1.0 PENGENALAN
Pertumbuhan jumlah penduduk yang semakin pesat yang seiring dengan pembangunan pembandaran dan ekonomi dalam sesebuah kawasan tersebut. Fenomena ini sedikit sebanyak telah menyebabkan kepada masalah pembuangan sampah yang tidak terkawal mencemarkan alam sekitar bandar tersebut. Masalah pencemaran sampah sudah lama wujud di negara ini. Walaupun, telah banyak pendekatan yang digunakan untuk menyelesaikan masalah tersebut seperti penyediaan tong sampah di setiap tempat oleh Pihak Berkuasa Tempatan tetapi masih belum cukup berkesan sekiranya tidak disokong oleh pelbagai pihak. Pembuangan sisa pepejal atau sampah sarap merupakan masalah utama yang dihadapi oleh masyarakat bandar. Kos pengurusan sisa pepejal dari peringkat pengutipan, pengumpulan, pengangkutan sampah hingga ke tahap pelupusan, sangat tinggi. Kuantiti sisa pepejal khususnya sampah domestik perlu dikurangkan bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan.
Pembuangan sampah didefinisikan sebagai aktiviti manusia yang telah menghasilkan benda-benda atau bahan-bahan ke atas alam persekitaran yang menyebabkan gangguan terhadap keselesaan masyarakat atau kemandirian kehidupan (Muhamad Fiqrurazi Bin Ahmad Shamsuri, 2015). Berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, yang memperuntukkan bahawa pencemaran adalah sebarang perubahan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizik, kimia, biologi atau aras-aras radiasi mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan buangan hingga menjejaskan kegunaankegunaan berfaedah yang menimbulkan sesuatu keadaan berbahaya atau mungkin berbahaya kepada kesihatan, keselamatan atau kebajikan awam atau organisma-organisma lain, tumbuhan dan haiwan. Apabila sesebuah negara semakin maju, aktiviti manusia juga akan semakin berdaya saing. Pelbagai objek dan alatan yang direka untuk kegunaan manusia setiap hari. Penciptaan semua bahan ini telah mengakibatkan beberapa impak yang buruk, seperti pembuangan sampah di beberapa kawasan, termasuk kawasan perumahan. Pencemaran ini berpotensi mengancam nyawa dan mempunyai impak negatif dalam jangka masa yang panjang.
Sampah dianggap sebagai bahan tidak berguna yang tidak memberi manfaat dan jika ianya disimpan, boleh menyebabkan kemudaratan. Akibatnya, sampah sering dibuang dan dilonggokkan di tapak pelupusan. Sampah terbahagi kepada dua jenis iaitu sampah domestik dan sampah bukan domestik. (Ridwan, 1994). Bahan-bahan buangan seperti botol, kaca, beg plastik, pakaian, lama serta sisa makanan merupakan merupakan bahan buangan dari rumah dan dapur yang dikategorikan sebagai sampah domestik. Manakala, bahan yang terhasil daripada bahan industri, tapak pembinaan, pasar, kedai-kedai dan pejabat dikategorikan sebagai sampah bukan domestik.
Rajah 1: Lokasi Pusat Bandar Sandakan
Sumber: Google Image
Rajah 2: Keadaan pusat bandar Sandakan semasa musim perayaan
Sumber: Star Media Group Berhad Online
Isu pembuangan sampah sarap berlaku di Bandar Sandakan, Sabah telah menjejaskan landskap dan memberi kesan kepada masyarakatnya. Pembuangan sampah sarap telah menjadi tular beberapa kali di media sosial yang telah mendapat perhatian daripada orang ramai terutamanya pada musim perayaan di mana masyarakat keluar membeli belah di kawasan pusat bandar dan kesesakan ini telah menambahkan lagi pembuangan sampah di merata tempat. Susulan dengan Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Pembandaran Sandakan yang telah tamat kontrak lantikan MPS telah menimbulkan keresahan dan kegelisahan rakyat ekoran masalah sampah tidak terurus pada tahap kritikal di taman-taman perumahan dan lokasi awam. Hal ini penting bagi menjamin kebersihan daerah ini khususnya kawasan taman perumahan yang menjadi lokasi penempatan rakyat. Walaubagaimanapun, menurut Berita PAS, MPS perlu proaktif dalam menyelesaikan isu ini dengan melanjutkan sementara tugas kontraktor lama beberapa bulan bagi memastikan pengurusan pelupusan sampah berjalan lancar. Isu pembuangan sampah yang kerap berlaku ini telah menyebabkan longgokan sampah yang telah menjejaskan keselesaan penduduk. Ini kerana kerja-kerja memungut sampah selepas tamatnya tugas kontraktor lama dilakukan oleh petugas MPS dengan menggunakan lori terbuka yang tidak bersesuaian serta tidak efisien dan ia sekaligus mengakibatkan penyelenggaraan dilakukan dengan tidak sempurna.
