Friday, June 17, 2022

Meneroka isu kanak-kanak stateless di Kampung Sampah, Batu 8, Sandakan, Sabah

Tajuk: Meneroka isu kanak-kanak stateless di Kampung Sampah, Batu 8, Sandakan, Sabah.

1.0       Pengenalan/ Rumusan Isu

Sejak akhir-akhir ini, isu kanak-kanak stateless atau dikenali sebagai kanak-kanak tanpa kewarganegaraan merupakan isu yang tidak asing lagi dibincangkan di negeri Sabah termasuklah di Sandakan. Berdasarkan Artikel Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam United Nations High Commissioner for Refugess, UNCHR (1954) mentakrifkan stateless atau individu tanpa negara sebagai seseorang individu yang tidak dianggap sebagai warganegara oleh sesebuah negara mengikut undang-undang negara yang diduduki.

Seseorang kanak-kanak yang tidak memiliki kewarganegaraan pastinya berdepan pelbagai masalah terutamanya dari segi mendapatkan pelbagai kemudahan seperti bersekolah, mendapatkan rawatan kesihatan dan sebagainya. Segelintir orang menganggap isu stateless adalah sama dengan isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Pada hakikatnya, ia adalah berbeza kerana stateless merujuk kepada individu yang tiada kewarganegaraan dari mana-mana negara dan tiada dokumen rasmi pengenalan manakala PATI pula kumpulan manusia yang memiliki kewarganegaraan namun mereka masuk ke Malaysia secara haram tanpa melalui proses undang-undang.

Hal ini demikian berlaku kerana, sesebuah negara termasuklah Malaysia tidak terikat secara sah dengan individu tanpa kewarganegaraan ini dan isu stateless ini dikatakan bukan menjadi tanggungjawab pihak kerajaan untuk memberikan hak-hak asasi seperti akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan, pekerjaan, pilihan tempat tinggal mahupun perlindungan (Cellini Basri & Qistina Balqis, 2021). Situasi dan keadaan kanak-kanak yang tidak memiliki kewarganegaraan sering diabaikan dan pendidikan yang sepatutnya mereka peroleh seawal umur 6 tahun terpaksa dilupakan oleh kanak-kanak stateless di Kampung Sampah, Batu 8 Sandakan, Sabah.

Secara umumnya, Kampung Sampah Batu 8 Sandakan terletak di pusat pelupusan batu 8, Sandakan dan merupakan kawasan pusat pengumpulan sampah dari semua kawasan di daerah Sandakan. Kebayakan kanak-kanak yang tinggal dan lahir di kawasan tersebut tidak memiliki kewarganegaraan dan tidak bersekolah akibat tiada dokumen lengkap dan tidak mampu membeli peralatan sekolah. Walaupun kebanyakan kanak-kanak Kampung Sampah lahir di Malaysia. Namun, status kewarganegaraan mereka kebanyakannya tiada atas beberapa sebab. Jumlah penduduk Kampung Sampah ini juga dianggarkan seramai lebih 1000 orang. Tambahan pula, kampung sampah juga sering dinamakan sebagai Kampung Lalat atau Kampung Pelupusan Sampah (Salman Abadi, 2018). Lokasi Kampung Sampah, terletak berhampiran Bandar Sibuga Jaya Batu 8, Sandakan adalah seperti di Gambar 1. Kebanyakan penduduk yang tinggal di perkampungan ini juga tinggal di kawasan setinggan dan daif seperti Gambar 2.

 

Gambar 1. Lokasi Kampung Sampah Batu 8, Sandakan

Sumber: Google Map


Gambar 2. Situasi tempat tinggal di Kampung Sampah Batu 8, Sandakan

 

Isu stateless yang berlaku di Kampung Sampah telah menyebabkan pelbagai kemudahan tidak diberikan kepada mereka termasuklah peluang pekerjaan. Seperti sedia maklum, semua pekerjaan yang ditawarkan di Malaysia walaupun perniagaan tersebut berskala kecil memerlukan bukti kewarganegaraan, dokumen sah atau kad pengenalan sebagai syarat bekerja di sesuatu tempat. Ketiadaan status kewarganegaraan bagi kebanyakan penduduk Kampung Sampah telah menyebabkan mereka terpaksa bekerja sebagai pengutip sampah dan sisa-sisa barang terbuang di longgokan sampah untuk dijual dengan harga yang murah bagi meneruskan kehidupan. Aktiviti penduduk Kampung Sampah mencari dan mengitar semula sampah dan sisa pepejal yang dibuang di tapak pelupusan sampah tidak mengira golongan sama ada dewasa, wanita dan kanak-kanak. Isu stateless dalam kalangan kanak-kanak di Kampung Sampah telah menyebabkan mereka terpaksa membantu ibu bapa mereka mencari sampah untuk dijual bagi kelangsungan hidup.


