Friday, June 17, 2022

ISU KEMISKINAN DALAM KALANGAN PENDUDUK DI KOTA BHARU, KELANTAN

ISU KEMISKINAN DALAM KALANGAN PENDUDUK DI KOTA BHARU, KELANTAN


PENGENALAN & RINGKASAN KES


Kelantan merupakan antara negeri yang ketiga yang merekodkan statistik penduduk miskin yang tertinggi selepas Sabah dan Sarawak, dengan memperoleh kadar kemiskinan sebanyak 0.4%. Pada bulan Jun 2019, statistik kemiskinan menunjukkan jumlah penduduk miskin tegar di Kelantan ialah 6,210 orang dan pendududk miskin pula mencatatkan seramai 31, 217 orang (Rosmiza Kasim, 2019). Dapatan kajian ini jelas menunjukkan isu kemiskinan di Kelantan perlulah diambil perhatian oleh semua pihak. Kelantan merupakan salah satu negeri di Semenanjung Malaysia. Berdasarkan Rajah 1 di bawah menunjukkan bahawa Kelantan mempunyai 10 daerah yang terdiri daripada Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang. Kota Bharu merupakan ibu kota Kelantan. Menurut Nor Ayuni Mohamad Zulkifli, Hairunnizam Wahid & Mohd Ali Mohd Noor (2018), kemiskinan membawa maksud ketidakupayaan seseorang untuk memenuhi keperluan asas, baik makanan mahupun harta benda yang diukur dari sudut perbelanjaan ataupun pendapatan.


Rajah 1. Peta Kelantan



PUNCA BERLAKUNYA ISU KEMISKINAN DALAM KALANGAN PENDUDUK DI KOTA BHARU, KELANTAN


Antara punca berlakunya isu kemiskinan dalam kalangan penduduk di Kota Bharu, Kelantan adalah disebabkan oleh peluang pekerjaan yang terhad (Shah Nursyahmiaiman Noor Jalaini, 2016). Peluang pekerjaan yang terhad menyebabkan kebanyakan penduduk di Kota Bharu, Kelantan diklasifikasikan sebagai penduduk miskin dan juga miskin tegar, seperti yang dimaklumkan sebelum ini. Hal ini demikian kerana, populasi penduduk di Kelantan yang agak tinggi akan menyebabkan berlakunya persaingan untuk mendapatkan pekerjaan. Jadi, penduduk akan bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan pekerjaan pada masa kini. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (2020), populasi penduduk di Kelantan pada tahun 2018 adalah sebanyak 1.86 juta penduduk, manakala pada tahun 2019 mencatatkan sebanyak 1.88 juta penduduk. 


Tambahan pula, Kota Bharu mencatatkan jumlah penduduk tertinggi pada tahun 2015 hingga 2019, iaitu sebanyak 608.6 ribu. Hal ini jelas menunjukkan peningkatan kadar pertumbuhan penduduk tahunan sebanyak 1.2% serta menjelaskan mengenai persaingan untuk mendapatkan pekerjaan yang semakin tinggi. Fenomena ini dikukuhkan lagi dengan dapatan kajian yang dijalankan oleh Nor Ayuni Mohamad Zulkifli, Hairunnizam Wahid & Mohd Ali Mohd Noor (2018) mengenai status pekerjaan penduduk di Kota Bharu, Kelantan. Hasil dapatan kajian menunjukkan sebanyak 75.8% responden tidak bekerja manakala 15.2% bekerja makan gaji manakala 6.1% responden bekerja sendiri dan selebihnya adalah pesara. Hal ini jelas menunjukkan bahawa disebabkan oleh peluang pekerjaan yang terhad, oleh itu majoriti penduduk di Kota Bharu tidak mempunyai pekerjaan. Rentetan daripada itu, sebanyak 75.8% responden tidak mempunyai pendapatan dan masalah ini menyebabkan mereka mempunyai konflik dalam meneruskan kehidupan seharian. Selain daripada itu, masalah mengenai jalan perhubungan dan isu air terawat juga menjadi faktor yang mendorong kepada isu kemiskinan di Tumpat, Gua Musang, Jeli, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas dan Pasir Puteh (Mohd Zulkifli Zainuddin, 2019). 



