Friday, June 17, 2022

MASALAH PENCEMARAN SAMPAH DI PANTAI GETING, TUMPAT, KELANTAN.

1.0  Pengenalan

Sejak dahulu lagi, hakikat yang selalu kita dengar tetapi jarang kita telan ialah isu pembuangan sampah sarap di merata-rata tempat. Isu ini bukanlah satu isu yang baru di Malaysia. Malah ianya seolah-olah sudah sebati dalam kehidupan bagi sesetengah masyarakat Malaysia. Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman mengatakan bahawa isu ini amat mebimbangkan dek kerana pertambahan penduduk yang meningkat setiap hari dengan data terkini menunjukkan pertumbuhan populasi manusia dianggarkan berjumlah 600,000 orang setahun atau 2.4 peratus. Tambahan pula, data terbaru dianggarkan sebanyak 14 juta tan sampah setahun akan dikutip sepanjang 2022 atau hampir 40,000 tan sehari (Muhammad Basir Roslan & Sakini Mohd Said, 2022).

            Sampah sarap boleh dikatakan sebagai sebagai pembuangan benda-benda atau bahan buangan hasil daripada aktiviti manusia yang dianggap sebagai bahan yang tidak mendatangkan faedah dan boleh memudaratkan jika ianya disimpan (Muhammad Fiqrurazi Ahmad Syamsuri, 2015). Sampah terbahagi kepada dua iaitu sampah domestik dan sampah bukan domestik. Sampah domestik merupakan sampah yang datangnya dari kediaman rumah seperti sisa makanan dan sisa domestik. Manakala sampah bukan domestik merupakan sampah yang terhasil daripada aktiviti perkilangan, perindustrian, aktiviti pembangunan dan lain-lain lagi.

 

2.0  Ringkasan kes

Isu pencemaran sampah sarap turut berlaku di Pantai Geting, Tumpat, Kelantan. Pantai Geting merupakan sebuah pantai yang terdapat di daerah Tumpat. Pantai ini dikenali dengan tempat rekreasi yang menarik dan popular di Tumpat. Pantai ini juga merupakan tempat rasmi bagi Pesta Pertandingan Wau Antarabangsa Kelantan yang diadakan pada setiap tahun.

Peta 1: Kedudukan Pantai Geting, Tumpat, Kelantan

Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman pergi ke Pantai Geting, sampah yang dominan dibuang oleh tangan manusia ialah bahan yang terdiri daripada bungkusan makanan dan minuman, botol-botol plastik, sisa makanan dan macam-macam lagi. Akibat ketidakcaknaan pengunjung yang membuang sampah merata di pantai ini, ia memberi ketidakselesaan dan meninggalkan kesan negatif kepada penduduk setempat.

       

Rajah 1 menunjukkan pencemaran sampah yang berlaku di Pantai Geting, Tumpat.


3.0  Punca Pencemaran Sampah Sarap

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya masalah pencemaran sampah sarap di Pantai Geting termasuklah:

3.1  Peningkatan jumlah pengunjung

Umum mengetahui bahawa Pantai Geting merupakan kawasan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri apabila datang ke Tumpat dek kerana keindahan alam sekitar dan keunikan yang ada pada tempat tersebut. Tambahan pula, pantai tersebut merupakan tempat Pesta Wau Antarabangsa Kelantan diadakan yang menarik perhatian semua pelancong dari dalam dan luar negara untuk datang berekreasi di pantai tersebut. Peningkatan jumlah pengunjung dapat terus dilihat ketika musim cuti sekolah di mana ibu bapa membawa anak mereka beriadah dan berekreasi di Pantai Geting. Oleh itu, peningkatan jumlah pengunjung menjadi salah satu punca utama dalam pencemaran sampah sarap di Pantai Geting.

3.2  Sampah dibawa oleh ombak

Pergerakan ombak dengan gelombang besar telah membawa bersama sampah sarap yang kebanyakannya terdiri daripada botol plastik telah menjadikan kawasan Pantai Geting tercemar (Siti Rohana Idris, 2021). Situasi ini akan lebih terlihat jelas apabila tiba musim tengkujuh di Kelantan. Kejadian ombak besar pada ketika itu akan menghanyutkan sampah sarap ke pantai termasuklah kayu dan plastik juga. Pantai Geting terletak berhampiran dengan muka kuala yang menyebabkan ombak besar membawa segala sampah yang hanyut naik ke tebing pantai sekaligus menjadi longgokan sampah yang mencemarkan pemandangan. 


Rajah 2 menunjukkan keratan akhbar Harian Metro tentang sampah sarap di Pantai Geting.


