ekonomi dan sosial di sesebuah kawasan di negara ini. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (t.t), setinggan merujuk kepada orang yang menempati tanah kerajaan secara haram. Penempatan setinggan ini boleh dilihat di beberapa kawasan di negara kita sebagai contoh di Tawau, Sabah yang dapat dilihat banyak kawasan setinggan yang wujud di sekitar daerah Tawau. Sebagai contoh di Tawau juga banyak kawasan setinggan yang dibina di atas air dan juga di darat dan keadaan ini menyukarkan lagi untuk pihak berkuasa mengatasi isu tersebut. 

    Tawau merupakan bandar ketiga yang terbesar di Sabah selepas Kota Kinabalu dan juga terletak di kawasan pantai timur Sabah (Sabah Tourism, t.t). Jumlah keluasan Tawau juga adalah seluas 6,125 kilometer persegi. Tawau juga merupakan daerah yang banyak dengan kawasan setinggan sama ada di darat dan di atas air. Antara kawasan setinggan yang terdapat di sekitar Tawau termasuklah Kampung Kurnia Jaya Batu 4, Tawau, Kampung Sri Titingan dan sebagainya. Kewujudan kawasan penempatan yang tidak sah ini telah menimbulkan pelbagai masalah kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). 




Gambar 1 menunjukkan Peta Sabah dan Daerah Tawau


2.0 RINGKASAN KES : KAWASAN SETINGGAN DI SEKITAR DAERAH TAWAU

Isu yang hendak dibincangkan merupakan isu masalah setinggan yang wujud di sekitar bandar Tawau. Kewujudan kawasan setinggan merupakan isu yang menjadi bualan hangat kerana isu ini merupakan isu yang berkaitan dengan penduduk yang sudah tidak asing lagi bagi negara Malaysia. Kewujudan setinggan di daerah ini juga telah berlaku sejak sekian lama. Antara kawasan setinggan yang paling dikenali ramai di daerah Tawau termasuklah Kampung Kurnia Jaya Batu 4, Tawau, Kampung Sri Tintingan, Tawau serta Kampung Tanjung Batu Darat. Keadaan ini juga telah dipengaruhi dengan pelbagai keadaan yang telah memaksa penduduk yang tidak berkemampuan untuk mendirikan kawasan perumahan di atas tanah kerajaan tanpa sebarang pengesahan daripada PBT. Oleh hal yang demikian, mereka menjadikan kawasan yang terbiar sebagai tapak untuk mereka mendirikan tempat berlindung daripada panas dan hujan. Tanpa pengawasan pihak berkuasa juga ia telah menyebabkan kawasan setinggan ini semakin meluas, sebagai contoh Kampung Sri Titingan yang berkeluasan 17 hektar dan kampung ini juga terletak berhampiran dengan Bandar Tawau. Nama lain bagi kampung ini juga ialah lebih dikenali dalam kalangan penduduk Bandar Tawau sebagai Kampung Ice Box. Kampung ini turut menjadi setinggan yang paling besar dan terkenal di Tawau. Kewujudan kawasan setinggan di sekitar Tawau ini juga disebabkan oleh kekurangan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan memerlukan lebih banyak pembinaan rumah tersebut.

Gambar 2 menunjukkan kawasan setinggan Kampung Kurnia Jaya Batu 4, Tawau 


Gambar 3 menunjukkan kawasan setinggan Kampung Sri Titingan Tawau 
atau Kampung Ice Box 


3.0 PUNCA KEWUJUDAN KAWASAN SETINGGAN DI SEKITAR DAERAH TAWAU

3.1 Kos Sara Hidup Yang Tinggi 

Kos sara hidup yang tinggi menjadi punca kepada berlakunya kemiskinan dalam kalangan penduduk. Golongan miskin ini akan mempunyai akses yang terhad dalam sesebuah perbelanjaan. Keadaan ini menyebabkan mereka tidak mampu untuk menyara kehidupan mereka. Golongan ini juga berkemungkinan berpunca daripada tahap pendidikan mereka yang rendah yang menyebabkan mereka sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang baik untuk menyara kehidupan (Nor Azrul Mohd Zin & Noordeyana Tambi, 2018). Mereka bukan sahaja tidak mampu untuk menyara keperluan harian mereka malah memiliki rumah sendiri juga tidak mampu. Oleh hal yang demikian, keadaan ini boleh menyebabkan mereka bertindak untuk mencari kawasan untuk mendirikan rumah secara tidak sah di atas tanah kerajaan yang terbiar. Kos sara hidup yang tinggi seperti di kawasan bandar juga boleh mendorong kepada kewujudan kawasan setinggan. Hal ini dapat dibuktikan dengan kawasan setinggan kebiasaannya juga wujud di kawasan berhampiran dengan kawasan bandar, sebagai contoh Kampung Sri Titingan yang terletak berhampiran dengan pusat Bandar Tawau. Hal ini menunjukkan bahawa mereka terpaksa untuk mendirikan kawasan setinggan sebagai langkah untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup mereka dan mencari tempat untuk berlindung dan bekerja di Bandar Tawau.


