Wednesday, June 15, 2022

Masalah Kekurangan Peluang Pekerjaan di Kawasan Chini, Pekan, Pahang Membimbangkan Penduduk Setempat

1.0       Pengenalan

Pekerjaan merupakan salah satu aspek yang penting dalam kehidupan seseorang bagi menjamin keperluan asas mereka dan keluarga. Pekerjaan boleh didefinisikan sebagai aktiviti yang melibatkan usaha mental atau fizikal yang dilakukan untuk mencapai sesuatu tujuan atau hasil. Pada zaman moden ini, pekerjaan merupakan sesuatu yang sukar untuk diperoleh kerana wujudnya persaingan yang kuat (Muhamad Ali Embi, 2008). Hal ini menyebabkan jumlah pengangguran meningkat dan mereka yang mendapat pekerjaan juga belum tentu memenuhi kehendak dan minat mereka. Tambahan pula, akibat wabak Covid-19 yang melanda seluruh negara, ramai penduduk yang kehilangan pekerjaan. Menurut Sinar Harian (2021), Statistik Tenaga Buruh yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia memberitahu bahawa sebanyak 768 700 orang atau 4.8% peratus yang menganggur di Malaysia. Pelaksanaan PKP penuh yang dijalankan oleh kerajaan juga telah menyebabkan penurunan pendapatan sektor-sektor tertentu seperti sektor perkhidmatan iaitu penginapan, perkhidmatan makanan dan minuman, hartanah dan perdagangan borong dan runcit. Akibat daripada wabak ini juga ekonomi Malaysia semakin jatuh dan hal ini amat membimbangkan masyarakat Malaysia.

Matlamat seseorang itu bekerja adalah untuk mendapatkan gaji dan upah yang lumayan setimpal dengan usaha yang dilakukan. Mereka dapat membeli keperluan asas seperti makanan, minuman dan tempat tinggal. Sememangnya dunia pekerjaan sekarang menjadi tempat perhimpunan sosial. Selain daripada rumah, kebanyakan masa kita dihabiskan di tempat kerja atau pejabat. Walau bagaimanapun, persyaratan untuk mendapatkan pekerjaan sangat susah untuk dipenuhi kerana terdapatnya persaingan yang sengit dengan individu yang lebih cekap. Tambahan pula, banyak majikan yang menggunakan khidmat daripada buruh asing kerana dapat mengaji dengan gaji yang rendah. Hal ini mendatangkan membimbangkan penduduk di Malaysia kerana mereka dikelilingi dengan hutang, taraf hidup yang rendah serta menghadapi kemiskinan. Perkara ini dibuktikan dengan adanya penduduk yang tinggal di bawah jambatan atau kawasan setinggan. Rumah sewa di kawasan bandar juga sangat mahal menyebabkan mereka terpaksa menyewa di kawasan setinggan. Namun pembinaan kawasan setinggan menghalang proses pembangunan di kawasan bandar.

 

2.0       Kawasan Kajian

Lokasi kajian adalah bertempat di kawasan Chini, Pekan, Pahang seperti yang ditunjukkan oleh Rajah 1 dan Rajah 2 di bawah. Kewujudan atau pembukaan kawasan Tanah Rancangan Felda bermula pada tahun 1971. Peserta tanah rancangan berasal daripada penduduk daripada pelbagai negeri. Pada permulaannya, penubuhannya bermula hanya dengan 80 orang peneroka sahaja. Tanah Rancangan Felda ditubuhkan bertujuan untuk membantu masyarakat Malaysia yang tiada pekerjaan tetap. Apabila mereka menyertai tanah rancangan, kerajaan telah memberikan tanah untuk penanaman kelapa sawit selain menyediakan tanah perumahan. Tanah Rancangan Felda Chini dinamakan semperna nama Tasik Chini yang berada di dalam tanah rancangan ini. Tanah Rancangan Felda Chini terletak ditengah-tengah laluan utama yang menghubungkan Kuantan dengan Segamat. Jarak antara Kuantan ke Chini adalah 90.8 km manakala jarak Segamat ke Chini pula adalah 135 km. Kawasan Chini boleh dibahagikan kepada dua kawasan iaitu Felda Chini dan Felda Chini Timur.


