Thursday, June 16, 2022

MASALAH KESESAKAN LALU LINTAS DI JALAN GAMBANG, BATU 10, KUANTAN, PAHANG

Pengenalan

Kesesakan lalu lintas merupakan suatu situasi yang sering di alami di bandar mahupun pinggir bandar. Masalah lalu lintas merupakan antara masalah utama kerana mengganggu kelancaran penggunaan jalan raya. Hal ini menjadi sesuatu yang serius apabila aktiviti serta rutin harian pengguna jalan raya terganggu yang berpunca akibat peningkatan kenderaan dalam tempoh masa tertentu (Shamsul, 2016). Kemajuan yang kita kecapi menyebabkan sebilangan besar rakyat Malaysia mempunyai lebih daripada satu kenderaan secara puratanya. Terdapat sebanyak 26,301,952 buah kenderaan yang berdaftar pada tahun 2015 dan 11,871,968 buah daripada angka jumlah tersebut merupakan motokar dan 12,094,790 daripada jumlah angka tersebut adalah motosikal (Jabatan Pengangkutan Jalan, 2016). Oleh itu, ini menunjukkan bahawa kenderaan merupakan suatu keperluan yang sangat penting pada masa kini untuk kemudahan rutin harian.

Kawasan kajian

Rajah 1: Peta kawasan kajian, Batu 10, Jalan Gambang

Kawasan kajian yang dipilih untuk membangkitkan isu ini ialah di lampu isyarat Batu 10, Jalan Gambang. Terdapat beberapa kawasan perumahan di sekitar kawasan ini iaitu Taman seri Mahkota Aman, Taman Seri Mahkota Jaya dan Perkampungan Jaya Gading. Selain itu terdapat juga tiga buah sekolah di kawasan sekitar iaitu Sekolah Menengah Seri Mahkota, Sekolah Kebangsaan Wira dan Sekolah Kebangsaan Pengkalan Tentera. Jalan ini merupakan jalan utama yang menghubungkan pusat bandar Kuantan, pinggir bandar Kuantan serta kawasan pekan Gambang.

Ringkasan kes

Rajah 2: Kesesakan lalu lintas di kawasan Batu 10 dari Gambang ke pusat bandar.

Rajah 3: Kesesakan lalu lintas di kawasan Batu 10 dari pusat bandar ke Gambang.

Kesesakan lalu lintas sering berlaku terutama pada waktu puncak iaitu pada waktu pagi, tengah hari dan petang pada hari bekerja. Hal ini berlaku kerana sebilangan penduduk di pinggir bandar iaitu penempatan persekitaran kawasan kajian dan juga penduduk di kawasan Gambang ingin ke tempat kerja di pusat bandar serta menghantar anak ke sekolah dan menuju ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang. Manakala pada hari minggu kesesakan lalu lintas akan berlaku pada waktu tengah hari dan petang apabila penduduk di kawasan pinggir bandar menuju ke pusat bandar untuk meluangkan masa lapang pada hari minggu. Kesesakan lalu lintas juga akan berlaku ketika cuti musim perayaan dan juga cuti persekolahan yang panjang. Isu ini menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk di kawasan sekitar akibat daripada pencemaran udara, pencemaran bunyi serta membahayakan keselamatan murid sekolah yang berjalan kaki ke sekolah.

Punca masalah kesesakan lalu lintas

Terdapat beberapa punca berlakunya masalah kesesakan lalu lintas ini. Antaranya ialah masalah tempoh lampu isyarat yang singkat. Hal ini menyebabkan hanya beberapa buah kenderaan yang dapat melepasi lampu isyarat sebelum ia bertukar merah. Bilangan kenderaan yang banyak pada waktu pagi dan petang dan tempoh masa yang singkat menyebabkan peningkatan bilangan kenderaan yang berada di jalan raya terutama sekali ketika waktu pergi dan waktu pulang kerja serta waktu pergi dan balik persekolahan. Isu ini menjadi masalah utama kepada pemandu bas dan van sekolah apabila proses menghantar dan mengambil murid-murid menjadi lebih lama dan mengakibatkan ada murid yang perlu bangun terlalu awal pada waktu pagi agar tidak lambat ke sekolah.


