Thursday, June 16, 2022

ISU HARGA BUAH DURIAN MELAMBUNG DI TANGKAK, JOHOR

Ringkasan kes

Durian merupakan tanaman buah terpenting di Malaysia kerana ia boleh menjana pendapatan yang sangat tinggi bagi pengeluar. Hal ini demikian kerana buah durian mempunyai rasa yang unik sehingga digelar "Raja Segala Buah". Namun begitu, kenikmatan buah ini tidak semua orang boleh menerimanya kerana ia mempunyai bau yang kuat. Permintaan eksport durian juga mencecah 1000 tan sebulan (Sinar Harian, 2022). Tambahan pula, pengusaha mahupun syarikat Malaysia sedang mengambil peluang dalam mengeksport durian untuk menembusi pasaran China kerana ia adalah antara pasaran terbesar di dunia. Antara jenis buah durian yang terkenal adalah Musang King, D 1O1, D24, Udang Merah dan sebagainya. Selain buah, pengusaha di Malaysia juga sangat kreatif dalam membuat inovasi mempelbagaikan produk berasaskan durian seperti aiskrim, coklat dan kek supaya dapat memenuhi permintaan luar biasa dari dalam negara mahupun negara luar yang dapat meningkatkan nilai eksport negara. Sebagai contoh, Syarikat Nestle juga telah mengeluarkan produk aiskrim berasaskan durian iaitu "Musang King" yang sememangnya mempunyai kualiti yang sangat baik yang menyebabkan harga aiskrim tersebut boleh dikatakan tinggi dan memberikan keuntungan yang tinggi kepada syarikat tersebut.

Rajah 1. Buah Durian

 

Seperti yang kita tahu, buah durian ini akan mengeluarkan buah pada musimnya. Begitu juga yang sedang terjadi di kawasan Tangkak, Johor kerana dikatakan oleh penduduk disana, baru-baru ini iaitu bulan Jun 2022, kawasan Tangkak sedang mengalami musim durian. Hal ini dikatakan sedikit aneh kerana kawasan sekitarnya seperti Muar, Melaka dan Segamat tidak mengalami musim durian yang serentak seperti Tangkak. Dengan berlakunya senario seperti ini, terdapat beberapa isu yang timbul yang menyebabkan harga buah durian tersebut melambung berbanding harga biasa yang dipromosikan. Disini, saya akan membincangkan tentang faktor, kesan dan langkah mengatasi kenaikan harga melambung durian ini. 


Faktor Kenaikan Harga Durian

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan peningkatan harga buah durian tersebut secara mendadak. Antaranya ialah buah durian tersebut berbuah pada bukan musim yang sepatutnya. Berbuah pada bukan musim yang sepatutnya juga boleh disebabkan fenomena alam atau cuaca yang tidak menentu. Menurut Jabatan Pertanian Pulau Pinang, musim utama untuk durian berbuah di bahagian negeri selatan ialah pada bulan Jun hingga September. Di sesetengah kawasan dimana terdapatnya musim kemarau pada pertengahan tahun musim berbuah akan jatuh pada hujung tahun iaitu bulan November hingga Januari. Isu yang terjadi di Tangkak dimana buah durian telah berbuah awal dari musim sepatutnya iaitu pada pada hujung bulan April berbanding di tempat lain yang bermula pada Jun. Sebagai contoh, jika cuaca tidak menentu seperti hujan yang berterusan akan menyebabkan pokok tidak mengeluarkan bunga yang berkualiti iaitu kurang spora ataupun bunga yang tidak mempunyai kuantiti yang banyak sekaligus menyebabkan agen pendebungaan seperti kelawar tidak dapat melakukan proses pendebungaan iatu menyebarkan spora dari bunga durian. Menurut Nur Hamzah Zulfemi Muhammad et al. (2021), kelawar boleh menyumbang kepada pendebungaan melalui sentuhan dengan bunga apabila kelawar hinggap pada dahan bunga durian. Dengan ini, cuaca sememangnya memainkan peranan yang penting sebagai faktor yang mempengaruhi pengeluaran buah tersebut.