Rajah 1: Peta Negeri Pahang


 

Rajah 2: Peta Daerah Chini

 

3.0       Isu Kekurangan Peluang Pekerjaan di Kawasan Chini, Pekan, Pahang

Berdasarkan kajian yang bertempat di Chini, Pekan, Pahang, kebanyakan tumbuhan di kawasan ini adalah terdiri daripada tumbuhan monokulter iaitu kelapa sawit seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 3 di bawah. Kelapa sawit merupakan sumber pendapatan utama penduduk di Chini kerana mampu menghasilkan keperluan asas seperti minyak masak. Kebanyakan penduduk di Chini terdiri daripada peneroka dan mereka mengusahakan tanaman kelapa sawit sendiri atau menyerahkan urusan perladangan kepada Felda. Banyak juga remaja dan golongan muda yang bekerja dalam sektor perladangan di Chini. Pihak Felda turut mengambil buruh asing untuk bekerja dalam sektor ini.

Chini juga mempunyai industri pemprosesan minyak kelapa sawit iaitu dikenali sebagai Kilang A dan Kilang B seperti yang ditunjukkan Rajah 4 di bawah. Kawasan kilang ini terletak di Felda Chini 2 dan Felda Chini 3. Pembinaan kilang ini sedikit sebanyak dapat menambahkan pendapatan penduduk di sekitar Chini. Namun penyediaan peluang pekerjaan untuk kedua-dua kilang ini sangat terbatas kerana jumlah penduduk yang semakin meningkat. Selain pusat industri, Chini juga mempunyai kilang penenunan, perniagaan dan peruncitan seperti Rajah 5 dan Rajah 6 di bawah. Disebabkan masalah kekurangan ramai anak muda yang berhijrah ke kawasan bandar utama iaitu Kuantan. Penyediaan peluang pekerjaan lebih banyak di bandar tersebut membuatkan anak muda tertarik untuk mencari pekerjaan di kawasan tersebut. Hal ini sangat membimbangkan masyarakat Chini kerana berlakunya migrasi keluar sehingga mengurangkan jumlah penduduk di kawasan Chini dan menyebabkan kepadatan penduduk di bandar Kuantan.

 

Rajah 3: Kawasan Felda Chini Timur 1, Chini Timur 2 dan Chini Timur 3


 

Rajah 4: Kawasan Kilang di Felda Chini 2


 

Rajah 5: Pusat Tekun Diraja Felda


 

Rajah 6: Kedai Kain Norrizan, Dara

 

4.0       Punca Kekurangan Peluang Pekerjaan di Kawasan Chini, Pekan, Pahang

Antara punca pertama berlakunya kekurangan peluang pekerjaan di kawasan Chini adalah disebabkan oleh pertambahan bilangan buruh asing.  Kebanyakan buruh asing ini adalah daripada Bangladesh dan Indonesia. Mereka mencari pendapatan dengan bekerja sebagai pengait buah kelapa sawit di Felda Chini. Kebanyakan anak muda di Felda Chini tidak berminat dan tidak tertarik dengan pekerjaan ini. Tambahan pula, peneroka ladang lebih suka menggunakan perkhidmatan pendatang asing ini kerana mereka dapat melakukan kerja dengan cekap dan cepat selain gaji yang diberikan juga jauh lebih murah berbanding pekerja biasa.  Peneroka-peneroka di Chini juga kebanyakannya menyerahkan urusan perladangan mereka kepada pejabat Felda. Keadaan ini berlaku kerana mereka tidak mampu menguruskan ladang disebabkan oleh usia mereka yang sudah lanjut. Penyerahan ladang ini memudahkan urusan mereka berbanding mengusahakan sendiri ladang. Pejabat Felda turut menggunakan khidmat buruh asing kerana menjimatkan perbelanjaan. Walau bagaimanapun, ada juga penduduk yang masih bekerja sebagai pengait buah kelapa sawit. Namun kuantitinya sangat sedikit berbanding pekerja daripada buruh asing.