2.0 PUNCA PEMBUANGAN SAMPAH DI PUSAT BANDAR SANDAKAN, SABAH.
Pembuangan sampah di Bandar Sandakan berpunca daripada sikap masyarakat sendiri yang tidak sedar akan kepentingan mengamalkan kebersihan bandar. Ini kerana mereka beranggapan bahawa sampah yang dibuang akan segera dibersihkan oleh Majlis Pembandaran Sandakan. Walaupun tong-tong sampah telah disediakan, namun sikap sesetengah penduduk yang tidak mengambil kebersihan bandar sewenang-wenangnya membuang sampah di kawasan bandar mahupun di tepi laut. Mujurnya Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) mengambil langkah segera membersihkan kawasan itu dengan bantuan sukarelawan dan kakitangan Harbour Mall. MPS telah menjalankan kempen kesedaran tentang kebersihan selama bertahun-tahun, dan penduduk harus bertanggungjawab menjaga kebersihan bandar ini. Penduduk seharusnya perlu sedar bahawa kebersihan bandar bukan sahaja tanggungjawab pihak berkuasa tempatan tetapi juga penduduk di bandar itu sendiri.
Isu pembuangan sisa domestik merupakan isu utama di Sandakan, khususnya di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan orang yang mempunyai taraf hidup yang rendah, seperti rumah pangsa, kawasan setinggan, kampung yang dihuni oleh pendatang dari negeri jiran, dan sebagainya. Selain sikap tidak endah oleh masyarakat tempatan, punca lain pembuangan sampah sehingga menyebabkan longgokan sampah di Bandar Sandakan adalah pemungutan dan pengendalian sisa domestik yang tidak mengikut jadual. Pihak berkuasa tidak mengatur dengan cekap ke atas jadual pembuangan sampah yang merumitkan lagi keadaan bandar. Sekiranya sampah dipungut mengikut jadual, masalah lambakan dan timbunan sampah-sarap di pusat bandar Sandakan atau kawasan membuang sampah tidak akan berlaku. Tambahan pula, sesetengah pihak beranggapan bahawa temmpat pembuangan sampah jauh. Ada juga yang menjadikan alasan tempat pembuangan sampah yang jauh sebagai alasan untuk membuang sisa domestik di merata-rata tempat.
Seterusnya, punca pembuangan sampah di Bandar Sandakan adalah sikap masyarakat yang pentingkan diri sendiri. Masalah pembuangan sisa domestik juga berpunca dari sikap pentingkan diri sesetengah pihak. Ada yang berfikir bahawa mereka tidak kisah jika kawasan persekitaran kotor dan bersepah, asalkan dalam rumah mereka bersih dan terjaga. Sikap sebegini boleh menjadi punca pertambahan sampah sarap. Kurang pendidikan tentang kesan terhadap alam sekitar. Malahan, isu pembuangan sampah ini semakin teruk apabila masyarakat kurang pendidikan tentang kesan pembuangan sampah di merata tempat ke atas alam sekitar. Walaupun masyarakat juga yang sudah mengetahui kesan membuang sampah ke mereta tempat namun tetap melakukannya kerana kurang kesedaran terhadap pentingnya penjagaan alam sekitar. Kurang pendidikan tentang kesan terhadap alam sekitar. Pembuangan sisa domestik di merata tempat juga adalah berpunca daripada kurangnya pendidikan tentang kesan pembuangan sampah di merata tempat ke atas alam sekitar. Hal ini dibuktikan dengan kajian oleh Mohd Hamdan Adnan & Diana Demiyah yang telah dilakukan di Sabah di mana Punca pencemaran alam sekitar di Sabah diakui kebanyakannya tercetus daripada sikap masyarakat setempat yang suka membuang sampah di merata-rata tempat. Peratusan menunjukkan punca ini ialah yang utama, iaitu sebanyak 81.6 peratus (155 orang) responden (Mohd Hamdan Adnan & Diana Demiyah, 2017).
