ISU BANJIR DI DAERAH KOTA BELUD, SABAH.
1.0 PENGENALAN
Isu banjir merupakan satu isu yang tidak asing lagi di negara ini. Hal ini dikatakan demikian kerana, hampir saban bulan setiap negeri di negara ini akan mengalami masalah banjir. Dimana, hal ini juga berlaku di Daerah Kota Belud iaitu salah satu daerah yang terdapat di negeri Sabah. Banjir merupakan satu bencana yang mengganggu kehidupan manusia dalam bentuk lopak dari yang paling kecil hingga yang paling besar disebabkan oleh faktor baik manusia mahupun, alam semula jadi atau aliran air yang tinggi, dan tidak ditampung oleh aliran sungai sehingga air melimpah ke tanah yang lebih rendah. Menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI), banjir adalah kejadian tanah tenggelam (yang biasanya kering) disebabkan oleh peningkatan isipadu air manakala, definisi kedua dari kamus tersebut ialah banjir berair dan melimpah, kadang-kadang melimpah (H. Setiawan, M. Jalil, M. E. Sulaiman et. al., 2020).
Dalam konteks yang lain, isu banjir di Pekan Kota Belud merupakan satu isu yang boleh dikatakan satu isu atau masalah bencana alam yang sudah sebati dengan masyarakat di daerah tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana, hamper setiap bulan banjir akan berlaku di daerah tersebut sejak dahulu lagi. Persoalannya, apakah punca, kesan dan langkah yang boleh diambil bagi mengatasi isu banjir di Daerah Kota Belud?
2.0 KAWASAN KAJIAN
Kawasan kajian dalam menjalankan kajian ini adalah di Daerah Kota Belud. Nama Kota Belud ini dikatakan berasal daripada bahasa Bajau, iaitu "kota" yang bermaksud kubu pertahanan manakala "belud" yang bermaksud bukit. Dengan itu, Kota Belud diertikan sebagai "Kubu Pertahanan di atas Bukit". Dalam konteks yang lain, dianggarkan penduduk yang terdapat di daerah ini adalah seramai 91,272 jumlah penduduk, dan kebanyakannya dipercayai berasal dari suku kaum terbesar iaitu Bajau, Dusun dan Irranun. Namun begitu terdapat juga minoriti kaum Cina, terutama yang terdiri daripada suku kaum Hakka. Kota Belud juga menjadi latar belakang sebagai tempat melihat keindahan landskap Gunung Kinabalu.
Menurut, Wikipedia (2020), Kota Belud merupakan sebuah pekan dan daerah yang terletak di Bahagian Pantai Barat, Sabah. Daerah Kota Belud mempunyai sebuah pentadbiran terawal di negeri Sabah semasa pendudukan kerajaan British. Jarak Kota Belud ke bandar Kota Kinabalu kira-kira 77 kilometer dengan mengambil masa sejam, dan Kota Belud juga merupakan laluan utama ke Bahagian Kudat. Manakala, luas kawasan daerah Kota Belud dianggarkan seluas 1,385.6 km2 (535.0 batu persegi).
Peta 1 menunjukkan Kawasan Daerah Kota Belud
3.0 RINGKASAN KES
Secara ringkasnya, daerah Kota Belud merupakan salah satu daerah yang sering dilanda banjir di negeri Sabah. Hal ini dikatakan demikian kerana, pekan Kota Belud pada tahun ini sahaja sudah beberapa kali dilanda banjir yang teruk. Antara kawasan yang sering dilanda banjir adalah di kawasan pekan serta kampung-kampung yang berdekatan dengan pekan tersebut kerana berada di kawasan yang rendah. Misalnya, pada bulan April yang lalu sahaja, sebanyak 20 buah kampung yang terdapat di daerah Kota Belud telah dilanda banjir. Akibatnya, terdapat beberapa laluan yang mula dinaiki air dan secara tidak langsung menyebabkan kenderaan rendah tidak boleh melalui jalan tersebut, antara jalan yang terlibat adalah Jalan Bypass Kota Belud – Kuda ( Eleanor Michelle Patrick, 2022). Bencana alam yang sering kali melanda daerah tersebut secara tidak langsung menyebabkan para penduduk di kampung yang terlibat seperti Kampung Paka-Paka yang terletak kira-kira 10 kilometer dari pekan Kota Belud sudah 'lali' dengan perkara itu terutama ketika tiba musim tengkujuh (Bernama, 2022).
Gambar Rajah 1: Keadaan Banjir di Kampung Timbang, Kota Belud.
Sumber: Kajian Lapang (2022)
4.0 PUNCA BERLAKUNYA BANJIR DI DAERAH KOTA BELUD
Terdapat beberapa punca yang menyebabkan berlakunya banjir di daerah Kota Belud. Antara punca utama yang menyebabkan bencana tersebut adalah disebabkan oleh faktor cuaca iaitu hujan yang berterusan. Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Belud, iaitu Leftenan Kolonel (PA) Khairul Gumpitai mengatakan bahawa hujan lebat yang berterusan sejak dua hari lalu iaitu pada bulan April 2022 yang lalu mengakibatkan paras air di tiga sungai utama naik secara mendadak. Situasi ini adalah sama ketika banjir berlaku pada beberapa tahun sebelumnya dimana punca juga adalah disebabkan faktor hujan yang turun lebih dari kadar normal (A. Zahid Amran, 2017).
