Sunday, June 19, 2022

ISU PENDUDUK YANG MENJALANKAN AKTIVITI PERNIAGAAN DI PINGGIR JALAN RAYA BANDAR LAHAD DATU

1.0 PENGENALAN

Lahad Datu menjadi petempatan awal yang direkodkan pada tahun 1989 iaitu apabila Datu Baginda Putih berhijrah ke Lahad Datu. Pentadbiran pertama telah direkodkan di Lahad Datu pada tahun 1881 oleh North Borneo Chartered Company (NBCC) di Silam. Bermula daripada saat itu, Lahad Datu mula menonjolkan peranannya sebagai sebuah pusat pentadbiran dan sumber ekonomi bagi NBCC. Perubahan mula berlaku dari beberapa aspek di Lahad Datu seperti ekonomi, pentadbiran dan politik. Lahad Datu juga merupakan bandar keempat yang terbesar di negeri Sabah. Keluasan daerah ini ialah seluas 6,501 kilometer persegi dan diduduki kira-kira seramai 190,000 orang penduduk. Penduduk di bandar Lahad Datu ini ramai yang menjalankan kegiatan ekonomi dalam sektor pertanian dan perikanan sebagai sektor ekonomi utama, namun tidak kurang juga bagi mereka yang bekerja sebagai penjaja dan menjalankan aktiviti perniagaan sebagai sumber pendapatan. Menurut Ismail Stapa (2002), penjaja merujuk kepada individu yang bekerja sendiri. Namun begitu, pembangunan yang pesat di samping pertambahan jumlah penduduk di kawasan bandar ini telah menimbulkan pelbagai isu sosial. Salah satu isu yang timbul di bandar Lahad Datu ini ialah isu penduduk yang menjalankan aktiviti perniagaan di pinggir jalan raya utama bandar Lahad Datu seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1.

             

Rajah 1: Penduduk menjalankan aktiviti perniagaan di pinggir jalan raya utama di kawasan bandar Lahad Datu

            Secara umumnya, menurut (Nur Atika Syazila & Mimi Rozaida, 2010), perniagaan merujuk kepada semua kegiatan membeli dan menjual barangan perkhidmatan dengan tujuan mendapatkan keuntungan. Aktiviti perniagaan ini merupakan salah satu cabang daripada sektor ekonomi yang terpenting dan menjadi faktor ekonomi yang membantu pembangunan di sesebuah kawasan khususnya bagi bandar-bandar yang kecil (Rosniza Aznie et. al, 2015). Hal ini dikatakan demikian kerana aktiviti perniagaan ini juga merupakan salah satu kegiatan ekonomi yang boleh mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan bagi sesebuah bandar. Seperti yang dijelaskan oleh (Krishnaveni, 2010), aktiviti perniagaan kecil-kecilan atau secara tidak formal sebagai aktiviti ekonomi yang penting dalam pembangunan sesebuah kawasan tidak dapat dinafikan. Oleh sebab itu, sektor perniagaan didapati menjadi salah satu daripada sektor asas ekonomi yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan bandar di Lahad Datu. Namun begitu, tidak semua penduduk di Lahad Datu ini yang berniaga dengan telus dan mengikuti undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD). Terdapat segelintir daripada mereka yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen yang sah dan tidak berdaftar di pinggir-pinggir jalan raya utama di kawasan bandar. Tindakan penduduk ini sememangnya sudah berulang kali dicegah dan diberi peringatan yang keras oleh pihak berkuasa tempatan namun masih sahaja golongan ini berdegil untuk menjalankan perniagaan mereka di kawasan larangan tersebut. Oleh itu, artikel ini akan mengupas dengan lebih lanjut mengenai punca permasalahan ini berlaku, kesan yang terjadi disebabkan isu yang timbul serta langkah yang boleh diambil untuk mengatasi kemelut ini daripada terus berlarutan. 