Rajah 2. Bunga durian dan kelawar

 

Selain itu, durian ini juga berbuah pada bukan musimnya adalah disebabkan oleh proses yang dipanggil "flower forcing" atau pendebungaan paksa durian. Ini merupakan suatu inisiatif bagi ramai penanam durian untuk menghasilkan bunga dan buah diluar musim biasa. Ini kerana jika mereka dapat menjual buah durian diluar musim biasa, maka harga buah durian tersebut memang tinggi dan pasti ianya tentu amat menguntungkan. Tuntasnya, dengan faktor ini, ia menyebabkan terdapat perbezaan harga yang seketika untuk buah durian sementara menunggu musim sebenar itu datang.

Kesinambungan idea di atas, pengeluaran buah durian pada bukan musim sepatutnya juga menyebabkan permintaan yang tinggi untuk buah tersebut. Seperti yang kita tahu, terdapat penggemar buah durian yang sanggup melaburkan duit mereka tidak kira harga yang sangat tinggi akan membeli durian lebih-lebih lagi yang berkualiti seperti Musang King, IOI, D24 dan sebagainya. Malah, ada juga yang menempah terlebih dahulu sebelum buah tersebut boleh dipasarkan.

Selain itu, faktor yang menyebabkan kenaikan harga buah durian ini secara melampau adalah disebabkan oleh manipulasi harga oleh pemborong. Untuk pengetahuan, sebelum kita membeli buah durian di kedai, terdapat beberapa peringkat proses jual durian sebelum sampai kepada pemborong yang kita beli di kedai. Jadi, buah durian ini ditanam oleh pengeluar. Kemudian, apabila buah sudah sedia untuk dijual, penanam akan menolak atau menjual buah durian tersebut kepada peraih, dan kemudian peraih menjual kepada pemborong dengan harga yang standard. Namun, isu kenaikan harga yang melambung ini berpunca daripada pemborong-pemborong yang ingin mendapatkan keuntungan tambahan pula buah durian sememangnya mengenakan kos yang tinggi dan kadang-kadang mereka meletakkan harga yang sememangnya tidak berpatutan.

Rajah 3. Iklan kenaikan harga buah durian 2022

 

 

Kesan Kenaikan Harga Durian

Dengan berlakunya faktor-faktor kenaikan harga durian, ia memberikan kesan kepada masyarakat, ekonomi dan alam sekitar. Antaranya ialah berlaku isu kecurian buah durian di dusun-dusun penanam. Kejadian kecurian ini tidak asing lagi didengari lebih-lebih lagi melibatkan buah durian dan ianya sering terjadi pada waktu malam. Disebabkan itu, ramai pengusaha sentiasa berjaga malam lebih-lebih lagi pada waktu musim durian, menunggu buah durian gugur dan terus mengutip buah tersebut. Jika tidak, pastu banyak buah durian hilang pada keesokan harinya. Tambahan pula, ancaman kerugian pengusaha daripada haiwan seperti musang dan tupai yang memakan dengan "menebuk" buah durian tersebut yang menyebabkan buah durian tersebut tidak boleh dijual dan dilabel sebagai rosak. Tuntasnya, ancaman kerugian bagi penanam buah durian terdiri daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dan juga haiwan perosak.

Rajah 4. Tupai menebuk buah durian

 

Selain itu, disebabkan harga durian yang meningkat mendadak secara melampau oleh penjual di kedai, impaknya terdapat banyak buah yang tidak terjual yang lama-kelamaan akan menyebabkan buah tersebut cepat rosak dan berbau tambahan pula buah durian sememangnya mempunyai bau yang sangat kuat. Ini akan menimbulkan pencemaran bau lebih-lebih lagi di kedai-kedai buah yang terdapat di bandar yang menimbulkan ketidaksenangan kepada peniaga kedai sebelah yang tidak menjual buah. Sebagai contoh, Tangkak dikenali sebagai "syurga kain" iaitu terdapat banyak kedai yang menjual kain dan kedai-kedai ini berselang-seli dengan kedai buah. Sebagaimana yang telah saya perhatikan, peniaga kedai kain agak tidak gemar kerana bau tersebut meninggalkan bau yang kuat kepada kain-kain yang dijual. Tidak hanya pencemaran bau, buah durian yang telah terjual juga memberikan impak yang negatif kepada alam sekitar. Hal ini demikian kerana, kebiasaannya, peniaga yang menjual di tepi-tepi jalan akan menyediakan tempat untuk makan buah durian itu sekali. Jadi, selepas pembeli selesai makan buah durian, peniaga akan membuang kulit dan biji durian tersebut di tepi jalan atau membiarkan sahaja. Yang lebih teruk lagi, mereka membuangnya ke dalam parit dan sungai yang membawa kepada pencemaran sungai dan parit tersumbat. Implikasinya, ia akan menjejaskan hidupan akuatik dan senario yang seringkali terjadi di Tangkak adalah banjir yang disebabkan parit besar tersumbat. Tuntasnya, kita akan melihat banyak sisa-sisa yang bersepah yang menjejaskan pemandangan.