Gambar 3. Penduduk Kampung sampah mencari barang terpakai yang boleh dijual

Sumber: Salman Abadi (2018)



Gambar 4. Kanak-kanak ditemukan di kawasan pelupusan sampah Batu 8, Sandakan

Sumber: Kosmo (2022)


2.0       Punca dan penyebab berlakunya kanak-kanak stateless

Menurut Cellini Basri & Qistina Balqis (2021) menyatakan bahawa beberapa punca yang menyebabkan seseorang individu tinggal di Malaysia tanpa kewarganegaraan atau menjadi stateless termasuklah tiada kewarganegaraan yang bergenerasi. Hal ini bermaksud individu atau kanak-kanak yang tidak memiliki sebarang kewarganegaraan ini berasal dari keturunan ibu bapa atau nenek moyang yang juga tiada kewarganegaraan. Justeru, situasi ini akan menyebabkan mereka mewarisi status tanpa kewarganegaraan. Keadaan di banyak terjadi dalam kalangan kanak-kanak di Kampung Sampah. Kebanyakan mereka tidak memiliki generasi yang jelas dan generasi di atas mereka tidak memiliki kewarganegaraan menyebabkan mereka menjadi generasi seterunya yang tiada kewarganegaraan. Hal ini menjadi lebih rumit apabila, negara Malaysia sangat tegas dalam memberikan kewarganegaraan kepada kanak-kanak yang tidak jelas keturunannya.

            Selain itu, perkahwinan yang tidak diiktiraf juga menjadi penyebab berlakunya stateless di negara Malaysia termasuklah di Kampung Sampah. Secara khususnya, negara Malaysia mematuhi prinsip jus sanguinis. Kewarganegaraan akan diberikan kepada anak yang dilahirkan di Malaysia hasil perkahwinan yang sah dan sekurang-kurangnya ibu atau bapanya adalah mempunyai taraf kewarganegaraan atau mempunyai status kediaman tetap. Kebanyakan ibu bapa kanak-kanak stateless di Kampung Sampah Batu 8 Sandakan tidak memiliki sijil nikah. Hal ini menyukarkan mereka untuk membuat pendaftaran kewarganegaraan bagi anak mereka. Seterusnya, isu kanak-kanak stateless berlaku di sebabkan buta huruf dan rasa takut oleh ibu bapa mereka. Hal ini berlaku apabila terdapat ibu bapa yang enggan untuk mendaftarkan kelahiran anak mereka dan kurang mengetahui kepentingan memiliki dokumentasi kewarganegaraan. Keengganan mereka juga selalu dikaitkan dengan perasaan takut untuk mengurus proses permohonan kewarganegaraan.

Di samping itu, ramai anak yang lahir sebenarnya layak mendapatkan status kewarganegaraan. Namun, ibu bapa mereka tidak mengetahui cara-cara untuk mendapatkan dokumen-dokumen yang relevan menjadi penyebab anak mereka tidak mendapat status kewarganegaraan. Hal ini dapat dikaitkan dengan keadaan di Kampung Sampah di mana kebanyakan ibu bapa kanak-kanak stateless ini tidak tahu membaca dan tiada pendidikan. Hal ini secara tidak langsung menyukarkan mereka mengurus proses kewarganegaraan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sandakan. Penyebab lain berlakunya isu kanak-kanak stateless juga adalah disebabkan kewarganegaraan ibu bapa mereka mungkin telah dibatalkan oleh kerajaan atau negara asal mereka akibat masalah perkauman, agama atau jantina. Pembuangan bayi juga menjadi punca berlakunya stateless kanak-kanak.

