Tuesday, June 21, 2022

ISU GANGGUAN BEKALAN AIR DI SIK, KEDAH

ISU GANGGUAN BEKALAN AIR DI SIK, KEDAH

 

1.0          Pengenalan

 

Air merupakan salah satu sumber terpenting bagi semua kehidupan. Air merupakan satu khazanah alam yang tidak ternilai harganya. Kita perlukan air untuk menjalani kehidupan seharian kerana ia sumber penting dalam menjana pelbagai bidang ekonomi seperti pertanian, perindustrian, perikanan dan penjanaan sumber tenaga elektrik dan sebagainya.

Seperti yang kita sedia maklum, hampir 3/4 daripada permukaan bumi adalah kawasan berair.

 

Namun begitu, isu gangguan bekalan air di sesetengah kawasan di Malaysia semakin parah pada masa kini. Isu-isu gangguan bekalan air ini seringkali bukan sahaja muncul di kawasan bandar malah juga di kawasan luar bandar. Masalah gangguan bekalan air ini telah menganggu aktiviti seharian penduduk di kawasan yang terjejas. Salah satu kawasan yang sering mengalami gangguan bekalan air adalah di daerah Sik, Kedah.

 

Pekan Sik, Kedah


                                                               

Sik merupakan sebuah daerah yang terletak dalam negeri Kedah Darul Aman, Malaysia. Keluasan daerah Sik ialah 1635 km persegi, iaitu 17.35% daripada keluasan Negeri Kedah. Daerah ini ialah daerah yang paling luas dalam negeri Kedah. Ia bersempadan dengan daerah Padang Terap di sebelah barat laut, negara Thailand di sebelah utara, daerah Baling di sebelah selatan, daerah Kuala Muda di sebelah barat daya dan daerah Pendang di sebelah barat. Kini, daerah Sik ditadbir oleh Majlis Daerah Sik.

 

2.0       Ringkasan Kes

 

Masalah gangguan bekalan air seringkali menjadi isu utama di kawasan Pekan Sik, Kedah. Antara kampung yang seringkali mengalami masalah bekalan air ini adalah seperti Kampung Kuala, Kampung Padang Toi, Kampung Charuk Pelanduk dan beberapa kampung yang lain. Isu ini telah beberapa kali dipaparkan di akhbar-akhbar tempatan dan juga terdapat laporan yang dibuat oleh penduduk kepada pihak berkenaan. Namun begitu, isu gangguan bekalan air ni masih menjadi sebutan sehingga sekarang. Terdapat beberapa punca yang berkemungkinan menjadi penyebab isu ini berlaku. Masalah gangguan bekalan air ini juga telah memberi impak negatif kepada kehidupan seharian penduduk di kawasan yang terlibat.

 

Menurut Utusan Malaysia (2021), lebih 300 penduduk di Kampung Padang Toi di sini sudah muak dan jemu dengan masalah ketiadaan bekalan air bersih hingga menyukarkan urusan harian yang berlarutan setahun lalu. Di kampung lain pula iaitu di Kampung Charuk Kudong, masalah gangguan Masalah gangguan bekalan air bersih yang membelenggu kira-kira 1,000 penduduk Kampung Charok Kudong dan kawasan sekitarnya di Sik kini telah dilaporkan dan mendapat perhatian.

 

3.0       Punca Masalah

 

Terdapat beberapa punca yang berkemungkinan menjadi penyebab isu gangguan bekalan air ini berlarutan di daerah Pekan Sik. Salah satu punca yang menjadi penyebab isu gangguan bekalan air ini adalah disebabkan penerokaan kawasan hutan bagi aktiviti pembalakan. Seperti kita ketahui, hutan merupakan kawasan tadahan air yang mana ia membantu mengekalkan keberlangsungan bekalan air di kawasan berdekatan. Aktiviti pembalakan yang rakus terutamanya di Hutan Simpan Ulu Muda yang merupakan kawasan tadahan air terbesar dan terpenting di NCER akan menyebabkan kekurangan ketersediaan air mentah bukan sahaja di daerah Sik tetapi juga di negeri lain seperti Perlis, Kedah, dan Pulau Pinang. Pembalakan ini juga akan seterusnya mendorong kepada pengeringan di Sungai Muda dan Empangan Muda yang merupakan sumber air terpenting bagi daerah Sik. Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Kedah menghentikan segera aktiviti pemusnahan hutan dan penebangan balak bagi memelihara sumber asli ini dan menjamin sumber bekalan air yang mencukupi. 