3.3  Sikap masyarakat yang pentingkan diri sendiri

Sikap masyarakat yang tidak prihatin terhadap alam sekitar dan pentingkan diri sendiri menyumbang kepada pencemaran sampah di Pantai Geting. Ada yang berfikir bahawa mereka tidak kisah jika kawasan persekitaran kotor dan bersepah kerana ada pekerja yang akan membersihkannya. Pemikiran yang kolot ini sepatutnya harus dibuang jauh dari pemikiran kita yang hidup dalam dunia teknologi ini. Golongan yang mempunyai sikap sebegini boleh dikategorikan sebagai manusia yang tidak bertanggungjawab dan tiada kesedaran sivik dalam diri. Lebih tepat lagi, boleh dikategorikan sebagai 'gila'. Jika seseorang manusia yang normal dan berfikir secara waras, sudah pasti mereka tidak akan membuang sampah sewenang-wenangnya di kawasan pantai. Oleh yang demikian, sikap pentingkan diri masyarakat menyumbang kepada pencemaran sampah sarap.

 

4.0  Kesan pencemaran sampah terhadap manusia dan alam sekitar.

Setiap perkara yang berlaku ataupun dilakukan, pasti ianya mempunyai kesan daripada apa yang berlaku. Pencemaran sampah yang berlaku di Pantai Geting akan memberi kesan yang buruk terhadap manusia dan alam sekitar termasuklah:

4.1  Kesihatan manusia terjejas

Pencemaran sampah yang berlaku di Pantai Geting akan menjejaskan kesihatan manusia khususnya penduduk setempat. Ini kerana longgokan sampah yang ada akan menarik perhatian vektor-vektor pembawa penyakit seperti nyamuk aedes, lalat dan tikus untuk bermain-main di kawasan sampah itu. Secara tidak langsung, kawasan tersebut menjadi kawasan pembiakan haiwan-haiwan perosak tersebut. Pencemaran sampah bukan sahaja mencemarkan pemandangan mata tetapi boleh mendatangkan pelbagai wabak penyakit kepada manusia. Contohnya seperti taun, malaria, demam denggi, keracunan makanan dan sebagainya yang boleh membawa maut kepada manusia.

4.2  Pencemaran bau

Pencemaran bau adalah satu kacau-ganggu yang memberi ketidakselesaan dan kemudaratan terhadap individu serta dapat menjatuhkan nilai hartanah (Zaini Sakawi, 2018). Pencemaran bau wujud disebabkan oleh bau busuk yang terhasil daripada sampah sarap. Apabila terlalu banyak longgokan sampah, ia akan mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan dan akan menyebabkan gangguan serius kepada penerima sensitif di sekitar sumber bau. Sekiranya persekitaran Pantai Geting dicemari dengan pencemaran bau ini, ia akan menyebabkan penduduk setempat menjadi tidak senang untuk menghirup udara yang segar dan tidak selesa menjalani kehidupan seharian bagi melakukan aktiviti harian mereka.

4.3  Keindahan pantai dan alam sekitar akan terjejas

Pencemaran sampah sarap di Pantai Geting akan menyebabkan keindahan alam sekitar di Pantai Geting akan terjejas. Keindahan Pantai Geting yang dipenuhi dengan flora yang menghijau akan ditenggelamkan oleh kehadiran longgokan sampah yang menyebabkan pencemaran sampah sarap berlaku. Contohnya, sampah sarap yang dibuang di celah-celah semak samun dan di bawah pokok. Pencemaran ini akan menjatuhkan imej Pantai Geting sebagai salah satu pantai yang menarik dengan kawasan rekreasi dan tempat peranginan bagi pelancong dalam dan luar negeri. 


5.0 Cadangan penyelesaian

Tiada ubat yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi sehingga ke akar umbi.

5.1  Menguatkuasakan undang-undang dengan lebih ketat.

Penguatkuasaan undang-undang yang ketat boleh dilaksanakan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT). Undang-undang yang lebih ketat seperti kenakan denda yang tinggi dan penjara untuk tempoh yang lama kepada sesiapa sahaja yang keras kepala membuang sampah merata tempat di sekitar kawasan Pantai Geting itu. Pemantauan secara berkala oleh pihak PBT sekurang-kurangnya 3 kali seminggu boleh mengawal pencemaran sampah terus berlaku di Pantai Geting. Kenyataan ini turut disokong dalam kajian yang dilakukan oleh Musfirah Abdul Jalil (2017) yang mengatakan bahawa dengan adanya penglibatan daripada PBT, maka aspek alam sekitar di negara akan lebih terjaga daripada pencemaran yang berlaku khususnya pencemaran sampah dek kerana pemantauan yang dilakukan oleh mereka. Jadi sudah terang lagi bersuluh penguatkuasaan undang-undang yang ketat boleh membasmi pencemaran sampah di Pantai Geting.