 

3.0     Cadangan dan langkah mengatasi isu stateless

Secara amnya, Malaysia merupakan negara Pertubuhan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Bagi menangani isu kanak-kanak stateless di Malaysia termasuklah di Kampung Sampah, pihak kerajaan seharusnya menyokong sepenuhnya kempen #1Belong UNCHR yang telah dilancarkan 60 tahun selepas Perhimpunan Agung PBB pada tahun 1954 yang bermatlamat untuk menghapuskan masalah individu yang tiada warganegara atau stateless dalam tempoh 10 tahun (Allertorn, 2017). Oleh itu, terdapat beberapa cadangan langkah yang boleh dibuat oleh pihak kerajaan bagi mengurangkan bilangan individu tanpa kewarganegaraan dan menangani isu stateless di Kampung Sampah dan negara Malaysia secara keseluruhannya seperti yang digariskan oleh UNCHR. Berdasarkan laporan UNCHR (2019) bagi mencapai matlamat kempen #1Belong digariskan oleh UNCHR dalam Pelan Tindakan Global bagi Menamatkan isu tiada kewarganegaraan yang bermula tahun 2014 hingga tahun 2024, beberapa cadangan langkah yang dikira sesuai untuk dibuat di Malaysia dan diharapkan langkah tersebut dapat menyelesaikan isu kanak-kanak-kanak stateless di Kampung Sampah Batu 8, Sandakan.

            Langkah pertama adalah menyelesaikan masalah utama individu tiada kewarganegaraan. Masalah utama yang perlu diselesaikan adalah dari segi undang-undang, dasar dan pembaharuan pentadbiran bagi kerajaan Malaysia bagi memberikan atau mengesahkan kewarganegaraan seseorang individu. Cara yang dikatakan paling efektif menyelesaikan situasi utama dalam stateless adalah melalui perubahan kepada perundangan atau dasar kerajaan. Secara amnya, peraturan untuk mendapatkan kewarganegaraan boleh diubah. Keperluan dan prosedur untuk proses naturalisasi perlu diberi kemudahan dari sebelumnya bagi memudahkan individu tanpa negara mendapatkan kewarganegaraan. Sebagai contoh, negara Malaysia boleh mengurangkan bilangan tahun yang diperlukan untuk tinggal di Malaysia atau menurunkan atau menghapuskan yuran permohonan. Hal ini demikian bagi memudahkan individu stateless memohon kewarganegaraan. Yuran permohonan kewarganegaraan sememangnya wajar dilupuskan atau dikurangkan bayarannya bagi memudahkan kanak-kanak stateless di Kampung Sampah mendapat kewarganegaraan kerana kebanyakan ibu bapa kanak-kanak stateless di Kampung Sampah adalah berpendapatan rendah dan hanya mengharapkan duit hasil jualan sampah yang tidak seberapa.

            Langkah kedua adalah memastikan tiada anak yang dilahirkan tanpa kerakyatan. Secara amnya, majoriti individu stateless di dunia ini tidak mempunyai kewarganegaraan sejak mereka dilahirkan lagi. Situasi ini sama dengan kanak-kanak yang tinggal di Kampung Sampah yang kebanyakan mereka lahir di Malaysia namun tidak mendapat kewarganegaraan. Salah satu perlindungan yang paling penting untuk mengatasi isu stateless adalah dengan memastikan undang-undang kewarganegaraan membenarkan kanak-kanak yang dilahirkan di dalam wilayah sesebuah negara memperoleh kewarganegaraan bagi individu yang mengehendakinya. Perlindungan ini adalah penting untuk mencegah ketiadaan negara seperti yang ditetapkan dalam Konvensyen 1961 mengenai pengurangan individu yang tiada negara. Kepentingan perlindungan ini diperkukuhkan oleh piawaian yang terkandung dalam Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak dan Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik dengan hak setiap kanak-kanak untuk memperoleh kewarganegaraan. Bagi melaksanakan perlindungan ini, negara sewajarnya mengambil langkah dengan tidak membiarkan kanak-kanak membesar tanpa kerakyatan atau kewarganegaraan.

Langkah ketiga adalah menghilangkan diskriminasi jantina daripada undang-undang kebangsaan. Secara amnya, diskriminasi jantina dalam undang-undang kewarganegaraan boleh berlaku kesan yang meluas ke atas semua aspek kehidupan keluarga. Semua negara seharusnya mempunyai undang-undang kewarganegaraan yang melayan wanita dan lelaki sama rata dari segi pemberian kewarganegaraan kepada anak-anak mereka, pemerolehan, perubahan dan pengekalan kewarganegaraan. Di samping itu, tidak melucutkan atau menafikan kewarganegaraan orang disebabkan diskriminasi seperti etnik, kaum, agama, bangsa atau kecacatan. Hal ini demikian kerana, diskriminasi mengikut etnik, kaum, agama, bahasa atau kecacatan adalah punca yang sering menjadi punca seseorang tiada kewarganegaraan. Peruntukkan tanpa diskriminasi boleh diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia dalam perlembagaan dan undang-undang kewarganegaraan. Masalah diskriminasi ini mungkin telah di hadapi oleh ibu bapa kanak-kanak stateless di Kampung Sampah yang menyebabkan kewarganegaraan mereka ditarik oleh negara asal mereka.

