Thursday, June 16, 2022

MASALAH PEMBUANGAN SAMPAH DI KAWASAN PERUMAHAN TAMAN DESA PUDINA, KUBANG KENYENG, KUALA NERANG,KEDAH.

Masalah pembuangan sampah di merata tempat bukan menjadi isu yang baharu lagi yang berlaku di negara ini kerana isu ini juga sering berlaku secara global dalam era yang semakin membangun. Menurut Shamsuri, M.F.A (2015), masalah pencemaran sampah ini sudah lama wujud di dalam negara ini.  Sampah atau sisa pepejal dikatakan sebagai hasil sampingan daripada aktiviti manusia yang memberi kesan buruk terhadap alam sekitar fizikal dan manusia. Jumlah sisa pepejal yang dibuang orang penduduk juga semakin meningkat disebabkan peningkatan permintaan makanan dan keperluan yang lain berikutan peningkatan penduduk di sesebuah kawasan. Menurut Berita Harian, (2020), penghasilan sampah harian dalam kalangan penduduk di negara ini mencatat peningkatan 100.75 peratus kepada 38,142 tan pada  tahun 2018, berbanding 19,000 tan pada 2005. Selain itu, hasil kajian yang dilakukan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kira-kira lima belas juta kilogram sampah yang dihasilkan oleh penduduk dalam sehari di negara ini. Pencemaran ini boleh mengancam pelbagai kehidupan dan memberi kesan sampingan dalam jangka masa panjang yang membimbangkan (Abdul Kadir, 1993).

            Salah satu kes pembuangan sampah di merata tempat di kawasan perumahan ialah di Taman Desa Pudina, Kubang Kenyeng, Kuala Nerang, Kedah Darul Aman.  Penduduk di kawasan perumahan ini majoritinya adalah Melayu.  Hasil pemerhatian telah mendapati penduduk di kawasan ini mengalami masalah pembuangan sampah ini secara berterusan dan tidak  dibendung. Ketiadaan pengurusan pengutipan sampah telah memburukkan lagi keadaan di sekitar kawasan tersebut akibat longgokan sampah yang semakin banyak. Kawasan pinggir jalan menjadi lokasi utama tempat pembuangan sampah penduduk di kawasan perumahan itu. Pelbagai jenis sampah telah dibuang dan dilonggokan di pinggir jalan yang bukan sahaja menjejaskan pemandangan tetapi menyebabkan sampah sarap tersebut bertaburan di atas jalan.

Rajah 1 : Lokasi Perumahan Taman Desa Pudina

Rajah 2: Tapak Pelupusan Sampah di Sekitar Kawasan Taman Desa Pudina

Rajah 3 : Longgokan Sampah di Tepi Jalan

Rajah 4: Pembuangan Sampah di Taman Permainan Perumahan Taman Desa Pudina

Punca Masalah Pembuangan Sampah di Kawasan Perumahan Taman Desa Pudina, Kubang Kenyeng, Kuala Nerang.

Antara punca berlakunya pembuangan sampah di merata tempat adalah sikap individu yang tidak bertanggungjawab. Kekurangan pendidikan alam sekitar merupakan salah satu faktor penduduk menjadi individu yang tidak bertanggungjawab kerana tidak didedahkan dengan kesan pencemaran alam terhadap alam sekitar dan manusia. Hal ini menyebabkan penduduk tidak mempunyai kesedaran diri untuk menjaga dan memelihara alam sekitar sebaik-baiknya. Penduduk tidak mempedulikan kesan yang akan terjadi  di kawasan perumahan akibat sifat mereka yang tidak bertanggungjawab itu. Sikap ini boleh dilihat dimana banyak penduduk membuang sampah di tempat terbuka dan tempat yang tak sepatutnya membuang sampah. Sekiranya penduduk masih mengekalkan budaya yang sama, ia akan memburukkan persekitaran kawasan perumahan tersebut dan merosakkan pemandangan .

            Selain itu, masalah pembuangan sampah ini berlaku disebabkan ketiadaan penyediaan tong sampah yang sepatutnya disediakan sekitar kawasan perumahan mereka.  Sebagai penduduk Taman Desa Pudina, pengurusan tong sampah yang tidak sistematik berlaku kerana sesetengah rumah tidak disediakan tong sampah dan segelintir penduduk menyediakan tong sampah mereka sendiri di hadapan rumah masing-masing. Namun demikian, terdapat juga penduduk yang masih melonggokkan sampah di tepi-tepi jalan atau susur masuk perumahan. Apabila penduduk sudah makin kerap melakukan perbuatan tersebut, kawasan pinggir jalan  menjadi kawasan pembuangan sampah rasmi penduduk di kawasan perumahan tersebut. Manakala, tempat awam seperti taman permainan dan tasik buatan di kawasan perumahan juga memerlukan kuantiti tong sampah yang mencukupi kerana kanak-kanak suka membuang sampah makanan mereka di merata tempat.