5.2  Kempen 'Cintai Pantai Kita'

Pelbagai kempen boleh dilakukan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya menjaga kebersihan pantai. Contohnya, kempen 'Cintai Pantai Kita'. Kempen tersebut boleh disampaikan melalui kaca televisyen, radio, media sosial, ceramah dan seminar. Dengan adanya kempen sebegini, ia dapat memberi kesedaran yang menyeluruh kepada penduduk setempat dan semua masyarakat tentang kepentingan menjaga kelestarian pantai daripada sampah sarap. Dalam usaha bersama memelihara alam sekitar daripada tercemar dengan sampah sarap, pihak kerajaan dan pihak bukan kerajaan boleh berganding bahu dalam melaksanakan program-program jalinan bersama dalam memastikan kelestarian pantai di negara kita khususnya di Pantai Geting. Oleh itu, penganjuran kempen 'Cintai Pantai Kita' boleh meningkatkan kesedaran penduduk setempat dan masyarakat tentang kepentingan menjaga pantai di negara kita.


5.3  Didikan ibu bapa

Ibu bapa memainkan peranan yang cukup penting dalam mendidik anak-anak yang lahir dalam arus pemodenan yang cukup maju ini. Didikan yang baik daripada ibu bapa akan melahirkan generasi yang beradab dan berdisiplin. Anak-anak itu umpama sehelai kain putih yang kosong. Untuk mencantikkan kain putih tersebut, ibu bapa lah yang harus mencorakkannya dengan baik. Pendidikan sivik yang diberikan oleh ibu bapa akan melahirkan anak-anak yang berperibadian yang tinggi. Contoh yang baik yang ditunjukkan oleh ibu bapa juga mempengaruhi tingkah laku anak-anak kini. Dengan ini, didikan ibu bapa kepada anak-anak boleh mengawal pembuangan sampah di merata-rata tempat terutamanya di pantai.

5.4 Gotong-royong bersama-sama

            Masalah pencemaran sampah ini bukanlah satu isu persendirian. Malah ia merupakan tanggungjawab bersama untuk menjaga kebersihan pantai daripada pencemaran sampah sarap. Aktiviti gotong-royong merupakan salah satu aktiviti yang boleh dilaksanakan dalam mengurangkan masalah pencemaran pantai. Gotong-royong yang boleh diadakan sebulan sekali bukan sahaja dapat menceriakan kawasan pantai bahkan boleh mengeratkan hubungan kemasyarakatan dan silaturrahim sesama manusia. Kepenatan itu akan hilang dengan sendiri apabila masyarakat setempat berganding bahu dalam bergotong-royong membersihkan pantai daripada sampah sarap. Bak kata pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Justeru itu, aktiviti gotong-royong bersama-sama boleh mengurangkan pencemaran sampah sarap di Pantai Geting, Tumpat.

 

6.0  Kesimpulan

Konklusinya, jika masyarakat berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, in shaa Allah masalah pencemaran sampah di Pantai Geting, Tumpat dapat ditangani bersama. Biarlah awan terus berarak, langit terus membiru dan laut terus bergelora asalkan kita bersama-sama menjaga kebersihan dan kelestarian pantai yang ada di negara kita terutamanya Pantai Geting yang merupakan salah satu pusat rekreasi yang menarik di Tumpat, Kelantan. 


Rujukan

Muhammad Basir Roslan & Sakini Mohd Said. (2022, Mac 10). Anggaran 14 juta tan sampah akan dikutip tahun ini. Malaysia Kini. Diperoleh daripada https://www.malaysiakini.com/news/613802

Muhammad Fiqrurazi Ahmad Shamsuri. (2015). Masalah longgokan sampah kawasan     perumahan berteres. Kajian kes: Taman Universiti, Skudai, Johor. Tesis Sarjana, Universiti Teknologi Malaysia. Diperoleh daripada chrome-            extension://efaidnbmnnnibpcajpcglclefindmkaj/http://eprints.utm.my/id/eprint/53778/25/MuhamadFiqruraziAhmadShamsuriMFGHT2015.pdf

Musfirah Abd Jalil. (2017). Persepsi penduduk terhadap kutipan sisa pepejal di kawasan luar  bandar. Master thesis, Universiti Teknologi Malaysia. Diperoleh daripada chrome- extension://efaidnbmnnnibpcajpcglclefindmkaj/http://eprints.utm.my/id/eprint/78887/1/ MusfirahAbdJalilMFGHT2017.pdf

Siti Rohana Idris. (2021, Desember 7). Pantai tercemar kerana sampah dibawa ombak. Diperoleh daripada https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/12/785928/pantai- tercemar-kerana-sampah-dibawa-ombak-metrotv

Utusan Timur. (2021, September 21). Tinggalkan sampah selepas beriadah. Diperoleh daripada https://utusantimur.com/2021/09/21/tinggalkan-sampah-selepas-beriadah/ 

Zaini Sakawi. (2018). Pencemaran bau di Malaysia: Keperluan bagi pindaan Akta Kualiti Alam    Sekeliling 1974 (Peraturan-peraturan Pencemaran Kualiti Udara). Malaysia Journal of Society and Space, 14(4), 158-173. Diperoleh daripada chrome-            extension://efaidnbmnnnibpcajpcglclefindmkaj/http://journalarticle.ukm.my/13260/1/2 8568-89102-1-PB.pdf

 

MUHAMMAD HARRAZ BIN AZIZI

D20191088339

KUMPULAN A


 

 

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...