3.2 Kekurangan PPRT dan Harga Rumah yang Mahal

Salah satu punca yang mendorong kepada berlakunya masalah setinggan adalah disebabkan oleh kekurangan rumah PPRT dan rumah dengan kos yang mahal. Sejak kebelakangan ini juga pihak pemaju perumahan  lebih gemar untuk membangunkan perumahan yang mempunyai kos yang sangat tinggi. Hal ini akan menyebabkan golongan yang tidak berkemampuan hanya memilih untuk mendirikan rumah di kawasan setinggan sebagai langkah yang lebih mudah dan lebih jimat dan juga tidak perlu membayar sewa bulanan yang akan membebankan mereka. Kekurangan rumah kos rendah juga menyebabkan kawasan perumahan yang tinggi juga akan terkesan kerana rata-rata penduduk juga tidak mampu memiliki rumah tersebut. Kesannya pihak pemaju perumahan yang berkenaan akan mengalami kerugian yang besar. Dalam konteks di Tawau, kerajaan digesa untuk memperbanyakkan pembinaan PPR kerana ia bukan sahaja menyelesaikan masalah setinggan malah dapat memenuhi keperluan rakyat (Mohd Rizal Abdullah, 2022). 


3.3 Banyak Kawasan yang Terbiar 

Kawasan yang terbiar ini merupakan salah satu faktor yang paling utama mewujudkan kawasan setinggan. Hal ini dikatakan demikian kerana kebiasaannya kawasan ini tidak mempunyai penjagaan yang rapi dan ketat oleh pihak berkuasa yang memudahkan penduduk yang meneroka kawasan tersebut untuk mendirikan rumah tanpa menghiraukan status pemilikan tanah tersebut. Di sekitar Tawau juga terdapat banyak kawasan lapang yang terbiar yang tanpa kawalan. Kawasan-kawasan seperti tebing sungai, tepi pantai dan tanah yang tidak diusahakan menjadi lokasi yang sering dijadikan tumpuan untuk membina penempatan setinggan. Kebanyakannya orang yang meneroka kawasan ini juga merupakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang ingin mencari tempat tinggal. Tawau juga merupakan daerah yang tinggi dengan kemasukan PATI. Oleh hal yang demikian, kawasan setinggan akan meluas dengan cepat dan bertambah semakin banyak.


4.0 Masalah yang Timbul Disebabkan oleh Kawasan Setinggan 

4.1 Kebakaran 

Kebakaran merupakan masalah yang utama dalam kawasan setinggan. Hal ini dikatakan demikian kerana kebiasaannya kawasan setinggan terdiri daripada rumah kayu kerana bekalan kayu lebih murah dan mudah untuk didapati. Oleh itu, hampir keseluruhan rumah menjadikan kayu sebagai bahan yang utama untuk membina rumah. Kawasan setinggan juga kebiasaanya dibina secara rapat-rapat sehingga boleh menyebabkan berlaku kesukaran untuk mengakses jalan dari sebuah rumah ke rumah. Keadaan ini boleh menyebabkan berlakunya kebakaran dengan mudah dan juga kebakaran boleh merebak dengan cepat. Kesukaran untuk bomba memadamkan kebakaran kerana jalan perhubungan yang sempit menyebabkan kebakaran juga sukar dikawal dan akan memusnahkan banyak rumah. Kawasan setinggan di sekitar Bandar Tawau juga kerap kali menghadapi kebakaran yang teruk, sebagai contoh yang berlaku di Kampung Kurnia Jaya Batu 4 yang berlaku pada 17 Mac 2022 yang telah memusnahkan lebih kurang 500 buah rumah sekaligus dan melibatkan rumah setinggan jenis tidak kekal (Asyikin Asmin, 2022). 