Rajah 4: Lokasi kedudukan sekolah-sekolah di kawasan Batu 10

Seterusnya, lokasi sekolah-sekolah yang berdekatan merupakan salah satu punca kepada masalah kesesakan lalu lintas berlaku. Hal ini kerana sesi persekolahan tamat pada waktu yang sama menyebabkan pertembungan kenderaan ibu bapa, bas dan van sekolah yang berpusu-pusu masuk ke kawasan luar sekolah untuk mengambil anak-anak dan murid-murid pulang. Isu ini bertambah buruk apabila jalan utama ke sekolah-sekolah ini juga merupakan laluan lori-lori kelapa sawit dan juga lori-lori bauksit serta merupakan jalan selorong bagi kedua-kedua bahagian jalan raya tersebut. Tempoh masa lampu isyarat yang pendek serta penambahan dan pertembungan kenderaan pada waktu puncak menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku lebih lama daripada jangkaan pengguna jalan raya.

Masalah yang dihadapi daripada masalah kesesakan lalu lintas

Masalah kesesakan lalu lintas ini memberi kesan kepada penduduk setempat. Antara kesan yang dihadapi oleh penduduk setempat ialah mengancam keselamatan murid. Jarak kawasan penempatan yang hampir dengan kawasan sekolah menyebabkan sebilangan murid-murid yang berjalan kaki untuk ke sekolah bagi menjimatkan kos tambang pengangkutan ke sekolah dan sebagainya. Apabila bilangan kenderaan yang kian meningkat dan kesesakan lalu lintas berlaku, inisiatif bagi murid untuk berjalan kaki ke sekolah adalah membimbangkan kerana mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami kemalangan kerana murid-murid menggunakan laluan bahu jalan untuk ke sekolah.

Kesan yang seterusnya ialah pencemaran udara dan pencemaran bunyi. Setiap kenderaan melepaskan asap dan gas tercemar ke persekitaran lalu menyumbang kepada pencemaran di ruangan atmosfera. Bahan-bahan pencemar yang dibebaskan akan terampai di ruangan atmosfera dan meningkatkan tahap kepekatan PM10 di kawasan sekitar akibat tiupan angin (Hairy, Fauziah, Mazlini & Kalsum, 2016). Kenderaan melepaskan gas seperti karbon dioksida ke udara dan menyebabkan pencemaran berlaku seperti bau asap kenderaan yang kuat dan tidak sihat untuk dihidu terutama bagi murid-murid sekolah yang berhampiran serta penduduk di kawasan penempatan sekitar. Kenderaan persendirian yang terlampau banyak menyumbang kepada kesan negatif terhadap sumber tenaga yang dapat meningkatkan pencemaran persekitaran (Azlan, Azahan & Jamaluddin, 2017). Oleh itu, gerai-gerai makanan di tepi jalan mempunyai risiko tinggi untuk tercemar jika tidak ditutup dengan rapi. Enjin kenderaan seperti motor dan bas menghasilkan bunyi yang kuat dan ini akan mengakibatkan pencemaran bunyi kepada penduduk setempat dan juga pelanggan di gerai-gerai makan di tepi jalan.

Cadangan untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas

Antara cadangan yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas ini ialah dengan memanjangkan tempoh masa lampu isyarat pada waktu-waktu puncak. Tempoh masa yang lebih lama memberikan kelancaran lalu lintas agar lebih banyak kenderaan yang dapat melepasi lampu isyarat. Hal ini bertujuan supaya tidak berlakunya kesesakan yang melampau di jalan raya pada waktu-waktu puncak.

Cadangan untuk mengatasi masalah yang dialami akibat isu kesesakan lalu lintas ini ialah membuat jalan alternatif lain untuk ke kawasan sekolah supaya kesesakan lalu lintas tidak berlaku di jalan utama. Jalan alternatif boleh diusahakan pembinaannya untuk menghubungkan kawasan perumahan dengan kawasan sekolah agar jalan tersebut dapat digunakan untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Hal ini akan menyumbang kepada pengurangan kesesakan lalu lintas di jalan utama kerana sebahagian besar murid-murid sekolah tinggal di kawasan perumahan yang berdekatan.