Seterusnya, pihak kerajaan seharusnya meningkatkan data kuantitatif dan kualitatif mengenai penduduk stateless. Hal ini bermaksud pihak berkuasa sewajarnya mengumpul maklumat penduduk yang tiada kewarganegaraan dengan menggunakan pelbagai kaedah seperti analisis sivil data pendaftaran, banci penduduk, tinjauan dan sebagainya bagi mengetahui jumlah sebenar penduduk yang tiada kewarganegaraan. Langkah banci penduduk ini sesuai digunakan di Kampung Sampah bagi mengetahui data dan jumlah sebenar kanak-kanak stateless dan seterusnya menguruskan proses kewarganegaraan bagi mereka. Selain daripada beberapa cadangan langkah UNCHR boleh diambil bagi mengatasi isu stateless di Kampung sampah. Terdapat cadangan cara lain juga boleh digunakan bagi kanak-kanak stateless Kampung Sampah mendapatkan kewarganegaraan termasuklah pengambilan keluarga angkat di Malaysia bagi kanak-kanak yang dilahirkan tanpa mengetahui siapa ibu bapa mereka.

4.0       Kesimpulan

Secara keseluruhannya, isu kanak-kanak stateless merupakan suatu isu penduduk yang rumit untuk diselesaikan dalam tempoh yang singkat. Namun, isu stateless ini sepatutnya dicari jalan keluarnya bagi memastikan hak-hak asasi manusia dapat diberikan kepada kanak-kanak stateless di Kampung Sampah Batu 8 Sandakan. Oleh itu, semua rakyat Malaysia yang memiliki kewarganegaraan seharusnya berasa bersyukur kerana dapat menikmati kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh kerajaan kerana pada hari ini masih ramai yang tidak memperoleh hak-hak asasi akibat tiada kewarganegaraan. Pihak kerajaan sewajarnya menggubal dasar berkaitan cara mendapatkan kewarganegaraan agar isu stateless ini dapat diatasi secara menyeluruh dan tidak berfokus di Sabah semata-mata. Namun, di Semenanjung juga di ambil kira. Tanpa kewarganegaraan seseorang pasti hilang hak-hak asasinya.


Mengetahui lebih lanjut berkaitan perkampungan sampah, Batu 8 Sandakan boleh layari YouTube:

https://youtu.be/QzP8An20ycU

https://youtu.be/wrUWkIg_Lss


Rujukan :

Allertorn, C. (2017). Contested Statelessness in Sabah, Malaysia:Irregularity and the Politics of Recognition, Journal of Immigrant & Refugee Studies, 15(3), 250-268. https://www.researchgate.net/publication/312550135_Contested_Statelessness_in_Sabah_Malaysia_Irregularity_and_the_Politics_of_Recognition

Cellini Basri & Qistina Balqis. (2021). Golongan Miskin Tercicir: Komuniti Tanpa Kewarganegaraan. https://www.wikiimpact.com /wp-content/uploads/2021/07/BM_-Whit epap er-Malaysias-Invisible-Poor_-The-Stateless-Co mm unities.pdf

Kosmo. (2022, April 19). Kanak-kanak terbiar di tempat pelupusan sampah, menangis teresak-esak. https://www.kosmo.com.my/2022/04/19/kanak-kanak-terbiar-di-tempat-pelu pus an-sampah-menangis-teresak-esak/

Salman Abadi. (2018, Jun 1). Program amal Ramadan: 'Kami Peduli'. Utusan Borneo. https://www.utusanborneo.com .my/2018/06/01/program-amal-ramadan-kami-peduli

United Nations High Commissioner for Refugess, UNCHR. (1954). Convention Relating to the Status of Stateless Persons. https://www.unhcr.org/ibelong/wp-content/uploads/1954-Con vention-relating-to-the-Status-of-Stateless-Persons_ENG.pdf

United Nations High Commissioner for Refugess, UNCHR. (2019). GLOBAL ACTION PLAN TO END STATELESSNESS: 2014–2024. https://www.unhcr.org/ceu/wp-conten t/upl oads /sites/17/2016/12/End-Statelessness-GlobalActionPlan-2019-Final-web.pdf

 

NAMA: NORASYIRAH BINTI MOHD TAHANG

NO. MATRIK: D20201094278

KUMPULAN B

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...