 

2.0 PERBINCANGAN DAN HURAIAN

2.1 Punca-punca Aktiviti Perniagaan Yang Dijalankan Di Pinggir Jalan Raya

Isu yang timbul dari sikap penduduk yang menjalankan aktiviti perniagaan di pinggir jalan raya ini adalah disebabkan oleh pelbagai faktor. Antara punca isu ini berlaku adalah disebabkan oleh tapak perniagaan yang telah penuh. Pusat perniagaan yang menjual barangan mentah terutamanya sayur-sayuran dan buah-buahan telah penuh kerana di bahagian bandar Lahad Datu ini, terdapat satu sahaja pasar sayur utama yang tidak terlalu besar untuk menjual barangan mentah ini dan terletak betul-betul di tengah bandar. Hal ini menyebabkan ramai peniaga-peniaga kecil yang berebut-rebut untuk mendapatkan tapak perniagaan di dalam pasar tersebut bagi menjalankan perniagaan mereka. Bagi mereka yang tidak sempat untuk mendapatkan tapak perniagaan tersebut pula, ramai dari peniaga-peniaga kecil ini yang memutuskan untuk berniaga di pinggir jalan raya yang terletak betul-betul di depan pasar sayur tersebut seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 2 dengan menjual sayur-sayuran atau buah-buahan pada harga yang lebih murah kerana mereka tidak perlu membayar sewa tapak. Bukan itu sahaja, lokasi tapak perniagaan ini yang terletak pada kedudukan yang strategik iaitu di tengah-tengah bandar dan dikelilingi oleh kawasan perumahan penduduk lain juga menyebabkan ramai peniaga tertumpu dan berkumpul beramai-ramai untuk menjual barangan mentah mereka secara tidak sah di kawasan tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana hanya kawasan itu sahaja yang mampu menarik ramai pelanggan bahkan dari penduduk yang tinggal berjauhan dari pusat bandar juga akan membeli di lokasi tersebut disebabkan barangan mentahnya yang lengkap dan agak murah.

Rajah 2: Tapak perniagaan penduduk yang tidak berdaftar

            Selain itu, punca lain yang menyebabkan penduduk berniaga di pinggir jalan raya ini adalah disebabkan oleh tidak mempunyai lesen berniaga. Hal ini terjadi kerana kebanyakan penduduk yang menjual di pinggir jalan ini ialah warga asing yang sudah lama menetap di Lahad Datu. Meskipun pihak berkuasa seperti MDLD telah membuat sitaan terhadap penjaja warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sekitar Pasar Rakyat Lahad Datu ini, namun mereka masih sahaja tidak serik berniaga dan menjadikan kawasan di pinggir jalan raya ini sebagai lubuk rezeki perniagaan secara haram. Jumlah penjaja warga asing juga menjadi lebih ramai lagi bermula dari awal pagi sehingga petang pada setiap hari. Tidak hanya berstatus warga asing, peniaga-peniaga ini juga jelas tidak akan mendapat lesen perniagaan yang sah kerana lokasi perniagaannya yang telah melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan untuk mendapatkan lesen perniagaan. Hal ini dikatakan demikian kerana antara salah satu syarat kelayakan untuk memperoleh lesen penjaja ini iaitu tidak boleh menjalankan perniagaan di atas tangga, kaki lima atau mana-mana jalan yang boleh menghalang perjalanan lalu lintas kenderaan atau pergerakan bebas orang berjalan kaki. Namun begitu, tempat-tempat larangan inilah yang dijadikan sebagai tapak perniagaan mereka seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 3.