Isu pembuangan sampah sarap ini juga berpunca daripada penguatkuasaan yang lemah dari pihak berkuasa. Hal ini kerana tiada tindakan yang diambil ke atas mereka yang membuang sampah di merata tempat. Oleh itu, penduduk sering kali membuang sampah sesuka hati kerana mereka beranggapan bahawa perbuatan mereka tersebut tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Penguatkuasaan yang lemah ini juga telah menyebabkan premis-premis perniagaan sewenang-wenangnya membuang sampah sehingga menyebabkan longgokkan sampah yang banyak. Keadaan ini akan mengundang tikus dan lalat yang akan menyebabkan bau yang tidak menyenangkan kepada penduduk di kawasan tersebut. Bukan itu sahaja, longgokan sampah ini akan menyebabkan longkang menjadi bau hasil daripada air sampah yang bertakung.
Rajah 3: Longgokan sampah sarap yang tidak diuruskan oleh Pihak Berkuasa
Sumber: Sabah News Online.
Rajah 4: Keadaan sampah di premis perniagaan
Sumber: SabahKini.net Online
Rajah 5: Keadaan sampah sarap yang dibuang di tepi laut berdekatan dengan pusat bandar Sandakan
Sumber: SabahKini.net Online
3.0 KESAN-KESAN PEMBUANGAN SAMPAH DI PUSAT BANDAR SANDAKAN.
Isu pembuangan sampah di Bandar Sandakan sememangnya memberi impak negatif kepada alam sekitar dan penduduk di kawasan tersebut. Kesan pembuangan sampah merata-rata ini akan menjejaskan kesihatan penduduk di Bandar Sandakan. Ini kerana, pengurusan sampah yang tidak sistematik ini akan menyebabkan berlakunya penyebaran wabak penyakit. Sebagai contohnya, pembuangan sampah sarap yang tidak dibersihkan dengan segera dan tidak dibuang di tempat yang sepatutnya akan mengundang pelbagai binatang-binatang perosak seperti penyakit demam denggi, keracunan makanan, kencing tikus, taun dan sebagainya terutamanya di premis-premis perniagaan yang sering kali membuang sisa makanan yang mengundang binatang-binatang ini. Jelaslah bahawa, penyebaran wabak ini akan menjejaskan kesihatan penduduk sekiranya sampah sarap tidak dikendalikan dengan cekap.
Selain itu, pembuangan sampah sarap merata-rata ini juga akan menjejaskan keindahan alam sekitar dan imej Bandar Sandakan. Sistem pengurusan sampah yang tidak sistematik serta sikap masyarakat yang tidak bertanggungjawab membuang sampah di tempat awam meyebabkan kawasan bandar kelihatan kotor. Masalah seperti ini bukan sahaja menjejaskan imej bandar malah akan memberikan gambaran negatif tehadap penduduk yang tinggal di kawasan tersebut kerana tidak menitikberatkan kebersihan. Isu pembuangan sampah sarap merata-rata di bandar Sandakan yang menjadi perhatian baru-baru ini semasa musim perayaan juga telah menyebabkan masyarakat lain menganggap masyarakat di Sandakan tidak mempunyai kesedaran menjaga alam sekitar. Tambahan lagi, segelintir penduduk telah membuang sampah mereka ke tepi laut menyebabkan keindahan di tepi laut terjejas dan menyebabkan pencemaran laut sehingga menimbulkan bau yang tidak selesa. Jelaslah, masalah pembuangan sampah ini sememangnya memburukkan imej bandar dan keindahan alam.
Seterusnya, kesan lain pembuangan sampah sarap di kawasan bandar Sandakan adalah mengganggu keseimbangan ekosistem. Sikap masyarakat yang membuang sampah sarap di kawasan laut telah menyebabkan sampah yang mengandungi bahan kimia, organik dan sisa-sisa makanan daripada premis perniagaan dibuang ke dalam laut menyebabkan air di kawasan tersebut mempunyai jumlah nutrien yang berlebihan yang akan mengurangkan oksigen bagi hidupan air. Kekurangan oksigen ini akan menyebabkan hidupan air mati.
Tambahan pula, pembuangan sampah yang tidak betul boleh mengakibatkan bencana alam yang memudaratkan alam sekitar dan hidupan lain. Membuang sampah ke dalam longkang akan menyumbat longkang dan menghalang air daripada mengalir apabila hujan. Selain itu, pembuangan sampah ke dalam sungai menyebabkan sungai menjadi cetek sehingga mengakibatkan banjir kilat akibat limpahan air yang berlebihan dari longkang tersumbat. Pada musim hujan, banjir kilat sering kali berlaku di Bandar Sandakan. Ini berlaku akibat pengurusan dan pembuangan sampah yang tidak cekap sehingga menyebabkan longkang tersumbat akibat timbunan sampah sehingga mengakibatkan banjir kilat apabila hujan.