KESAN KEMISKINAN TERHADAP PENDUDUK DI KELANTAN


Antara kesan kemiskinan yang dapat dilihat ialah dari segi pencapaian akademik para pelajar di mana pencapaian akademik pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah akan terjejas. Hal ini demikian kerana, pelajar-pelajar yang mempunyai masalah kewangan perlu membantu keluarga mereka bagi menampung kehidupan mereka. Jadi, mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk belajar dan melakukan kerja rumah (Siti Masayu Rosliah Abdul Rashid & Narimah Samat, 2018). Kesannya, para pelajar tersebut akan ketinggalan dalam pelajaran ataupun tercicir dalam subjek tersebut. Dapatan kajian yang dijalankan oleh Nor Ayuni Mohamad Zulkifli, Hairunnizam Wahid & Mohd Ali Mohd Noor (2018) menunjukkan mengenai jumlah peratusan penduduk di daerah Kota Bharu yang tidak mendapat pendidikan dan juga sebaliknya. 


Fenomena ini menunjukkan peratusan responden yang tidak mendapat pendidikan adalah tinggi iaitu sebanyak 48.5%, manakala 30.0% responden mendapat pendidikan sehingga sekolah menengah dan selebihnya mendapat pendidikan sehingga di sekolah rendah sahaja. Terdapat juga golongan pelajar yang terpaksa berhenti sekolah bagi membantu keluarga mereka. Tambahan pula, dapatan kajian yang dijalankan oleh Siti Masayu Rosliah Abdul Rashid dan Narimah Samat (2018) di Bachok menyatakan bahawa peratusan responden yang tidak bersekolah mempunyai peratusan yang lebih tinggi (54.3%) berbanding dengan responden yang mendapat pendidikan (45.7%). Tidak dilupakan juga, kemiskinan memberi impak negatif kepada kualiti hidup seseorang individu tersebut. Hal ini demikian kerana, masyarakat sukar untuk mendapatkan tempat tinggal yang selesa, menjejaskan kesihatan kerana kurang mendapat akses kepada air bersih, makanan yang sihat dan sebagainya. Kesannya, kesihatan penduduk yang berpendapatan rendah ataupun miskin akan turut terjejas. 



LANGKAH MENGATASI ISU KEMISKINAN  


Terdapat beberapa langkah yang telah dijalankan oleh pihak-pihak luar bagi membasmi isu kemiskinan di Kelantan. Antaranya adalah kerajaan mengagihkan dana zakat dan menubuhkan pelbagai program yang dapat membantu ekonomi masyarakat. Menurut Mohd Rawizal Mohd Nawi (2018) menjelaskan bahawa pengagihan dana zakat kepada asnaf fakir dan miskin merupakan salah satu alternatif dalam membasmi kemiskinan. Zakat dalam bentuk wang yang diberikan kepada golongan asnaf fakir dan miskin dapat digunakan sebagai modal untuk memulakan perniagaan. Hal ini membantu mereka untuk menambaik baik kehidupan masing-masing serta keluar dari belenggu kemiskinan. Misalnya, hal ini dapat dibuktikan apabila Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjaya melahirkan golongan usahawan asnaf melalui pemberian zakat (Mohd Rawizal Mohd Nawi, 2018). Tambahan pula, menurut Zarina Kadri, Sanep Ahmad dan Mohd Ali Mohd Noor (2012), zakat membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara kerana ianya menggalakkan pembelian dalam golongan berpendapatan rendah. 


Di samping itu, kerajaan mempergiatkan usaha untuk mengurangkan isu kemiskinan di Kelantan dengan menyediakan pelbagai program yang dapat membantu ekonomi masyarakat di sana. Hal ini dikukuhkan lagi apabila Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar iaitu R Sivarasa mengatakan bahawa kerajaan Persekutuan bersedia untuk membangunkan program mengenai industri usahawan kecil bagi membantu golongan berpendapatan rendah di Kelantan (Sinar Harian, 2019). Melalui program-program seperti ini, masyarakat dapat menambah pengetahuan serta kemahiran insaniah (soft skills)  seperti kemahiran berkomunikasi, kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran berfikir secara kritis dan lain-lain lagi. Kemahiran-kemahiran ini dapat diaplikasikan oleh mereka semasa menjalankan perniagaan kecil-kecilan selepas menyertai program industri usahawan kecil. Kesannya, inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan ini amatlah baik untuk diteruskan pelaksanaanya kerana memberikan impak yang positif kepada penduduk yang berpendapatan rendah di Kelantan. 


Tambahan pula, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) membantu membasmi isu kemiskinan penduduk di Kelantan dengan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk (East Coast Economic Region, 2016). Misalnya, Permodalan Nasional Berhad melabur RM125.46 juta untuk pembangunan Hotel Perdana di Kota Bharu (ECER, 2016). Hal ini menggalakkan pertumbuhan ekonomi negeri Kelantan serta membuka peluang pekerjaan kepada penduduk. Pada pendapat saya, antara langkah yang boleh dilakukan untuk membasmi isu kemiskinan penduduk di Kota Bharu adalah melalui inisiatif penduduk itu sendiri. Hal ini demikian kerana, setiap daripada insan perlulah berusaha untuk keluar dari kepompong kemiskinan dengan cara mencari peluang pekerjaan di luar negeri ataupun bermigrasi ke negeri lain. 



KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya, dapat kita lihat bahawasanya isu kemiskinan yang melanda penduduk di Kota Bharu, Kelantan bukanlah suatu isu yang boleh kita pandang ringan. Hal ini demikian kerana, terdapat pelbagai impak negatif yang berlaku disebabkan oleh kemiskinan. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dalam membasmi isu kemiskinan ini kerana sepakat membawa muafakat. Isu kemiskinan ini mustahil untuk dibasmi tanpa adanya kerjasama daripada semua pihak. 


RUJUKAN

East Coast Economic Region (ECER). (2016). Kelantan Nikmati Transformasi Projek Pembangunan ECER. Diperoleh daripada https://www.ecerdc.com.my/media_releases/kelantan-nikmati-transformasi-projek-pembangunan-ecerpelaburan-sebanyak-rm12-2-bilion-lebih-10000-penduduk-tempatan-mendapat-manfaat-daripada-program-program-pembangunan-modal-insan-keusahawanan-e/

Jabatan Perangkaan Malaysia. (2020). Laporan Sosioekonomi Kelantan.diperoleh daripada https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/1_Articles_By_Themes/National%20Accounts/GDPbyState/2020/Laporan_Sosioekonomi_Kelantan_2019.pdf

Mohd Rawizal Mohd Nawi. (2018). Analisis pelaksanaan agihan zakat produktif oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Universiti Malaya. Diperoleh daripada http://studentsrepo.um.edu.my/12516/1/Mohd_Rawizal.pdf

Mohd Zulkifli Zainuddin. (2019). Masalah prasarana jadi faktor 7 daerah miskin di Kelantan. Berita Harian. Diperoleh daripada https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/07/584045/masalah-prasarana-jadi-faktor-7-daerah-miskin-di-kelantan

Nor Aini Idris, Chamsuri Siwar (2003). Kemiskinan Bandar dan Sektor Tidak Formal di Malaysia. Bangi : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Nor Ayuni Mohamad Zulkifli, Hairunnizam Wahid & Mohd Ali Mohd Noor. (2018). Persepsi golongan miskin terhadap kemiskinan dan implikasinya dalam merealisasi pembangunan nilai Islam: Kajian terhadap penduduk miskin bandar Kota Bharu, Kelantan. Diperoleh daripada https://www.researchgate.net/publication/328136463_Persepsi_Golongan_Miskin_Terhadap_Kemiskinan_Dan_Implikasinya_Dalam_Merealisasi_Pembangunan_Nilai_Islam_Kajian_Terhadap_Penduduk_Miskin_Bandar_Kota_Bharu_Kelantan

Rosmiza Kasim. (2019, Ogos 27). Kelantan paling ramai penduduk miskin. Berita Harian. Diperoleh daripada https://www.sinarharian.com.my/article/45054/BERITA/Nasional/Kelantan-paling-ramai-penduduk-miskin

Shah Nursyahmiaiman Noor Jalaini. (2016). Kemiskinan bandar di Malaysia. Diperoleh daripada https://www.academia.edu/36041442/KEMISKINAN_BANDAR_DI_MALAYSIA

Sinar Harian (2019, Julai 15). Persekutuan bantu tangani isu kemiskinan di Kelantan. Diperoleh daripada https://www.sinarharian.com.my/article/37868/BERITA/Nasional/Persekutuan-bantu-tangani-isu-kemiskinan-di-Kelantan

Siti Masayu Rosliah Abdul Rashid & Narimah Samat. (2018). Kemiskinan keluarga dan pengaruhnya terhadap tahap pendidikan rendah masyarakat luar bandar: kajian kes di jajahan Bachok, Kelantan. Journal of Social Sciences and Humanities. 13(2). 011-023. Diperoleh daripada https://myjurnal.mohe.gov.my/filebank/published_article/82785/12.pdf

Zarina Kadri, Sanep Ahmad dan Mohd Ali Mohd Noor. (2012). Zakat sebagai pemangkin pembangunan ekonomi: ke arah negara berpendapatan tinggi. 1263-1273. Diperoleh daripada https://www.ukm.my/fep/perkem/pdf/perkemVII/PKEM2012_4E2.pdf


 

Disediakan oleh:

NURUL ALIA BINTI MOHD JAAFAR

D20191088253

HGM3033 A

No comments:

Post a Comment

Task individu

Nama : Rahmi No matriks : D20212101343 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Maaf dr saya terlambat nak hantar tugas ni karena awa...