Rajah 3: Para penjaja berniaga di atas tangga

 

2.2 Kesan-kesan Dari Aktiviti Perniagaan Yang Dijalankan Di Pinggir Jalan Raya

Isu yang terjadi ini sudah pasti membawa banyak kesan negatif kepada penduduk yang lain. Antara kesan daripada isu berniaga di pinggir jalan raya ini ialah kesesakan lalu lintas. Hal ini dikatakan demikian kerana penduduk yang menjalankan aktiviti perniagaan yang dijalankan di pinggir jalan raya ini telah menyebabkan penduduk lain yang ingin melalui jalan tersebut menghadapi kesukaran untuk melaluinya. Sehingga kini, masih terdapat banyak kes kecelakaan yang berlaku di laluan jalan raya tersebut disebabkan hampir separuh daripada keluasan jalan raya itu tidak dapat digunakan kerana dipenuhi oleh peniaga-peniaga yang berniaga secara haram di kawasan tersebut serta menyebabkan kes kemalangan jalan raya kerana penglihatan pemandu kereta yang terhalang dengan keberadaan peniaga dan pembeli yang berpusu-pusu di kawasan tersebut. Hal ini telah menimbulkan kemarahan penduduk-penduduk lain yang berada di sekitar kawasan tersebut kerana isu ini mengganggu kelancaran pergerakan kenderaan mereka dan menyebabkan masalah-masalah lain seperti kerosakan kenderaan dan sebagainya. Tidak cukup dengan itu, pelanggan juga ramai yang menghadapi kesulitan untuk mencari tapak meletakkan kereta kerana jalan yang terlalu sempit dan sesak akibat dipenuhi oleh para peniaga yang menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah ini.

            Seterusnya, kesan daripada permasalahan ini ialah peningkatan pembuangan sampah-sarap di atas jalan raya. Penduduk yang menjalankan perniagaan di pinggir jalan raya ataupun di kaki-kaki lima ini telah menyebabkan kadar peningkatan sampah-sarap di kawasan tersebut semakin tinggi. Hal ini dikatakan demikian kerana para peniaga ini telah membuang sampah sesuka hati ke merata-rata tempat misalnya apabila mereka ingin membersihkan sisa barangan mentah yang tidak boleh digunakan ataupun sisa makanan dan minuman yang sudah habis dimakan akan dibuang begitu sahaja di sekitar kawasan perniagaan tersebut. Hal ini telah menyebabkan jalan raya tersebut dipenuhi dengan sampah-sarap yang seterusnya mengganggu keselesaan penduduk-penduduk lain yang ingin membeli di situ serta menjejaskan kualiti pemandangan sesuatu kawasan khususnya di bahagian-bahagian bandar. Bukan itu sahaja, sampah-sarap yang berselerak di atas jalan raya tersebut juga telah mengundang banyak makhluk perosak contohnya seperti lipas, tikus dan sebagainya yang mana haiwan-haiwan ini berupaya tinggi untuk mendatangkan penyakit kepada orang ramai lebih-lebih lagi apabila najis mereka terkena pada barang-barangan mentah yang dijual di kawasan ini. Namun begitu, seperti yang dijelaskan oleh Rohaya Abdullah (2007), sektor perniagaan tidak formal ini sememangnya memainkan peranan yang penting dalam pembangunan sesuatu kawasan, namun begitu sektor ini juga perlu diberi perhatian yang serius terutamanya dari pihak kerajaan untuk mengatasi masalah kebersihan persekitaran dan kesihatan para penduduk setempat.

 

2.3 Langkah-langkah Penyelesaian Untuk Mengatasi Isu Aktiviti Perniagaan Yang Dijalankan Di Pinggir Jalan Raya

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengatasi isu aktiviti perniagaan yang dijalankan di pinggir jalan raya ini. Salah satu langkahnya ialah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh mengenakan tindakan undang-undang kepada para peniaga yang tidak mematuhi peraturan untuk berniaga. Langkah ini boleh dilakukan dengan memberikan amaran dan peringatan yang tegas terlebih dahulu, namun sekiranya masih tidak terdapat apa-apa perubahan atau tindakan daripada para peniaga, PBT atau kerajaan tempat di kawasan ini yang dikenali sebagai MDLD boleh menyita segala barangan jualan dan mengeluarkan kompaun atau saman kepada peniaga-peniaga yang tidak mempunyai lesen penjaja serta mengarahkan mereka untuk memberhentikan aktiviti itu dengan serta-merta. Dengan adanya tindakan undang-undang yang tegas ini, para peniaga akan akur kepada undang-undang yang telah termaktub di dalam senarai perundangan dan mematuhi peraturan tersebut. Oleh itu, pihak kerajaan perlu melaksanakan penguatkuasaan undang-undang agar isu berniaga di pinggir jalan raya ini dapat diatasi.