Selain itu, masalah keselamatan murid-murid yang berjalan kaki ke sekolah dapat diatasi dengan adanya pembinaan kemudahan jalan raya dan lalu lintas seperti jejantas, laluan pejalan kaki dan juga lintasan zebra. Keadaan bahu jalan yang sempit dengan kenderaan motokar dan motosikal memberi risiko kemalangan kepada murid-murid yang berjalan kaki terutama ketika pagi kerana suasana yang tidak terlalu cerah. Kemudahan pembinaan jejantas antara dua buah kawasan perumahan akan memberikan inisiatif kepada pengurangan kesesakan lalu lintas kerana penduduk dapat menggunakan jejantas untuk mendapatkan barangan keperluan harian dengan lebih mudah ke kawasan kedai-kedai di sekitar kawasan perumahan tersebut sekali gus sebagai alternatif selamat bagi murid-murid untuk melintas jalan raya. Pembinaan laluan pejalan kaki pula dapat mengurangkan risiko terlibat dengan kemalangan bagi pejalan kaki terutama daripada pengguna motosikal. Laluan pejalan kaki penting dalam sesebuah kawasan di samping menggalakkan aktiviti jalan kaki yang menyumbang kepada tahap kesihatan seseorang individu tersebut (Abd Talip, 2012). Kemudian, pembinaan lintasan zebra juga memainkan peranan yang besar supaya pengguna jalan kaki terutama murid-murid sekolah untuk menunggu di hentian bas bagi mendapatkan kemudahan bas rapid ketika waktu pulang dan waktu masuk persekolahan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, isu kesesakan lalu lintas di kawasan Batu 10, Jalan Gambang dapat dikurangkan dan diatasi dengan baik melalui cadangan-cadangan tersebut. Isu ini seharusnya di atasi dengan kadar yang segera supaya masalah-masalah yang muncul dapat diselesaikan dengan mudah dan cepat. Secara sudut positifnya dapat kita lihat isu kesesakan lalu lintas ini berpunca daripada kemajuan yang di alami oleh negara kita di mana rakyat mempunyai kenderaan bagi melengkapkan keperluan rutin harian. Namun, kesannya dapat dilihat apabila keperluan ini menyumbang kepada masalah lain seperti kesesakan lalu lintas. Oleh itu, kita juga seharusnya menggalakkan amalan berkongsi kereta dan juga menggunakan pengangkutan awam dengan lebih kerap bagi mengurangkan isu ini daripada terus berlaku.

Rujukan

Abd Talip Abd Rahman. (2012). Pedestrian Utilization; Enhancing from existing: A study case of Pantai Chenang, Langkawi and Melaka Historical City, Melaka [Unpublished master's thesis]. Universiti Teknologi Malaysia.


Azlan Abas, Azahan Awang, & Jamaluddin Md Saad. (2017). Impak bilangan kenderaan terhadap pencemaran bunyi di Banda Hilir, Melaka. Journal of Society and Space13(4), 47-55. Diakses daripada http://journalarticle.ukm.my/12572/1/22235-63903-1-SM.pdf


Jabatan Pengangkutan Jalan. (2016). Jumlah Terkumpul Kenderaan Bermotor Mengikut Jenis dan Negeri, Malaysia, 2015. Diakses daripada https://www.data.gov.my/data/ms_MY/dataset/jumlah-terkumpul-kenderaan-bermotor-mengikut-jenis-dan-negeri-total-motor-vehicles-by-type-and-state


Mohd Hairy Ibrahim, Fauziah Che Leh, Mazlini Adnan, & Nur Kalsum Mohd Isa. (2016). Pencemaran habuk di Malaysia: Mengesan taburan konsentrasi PM10 di pusat bandar, sub bandar dan pinggir bandar di Ipoh, Perak. Journal of Society and Space12(5), 104-114. Diakses daripada http://www.ukm.my/geografia/images/upload/11x.geografia-april16-mhi-edam1.pdf


Shamsul Ariff Sulaiman. (2016). Kesesakan lalu lintas di bandar Segamat, Johor [Unpublished master's thesis]. Universiti Teknologi Malaysia.

 

Nama: Hajar Zulaikha Binti Zulkefeli

No Matrik: D20201094314

Kumpulan: B

 

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...