          Di samping itu, penguatkuasaan undang-undang yang lemah. Penguatkuasaan undang-undang yang lemah merupakan masalah pembuangan sampah ini semakin berterusan dan tidak dapat ditangani. Hal ini dikatakan demikian kerana, pihak berkuasa tidak mengambil berat akan masalah ini dan tidak melakukan sebarang pemantau yang teratur dan sistematik sehingga menyebabkan penduduk tidak takut untuk membuang sampah di merata tempat. Sekiranya pihak berkuasa yang diamanahkan untuk memelihara alam sekitar tidak mempedulikan akan isu ini maka penduduk juga akan terus melakukan perbuatan ini tanpa rasa takut dan sayang akan alam sekitar. Dalam Akta kualiti Alam Sekitar Sekeliling 1974 mengandungi peruntukan untuk mencegah, menghapus, mengawal serta memperbaiki kualiti alam sekitar. Namun demikian, pihak berkuasa yang berkerja sambil lewa akan menyebabkan masalah pembuangan sampah akan berterusan dan sukar dibendung. Oleh hal yang demikian, penguatkuasaan undang-undang yang ketat perlu dilaksanakan agar isu pembuangan sampah di merata tempat ini dapat diatasi serta mendidik penduduk untuk menjaga alam sekitar.

Kesan Masalah Pembuangan Sampah di Kawasan Perumahan Taman Desa Pudina, Kubang Kenyeng, Kuala Nerang.

Pembuangan sampah di merata tempat bukan sahaja memberi kesan ke atas alam sekitar fizikal malah alam sekitar manusia juga terkesan daripada perbuatan tersebut. Kesan yang pertama ialah menjejaskan masalah kesihatan. Penduduk akan menghidap pelbagai penyakit, khususnya respirasi akibat  menghidu udara yang tercemar. Aktiviti pembakaran sampah sarap yang dijalankan bagi tempat pembuangan sampah yang tidak sepatutnya telah membebaskan gas karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida, habuk dan lain-lain yang boleh membawa  kesan yang buruk kepada kesihatan manusia. Antara kesan kesihatan  ialah gatal di bahagian kerongkong, batuk-batuk, sesak nafas, mata pedih, sakit dada dan kesan yang lain.  Golongan yang berisiko tinggi ialah   kanak-kanak,  orang tua , mereka yang mengalami penyakit seperti asma, bronkitis, radang paru-paru, sakit jantung  dan lain-lain. Menurut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan sebanyak 3juta manusia mati setiap tahun disebabkan oleh pencemaran udara. Ia adalah tiga kali ganda lebih tinggi daripada jumlah kematian yang disebabkan kemalangan. Jelaslah ,terbukti bahawa pembakaran sampah di tempat pembuangan sampah yang tak sepatutnya  sangat memberi kesan ke atas kesihatan manusia tanpa mengira golongan umur.

 Kesan pembuangan sampah yang seterusnya ialah mengganggu  keselesaan  penduduk menjalani aktiviti harian . Pembuangan pelbagai jenis sampah di merata –rata tempat menyebabkan sampah sarap itu mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan dan terdapat banyak serangga seperti lalat dan lipas. Longgokan sampah yang semakin banyak kian hari telah meningkatkan ketidakselesaan penduduk kerana baunya yang terlalu busuk. Pelbagai jenis sampah seperti sisa makanan, lampin pakai buang, botol, kotak dan lain-lain yang dibuang setiap hari membuatkan persekitaran kawasan tersebut berbau busuk. Longgokan sisa makanan telah menjadi punca pembiakan lalat yang banyak di kawasan perumahan Taman Desa Pudina. Bau yang busuk dan lalat yang banyak telah menganggu keselesaan penduduk apabila melakukan aktiviti harian terutamanya ketika makan. Hal ini dikatakan demikian, bau yang busuk menyebabkan penduduk hilang selera untuk makan sekaligus menjejaskan ketidakselesaan penduduk.