            Di samping itu, langkah lain yang boleh dilakukan untuk menangani isu ini adalah dengan menyediakan tapak perniagaan yang sesuai dan lebih luas. Langkah ini boleh membuka peluang kepada peniaga-peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan di pinggir jalan raya untuk berjaja dengan lebih mudah sekaligus bagi menyelesaikan kesesakan lalu lintas yang terjadi disebabkan oleh aktiviti perniagaan mereka ini. Bukan itu sahaja, melalui penyediaan tapak perniagaan ini juga para peniaga ini dapat berniaga dengan cara yang lebih teratur dan lebih bersih. Dengan cara ini juga, isu peningkatan pembuangan sampah-sarap di atas jalan raya dapat dibendung dengan mudah. Langkah ini juga boleh dilakukan dengan mencari tempat yang sesuai dan strategik untuk melakukan aktiviti berjual beli dan seterusnya dengan mewujudkan satu tabung dana oleh pihak yang bukan kerajaan (NGO) untuk membuka tapak perniagaan ataupun memohon kepada pihak kerajaan secara langsung untuk mendapatkan peruntukan dana bagi menyediakan tapak tersebut.

 

3.0 KESIMPULAN

Secara kesimpulannya, isu perniagaan yang dijalankan di pinggir jalan raya ini perlu diberi perhatian yang sepenuhnya kerana isu ini merupakan masalah utama dan isu lazim yang berlaku di Malaysia. Para peniaga juga perlu mengamalkan etika perniagaan yang baik dan sewajarnya serta mematuhi undang-undang berniaga yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Dengan ini, para peniaga tersebut dapat membina sikap dan akhlak yang baik dalam berniaga dan menjalankan perniagaan dengan lebih teratur kerana aktiviti perniagaan ini juga merupakan salah satu kegiatan yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat. Aktiviti perniagaan ini sememangnya banyak memberi faedah kepada masyarakat. Oleh hal yang demikian, setiap penduduk yang menjalankan kegiatan perniagaan ini perlu melakukannya dengan telus tanpa mengganggu keselesaan para penduduk di sekitarnya demi menjamin kesejahteraan hidup sejagat.

 

RUJUKAN

Ismail Stapa. (2002). Pembangunan sektor ekonomi informal bandar: Kajian tentang penjaja dan penjajaan di Kuala Lumpur.[Tesis Doktor Falsafah]. Universiti Malaya.

Nur Atika Syazilah Muda & Mimi Rozaida Mohamed Roduan. (2010). Perniagaan informal di       pusat bandar Batu Gajah, Perak.[Tesis Sarjana]. Universiti Teknologi Mara.

Krishnaveni Tamil Selvan. (2010). Penilaian perkhidmatan dan kemudahan kerajaan tempatan     untuk peniaga kecil di bandar Betong, Pahang.[Tesis Sarjana]. Universiti Sains Malaysia.

Rohaya Abdullah. (2007). Usaha majlis perbandaran Alor gajah dalam menggalakkan perniagaan             sektor tidak formal di bandar baru Masjid Tanah, Alor Gajah Melaka.[Tesis Sarjana].         Universiti Tekologi Malaysia.

Rosniza Aznie Che Rose, Nurul Fatihah Jusoh, Rosmiza MZ, Lyndon N. & Mokhtar J. (2015).             Perkembangan dan cabaran sektor perniagaan sebagai pemangkin pembangunan           bandar kecil: Kajian empirikal di daerah Besut, Terengganu. GEOGRAFIA Online,          Malaysian Journal of Society and Space, 11(8), 1-12.

 

NAMA: NUR ADLINA BINTI ROBERT@KASMAN

NO. MATRIK: D20201094289

KUMPULAN: B

 

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...