 

Selain itu, aktiviti pertanian yang merupakan salah satu sumber pendapatan utama di daerah Pekan Sik juga turut menyumbang dalam masalah gangguan bekalan air ini. Menurut Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, kerajaan negeri ada mengesan aktiviti penyiraman menggunakan sumber bekalan air terawat pada waktu malam yang menyebabkan tekanan air menjadi rendah di daerah Sik. Aktiviti itu berlaku di kawasan dusun durian yang terletak jauh dari sumber air seperti tali air kerana petani tiada pilihan ekoran musim kemarau di negeri ini. Aktiviti menggunakan air terawat bagi penyiraman tanaman pada waktu yang tidak sesuai akan menyebabkan menyebabkan sistem bekalan air mengalami penurunan tekanan.

 

Seterusnya, kebanyakan isu gangguan bekalan air ini juga berlaku disebabkan tekanan air yang rendah disebabkan infrastruktur sistem bekalan air yang dibina adalah lama iaitu sejak puluhan tahun yang lalu menyebabkan ia tidak dapat menampung penggunaan yang tinggi. Sistem perpaipan yang tidak efisien menyebabkan ia tidak dapat mengepam banyak air terutamanya ketika waktu-waktu kritikal seperti pagi dan petang iaitu semasa penduduk pulang daripada bekerja. Infrastruktur sistem perpaipan yang lebih baik perlu dibina dan dirancang dengan teliti supaya masalah ini dapat diselesaikan.

 

 

4.0       Kesan Isu Gangguan Bekalan

 

Isu gangguan bekalan air di Daerah Sik ini telah menimbulkan pelbagai kesulitan kepada penduduk. Ketiadaan air ketika diperlukan telah menjejaskan aktiviti harian seperti memasak, mandi dan solat. Masalah ini akan bertambah rumit bagi seisi keluarga yang bekerja atau bersekolah. Ketiadaan air menyebabkan ada di antara mereka terpaksa menumpang di rumah saudara atau rakan-rakan dan membeli makanan dari kedai luar. Kekurangan air juga telah menimbulkan masalah untukmenjaga kebersihan dan kesihatan di rumah. Hal ini akan menambah kesulitan dan beban penduduk sekaligus memberi tekanan dan menjejaskan kesejahteraan kehidupan sosial penduduk.

 

Selain itu, bekalan air yang tidak mencukupi boleh menjejaskan kesihatan manusia menjadi lemah dan tidak bertenaga. Selain itu, manusia boleh menghidapi pelbagai penyakit seperti demam, cirit-birit disebabkan minum air yang tidak bersih. Hal ini kerana manusia mudah mengalami dehidrasi disebabkan kekurangan air dalam badan, dan kadang-kala boleh menyebabkan berlakunya penyakit seperti taun kerana terpaks ameminum air yang tercemar. Penyakit yang dibawa oleh air dan ketiadaan sanitari adalah salah satu punca yang boleh dikaitkan dengan kematian. Untuk kanak-kanak di bawah umur lima tahun, penyakit yang dibawa oleh air adalah penyebab utama kematian. Sekiranya krisis air di daerah Sik ini berterusan, ia boleh menyebabkan nyawa manusia terancam dan lebih parah lagi boleh menyebabkan nyawa menjadi taruhan.

 

5.0       Cadangan Penyelesaian

 

Terdapat beberapa cadangan penyelesaian bagi masalah bekalan air ini. Antaranya ialah memberhentikan aktiviti penebangan hutan. Penebangan hutan boleh menyebab terjejasnya kawasan tadahan hujan seperti berlakunya pencemaran. Pencemaran yang berlaku di kawasan tadahan air akan meningkatkan kos rawatan air dan lebih parah lagi jika tahap pencemarannya mencapai tahap kritikal, loji rawatan air berkaitan terpaksa ditutup. Contohnya sebuah projek ladang getah seluas 443 hektar di Daerah Sik yang membabitkan penerokaan hutan di dua stesen pengambilan dan penapisan air. Apa yang berlaku di situ adalah hutan-hutan ditebang dan pokok getah pula ditanam. Hal ini perlu dibendung supaya isu bekalan air dapat diselesaikan.