Selain itu, punca lain yang menjadi faktor berlakunya banjir di daerah tersebut adalah disebabkan oleh sistem perparitan yang tidak sistematik.Hal ini dikatakan demikian kerana parit yang dibina terlalu kecil dan cetek pada masa yang sama ianya juga sering kali tersumbat disebabkan oleh sampah-sarap. Perkara ini secara tidak langsung menyebabkan air hujan yang turun tidak dapat menampung jumlah air yang banyak serta ianya juga tida dapat mengalir dengan lancar dan kemudiaannya menyebabkan air melimpah keluar dari parit dan menyebabkan banjir kilat berlaku di sekitar kawasan pekan Kota Belud.
Di samping itu, keadaan bentuk muka bumi iaitu berada di kawasan yang rendah juga turut menjadi punca kampung di sekitar kawasan pekan Kota Belud senang dinaiki air. Hal ini demikian kerana, sepertimana yang sedia kita ketahui bahawa kawasan petempatan yang rendah lebih senang dinaiki air banjir berbanding dengan kawasan yang tinggi. Oleh itu, apabila hujan lebat berlaku kawasan perkampungan di tempat yang rendah akan mudah dilanda banjir terutamanya banjir kilat.
5.0 KESAN BANJIR DI DAERAH KOTA BELUD
Terdapat beberapa kesan yang terpaksa ditanggung oleh para penduduk Kota Belud yang dilanda banjir. Antaranya, menyebabkan kemudahan infrastruktur musnah. Banjir yang berlaku mengakibatkan kemudahan seperti jalan raya dan jambatan yang menjadi penghubung diantara kampung di daerah tersebut musnah. Menurut, Bernama (2022), terdapat kira-kira 4,000 penduduk di lima buah kampung iaitu Kampung Nahaba, Talungan, Terintidon, Tegudon, dan Kampung Sayap terputus hubungan setelah laluan di jambatan yang menghubungkan kampung berkenaan dengan kawasan luar, runtuh petang semalam susulan hujan lebat berterusan. Secara tidak langsung masalah ini turut memberi kesan kepada para penduduk di kampung tersebut kerana mereka terpaksa menunda majlis pada hari tersebut kerana jambatan tersebut merupakan laluan utama para penduduk untuk ke pekan Kota Belud.
Selain itu, banjir yang berlaku juga turut memusnah harta benda para penduduk kampung. Hal ini demikian kerana, arus kuat daripada air banjir menyebabkan harta benda seperti televisyen, kereta dan sebagainya di hanyutkan oleh arus deras tersebut. Akibatnya, para penduduk terpaksa merelakan harta benda mereka musnah disebabkan oleh banjir yang berlaku.
Disamping itu, banjir yang berlaku juga turut menyebabkan kerugian berlaku. Kerugian ini berlaku apabila Jelapang padi Kota Belud yang merupakan kawasan penanaman padi yang terbesar di daerah tersebut iaitu dianggarkan kira-kira 7,000 hektar terjejas teruk dan rosak akibat daripada banjir yang berlaku. Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud, berkata anggaran kerugian itu dikira dalam RM29 juta, iaitu setelah diteliti berdasarkan potensi hasil, harga pasaran semasa bagi satu tan hasil padi dan kos terlibat untuk penanaman padi itu (Utusan Borneo, 2020).
Gambar Rajah 2: Menunjukkan Jambatan di Sungai Malianan dekat Kampung Nahaba runtuh akibat banjir yang berlaku.
Sumber: Bernama (2022)
6.0 LANGKAH MENGATASI BANJIR DI DAERAH KOTA BELUD
Bagi menangani isu banjir di daerah Kota Belud ini, beberapa langkah telah diambil. Antaranya, langkah yang diambil oleh pihak kerajaan adalah melalui projek pengorekan pasir atau sungai. Menurut, Suraidah Roslan (2019) Projek pengorekan pasir yang dilaksanakan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan melaksana kerja-kerja pengorekan pasir di sepanjang Sungai Kadamaian hingga ke Usukan bagi mengatasi masalah banjir di Kota Belud.
Tambahan itu, peruntukkan sejumlah RM77 juta daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) juga diberikan bagi mengatasi masalah banjir di daerah Kota Belud, Sabah. Peruntukan ini adalah bagi melaksanakan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Gurong-Gurong, Pekan Kota Belud, Sabah; dan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedamaian, Sungai Tempasuk, Sungai Abai dan Sungai Kawang-Kawang, Kota Belud, Sabah (Harakah Daily, 2021). Melalui projek pengorekan ini diharapkan agar sungai utama di daerah tersebut dapat menampung jumlah hujan yang lebih banyak agar dapat mengelakkan banjir kilat berlaku.