Seterusnya,pembuangan sampah di merata tempat  juga menjejaskan keindahan alam sekitar. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak sampah sarap dibuang ke dalam tasik buatan dan di pinggir jalan. Himpunan sampah  akan menghasilkan bau yang tidak menyenangkan di kawasan sekeliling. Bau yang tidak diingini ini telah mengubah udara yang bersih dan nyaman bertukar menjadi busuk. Keadaan sampah sarap yang penuh di permukaan air juga turut menjengkelkan dan tidak indah untuk dipandang. Dengan persekitaran yang tidak bersih, aktiviti rekreasi penduduk juga terjejas. Aktiviti rekreasi seperti berkelah, berjoging, kajian lapangan dan lain-lain tidak dapat dilakukan ekoran keadaan tasik yang kotor ,berbau dan tercemar. Pada masa yang sama, ekosistem akuatik juga terjejas disebabkan permukaan air dipenuhi dengan sampah-sampah. Jelaslah bahawa masalah pembuangan sampah di Taman Desa Pudina, Kubang Kenyeng menjejaskan keindahan alam sekitar di sekeliling kawasan tersebut. 

Langkah- Langkah Mengatasi  Masalah Pembuangan Sampah di Kawasan  Felcra Kubang Kenyeng, Kuala Nerang, Kedah

            Antara langkah-langkah mengatasi masalah pembuangan sampah di merata tempat adalah melalui pendidikan alam sekitar. Dengan adanya pendedahan ilmu pengetahuan mengenai isu-isu alam sekitar, penduduk dapat meningkatkan pengetahuan seperti mengetahui dan membezakan sesuatu perkara itu sama ada memberi impak positif mahupun negatif seterusnya mereka lebih peka dengan isu-isu  alam sekitar. Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam memberi pendidikan alam sekitar kepada anak-anak mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana, Ibu bapa merupakan orang yang paling terdekat dan rapat di samping mereka tidak mengira masa dan tempat. Anak-anak haruslah menerima didikan awal yang bermula dari rumah  dan diterapkan dengan nilai-nilai murni dan contoh teladan yang baik oleh ibu bapa mereka. Justeru,  ibu  bapa sewajarnya memulakan pendidikan awalan di rumah berkaitan alam sekitar seperti  membuang sampah dalam tolong sampah dan pendedahan isu pencemaran alam bagi meningkat kesedaran dan ilmu pengetahuan anak-anak. Jelaslah terbukti bahawa kaedah pendidikan alam sekitar adalah cara yang berkesan untuk memastikan masalah pembuangan sampah di merata tempat dapat diatasi.

Masalah pembuangan sampah ini juga dapat ditangani dengan amalan kitar semula. Kitar semula dapat ditakrifkan sebagai satu proses menghasilkan produk baharu menggunakan barang yang terbuang. Sikap penduduk yang suka dan kerap mengamalkan kitar semula  ini bukan sahaja dapat mengurangkan masalah sisa pepejal yang berlebihan malah mampu mengurangkan masalah pencemaran alam dan isu pembuangan sampah di merata tempat. Antara bahan buangan yang boleh dikitar semula ialah surat khabar, tin, botol kaca, plastik, tayar kereta dan lain-lain (Zaini Sakawi et. al., 2015) . Amalan kitar semula ini dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar kerana bahan-bahan buangan atau barangan terpakai tidak akan dibuang ke tempat yang sepatutnya. Longgokan sampah sarap dan bahan buangan yang tidak berada di tempat pelupusan sampah boleh membawa kepada pencemaran air dan bau serta menjadi kawasan pembiakan haiwan berpenyakit seperti tikus, lipas, nyamuk dan ular. Justeru, kerajaan perlu giat memperkasakan dan menggalakkan penduduk untuk mengamalkan amalan kitar semula bagi menjamin kesejahteraan rakyat sekaligus mencungkil bakat dan meningkatkan pendapatan rakyat dengan produk terbaharu yang berjaya mereka hasilkan melalui amalan ini. Oleh kerana itu, amalan kitar semula merupakan langkah-langkah  mengatasi masalah pembuangan sampah yang sangat penting untuk dipraktikkan dalam kalangan penduduk bagi mengurangkan kuantiti sampah yang dikeluarkan dalam seharian.