            Selain itu, kekurangan pembangunan industri di kawasan Chini juga menyebabkan berlakunya kekurangan peluang pekerjaan. Perindustrian di kawasan Felda Chini hanya terhad di kawasan Chini 2 dan Chini 3 sahaja. Jumlah pekerja di kedua-dua kilang tersebut sudah memenuhi kuota. Hal ini juga boleh berlaku disebabkan oleh saiz kilang yang kecil. Lebih-lebih lagi anak muda Felda Chini tidak berminat untuk bekerja di kilang pemprosesan kelapa sawit. Akibat daripada kekurangan peluang pekerjaan, ramai penduduk yang berhijrah ke kawasan bandar seperti Kuantan kerana bandar ini merupakan bandar utama bagi negeri Pahang. Oleh sebab itu, Kuantan menjadi kawasan sasaran penduduk kampung. Kuantan menyediakan pekerjaan dalam pelbagai perkhidmatan seperti perniagaan, penjualan, penghotelan dan sebagainya. Mereka yang berpindah ke kawasan bandar tersebut inginkan kehidupan yang lebih baik berbanding di kampung dengan gaya hidup yang mewah. Namun semua itu tidak semudah yang disangka kerana kos sara hidup di bandar lebih tinggi berbanding di kampung.

 

5.0       Kesan Kekurangan Peluang Pekerjaan di Kawasan Chini, Pekan, Pahang

Kekurangan peluang pekerjaan di kawasan Felda Chini menyebabkan berlakunya peningkatan jumlah pengangguran. Jika diperhatikan ramai anak muda Felda Chini yang menganggur kerana tidak dapat bekerja di dalam sektor industri selain kurangnya pengetahuan dan pengalaman bekerja dalam sektor perladangan. Peluang pekerjaan di kawasan bandar juga bukan mudah untuk diperoleh dan bergantung pada nasib individu. Disebabkan oleh peningkatan jumlah penduduk, majikan juga ingin memperketat persyaratan dalam menawarkan peluang pekerjaan. Oleh sebab itu, ramai penduduk yang tidak memperoleh pekerjaan di bandar. Kebanyakan mereka, menumpang di rumah ibu bapa masing-masing yang hanya mengharapkan duit daripada pengusahaan ladang kelapa sawit. Hal ini dibuktikan melalui pemantauan yang dilakukan oleh Tinjauan Kelab Aktivis Media Inspirasi (KAMI) pada tahun 2020.

Selain itu, meningkatkan kes jenayah seperti kecurian dan perompakan di kawasan rumah dan ladang penduduk di Chini. Akibat berhadapan dengan masalah kewangan, terdapat penduduk yang menggunakan jalan pintas dengan melakukan aktiviti jenayah. Tambahan pula, jumlah penagih dadah di Chini semakin meningkat. Hal ini berlaku berpunca pengaruh daripada rakan sebaya dan sikap ibu bapa yang memanjakan anak-anak mereka. Penduduk sebegini selalunya akan mencuri buah kelapa sawit dan menjualnya langsung kepada kilang. Hal sebegini dapat menjejaskan pendapatan peneroka. Kes-kes kecurian buah kelapa sering kita dengar dalam akhbar seperti baru-baru ini kes yang berlaku di kawasan ladang di Ayer Tawar yang melibatkan lima orang lelaki separuh umur antara 35 hingga 50 tahun (Noor Ainon Mohamed, 2022).

 

6.0       Langkah Mengatasi Masalah Kekurangan Peluang Pekerjaan di Kawasan    Chini, Pekan, Pahang

Antara langkah mengatasi masalah peluang pekerjaan adalah dengan memajukan kawasan pertanian Chini. Sektor-sektor pertanian iaitu kelapa sawit perlu dimajukan bagi meningkatkan peluang pekerjaan di kawasan ini. Bantuan seperti bantuan kewangan, bantuan nasihat dan kursus pertanian harus disediakan oleh kerajaan kepada anak-anak muda di Chini. Penyediaan bantuan-bantuan ini dapat menghasilkan tenaga mahir dalam kalangan anak muda Felda. Untuk meningkatkan hasil pertanian, kaedah moden harus diperkenalkan seperti menggalakkan penggunaan bijih benih yang bermutu tinggi, penggunaan jentera, baja organik, racun serangga supaya dapat meningkatkan hasil pertanian. (Zakirah Othman et al., 2013).