Gambar 4 menunjukkan keadaan semasa kebakaran yang berlaku

di Kampung Kurna Jaya Batu 4, Tawau


4.2 Penyebaran Penyakit

Kawasan rumah setinggan juga boleh mendorong kepada berlakunya penyebaran penyakit. Hal ini dikatakan demikian kerana keadaan persekitaran rumah setinggan kebiasaannya akan dicemari oleh sampah-sarap dan sebagainya. Sampah seperti, bekas plastik, tayar terpakai dan sebagainya boleh menakung air sekali gus boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes, sisa sampah seperti makanan juga akan menjadi tumpuan kepada haiwan perosak seperti lalat dan tikus. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh kawasan setinggan tidak mempunyai sistem pengurusan sampah yang baik seperti tong sampah dan juga lori pengangkut sampah. Oleh hal yang demikian, kawasan setinggan kebiasaannya akan menjadi pusat penyebaran penyakit-berjangkit seperti demam denggi yang berpunca daripada virus yang dibawa oleh nyamuk Aedes, keracunan makanan yang disebabkan oleh kencing tikus dan bakteria yang dibawa oleh lalat. Kesannya, penduduk di kawasan setinggan lebih cenderung untuk mendapat penyakit yang berbahaya. Selain itu, semenjak pandemik COVID-19 yang berlaku di seluruh dunia termasuk Malaysia, kebanyakan kawasan setinggan juga menjadi titik panas atau hotspot untuk virus tersebut merebak. 


4.3 Kawasan Tumpuan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)

Pendatang asing yang datang ke Malaysia akan menjadikan kawasan setinggan sebagai tempat untuk mereka mencari tempat perlindungan. Mereka juga akan mencari kawasan yang terbiar untuk membangunkan rumah-rumah pondok untuk berlindung secara tidak sah. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan hal ini akan mendorong mereka untuk mereka meneroka kawasan yang terbiar untuk dijadikan kawasan tempat tinggal. Mereka kebiasaannya akan mendirikan rumah di lereng bukit, dan tepi sungai. Di Tawau juga kejadian tersebut banyak berlaku, sebagai contoh laporan daripada Berita Harian mengatakan bahawa "seramai 75 PATI telah ditahan atas pelbagai kesalahan selepas Jabatan Imigresen Malaysia menggempur penempatan setinggan dalam operasi bersepadu di sekitar daerah Tawau, pihak berkuasa juga dikatakan telah menggempur penempatan setinggan di Kampung Sungai Buaya, Kampung Pasir Putih dan rumah kongsi Bayan Batu 8, Jalan Apas" (Asyikin Asmin, 2021). Keadaan pendatang asing yang tidak terkawal ini juga telah menimbulkan pelbagai masalah sosial seperti jenayah dan penyeludupan dadah, sebagai contoh "di Tawau 14 daripada 34 kampung berdekatan pesisir pantai dikesan aktif sebagai kawasan panas bagi penyusupan pendatang haram, penyeludupan barang kawalan serta dadah" (Sinar Harian, 2021).



Gambar 5 menunjukkan beberapa PATI yang ditahan di Pusat

Kuarantin dan Depot Tahanan Imigresen Tawau



4.0 CADANGAN PENYELESAIAN KAWASAN SETINGGAN 

4.1 Membina Lebih Banyak Rumah Mampu Milik dan PPRT 

Pihak Majlis Perbandaran merupakan pihak yang bertanggungjawab dalam menyediakan kawasan perumahan yang baik serta kos yang rendah agar penduduk dapat memiliki rumah sendiri. PPRT yang banyak juga dapat memudahkan penduduk untuk mendapatkan rumah mereka dan kawasan perumahan yang dibina juga haruslah dibina di kawasan yang lebih strategik agar tidak membebankan penduduk untuk mencari rezeki. PPRT ini merupakan sebuah program dalam Rancangan Malaysia yang Ketujuh. Objektif projek ini juga bertujuan untuk mengawal serta menempatkan semula penduduk di kawasan setinggan dan meringankan beban golongan miskin dengan membina rumah yang mampu milik dan selesa (Kementerian Pembangunan Luar Bandar).  Pengurangan sewa rumah juga boleh dilakukan untuk memudahkan proses pembayaran sewa pada setiap bulan. Cara ini akan lebih memudahkan penduduk yang merupakan B40 akan dapat menjimatkan perbelanjaan mereka juga. Pembinaan PPRT serta rumah kos yang rendah akan menyebabkan kawasan setinggan dapat dikurangkan keadaan ini juga boleh meningkatkan kualiti hidup rakyat dan sekaligus membasmi kemiskinan.


