Wednesday, June 15, 2022

Tajuk: Isu penggunaan sumber air dari mata air gunung mempengaruhi tahap kesihatan penduduk di Kampung Mentu Tapu, Sarawak


1.0 Pengenalan

Bumi merupakan sebuah planet yang kaya dengan pelbagai sumber yang memberi banyak kegunaan dan manfaat kepada makluk hidup di bumi. Salah satu sumber terpenting ialah sumber air. Badan air meliputi kira-kira 25 peratus daripada keluasan permukaan bumi. Bagi kehidupan manusia, air membentuk lebih kurang tiga per empat daripada berat badan manusia. Kelebihan air juga dapat membantu menyeimbangkan kitaran haba persekitaran bumi melalui keluasan lautan dengan sifat mempunyai insersia haba yang tinggi atau bersifat menyerap haba.

Sumber air merupakan sumber terpenting dalam kehidupan manusia. Manusia menggunakan bekalan air setiap hari untuk mencuci, memasak, minum, kegunaan domestik dan sebagainya. Walaubagaimanapun, ramai yang masih percaya sumber tenaga elektrik adalah sangat penting, tetapi tanpa sumber air manusia tidak dapat berbuat apa-apa dalam aktiviti harian mereka. Menurut Zuraina (1989), air dirujuk sebagai sumber alam yang penting bagi menampung kehidupan yang ada di bumi. Namun, tidak semua sumber air di bumi boleh digunakan oleh manusia. Air laut yang masin tidak sesuai untuk digunakan dalam kehidupan. Sumber air yang boleh digunakan oleh manusia ialah air dari sungai, tasik, kawasan-kawasan berair seperti parit dan air bawah tanah. Oleh itu, sumber air ini menjadi sumber terpenting kepada kehidupan manusia dan makluk hidup yang lain.

2.0 Kawasan Kajian

Rajah 1 menunjukkan peta Kampung Mentu Tapu, Serian Sarawak

Sumber: Google maps

Kampung Mentu Tapu merupakan sebuah perkampungan kecil yang sedang membangun dan berkembang di dalam daerah Serian, Sarawak. Kampung Mentu Tapu ini dihuni oleh penduduk seramai lebih 200 buah keluarga. Kampung ini juga merupakan kawasan pendalaman dan berjarak 41km dari Bandar Serian. Di kawasan ini juga, terdapat sebuah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Mentu Tapu yang menyediakan pelbagai kemudahan pendidikan kepada anak-anak penduduk kampung.

Selain itu, ciri fizikal yang terdapat di kawasan Kampung Mentu Tapu ini ialah kawasan yang bertanah pamah dan menjadi tumpuan penduduk untuk membina pertempatan berpusat. Kawasan ini juga berdekatan dengan sebatang sungai dan gunung yang dipanggil 'Darud Meringgi'. Di gunung 'Darud Meringgi' ini masih mempunyai bekalan air bawah tanah yang banyak dan dapat digunakan oleh penduduk. Oleh itu, penduduk-penduduk kampung telah bergantung kepada air bawah tanah dari gunung tersebut untuk kegunaan harian mereka.

3.0 Punca-punca penggunaan bekalan air dari mata air gunung sebagai sumber air bersih oleh penduduk

Penduduk Kampung Mentu Tapu telah lama bergantung kepada sumber air bawah tanah dari Gunung Meringgi sejak dari zaman dahulu lagi. Hal ini kerana, pada masa permulaan pembinaan kampung ini, saluran air paip dari kerajaan Malaysia belum dapat disalurkan masuk ke dalam kawasan kampung lagi. Keadaan ini telah menyebabkan penduduk terpaksa membina paip yang menyedut air bawah tanah melalui kawasan kaki gunung sebagai sumber air bersih.

Pada masa sekarang, barulah pembangunan kawasan pemprosesan air dapat dilakukan tetapi masih mengalami beberapa gangguan. Menurut Menteri Utiliti Negeri Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, beliau berkata projek bekalan air bersih di semua kawasan di Sarawak menjadi antara fokus utama kerajaan negeri dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).