Selain itu, pengurangan migrasi penduduk ke kawasan bandar juga boleh diatasi dengan mengubah corak ekonomi di kawasan Chini. Seperti yang dimaklumkan, corak ekonomi di kawasan Chini lebih kepada aktiviti pertanian. Terdapat ramai anak muda yang tidak berminat dengan bidang pertanian dan membuatkan mereka mencari pekerjaan di kawasan bandar utama. Untuk mengurangkan aliran masuk penduduk ke kawasan bandar, peningkatan pusat-pusat industri boleh dibangunkan di kawasan ini. Industri yang dibangunkan ini bukan sahaja terhad kepada pemprosesan minyak masak, namun boleh dijadikan industri pemprosesan bahan makanan, tayar kenderaan dan kraft tangan. Sebagai contoh, perkembangan industri kraf tangan industri membuat tembikar di Sayong, Perak, industri batik dan songket di Terengganu, industri barang-barang kemas perak di Kelantan dapat menjana pendapatan penduduk di kawasan luar bandar tersebut.

Akhir sekali, bagi meningkatkan akses masyarakat luar bandar, kerajaan seharusnya memperbaiki kemudahan infrastruktur di luar bandar. Seperti yang kita ketahui, Chini sering berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan air. Hal ini menjejaskan bekalan air penduduk di kawasan Chini sehingga membuatkan mereka tidak selesa untuk tinggal di kawasan kampung. Untuk memudahkan perjalanan penduduk di Chini, kerajaan seharusnya menyediakan kemudahan perhubungan dan pengangkutan. Dengan kemajuan luar bandar yang dilakukan, taraf hidup di kawasan Chini dapat ditingkatkan. Perkara ini dapat mengurangkan migrasi penduduk daripada kawasan luar bandar ke kawasan bandar.

 

7.0       Kesimpulan

Secara rumusannya, isu peluang pekerjaan ini harus diatasi dengan kadar yang segera. Isu ini perlulah diatasi oleh pelbagai pihak supaya tidak berlakunya kesan yang buruk seperti peningkatan jumlah pengangguran dan masalah jenayah di Chini. Langkah-langkah seperti memajukan kawasan pertanian, mengubah corak ekonomi dan memperbaiki kemudahan infrastruktur juga harus diambil tindakan oleh pihak kerajaan agar ekonomi di kawasan ini terus berkembang dan mencapai kemajuan. Sebagai rakyat Chini juga, kita seharusnya berusaha untuk membangunkan dan memajukan tempat tinggal kita dan tidak beralih ke kawasan lain. Program-program dan kursus pertanian yang dianjurkan oleh kerajaan harus diambil bahagian agar akan terlahirnya ramai tenaga mahir di Chini.

 

8.0       Rujukan

BO, W. (2020). Pengundi Felda Chini Harap Wakil Rakyat Tingkatkan Khidmat Perbankan. Buletin Onlines. Diakses pada Jun 10. Diperoleh daripada https://buletinonlines.net/v7/index.php/pengundi-felda-chini-harap-wakil-rakyat-tingkatkan-khidmat-perbankan/

Muhamad Ali Embi. (2013). Cabaran dunia pekerjaan. Kuala Lumpur: Utusan Publications. Diperoleh daripada Google Books. https://books.google.com.my/books?id=wRpYP2PmxKgC&printsec=frontcover&dq=Muhamad+Ali+Embi,+2008&hl=en&sa=X&redir_esc=y#v=onepage&q=Muhamad%20Ali%20Embi%2C%202008&f=false

Mukhriz Mat Husin. (2021). 768,700 orang menganggur pada Jun 2021. Sinar Harian. Diakses pada Jun 10. Diperoleh daripada https://www.sinarharian.com.my/article/154639/BERITA/Nasional/768700-orang-menganggur-pada-Jun-2021

Noor Ainon Mohamed. (2022). Lima lelaki ditahan curi kelapa sawit, ceroboh ladang. Sinar Harian. Diakses pada Jun 10. Diperoleh daripada https://www.sinarharian.com.my/article/187407/BERITA/Semasa/Lima-lelaki-ditahan-curi-kelapa-sawit-ceroboh-ladang

Zakirah Othman, Siti Norezam Othman & Kamal Ab Hamid. (2013). Pengurusan Pertanian Lestari di Luar Bandar: Kes Projek Agropolitan di Kawasan Terbiar. Diperoleh daripada https://www.researchgate.net/publication/280918794_Pengurusan_Pertanian_Lestari_di_Luar_Bandar_Kes_Projek_Agropolitan_di_Kawasan_Terbiar
 

 

NAMA: SITI NUR AQLIMA BINTI AMIR SHAH

NO. MATRIK: D20201094339

KUMPULAN: B

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...