Kempen alam sekitar merupakan salah satu langkah yang paling efektif dalam memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar khususnya pembuangan sampah yang betul. Kempen alam sekitar ini boleh dijalankan dalam pelbagai bentuk sama ada sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Kempen melalui massa seperti radio, televisyen, surat  khabar dan lain merupakan satu kaedah untuk semua golongan masyarakat boleh memperolehi maklumat berkaitan isu-isu alam sekitar. Pelbagai aktiviti kempen yang boleh dilaksanakan seperti forum, ceramah, pertandingan sajak, iklan-iklan berkaitan alam sekitar dan sebagainya. Kempen seperti kempen rakan alam sekitar, kempen kitar semula, kempen bebas plastik dan lain-lain turut perlu kerap dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada penduduk. Justeru, kempen melalui media massa ini sangat memberi kesan positif kepada masyarakat untuk memperoleh maklumat dengan cepat sekaligus meningkatkan kesedaran  terhadap penjagaan alam sekitar.  Oleh kerana itu, kempen alam sekitar merupakan salah satu platform yang efektif dalam memupuk kalangan masyarakat untuk menangani masalah pembuangan sampah ini daripada berterusan.

Di samping itu, pihak pengurusan sampah di kawasan Taman Desa Pudina ini juga boleh menyediakan tong-tong sampah bagi setiap kediaman kawasan tersebut.  Penyediaan tong sampah di setiap rumah akan menjadi satu penyelesaian kepada isu pembuangan sampah di merata tempat kerana tiada lagi longgokkan di tepi jalan. Penjadualan pungutan sampah yang lebih teratur dan sistematik sememangnya mampu mengurangkan masalah longgokan sampah di kawasan tersebut sekaligus tidak mencemarkan nama Taman Desa Pudina. Dalam memastikan pengurusan pungutan sampah ini berjalan dengan lancar, pihak berkuasa haruslah mengawal dan memastikan kerja pungutan sampah ini dijalankan mengikut ketetapan yang disediakan serta memperbanyakkan tong-tong sampah di tempat awam. Sebagai contoh di taman permainan dan tasik buatan di sekitar kawasan perumahan tersebut.

Kesimpulan

Kesimpulannya, masalah pembuangan sampah di Taman Desa Pudina, Felcra Kubang Kenyeng telah mendatangkan pelbagai impak kepada penduduk di sekitarnya dan persekitaran fizikal. Dengan itu, masalah sikap penduduk yang suka membuang sampah di merata tempat haruslah ditangani segera bagi mengelakkan masalah pencemaran alam sekitar semakin berleluasa. Usaha ini amat memerlukan kerjasama daripada semua pihak dimana setiap penduduk di kawasan perumahan itu wajib memberi kerjasama antara satu sama lain dalam menjaga kelestarian alam sekitar di kawasan perumahan mereka dan tidak saling bergantung dengan satu pihak sahaja. Oleh itu, masalah pembuangan sampah  haruslah dititikberatkan oleh semua penduduk demi mengekalkan kesejahteraan rakyat dan negara .

Rujukan

Mapa, M. T., Haris, L. M., George, F., Dinggai, M. S., Japar, A., & Gulasan, A. (2019). Kajian komposisi dan pengasingan sisa pepejal di kawasan perumahan. Geografia-Malaysian Journal of Society and Space, 15(2).Diperoleh daripada http://journalarticle.ukm.my/14182/1/30975-101670-1-PB.pdf

Muhammad Yusri Muzamir (https://www.bharian.com.my/authors/oleh-muhammad-yusri-muzamir)(2020, Jan 2). Pembuangan sampah negara meningkat 100.75 peratus. Diperoleh daripada https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/01/643354/pembuangan-sampah-negara-meningkat-10075-peratus

Shamsuri, M. F. A. (2015). Masalah longgokan sampah kawasan perumahan berteres kajian kes: Taman Universiti, Skudai, Johor (Doctoral dissertation, Universiti Teknologi Malaysia). Diperoleh daripada http://eprints.utm.my/id/eprint/53778/

Seow Ta Wee & Indera Syahrul Mat Radzuan. (2010). Sikap Masyarakat Terhadap Program Kitar Semula: Kajian Kes Di Daerah Batu Pahat, Johor. Journal of Techno-Social,13(4),126-137. https://publisher.uthm.edu.my/ojs/index.php/JTS/article/view/31

Zaini Sakawi, Sofia Ayu & Mohd Fauzi Sukimil. (2015). Pengetahuan komuniti dan amalan pengurusan sisa pepejal di Negeri Sembilan. Geografia-Malaysian Journal of Society and Space, 13(4), 126-137. https://ejournal.ukm.my/gmjss/article/viewFile/22254/702

 

NAMA: UMMI SOFIAH BINTI IBRAHIM

NO. MATRIK :D20201094344

KUMPULAN: B

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...