4.0 CADANGAN PENYELESAIAN
Langkah pertama dalam menangani masalah segelintir masyarakat yang kerap membuang sampah merata-rata tempat di bandar Sandakan secara berkesan ialah perancangan dan pengurusan sisa yang sistematik. Program 3R, yang bermaksud "Pengurangan", "Penggunaan Semula" dan "Kitar Semula", harus diamalkan oleh penduduk. Pengurangan merujuk kepada pengurangan pembelian barangan baharu manakala penggunaan semula ialah usaha untuk menggunakan semula atau menggunakan semula bahan yang tidak lagi digunakan atau terbuang dengan menukar fungsinya atau menggunakannya secara langsung dan bukannya membeli barang baharu. Bukan itu sahaja, penduduk haruslah mengasingkan dan menghantar barangan kitar semula seperti plastik, kertas, botol dan barangan lain untuk dikitar semula, dengan itu menjimatkan sumber. Selain menjaga alam sekitar, ia dapat memastikan masyarakat kurang mengeluarkan sampah dan memupuk sikap berdisiplin dalam mengasingkan sampah kepada sampah yang boleh dikitar semula dan tidak boleh dikitar semula. Hasilnya, masyarakat dapat memastikan pembuangan sampah dikurangkan di merata tempat.
Selain itu, cadangan lain bagi mengurangkan pembuangan sampah sarap di merata tempat adalah mengenakan hukuman dan denda kepada individu yang membuang sampah. Hal ini kerana bagi meningkatkan kesedaran penduduk bahawa pembuangan sampah merupakan perkara yang serius. Perkara ini juga penting bagi mendidik penduduk Sandakan bagi mengamalkan alam sekitar yang bersih kerana menjaga kebersihan tanggungjawab semua dan orang ramai dan perlu bagi mengelak penduduk daripada membuang sampah merata-rata demi memastikan pusat bandar Sandakan menjadi bandar yang bebas dari sampah. Selain dapat membuat masyarakat menjadi lebih prihatn terhadap masalah ini, ia juga dapat memastikan masyarakat bekerjasama sebagai satu komuniti kerana jika seseorang individu membuat masalah, semua orang akan lebih berhati-hati dan tidak berani membuang sampah sewenang-wenangnya.
Cadangan lain bagi mengawal masalah pembuangan sampah ini adalah pihak berkuasa iaitu Majlis Pembandaran Sandakan haruslah menambah bilangan tong sampah di kawasan-kawasan yang padat seperti di Pusat Bandar Sandakan. Dengan penambahan tong sampah ini sudah semestinya pembuangan sampah dan longgokkan sampah ini dapat diatasi di tempat awam. Selain itu, penambahan tong sampah ini juga salah satu langkah yang proaktif kerana tong sampah yang sudah dipenuhi dengan sampah sarap akan menyebabkan sampah ini bertaburan dan dibuang di luar daripada tong sampah tersebut. Hal ini juga bagi mengelakkan binatang-binatang seperti tikus, lalat, dan sebagainya menyelongkar sampah sarap dan menambahkan lagi kekotoran di kawasan tersebut. Seterusnya, penambahbaikan sistem pengurusan pembuangan sampah haruslah diadakan dengan cekap bagi memastikan proses lori sampah yang bertugas memungut semua sampah pada waktu-waktu tertentu mengikut jadual yang telah ditetapkan berjalan dengan lancar dan tidak lewat atau tidak mengikut jadual. Tidak akan ada lagi masalah dengan tong sampah yang melimpah di kawasan awam. Dalam masa yang sama, masalah pembuangan sampah dapat dikurangkan secara relatif.
Akhir sekali, cadangan bagi mengawal masalah pembuangan sampah ini adalah mendidik kesedaran penjagaan alam sekitar terhadap penduduk. Masalah pembuangan sampah sering kali berlaku disebabkan kurangnya didikan dan kesedaran dalam diri individu. Maka, dengan mendidik penduduk tentang kepentingan penjagaan alam sekitar dan kesan buruk sekiranya alam sekitar terjejas akan memupuk kesedaran dalam diri penduduk. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga haruslah mendidik anak mereka daripada sejak kecil lagi untuk tidak membuang sampah merata-rata tempat kerana ianya merupakan satu kesalahan yang melanggar undang-undang. Anak-anak yang sudah dipupuk cinta akan alam sekitar akan mengamalkan kebersihan walau di mana pun mereka berada. Selain itu, penduduk juga haruslah melibatkan diri mereka dengan kempen-kempen alam sekitar yang diadakan. Dengan ini secara tidak langsung, ia dapat memberi kesedaran dan dapat berusaha mengubah sikap penduduk yang tidak bertanggungjawab dalam penjagaan alam sekitar dengan tidak membuang sampah merata-rata tempat.