Rajah 2 menunjukkan pandangan Gunung Meringgi, Kampung Mentu Tapu

3.1 Jarak kawasan kampung yang jauh dari punca paip utama kerajaan

Punca penggunaan bekalan air dari mata gunung sebagai sumber air bersih oleh penduduk ialah jarak kawasan kampung yang jauh dari punca paip kerajaan. Kampung yang mempunyai kemudahan paip kerajaan ialah Kampung Bunan Gega yang mengambil kira-kira 20 minit perjalanan. Walaupun dilihat tidak jauh, namun banyak kerja yang perlu dilakukan untuk menyambung saluran paip kerajaan tersebut. Sebagai contoh, antara halangan yang perlu dilalui ialah terdapat sebuah sungai yang memisahkan kedua-dua kampung tersebut dan menyukarkan kerja pembinaan paip. Oleh itu, penduduk lebih memilih untuk menggunakan sumber air dari gunung sahaja.

3.2 Kos pembinaan kawasan pemprosesan air yang mahal

Kos pembinaan kawasan pemprosesan air yang agak mahal juga menyebabkan penduduk lebih memilih untuk menggunakan bekalan sumber air gunung. Kebanyakan penduduk di Kampung pada masa dahulu hanya bekerja sebagai petani dan tidak mempunyai pendapatan yang tetap setiap bulan. Pendapatan mereka hanya cukup untuk makan minum dan dikongsikan bersama ahli keluarga. Keadaan ini menyebabkan projek Jawatan Kuasa Kerja (JKK) kampung untuk membina tapak simpanan bekalan air bersih menjadi tergendala. Ramai penduduk yang tidak bersetuju kerana perlu menanggung kos yang agak tinggi. Mereka lebih mengharapkan air bersih dari gunung kerana tidak berbayar dan hanya menanggung kos pembaikian paip sahaja apabila berlaku kebocoran atau sebagainya. 

3.3 Kemudahan paip air bersih dari kerajaan yang agak lambat

Tidak dapat dinafikan, Kampung Mentu Tapu masih belum menerima kemudahan paip air bersih dari kerajaan. Selain jarak kampung yang agak jauh, kawasan-kawasan lain juga masih memerlukan kos untuk dinaiktaraf kemudahan paip air bersih atau loji pemprosesan menyebabkan projek air bersih lambat sampai ke kampung. Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata kajian kebolehlaksanaan projek menaik taraf Logi Rawatan Air (LRA) Salim di Sibu daripada kapasiti 150 juta liter sehari kepada 300 juta liter sehari di bawah fasa tiga telah menelan anggaran kos RM300 juta. Keadan ini akan menyebabkan proses untuk membina tapak logi rawatan air di kampung ini akan mengambil masa yang agak lama.

4.0 Kesan-kesan penggunaan air gunung sebagai sumber air bersih kepada tahap kesihatan penduduk

4.1 Penduduk mudah dijangkiti dengan penyakit berbahaya

Penggunaan air terus dari gunung tanpa diproses adalah sangat berbahaya kepada kesihatan penduduk. Sumber air yang digunakan untuk tujuan menyediakan makanan dan minuman sepatutnya perlu diproses terlebih dahulu. Menurut M.A Norazimah et al (2008), ciri air yang perlu ditentukan adalah kualiti sumber air mentah (suhu, oksigen terlarut dan Ph), kualiti fizikal air dan parameter bahan kimia, kuantiti alga, potensi pembentukan flok pada air mentah dan kuantiti klorin yang diperlukan untuk merawat air tersebut.

Sekiranya penduduk masih menggunakan air tersebut tanpa diproses untuk menyediakan makanan dan minuman, penduduk akan mudah dijangkiti dengan penyakit berbahaya seperti penyakit kencing tikus. Leptospirosis atau dikenali sebagai virus yang membawa penyakit kencing tikus mula dikenalpasti di Malaysia seawal tahun 1928. Air yang dicemari oleh air kencing haiwan terutamanya tikus akan menjadi punca penyakit kepada haiwan lain dan manusia. (Jabatan Perkhidmatan Veterinar, 2011). Penyakit ini sangat berbahaya dan mampu menyebabkan seseorang mengalami sakit badan yang teruk, demam dan lemah badan sehingga perlu mendapatkan rawatan kecemasan di hospital. Oleh itu, air yang digunakan untuk memasak perlu diproses terlebih dahulu sebelum digunakan.

4.2 Tahap kebersihan diri penduduk menurun

Air gunung yang sering digunakan oleh penduduk sebagai sumber air tidak semestinya bersih sepanjang masa. Pada waktu hujan lebat, air yang diperolehi daripada sumber air gunung tersebut akan menjadi keruh. Keadaan ini menyebabkan penduduk tidak dapat menggunakan air bersih tersebut semasa berlaku hujan. Mereka terpaksa menyimpan bekalan air awal di tempat penyimpanan air seperti tangki simpanan air yang besar. Oleh itu, kerja-kerja pembersihan perlu ditangguh untuk menjimatkan penggunaan air bersih. Pada hari biasa juga, penduduk perlu berjaga-jaga untuk memastikan kualiti air yang keluar dari paip adalah bersih dan tidak mempunyai kotoran atau keruh dengan tanah-tanah.