Rajah 5. Pembuangan kulit durian di tepi jalan

 

Seterusnya, kenaikan harga yang melampau ini sememangnya memberikan kerugian kepada pembeli, namun begitu ia memberikan kesan yang positif kepada penjual terutamanya kepada pemborong kerana dapat meningkatkan ekonomi atau pendapatan mereka. Hal ini demikian kerana, mereka membeli daripada peraih dengan harga yang standard namun, menjual dengan harga yang sangat tinggi. Tambahan pula, durian yang dijual pada bukan musim sememangnya lebih mahal daripada yang dijual semasa musim. Keuntungan ditambah pula dengan permintaan yang tinggi daripada pembeli terutamanya yang terjadi di Tangkak iaitu penggemar buah durian daripada Muar, Segamat, Melaka bahkan dari Johor Bahru juga sanggup datang untuk membeli buah durian ini walaupun dikenakan harga yang tinggi. Tuntasnya, pada waktu bulan ini, peniaga mampu mendapat keuntungan yang lumayan berbanding menjual pada waktu musim durian yang sebenar.

 

 

Langkah-langkah Mengatasi Isu

Kesinambungan idea diatas, terdapat langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi isu kenaikan melambung harga buah durian ini. Antaranya ialah pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) haruslah menetapkan harga kawalan bagi buah durian ini supaya semua harga adalah selaras. Pihak bertanggungjawab juga hendaklah mengambil tindakan kepada individu yang menjual tidak mengikut harga dan prosedur yang ditetapkan. Dengan ini, walaupun buah durian yang dijual pada bukan musim itu mahal tetapi ia tidaklah melonjak dengan harga yang tidak munasabah. Sebagai contoh, pihak bertanggungjawab boleh membuat rondaan di kedai-kedai buah untuk mengenalpasti peniaga yang tidak mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan. Tuntasnya, dengan inisiatif yang diambil ini sememangnya dapat mengawal harga penjualan kerana semestinya ada peniaga yang pasti mematuhi arahan pihak berkuasa.

Selain itu, langkah yang boleh diambil oleh pihak FAMA adalah dengan membuat promosi atau kempen tentang buah-buah yang dikumpulkan oleh pihak mereka melalui sebarang media seperti surat khabar, Instagram, Facebook dan sebagainya. Sebagai contoh, berdasarkan pengalaman, saya juga selalu membeli buah-buahan yang dipromosikan dihadapan pejabat FAMA, Tangkak dan telah terbukti harga yang ditawarkan adalah lebih murah walaupun pada bukan musim durian. Kemudian, pihak FAMA juga hendaklah melakukan kempen tentang harga buah durian dari masa ke semasa iaitu harga minimum dan harga "siling" bagi buah durian supaya semua penjual dan pembeli mengetahui harga standard bagi buah durian dan tidak ditipu.

Rajah 6. Pejabat FAMA, Tangkak, Johor

Di samping itu, disebabkan harga yang melambung telah menimbulkan isu kecurian buah durian di dusun-dusun, pengusaha juga boleh mengambil modus operandi dalam membuat kawalan yang ketat di dusun mereka dengan menyediakan pengawal keselamatan, membela anjing kawalan ataupun memasang pagar kawalan elektronik. Dengan tindakan ini, ia dijamin sememangnya dapat mengelakkan daripada hasil-hasil buah daripada dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Hal ini kerana, dengan setiap langkah yang diambil, ia memberikan pengusaha amaran atau "alarm" supaya mereka tahu jika ada seseorang mencerobohi kawasan dusun mereka.