 

Seterusnya, pihak berkuasa perlu memantau aktiviti perkilangan yang berada di kawasan Daerah Sik bagi mengelakkan kekerapan pencemaran sungai berlaku lagi. Pengurusan air bagi kawasan pembinaan atau perkilangan perlulah ditambahbaik kerana pencemaran air yang melibatkan sisa kimia dan toksik seringkali terjadi menyebabkan sumber bekalan air tercemar dan tidak boleh disalurkan. Menurut Harian Metro, sejumlah 34,200 akaun Syarikat Air Darul Aman (Sada) di Sik dan Kuala Muda mengalami gangguan selepas Sada terpaksa menghentikan operasi tiga Loji Rawatan Air (LRA) susulan pencemaran air dipercayai akibat tumpahan minyak di Sungai Muda. Justeru itu, pihak berkuasa dan pengurusan kilang perlulah meneliti proses pembuangan sisa supaya insiden pencemaran sungai yang disebabkan sisa buang kilang boleh dielakkan.

 

Selain itu, kerajaan juga perlu memikirkan alternatif sementara bagi membendung isu bekalan air ini. Sebagai contoh, bagi kawasan yang mempunyai tekanan air rendah, kerajaan boleh memperuntukkan pemasangan pam air atau Mini Booster Pump bagi meningkatkan tekanan air supaya bekalan air boleh menampung keperluan seisi rumah. Hal ini kerana, tangki air yang disediakan dalam taman dan kampung di daerah Sik hanya mampu menyalurkan air kepada separuh daripada kesemua rumah yang ada disekitar kawasan Sik disebabkan tekanan bekalan air yang rendah. Kerajaan Kedah juga perlu mempunyai inisiatif untuk membina infrastruktur sistem bekalan air yang lebih efisien supaya sistem yang baru dapat menampung penggunaan yang tinggi. Langkah-langkah ini akan dapat mengurangkan beban isu masalah air yang membelenggu penduduk di Daerah Sik.

 

6.0       Rumusan

 

Kesimpulannya, isu bekalan air di Sik, Kedah ini telah lama menjadi bicara rata-rata penduduk di daerah itu. Isu ini juga seringkali dipaparkan di akhbar-akhbar tempatan dan di media sosial. Namun begitu, sehingga sekarang isu ini masih lagi didengari dan belum selesai sepenuhnya. Pihak kerajaan seharusnya cakna dan mengambil tindakan yang pantas dan cekap dalam menyelesaikan masalah ini. Hal ini kerana, kesan-kesan yang berlaku disebabkan isu bekalan air ini sedikit sebanyak memberi impak kepada kesejahteraan penduduk di kawasan itu. Langkah-langkah seperti menyediakan pam tambahan kepada taman-taman atau kampung di Daerah Sik, penambahbaikan infrastruktur sistem bekalan air, memantau aktiviti pembalakan aktiviti perkilangan perlu dilaksanakan dan dirancang oleh pihak kerajaan. Oleh itu, jelaslah bahawa isu bekalan air di Sik ini merupakan isu yang serius dan perlu disuarakan dengan lebih meluas lagi oleh penduduk-penduduk dan orang ramai yang terjejas dengan keadaan ini.

 

 

7.0       Rujukan

 

1.    https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/11/641220/pencemaran-air-bekalan-air-penduduk-sik-kuala-muda-terjejas

 

2.    http://www.onenews.my/gangguan-bekalan-air-bersih-di-sik-isu-bakal-selesai/

 

3.    https://foe-malaysia.org/my/articles/hentikan-aktiviti-pembalakan-dan-pemusnahan-hutan-pemberian-tong-percuma-bukan-jalan-penyelesaian-masalah-bekalan-air-di-kedah/

 

4.    https://foe-malaysia.org/my/articles/lindungi-sumber-air-untuk-memastikan-jaminan-sekuriti-air/

 

5.    https://www.malaysiakini.com/news/608347

 

6.    https://www.utusan.com.my/nasional/2021/07/300-penduduk-marah-tiada-air/

 


Virus-free. www.avast.com

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...