5.0 Cadangan langkah untuk mengatasi isu tersebut

5.1 Pembinaan paip air bersih dan loji pemprosesan air oleh kerajaan

Langkah yang paling efektif untuk menangani masalah yang akan timbul sekiranya penduduk masih menggunakan sumber air dari gunung ialah pembinaan paip untuk menyalurkan air bersih ke dalam kampung. Sekiranya pada suatu ketika dahulu, ramai penduduk yang menolak projek pembinaan loji rawatan air tersebut kerana faktor kewangan dan kos yang mahal. Pada masa sekarang, projek-projek kerajaan dilihat semakin banyak diperuntukan untuk kampung ini dan pendapatan penduduk juga dilihat sudah meningkat berbanding 10 tahun yang lalu. Oleh itu, pembinaan paip untuk menyalur air bersih dan logi pemprosesan air perlu dilaksanakan untuk kebaikan dan keselamatan penduduk. 

Rajah 3 menunjukan logi rawatan air yang baru siap dibina

5.2 Mengadakan kempen kesihatan kepada penduduk setempat

Kempen kesihatan wajar dianjurkan di Kampung Mentu Tapu ini untuk memberi kesedaran kepada penduduk-penduduk tentang kesan bahaya apabila menggunakan air dari sumber bawah tanah tanpa diproses terlebih dahulu. Kempen kesihatan juga dapat memberi ilmu-ilmu baru kepada penduduk khasnya kepada warga-warga emas yang hanya bergantung kepada sumber air gunung. Oleh itu. Penduduk akan sedar bahayanya menggunakan air yang belum diproses. Mereka akan mengutamakan air yang bersih untuk kebaikan keluarga mereka.

6.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, pengguna sumber air dari gunung tanpa diproses oleh penduduk akan mendatangkan kesan bahaya kepada kesihatan mereka. Walaupun sumber air dari gunung dipercayai bersih. Namun, kualiti kebersihan air tersebut masih diragui oleh pakar-pakar kesihatan yang mengesyorkan keperluan untuk memproses sebelum digunakan. Selain itu, penduduk juga mengalami banyak masalah apabila terlalu bergantung kepada sumber air gunung seperti akan berlaku air menjadi keruh semasa hujan lebat. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kerajaan Malaysia untuk menyalurkan projek paip air bersih untuk dibekalkan kepada penduduk di Kampung Mentu Tapu. Keadaan ini akan mengekalkan tahap kesihatan penduduk kampung terutamanya penduduk yang masih kanak-kanak atau sudah mencecah warga emas.

7.0 Rujukan

Ang Kean Hua (2015). Kualiti Sumber Air di Malaysia: Satu Analisis. Malaysia Journal of Society and Space. 11 issue (98 -108). Diperolehi daripada http://journalarticle.ukm.my/9195/1/10x.full-geojun15-angkeanhua-edkatam.pdf

Borneo Network (19 Mei 2022). Pembinaan LRA Salim dijangka siap pada 2026. Sarawak. Diperolehi daripada https://www.borneo.network/2022/05/pembinaan-lra-salim-dijangka-siap-pada.html

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (2011). Protokol Veternar Malaysia: Leptospirosis. Kementerian Pertanian dan Perindustrian Asas Tani Malaysia. No. Dokumentasi: PVM 1(12): 1/2011. Diperolehi daripada https://www.dvs.gov.my/dvs/resources/auto%20download%20images/560cae19ace08.pdf

M.A.Norazimah, A.N.Nor Irwan, M.K.Amir Hashim (2008). Kajian Reka Bentuk Logi Rawatan Air Berskala Kecil (Mini) Mengikut Spesifikasi LOGI Air Sri Gading, Baru Pahat, Johor. Engineering Postgraduate Conference (EPC). Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Diperolehi daripada https://core.ac.uk/download/12007286.pdf

Mohd Roji Kawi (Disember 8, 2020). Sarawak Sasar 100 Peratus Bekalan Air Bersih Menjelang 2025. Berita Harian Online. Diperolehi daripada https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/762887/sarawak-sasar-100-peratus-bekalan-air-bersih-menjelang-2025

 

NAMA: JIMMY HO CHIA CHIN

NO. MATRIK: D20201094313

KUMPULAN: B




No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...