Rajah 7. Pagar elektrik di dusun

 

Akhir sekali, bagi mengelakkan buah-buah durian rosak disebabkan oleh haiwan seperti tupai dan musang, pengusaha juga boleh mengambil inisiatif dengan memasang lampu yang dilengkapi tembakan ubat tidur dan kamera yang akan aktif oleh gerakan terutamanya pada waktu malam. Pengusaha boleh meletakkan lampu ini di sekitar sudut dusun atau sudut lain yang sering didatangi oleh tupai dan musang. Dengan ini, kehadiran haiwan ini akan dapat dikawal kerana setelah alat diaktifkan, haiwan tersebut tidak lagi berani untuk mendekati. Alat ini akan aktif jika ada haiwan yang melewati sensor. Namun, alat ini juga akan terpicu oleh apa saja yang melewati sensornya. Dengan itu, ia dapat mengawal sesiapa sahaja yang berkeliaran di dusun tidak kira haiwan perosak mahupun penceroboh. Terdapat juga cara tradisional yang boleh dikategorikan sebagai kawalan biologi iaitu dengan menyebarkan bulu kucing atau anjing. Perkara ini boleh dilaksanakan dengan mengumpulkan bulu haiwan peliharaan ketika menyisir kucing atau anjing. Masukkan bulu tersebut di dalam kantung kecil, lalu gantung atau sebarkan di sekitar kawasan yang sering didatangi haiwan perosak ini. Hal ini demikian kerana bau aroma predator semulajadi ini mampu mencegah kehadiran tupai dan musang. Izharnya, pelbagai cara yang boleh pengusaha ambil untuk memastikan hasil buah durian mereka berada dalam kualiti yang baik.


Kesimpulan

Kesimpulannya, semua pihak yang terlibat haruslah memainkan peranan yang penting dalam mengawal dan menjaga kualiti dan kuantiti buah durian supaya pelbagai isu negatif yang melibatkan penduduk masyarakat dapat dielakkan dan keharmonian dapat dijaga. Walaupun buah ini sememangnya mempunyai kos yang agak tinggi, namun jika semua pihak melaksanakan tugas masing-masing, ia tidaklah menjadi isu yang kritikal. Tuntasnya, dengan kawalan harga dan penjagaan yang baik sememangnya dapat memberikan semua lapisan masyarakat dapat merasai keenakan durian pada kadar harga yang berpatutan.

 


RUJUKAN

Fuad Mohamed Berawi & Aina Khalilah Izman Kamal. (2020). Pekebun kecil durian di Batu Kurau, Perak: Satu kajian kes. Diperoleh daripada https://www.researchgate.net/publication/342656772_Fuad_Mohamed_Berawi_Aina_Khalilah_Izman_Kamal_2020_Pekebun_kecil_durian_di_Batu_Kurau_Perak_Satu_kajian_kes

Jabatan Pertanian Pulau Pinang. (2021). Buah-buahan. Diperoleh daripada https://jpn.penang.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=64:durian-sp-26113&catid=23&Itemid=54&lang=ms

MyMetro. (2022). Pasaran terbesar raja buah. Diperoleh daripada https://www.hmetro.com.my/bisnes/2019/07/477971/pasaran-terbesar-raja-buah

Nur Hamzah Zulfemi Muhammad, Low, S. Y., Siti Nor Shaffinaf Mohamad Shukri, Aida Hidayah Abu Samah, Hasrul Zaman Hassan Basri, Muhammad Haffidzie Mohd Shuhaimi, Harizah Nadiah Hamzah, Muhammad Aidil Zahidin, Muhammad Syamsul Aznan Ariffin & Mohamed Nor Zalipah (2021). Flower Visiting Bats And Durian Trees: Species Richness And Population Size. Journal Of Sustainability Science And Management, 16(5), 80-90. Diperoleh daripada https://jssm.umt.edu.my/wp-content/uploads/sites/51/2021/07/6-JSSMV16N5.pdf

SinarHarian. (2021). Permintaan eksport durian cecah 1,000 tan sebulan. Diperoleh daripada https://www.sinarharian.com.my/article/144606/BERITA/Nasional/Permintaan-eksport-durian-cecah-1000-tan-sebulan

Supat Thongkaew. S., Jatuporn, C., Sukprasert, P., Rueangrit. P. & Tongchure, S. (2021). Factors Affecting The Durian Production Of Farmers In The Eastern Region Of Thailand. International Journal of Agricultural Extension. 285-293. Diperoleh daripada https://www.researchgate.net/publication/352777750_Factors_affecting_the_durian_production_of_farmers_in_the_eastern_region_of_Thailand



NAMA: NUR AMIRA FITRAH BINTI ABD RASHID

NO MATRIK: D20191088314

KUMPULAN: A

 

 

 

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...