5.0 PENUTUP
Kesimpulannya, masalah sikap segelintir masyarakat yang kerap membuang sampah merata-rata tempat haruslah ditangani segera dan usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak, bukannya hanya kerajaan sahaja dengan cekap dan bertanggungjawab. Jika masalah ini tidak diatasi segera, penduduk di kawasan Pusat Bandar Sandakan mengalami kesukaran kerana keselesaan penduduk terganggu akibat pencemaran sampah sarap ini. Kelestarian alam sekitar juga harus dijaga bagi memastikan kesejahteraan hidup masyarakat sentiasa terjamin. Contohnya, isu pembuangan sampah ini di Sandakan telah sering kali berlaku sehingga telah menyebabkan wabak penyakit menular. Oleh itu, persekitaran yang bersih akan menjamin tahap kesihatan yang berkualiti untuk masyarakat dan memudahkan urusan harian yang dilakukan. Penjagaan alam sekitar menjadi tanggungjawab bersama yang tidak terletak pada satu pihak semata-mata dan dilaksanakan secara berterusan. Hasil daripada sikap bertanggungjawab semua pihak menentukan baik buruk keadaan persekitaran yang diamanahkan.
RUJUKAN
Chong Oi Min & Mohammad Tahir Mapa. (2019). Tinjauan terhadap longgokan komposisi sisa pepejal dan amalan kitar semula di sekolah menengah kebangsaan Bahang, Sabah A review of the composition of solid waste dumps and recycling practices in Bahang national secondary schools, Sabah. Journal of Advanced Research in Social and Behavioural Sciences, 17(1), 9-18. http://www.akademiabaru.com/doc/ARSBSV17_N1_P9_18.pdf
Hasnah Ali, Dody Dermawan, Noraziah Ali, Maznah Ibrahim, & Sarifah Yaacob. (2012). Masyarakat dan amalan pengurusan sisa pepejal ke arah kelestarian komuniti: kes isi rumah wanita di Bandar Baru Bangi, Malaysia (Society and the practise of solid waste management towards sustainable community: The case of female households in Bandar Baru Bangi, Malaysia). Geografia : Malaysian Journal of Society and Space, 8(5), 64–75. http://journalarticle.ukm.my/5515/
Mohd Hamdan Adnan & Diana Demiyah. (2020). PERSPEKTIF PENGGUNA SABAH TERHADAP TAHAP ALAM SEKITAR. Jurnal Kinabalu. https://doi.org/10.51200/ejk.v0i0.1125
Muhamad Fiqrurazi Bin Ahmad Shamsuri. UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA. (2015). http://eprints.utm.my/id/eprint/53778/25/MuhamadFiqruraziAhmadShamsuriMFGHT2015.pdf
Noor Baizzura Azizan. Pusat Perundangan dan Penguatkuasaan, AKTA KUALITI ALAM SEKELILING (AKAS) 1974. Retrieved June 18, 2022, from https://enviro2.doe.gov.my/ekmc/wp-content/plugins/download-attachments/includes/download.php?id=231877
Sabah Gazette. MPS Pertimbang Tindakan Lebih Tegas Terhadap Mereka Yang Membuang Sampah Merata-rata. (2022, May 7). https://www.sabahgazette.com/mps-pertimbang-tindakan-lebih-tegas-terhadap-mereka-yang-membuang-sampah-merata-rata/
Sabah, D. M. P. (Mei, 5, 2020). PAS GESA MAJLIS PERBANDARAN SANDAKAN (MPS) MELANTIK SEGERA KONTRAKTOR BAHARU PENYELENGGARAAN DAN PEMBUANGAN SAMPAH. Berita Parti Islam Se Malaysia (PAS). https://berita.pas.org.my/pas-gesa-majlis-perbandaran-sandakan-mps-melantik-segera-kontraktor-baharu-penyelenggaraan-dan-pembuangan-sampah/
NAMA: WILLCELIA GUSTIMIN @ BENJAMIN
NO. MATRIK: D20201094341
KUMPULAN: B
No comments:
Post a Comment