4.2 Memajukan Lagi Kawasan Pinggir Bandar

Langkah ini juga merupakan langkah yang boleh diterapkan dalam membasmi kawasan setinggan. Hal ini dikatakan demikian kerana lazimnya kawasan bandar sentiasa dimajukan dan merupakan pusat ekonomi bagi sesuatu kawasan, keadaan ini telah memaksa penduduk luar bandar ke kawasan bandar untuk mencari kerja. Hal ini secara tidak langsung telah meningkatkan penghijrahan penduduk luar bandar ke kawasan bandar. Kos sara hidup yang tinggi juga telah memaksa mereka untuk meneroka kawasan baharu dan terbiar untuk membangukan kawasan setinggan tanpa sebarang pengesahan daripada PBT. Dengan pembinaan kawasan setinggan ini mereka akan lebih mudah untuk ke tempat kerja dan lebih menjimatkan masa dan perbelanjaan seharian. Keadaan ini juga telah didorong oleh peningkatan kos rumah dan sewa rumah di kawasan bandar selaras dengan peningkatan penghijrahan penduduk luar bandar.Oleh hal yang demikian, pihak yang bertanggungjawab perlu juga memajukan kawasan pinggir bandar untuk mengelakkan penduduk tertumpu di kawasan bandar. PBT boleh membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang banyak di kawasan pinggir bandar dengan memajukan lagi sektor pembinaan dan ekonomi di pinggir bandar.


5.0 KESIMPULAN 

Kesimpulannya, isu berkaitan kawasan setinggan ini merupakan isu yang tidak berpenghujung di Malaysia. Saban tahun pelbagai langkah serta penambahbaikan yang telah dilakukan untuk membasmi kawasan setinggan ini namun, masalah ini juga tiada penghujungnya. Kawasan setinggan ini juga perlu diatasi secara menyeluruh kerana kawasan setinggan di negara ini juga telah membawa pelbagai masalah yang besar kepada negara ini, sebagai contoh kawasan setinggan kebiasaannya akan menjadi pusat kepada masalah jenayah dan sosial seperti pusat penagihan dan penyeludupan dadah. Selain itu, kawasan setinggan ini juga boleh menjadi tempat penyebaran penyakit-berjangkit seperti denggi dan virus. Kawasan setinggan ini juga bukan sahaja berpunca daripada penduduk yang tidak bertanggungjawab membangunkan kawasan setinggan secara tidak sah malah kawasan setinggan juga sukar diatasi disebabkan oleh sesetengah PBT, Majlis Negeri yang tidak mengambil berat tentang isu tersebut dengan membiarkan kawasan terbiar tanpa pengawasan pihak berkuasa. Realitinya, kawasan setinggan yang wujud ini juga hanyalah disebabkan oleh golongan yang tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri dan mereka terpaksa melakukan perkara tersebut untuk mencari tempat perlindungan. Namun begitu, situasi tersebut bukanlah perkara yang boleh dijadikan alasan. Oleh itu, setiap rakyat dan PBT juga perlu lebih bijak dalam bersama-sama mengatasi masalah ini agar semua rakyat mendapat hak yang sama rata.



RUJUKAN

Abdul Rahemang Taiming. (2019, Mac 20). Lebih 100 rumah didirikan secara haram bakal diroboh. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/03/543287/lebih-100-rumah-didirikan-secara-haram-bakal-diroboh

Asyikin Asmin. (2021, Mac 1). 75 PATI ditahan, Imigresen gempur setinggan di Tawau. Sinar Harian. https://www.sinarharian.com.my/article/126279/BERITA/Semasa/75-PATI-ditahan-Imigresen-gempur-setinggan-di-Tawau

Asyikin Asmin. (2022, Mac 17). 500 rumah setinggan terbakar di Tawau. Sinar Harian. https://www.sinarharian.com.my/article/193373/BERITA/Semasa/500-rumah-setinggan-terbakar-di-Tawau

Kamus Dewan Edisi Keempat. (t.t). Maksud Setinggan. https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=setinggan

Laman Web Rasmi Kementerian Pembangunan Luar Bandar. PPRT. https://www.rurallink.gov.my/program-perumahan-rakyat-termiskin-pprt/

Nor Azrul Mohd Zin & Noordeyana Tambi. (2018). Faktor Kemiskinan Bandar terhadap Pembangunan Pendidikan Golongan Lewat Kembang. Jurnal Psikologi Malaysia, 32(3), 119-130. https://www.researchgate.net/publication/331641683_Faktor_Kemiskinan_Bandar_terhadap_Pembangunan_Pendidikan_Golongan_Lewat_Kembang_Factors_of_Urban_Poverty_towards_the_Development_of_Late_Bloomer's_Education

Sinar Harian. (2021, Oktober 14). 14 kampung di Tawau 'hotspot' bagi seludup pendatang asing, dadah. Sinar Harian. https://www.sinarharian.com.my/article/166913/EDISI/14-kampung-di-Tawau-hotspot-bagi-seludup-pendatang-asing-dadah

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...