Selain itu, penguatkuasaan undang-undang iaitu mengenakan denda kepada individu yang membuang sampah merata-rata atau pun ke dalam sungai juga turut menjadi langkah dalam menangani masalah banjir di daerah tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana, sampah sarap yang dibuang secara merata-rata oleh individu yang tidak bertanggungjawab menyebabkan parit tersumbat dan secara tidak langsung apabila hujan lebat turun air tidak dapat mengalir dengan lancer. Kesannya, air daripada parit tersebut akan melimpah keluar ke jalan-jalan raya dan menyebabkan banjir kilat berlaku. Dengan adanya denda ini para penduduk akan takut untuk membuang sampah merata-rata tempat kerana tidak mahu dikenakan denda dalam bentuk wang atau pun dipenjara.
Di samping itu, dengan menyediakan pusat perpindahan sementara kepada penduduk yang terjejas banjir. Hal ini dilakukan bagi memastikan para penduduk yang terjejas banjir selamat. Perpindahan ini di bantu oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM), bomba, polis dan para askar. Walaupun, langkah ini tidak dapat mengatasi masalah banjir tetapi, sekurang-kurangnya dapat membantu meringakan masalah yang di hadapi oleh penduduk yang terjejas khususnya para warga emas yang tidak dapat berjalan.
7.0 KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, isu banjir yang berlaku di daerah Kota Belud bukan satu isu yang baru. Hal ini dikatakan demikian kerana, isu ini sudah sering kali berlaku terutamanya ketika hujan lebat yang berterusan selama beberapa jam. Oleh itu, bagi mengatasi isu ini supaya tidak terlalu membri dampak yang serius pihak kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi menangani isu tersebut. Dalam pada masa yang sama, para Angkatan Pertahanan Awam, Kota Belud juga sudah bersiap sedia dalam membantu mangsa yang terjejas sekirannya banjir berlaku. Oleh itu, semua penduduk di daerah Kota Belu haruslah sentiasa berhati dan bersiap-sedia sekiranya banjir berlaku Kembali.
8.0 RUJUKAN
A. Zahid Amran. (2017). 6 BANJIR BESAR JADI DI MALAYSIA, PUNCA SEMULA JADI ATAU PERBUATAN MANUSIA?. Diperoleh pada 10 Jun daripada https://soscili.my/banjir-besar-malaysia-punca-semulajadi-atau-manusia/
Bernama. (2022). Jambatan runtuh akibat banjir, 4,000 penduduk Kota Belud terputus hubungan. Diperoleh pada 10 Jun 2022 daripada https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/05/13/jambatan-runtuh-akibat-banjir-4000-penduduk-kota-belud-terputus-hubungan/
Bernama. (2022). Penduduk Kg Paka Paka, Kota Belud sudah 'lali' dilanda banjir. Diperoleh pada 10 Jun 2022 daripada https://www.astroawani.com/berita-malaysia/penduduk-kg-paka-paka-kota-belud-sudah-lali-dilanda-banjir-356306
Eleanor Michelle Patrick. (2022). Banjir: 20 kampung di Kota Belud dinaiki air susulan hujan berterusan. Diperoleh pada 10 Jun 2022 daripada https://www.astroawani.com/berita-malaysia/banjir-20-kampung-di-kota-belud-dinaiki-air-susulan-hujan-berterusan-356109
Harakah Daily. (2021). KASA peruntuk RM77j, atasi masalah banjir Kota Belud. Diperoleh pada 10 Jun daripada https://harakahdaily.net/index.php/2021/02/27/kasa-peruntuk-rm77j-atasi-masalah-banjir-kota-belud/
Haris Setiawan , Muhammad Jalil , Muhammad Enggi S, Fathan Purwadi , Christopel Adios S, Asri Wahyu Brata & Andi Syaful Jufda. (2020). ANALISIS PENYEBAB BANJIR DI KOTA SAMARINDA. Jurnal Geografi Gea, Volume 20, Nomor 1. file:///C:/Users/USER/Downloads/22021-52600-1-PB.pdf
Suraidah Roslan. (2019). KERAJAAN AMBIL LANGKAH ATASI MASALAH BANJIR DI KOTA BELUD – MUSBAH. Diperoleh pada 10 Jun daripada https://www.borneotoday.net/kerajaan-ambil-langkah-atasi-masalah-banjir-di-kota-belud-kata-musbah/
Utusan Borneo. (2020). Jelapang padi Kota Belud alami kerugian 29 juta akibat banjir. Diperoleh pada 10 Jun daripada https://www.utusanborneo.com.my/2020/07/01/jelapang-padi-kota-belud-alami-kerugian-29-juta-akibat-banjir
NAMA: DEBBIE GRACE GILINGAN
NO. MATRIKS: D20191089129
KUMPULAN KULIAH: A
No comments:
Post a Comment